Wednesday, February 4, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Di Mana Faqirnya Kita?



Berada di Mesir sangat berbeza dengan berada di negara sendiri. Berbeza sangat dengan negara-negara lain yang pernah penulis ziarahi atau pernah bermukim. Jika kita ke Jordan fenomenanya adalah kerana ramai pelarian dari Syria atau Palestin. Apabila kita di negara Arab Saudi kita melihat senario yang berbeza. Di Mesir banyak yang berbeza. Mereka yang berada di sini perlu mengambil iktibar. Di sini banyak terhimpun pengertian mengenai agama. Mengenai hukum dan hakam. Mengenai erti kemanusiaan. Mengenai kemajuan yang dinisbahkan sebagai hadhari. Islam adalah agama tamaddun. Agama yang memacu kemajuan dunia dan akhirat. Malangnya episod demi episod kita tertinggal di belakang. Landasannya sudah dibina oleh Rasulallah. Telah diperkembangkan oleh sahabat, tabi’en dan tabi’ tabi’en. Zaman kita inilah segalanya merudum untuk orang Islam. Negara Islam belum ada yang mencapai taraf negara maju. Umat Islam di bawah par berbanding dengan warganegara di negara maju. Kita menjadi ummat yang substandard. Kualitinya sangat rendah.

Di Mesir umpamanya mereka yang dalam golongan faqir dan miskin tersangat ramai. Kita di Malaysia sukar hendak melabel mereka yang dalam golongan ini. Tidak di Mesir. Dan mungkin juga di negara Islam yang lain yang belum penulis ziarahi. Situasinya problematic dan chaotic. Terlalu ramai dan tidak terkawal. Paling ramai adalah wanita sama ada wanita tempatan atau wanita pelarian dari Syria dan Palestin. Di Jordan umpamanya majoriti pengemis adalah pelarian Syria. Di Mesir berlainan sekali. Kaherah menjadi tumpuan. Di mana-mana sahaja terdapat mereka yang mengemis. Sama ada mereka yang tua, daif atau wanita yang membawa anak-anak untuk mengemis.

Ada yang mengatakan bahawa mengemis menjadi suatu profesion. Mereka tidak tahu bagaimana hendak melakukan kerja lain selain dari mengemis. Maksudanya apabila ibu dan ayah mereka mengemis maka anak, cucu dan cicit mereka lazimnya meneruskan profesion itu. Khususnya bagi yang wanita. Begitu juga lelaki yang berada dalam zon usia emas. Anak-anak yang dibawa mengemis seolah-olah diajar tenik meminta-meminta. Apabila mereka sudah boleh meminta-minta sendiri maka mereka bebas menjalankan aktiviti mengemis mereka. Begitulah sehingga mereka menjadi gadis. Mungkin apabila mereka berkahwin mereka berihat sebentar dari mengemis. Setelah beranak dua atau tiga mereka menyambung semula aktiviti yang terhenti. Mungkin kerana keperluan kewangan keluarga mula bertambah. Mungkin juga mengemis menjadi ketagihan yang sukar dirungkai.

Negara-negara Islam bukan negara yang miskin dari segi sumbernya. Yang tidak ada ialah sistem berfikirnya, perancangan ekonominya, manfaat pendidikannya, peluang-peluang perniagaannya. Bahan galian seperti minyak melimpah ruah. Tanah negaranya subur. Hanya air sahaja yang boleh menyuburkannya. Pasir dan silica di padang pasirnya sangat banyak untuk dijadikan berbagai barang seperti kanta dan kristal. Dari pertanian sahaja boleh diperbanyakkan industri hiliran. Di Mesir sendiri industri pertanian jika diberi tumpuan pasti menjadikan ianya pengeksport makanan yang berjaya. Sayur-sayurannya banyak dan berbagai. Buah-buahan dari jenis padang pasir hingga tropika dan buah-buahan beriklim sederhana atau Mediterranean. Yang diperlukan ialah idea. Komitmen. Semangat. Sesungguhnya berbudi kepada tanah terlalu banyak manfaatnya. Negara maju tidak ada yang mengabaikan pertanian. Ianya sumber makanan yang tidak ada galang gantinya. Makanan adalah sumber utama untuk mengenyangkan perut. Mengenyangkan sebuah bangsa. Pada masa yang sama memajukan sebuah negara. 

Barangkali tradisinya memang begitu bahawa di negara-negara sebelah sini yang dinamakan Timur-Tengah ramai faqir dan miskinnya. Walau bagaimanapun perancangan untuk membawa kenikmatan ekonomi kepada mereka seperti nihil. Andainya pertanian diberi tumpuan dan keutamaan tentu ramai dari mereka yang tersebut dapat bekerja di ladang atau kerja-kerja yang berkaitan dengan industri makanan segar. Skalanya pada masa ini masih terlalu kecil. Belum berupaya menampung gunatenaga yang terlalu ramai. Kaherah sahaja kira-kira 20 juta orang penduduknya. Tentulah sukar memberi makan kepada mereka tanpa perancangan yang jitu dan benar-benar berkesan. Di jalan-jalan umpamanya ramai lelaki yang menanti untuk mendapat pekerjaan. Mereka duduk-duduk di tepi jalan bersama alat perkakas bertukang. Itu sahaja kemahiran yang mereka ada. Sekali sekala mendapat pekerjaan pembaikan yang kecil-kecil. Atau mungkin ada kontraktor yang memerlukan khidmat mereka dalam sesuatu projek pembinaan. Apabila projek itu tamat mereka menganggur semula. The inflow of consistent job is simply not there.

