Tuesday, February 3, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Jangan Biarkan Gagal Berniaga Di Luar Kotak



Berniaga adalah suatu bidang yang menguntungkan. Lucrative kata orang putih. Benar jika memahami bahawa kejayaannya adalah berdasarkan 99% keringat (perspiration) dan 1% sahaja nasib (inspiration). Maksudnya berniaga wajib banyak usaha. Bekerja keras. Membuang tabiaat malas dan culas. Tidak leka dan alpa. Proaktif dan berfikiran jauh. Visi dan misinya menjangkau dan melampaui yang biasa-biasa sahaja. Seorang peniaga atau usahawan perlu jauh di hadapan mengintai peluang untuk diperkembangkan menjadi usaha yang menguntungkan. Boleh menghidu apa sahaja yang boleh ditukar menjadi keuntungan. Kata orang, perniagaan adalah jendela yang membuka kepada jendela-jendela lain yang lebih besar. Malangnya, malangnya apa yang dilihat di jendela itu tidak dilihat oleh orang lain.

Orang lain selalunya hanya melihat dengan penuh sceptic apabila ada orang lain menceburkan diri dalam perniagaan. Tidak seperti orang Cina umpamanya yang berniaga apa sahaja walaupun persaingannya sangat sengit. Sesama mereka sendiripun. Bagi orang kita mereka yang berniaga ditonton dan kurang diberi sokongan moral. Kurang nasihat membina. Motivasi jarang sekali. Malah institsi kewangan yang pegawai-pegawainya orang kita sendiri selalu memandang sepi permohonan pinjaman dan sebagainya. Hanya kertaskerja yang dinilai. Kertaskerja itu yang dikira kunci sama ada usaha yang akan dijalankan berdaya saing atau bedaya maju atau berdaya untung. Kertas yang dinilai dan bukan prospeknya yang hakiki. Mereka yang bijak menulis kertaskerja mendapat pinjaman walaupun perniagaannya tidak ada jaminan berdaya maju. Mereka yang tidak mahir menulis kertaskerja gagal mendapat pinjaman awal. Sejarah menunjukkan mereka yang kertaskerjanya tidak dipertimbangkan ini ramai yang akhirnya berjaya. Perniagaannya mencapai keuntungan. Membesar dan berdaya maju. Ketika itu ramailah yang membuka mata.

Ramai yang mula mendekati. Ingin mengetahui rahsia kejayaannya. Ingin tahu resepinya. Ingin tahu juga perancangannya. Penulis ingin mengingatkan kepada usahawan-usahawan yang sudah berjaya ini. Hubaya! Hubaya! Banyak jerung yang mencari mangsa.

1                    Seperti biasa ramai yang ingin menjadi rakan kongsi. Menawarkan modal yang besar jumlahnya.
2                    Ramai pembekal yang menawarkan kontrak besar.
3                    Ramai pengedar yang sanggup berpenat lelah.
4                    Pelabor kecil dan besar mula membuat temujanji.
5                    Akhirnya pegawai bank yang dahulu menolak permohonannya mula tebal muka mendekati. Mula menawarkan modal. Mula cuba memberi nasihat perniagaan. Mula menawarkan memberikan berbagai-bagai kemudahan seperti akaun, draf bank dan sebagainya.
6                    Akan ada pula mereka yang cuba menarik perhatian peniaga atau usahawan yang berjaya ke arah bidang lain.

Kesemua 1 hingga 5 adalah tawaran-tawaran mencari keuntungan segera. Mereka tidak terlibat dengan susah payah memulakan perniagaan. Mereka tidak merasa pahit maung dan asam garam mencari kejayaan. Mereka tidak tahu peritnya memulakan perniagaan. Usahawan yang baru mula berjaya wajar berwaspada dengan tawaran-tawaran indah ini. Banyak jerangkap samar yang terlindung. Mereka seharusnya meneruskan usaha supaya terus maju. Abaikan tawaran-tawaran tersebut dengan senyum dan manis muka. Bukan sombong tetapi berwaspada. Bukan menolak tuah tetapi mencari kekuatan sendiri yang lebih kukuh. Apabila sudah bertapak kukuh bolehlah difikirkan untuk membuka anak syarikat. Ketika itu bolehlah mencari rakan kongsi jika ada yang sudi. Namun sentiasalah belajar dari pengalaman. Mencari ilmu supaya usaha untuk mengembangkan diri tidak pula teraniaya. Peru belajar bisness. Perlu belajar undang-undang mengenai kontrak dan yang berkaitan. Perlu belajar undang-undang mengenai perniagaan seperti perkongsian, sendirian berhad dan sebagainya. Sentiasa siap siaga untuk berhadapan dengan cabaran pada masa hadapan. Mengenal jerangkap, umpan dan pacuan kejayaan yang sebenarnya.

