Thursday, January 29, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Mengajar Anak-Anak Tulis Baca



Kita berhadapan dengan berbagai cabaran media dan hedonism. TV umpamanya adalah sumber hedonism paling mencabar. Telefon bimbit dan I-phone walaupun pengaruhnya amat meluas tetapi tidak kepada anak-anak kecil. Kali ini kita berbicara mengenai pendidikan awal terhadap anak-anak. Termasuklah cucu dan cicit bagi mereka yan berkenaan. Kadang-kadang kita megambil sikap mudah. Anak-anak kecil diletakkan di hadapan TV. Mereka dididik secara salah menonton paparan yang bukan hak.

1                    Perkataan dan istilah yang didengar bukan hak. Tidak sesuai mengikut peringkat usia anak-anak kecil.
2                    Gelagat yang dipertonton banyak yang tidak islamak. Pegang, sentuh dan peluk yang bukan hak.
3                    Ketawa yang berlebihan sedangkan yang digalakkan ialah menyesali diri. Muasabah diri. Banyak bertaubat. Banyak menangis mengenangkan diri sebelum mati dan sesudah mati.
4                    Banyak nyanyian sedangkan yang perlu didengar dan disebut ialah zikir, ayat al-Quran dan pujian ke atas kebesaran Allah.
5                    Banyak pakaian yang tidak menutup aurat. Menentang ajaran agama dan menyalahi didikan kepada anak-anak kecil.
6                    Banyak waktu terbuang sedangkan ianya wajar digunakan untuk membaca, menghafal al-Quran, mengaji, bertalaqqi, berdiskusi, mendengar ceramah dan berbagai lagi manfaat waktu untuk agama.

Kita bukan bercakap mengenai remaja. Kita bercakap mengenai anak-anak sejak mereka dilahirkan hingga usia mereka tujuh tahun. Atau mungkin sewaktu usia mereka lima tahun. Sebelum lagi mereka ke TADIKA atau PASTI. Kita terlalai ketika usia anak-anak sebegitu muda. Apa yang kita fikirkan ialah selalunya kita hiburkan mereka secara salah. Menyalahi didikan yang boleh mendekatkan mereka kepada agama. Kepada Allah. Kerap sangat kita melihat situasi yang tidak wajar.

1                    Anak-anak kecil diajar menyanyi. Kadang-kadang senikata lagu itu layak untuk orang dewasa sahaja. Mereka tidak tahu ertinya senikata lagu yang mereka nyanyikan. Mereka selayaknya diajar untuk menghafal ayat-ayat al-Quran. Didik mereka untuk mengulangnya berkali-kali seperti zikir. Semasa mereka kecil inilah ayat-ayat tersebut mudah menjadi darah daging kepada mereka. Jiwa mereka masih terlalu bersih. Lidah mereka masih lembut. Hati mereka masih mudah diisi. Biar mereka mengulang baca semasa bermain. Semasa berlari. Semasa di dalam kenderaan. Biar ayat-ayat al-Quran bermain di mulut mereka. Di bibir mereka. Mudah-mudahan lekat di hati mereka.
2                    Anak-anak kecil diajar menari. Sewajarnya mereka diajar solat. Melakukan gerakan-gerakan solat dari solat fardhu hinggalah solat sunat. Biar mereka jinak dengan solat bukan dengan tarian.
3                    Anak-anak kecil perempuan berpakaian yang kurang islamik. Tidak labuh dan tidak memakai tudung atau telekung. Tidak dididik untuk menutup aurat sejak mereka kecil lagi. Semasa mereka berusia muda inilah mereka perlu dibiasakan supaya menjadi perisai yang menahan mereka dari hal-hal yang bukan islamik.
Banyak bukti yang menunjukkan bahawa anak-anak kecil sangat mudah dididik ke arah yang betul. Baru-baru ini sepasang suami isteri berjaya menjadikan anak perempuannya yang berusia tiga tahun enam bulan menghafal 30 juz al-Quran. Dalam masa kira-kira enam bulan sahaja. Dari bangun tidur hingga anak itu tidur minatnya membaca dan menghafal al-Quran. Ibu dan bapa yang mengawal anak. Masih boleh menonton TV tetapi pilihkan rancangan yang mendidik mereka. Bukan semua rancangan apa yang ada. Bukti-bukti penyelidikan menunjukkan bahawa menghafal al-Quran banyak kebaikannya.