Ramai antara mereka tidak pula memiliki kemahiran atau kecenderungan yang berbagai. Mereka mengharap pada satu kemahiran sahaja. Lalu mereka biarkan isteri dan anak-ana mereka untuk terus mengemis. Cerita mengemis ini bukan kepalang ”mewah”nya. Dua cerita berikut mungkin bukan yang terpencil.

1                    Seorang ketua keluarga yang biasa mengemis hampir meninggal. Ia berpesan supaya selepas kematiannya, katil tempat pembaringannya dibuka. Alangkah terkejutnya anak-anak dan menantunya apabila menemui sejumlah wang siling yang sangat banyak. Beribu-ribu junaih (wang Mesir yang disebut juga paun).  Mereka gunakan wang tersebut untuk membeli sebuah laluan bas. Keluarga itu mendapat pendapatan yang mantap hasil dari laluan bas tersebut.
2                    Seorang pengemis yang selalu penulis lihat di sekitar tempat tinggal penulis mendapat kira-kira 150 junaih setiap hari. Kebetulan ia menukar wang di sebuah restoran Malaysia di sekitar kawasan ini. Penulis mendapat tahu maklumat ini dari petugas restoran tersebut. Maknanya setiap bulan ia boleh mendapat 4,500 junaih. Lebih mewah dari bekerja di sektor kerajaan. Malah profesor di universiti sukar mendapat gaji sebanyak itu.

Apa yang sinonim mengenai pengemis-pengemis ini ialah pendapatan mereka disimpan dan tidak digunakan. Mereka berbelanja secukup hidup. Yang penting makan dan minum. Pakaian dan tempat tinggal ala kadar sahaja. Malah rihat dan tidur mereka tidak memilih tempat. Musim sejuk atau musim panas sama sahaja. Mereka boleh tidur di atas jalanraya. Di tepi jalan yang kenderaan lalu lintas tanpa henti. Mereka mencari wang. Wang lebihan yang mereka perolehi dari mengemis disimpan begitu sahaja. Tidak ada ruang dan peluang untuk kegunaan produktif.

1                    Melabur dan dana yang dijamin kerajaan seperti ASM, ASB umpamanya.
2                    Menyimpan dalam bank-bank yang Islamik.
3                    Menyimpan dalam syarikat kerajaan seperti Lembaga Urusan Tabung Haji.
4                    Berniaga.


Apabila direnung kembali kelemahan itu juga berkaitan dengan kepimpinan Islam yang tepu untuk berfikir. Adat turun temurun cara berfikir yang diwarisi tanpa ingin diperbaiki. Tiada anjakan atau perubahan paradigma yang difikirkan. Tradisi yang diteruskan walaupun kita lemas memikir dan melihatnya. Lebih lemas lagi apabila kita berada bersama mereka. Mereka selesa dengan jalan pemikiran mereka. Duni aluar seolah-olah tertutup kepada mereka. Hadith yang mafhumnya bahawa tangan yang di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah dilestarikan tanpa perubahan. Mereka terima qada’ dan qadar seadanya tanpa usaha lain untuk membina kekuatan untuk ummahnya.

Tuesday, February 3, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Jangan Biarkan Gagal Berniaga Di Luar Kotak



Berniaga adalah suatu bidang yang menguntungkan. Lucrative kata orang putih. Benar jika memahami bahawa kejayaannya adalah berdasarkan 99% keringat (perspiration) dan 1% sahaja nasib (inspiration). Maksudnya berniaga wajib banyak usaha. Bekerja keras. Membuang tabiaat malas dan culas. Tidak leka dan alpa. Proaktif dan berfikiran jauh. Visi dan misinya menjangkau dan melampaui yang biasa-biasa sahaja. Seorang peniaga atau usahawan perlu jauh di hadapan mengintai peluang untuk diperkembangkan menjadi usaha yang menguntungkan. Boleh menghidu apa sahaja yang boleh ditukar menjadi keuntungan. Kata orang, perniagaan adalah jendela yang membuka kepada jendela-jendela lain yang lebih besar. Malangnya, malangnya apa yang dilihat di jendela itu tidak dilihat oleh orang lain.

Orang lain selalunya hanya melihat dengan penuh sceptic apabila ada orang lain menceburkan diri dalam perniagaan. Tidak seperti orang Cina umpamanya yang berniaga apa sahaja walaupun persaingannya sangat sengit. Sesama mereka sendiripun. Bagi orang kita mereka yang berniaga ditonton dan kurang diberi sokongan moral. Kurang nasihat membina. Motivasi jarang sekali. Malah institsi kewangan yang pegawai-pegawainya orang kita sendiri selalu memandang sepi permohonan pinjaman dan sebagainya. Hanya kertaskerja yang dinilai. Kertaskerja itu yang dikira kunci sama ada usaha yang akan dijalankan berdaya saing atau bedaya maju atau berdaya untung. Kertas yang dinilai dan bukan prospeknya yang hakiki. Mereka yang bijak menulis kertaskerja mendapat pinjaman walaupun perniagaannya tidak ada jaminan berdaya maju. Mereka yang tidak mahir menulis kertaskerja gagal mendapat pinjaman awal. Sejarah menunjukkan mereka yang kertaskerjanya tidak dipertimbangkan ini ramai yang akhirnya berjaya. Perniagaannya mencapai keuntungan. Membesar dan berdaya maju. Ketika itu ramailah yang membuka mata.

Ramai yang mula mendekati. Ingin mengetahui rahsia kejayaannya. Ingin tahu resepinya. Ingin tahu juga perancangannya. Penulis ingin mengingatkan kepada usahawan-usahawan yang sudah berjaya ini. Hubaya! Hubaya! Banyak jerung yang mencari mangsa.

