Sekarang ini menjadi tren bahawa apabila anak-anak menikah maka kedua
ibu-bapa mempelai lelaki dan perempuan akan ikut serta. Di rumah pengantin
perempuan kedua ibu-bapa mempelai lelaki akan turut serta dan di rumah mempelai
lelaki kedua ibu-bapa mempelai perempuan akan juga turut serta. Berbeza pada
tahun-tahun 1960an dan 1970an. Ibu-bapa tidak turut serta. Ada wakil ibu-bapa
bersama saudara-mara dan sahabat-handai. Pada waktu itu persemendaan tidak
begitu terbuka seperti sekarang. Seolah-olahnya ketika itu masih banyak
malunya. Masih teragak-agak untuk membuka keterbukaan yang seluas-luasnya. Masih
ada reserve dan privacy yang dijaga. Disimpan untuk suatu jangka
masa yang tertentu. Zaman berubah dan keadaan berubah. Jalan fikir kita juga
berubah jauh. Kita sudah membuka minda seluas-luasnya. Kemesraan antara dua
keluarga terbina ketika risikan dibuat. Ketika pertunangan dirasmikan. Bertambahlah
ketika pernikahan dilangsungkan. Bertautlah dua keluarga yang bersemenda. Bertambah
dan bertambah apabila cucu-cucu bakal memeriahkan suasana.
Dalam perkahwinan, jarak tempat bukan lagi perkiraan penting. Dalam
daerah atau luar daerah. Dalam negeri atau luar negeri. Dalam negara atau luar
negara. Persemendaan merapatkan jurang keluarga. Jurang kaum. Jurang bangsa. Jurang
agama. Jauh hanya beberapa jam. Dengan kenderaan darat dua jam. Dengan perjalanan
udara mungkin juga dua jam. Tidak ada perjalanan laut kecuali antara pulau ke
pulau. Atau dari pulau ke tanah besar. Atau dari tanah besar ke pulau. Malah pernerbangan
yang beberapa jam atau berpuluh jam bukan penghalang perkahwinan antara warga
dua negara. Proses kehidupan sudah banyak dipermudahkan. Hanya kestabilan
ekonomi keluarga sudah cukup merealisasikan segala impian pasangan dua sejoli
untuk hidup bersama. Apabila dua hati sudah tertambat, hanya masa menjadi
halangan. Yang lain-lain menghambat kesegeraan bersatunya kedua mereka. Apa lagi
yang perlu dinantikan. Jika rasa tanggungjawab sudah redha dipikul maka
segeralah menikahnya. Pengubat segala penantian yang menyeksakan.
Begitulah antara Semenanjung dan Sarawak serta Sabah. Antara Johor dan
Sarawak. Antara Batu Pahat dan Miri umpamanya. Jarak dua jam penerbangan
terlalu singkat. Hanya sebentar belon di atas awan. Baru mendatar sudah
mula menurun altitud. Saudara jauh yang
turut serta ingin meraikan sama mempelai semenda mereka. Meraikan saudara
semenda mereka. Melihat tempat orang. Menikmati hidangan tempat orang. Bermesra
dengan saudara mara yang baru. Begitu yang dirancang. Namun apabila kita
merancang, jangan lupa Allah juga merancang. Ketahuilah sesungguhnya perancangan
Allah maha sempurna. Dalam kegembiraan menerima menantu ada kesukaran-kesukaran
yang harus redha diterima kerana ianya datang dari Allah. Dan sesungguhnya
dalam kesusahan itu tetap ada kesenangan yang Allah datangkan. Tentunya dalam
spektrum yang berbeza dari pandangan kita manusia biasa. Cuma apabila kita amati,
banyak hikmah yang tidak dapat kita ungkapkan. Tidak dapat kita nyata secara spesifik.
Suatu pernikahan lazimnya dinanti penuh debar. Penuh rindu. Mempelai perempuan
syahdu menanti bait-bait “Aku terima nikahnya” dari seorang lelaki bernama suami.
Orang tercinta yang diharap memberi gamitan kebahagiaan. Mencanai keindahan
bersuami-isteri. Mencambah kasih-sayang.
Mengayam rindu-rinduan kasih. Lelaki yang menambat jiwa raga itu telah berada
di hadapan mata. Hanya sejarak disapa mesra. Jarak disentuh sayang. Telah sekian
dirindui munculnya secara syahdu. Dinanti penuh rembesan air mata. Malamnya diimpikan.
Siangnya berbayang-bayang. Hari pernikahan itu hanya detik masa sahaja yang
memisahkan. Namun debaran menanti yang singkat itu cukup menggema sanubari. Cukup
melelahkan pernafasan. Cukup melonglaikan sendi-sendi sekujur badan. Resah yang
meresahkan. Penantian yang cukup menyeksakan. Ya Allah, sabarlah sayang. Detik-detik
keramat itu pasti tiba jua. In sya Allah.
Lelaki yang menjadi bakal suami adalah lelaki terbaik yang telah dipilih
dari ramai lelaki yang berbaris menawarkan diri. Yang dinilai hati dan budinya.
Yang kemunculannya dinantikan bak putera berkuda putih. Pantas menyambar
membawa ke daerah cinta yang cahaya benderangnya memukau indah. Ramai lelaki di
luar sana namun yang dipilih dia juga. Bukan lelaki lain entah berapa ramainya.
