Thursday, May 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Insan Hebat Yang Tidak Ternilai

Antara ramai calon, dialah yang terpilih. Pada dirinya tercatat ciri-ciri petugas pilihan. Sihat tubuh badan. Lincah dan cergas. Memiliki intelek yang sesuai. Stabil dan waras dari segi psikologi. Orangnya ambivert iaitu antara ekstrovert dan introvert. Tidak banyak mintanya. Tidak banyak sungutnya. Boleh bertugas tanpa had. Tidak menolak apa sahaja tugas yang digalaskan di bahunya. Ia masih boleh senyum dan gelak dalam kepenatan. Tidak menangis dalam kepayahan. Banyak bersyukur dalam apa sahaja keadaan. Siang dan malam ia bertugas. Tidurnya dihalang-halang. Rehatnya disekat-sekat. Duduknya dibantah-bantah. Dapatkah kita mengerti hebatnya insan ini? Tidak memilih yang terbaik kerana itu di luar mintanya. Tidak banyak menolak kerana itu anugerah untuknya.

Ada yang meminta supaya dia sentiasa memberikan perkhimatan yang terlalu banyak. Kesemuanya dilakukan dengan senyum. Tidak pula ada malasnya baik siang atau malam. 24 jam yang tiada hentinya. Tidurnya dalam jaga. Jaganya dalam tidur. Rehatnya hanya ketika melayan karenah orang-orang di sekelilingnya. Perginya dicari. Lamanya dinanti. Hilangnya yang sebentar ditagih-tagih ke mana. Di luar ada yang memanggil. Di dalam ada yang meminta. Ada yang mahukan itu dan ini. Mana ada penat bagi dua kaki yang fitrahnya untuk pantas bergerak. Tugas itu dipilihnya dengan rela hati. Dengan kesungguhan yang tidak terperi. Tempat bertugasnya tidak menentu. Mungkin besar mungkin sahaja kecil. Mungkin tinggi dan mungkin rendah. Mungkin di kampung dan mungkin di bandar. Tempat bertugas bukan penentu yang hakiki. Yang diperlukan ialah tugasnya.

Saban tahun tugasnya bertambah. Tidak pernah ada yang surut. Beban tugasnya berganda-ganda. Dari dalam hingga ke luar. Dari dekat hingga jauh. Kadang-kadang keluar pagi, tengahari, petang dan malam. Ada sahaja tuntutan yang perlukan khidmatnya. Jadual itu rutin hidup dari satu masa ke satu masa yang tiada siapa dapat menentukan dengan jelas. Yang pastinya ia mesti beres. Ia tahu dengan sendiri untuk mengurus apa yang perlu. Seperti termaktub sejak ia melamar kerja itu. Dari saat ia memulakan tugas ia tidak pernah cuai. Ia menjadi nadi dalam organisasi. Semua urusan terletak di bahunya. Hujan dan panas hanya perubahan. Siang dan malam hanya waktu. Jauh dan dekat hanya jarak. Senang dan susah hanya kadar. Kesemuanya sama sahaja asalkan beres. Bukan untuk berehat tetapi untuk satu tanggungjawab yang pasti. Yang perlu disempurnakan. Tidak ada orang lain yang boleh berkongsi tugasnya. Tidak mungkin ada yang serupa.

Mereka yang perlukan khidmatnya mendesak segera. Hendak banyak. Tidak mengira waktu. Mintanya dengan menangis. Ada yang merengek. Ada yang mendesak-desak. Ada yang takut-takut. Ada yang nakal-nakal. Ada yang berbisik-bisik. Ada yang tidak puas hati. Namun sesekali ada yang menggoda. Menyejukkan perasaan berat di hati. Senyum tidak pernah terhalang. Riang dan tawa tidak pernah kurang. Rajuk tentulah sayang. Sepanjang masa bertugas. Sepanjang waktu menyempurnakan apa yang perlu. Ia bukan seorang lelaki superman. Bukan lelaki jagoan. Bukan lelaki gagah yang ototnya tersembul kejap. Bukan lelaki muda yang gagahnya tidak terbilang. Kekallah ia sebagai petugas yang selalunya tanpa identiti. Tanpa entiti. Tidak ramai yang menilai. Tidak ramai yang mengakaun khidmatanya. Tidak ramaipun yang perasan kehadirannya. Semasa ada tidak ramai yang peduli sangat. Cuma bila tiada masing-masing tercari-cari dan tertanya-tanya.

