Thursday, May 12, 2016

Merunduknya Padi Kerana Isi


Pernah pergi ke sawah padi ketika pokok-pokoknya masih muda? Daunnya meliuk-liuk seperti lalang. Hijau melaut. Saujana mata memandang. Tanahnya landai. Hanya di kejauhan terlihat bukit dan bukau. Indah dan menyegarkan. Padi bukannya lalang. Semakin menua semakin penuh berisi. Bagi kita padi sangat besar manfaatnya. Sumber makanan ruji. Sumber kehidupan. Dengannya manusia berfalsafah. Turun temurun manusia hidup dan menghidupkan. Dari  Asia ke Afrika dan ke Amerika. Padi hidup dan terus menghidupkan. Namun resmi padi tiada pada lalang. Lalang tidak pernah berisi.  Hanya tegak ketika tiada angin. Mengikut tiupan angin ke situlah liuknya. Tunduknya kerana kuatnya angin. Kemudian tegak kembali. Menanti angin dari arah lain. Sampai bilapun tiada isinya.

Sampai ketikanya padi pasti berisi. Dari hijau hingga akhirnya menguning. Bak emas di atas hamparan. Menguning emas. Lalu setiap tangkainya memberat kerana bertambahnya isi. Tangkai-tangkai itu merundukkan pepohonnya. Merunduk berisi. Menanti untuk dituai. Menjadi makanan enak dan kekal menghidupkan. Runduklah padi dengan isinya. Runduklah ia umpama malu dengan berat isinya. Menyimpan nilai diri yang berharga. Menjaga kemuliaan dirinya. Harga diri yang yang tentunya tiada tukar ganti. Kerana itu kita lebih sukakan padi dari lalang. Semakin berisi semakin merunduknya. Memegang berat isi yang pastinya berguna. Berguna untuk manusia. Berguna untuk beburung. Berguna untuk tanah dan kesuburannya.

Begitulah ibarat insan yang banyak ilmunya. Penuh dadanya. Luas mindanya. Usianya yang semakin meningkat diisi dengan kebaikan ilmu. Maka tunduknya semakin tunduk. Tawaduknya semakin terserlah. Rupanya seperti padi yang merunduk. Semakin tinggi dan luas ilmunya semakin rendah runduknya. Lebih banyak memandang ke bawah dari menandang selari atau memandang ke atas. Kerana ia sedar semakin tinggi dan banyak ilmunya semakin berat tanggaungjawabnya. Semakin banyak yang perlu dilakukan untuk menyampaikan dan berkongsi apa yang dimilikinya. Kesemua yang dimiliki bukan untuk dirinya tetapi untuk semua orang yang berada di sekelilingnya. Tiada untuk kebangaan diri. Tiada untuk kepentingan diri.

Orang yang berisi dirinya selalu melihat ke dalam. Bahawa yang dilihat berisi itu sebenarnya kosong. Dirinya yang dilihat penuh masih terasa terlalu banyak kosongnya. Ilmu yang dimiliki tiada apa jika dibandingkan dengan orang lain. Ia terlalu fakir berbanding dengan orang lain. Terlalu seni di hadapan Allah. Terlalu kerdil. Mereka yang bijak pandai selalu merasa serba kekurangan. Merasa tiada cukcup ilmu untuk menyampaikannya kepada orang lain. Terlalu hina dina. Kerana itu dia banyak menundukkan kepala. Menundukkan pandangan. Kerana padanya sangat malu kepada yang lebih mengetahui. Mereka yang lebih pandai. Ramai lagi mereka yang lebih bijaksana berbanding dirinya.

Berilmu bukan untuk dipraga. Bukan untuk jadi dambaan. Bukan juga untuk mencari kemewahan dengannya. Sebenarnya ilmu itu menjadi neraca untuk menimbang diri sendiri. Melihat cacat cela diri sendiri. Melihat kekurangan syang sangat banyak. Semakin banyak ilmu maka semakin kita melihat  banyaknya kecacatan diri. Banyaknya salah silap. Ketika kita melihat diri sendiri kita tidak mampu lagi melihat kekurangan diri orang lain. Kita tidak mampu mencari-cari cacat cela orang lain. Bukan juga merasa banyak kelebihan. Itulah resmi padi yang terus merunduk kerana isinya semakin berat. Insan berilmu begitu juga resminya. Semakin banyak menunduk. Memandang kelemahan diri. sedikit kesilapan yang hanya akan menghinakan diri, maruah dan harga dirinya sendiri.
  
Lazimnya mereka yang tinggi ilmunya selalu kembali kepada dirinya. Kekurangan yang ada pada dirinya dimanifestasikan dengan cara berakhlak mulia. Berlemah lembut. Beralas apabila memberi nasihat. Berhemah apabila membuat teguran. Ia tidak melihat bahawa orang lain banyak salahnya. Ia melihat dirinyalah yang banyak salahnya. Dirinyalah yang banyak kekurangan dalam serba serbi. Kurang ilmu. Lemah pula ilmunya. Tidak berani memperakui kelebihannya. Maka ia melihat dirinyalah yang lemah. Dirinyalah yang banyak berbuat kesilapan dan kesalahan. Dirinyalah yang perlu banyak belajar. Perlu menambah pengalaman. Perlu mendapat bimbingan dari orang lain. Bak padi ia terus-menerus merunduk. Yang menuainya sahaja yang mengerti bahawa runduknya padi penuh dengan isi.

Kelebihan diri bukan dilihat oleh yang empunya diri. Orang di sekeliling yang melihatnya. Cuma mata kita selalu terpana dengan yang gah. Yang mempamer keghairahan. Yang kelihatan memancarkan kilauan-kilauan untuk dilihat. Pada hakikatnya intan tidak selalu berkilau tanpa diasah. Tanpa dicanai. Tanpa dimanfaatkan. Intan itu banyak di sekeliling kita. Hanya kita yang selalu melihat ianya kusam dan tidak berharga. Dalam salutan debu dan kekusaman itulah terpendamnya kilauan intan. Pancaran cahaya yang mangasyikkan. Yang menjadi idaman orang lain.

Andai padi menjadi idaman. Kuningnya memberi harapan kepada umat sejagat. Padi sebagai padi hanya untuk beburung dan serangga lainnya. Tetapi padi yang membenih menjadi warisan berzaman. Beras yang terhasil megenyangkan. Generasi demi generasi hidup yang lestari mengikut zaman. Begitulah mereka yang berilmu merealisasikan suatu pancaran harapan yang tinggi. Menerangi yang gelap dan suram. Menunjuk jalan yang samar. Menghasilkan sinergi yang luar dari biasa. Ia berusaha memanfaatkan apa yang ada. Menyampaikan walau sedikit. Walau sedikit, kata Rasulallah. Maka dalam menyampaikan yang sedikit itu, hanya kebaikan yang dituntut. Hanya ingin memberikan yang terbaik untuk orang lain. Bahawa mereka yang terbaik ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain tanpa berkilas pada kebaikan diri. Bukan untuk kepentingan diri. 

