Thursday, January 29, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Anak-Anak Mandiri



Bagaimana mendidik anak sebenarnya. Dari siapa kita perlu belajar. Kepada siapa pula hendak bertanya. Dalam hal ini kita selalu terlepas pandang akan hal-hal yang penting dalam hal mendidik anak. Bayangkan situasi dan senerio ini:

1                   Anak-anak yang memulakan persekolahan pada tahap satu masih menghisap puting kosong. Puting yang tidak mengandungi apa-apa. Tidak mengenyangkan. Tidak menambah manfaat. Hanya kebiasaan dan ketagihan yang tidak terkawal. Menjadi bahan lawak guru dan rakan-rakan murid yang lain. Yang lucunya bukan anak itu. Ia tidak tahu apa-apa kerana kebiasaan itu dibiarkan berlarutan melebihi masa yang seperlunya. Ibu dan bapanya yang dilihat lucu. Masakan anak sebesar tujuh tahun masih belum meninggakan kebiasaan seorang bayi. Imej ibu dan bapa yang tercalar. Maruah ibu dan bapa yang cemar. Kelemahan dari segi kemahiran mendidik anak-anak. Lambat mematangkan mereka seiring dengan usia mereka.
2                   Anak-anak yang sudah bersekolah masih lagi minum menggunakan botol berputing. Puting juga tetapi berisi air. Ada manfaatnya tetapi sudah terlalu melampaui keperluannya. Apabila motor tubuh badan anak-anak sudah boleh berfungsi seperti memegang, mereka perlu diajar untuk makan sendiri. Minum sendiri. Mulakan dari awal. Pada awalnya memang tumpah. Makannya bersepah. Bersabarlah. Tidak lama. Apabila sudah dimahirkan ibu dan bapa juga yang senang. Anak sudah boleh makan dan minum sendiri. Mereka hanya perlu dipantau dari masa ke semasa supaya apa yang mereka lakukan adalah betul. Umpamanya makan dengan tangan kanan. Memegang sudu dan garpu dengan betul. Mengambil lauk dengan betul. Menyuap dengan betul. Tidak tamak atau gelojoh. Belajar menyukat kuantiti makanan atau minuman pada waktu makan. Tidak berlaku pembaziran. Tidak pula berebut-rebut. Didik mereka untuk berkongsi makanan dengan ahli keluaga atau rakan atau saudara-mara.
3                   Anak-anak yang sudah bersekolah berkejar apabila balik ke rumah kerana kehausan tidak menyusu ibunya selama berada di sekolah. Wajarkan bahawa anak-anak berhenti menyusu ibunya sewaktu usianya mendekati dua tahun. Pada usia dua tahun dia sudah bebas dari mengulit ibunya sepanjang masa. Tentu luarbiasa apabila anak yang berusia 10 tahun masih menyusu ibunya.
4                   Anak-anak yang sudah bersekolah masih perlu disuap sehingga ibunya tidak dapat berbuat kerja lain selain dari mengadapnya sahaja. Tugas ibu dan bapa ialah memandaikan anak-anak. Menjadikan mereka berdikari seawal mungkin. Ibu-ibu umpamanya bukan dayang sepenuh masa. Bukan inang sepenuh masa. Anak-anak zaman tahun 1950an seawal usia lima tahun atau lebih awal sudah pandai menanak nasi. Boleh mengukur kelapa. Memetik sayur di sekeliling rumah. Menyuapkan adik-adiknya makan dan minum. Memandikan dan mendodoikan adik-adik untuk tidur. Ibu dan bapa mereka mungkin ke bendang atau menoreh getah. Atau si ibu sibuk mengurus rumah.
5                   Anak-anak yang bersekolah belum kenal tata sosial. Ada anak-anak yang belum mengetahui tata bersosial dengan guru atau dengan rakan sekelas. Mereka tidak tahu hendak meminta izin untuk ke bilik air umpamanya. Tidak tahu mengucapkan terima kasih. Tidak tahu cara meminta maaf. Tidak tahu membantu rakan yang berat membawa buku. Tidak tahu meminjamkan pensil kepada rakan yang tidak membawanya.
6                   Ada anak-anak yang sangat berat mulutnya. Tidak hendak hanya geleng kepala. Jika setuju hanya angguk-angguk kepala. Jika tidak tahu hanya mengangkat bahu. Kesemua ini adalah salah. Salah dari segi komunikasi. Salam dari segi intersksi. Salah dari segi sosial. Tolong jangan didik mereka begitu. Jika tidak katakan tidak. Jika ya katakan ya. Didik anak-anak supaya mengungkan kata tidak, ya, tahu, mahu, tidak tahu dan sebagainya. Didik mereka untuk menyatakannya dengan perkataan. Dengan bercakap secara lisan. Jangan galakkan mereka berinteraksi dengan anggota tubuh badan sahaja. Kita hendak anak-anak bercakap. Menggunakan mulut mereka untuk bercakap. Pastikan apabila bercakap suaranya cukup kuat. Teratur. Tidak menjerit atau bercakap laju. Didik mereka menggunakan ayat penuh dengan istilah yang sesuai. Lebih tepat lebih baik.
7                   Didik anak-anak supaya memahami maksud bergilir-gilir. Bukan berebut-rebut. Bercakap ikut giliran. Membeli makanan secara bergilir. Masuk ke kelas bergilir-gilir. Keluar kelas bergilir-gilir. Kesemua ini adalah untuk mendisiplinkan kehidupan mereka. Bahwa setiap sesuatu ada peraturannya. Berkongi semua keadaan dengan orang lain.