Tugas 24 jam itu tidak pernah dinilai dengan wang. Tidak ada yang memberi gaji lumayan. Tiada elaun kerja lebih masa. Tiada elaun kerana occupational hazard yang dilaluinya setiap masa. Tiada insuran untuk menjamin keselamatannya. Tiada waranti untuk memberikannya perlindungan yang wajar. Bayangkan bertugas 24 jam tanpa gaji. Tanpa elaun. Tanpa rehat. Tanpa tidur. Tanpa duduk. Tanpa bergerak jauh dari tempat bertugas. Siang dan malam sama sahaja. Bukan ada keringanan. Bukan ada yang membantu. Khidmatnya diperlukan pada bila-bila masa. Jika dikira mungkin pendapatannya menjadikannya seorang jutawan. Dia tidak memilih untuk mengelak. Dia tidak menjadikannya isu. Tidak pernah diminta. Tidak pernah dibincangkan. Sedikitpun tidak ada ungkapan ragu. Redha selamanya. Masih terus senyum memanjang. Masih terus banyak tawanya dengan barisan gigi yang putih. Masih sihat dan senang banyak geraknya. Masih lincah dengan hambatan tugas tanpa kira.

Gilakah petugas ini. Di mana tahap psikologinya. Adakah skala yang boleh mengukur inteleknya. Atau siapakah dia sebenarnya. Identitinya yang jarang benar diketahui umum. Ramai yang mengerti tetapi tidak pernah membincangkannya secara khusus. Apatah lagi secara serius. Siapa dan siapa??????????

Dia adalah seorang wanita
Yang menjadi seorang isteri
Yang bergelar seorang ibu
Yang menolak menjadi madu
Redhanya seluruh jiwa
Nafasnya untuk keluarga
Nyawanya hingga ke hujung dunia
Kasihnya hingga ke syurga

Larinya hanya keliling
Jalannya memberi pilihan
Tawanya menghibur
Tegurnya membetul
Marahnya penuh sayang
Rajuknya penuh kasih

Bicaranya menusuk
Diamnya merancang
Sepanjang usianya penuh khidmat
Kesemuanya disayangi sepenuh hati

Kita hanya melihat ibu sehari dalam setahun. Hari ibu. Di mana adilnya. Cukupkan membalas yang banyaknya tidak terkira. Bila hendak merehatkannya. Atau bila hendak membantu mengurangkan bebannya. Sambutlah tawanya selalu. Panjangkan senyumnya selalu. Usap perasaannya yang syahdu. Dalam diri yang satu itu terhimpun kesemua ruang kasih dan sayang yang tidak terhingga. Memberi tetapi tidak meminta. Jiwa dan raganya untuk suami dan anak-anak. Seorang ibu yang tidak bergaji. Seorang ibu yang tidak diberi ganjaran wang. Seorang ibu yang kenyataannya seorang insan terpilih antara ramai yang boleh dipilih. Betapa untungnya kerana memiliki seorang ibu. Tangannya yang halus selalu menggoncang dunia. Buaian hanya mainan yang diayun dengan irama kasih sayang.

Kita selalu tinggalkannya keseorangan. Kita tinggalkannya di belakang kerana tuanya. Kerana uzurnya. Sebelum dia meninggalkan kita, kita selalu meninggalkannya. Tidak menaruh ingat untuk bersama selalunya. Akan tiba nanti masanya dia meninggalkan kita selama-lamanya. Ketika itu kita sudah habis ikhtiar untuk mencarinya. Yang ada sekelumit kenangan yang dibalik-balik dalam hati. Dalam minda yang tepu. Dalam perasaan yang akan selalu sayu. Kita menjadikannya suatu fitrah yang direka-reka untuk tidak bersamanya. Tali kasih seolah-olah kita putuskan sebelum putus. Kita pergi sebelum dia pergi. Kita jauh sebelum dia menjauh. Kita hilang rindu sehingga dia tiada lagi untuk dirindu. Hari ibu bukan untuknya. Janji ibu bukan juga untuknya.