Dalam keadaan sekarang ini banyak cabaran hidup. Ilmu semakin mahal untuk dicari. Semakin payah dapatnya. Untuk itu banyak pula kita digalakkan untuk menginfaqkan ilmu. Buat amal jariah. Sesuatu yang bakal ditinggalkan apabila kita tiada nanti. Menjadi warisan kepada generasi akan datang. Sebagai yang hidup itulah sahaja yang kebanyakan dari kita mampu menyumbangnya. Mampu untuk menyampaikan kepda orang lain walau sedikit. Semampunya dan seadanya. Walau bagaimanapun untuk menambah sumbangan maka perlulah kita banyak berkorban untuk menambah ilmu. Belajar menghadapi cabaran dan kekangan. Mengunjurkan diri dengan jadual pencarian yang terlalu banyak dan semakin banyak apabila dicari.


Berjinak-jinak dengan ilmu tiada menjadikan kita cacat dan cela. Sesungguhnya Allah telah membezakan antara merek ayang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu. Tanpa ilmu kita menjdai orang yang biasa-biasa sahaja. Dengan ilmu, Allah meningkatkan darjat kita. Apabila kita menambahkan ilmu maka darjat kita diangkat Allah semakin tinggi dan semakin tinggi. Namun demikian tanggungjawab kita juga bertambah. Semakin berat untuk berkongsi ilmu tersebut. Objektifnya ialah untuk memanfaatkan peluang. Pada masa yang sama untuk menyumbang manfaat kepada orang lain. Pada hakikatnya menyedari kekurangan diri adalah suatu keberuntungan kerana dengannya kita akan terus mencari dan mencari untuk menambahkan kepada nilai diri yang selalu rendah. Merasa fakir berbanding dengan orang lain.

Sunday, May 8, 2016

Mahal dan Murahnya Ilmu



Dalam satu wacana ilmu, seorang peserta mengatakan bahawa bayarannya mahal. Berapa yang dikatakan mahal itu? Sekadar RM30 untuk berkursus sepanjang sehari. Dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Dalam wacana yang lain bayarannya RM130. Dianggap pula biasa dan menasabah. Malah ada yang mengatakannya murah. Di mana sebenarnya nilai ilmu? Di mana pula nilai mereka yang berilmu dan berkongsi ilmu?

Mereka yang mengatakan murah sebab mereka memahami bahawa ilmu itu sememangnya mahal.
1                    Perlukan masa yang panjang.
2                    Banyak susah dan payahnya.
3                    Banyak pahit dan maungnya.
4                    Banyak pedih dan raungan hati.
5                    Banyak memendam rasa.
6                    Perlukan istiqamah.
7                    Perlukan motivasi diri yang tinggi.
8                    Memaklumi bahawa hanya usaha yang gigih sahaja memungkin setiap diri dapat menguasai ilmi.

Kita tidak lupa bahawa tidak ada jalan pintas untuk menguasai sesuatu ilmu. Ia tidak datang bergolek. Tidak pipih melayang. Kebanyakan ilmu jauh letaknya. Perlu berpergian berjam-jam lamanya. Atau berhari-hari. Atau berminggu-minggu. Malah berbulan dan bertahun-tahun. Bukan lagi berkenderaan darat tetapi terbang melintasi gunung dan lautan. Dari sebuah negara ke negara yang lain. Perlu pula merentas budaya dan kebiasaan setempat untuk memahami sesuatu jalur ilmu. Sebelum dapat memahami sistemnya. Kerana itu ilmu adalah mahal sifatnya. Tinggi nilainya. Hanya mereka yang mengerti sahaja dapat memberi nilai itu. Bahawa di sebalik ilmu itu banyak mengalir air mata, banyak mengalir keringat, lenguh lutut dan kaki memanjat tangga dan berjalan jauh. Belum ongkos kewangan untuk tambang, makan, sewa rumah dan lain-lain tinggal di negara luar. Kesemua itu menambah nilai ilmu. Menambah mahal kosnya.

Maka harga itu perlu setimpal dengan kehendak hati. Selari dengan sikap posotif. Sesuai dengan stamina yang kita bina. Apabila kita berkongsi pengalaman maka ilmu itulah yang membezakan kita dengan orang lain. Tidak dapat dihindarkan perspekt if diri kita bersandarkan kepada pengalaman kerja. Pengalaman mengembara. Pengalaman menyelesaikan berbagai masalah. Dalam banyak hal yang sukar dilihat mudah. Yang rumit mudah usainya. Yang kusut mudah lerainya. Yang berserabut mudah susunnya.

Banyak perkara tidak dapat dilihat secara fizikal. Tidak dapat dipegang. Mata kita tidak dapat melihatnya wujud secara bungkah keras. Yang dilihat ialah kepelbagaian idea, penyelesaian masalah yang lebih mudah dan keputusan yang lebih relevan.  Mereka yang berpengalaman dilihat:
1                    Lebih santai hidupnya.
2                    Bijak mengawal emosi.
3                    Memberikan yang terbaik kepada orang lain.
4                    Memotivasi orang di sekelilingnya.
5                    Bersifat dinamik dan tidak jumud.
6                    Tetap terbuka untuk menerima input baru walaupun yang menyampaikannya berusia lebih muda dan kurang berpengalaman.
7                    Kekal meneroka bidang-bidang baru.

Mahalnya ilmu adalah relatif. Ilmu lama diperbaharui. Ilmu baru dicari. Yang lama dikongsi. Yang baru menyelimuti yang lama sehingga kelihatan tetap segar dan relevan. Dalam alam yang serba berubah, insan seperti kita dituntut supaya sentiasa berubah. Bukan reaktif tetapi proaktif. Setiap petunjuk dijangkakan natijahnya. Mungkin musibah dan mungkin juga keuntungan melimpah.  Tetapi yang pastinya semua ilmu memberi impak positif andainya digunakan sewajarnya. Tiada maksiat berkait. Tiada salahguna di mana-mana.

Adakah ilmu untuk mereka yang berusia muda sahaja? Atau perlu untuk yang sudah dewasa. Masih relevankah untuk mereka yang lanjut usia? Ilmu dalam bentuknya yang tersendiri adalah suatu entiti yang diperlukan setiap masa. Dalam lingkungan kehidupan kita, ada mereka yang memiliki ilmu yang diperlukan. Namun banyak lagi ilmu yang tidak dimiliki. Kerana itu banyak ketikanya kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila sesuatu terjadi. Khususnya musibah. Malah dalam keadadan santai banyak perkara yang perlu diketahui supaya hidup kita benar-benar bahagia. Sejahtera.