1                    Mudah menghafal hal-hal yang lain seperti formula, sifir, fakta dan teori-teori seperti yang dipelajari di sekolah.
2                    Daya ingatan lebih kuat.
3                    Cerdas berfikir dan sentiasa bergerak maju. Tidak statik dan suka intuitif.
4                    Daya fikir juga lebih kuat kerana mata, lidah dan seluruh derianya menumpu kepada al-Quran.
5                    Ulamak zaman dahulu menghafal al-Quran terlebih dahulu sebelum mempelajari apa-apa yang lain. Seperti kita maklum kerana itu mereka menjadi pakar dalam banyak bidang. Ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran terpancar menjadi ilmu-ilmu berguna untuk kegunaan di dunia.

Mendidik anak-anak biarlah seawal yang mungkin. Ajar mereka bercakap secepat mungkin. Bercakap dengan sukukata yang lengkap. Jelas sebutannya. Tersusun tertib dan intonasinya. Ajak mereka selalu berbual, bercakap, menyebut sesuatu dengan betul. Bercerita dengan bahasa baku. Dengan ayat sempurna. Dengan istilah yang tepat. Cari ruang dan peluang untuk bercakap dengan anak mengenai apa sahaja tajuk. Mungkin melayan mereka bercerita mengenai apa yang mereka lihat. Apa yang mereka pegang. Apa yang mereka tahu. Atau apa yang mereka baca. Atau cerita-cerita lain yang terlintas pada fikiran mereka. Layanan bercakap itu membina perbendaharaan kata mereka. Cara sebutan yang betul. Menggunakan susuk ayat yang betul. Menggunakan perkataan dan istilah yang betul. Tegaskan supaya mereka bercakap dengan ayat yang jelas. Mulakan dari ayat yang pendek hingga mereka boleh menguasai ayat yang lebih panjang hingga ayat yang lebih kompleks. Setiap pertanyaan anak hendaklah dilayan sepenuh hati. Beri jawapan yang jelas dengan contoh-contoh yang dapat mereka faham. Suatu ingatan dari penulis, anak-anak kecil apabila bertanya perlukan jawapan yang panjang lebar. Bukan yang ringkas dan padat untuk memendekkan perbualan.

Sejak awal, perkenalkan dengan huruf Arab atau Jawi, huruf rumi dan angka. Lebih banyak bahasa lebih baik. Melayu, Arab, Inggeris atau bahasa ibunda/keluarga seperti Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Aceh, Bajau, Dusun, Jakun, Sakai, Dayak, Murut dan sebagainya. Kepelbagaian itu hendaklah berperingkat-peringkat. Pada mulanya ajarkan mereka yang asas seperti Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Dari awal lagi ajar mereka menghafal ayat-ayat lazim bermula dari surah al-Fatihah. Pindah kepada surah-surah yang lain seberapa banyak yang lain. Kenalkan huruf supaya mereka boleh mengenal dan membezakannya antara satu huruf dengan huruf yang lain. Apabila mereka sudah mengenal huruf pindah membaca al-Quran. Sambil membaca sambil menghafal. Sekitar usia empat tahun cantik jika sudah khatam al-Quran dan pada masa yang sama sudah menghafal banyak surah-surah lazim dan surah-surah yang tidak panjang. Pada masa yang sama juga ajar mereka membaca Jawi dan rumi. Insyaallah sebelum masuk ke TADIKA anak-anak sudah pandai membaca dan menulis. Yang lebih cantik lagi mereka sudah khatam al-Quran. Bertambah cantiknya kerana mereka sudah menghafal banyak surah dari al-Quran.

Jika ini dapat dilakukan oleh pasangan ibu dan bapa muda penulis yakin anak-anak bukan menyanyi tetapi menghafal al-Quran. Mereka bukan menari tetapi berjamaah dengan keluarga atau di masjid dan surau bersama jamaah setempat. Mereka bukan bermain tetapi banyak membaca, membina aqli mereka ke tahap yang lebih tinggi dari tahap usianya. Tutur bicaranya bukan senikata lagu tetapi al-Quran. Mudah-mudahan generasi ulum al-bab bukan hanya khayalan. Ianya realiti bagi yang mahu mengerti. Ketepikanlah yang lain. Anak-anak kita tanggungjawab kita. Mereka adalah kain putih. Warna dan berusnya di tangan kita. Warnailah mereka dengan warna akhirat. Insyaallah

No comments:

Post a Comment