Ibu, di bawah telapak kakimu letaknya syurgaku. Keampunan darimu dengan redha. Abadilah dalam sanubariku. Semoga Allah merahmatimu. Hidupmu dan matimu dilindungi Allah. Amin.

Wednesday, May 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Megusap Wajah Kesayangan


Dahulu sebelum terikat banyak bebasnya yang tidak mengikat. Hanya diri sendiri yang perlu faham tanggungjawab. Sejak ada orang di samping segala-galanya berubah. Diri ini sedar bahawa ini adalah pilihan hati. Ingin menamatkan zaman bujang. Telah diambil perkiraan bahawa telah sampai masanya untuk bersama seseorang. Telah lamapun dikenali. Sudah dikenal hati nuraninya. Dia terpilih dari ramai yang berbaris untuk dipilih. Tidak semua kriteria ada pada dirinya. Namun kriteria penting ada pada dirinya. Orangnya tidak cantik tetapi masih mampu ditoleh untuk kali kedua. Tidak kaya tetapi cukup makan dan pakai. Tidak dari keluarga ternama tetapi diri ini tahu ia datang dari keluarga baik-baik, sihat dan lurus perjalanan keluarganya. Yang penting dia memahami selok belok agama. Tahu beribadat dengan sebaiknya. Menjaga hukum halal dan haramnya. Boleh mengajar yang tidak tahu. Benarlah antara empat kriteria, pilihlah agama kerana cantik di dalam adalah segala-galanya. Dirinya dekat kepada Allah. Kita lebih dekat kepada Allah. Sokong-menyokong yang membawa tegaknya binaan rumahrangga yang diredhai.

Menghadirkan orang di samping bukan semudah memilih buah. Pilih yang segar. Pilih yang besar. Pilih yang tiada cacat celanya. Pilih yang harum baunya. Jika boleh pilih yang murah tetapi kualitinya sangat terjamin. Mana ada insan seperti itu yang mudah dipilih. Zahirnya selalu dilihat menarik kerana kita hanya mampu dan berkesempatan memandangnya dari jauh. Sukar menyelami hati budi insan yang bukan mahram. Yang ajnabi. Tekaan mungkin banyak betulnya. Namun tidak pernah 100%. Kiranya tidak, sipi-sipipun jadilah. Yang penting ada peluang untuk bersama membina sesuatu yang abadi sepanjang zaman. Mengharungi susah dan senang bersama. Jatuh dan bangun bersama. Sakit dan sihat bersama. Yakin bahawa bahtera yang banyak olengnya dapat dikemudi hingga ke pantai bahagia. Menambat pantai yang putih bersih. Yang menebar kebebasan berlari dan berlari. Tepian pantai yang indahnya memanjang jauh di hujung tanjung. Harapan yang tiada sudahnya.

Kita telah memilih seseorang yang kita sandarkan harapan. Pada dirinya tidak ada kesempurnaan yang sempurna. Cukup untuk dirindu. Cukup untuk disayang. Cukup untuk membahagiakan sebahagia yang mampu dicipta dalam keterbatasan waktu bersama. Lalu berjalanlah waktu tanpa henti. Siang dan malam yang berganti merubah lanskap diri dan pasangan. Rumah yang semakin riuh. Tangganya semakin ramai yang naik dan turun. Tidak ada yang berubah kasihnya. Sayangnya yang semakin mengikat. Waktu-waktu yang berlalu mengalirkan kelangsungan warisan. Keluarga yang membesar dengan cucu cicit dan datuk nenek. Menelusuri gambar-gambar lama seperti baru semalam yang ditinggalkan. Banyak yang menggamit keindahan mengenang. Banyak juga lucu dan tawanya. Pada cermin yang dilihat hanya mainan mata. Gigi yang sudah banyak tiadanya. Mata yang banyak tidak nampaknya. Telingan yang banyak tidak dengarnya. Selera sudah terbuang kecurnya. Lidah sudah lupa msin dan manisnya.