Maka dalam hidup ini kita tidak boleh diam-diam tetapi tidak berisi seperti ubi. Khuatir pula diamnya seperti besi. Berkarat dan akhirnya hancur begitu sahaja tanpa memberi apa-apa manfaat. Hanya besi yang disepuh sahaja banyak manfaatnya. Bukan sahaja berkilat tetapi tajam diasah dan bermanfaat setiap masa. Ada sahaja ketikanya berguna untuk tugasnya sebagai besi. Mungkin menjadi peralatan yang berbagai kegunaan. Begitulah minda yang diasah, tajam merentas banyak situasi. Mudah berfikir. Jalan fikirnya pula tajam. Alert and sharp. Luas dan merentas berbagai bidang.  Yang pastinya ilmu membariskan diri seseorang pada tahapnya yang sepadan dengan tahap ilmu itu sendiri.

Friday, April 29, 2016

Susahnya Mengaji



Ramai antara kita menghadapi dilema sama ada ketika hendak belajar mengaji al-Quran atau ketika hendak mendalami pengajian al-Quran. Bagi mereka yang hendak belajar, memulakan langkah pertama dianggap paling susah. Ironis apabila ramai yang mengaku tidak pandai mengaji tetapi untuk memulakan pembelajaran al-Quran terus-terusan memberi alasan. Memberi dalih yang diada-adakan. Apabila dicadangkan untuk belajar, jawapan yang paling stereotaip ialah malu kerana dirinya tidak pandai mengaji. Malu kerana nanti orang tahu dirinya tidak pandai mengaji. Tetapi pada hakikatnya orang di sekeliling memang tahu dirinya tidak pandai mengaji. Sebagai insan bermasyarakat semua orang tahu siapa kita. Kita banyak mengetahui hal diri orang di sekeliling kita. Berusaha juga kita menyembunyikan kelemahan dan kekuranag diri kita. Hanya setakat berusaha yang kita mampu. Diri kita yang sebenarnya diketahui orang juga. 

Bagi mereka yang sudah memang giat belajar dan mendalami al-Quran banyak pengalaman yang sukar dinukilkan. Sukar digambarkan. Sukar diperincikan. Pengalaman tentulah berbagai antara manis dan pahit. Antara senang dan terhibur. Antara teruja dan terangsang. Pengalaman berbagai itu menambahkan seri dalam mempelajari al-Quran.
1                    Berusaha mengubah dari kebiasaan berlahjah Melayu ke lahjah Arab.
2                    Belajar dari banyak membuka mulut dengan lebar ke sekadar mencukupi sahaja.
3                    Berusaha dari tercungap-cungap membajet nafas hingga bernafas pajnag.
4                    Berubah dari  takut, gugup, gabra, panik ke yakin diri. Dari suara perlahan sudah berani bersuara kuat.
5                    Dari membaca terlalu cermat, lambat dan kurang bersemangat hingga menjadi tegas, bersemangata dan cebih cergas.
6                    Dari mengaji dengan suara mendatar sudah pandai pula membuat pitching yang berbagai. 

Membaca al-Quran perlukan kecerdasan.
1                    Kecerdasan mendengar.
2                    Kecerdasan menyebut huruf-huruf hijaiyyah dan sifat-sifatnya sekali. Serentak.

Kebanyakan huruf  Arab bukan asing dalam bahasa Melayu. Banyak bahasa dan perkataan kita diambil secara langsung dari bahasa Arab. Bunyinya sahaja kadang-kadang berubah. Maknanya juga diubah mengikut kesesuaian adat resam dan sistem bunyi bangsa. Contohnya tahta (fathah) menjadi tahte (taqlil). Maknanya apabila kita mengaji, kita perlu membuat sedikit penyesuaian (alignment) dari bunyi Melayu ke bunyi Arab. Untuk itu:
1                    Penguasaan tentang makhraj huruf perlu dilakukan bersungguh-sungguh. Difahami dan diingat di mana sesuatu huruf itu dikeluarkan. Atau di mana tempat keluar huruf yang sebenar. Lazimnya makhraj huruf dikenalpasti dengan cara mematikan huruf tersebut. Apabila kita matikan sesuatu huruf,  bunyinya dikembalikan ke makhrajnya. Kita perlu mahir mengesan makhraj dengan sentiasa sedar di mana lidah kita berada. Di bahagian mana kerongkong kita getaran berlaku. Keadaan bibir dan gerakan lidah.
2                    Sifat huruf berganding dengan makhraj huruf. Setiap huruf ada sifat-sifatnya yang tersendiri. Ada yang sama dengan sifat huruf-huruf lain dan ada pula yang tidak ada pada huruf lain. Umpamanya istitolah, tafasyi dan takrir hanya untuk huruf , dan masing-masing. Tiga sifat ini istimewa untuk keriga-tiga huruf tersebut.

Mengaji al-Quran perlu dibiasakan setiap mmasa dan setiap hari. Tidak seperti membaca buku atau kitab lain yang boleh berehat beberapa hari atau beberapa minggu. Tidak bagi al-Quran. Jika lama tidak mengaji maka lidah akan mengeras. Tidak jinak dan tidak lunak. Hilang rasa santai dan kelancaran membaca. Untuk itu al-Quran perlu dibaca dalam kadar selalu. Sebanyak-banyaknya. Atau mengulang-ulang ayat yang sedikit untuk menghafalnya. Kita kagum dengan Dr Zakir Naik yang menghafal al-Quran  tetapi pada masa yang sama menghafal berbagai-bagai versi Bible dan kitab-kitab Hindu. Begitu juga Ahmad Deedat yang sekarang menetap di USA. Banyak Bible yang dihafalnya. Sangat mudah bagi mereka berdua berdebat dengan penganut Kristian. Malah ramai sebenarnya orang Kristian yang tidak membaca Bible mereka.

Tidak ada apa susahnya membaca al-Quran. Tidak juga susah mempelajarinya. Seperti juga dengan hal-hal lain dalam kehidupan kita yang paling sukar dikawal ialah attitude (sikap). Ramai mungkin antara kita tidak memiliki aptitude tetapi ianya boleh diubah dengan sabar. Maksudnya tidak pandai membaca boleh belajar. Berbeza dengan sikap yang sukar dibentuk kerana ianya berkait dengan kepercayaan (belief), ego, adat resam, keterbukaan dan kebiasaan diri. Andainya kita boleh mencampakkan sikap buruk atau negatif jauh-jauh, maka banyak input baru yang lebih segar boleh kita tambahkan dalam diri kita. Kita lebih terbuka. Lebih mudah menerima yang baru. Bersedia untuk belajar dan belajar. Sesungguhnya apa yang kita ada sangat sedikit. Terlalu sedikit untuk dikatakan ada. Jangan sekali-kali:
1                    Berpuas hati dengan yang sedikit jika ianya ilmu. Terlalu sedikit atau terlalu kurang tidak membantu untuk kita berjaya dalam banyak bidang. Lebih baik mahir dan melebihi daripada orang lain. Banyak manfaatnya.
2                    Berasa cukup kerana sudah terasa banyak. Kesemuanya relatif. Cukup terlalu sedikit berbanding dengan orang lain. Banyak adalah sedikit kepada orang lain. Dalam keadaan yang relatif sebegitu adalah lebih baik kita berada pada relatif peringkat tinggi. Peringkat banyak. Peringkat luas.
3                    Selesa dalam kepompong kecil, lusuh dan jumud. Selesa sewajarnya hanya dalam jangkawaktu yang singkat. Ada unjuran untuk berganjak ke paradigma lain yang sejajar, lebih jauh  atau lebih tinggi.

