Tuesday, July 25, 2017

Positif vs Negatif



Dua perkara yang bertentangan pastinya. Itu pada pandangan pertama. Pandangan sepintas lalu. Pandangan tanpa ghairah. Tetapi apabila diamat-amati pastinya sesuatu yang kelihatan biasa akan menjadi luarbiasa. Kebanyakan kita suka melihat yang tersurat. Kita jarang melihat yang tersirat. Yang terselindung di sebalik kata-kata atau tulisan semata-mata. Kerana itu kita selalu terlepas pandang untuk menikmat  sesuatu yang indah. Yang muluk-muluk dari segi keindahan berbahasa. Keindahan berfalsafah aras tinggi. Kita selalu mendengar KBAT. Kemahiran Befikir Aras Tinggi. Juga Kemahiran Beremosi Aras Tinggi. Penting sangatkah KBAT ini dalam kehidupan kita. Iya dan mungkin tidak. Bergantung siapa anda. Bergantung siapa anda hendak jadi. Bergantung apa yang ingin anda capai dalam kehidupan pada tahun-tahun yang mendatang. Kita boleh berada di takuk lama. Terus-terusan berada di bawah. Terus-terusan menjadi tidak signifikan sama ada di mata orang lain atau di mata kita sendiri. KBAT yang diurus dengan betul boleh membantu kita mendaki ke aras yang lebih tinggi dengan izin Allah.

Untuk maju kita perlu positif. Sedia mencuba. Sedia melakukan kesilapan tetapi membetulkannya supaya tidak mendatangkan mudarat kepada diri sendiri atau orang-orang di sekeliling kita. Elakkan berfikiran negatif kerana ia adalah sesuatu yang menjadikan kita kekal kecil. Kekal takut. Kekal tidak signifikan. Malah kekal dalam zon selesa yang tidak bermanfaat pada akhirnya. Berada dalam kotak yang dilihat dinding dan seginya sahaja. Berada dalam kepompong yang diabaikan oleh orang lain. Apabila kita berfikir dan berfikir akan nantinya kita lahirkan buah fikiran itu dalam bentuk lisan atau tulisan. Fikiran kita dibaca oleh orang lain. Dibuat penilaian. Diberi darjat yang tertentu. Maka orang akan meletakkan kita pada suatu aras yang tertentu. Mungkin kita memanjat darjat dari satu aras ke satu aras yang lebih tinggi bergantung kepada usaha yang kita laksanakan. Perlukah peluang? Tidak. Kita yang perlu mencari peluang dan ruang. Jika hanya menunggu peluang, kita akan tertinggal di belakang. Tersisih dari arus yang menjadi laluan kejayaan kepada orang lain.

Positif dan negatif adalah dua ekstrim yang saling berkait. Positif memang baik andai direalisasikan dengan usaha gigih. Dengan garapan yang meninggi awan di sebalik realiti sebenar. Negatif tidak semestinya buruk andai dilihat dari sudut pandang yang berbeza. Sesuatu yan negatif boleh sahaja menjadi positif jika kita menjadikannya cabaran. Gagasan untuk berjaya. Bukan ukuran untuk gagal. Bukan halangan untuk berjaya. Kesukaran adalah negatif. Tetapi jika diatasi secara beperingkat-peringkat, pastinya pengalaman itu sendiri menjadikan diri seseorang itu positif menuju kejayaan. Tidak ada orang yang sekali lompat terus berada di puncak gunung.

1                     Terlebih dahulu ia memilih gunung
2                     Memandang persekitarannya
3                     Menjangkakan ketinggiannya
4                     Melakarkan laluan yang termudah atau yang paling kurang cabarannya
5                     Bersedia menghadapi cabaran: membawa tali, ubat, minuman, makanan ringan
6                     Membuat latihan fizikal dan persediaan mental
7                     Berdoa dan tawakkal
8                     Mencuba dan terus mencuba hingga berjaya.

Kejayaan perlukan jangka masa. Ianya perlukan perancangan. Ianya perlukan persediaan. Ianya perlukan peralatan. Ianya perlukan komitmen. Ianya perlukan sokongan dari orang-orang yang berada di sekeliling kita. Yang penting berfikiran positif. Terbuka. Berlapang dada dan tidak pula terlalu obses. Belajar untuk menerima kelainan. Kehadiran sesuatu yang tidak dijangka. Untuk berhadapan dengan positif dan negatif ini perlukan kita yang berbagai kategori.

1                     Pedidikan membantu membentuk keperibadian kita sendiri. Akademik yang mencabar       menjadikan lulusannya berani dengan cabaran.
2                     Pengalaman membantu kita berinteraksi dengan apa sahaja cabaran.
3                     Persekitaran membantu kita bergerak dari arah negatif menjadi positif.
4                     Sokongan dan motivasi diperlukan untuk membuat anjakan paradigma. Bukan yang           dianggap normal sahaja.
5                     Ia soal hati dan mental. Soal emosi dan spiritual yang kita kuasai.
6                     Berani mengambil risiko yang bersenuaian.