Selalu diurut sendi yang meregang. Otot yang kendurnya entah bila. Jalan sudah menapak lambat kerana keringnya tenaga menua. Bercakap entah yang apa-apa. Dalam diam masih ada seseorang yang selalu bersama. Menemani diri hingga ke hujung usia. Kehadiran yang diiring bersama. Sentuhan deria rasa yang masih hangat menambat hati. Bahtera masih tertambat di pantai. Pasir masih memutih. Ombak yang menghempas pantai bagai irama yang tiada terpisah. Datang juga semarak kasih yang mewangi. Warna-warna bahagia yang tidak hilang dari hati. Yang meresap jauh ke dalam sanubari. Dalam usia yang hilang gunanya kebersamaan masih utuh digenggam erat tiada melepasnya. Bukankah bara api telah dilalui. Lautan telah direnangi. Di angkasa telah terbang bersama. Ke mana lagi jika tidak melabuhkan kasih dan sayang yang berbaki.

Suatu kebahagiaan untuk mereka yang panjang sayang dan cintanya. Apabila kita toleh ke kanan dan ke kiri situasi sebegitu semakin sukar dilihat. Mengapakah kebahagiaan hanya selama berbulan madu. Terlalu cair manisnya. Terlalu bersadur madu yang dikecap. Banyak racun yang bersarang. Kasih sukar ditambat. Sayang sukar diikat. Bahagia sukar dibina. Terlalu banyak bahtera yang ingin dikemudi. Terlalu banyak pantai tempat berlari. Terlalu mengejar bintang yang ribu tetapi meninggalkan bulan yang satu. Apabila hidup terikat menjadi sangkar menjerat maka kahidupan berumahtangga sukar bernafas. Ikatan yang dihadirkan rupanya menjerat dan menjerut. Tidak ada nafas untuk mencipta stamina cinta. Tiada wadah sayang. Hilang nur kasih yang dahulunya terang. Luntur hanya sekejap masa.

Diri tidak perlu terlalu mengejar bayangan. Mimpi bukan tentu betulnya. Angan-angan selalu memang kosong. Mencari yang tiada tentu sukar. Meninggalkan yang sudah ada tentu zalim namanya. Mengabaikan yang hak tentu mendatangkan murka Allah. Pilihan yang sukar dibuat dahulu diketepikan kerana percikan godaan syaitan. Terlupa dengan janji untuk sehidup dan semati. Carilah jalan kembali sebelum tersesat jauh. Berundurlah mencari cinta yang tersisih. Dambakan lagi sayang yang terbuang. Hadirkan semangat membara mengharungi semua yang menghalang. Pegang semula perisai melindung dari serangan. Pakai semula baju besi untuk terus berjuang mengekal rumahtangga. Tentu banyak sayangnya jika masjid runtuh tanpa jemaah. Padang rosak tanpa permainan. Gelanggang jongkang jungkit tanpa dapat menari.

Kembalilah ke dasar hakiki. Bersama untuk ke akhir hayat. Bersama untuk meramaikan umat Muhammad. Membina keagungan agama. Berjihad untuk membahagiakan pasangan dan anak cucu yang bakal lahir. Buang ke tepi ego yang memamah cinta. Buang falsafah diri yang menggigit sayang. Rumahtangga dibina untuk dua orang dan bukan untuk bersendiri-sendiri. Zaman bujang yang sendiri bebas dahulu diharmonikan dengan keperluan untuk berdua. Membuang kebiasaan yang tidak ada lagi tempatnya. Sesuatu yang baru semestinya digubah indah dengan warna sayang dan cinta yang baru. Hangatnya memanjang hingga ke akhir zaman. Ramai mereka yang di sekeliling senyum senang. Tumpang bahagia sekadar cukup menyaksi. Teruskan mengusap wajah kesayanganmu. Hatimu dan hatinya bertaut kasih. Dianyam bak sutera yang lembut membalut setia.

Tuesday, May 6, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Masih Ingatkah?