Apabila kita terlibat dengan al-Quran maka yang sewajarnya kita lakukan ialah:
1                    Menambah lagi aspek lain yang berkaitan.
2                    Melihat dari pandangan sisi yang lain. Bukan satu sisi sahaja.
3                    Hormati pandangan orang lain. Mungkin banyak yang kita terlepas pandang.
4                    Bersahabat dengan mereka yang berbagai pandangan. Anda akan kaya dengan kepelbagaian pengalaman dan pengetahuan.
5                    Cari ilmu baru yang berkaitan untuk mengelak dari rasa bosan.


Diam kita biarlah berisi. Gerak kita biarlah untuk memenuhi ruang-ruang kosong yang perlu kita isi supaya kehidupan kita lebih bermakna. Lebih menyakinkan. Lebih membahagiakan. Lebih sejahtera sama ada dari segi fizikal, mental atau emosi.   

Sunday, April 24, 2016

Pentingnya Berjinak-Jinak Dengan Ilmu



Berbuat sesuatu biarlah berilmu. Dengannya perbuatan dan tindakan kita selari dengan kehendak agama. Berbuat baik dan mendapat ganjaran pahala. Terhindar pula dari berbuat yang derhaka, sia-sia dan mendapat dosa.

Benar, ramai antara kita berilmu dalam profesion masing-masing. Namun demukian hidup kita tidak selalunya terlalu khusus sehingga tidak boleh langsung untuk  diisi diri kita dengan sesuatu yang baru dan segar. Sesuatu yang menambah nilai diri.

Apabila kita terlalu fokus terhadap profesion yang kita cintai, kita lupa untuk memikirkan destinasi terakhir kita dalam berkerjaya. Sampai masanya kita bersara atau dipesarakan. Usia hanya penanda aras yang kadang-kadang subjektif. Andainya sihat maka usia bersara akan dihadapi. Kepada ramai orang ianya sangat menguja danmenggembirakan. Andainya faktor kesihatan yang menyebabkan kita bersara ianya akan menjadi episod yang sukar.

Penulis kagum dengan Americans. Tidak ramai antara mereka yang setia dalam satu profesion sahaja. Mereka akan belajar sesuatu sebagai tuntutan akademik. Dalam mana menjawat sesuatu jawatan mereka menceburi bidang akademik yang lain. Mereka setia selama 10 tahun sahaja. Memenuhi keperluan undang-undang seperti insuran pekerja, skim persaraan ataupun kumpulan simpanan pekerja. Kemudiannya mereka menceburi profesion lain yang memiliki kemudahan seperti profesion sebelumnya.

Maka kepada mereka profesion yang berubah adalah sesuatu yang lumrah. Hari ini mereka jurutera, 10 tahun kemudian mereka seorang guru. 20 tahun dari sekarang mereka mungkin seorang akauntan. Kerana itu Americans full uf surprises.  Politik mereka sahaja yang condong kepada Israel. Rakyat mereka down to earth.  Cumanya kita belum mencapai pemikiran seperti mereka. Kita banyak:

1                   Melabuhkan kesetiaan yang terlalu panjang pada satu-satu kerjaya hingga kadang-kadang melampau.
2                   Selesa dalam zon selesa.
3                   Enggan berubah dan bergerak.
4                   Takut meneroka bidang baru.
5                   Membosankan diri dan jemu dengan kehidupan yang mendatar, kaku dan pasif.
6                   Tiada usaha menambah nyawa dalam kehidupan.
7                   Kita kehilangan roh kehidupan.

Adakah profesion kita sekarang yang terbaik untuk masa sekarang dan masa hadapan kita? Tidak adakah persediaan untuk hidup selepas bersara. Cuba fikirkan yang mana pilihan kita apabila bersara:

1                   Bersara untuk berehat.
2                   Bersara untuk berdiam diri.
3                   Bersara untuk berkebun.
4                   Bersara untuk menceburi bidang baru yang gagal diceburi sebelum bersara.
5                   Bersara untuk berhidmat sukarela.
6                   Bersara untuk berkongsi pengalaman.
7                   Bersara untuk menambah amal soleh sesama manusia.
8                   Bersara untuk menyumbang bakti kepada ahli  masyarakat.
9                   Bersara untuk membahagiakan diri sendiri dan diri orang lain di sekeliling kita.

Ramai antara kita yang bersara  hilang bayangnya dari publik. Pangkat besarnya hilang. Pengalamannya mansuh. Kehebatannya muram. Gahnya menjadi malap.  Alangkah baiknya jika kehebatan semasa bertugas dahulu dilimpahkan kepada generasi baru. Generasi muda. Malah mereka yang sezaman dan seangkatan dengan kita berminat juga dengan bidang baru yang kita kongsikan bersama mereka.

Mempelbagaikan pengalaman sebelum besara adalah amat penting. Mempelajari berbagai bidang ilmu sama ada secara formal atau tak formal membantu persaraan yang lebih membahagiakan. Persaraan membolehkan kita keluar dari kebiasaan dahulu semasa bertugas. Menceburi bidang baru yang lebih santai, memberi banyak inspirasi dan nikmat bersosial dengan golongan lain.

Tentunya syarat penting untuk keluar dari kepomponhg diri ialah ilmu.

1                   Carilah ilmu baru yang bermanfaat seperti bidang agama dan yang berkaitan.
2                   Sertai apabila ada ilmu yang baik dan berguna disebarkan.
3                   Luangkan masa untuk meminati bidang lain selain dari profesion yang sedia ada. Sesungguhnya ia memberikan rencah yang lebih membahagiakan apabila kita discharge tugas kita.
4                   Heret kaki dan perasaan untuk keluar dari kebiasaan yang biasa-biasa.
5                   Luaskan skop dan jaringan ilmu dan kemahiran.

Adakah wang menjadi penghalang? In sya Allah ilmu yang baik memberi rezeki lain yang lebih baik. Wang yang dibelanjakan untuk mencari ilmu, Allah kembalikan dalam bentuk lain.

1                   Kesihatan dan tenaga yang berpanjangan. Stamina yang ampuh.
2                   Kebahagian yang lebih bermakna dalam hidup.
3                   Boleh berbakti tanpa rasa gugup atau kekok.
4                   Hidup lebih santai berhadapan dengan sesiapa sahaja.

Buka minda kita untuk menerima sesuatu kelainan. Sesuatu yang baru. Sesuatu yang asing pada awalnya. Mulakan langkah demi langkah. Kita pasti menjadi lebih bahagia.