Dunia ini beredar dan bergetar dengan pantas. Mereka yang negatif perlu bergerak ke arah positif. Mereka yang positif menggandakan darjah positif diri mereka. Cara kita berfikir perlu sangat berubah. Mecari ruang untuk bertambah baik dari segi kuantiti dan kualiti. Kita tidak perlu:

1                Terlalu dikongkong dengan pemikiran yang mengikat. Mengongkong. Biar kita longgarkan cara kita berfikir. Mencari jalan keluar dari sesuatu yang jumud dan ketinggalan zaman.
2                 Kita harus melihat dengan mata hati dan bukan mata kasar semata-mata. Di belakang pemikiran kita perlu ada sistem yang sistemik, mengurangkan paradoks dan sedikit “melanggar adat”.
3                 Kita boleh stereotaip tetap adalah lebih baik mencipta kelainan. Innovasi atau menjadi lebih kreatif. Mencipta dari yang tidak ada kepada ada dengan olahan-olahan yang berbeza. Dilihat berbeza. Dinilai berbeza.

Pandangan hidup kita berlu bergeser ke arah positif. Berusaha untuk menjadi lebih baik. Tidak ada salahnya cenderung untuk KBAT. Yang penting kita kekal terus memperbaiki yang asas pada diri kita. Kita tidak meninggalkan milik hakiki kita. Yang cuba digarap ialah memperbaiki diri kita secara berlapis. Berperingkat. Melipatgandakan usaha lain untuk melonjakkan diri ke aras yang jauh lebih tinggi. Tangga yang tegak memang dilihat sukar untuk dipanjat. Cuba disendengkan sedikit. Kecuramannya tentu kurang menakutkan walaupun cabarannya tetap kekal ada. Kita tidak mungkin terus melompat ke kepala tangga. Yang pastinya menapaklah dari satu anak tangga ke anak tangga yang lebih tinggi. Sasarannya kekal menaiki tangga hingga ke kepala tangga.

Begitulah proses belajar. Piaget (seorang pakar psikologi) menyarankan supaya belajar mengikut prosesnya.

1                     Yang dekat baru yang jauh.
2                     Yang senang sebelum yang susah.
3                     Yang ringan sebelum yang berat

  Tidak ada jalan pintas untuk menjadi lebih positif. Menjadi lebih baik. Menjadi lebih tinggi.

1                     Susah tetap ada di sepanjang perjalanan untuk ke puncak kejayaan.
2                     Perlukan banyak pengorbanan masa.
3                     Perlukan pengorbanan tenaga.
4                     Perlukan pengorbanan emosi.
5                     Perlu menjaga hubungan dengan Allah dan manusia di sekeliling kita.

Apa yang ingin kita capai pada awalnya kelihatan janggal. Seperti di luar kemampuan diri. Sukar difahami. Diselubungi rasa takut dan malu. Yang diperlukan ialah:

1                     Komitmen, pengorbanan dan kecekalan hati berhadapan dengan hal-hal yang negatif.
2                     Fokus mengarahkan diri ke sudut yang ingin dicapai. Bina predestination.
3                     Banyak berusaha untuk memperbaiki diri.
4                     Banyak mengadu kepada Allah dan memohon bantuannya.
5                     Biasakan diri berhadapan dengan sesuatu yang sedikit susah, mencari penyelesainnya.       Susah yang diselesaikan akan memperkayakan ilmu dan pengalaman. Alah bisa tegal         biasa. Banyak perkara yang susah boleh dikuasai dan dipositifkan.

Membuka minda dan berlapang dada tidak semudah meneguk air dari gelas. Kita perlu belajar dan belajar dan terus belajar. Abaikan mereka yang negatif mindanya. Bawa diri kita terus maju ke hadapan. Kita tidak boleh berhenti menanti orang lain. Kita boleh membantu mereka tetapi kita tidak boleh terikat sangat dengan mereka sehingga kita tiada ruang untuk bergerak.  Andai kita boleh berjalan dahulu maka kita tinggalkan mereka yag disekeliling mereka. Kita akan kembali semula kepada persekitaran kita demi untuk membawa mereka yang tertinggal, maju ke hadapan setapak demi setapak melalu jalan yang telah pernah kita tempohi. Kita bawa nilai positif ke atas orang-orang yang berada di sekeliling kita.


Positif kesannya positif berganda. Negatif jika diolah dengan saksama boleh menjadi positif. Siapa yang menentukannya? Kita. Diri kita. Ubah diri kita terlebih dahulu sebelum kita ingin mengubah orang lain.  Pada hakikatnya kita tidak boleh mengubah diri orang lain. Yang empunya diri yang diperlukan untuk mengubah diri mereka. Kita membantu sebagai fasilitator. Itu sahaja. Mari sama-sama  kita berfikiran positif. Buang perasaan prasangka. Memandang ke hadapan dengan penuh kesedaran positif. 

No comments:

Post a Comment