Ingatkah anda semasa di dalam perut ibu dahulu? Dari setetes benih menjadi darah lalu menjadi segumpal daging lalu menjadi dalam bentuk manusia dan akhirnya menjadi anda seperti yang ada sekarang. Masihkah ingat sewaktu ibu anda membawa perutnya ke mana sahaja ia pergi. Semakin lama semakin membesar. Semakin berat. Semakin payah hendak bergerak. Jalannya payah. Duduknya payah. Tidurnya payah. Dalam kepayahan itu semua urusan rumahtangga perlu dibereskan. Lantai perlu disapu. Bilik perlu dikemas. Anak-anak perlu disiapkan. Makan dan minum perlu disediakan. Basuh-membasuh tidak pernah terabai. Sidai dan susunnya setiap hari. Apabila malam diurutnya kakinya sendiri. Anak-anak sibuk membaca buku. Menonton TV. Kadang-kadang apabila ayah tidak sibuk ayahlah yang mengurut dan memberi kelegaan kepada ibumu. Tentu anda tidak ingat kerana anda belum dilahirkan untuk menyaksikannya.

Ingatkah semasa setiap bulan ibu anda ke klinik kerajaan untuk pemeriksan bulanan perutnya yang mengandungi anda di dalamnya. Berulang-ulang sehingga bulan yang kesembilan. Kadang-kadang dua kali dalam sebulan jika ada komplikasi. Anda yang di dalam perut yang berkomplikasi. Ke klinik mendaftar awal. Datang seawal pukul 7.00 pagi untuk mendapat giliran awal. Itupun terpaksa menunggu sehingga pukul 9.00 pagi baru pemeriksaan bermula. Doktor memeriksa ibu-ibu yang sudah bersalin dahulu. Doktor sakitpuan bukan ramai. Mereka yang tidak seberapa itulah yang beban kerjanya memberat perasaan. Jika giliran ibumu lewat maka hingga pukul 11.00 pagi belum tentu sudah pulang ke rumah. Hari itu ayahmu membeli makanan di kedai. Ibumu tidak sempat memasak. Penat menunggu giliran yang membosankan. Setiap bulan berulang. Berpindah dari satu bilik ke satu bilik. Air kencing, najis dan darah berulang-ulang diperiksa. Tentu anda tidak ingat kerana anda lena di dalam perut ibumu. Selesa di tempat fitrahnya segala janin manusia.

Ingatkah anda bahawa di dalam rahim ibumu itulah anda dihidupkan oleh Allah. Dari satu tahap ke satu tahap yang lain. Ada satu saluran yang mengubungkan anda dan ibumu. Seutas tali perut yang mengalirkan makanan yang menghidupkan. Yang menghidupkan. Yang membesarkan anda dalam dunia anda yang tersendiri. Menunggu masa untuk dilahirkan ke alam yang penuh dengan dugaan dan cabaran ini. Semasa dunia mengetahui ibumu mengandung terlalu ramai orang yang tumpang gembira. Sewaktu ibumu hampir melahirklan anda ramai pula yang menghadiahkan doa. Tidak kurang pula yang cemas. Yang lain pula rasa teruja dengan kedatangan seorang lain umat Muhammad. Tentu anda tidak ingat kerana anda masih dibuai dalam dunia anda yang tersendiri.

Ingatkah semasa ibumu bertarung nyawa untuk melahirkanmu? Segala otot di badannya seperti tercabut. Segala sendi yang menyambungkan bahagian tubuhnya terperti tercerai. Nyawanya tinggal sedikit seperti sudah di kerongkong. Sudah dekat dengan ubun-ubun. Tiada siapa yang dapat membantu meredakan sakitnya. Airmata sudah jangan dikira banyaknya. Doa dan pohon perkenan dari Allah tidak putus-putus di bibir. Air selusuh telah lama diminum. Ayahmu solat sunat hajat sebanyak rekaat yang mampu. Doanya juga panjang-memanjang. Menanti kehadiranmu cukup lama dirasa. Sakit ibumu adalah sakit kasih. Resah ayahmu adalah penantian sayang. Ternanti-nanti suara tangisan dari mulutmu yang menjengah dunia. Pengorbanan seorang ibu yang menanggung risiko yang tidak pernah terlintas di hati. Yang penting anda dikandung. Anda dilahirkan. Anda akan dibesarkan menjadi anak yang soleh. Anda tidak ingat semua itu kerana anda masih lambat mencari laluan untuk melihat dunia.