1                    Seperti biasa ramai yang ingin menjadi rakan kongsi. Menawarkan modal yang besar jumlahnya.
2                    Ramai pembekal yang menawarkan kontrak besar.
3                    Ramai pengedar yang sanggup berpenat lelah.
4                    Pelabor kecil dan besar mula membuat temujanji.
5                    Akhirnya pegawai bank yang dahulu menolak permohonannya mula tebal muka mendekati. Mula menawarkan modal. Mula cuba memberi nasihat perniagaan. Mula menawarkan memberikan berbagai-bagai kemudahan seperti akaun, draf bank dan sebagainya.
6                    Akan ada pula mereka yang cuba menarik perhatian peniaga atau usahawan yang berjaya ke arah bidang lain.

Kesemua 1 hingga 5 adalah tawaran-tawaran mencari keuntungan segera. Mereka tidak terlibat dengan susah payah memulakan perniagaan. Mereka tidak merasa pahit maung dan asam garam mencari kejayaan. Mereka tidak tahu peritnya memulakan perniagaan. Usahawan yang baru mula berjaya wajar berwaspada dengan tawaran-tawaran indah ini. Banyak jerangkap samar yang terlindung. Mereka seharusnya meneruskan usaha supaya terus maju. Abaikan tawaran-tawaran tersebut dengan senyum dan manis muka. Bukan sombong tetapi berwaspada. Bukan menolak tuah tetapi mencari kekuatan sendiri yang lebih kukuh. Apabila sudah bertapak kukuh bolehlah difikirkan untuk membuka anak syarikat. Ketika itu bolehlah mencari rakan kongsi jika ada yang sudi. Namun sentiasalah belajar dari pengalaman. Mencari ilmu supaya usaha untuk mengembangkan diri tidak pula teraniaya. Peru belajar bisness. Perlu belajar undang-undang mengenai kontrak dan yang berkaitan. Perlu belajar undang-undang mengenai perniagaan seperti perkongsian, sendirian berhad dan sebagainya. Sentiasa siap siaga untuk berhadapan dengan cabaran pada masa hadapan. Mengenal jerangkap, umpan dan pacuan kejayaan yang sebenarnya.

Mengikut pengamatan penulis, ramai usahawan yang berjaya akhirnya terperangkap apabila dipujuk untuk menceburkan diri dalam bidang yang di luar kotak mereka. Maksudnya menjalankan perniagaan dalam bidang baru yang tidak banyak diketahui. Selalunya hartanah. Atau industri lain. Sebahagian pengamatan sebenar yang dalam makluman penulis menunjukkan mereka yang terpujuk ini akhirnya gagal mengekalkan momentum kejayaan awal mereka.

1                    Seorang pemilik sebuah stesen minyak sangat berjaya kerana kebetulan stesen minyaknya sangat strategik. Setelah beberapa ketika dia dipujuk untuk menceburi industri tekstail kerana kebetulan di daerahnya industri tekstail agak berkembang maju. Minyak dan tekstail tiada kaitan langsung. Tuntutan prosesnya berbeza. Dia berupaya mengurus stesen minyak tetapi tekstail menjadikannya terkapai-kapai kerana itu bukan bidangnya. Ilmu dan pengalaman mengenainya tidak ada. Akhirnya dirinya yang malang. Bukan sahaja kilang kecil tekstailnya yang gagal, urusan stesen minyaknya juga menemui kegagalan hingga ianya terpaksa dijual kepada pengusaha lain. Sedih bukan kepalang. Pengusaha yang seharusnya terus maju, gagal di tengah jalan. Sebab itu penulis mengingatkan supaya mereka yang sudah berjaya bersabar dahulu sebelum menceburi bidang di luar kotak kemahirannya. Belajar dahulu sebanyak-banyaknya untuk menjaga kepentingan diri.
2                    Seorang usahawan yang gah dengan makanan kesihatan juga mengalami hal yang sama. Setelah usahanya berjaya dia ditarik untuk menceburi bidang hartanah. Dia tertarik dengan unjuran-unjuran yang berskala besar. Yang dijanjikan berdaya maju dari segi stastik. Dari segi prospektif. Malangnya itu bukan bidangnya. Dia tidak mengetahui perangkap risiko yang diceburinya. Usahanya dalam bidang makanan kesihatan menghadapi masalah modal pusingan.  Bekalan selalu terputus. Keyakinan pelanggan merudum. Pengedar-pengedarnya mengeluh. Dalam perniagaan keyakinan sangat penting. Apabila pengguna hilang keyakinan maka tanggapan dan sikap menyokong mereka menjadi pudar. Kelewatan bekalan yang hanya beberapa jam sahaja sudah cukup membosankan. Sebuah empayar yang hendak dibina akhirnya runtuh.

Semua antara kita ingin maju apabila berniaga. Ingin menjadi usahawan yang berjaya. Menjadi rujukan. Kerana itu usahawan yang baru berjaya hendaklah lebih berhati-hati dengan godaan untuk menceburkan diri ke dalam bidang baru yang di luar kotak pemikirannya. Di luar bidang kemahirannya. Bukan fokus idaman semasa. Semua perkara perlu berlandaskan kepada masa. Kata orang sesuatu yang mendahului masa menjurus kepada kegagalan. Khalayak belum lagi terfikir untuk menggunakan produknya. Sementara itu sesuatu yang ketinggalan masa tidak membawa apa-apa manfaat. Orang lain sudah tidak perlukannya lagi dalam kuantiti dan kualiti yang menguntungkan. Kerana itu timing is vital.