Usia tujuh tahun adalah uisa anak-anak sewajarnya sudah mandiri. Sudah berdikari. Sudah bebas dari pertolongan ibu-bapa atau adik-beradik kecuali hal-hal yang berat, tinggi, jauh dan sebagainya. Apabila bersekolah anak-anak seharusnya sudah:

1                   Boleh mengurus diri seperti mandi, makan dan minum, beristinjak dan memakai pakaian yang sesuai. Berbedak, bersikat dan berpakaian kemas.
2                   Mengenal waktu dan mengetahui pentingnya menjaga waktu. Tidak perlu lagi dijerit-jerit dan dibentak-bentak. Mereka tahu menjaga waktu. Berperanan mengikut waktu. Terutamanya menjaga waktu solat.
3                   Mengenal wang dan tukarannya. Membezakan antara wang besar dan wang kecil. Jika boleh sudah mengetahui wang tukar dan baki setiap wang yang dibelanjakan.
4                   Mengenal bahaya dalam perjalanan seperti terhadap orang asing yang tidak dikenali. Bahaya kotor. Risiko kemalangan.

Ramai ibu dan bapa yang tidak mengetahui impliksi anak-anak yang belum berdikari ini kepada guru dan sekolah.

1                   Ada ibu yang berada di sekolah berbulan-bulan lamanya kerana menemankan anak-anak yang baru berada di tahap satu. Keberadaannya diperlihatkan kepada si anak. Sewaktu rehat anaknya perlu disuap atau ditemankan berbelanja di kantin sekolah. Banyak kerja lain yang tergendala. Rumah ditinggalkan. Anak-anak yang lain diserahkan kepada orang lain untuk menjaganya. Silapnya kerana anak itu tidak dimatangkan seawal mungkin supaya boleh berdikari. Boleh bersosial dengan rakan sebayanya. Supaya ibu itu bebas untuk melakukan kerja lain yang menjadi tugasnya di rumah.
2                   Ada guru yang terpaksa menjadi ganti kepada ibu dan bapa. Murid-murid mereka membuang air besar dan kecil tanpa boleh beristinjak. Itu belum anak-anak yang buang-buang air di kelas. Yang termuntah. Guru kelas itu yang terpaksa membasuh tubuh badan si anak. Membasuh kelas. Dan berbagai lagi yang tertanggung di bahu seorang guru sekolah kebangsaan. Hanya mereka yang sifat guru dan keibuannya sangat tinggi sahaja yang berupaya menghadapi kesemua karenah anak kecil yang baru bersekolah.
3                   Paling menggusarkan ialah keselamatan anak-anak. Ada masanya ibu atau bapa lambat mengambil anak dari sekolah. Ibu dan bapa perlu maklum bahawa tugas guru bukan hanya mengajar sahaja. Selepas tamat sesi mengajar guru perlu segera pulang ke rumah untuk makan, mandi, solat dan menukar pakaian. Pukul 3.00 petang ia mungkin diperlukan di sekolah untuk melaksanakan tugas-tugas kokurikulum. Pada tahap ini ibu dan bapa ramai yang tidak maklum. Guru banyak tugasnya. Menjadi sulit kepada guru apabila ada anak murid yang lambat diambil ibu atau bapa mereka.


Anak-anak adalah aset penting ibu dan bapa. Mereka adalah harapan masa hadapan mereka. Lebih cepat mereka matang lebih baik untuk mana-mana pasangan ibu dan bapa. Beajarlah sebanyak mungkin. Bertanyalah sebanyak mungkin. Buatlah pengamatan sebanyak mungkin. Orang lain telah melakukannya. Banyak manfaatnya belajar dari mereka yang lebih arif. Dari pengalaman mereka. Bagi ibu dan bapa muda inilah masanya untuk belajar dari mereka yang sudah berpengalaman. Bukan susah ‘copy and paste’ sahaja. Mungkin tambah kosmetiknya sahaja.

No comments:

Post a Comment