Berada di Mesir sangat berbeza dengan berada di negara
sendiri. Berbeza sangat dengan negara-negara lain yang pernah penulis ziarahi
atau pernah bermukim. Jika kita ke Jordan fenomenanya adalah kerana ramai
pelarian dari Syria atau Palestin. Apabila kita di negara Arab Saudi kita
melihat senario yang berbeza. Di Mesir banyak yang berbeza. Mereka yang berada
di sini perlu mengambil iktibar. Di sini banyak terhimpun pengertian mengenai
agama. Mengenai hukum dan hakam. Mengenai erti kemanusiaan. Mengenai kemajuan
yang dinisbahkan sebagai hadhari. Islam adalah agama tamaddun. Agama yang
memacu kemajuan dunia dan akhirat. Malangnya episod demi episod kita tertinggal
di belakang. Landasannya sudah dibina oleh Rasulallah. Telah diperkembangkan
oleh sahabat, tabi’en dan tabi’ tabi’en. Zaman kita inilah segalanya merudum
untuk orang Islam. Negara Islam belum ada yang mencapai taraf negara maju. Umat
Islam di bawah par berbanding dengan warganegara di negara maju. Kita menjadi
ummat yang substandard. Kualitinya sangat rendah.
Di Mesir umpamanya mereka yang dalam golongan faqir
dan miskin tersangat ramai. Kita di Malaysia sukar hendak melabel mereka yang
dalam golongan ini. Tidak di Mesir. Dan mungkin juga di negara Islam yang lain
yang belum penulis ziarahi. Situasinya problematic dan chaotic.
Terlalu ramai dan tidak terkawal. Paling ramai adalah wanita sama ada wanita
tempatan atau wanita pelarian dari Syria dan Palestin. Di Jordan umpamanya
majoriti pengemis adalah pelarian Syria. Di Mesir berlainan sekali. Kaherah
menjadi tumpuan. Di mana-mana sahaja terdapat mereka yang mengemis. Sama ada
mereka yang tua, daif atau wanita yang membawa anak-anak untuk mengemis.
Ada yang mengatakan bahawa mengemis menjadi suatu
profesion. Mereka tidak tahu bagaimana hendak melakukan kerja lain selain dari
mengemis. Maksudanya apabila ibu dan ayah mereka mengemis maka anak, cucu dan
cicit mereka lazimnya meneruskan profesion itu. Khususnya bagi yang wanita.
Begitu juga lelaki yang berada dalam zon usia emas. Anak-anak yang dibawa
mengemis seolah-olah diajar tenik meminta-meminta. Apabila mereka sudah boleh
meminta-minta sendiri maka mereka bebas menjalankan aktiviti mengemis mereka.
Begitulah sehingga mereka menjadi gadis. Mungkin apabila mereka berkahwin mereka
berihat sebentar dari mengemis. Setelah beranak dua atau tiga mereka menyambung
semula aktiviti yang terhenti. Mungkin kerana keperluan kewangan keluarga mula
bertambah. Mungkin juga mengemis menjadi ketagihan yang sukar dirungkai.
Negara-negara Islam bukan negara yang miskin dari segi
sumbernya. Yang tidak ada ialah sistem berfikirnya, perancangan ekonominya,
manfaat pendidikannya, peluang-peluang perniagaannya. Bahan galian seperti
minyak melimpah ruah. Tanah negaranya subur. Hanya air sahaja yang boleh
menyuburkannya. Pasir dan silica di padang pasirnya sangat banyak untuk
dijadikan berbagai barang seperti kanta dan kristal. Dari pertanian sahaja
boleh diperbanyakkan industri hiliran. Di Mesir sendiri industri pertanian jika
diberi tumpuan pasti menjadikan ianya pengeksport makanan yang berjaya.
Sayur-sayurannya banyak dan berbagai. Buah-buahan dari jenis padang pasir
hingga tropika dan buah-buahan beriklim sederhana atau Mediterranean. Yang
diperlukan ialah idea. Komitmen. Semangat. Sesungguhnya berbudi kepada tanah
terlalu banyak manfaatnya. Negara maju tidak ada yang mengabaikan pertanian.
Ianya sumber makanan yang tidak ada galang gantinya. Makanan adalah sumber
utama untuk mengenyangkan perut. Mengenyangkan sebuah bangsa. Pada masa yang
sama memajukan sebuah negara.