1                   Terhindar dari rasa jemu dan bosan.
2                   Terhindar dari rasa sunyi.
3                   Terhindar dari saya terabai.
4                   Terhindar dari rasa sekadar cukup.
5                   Terhindar dari tertekan tanpa sebab.
6                   Terhindar dari kebuntuan kerana malas atau tidak berfikir.
     
Ilmu itu mahal nilainya. Mahal harganya. Mahalnya kerana banyak berlapis, berstrata dan bertingkat-tingkat. Mahalnya kerana lama untuk menghimpunkannya. Mahalnya kerana kesukaran membina minat, membina kewarsaan berfikir. Mahalnya kerana jauh melalui kembara.  Mahalnya kerana hanya dengan ilmu darjat manusia meningkat tinggi. Berada di paras yang tinggi berbanding dengan orang lain. Namun dengan ilmu kita boleh menunduk malu kerana Yang Maha Berilmu hanya Allah sahaja.

Yang penting ialah kita perlu keluar dari kepompong kita. Kepompong yang menjadikan kita terlalu stereotaip.  Kita boleh menjadi bebagai watak yang bermanfaat kepada orang lain. In sya Allah jika diusahakan dengan minat dan motivasi diri yang tinggi.

Sunday, March 20, 2016

Repositioning Al-Quran



Di manakah silapnya? Di manakah kurangnya? Di manakah malangnya? Peratusan Muslim yang tidak mahir al-Quran sangat tinggi. Di mana-mana. Hatta di negara Arab sekalipun. Ianya merentas berbagai lapisan usia. Dari kanak-kanak hingga mereka yang lanjut usia. Kanak-kanak baru hendak mengenalnya.  Kanak-kanak dianggap kecil dan seperti belum memerlukan. Itupun selalu dilengah-lengahkan. Kanak-kanak yang sudah bersekolah sudah tidak fokus lagi dengan al-Quran. Mereka disibukkan dengan tuisyen. Kerja sekolah. Bermain dan kokurikulum. Remaja sudah didominsi dengan kegilaan lain. Bukan al-Quran. Mereka yang bekerja sibuk dengan dunia mereka. Luang dan ruang untuk memahirkan al-Quran diketepikan. Siang dan malam sibu dan sibuk. Yang sudah bersara dan lanjut usia sudah hilang keinginan untuk kembali kepada al-Quran. Malu mungkin bukan kepalang. Malah yang berstatus tinggi dalam masyarakat sangat-sangat secara sedar menjauhkan diri dari majlis-majlis al-Quran.

Banyak perkara yang berselaput di sekeliling perasaan kita. Mungkin inilah agenda Yahudi dan Nasara supaya kita semua leka dari kembali kepada al-Quran. Mereka agendakan supaya kita melupakan al-Quran tetapi tidak lupa kepada dunia yang mereka ciptakan. Khususnya hiburan. Hedonism. Al-Quran adalah institusi asas agama yang selalu terabai. Rasanya hampir semua penganut Islam diajar untuk membaca al-Quran. Pada suatu ketika penulis ditanya oleh seorang pengajar al-Quran berbangsa Arab. Siapa yang mengajar penulis membaca al-Quran. Penulis menjawab secara jujur. Lalu tanyanya lagi, apa kelulusan guru itu. Penulis jawab lagi bahawa guru itu seadanya dalam masyarakat kita Melayu di Malaysia. Terkedu penulis apabila dia membuat pertanyaan maut. Mengapa penulis belajar dari mereka serupa itu!

Dalam masyarakat Melayu Islam, guru al-Quran bukan suatu entiti yang diwibawakan. Hampir kesemua para huffaz adalah guru al-Quran tetapi tidak kesemua guru al-Quran adalah huffaz. Tidak juga kesemua guru al-Quran memiliki kelayakan akademik yang tinggi sama ada dalam bidang akademik sekular atau dalam bidang agama. Rasanya kemahiran asas untuk menjadi guru al-Quran perlukan penguasaan al-Quran itu sendiri. Keduanya asas agama. Ketiganya asas Bahasa Arab. Asas agama dan Bahasa Arab adalah regu penting kepada al-Quran. Al-Quran merangkumi kedua-duanya selain dari tauhid, muamalah, munakahat, jinayah dan sebagainya yang dibicarakan melalui ayat-ayat al-Quran yang berlainan.

Membaca al-Quran dengan mahir, menguasai hukum hakam tajwid, melaksanakan bacaan berlahjah Arab di samping penguasaan makhraj huruf dan sifat huruf bukan sesuatu yang boleh diserap dalam masa sehari dua. Tidak juga seminggu dua. Tidak juga sebulan dua. Malah tidak juga setahun dua. Ia perlukan masa yang lama. Mungkin bertahun-tahun bergantung kepada kecerdasan al-Quran yang dimiliki oleh seseorang individu. Seorang qari atau qariah yang bertanding di daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa mungkin telah terlibat dengan al-Quran berpuluh tahun. Belajar dari bawah. Dari asas. Belajar taranum sahaja tidak boleh setahun dua. Bertahun-tahun dipelajari dengan sabar dan tekun. Menerima teguran dan pembetulan yang bukan sedikit. Tajwid perlu sempurna. Suara perlu diperbetulkan. Lantunannya. Tenaga suara itu sendiri. Lenggoknya. Tekanan atau pitchingnya yang betul. Dalam hal tersebut penguasaan vokal adalah sangat penting.

Makhraj, sifat dan lahjah adalah gabungan yang selalu diambilkira sebagai perlaksanaan fasohah. Kesempurnanya bererti menyempurnakan sebahagian daripada tuntutan al-Quran. Malangnya ramai orang beranggapan membaca al-Quran sekadar membaca. Membunyikan apa yang tertulis. Malanglah kerana anggapan sebegitu sangat bersalahan dengan tuntutan membaca al-Quran yang dituntut. Al-Quran bukan kitab biasa yang boleh dibaca tanpa prosedur yang khusus. Tanpa tertib yang khusus. Tanpa melaksanakan bacaannnaya secara khusus. Kerana itu transliteration tidak boleh dijadikan sandaran 100% dalam mempelajari atau membaca al-Quran kecuali oleh mereka yang sudah mahir dengan hal-hal yang berkaitan dengan al-Quran. Tidak ada huruf rumi yang boleh menggantikan huruf-huruf  ص, ض, ط, ظ dan banyak lagi huruf lain. Paling baik hanya menghampiri tetapi tidak menyamai. Seperti tetapi tidak menepati. Bahasa Arab dan huruf Arab juga yang perlu diutamakan.