Ingatkah semasa anda dilahirkan? Sedikit demi sedikit seperti menyeksakan ibumu? Sakit yang bertambah sakit. Teran dan tenaga yang entah dari mana datangnya. Sekuat hati yang tiada terukur dengan apa skala sekalipun. Malah ada ibu yang terjerit kerana sakit yang tidak lagi tertanggung. Berapa ramai ibu yang pengsan kerana melahirkan anak sepertimu. Betapa ramai ibu yang syahid kerana melahirkan seorang anak yang ditunggu-tunggu. Anak yang diharap membela keluarga. Yang menyambung leluhur untuk kelangsungan sebuah turunan keluarga. Betapa pedihnya bagi ibu yang dibedah perutnya untuk mengeluarkanmu dari ruang lain dan bukan yang biasa. Sakit melahirkan yang bertambah-tambah. Sebelum dan sesudahnya. Berminggu-minggu menahan derita kerana seorang anak yang dikasihi. Untuk ditumpangi kasihnya apabila sampai masa tuanya nanti. Tentu anda tidak ingat kerana anda belum tahu apa-apa. Ketika itu anda hanya mencari dan menagih susu dari ibumu.

Ingatkah lagi sewaktu anda diriba dan disusui? Susu ibumu sendiri. Ibu yang mengandungkanmu. Ibu yang melahirkanmu. Ibu yang mempersembahkan nyawanya untuk melahirkanmu. Susu itu tersangat mahal tetapi anda tidak pernah mengira kosnya. Tidak pernah menyukat kualitinya. Apatah lagi kuantitinya. Anda tidak pernah bertanya dari mana susu itu datangnya. Tidak pernah tahu bahawa susu ibu itu makanan terbaik untuk bayi sepertimu. Makanan selengkap-lengkapya sehingga usia anda dua tahun. Setiap hari anda hanya meminta dengan tangis. Meminta dengan isyarat membuka mulut. Dengan banyak menggeliat. Tanda-tanda itu dimaklumi oleh ibumu. Ada yang diminta untuk mengenyangkan perut. Untuk membesarkanmu. Untuk menjadikanmu menusia hebat pada masa dewasamu. Tentu anda tidak ingat kerana anda belum diberi ingat. Tiada suatu detikpun yang terakam dalam ingatan.

Ingatkah sewaktu ibumu tidak tidur malam kerana mengasihimu? Waktu ibumu hendak tidur itulah anda meminta dilayan. Benar ibumu sedang bercuti dari kerja dan tugasnya. Ayahmu menemani ibumu bersama mengasihimu sebagai ayah. Walaupun esoknya ayahmu akan bertugas dari pagi hingga ke petang anda yang menjadi cahaya matanya mendapat keutamaan. Mendapat keistimewaan. Tidak cukup dengan menyusu tanpa puas anda berjaga pula hingga dinihari. Andainya seorang ayah boleh menyusukan bayinya, tentulah boleh bergilir-gilir menyusukanmu setiap malam. Anda juga selalu banyak rengeknya. Minta dibelai. Didukung dan berjalan. Diriba dan diulit. Didakap dan disayang. Ketika itu anda adalah permata hati. Tentu anda tidak ingat kerana waktu itu anda hanya meminta secara naluri.

Ingatkan sehingga usia anda lima tahun betapa banyaknya usaha dan penat lelah ibu dan ayahmu? Memberimu makan dan minum. Membelikan pakaian. Merawat sakit dan pening. Membelikan mainan yang bukan kepalang banyaknya. Merawat luka dan calar. Membasuhkan najis besar dan kecil. Kotor dan geli yang hilang dari senarai kejijikan. Berulang-ulang setiap hari tanpa jadual yang tertentu. Ada masanya banyak dan ada masanya tidak. Proses mandimu bukan semudah yang dilihat. Lap dan disapu minyak dan bedak serta pewangi. Losyen yang melicinkan kulit. Dipakaikan baju secantiknya. Lalu dicium sepuas hati. Dicium dan dicium lagi sepuas-puasnya. Wangi seorang bayi yang tidak pernah menjemukan. Anak yang masih suci dari dosa. Ayahmu bergegas pulang apabila sahaja tamat waktu bekerja. Masuk ke rumah sahaja anda yang dijenguk dahulu. Yang disapa dahulu. Yang dicuium dahulu. Yang didakap dahulu. Yang ditimang dahulu. Yang diagah dahulu. Setelah ayahmu puas barulah dia melihat ibumu. Baru ibumu mendapat ciuman sayang ayahmu. Suami ibumu. Tentu anda tidak ingat kerana anda hanya meyaksi tanpa merakamkan sebarang ingatan.