Tahniah kepada mereka yang sudah berniaga. Tahniah dan tahniah kepada mereka yang sudah berjaya. Tahniah, tahniah dan tahniah kepada mereka yang usahanya berdaya maju, yang berdaya saing, yang berdaya untung, yang mengungguli industri. Kongsikan resepi anda kepada mereka yang terpercaya. Bukan kepada semua orang. Penulis khuatir akan ada yang cuba merosakkan kejayaan yang telah dibina. Bina rangkaian bersama mereka yang sehaluan. Bantu membantu. Sokong menyokong. Sama-sama naik untuk membela kaum, bangsa dan agama. Insyaallah akan diberkati Allah.

Sunday, February 1, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Berubahkah Paradigma Melayu Mengenai Perniagaan



Apabila ada saudara-mara berniaga apa yang kita harapkan darinya? Apabila sahabat-handai kita berniaga apa manfaat yang kita nikmati darinya? Andaikan kesemua premisnya adalah jujur, ikhlas, benar dan kerana Allah. Adakah dalam pemikiran kita bermain-main harapan berikut:

1                    Boleh dapat diskaun yang banyak.
2                    Boleh membeli dengan harga lebih murah.
3                    Boleh membeli dengan berhutang.
4                    Boleh meminjam wang darinya bila nampak perniagaannya kukuh.
5                    Boleh menjadi rakan kongsinya kerana perniagaannya dilihat berdaya maju.
6                    Boleh berlebih kurang.

Mari kita perhatikan lagi senarai di atas. Nampak normal. Tidak menyalahi etika. Tidak ada apa-apa masalah. Cuba pula kita terbalikkan setiap pernyataan tersebut:

1                    Tolak diskaun. Saudara atau rakan kita hendak maju dalam perniagaannya. Setiap sen keuntungan yang diusahakannya akan memacu perniagaannya ke hadapan. Diskaun pula melemahkan semangat. Keuntungan menjadi sedikit. Tidak berbaloi berniaga. Yang menerima diskaun inginkan peratus yang tersangat banyak. Trauma yang berniaga. Jika orang lain boleh ditolak. Saudara-mara sendiri atau sahabat sendiri menjadikan peniaga fobia untuk berniaga. Takut putus saudara. Takut putus sahabat. Akhirnya merugikan diri sendiri. Peniaga atau usahawan yang menanggung. Pelanggan untung sedangkan dia yang berniaga kerugiaan. Dalam konteks ini saudara-mara atau rakan taulan perlu menyokong dengan mengabaikan diskaun. Itu adalah cara untuk membantunya agar terus maju dan maju. Menyaingi kaum lain yang menguasai bidang tertentu. Sejarah sudah terlalu banyak terakam bahawa yang meruntuhkan perniagaan atau usaha orang Melayu adalah bangsanya sendiri.
2                    Jangan berkira sangat dengan harga yang disenaraikan. Harga itu menjamin keuntungan. Keuntungan pula menjamin usia panjang perniagaannya. Jika kita membayar lebih murah di syarikat lain cuba lihat kos overhead atau kos berubah mereka. Perniagaan yang besar berdasarkan volume. Boleh beri diskaun yang banyak kerana ianya tidak signifikan apabila kuantiti jualan sangat besar. Ingat, dalam diskaun yang banyak kadang-kadang dikenakan caj lain yang tidak dikira semasa diskaun diberikan. Kos penghantaran barang umpamanya. Kerana itu apa salahnya forgo diskaun dari syarikat saudara sendiri. Atau syarikat sahabat sendiri. Terutamanya syarikat kecil yang baru hendak menapak maju. Perlu dibantu untuk terus maju. Malah kadang-kadang itulah survivalnya. Ia menjadi sokongan moral kepadanya. Doakan dia supaya perniagaannya lebih maju lagi.
3                    Bayar tunai. Barayan tunai menjamin modal pusingan. Wang di tangan boleh dipelbagaikan selain dari menjamin bahawa perniagaan tidak terputus bekalan. Menjamin kepuasan pelanggan kerana setiap kali pesanan dibuat produk sudah tersedia atau boleh disediakan segera. Tidak usahlah bayar dengan cek tertangguh. Melambatkan kecairan syarikat saudara atau rakan sendiri. Berilah ia peluang bernafas semasa berniaga. Bukan menyesakkan nafasnya.
4                    Jangan biasakan meminjam wang dari saudara-mara atau sahabat-handai yang berniaga. Orang Melayu yang berniaga hatinya lembut. Mereka yang meminjam pula hatinya keras. Wang itu nyawa dan nadi perniagaan. Apabila dipjnjam selalunya dan lazimnya lambat dibayar kembali. Marah apabila diminta untuk menjelaskannya. Yang memberi pinjam kecewa sangat-sangat. Wang berkurangan. Semangatnya berniaga boleh pudar kerananya. Seorang sahaja meminjam sudah cukup memeningkan. Jika ramai yang meminjam memang boleh menjadikan perniagaan cepat muflis.
5                    Tidak mungkin orang lain tiba-tiba ingin menjadi rakan kongsi. Sewaktu  perniagaan hendak dimulakan semua memandang sebelah mata. Tidak ingin terlibat. Apabila sudah maju ingin menumpang. Ya menumpang pula sebagai penumpang hanyut. Menjadi rakan lelap. Tahu hendak untung sahaja. Penglibatan secara aktif hanya mengganggu perancangan asal yang memang berdaya maju. Akhirnya hanya melemahkan semangat. Wang tambahan akhirnya menyumbang untuk meruntuhkan suatu perniagaan.
6                    Mana boleh berlebih kurang. Perniagaan adalah perniagaan. Kita selalu tersalah tafsir bahawa urusniaga dengan saudara-mara atau sahabat-handai boleh berlebih kurang. Tersilap besar. Business is business. Setiap urusniaga perniagaan wajib mengikut peraturan. Mengikut undang-undang berniaga. Pada akhir tahun akan diaudit. Mana keuntungan yang diunjurkan pada tahun itu? Kenapa diakaun melebihi polisi syarikat?