Mengikut pengamatan penulis, ramai usahawan yang berjaya akhirnya terperangkap apabila dipujuk untuk menceburkan diri dalam bidang yang di luar kotak mereka. Maksudnya menjalankan perniagaan dalam bidang baru yang tidak banyak diketahui. Selalunya hartanah. Atau industri lain. Sebahagian pengamatan sebenar yang dalam makluman penulis menunjukkan mereka yang terpujuk ini akhirnya gagal mengekalkan momentum kejayaan awal mereka.

1                    Seorang pemilik sebuah stesen minyak sangat berjaya kerana kebetulan stesen minyaknya sangat strategik. Setelah beberapa ketika dia dipujuk untuk menceburi industri tekstail kerana kebetulan di daerahnya industri tekstail agak berkembang maju. Minyak dan tekstail tiada kaitan langsung. Tuntutan prosesnya berbeza. Dia berupaya mengurus stesen minyak tetapi tekstail menjadikannya terkapai-kapai kerana itu bukan bidangnya. Ilmu dan pengalaman mengenainya tidak ada. Akhirnya dirinya yang malang. Bukan sahaja kilang kecil tekstailnya yang gagal, urusan stesen minyaknya juga menemui kegagalan hingga ianya terpaksa dijual kepada pengusaha lain. Sedih bukan kepalang. Pengusaha yang seharusnya terus maju, gagal di tengah jalan. Sebab itu penulis mengingatkan supaya mereka yang sudah berjaya bersabar dahulu sebelum menceburi bidang di luar kotak kemahirannya. Belajar dahulu sebanyak-banyaknya untuk menjaga kepentingan diri.
2                    Seorang usahawan yang gah dengan makanan kesihatan juga mengalami hal yang sama. Setelah usahanya berjaya dia ditarik untuk menceburi bidang hartanah. Dia tertarik dengan unjuran-unjuran yang berskala besar. Yang dijanjikan berdaya maju dari segi stastik. Dari segi prospektif. Malangnya itu bukan bidangnya. Dia tidak mengetahui perangkap risiko yang diceburinya. Usahanya dalam bidang makanan kesihatan menghadapi masalah modal pusingan.  Bekalan selalu terputus. Keyakinan pelanggan merudum. Pengedar-pengedarnya mengeluh. Dalam perniagaan keyakinan sangat penting. Apabila pengguna hilang keyakinan maka tanggapan dan sikap menyokong mereka menjadi pudar. Kelewatan bekalan yang hanya beberapa jam sahaja sudah cukup membosankan. Sebuah empayar yang hendak dibina akhirnya runtuh.

Semua antara kita ingin maju apabila berniaga. Ingin menjadi usahawan yang berjaya. Menjadi rujukan. Kerana itu usahawan yang baru berjaya hendaklah lebih berhati-hati dengan godaan untuk menceburkan diri ke dalam bidang baru yang di luar kotak pemikirannya. Di luar bidang kemahirannya. Bukan fokus idaman semasa. Semua perkara perlu berlandaskan kepada masa. Kata orang sesuatu yang mendahului masa menjurus kepada kegagalan. Khalayak belum lagi terfikir untuk menggunakan produknya. Sementara itu sesuatu yang ketinggalan masa tidak membawa apa-apa manfaat. Orang lain sudah tidak perlukannya lagi dalam kuantiti dan kualiti yang menguntungkan. Kerana itu timing is vital.


Tahniah kepada mereka yang sudah berniaga. Tahniah dan tahniah kepada mereka yang sudah berjaya. Tahniah, tahniah dan tahniah kepada mereka yang usahanya berdaya maju, yang berdaya saing, yang berdaya untung, yang mengungguli industri. Kongsikan resepi anda kepada mereka yang terpercaya. Bukan kepada semua orang. Penulis khuatir akan ada yang cuba merosakkan kejayaan yang telah dibina. Bina rangkaian bersama mereka yang sehaluan. Bantu membantu. Sokong menyokong. Sama-sama naik untuk membela kaum, bangsa dan agama. Insyaallah akan diberkati Allah.

No comments:

Post a Comment