Bila hati telah tertawan, tersimpullah ikatan abadi yang ingin terus diabadikan
melalui pernikahan syahdu. Di hadapan ayah-ibu tersayang. Bersama sanak-saudara
dan sahabat-handai. Mengapa menanti saat “Aku terima nikahnya” sangat
mendebarkan? Gundah dan gelana tidak lagi terkira. Semakin masa mendekat
semakin pula tambah debarnya. Sesuatu yang ironis. Saat gembira yang
sangat-sangat dinantikan dirasa mengharukan. Rupanya penantian yang dahulunya
merindukan bertukar menyebakkan hati nurani. Seorang suami yang hadir di
hadapan mata menjadi titik tolak bagi mempelai perempuan bergelar isteri. Bakal
menjadi ibu. Menjadi suri penuh setia.
Masa yang dijanjikan itu tiba jua. Tiba membawa ribuan harapan. Membawa
indahnya bercinta yang diabadikan. Yang dijanjikan barakah. Janji yang ingin
sampai ke jannah. Bersama kebahagiaan abadi. Tetapi sebagai manusia kita perlu
tetap berpijak di bumi nyata. Setiap pasangan kedua ibu-bapa sentiasa berdoa agar
anak-anaknya menemui jodoh yang terbaik. Jodoh yang boleh diharap senang dan
susahnya. Jodoh yang memberi harapan kepada anak-anaknya. Yang memberi harapan
masa hadapan yang gemilang dan cemerlang. Begitu juga harapan anak. Ingin memberikan
kebahagiaan kepada kedua ibu-bapa mereka dalam banyak keadaan. Namun begitu
kekadang sesuatu kegembiraan bersalut rasa duka nestapa. Ibu-bapa yang sudah
berumur mungkin kesihatannya tidak memungkinkan ianya bergembira sepenuhnya. Pancaran
kegembiraan hanya terlalu singkat. Khusuanya bagi derita sakitnya melampaui cerita
biasa-biasa. Mereka tidak dapat bersama bertandang ke rumah besan. Ke rumah
yang menyambut menantu.
Saat itu seolah-olahnya putus jantung hati. Segala-galanya diserah
kepada suami. Dirinya tertanggung oleh suami. Bukan lagi ibu-bapa yang selama
ini bersama. Seperti hilang sebentar dari pandangan. Hati menjadi berbelah-bagi.
Di hadapan hadir seorang suami bersedia untuk menerima kehadiran seorang isteri.
Di belakang dan di samping, ibu-bapa melepaskan seorang anak kesayangan kepada
suaminya. Bergerak ke hadapan meninggalkan ibu-bapa. Berundur ke belakang
pastinya tidak mungkin. Kehidupan pasti perlu diteruskan. Dibina struktur yang
boleh merealisasikan kebahagiaan bersuami isteri. Membina masa hadapan yang
diimpikan bersama. Tidak ada siapa yang menghiris bawang. Tidak ada siapa yang
menghembus asap ke mata. Tiada abuk hinggap di mata. Mata tetap bergenang
dengan mutiaranya. Menitis dan membasahi pipi. Merembas tanpa ada paksaan. Lumrah
manusia menangis kerana kegembiraan yang tidak dapat dibendung perasaan. Ia datang
bersama sendunya. Tinggal emak, tinggallah ayah.
Pastinya hati seorang ibu tersentuh hiba. Saat melepaskan anak gadianya
kepada menantu barunya meruntun jiwanya. Juga menifastasi kegembiraan yang
diterjemahkan bersama air mata. Itulah paradoks hati manusia. Tangis antonim
dengan tawa ria. Namun dalam saat terlalu gembira tangis dan sendu terpapar
pada wajah. Anak yang dibelai dari rahim, kanak-kanak, remaja dan dewasa,
dilepaskan juga mengikut fitrahnya. Anak gadis itu perlukan suami. Menjadi menantu
terbaik untuk keluarga. Ia bukan suatu percaturan. Bahkan suatu perancangan
sunnah Allah untuk lelaki dan perempuan pilihan masing-masing. Direncanakan menuju
jannah yang penuh nikmat. Suatu perjalanan bersuami-isteri yang banyak likunya.
Perlu banyak sabarnya. Perlu banyak perencanaannya. Lazimnya doa dari kedua ibu-bapa menjadi bekal terbaik. Diharap
dengan penuh doa bahawa alunan ombak bukan badai, bahkan alunan yang menghempas
pantai kebahagiaan yang natijahnya impian indah belaka. Perbezaan tetap berlaku
tetapi carilah persamaan. Kembangkan nilai persamaan. Beri nalai tambah yang
bererti dan berharga.
Lelaki yang menjadi suami, ketahuilah bahawa ketika kau bergembira
menerima hadirnya seorang isteri, dia, isterimu sedang berperang dengan
perasaannya. Ketahuilah ia bakal terpisah dengan kedua ibu-bapanya. Dua orang
yang sejak sekian lama sentiasa bersama. Kehadiranmu mengubah segala persepsi
diri. Oleh itu bantulah ia untuk meninggalkan keluarganya dengan penuh tertib. Penuh
berhati-hati. Hanya dengan bersamamu sahaja dia merasakan saat terpisah yang
mencengkam perasaannya. Damaikanlah hatinya. Biarlah usapanmu selembut bayu. Kata-katamu
sesejuk salju. Biarlah senyummu semerkah bunga. Biarlah gerak tubuhmu selembut
tari. Dakaplah isterimu bersama sendunya. Kasih sayangmu amat syahdu buat
dirinya. Hanya kau suaminya. Hanya kepadamu digantung harap masa hadapannya. In
sya Allah andai dua hatimu dan hatinya menyatu selalu.
No comments:
Post a Comment