Bagaimana sebenarnya sikap kita apabila saudara-mara atau sahabat-handai kita berniaga. Contoh di atas hanya cebisan asam garam orang berniaga. Bagaimana hendak membantu. Bagaimana hendak menyokong. Bagaimana kita hendak menjadikan usaha saudara-mara atau sahabat-handai kita itu sebagai landasan untuk memajukan kaum kita. Untuk memajukan bangsa kita. Untuk memajukan mereka yang seagama dengan kita. Kita masih berfikir sempit ke belakang. Sebagai analogi kenapa orang makan di restoran besar atau di hotel sedangkan kedai makan yang lebih murah sangat banyak di luar sana.

1                    Persekitaran yang kondusif. Luas, nyaman dan bebas dari hiruk-pikuk yang tidak tentu hala. Pelanggan bukan sebarangan orang. Peniaga juga bukan sebarangan orang. Masing-masing ada objektif dan matlamatnya masing-masing.
2                    Pilihanya yang berbagai. Selera atau citarasa pelanggan seboleh-bolehnya custom-made atau tailor-made.
3                    Kualiti dijamin tinggi, konsisten dan konstan.
4                    Harga bukan penghalang. Disesuaikan dengan kualiti. Sesuai dengan custom-made. Sesuai dengan persekitaran yang kondusif. Belum pernah mereka yang makan di hotel atau restoran besar meminta diskaun. Tidak mungkin pula berhutang. Tidak mungkin membayar dengan cek tertunda. Mungkin mereka membayar dengan kad kredit atau charge card.

Andaikan saudara-mara kita atau sahabat-handai kita berniaga. Andaikan mereka memberikan kita kualiti yang standard. Kenapa kita berkira dengan harga yang diminta. Di syarikat yang setara, diskaun yang banyak tidak mungkin diberikan. Itu adalah standard industri. Noktah. Fullstop. Ini bukan soal saudara. Ini bukan soal sahabat. Yang boleh diberi ialah jaminan tidak ada fraud. Tidak ada penipuan between the small prints. Saudara-mara atau sahabat-handai kita yang berniaga itu juga berusaha untuk memberi kepuasan kepada kita sebagai pelanggannya. Sudah sampai masanya kita sebagai orang Melayu mengubah paradigma kita sebagai Melayu terhadap orang Melayu lain yang ingin berniaga. Yang ingin menjadi usahawan. Yang ingin mencari rezeki dengan berniaga.


Ubah persepsi kita tentang mereka yang berniaga. Bantu mereka dengan nasehat yang memberikan dayamaju. Contohnya jika harga produknya lebih mahal mungkin dia boleh mengurangkan overheadnya. Mencari sumber bekalan produk yang lain. Kurangkan kos-kos lain yang tidak berkaitan. Promosi yang terkawal. Tanamkan semangat untuk menyumbang memajukan perniagaan mereka. Sikap dan semangat ini membantu memotivasikan saudara-mara dan sahabat-handai yang berniaga. Kita sama-sama Melayu dan sama-sama Islam perlu memikirkan semula sikap kita. Kita yang boleh membantu untuk membuat perubahan. Kita boleh menjadi pelanggan yang berwibawa. Bukan sahaja dengan wang ringgit yang kita belanjakan tetapi juga dengan semangat moral yang tinggi dan baik. Mudah-mudahan lebih ramai lagi kaum kita yang berdaya maju dalam usahaniaganya pada masa hadapan. Insyaallah.

Thursday, January 29, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Mengajar Anak-Anak Tulis Baca



Kita berhadapan dengan berbagai cabaran media dan hedonism. TV umpamanya adalah sumber hedonism paling mencabar. Telefon bimbit dan I-phone walaupun pengaruhnya amat meluas tetapi tidak kepada anak-anak kecil. Kali ini kita berbicara mengenai pendidikan awal terhadap anak-anak. Termasuklah cucu dan cicit bagi mereka yan berkenaan. Kadang-kadang kita megambil sikap mudah. Anak-anak kecil diletakkan di hadapan TV. Mereka dididik secara salah menonton paparan yang bukan hak.

1                    Perkataan dan istilah yang didengar bukan hak. Tidak sesuai mengikut peringkat usia anak-anak kecil.
2                    Gelagat yang dipertonton banyak yang tidak islamak. Pegang, sentuh dan peluk yang bukan hak.
3                    Ketawa yang berlebihan sedangkan yang digalakkan ialah menyesali diri. Muasabah diri. Banyak bertaubat. Banyak menangis mengenangkan diri sebelum mati dan sesudah mati.
4                    Banyak nyanyian sedangkan yang perlu didengar dan disebut ialah zikir, ayat al-Quran dan pujian ke atas kebesaran Allah.
5                    Banyak pakaian yang tidak menutup aurat. Menentang ajaran agama dan menyalahi didikan kepada anak-anak kecil.
6                    Banyak waktu terbuang sedangkan ianya wajar digunakan untuk membaca, menghafal al-Quran, mengaji, bertalaqqi, berdiskusi, mendengar ceramah dan berbagai lagi manfaat waktu untuk agama.