Dalam lima tahun pertama hidup anda banyak pengorbanan yang telah dicurahkan. Kesemuanya tidak pernah ada adalam ingatan anda. Kesemuanya berlangsung semasa anda belum lagi memiliki ingatan. Anda memang tidak ingat. Satupun tidak ada yang anda ingat. Tetapi sekarang anda sudah berumahtangga. Sekarang anda sudah ada anak sendiri. Sudah melalui pengalaman seorang ibu. Pengalaman seorang ayah. Begitulah sewaktu anda dikandungkan. Sewaktu anda dilahirkan. Sewaktu anda dirawat sehingga menjadi seperti sekarang. Itulah yang telah ibumu lalui dahulu. Yang telah ayahmu lalui dahulu. Yang terbaik untuk anak-anaknya. Anda tidak perlu ingat peristiwa puluhan tahun dahulu. Anda sendiri sudah melaluinya. Kerana itu anda mengerti sekarang. Anda maklum hati seorang ibu dan ayah. Hari ibu bukan sekali dalam setahun. Ia sepatutnya setiap hari. Hari-hari yang beralu adalah hari ibu. Seorang ayah hanya menumpang sahaja derita seorang ibu. Isterinya yang dikasihi. Demi kelangsungan sebuah keluarga

Monday, May 5, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mencari Leluhur

Sampai waktunya berumahtangga. Hajat di hati hendak berdua. Harapan yang diuja ialah mendepani bahagia. Sejahtera bersama orang yang dicinta. Maka gempitalah ahli keluarga merungkaikan keinginan dua anak muda berlainan keluarga. Tentunya berlainan jantina. Risik merisik dijalankan. Cincin disarung di jari manis. Di tangan kanan yang selalu dilihat. Dikucup sayang tanda peribadi orang tersayang. Cinta yang melimpah ruah untuk bersama bila segeranya. Adat kita tiada yang segera. Adat dan adat kita. Perlu ditunggu setahun atau dua. Himpun mahar yang kadang-kadang jauh dari kemampuan biasa. Mahal juga hasrat untuk memiliki seorang isteri. Bukan sebarang wanita. Seorang isteri yang surinya menyinari hati dan hidup suami dan anak-anak. Gemerlapan cahaya dimajlis pernikahan. Berlangsung pantas ungkapan: Aku terima nikahnya....... Lega. Status bujang bertukar menjadi suami atau isteri dengan sekelip mata. Walauun saat itu ditunggu berkurun lamanya, tibanya terlalu pantas. Hanya beberapa saat yang mendebarkan. Hilang semua yang haram. Halal antara dua insan yang kasihnya hendak dipadu abadi ke akhir zaman.

Alhamdulillah rezeki pelamin kata orang Melayu. Pasangan itu menerima berita “bunting pelamin’. Kehamilan yang sangat segera. Mudah-mudahan hal sebegini sudah diduga. Malah mungkin sangat diharap. Ingin segera menimang cahaya mata. Pengikat jantung hati. Penambat kasih yang lebih kejap. Ada yang mendekatkan. Sama-sama berhibur dengan tanda cinta abadi yang datang dan datang lagi selagi Allah mengurniakannya. Ketika ini cuba berhenti sejenak. Balik semula ke alam kanak-kanak. Ke alam semasa kita menjadi anak kepada pasangan ibu dan ayah kita sendiri. Ketika itu kita adalah anak yang carefree. Bebas meminta. Bebas melakukan apa sahaja yang boleh. Disayangi dan dilindungi. Dibelai sepenuh hati. Kitaran itu terhenti apabila kita berumahtangga. Apabila memiliki anak sendiri, kitaran menerima sudah tidak lagi berputar. Kita pula yang memberi. Banyak memberi. Melimpahkan kepada keluarga yang kita bina.

