Sunday, February 7, 2016

Pesaka Bukan Untuk Yang Tiada Sahaja



Ramai antara kita pernah mengunjungi museum. Jika tidak pernah pergi sekalipun kita mengetahui apa itu museum. Bukan bangunannya yang penting tetapi khazanah yang tersimpan dan terpamer di dalamnya. Ianya merupakan warisan bangsa dan negara. Warisan yang  dibina berzaman-zaman. Bak kata Hang Tuah, “Tidakkan Melayu hilang di dunia.” Warisan keluarga begitu juga. Warisan peribadi apatah lagi. Suatu ketika nanti warisan itu untuk tatapan anak cucu. Mendidik mereka menghargai apa yang di sebalik warisan itu. Ianya mungkin momento kecil yang tiada erti kepada orang lain. Mungkin tiada nilai kepada sesiapapun. Tetapi ia kekal untuk menjadi pengajaran bahawa nenek moyang kita pernah berjaya dalam kategori selayaknya untuk diri mereka. Tercatat kejayaan-kejayaan walaupun tidak begitu gah seperti kejayaan mereka yang laluan kejayaannya lebih mudah. Kejayaan tetap kejayaan. Itulah warisan keturunan yang tidak seberapa.

Dalam kehidupan semua manusia ada hal-hal yang sangat diberi nilai tinggi. Disayangi.  Diletak di tempat tinggi. Terpahat di sudut hati. Menggembira dan membahagiakan. Dalam aspek ini kita jarang meraikan kegembiraan dan kebahagiaan orang lain. Khususnya orang tua kita sendiri. Ibu dan ayah kita sendiri. Lazimnya, lazimnya kita memandang rendah warisan keluarga. Kita tidak memberi apa-apa nilai terhadapnya. Kita tidak pula memanjangkan nilai warisan itu kepada anak cucu kita. Kita putuskan dari kitaran kebanggaan keluarga. Bahawa warisan itu besar ertinya dalam kesinambungan keluarga.

Kita selalu melihat  melalui kacamata kita. Melalui mata zahir kita. Persekitaran semasa kita. Kita lupa bahawa jarak waktu membezakan penilaian. Harga yang berubah kerana jangka waktu. Apatah lagi jika jangka waktu itu tersangat panjang. Masa bukan sahaja menjarakkan penilaian tetapi juga menghakis nilai-nilai peradaban keluarga. Malangnya keadaan sebegitu berlaku ketika datuk dan nenek kita masih hidup. Sewaktu ibu dan ayah kita masih segar bugar menikmati kehidupan alam maya ini. Lihat dan imbau kembali:
Sebuah rumah usang
Beberapa pohon buah yang sudah menjulang tinggi
Peralatan rumah yang vintage dan antik 
BantaL, tilam dan cadar yang kusam

Yang kita lihat kesemuanya lama. Buruk. Menjemukan. Menyakitkan mata semata-mata. Kita tidak ingin melihatnya. Malah pada kebanyakan masa kita ingin membuangnya. Membakarnya. Menjualnya. Memberikannya kepada sesiapa sahaja yang  sudi menerimanya. Bukan kita dan bukan anak cucu kita. Warisan itu ingin kita campak sejauh-jauhnya. Kita nyahkan dari pandangan mata zahir kita. Nanti dulu! Bolehkah ianya kita buang dari mata hati kita? Dari kenangan dan ingatan kita? Rasanya sangat sukar untuk kita berbuat begitu. Bagaimana jika kita berada di tempat datuk dan nenek kita. Tidakkah parah hati mereka dengan sikap apathy (tidak peduli) kita? Kesemua yang disayanginya tiada anak cucu yang mengambil tahu. Mata tua itu hanya berkaca. Pedih melihat kesayangannya terabai begitu sahaja.