Kita bukan bercakap mengenai remaja. Kita bercakap mengenai anak-anak sejak mereka dilahirkan hingga usia mereka tujuh tahun. Atau mungkin sewaktu usia mereka lima tahun. Sebelum lagi mereka ke TADIKA atau PASTI. Kita terlalai ketika usia anak-anak sebegitu muda. Apa yang kita fikirkan ialah selalunya kita hiburkan mereka secara salah. Menyalahi didikan yang boleh mendekatkan mereka kepada agama. Kepada Allah. Kerap sangat kita melihat situasi yang tidak wajar.

1                    Anak-anak kecil diajar menyanyi. Kadang-kadang senikata lagu itu layak untuk orang dewasa sahaja. Mereka tidak tahu ertinya senikata lagu yang mereka nyanyikan. Mereka selayaknya diajar untuk menghafal ayat-ayat al-Quran. Didik mereka untuk mengulangnya berkali-kali seperti zikir. Semasa mereka kecil inilah ayat-ayat tersebut mudah menjadi darah daging kepada mereka. Jiwa mereka masih terlalu bersih. Lidah mereka masih lembut. Hati mereka masih mudah diisi. Biar mereka mengulang baca semasa bermain. Semasa berlari. Semasa di dalam kenderaan. Biar ayat-ayat al-Quran bermain di mulut mereka. Di bibir mereka. Mudah-mudahan lekat di hati mereka.
2                    Anak-anak kecil diajar menari. Sewajarnya mereka diajar solat. Melakukan gerakan-gerakan solat dari solat fardhu hinggalah solat sunat. Biar mereka jinak dengan solat bukan dengan tarian.
3                    Anak-anak kecil perempuan berpakaian yang kurang islamik. Tidak labuh dan tidak memakai tudung atau telekung. Tidak dididik untuk menutup aurat sejak mereka kecil lagi. Semasa mereka berusia muda inilah mereka perlu dibiasakan supaya menjadi perisai yang menahan mereka dari hal-hal yang bukan islamik.
Banyak bukti yang menunjukkan bahawa anak-anak kecil sangat mudah dididik ke arah yang betul. Baru-baru ini sepasang suami isteri berjaya menjadikan anak perempuannya yang berusia tiga tahun enam bulan menghafal 30 juz al-Quran. Dalam masa kira-kira enam bulan sahaja. Dari bangun tidur hingga anak itu tidur minatnya membaca dan menghafal al-Quran. Ibu dan bapa yang mengawal anak. Masih boleh menonton TV tetapi pilihkan rancangan yang mendidik mereka. Bukan semua rancangan apa yang ada. Bukti-bukti penyelidikan menunjukkan bahawa menghafal al-Quran banyak kebaikannya.

1                    Mudah menghafal hal-hal yang lain seperti formula, sifir, fakta dan teori-teori seperti yang dipelajari di sekolah.
2                    Daya ingatan lebih kuat.
3                    Cerdas berfikir dan sentiasa bergerak maju. Tidak statik dan suka intuitif.
4                    Daya fikir juga lebih kuat kerana mata, lidah dan seluruh derianya menumpu kepada al-Quran.
5                    Ulamak zaman dahulu menghafal al-Quran terlebih dahulu sebelum mempelajari apa-apa yang lain. Seperti kita maklum kerana itu mereka menjadi pakar dalam banyak bidang. Ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran terpancar menjadi ilmu-ilmu berguna untuk kegunaan di dunia.

Mendidik anak-anak biarlah seawal yang mungkin. Ajar mereka bercakap secepat mungkin. Bercakap dengan sukukata yang lengkap. Jelas sebutannya. Tersusun tertib dan intonasinya. Ajak mereka selalu berbual, bercakap, menyebut sesuatu dengan betul. Bercerita dengan bahasa baku. Dengan ayat sempurna. Dengan istilah yang tepat. Cari ruang dan peluang untuk bercakap dengan anak mengenai apa sahaja tajuk. Mungkin melayan mereka bercerita mengenai apa yang mereka lihat. Apa yang mereka pegang. Apa yang mereka tahu. Atau apa yang mereka baca. Atau cerita-cerita lain yang terlintas pada fikiran mereka. Layanan bercakap itu membina perbendaharaan kata mereka. Cara sebutan yang betul. Menggunakan susuk ayat yang betul. Menggunakan perkataan dan istilah yang betul. Tegaskan supaya mereka bercakap dengan ayat yang jelas. Mulakan dari ayat yang pendek hingga mereka boleh menguasai ayat yang lebih panjang hingga ayat yang lebih kompleks. Setiap pertanyaan anak hendaklah dilayan sepenuh hati. Beri jawapan yang jelas dengan contoh-contoh yang dapat mereka faham. Suatu ingatan dari penulis, anak-anak kecil apabila bertanya perlukan jawapan yang panjang lebar. Bukan yang ringkas dan padat untuk memendekkan perbualan.