Barangkali tradisinya memang begitu bahawa di
negara-negara sebelah sini yang dinamakan Timur-Tengah ramai faqir dan
miskinnya. Walau bagaimanapun perancangan untuk membawa kenikmatan ekonomi
kepada mereka seperti nihil. Andainya pertanian diberi tumpuan dan keutamaan
tentu ramai dari mereka yang tersebut dapat bekerja di ladang atau kerja-kerja
yang berkaitan dengan industri makanan segar. Skalanya pada masa ini masih
terlalu kecil. Belum berupaya menampung gunatenaga yang terlalu ramai. Kaherah
sahaja kira-kira 20 juta orang penduduknya. Tentulah sukar memberi makan kepada
mereka tanpa perancangan yang jitu dan benar-benar berkesan. Di jalan-jalan
umpamanya ramai lelaki yang menanti untuk mendapat pekerjaan. Mereka
duduk-duduk di tepi jalan bersama alat perkakas bertukang. Itu sahaja kemahiran
yang mereka ada. Sekali sekala mendapat pekerjaan pembaikan yang kecil-kecil.
Atau mungkin ada kontraktor yang memerlukan khidmat mereka dalam sesuatu projek
pembinaan. Apabila projek itu tamat mereka menganggur semula. The inflow of
consistent job is simply not there.
Ramai antara mereka tidak pula memiliki kemahiran atau
kecenderungan yang berbagai. Mereka mengharap pada satu kemahiran sahaja. Lalu
mereka biarkan isteri dan anak-ana mereka untuk terus mengemis. Cerita mengemis
ini bukan kepalang ”mewah”nya. Dua cerita berikut mungkin bukan yang terpencil.
1
Seorang ketua keluarga yang biasa mengemis hampir
meninggal. Ia berpesan supaya selepas kematiannya, katil tempat pembaringannya
dibuka. Alangkah terkejutnya anak-anak dan menantunya apabila menemui sejumlah
wang siling yang sangat banyak. Beribu-ribu junaih (wang Mesir yang disebut
juga paun). Mereka gunakan wang tersebut
untuk membeli sebuah laluan bas. Keluarga itu mendapat pendapatan yang mantap
hasil dari laluan bas tersebut.
2
Seorang pengemis yang selalu penulis lihat di sekitar
tempat tinggal penulis mendapat kira-kira 150 junaih setiap hari. Kebetulan ia
menukar wang di sebuah restoran Malaysia di sekitar kawasan ini. Penulis
mendapat tahu maklumat ini dari petugas restoran tersebut. Maknanya setiap
bulan ia boleh mendapat 4,500 junaih. Lebih mewah dari bekerja di sektor
kerajaan. Malah profesor di universiti sukar mendapat gaji sebanyak itu.
Apa yang sinonim mengenai pengemis-pengemis ini ialah
pendapatan mereka disimpan dan tidak digunakan. Mereka berbelanja secukup
hidup. Yang penting makan dan minum. Pakaian dan tempat tinggal ala kadar
sahaja. Malah rihat dan tidur mereka tidak memilih tempat. Musim sejuk atau
musim panas sama sahaja. Mereka boleh tidur di atas jalanraya. Di tepi jalan yang
kenderaan lalu lintas tanpa henti. Mereka mencari wang. Wang lebihan yang
mereka perolehi dari mengemis disimpan begitu sahaja. Tidak ada ruang dan
peluang untuk kegunaan produktif.
1
Melabur dan dana yang dijamin kerajaan seperti ASM,
ASB umpamanya.
2
Menyimpan dalam bank-bank yang Islamik.
3
Menyimpan dalam syarikat kerajaan seperti Lembaga
Urusan Tabung Haji.
4
Berniaga.
Apabila direnung kembali kelemahan itu juga berkaitan
dengan kepimpinan Islam yang tepu untuk berfikir. Adat turun temurun cara
berfikir yang diwarisi tanpa ingin diperbaiki. Tiada anjakan atau perubahan
paradigma yang difikirkan. Tradisi yang diteruskan walaupun kita lemas memikir
dan melihatnya. Lebih lemas lagi apabila kita berada bersama mereka. Mereka
selesa dengan jalan pemikiran mereka. Duni aluar seolah-olah tertutup kepada
mereka. Hadith yang mafhumnya bahawa tangan yang di atas adalah lebih baik dari
tangan yang di bawah dilestarikan tanpa perubahan. Mereka terima qada’ dan
qadar seadanya tanpa usaha lain untuk membina kekuatan untuk ummahnya.
No comments:
Post a Comment