Lihat kembali rumah buruk yang tidak ada nilai kepada kita. Di rumah itulah kita dilahirkan. Atau dibesarkan. Atau dikahwinkan. Atau anak  kita lahir di rumah itu. Ingat kembali meriahnaya rumah itu dengan kehadiran anak cucu. Tawa dan tangis yang bersulam. Tingkah bual yang memanjang hingga larut malam. Pertemuan kerana lama berpisah. Pertemuan pada waktu-waktu yang mengujakan. Bertanya khabar dan berita. Ketika itulah saat membahagiakan datuk dan nenek. Anak dan cucunya berhimpun kembali memeriahkan rumah tua yang banyak duka dan dukanya. Tidak gah dan agam. Tidak cantik dan penuh dengan seni. Tetapi itulah rumah untuk anak dan cucu. Rumah yang telah mendewasakan anak-anaknya.

Benarlah ibu dan ayah kita berjaya dalam bidangnya. Berjaya membina rumah yang lebih besar. Tetapi ibu dan ayah datang dari datuk dan nenek yang kita lihat buruk. Yang kita lihat tua. Yang kita lihat tidak ada serinya lagi. Yang kita lihat berkedut beribu. Yang kita lihat tidak sewangi ibu dan ayah kita.  Yang kita lihat ragamnya berbeza dari orang zaman ini. Yang kita lihat uzur dan lemah. Tetapi dari merekalah datangnya ibu dan ayah kita. Dari merekalah besar dan dewasa ibu dan ayah kita. Dari kemiskinan merekalah ibu dan ayah kita dijadikan manusia. Dari kedaifan merekalah ibu dan ayah kita menjadi insan yang kita tatap sekarang.

Malang dan malang apabila warisan keluarga menjadi terbiar. Seorang tua yang kembali menatap rumah buruknya hanya mampu diam. Tidakkah hatinya merintih. Rumahnya bertambah buruk. Dia kehilangan semangat yang pernah ditanamnya di rumah itu. Museum masih dikunjungi ramai. Masih dipandang dan dinilai. Masih dekat di hati setiap warga. Tetapi bukan harta kesayangan datuk dan nenek. Mereka masih hidup tetapi tiada anak cucu yang ingin menghargai apa yang pernah mereka sayangi. Rumah tinggal rumah. Banyak cicak dan lipas. Tiada kaki yang ingin lagi memijaknya. Kosong dan kosong. Sekosong hati datuk dan nenek. Tempayan lama yang dahulu setia menakung air tinggal berlumut hitam. Halaman rumah yang dahulu bersih tinggal pasir dan batu kecil yang bertabur. Sepi tanpa tuan.

Begitulah bezanya antara yang lama dan yang baru. Yang tua dan yang muda. Yang muda memandang rendah apa sahaja yang dahulunya untuk orang tua mereka. Yang lama hanya mampu melihat gelagat yang muda. Melihat tari dan rentak yang muda. Yang muda pula tidak pernah terfikir bahawa kitaran yang sama akan menimpa dirinya. Mungkin lebih hina berbanding dengan layanannya terhadap ibu dan ayahnya. Terhadap datuk dan nenek. Tunggulah kitaran itu. Bukan lama. Lima tahun. 10 tahun. Mungkin tidak terlalu lama.

Kita jarang insaf akan kelemahan kita. Muda kita hanya sementara. Tua kita juga sementara. Ikatan rasa dan warisan bukan semudahnya dipisahkan. Darah dan daging tidak dapat dipisahkan. Tetapi kita membuat perhitungan sendiri. Kita lari dari yang lama. Kita hindari mereka. Kita lari juga dari yang tua. Hanya harta dan wang ringgit mereka barangkali yang masih mengikat kita kepada mereka. . Mengharapkan pesaka yang tidak seberapa. Kita lupa walaupun yang sudah pergi tidak perlukan harta dunia, kitalah warisannya yang menjadikan harta pesaka mereka berguna di alam barzah. Membantu mereka. Doa dan menyayangi apa yang dahulunya mereka sayangi.


Apakah tua kita nanti seperti mereka sudahnya?

No comments:

Post a Comment