Sejak awal, perkenalkan dengan huruf Arab atau Jawi, huruf rumi dan angka. Lebih banyak bahasa lebih baik. Melayu, Arab, Inggeris atau bahasa ibunda/keluarga seperti Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Aceh, Bajau, Dusun, Jakun, Sakai, Dayak, Murut dan sebagainya. Kepelbagaian itu hendaklah berperingkat-peringkat. Pada mulanya ajarkan mereka yang asas seperti Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Dari awal lagi ajar mereka menghafal ayat-ayat lazim bermula dari surah al-Fatihah. Pindah kepada surah-surah yang lain seberapa banyak yang lain. Kenalkan huruf supaya mereka boleh mengenal dan membezakannya antara satu huruf dengan huruf yang lain. Apabila mereka sudah mengenal huruf pindah membaca al-Quran. Sambil membaca sambil menghafal. Sekitar usia empat tahun cantik jika sudah khatam al-Quran dan pada masa yang sama sudah menghafal banyak surah-surah lazim dan surah-surah yang tidak panjang. Pada masa yang sama juga ajar mereka membaca Jawi dan rumi. Insyaallah sebelum masuk ke TADIKA anak-anak sudah pandai membaca dan menulis. Yang lebih cantik lagi mereka sudah khatam al-Quran. Bertambah cantiknya kerana mereka sudah menghafal banyak surah dari al-Quran.

Jika ini dapat dilakukan oleh pasangan ibu dan bapa muda penulis yakin anak-anak bukan menyanyi tetapi menghafal al-Quran. Mereka bukan menari tetapi berjamaah dengan keluarga atau di masjid dan surau bersama jamaah setempat. Mereka bukan bermain tetapi banyak membaca, membina aqli mereka ke tahap yang lebih tinggi dari tahap usianya. Tutur bicaranya bukan senikata lagu tetapi al-Quran. Mudah-mudahan generasi ulum al-bab bukan hanya khayalan. Ianya realiti bagi yang mahu mengerti. Ketepikanlah yang lain. Anak-anak kita tanggungjawab kita. Mereka adalah kain putih. Warna dan berusnya di tangan kita. Warnailah mereka dengan warna akhirat. Insyaallah

Bingkisan Dari Kaherah: Anak-Anak Mandiri



Bagaimana mendidik anak sebenarnya. Dari siapa kita perlu belajar. Kepada siapa pula hendak bertanya. Dalam hal ini kita selalu terlepas pandang akan hal-hal yang penting dalam hal mendidik anak. Bayangkan situasi dan senerio ini:

1                   Anak-anak yang memulakan persekolahan pada tahap satu masih menghisap puting kosong. Puting yang tidak mengandungi apa-apa. Tidak mengenyangkan. Tidak menambah manfaat. Hanya kebiasaan dan ketagihan yang tidak terkawal. Menjadi bahan lawak guru dan rakan-rakan murid yang lain. Yang lucunya bukan anak itu. Ia tidak tahu apa-apa kerana kebiasaan itu dibiarkan berlarutan melebihi masa yang seperlunya. Ibu dan bapanya yang dilihat lucu. Masakan anak sebesar tujuh tahun masih belum meninggakan kebiasaan seorang bayi. Imej ibu dan bapa yang tercalar. Maruah ibu dan bapa yang cemar. Kelemahan dari segi kemahiran mendidik anak-anak. Lambat mematangkan mereka seiring dengan usia mereka.
2                   Anak-anak yang sudah bersekolah masih lagi minum menggunakan botol berputing. Puting juga tetapi berisi air. Ada manfaatnya tetapi sudah terlalu melampaui keperluannya. Apabila motor tubuh badan anak-anak sudah boleh berfungsi seperti memegang, mereka perlu diajar untuk makan sendiri. Minum sendiri. Mulakan dari awal. Pada awalnya memang tumpah. Makannya bersepah. Bersabarlah. Tidak lama. Apabila sudah dimahirkan ibu dan bapa juga yang senang. Anak sudah boleh makan dan minum sendiri. Mereka hanya perlu dipantau dari masa ke semasa supaya apa yang mereka lakukan adalah betul. Umpamanya makan dengan tangan kanan. Memegang sudu dan garpu dengan betul. Mengambil lauk dengan betul. Menyuap dengan betul. Tidak tamak atau gelojoh. Belajar menyukat kuantiti makanan atau minuman pada waktu makan. Tidak berlaku pembaziran. Tidak pula berebut-rebut. Didik mereka untuk berkongsi makanan dengan ahli keluaga atau rakan atau saudara-mara.
3                   Anak-anak yang sudah bersekolah berkejar apabila balik ke rumah kerana kehausan tidak menyusu ibunya selama berada di sekolah. Wajarkan bahawa anak-anak berhenti menyusu ibunya sewaktu usianya mendekati dua tahun. Pada usia dua tahun dia sudah bebas dari mengulit ibunya sepanjang masa. Tentu luarbiasa apabila anak yang berusia 10 tahun masih menyusu ibunya.
4                   Anak-anak yang sudah bersekolah masih perlu disuap sehingga ibunya tidak dapat berbuat kerja lain selain dari mengadapnya sahaja. Tugas ibu dan bapa ialah memandaikan anak-anak. Menjadikan mereka berdikari seawal mungkin. Ibu-ibu umpamanya bukan dayang sepenuh masa. Bukan inang sepenuh masa. Anak-anak zaman tahun 1950an seawal usia lima tahun atau lebih awal sudah pandai menanak nasi. Boleh mengukur kelapa. Memetik sayur di sekeliling rumah. Menyuapkan adik-adiknya makan dan minum. Memandikan dan mendodoikan adik-adik untuk tidur. Ibu dan bapa mereka mungkin ke bendang atau menoreh getah. Atau si ibu sibuk mengurus rumah.
5                   Anak-anak yang bersekolah belum kenal tata sosial. Ada anak-anak yang belum mengetahui tata bersosial dengan guru atau dengan rakan sekelas. Mereka tidak tahu hendak meminta izin untuk ke bilik air umpamanya. Tidak tahu mengucapkan terima kasih. Tidak tahu cara meminta maaf. Tidak tahu membantu rakan yang berat membawa buku. Tidak tahu meminjamkan pensil kepada rakan yang tidak membawanya.
6                   Ada anak-anak yang sangat berat mulutnya. Tidak hendak hanya geleng kepala. Jika setuju hanya angguk-angguk kepala. Jika tidak tahu hanya mengangkat bahu. Kesemua ini adalah salah. Salah dari segi komunikasi. Salam dari segi intersksi. Salah dari segi sosial. Tolong jangan didik mereka begitu. Jika tidak katakan tidak. Jika ya katakan ya. Didik anak-anak supaya mengungkan kata tidak, ya, tahu, mahu, tidak tahu dan sebagainya. Didik mereka untuk menyatakannya dengan perkataan. Dengan bercakap secara lisan. Jangan galakkan mereka berinteraksi dengan anggota tubuh badan sahaja. Kita hendak anak-anak bercakap. Menggunakan mulut mereka untuk bercakap. Pastikan apabila bercakap suaranya cukup kuat. Teratur. Tidak menjerit atau bercakap laju. Didik mereka menggunakan ayat penuh dengan istilah yang sesuai. Lebih tepat lebih baik.
7                   Didik anak-anak supaya memahami maksud bergilir-gilir. Bukan berebut-rebut. Bercakap ikut giliran. Membeli makanan secara bergilir. Masuk ke kelas bergilir-gilir. Keluar kelas bergilir-gilir. Kesemua ini adalah untuk mendisiplinkan kehidupan mereka. Bahwa setiap sesuatu ada peraturannya. Berkongi semua keadaan dengan orang lain.