Secara akademiknya para huffaz mengambil masa antara 18 minggu hingga tiga tahun (36 bulan) atau mungkin lebih lama lagi. Untuk mendapat ijazah dalam bidang al-Quran dan Qiraat perlukan masa selama empat tahun. Itupun perlukan amali dan latihan yang panjang, tanpa jemu, sabar dan ketukanan yang luar biasa. Kadang-kadang ada yang beranggapan mempelajari al-Quran cukup sekadar dua jam seminggu. Tidak sampai bertahun. Masa selama 28 jam dikira mencukupi untuk mahir membaca al-Quran. Mungkin benar bagi mereka yang memang sudah mahir membaca. Andainya yang mempelajari al-Quran belum mahir menyebut huruf-huruf hijaiyyah, tidak tahu di mana makhraj sesuatu huruf, tidak mengenali sifat-sifat huruf,  tidak dapat lagi membezakan antara ikhfa’, idzhar, iqlab, idgham, wajibul ghunnah, berbagai mad yang banyak, tafkhim dan tarqiq, tashil dan naql, imalah dan saktah, sukun dan tasydid, maka mereka yang terlibat dengan al-Quran tidak dapat membaca dengan standard yang diterima umum.

Bagi mereka yang belum menguasai pembacaan atau ilmu-ilmu al-Quran, masa 28 jam tentu sangat daif untuk mempersembahkan bacaan di khalayak ramai. Mereka belum mengenal ghunnah secara khusus. Perbezaan panjang mad belum dikuasai.  Jika membaca di khalayak umum ia menjadi maruah yang mengaibkan. Al-Quran dimaktubkan dengan standardnya yang tersendiri. Tidak boleh dibaca sebarangan. Hanya semasa berlataqqi dan bermusyafahah sahaja ianya dapat diperbetulkan berulang-kali sehingga mencapai standardnya. Kesilapan membaca dikira berdosa kerana mungkin bertukar huruf, bertukar makhraj yang mengakibatkan bertukar huruf. Kerananya bertukar makna dan maksud. Mengubah huruf adalah kesalahan. Menambah atau mengurangkannya adalah kesalahan. Mereka yang tidak terlibat dengan al-Quran selalu membuat andaian mudah.

Mereka yang terlibat dengan teater umpamanya boleh mempersembahkan suatu cerita. Suatu lakonan. Kesilapan dialog hanya mencacatkan cerita. Tidak ada dosa dan pahala kerana kesilapan dialog tersebut. Begitu juga mereka yang terlibat dengan seni tari. Tingkah yang sumbang bukan melibatkan dosa dan pahala. Cuma wanita di hadapan khalayak perlu menimbang dosa yang mungkin terhadir bersama persembahan mereka. Sangat berbahaya apabila seseorang membaca al-Quran dengan kesalahan-kesalahan yang sangat banyak. Tidak dapat diperbetulkan dengan spontan di khalayak umum. Pertamanya kerana mungkin terlalu banyak. Keduanya kesalahan itu kritikal atau jaliyy. Ketiga kesalahan itu melibatkan aib kepada yang membaca, guru yang mengajar dan audien yang mendengar.

Institusi al-Quran perlu kembali ke rumah. Kepada ibu dan bapa. Merekalah guru terbaik yang sewajarnya hadir di rumah.  Sekiranya mahasiswa atau mahasiswi belum berkeupayaan menguasai pembacaan dan hal-hal yang berkaitan dengan al-Quran maka itu adalah isyarat awal malangnya sebuah keluarga Islam yang ingin dibina. Mereka sudah berada di peringkat akhir. Hanya beberapa tahun mereka perlu beramal dengan al-Quran dalam kerjaya mereka. Mereka perlu beramal dengan al-Quran dalam rumahtangga yang bakal mereka bina. Masa sudah sangat suntuk. Sudah terburu-buru menerpa. Ianya tidak perlu dinanti tetapi akan datang menerpa. Tanpa persediaan yang rapi al-Quran akan semakin terpinggir. Tersisih jauh. Diletak di tempat tinggi tetapi tidak dijengah. Diletak di tempat istimewa tetapi tidak diziarahi lembaran dan isinya. Tidak ditadabbur dan ditadzakkur sewajarnya dan seperlunya.

Yang indah itu jika dinikmati dengan perasaan. Yang baik itu jika dimanfaatkan. Maka al-Quran perlukan banyak prasyaratnya:

1                   Guru yang berwibawa.
2                   Berguru dan mencari guru dan guru dan guru dan guru……………..
3                   Bertalaqqi secara beristiqamah.
4                   Banyak membaca bahan rujukan yang berbagai dan pelbagai.
5                   Banyak bertanya dan berbincang.
6                   Belajar dan terus belajar.


Barangkali kita perlu melihat semula kedudukan al-Quran. It needs repositioning in our mind. In our action. An integrated effort. Always in-frame and not out of frame. 

Thursday, February 11, 2016

Masihkah Kau Ingat



Masihkah kau ingat sewaktu kecil dahulu. Sewaktu kau sangat kecil. Sewaktu kau belum tahu apa-apa. Sewaktu kau hanya mahu semua yang kau nampak. Sewaktu kau tamak hendakkan semua yang ada di hadapan mata. Kau kedekut pada kakak dan abang. Kedekut pada adik-adik. Malah kau kedekut pada ibu dan ayah kau. Masa kau ketka itu tahunya hanya banyak menangis. Masa kau tahunya banyak menjerit. Dunia ini kau mahu segala-galanya. Tidak boleh untuk orang lain. Malah untuk ibu dan ayah juga tidak boleh. Segala-galanya untuk kau seorang sahaja. Matamu jadi gelap. Telingamu jadi tertutup. Perasaanmu jadi terhijab. Orang lain di sekeliling kesemuanya tidak ada dalam perkiraan. Yang penting diri kamu sendiri. Jarak masa hanya sementara. Rupanya apabila kamu tua sifat sewaktu menjadi kanak-kanak kembali kepada dirimu. Semua yang ada ingin kau miliki. Tidak ada yang ingin dikongsi. 

Masihkah kau ingat sewaktu kau meraung meminta mainan di kedai dahulu. Kau meminta dengan tangis mainan pistol dan pedang. Kau minta patung dan periuk masak-masak. Itu belum baju gaun warna merah berenda-renda. Masihkah kau ingat sate yang tidak mampu dibeli. Anggur yang hanya mengecurkan air liur. Rojak yang hanya mampu dihirup baunya. Roti canai yang hanya wangi rangupnya. Baju raya yang sangat kau idamkan. Kau tangisi. Kau jerit sekuat hati. Kesemuanya untuk kepentingan diri. Masa itu kau kuasai suasana. Bentak kakimu sangatlah kuat. Tidak peduli rasa sakit. Nanti bila tidurmu ibu dan ayahlah yang mengelus dan mengurut. Tidurpun rengekmu sangat kuat. Kasih sayang ibu dan ayah kekal dalam ragam dan tangismu. Kamulah anak mereka. Malah kasih sayang ibu dan ayah tumpah kepadamu. Tidak ada pilih kasih. Siapalah kamu jika bukan cahayamata ibu dan ayahmu.