Usia tujuh tahun adalah uisa anak-anak sewajarnya sudah mandiri. Sudah berdikari. Sudah bebas dari pertolongan ibu-bapa atau adik-beradik kecuali hal-hal yang berat, tinggi, jauh dan sebagainya. Apabila bersekolah anak-anak seharusnya sudah:

1                   Boleh mengurus diri seperti mandi, makan dan minum, beristinjak dan memakai pakaian yang sesuai. Berbedak, bersikat dan berpakaian kemas.
2                   Mengenal waktu dan mengetahui pentingnya menjaga waktu. Tidak perlu lagi dijerit-jerit dan dibentak-bentak. Mereka tahu menjaga waktu. Berperanan mengikut waktu. Terutamanya menjaga waktu solat.
3                   Mengenal wang dan tukarannya. Membezakan antara wang besar dan wang kecil. Jika boleh sudah mengetahui wang tukar dan baki setiap wang yang dibelanjakan.
4                   Mengenal bahaya dalam perjalanan seperti terhadap orang asing yang tidak dikenali. Bahaya kotor. Risiko kemalangan.

Ramai ibu dan bapa yang tidak mengetahui impliksi anak-anak yang belum berdikari ini kepada guru dan sekolah.

1                   Ada ibu yang berada di sekolah berbulan-bulan lamanya kerana menemankan anak-anak yang baru berada di tahap satu. Keberadaannya diperlihatkan kepada si anak. Sewaktu rehat anaknya perlu disuap atau ditemankan berbelanja di kantin sekolah. Banyak kerja lain yang tergendala. Rumah ditinggalkan. Anak-anak yang lain diserahkan kepada orang lain untuk menjaganya. Silapnya kerana anak itu tidak dimatangkan seawal mungkin supaya boleh berdikari. Boleh bersosial dengan rakan sebayanya. Supaya ibu itu bebas untuk melakukan kerja lain yang menjadi tugasnya di rumah.
2                   Ada guru yang terpaksa menjadi ganti kepada ibu dan bapa. Murid-murid mereka membuang air besar dan kecil tanpa boleh beristinjak. Itu belum anak-anak yang buang-buang air di kelas. Yang termuntah. Guru kelas itu yang terpaksa membasuh tubuh badan si anak. Membasuh kelas. Dan berbagai lagi yang tertanggung di bahu seorang guru sekolah kebangsaan. Hanya mereka yang sifat guru dan keibuannya sangat tinggi sahaja yang berupaya menghadapi kesemua karenah anak kecil yang baru bersekolah.
3                   Paling menggusarkan ialah keselamatan anak-anak. Ada masanya ibu atau bapa lambat mengambil anak dari sekolah. Ibu dan bapa perlu maklum bahawa tugas guru bukan hanya mengajar sahaja. Selepas tamat sesi mengajar guru perlu segera pulang ke rumah untuk makan, mandi, solat dan menukar pakaian. Pukul 3.00 petang ia mungkin diperlukan di sekolah untuk melaksanakan tugas-tugas kokurikulum. Pada tahap ini ibu dan bapa ramai yang tidak maklum. Guru banyak tugasnya. Menjadi sulit kepada guru apabila ada anak murid yang lambat diambil ibu atau bapa mereka.


Anak-anak adalah aset penting ibu dan bapa. Mereka adalah harapan masa hadapan mereka. Lebih cepat mereka matang lebih baik untuk mana-mana pasangan ibu dan bapa. Beajarlah sebanyak mungkin. Bertanyalah sebanyak mungkin. Buatlah pengamatan sebanyak mungkin. Orang lain telah melakukannya. Banyak manfaatnya belajar dari mereka yang lebih arif. Dari pengalaman mereka. Bagi ibu dan bapa muda inilah masanya untuk belajar dari mereka yang sudah berpengalaman. Bukan susah ‘copy and paste’ sahaja. Mungkin tambah kosmetiknya sahaja.