Ingatkah sewaktu air besarmu merata-rata di ruang tamu. Air kecilmu meresap di karpet tebal baru dibeli. Ingatkah makanmu bersepah di meja makan. Minummu tumpah di lantai. Bajumu basah dan comot. Mulutmu penuh kotor nasi dan lauk-pauk. Kerusimu tiada ruang yang tidak kotor. Ketika itu ada tangan-tangan sabar yang mendamaikan ragammu. Sabar menyuap makanan ke mulutmu. Menghapus sepah dan sampah. Minyak dan lekit gula yang memualkan kepada mereka yang tidak mempunyai anak. Tetapi tidak bagi ibu dan ayahmu. Kamulah anak mereka. Tidak ada yang lain. Sepahmu menghiburkan. Tangismu mendamaikan. Ragammu bertingkah dengan kasih sayang mereka. Mana ada pilih kasih yang datangnya dari hati mereka? Yang terpamer hanya kasih dan sayang. Hanya kasih dan sayang. Hanya kasih dan sayang. Kamu menjadi harapan sehingga usia lanjut mereka. Harapan mereka. Tiada anak yang berkemampuan memenuhi harapan itu. Mungkin sebahagian kecil sahaja. Terlalu sedikit bilangannya. Anak-anak yang mendapat hidayah Yang Maha Mengetahui.

Ingatkah sewaktu sakitmu diusap sayang oleh ibu dan ayahmu. Demammu dituam dengan kasih. Kembungmu diurut dengan tanggungjawab. Penatmu diriba mesra. Rajukmu disapa ramah. Siangnya kamulah cahaya. Malamnya kamulah bulan. tertumpah segalanya kepada kamu. Anak yang memang diharap untuk berjasa kepada orang tua. Kepada ibu dan ayah yang menyayangimu. Rupanya masa menjarakkan dua hati. Hati anak tidak sama dengan hati dan perasaan ibu dan ayah. Sebagai orang lama, ibu dan ayahmu ada tradisi yang mereka pelihara. Anak-anak yang selalunya mencipta standard yang bercanggah dengan tradisi amalan ibu dan ayahmu. Maka terciptalah kelainan dan perbezaan. Itu yang akhirnya kamu besar-besarkan dan kamu jadikan sumber keresahan. Bahawa ibu dan ayahmau pilih kasih. Hanya setelah kamu tua nanti barulah datang perasaan itu kembali menghantui jiwa tua. Kitarannya pasti datang dalam bentuknya yang tersendiri. Ingatlah bahawa ibu dan ayah adalah dua sosok yang tidak boleh dilukai hati dan perasaannya. Allah tidak redha kerananya! Allahu akbar!

Ingatkah sewaktu makanan tidak cukup, kaulah yang diutamakan. Ketika ibu dan ayahmu menahan lapar, kaulah yang dikenyangkan. Ketika ayahmu ketiadaan wang, apa yang ada diserahkan kepadamu untuk sekolahmu. Keupayaan menanggung anak-anak bukan kepalang sukar dan susahnya. Kebetulan zaman kau kecil bukan zaman mewah. Bukan zaman wang datang melimpah. Zaman itu kesemuanya dicatu. Disukat mengikut kemampuan. Yang penting kau dan keluargamu terus hidup. Kesinambungan sebuah keluarga yang hidupnya penuh dengan kesukaran. Kais pagi makan petang dan kais petang malan pagi. Meminjam bukan perkara asing. Terlalu banyak kali dilakukan demi sesuap nasi. Demi kehidupan anak-anak. Tidak ada anak yang memahami peritnya menjadi orang tua. Hanya apabila masing-masing menjadi tua barulah Allah berikan sedikit pengalaman menjadi ayah dan ibu. Tetapi hidupmu dalam zaman yang jauh sangat mewah berbanding ketika kau kecil dahulu.

Itulah sewaktu kecilmu. Itulah semasa kanak-kanakmu. Itulah sewaktu semuanya tidak cukup. Semasa semuanya tidak ada yang lebih. Semasa hidup serba susah. Sewaktu kehidupan mencengkam kemiskinan. Masa yang berlalu mendewasakan. Lalu menuakan. Lalu ibu dan ayahmu menjadi sangat tua. Ketika inilah mirror image sewaktu kecilmu kembali menemuimu. Dahulu ragammu menggeramkan. Kadang-kadang memeningkan. Kadang-kadang memalukan. Malah kadang-kadang mengaibkan. Tidak kurang pukul dan cubit. Tidak kurang marah dan tengking. Tidak kurang tinggi suara kerana ragammu yang dahulu. Ragam anak-anak. Ragam kanak-kanak. Sekarang ragam itu terjadi kepada ibu dan ayahmu. Mereka kembali ke zaman kanak-kanak mereka. Zaman seperti yang kau lalui dahulu. Gerakanya perlu dibantu. Hidupnya banyak perlukan bantuan. Apakah air kecilnya redha kau hidu? Apakah air besarnya redha kau bersihkan? Hingusnya redha kau lap. Leleh minumnya redha kau kesat. Ragamnya. Ragamnya. Ragamnya yang banyak dan luar biasa.  


Apakah kau boleh menerima perubahan itu. Apakah kau boleh menerima tingkah mereka. Menerima ragam mereka. Karenah mereka. Apakah kau kembali kepada anak-anakmu. Mengadu tingkah-laku kedua ibu dan ayahmu. Bercerita tentang kedua ibu dan ayahmu. Bercerita tentang nada negatif bahwa kedua ibu dan ayahmu tidak seperti dahulu. Tidak nampak siuman seperti mudanya dahulu. Banyak yang anak-anak merasakan ibu dan ayahnya tidak memuaskan hati. Bisingnya melebihi biasa. Kehendaknya yang bukan-bukan. Baru beberapa ketika sudah datang bosanmu kepada mereka. Kitaran itu akan kembali kepada kita. Kepada kita semua. Tanpa kecuali apabila kita panjang usia. Sakit dan pening tidak tahu bila datangnya dari Allah. Ajal pasti tiba. Mudah-mudahan kita terhindar dari azab dunia hanya kerana kita tidak redha dengan ibu dan ayah yang menjadi tua dan banyak ragamnya. Itu ibu kita. Itu ayah kita. Bukalah dada sebentar. Masih adakah sedikit kasih menyelinap di hati?

Sunday, February 7, 2016

Pesaka Bukan Untuk Yang Tiada Sahaja



Ramai antara kita pernah mengunjungi museum. Jika tidak pernah pergi sekalipun kita mengetahui apa itu museum. Bukan bangunannya yang penting tetapi khazanah yang tersimpan dan terpamer di dalamnya. Ianya merupakan warisan bangsa dan negara. Warisan yang  dibina berzaman-zaman. Bak kata Hang Tuah, “Tidakkan Melayu hilang di dunia.” Warisan keluarga begitu juga. Warisan peribadi apatah lagi. Suatu ketika nanti warisan itu untuk tatapan anak cucu. Mendidik mereka menghargai apa yang di sebalik warisan itu. Ianya mungkin momento kecil yang tiada erti kepada orang lain. Mungkin tiada nilai kepada sesiapapun. Tetapi ia kekal untuk menjadi pengajaran bahawa nenek moyang kita pernah berjaya dalam kategori selayaknya untuk diri mereka. Tercatat kejayaan-kejayaan walaupun tidak begitu gah seperti kejayaan mereka yang laluan kejayaannya lebih mudah. Kejayaan tetap kejayaan. Itulah warisan keturunan yang tidak seberapa.

Dalam kehidupan semua manusia ada hal-hal yang sangat diberi nilai tinggi. Disayangi.  Diletak di tempat tinggi. Terpahat di sudut hati. Menggembira dan membahagiakan. Dalam aspek ini kita jarang meraikan kegembiraan dan kebahagiaan orang lain. Khususnya orang tua kita sendiri. Ibu dan ayah kita sendiri. Lazimnya, lazimnya kita memandang rendah warisan keluarga. Kita tidak memberi apa-apa nilai terhadapnya. Kita tidak pula memanjangkan nilai warisan itu kepada anak cucu kita. Kita putuskan dari kitaran kebanggaan keluarga. Bahawa warisan itu besar ertinya dalam kesinambungan keluarga.

Kita selalu melihat  melalui kacamata kita. Melalui mata zahir kita. Persekitaran semasa kita. Kita lupa bahawa jarak waktu membezakan penilaian. Harga yang berubah kerana jangka waktu. Apatah lagi jika jangka waktu itu tersangat panjang. Masa bukan sahaja menjarakkan penilaian tetapi juga menghakis nilai-nilai peradaban keluarga. Malangnya keadaan sebegitu berlaku ketika datuk dan nenek kita masih hidup. Sewaktu ibu dan ayah kita masih segar bugar menikmati kehidupan alam maya ini. Lihat dan imbau kembali:
Sebuah rumah usang
Beberapa pohon buah yang sudah menjulang tinggi
Peralatan rumah yang vintage dan antik 
BantaL, tilam dan cadar yang kusam

Yang kita lihat kesemuanya lama. Buruk. Menjemukan. Menyakitkan mata semata-mata. Kita tidak ingin melihatnya. Malah pada kebanyakan masa kita ingin membuangnya. Membakarnya. Menjualnya. Memberikannya kepada sesiapa sahaja yang  sudi menerimanya. Bukan kita dan bukan anak cucu kita. Warisan itu ingin kita campak sejauh-jauhnya. Kita nyahkan dari pandangan mata zahir kita. Nanti dulu! Bolehkah ianya kita buang dari mata hati kita? Dari kenangan dan ingatan kita? Rasanya sangat sukar untuk kita berbuat begitu. Bagaimana jika kita berada di tempat datuk dan nenek kita. Tidakkah parah hati mereka dengan sikap apathy (tidak peduli) kita? Kesemua yang disayanginya tiada anak cucu yang mengambil tahu. Mata tua itu hanya berkaca. Pedih melihat kesayangannya terabai begitu sahaja.

Lihat kembali rumah buruk yang tidak ada nilai kepada kita. Di rumah itulah kita dilahirkan. Atau dibesarkan. Atau dikahwinkan. Atau anak  kita lahir di rumah itu. Ingat kembali meriahnaya rumah itu dengan kehadiran anak cucu. Tawa dan tangis yang bersulam. Tingkah bual yang memanjang hingga larut malam. Pertemuan kerana lama berpisah. Pertemuan pada waktu-waktu yang mengujakan. Bertanya khabar dan berita. Ketika itulah saat membahagiakan datuk dan nenek. Anak dan cucunya berhimpun kembali memeriahkan rumah tua yang banyak duka dan dukanya. Tidak gah dan agam. Tidak cantik dan penuh dengan seni. Tetapi itulah rumah untuk anak dan cucu. Rumah yang telah mendewasakan anak-anaknya.

Benarlah ibu dan ayah kita berjaya dalam bidangnya. Berjaya membina rumah yang lebih besar. Tetapi ibu dan ayah datang dari datuk dan nenek yang kita lihat buruk. Yang kita lihat tua. Yang kita lihat tidak ada serinya lagi. Yang kita lihat berkedut beribu. Yang kita lihat tidak sewangi ibu dan ayah kita.  Yang kita lihat ragamnya berbeza dari orang zaman ini. Yang kita lihat uzur dan lemah. Tetapi dari merekalah datangnya ibu dan ayah kita. Dari merekalah besar dan dewasa ibu dan ayah kita. Dari kemiskinan merekalah ibu dan ayah kita dijadikan manusia. Dari kedaifan merekalah ibu dan ayah kita menjadi insan yang kita tatap sekarang.

Malang dan malang apabila warisan keluarga menjadi terbiar. Seorang tua yang kembali menatap rumah buruknya hanya mampu diam. Tidakkah hatinya merintih. Rumahnya bertambah buruk. Dia kehilangan semangat yang pernah ditanamnya di rumah itu. Museum masih dikunjungi ramai. Masih dipandang dan dinilai. Masih dekat di hati setiap warga. Tetapi bukan harta kesayangan datuk dan nenek. Mereka masih hidup tetapi tiada anak cucu yang ingin menghargai apa yang pernah mereka sayangi. Rumah tinggal rumah. Banyak cicak dan lipas. Tiada kaki yang ingin lagi memijaknya. Kosong dan kosong. Sekosong hati datuk dan nenek. Tempayan lama yang dahulu setia menakung air tinggal berlumut hitam. Halaman rumah yang dahulu bersih tinggal pasir dan batu kecil yang bertabur. Sepi tanpa tuan.

Begitulah bezanya antara yang lama dan yang baru. Yang tua dan yang muda. Yang muda memandang rendah apa sahaja yang dahulunya untuk orang tua mereka. Yang lama hanya mampu melihat gelagat yang muda. Melihat tari dan rentak yang muda. Yang muda pula tidak pernah terfikir bahawa kitaran yang sama akan menimpa dirinya. Mungkin lebih hina berbanding dengan layanannya terhadap ibu dan ayahnya. Terhadap datuk dan nenek. Tunggulah kitaran itu. Bukan lama. Lima tahun. 10 tahun. Mungkin tidak terlalu lama.

Kita jarang insaf akan kelemahan kita. Muda kita hanya sementara. Tua kita juga sementara. Ikatan rasa dan warisan bukan semudahnya dipisahkan. Darah dan daging tidak dapat dipisahkan. Tetapi kita membuat perhitungan sendiri. Kita lari dari yang lama. Kita hindari mereka. Kita lari juga dari yang tua. Hanya harta dan wang ringgit mereka barangkali yang masih mengikat kita kepada mereka. . Mengharapkan pesaka yang tidak seberapa. Kita lupa walaupun yang sudah pergi tidak perlukan harta dunia, kitalah warisannya yang menjadikan harta pesaka mereka berguna di alam barzah. Membantu mereka. Doa dan menyayangi apa yang dahulunya mereka sayangi.


Apakah tua kita nanti seperti mereka sudahnya?