Sebelum pergi jauh, ingat kembali. Hutang kita banyak. Hutang kepada ibu dan bapa. Dalam membelai keluarga kita tidak boleh lupa mereka yang telah membelai kita dahulunya. Dari mereka kita datang untuk suatu kelangsungan keturunan akan datang. Maka leluhur keluarga janganlah diputuskan. Lihat isteri. Begitulah ibu kita dahulu. Lihat suami. Begitulah ayah kita dahulu. Lihat anak-anak. Begitulah tingkah dan ragam kita semasa kecil. Apabila melihat senerio itu insaflah ibu dan ayah kita telah melaluinya. Mereka besarkan kita dengan tanggungjawab. Dengan karenah yang tidak pernah menyenangkan. Apatah lagi ketika remaja kita. Hentak kaki kita seperti runtuh sebuah gunung hati. Mendengus marah seperti halilintar didengar ibu dan ayah. Mintanya segunung intan. Marahnya melumat hati. Apabila berkeluarga sendiri datanglah zaman dunia ini berputar. Sampailah masanya kita mengalami apa yang ibu dan ayah kita alami berzaman dahulu. Jika dahulu kita tidak mahu memahami susah dan payah kedua ibu dan ayah kita maka sekarang kita diberi pengalaman yang sangat berharga itu.

Maknanya pengalaman itu perlulah menginsafkan bahawa kita mempunyai ibu dan ayah yang juga perlukan kita kembali setelah kita dewasa. Sebagaimana kita mengasihi anak-anak kita begitu juga ibu bapa yang sudah lanjut usia masih sayangkan anak-anak mereka yang sudah dewasa. Walaupun sudah lanjut usia. Zuriat manusia berkesinambungan dari satu tahap ke tahap yang berlainan. Dari anak kepada cucu kepada cicit dan seterusnya. Kesemuanya melalui proses yang sama. Persekitarannya mungkin berbeza. Keupayaan ekonomi keluarga mungkin berbeza. Rezeki mungkin berlainan. Dari segi spiritualnya sebuah keluarga tetap sama dari satu tahap kepada tahap yang lain. Proses dari seorang anak kecil hingga berdikari tidak banyak bezanya walau siapa sekalipun keluarga mereka.

Jarang anak-anak yang ingatkan ibu dan bapanya sepanjang masa. Percayalah ibu dan bapa selalu berbeza berbanding dengan anak-anak mereka. Apabila anak-anak dilepaskan mereka terus-terusan dipantau akan kesejahterananya. Keupayaan ekonominya. Kesihatannya. Kebahagiannya. Susah dan senangnya. Masalahnya. Kesukaran dan halangan yang tidak membahagiakan. Sampai bilapun ibu dan bapa tidak diam dari memikirkan anak-anak. Doa mereka berjela panjang. Khabar yang diterima semoga baik-baik belaka. Pekerjaannya cukup makan. Cukup sandang pakai. Cukup membina keluarga yang menasabah tarafnya. Ada tempat tinggal yang sedikit melebihi selesa. Makannya ada nilai kualiti. Cucu-cucu sihat dan terurus. Kediaman dan persekitaran cukup kondusif untuk membina keluarga. Pendidikan keluarga yang boleh pergi jauh.

Apabila berumahtangga dan beranak-pinak kenanglah kembali ketika ibu dan ayah kita mengurus kita dahulu. Dari kandungan hingga dilahirkan. Banyak susahnya. Banyak payahnya. Bila dilahirkan banyak sakitnya. Membesarkan terlalu banyak pengorbanan masa dan tenaga. Sesungguhnya ibu dan ayah kita pernah melaluinya. Inilah masanya untuk dekat di hati mereka. Menginsafi bahawa dahulunya mereka telah melalui susah dan payah yang kita lalui. Mungkin kadarnya lebih susahnya. Ekonomi mereka tidak seperti kita. Makan dan minum mungkin bercatu untuk mencukupkan. Pakai mana yang boleh. Cuti dan melancong ala kadar di tempat yang dekat-dekat. Sekarang beban itu sampai kepada giliran kita. Bahawa manusia ini tidak pernah kering dengan kitarannya yang tersendiri. Suatu ketika nanti anak-anak kita pula yang akan mengambilalih tugas itu.

Warisan ini perlu diturunkan with purpose. Anak-anak diberi maklum tentang proses berkeluarga. Kitarannya panjang. Tidak ada yang ringkas dan pendek. Tidak ada yang senang. Proses itu banyak susah dan payahnya. Setiap saat yang dilalui adalah selalu mendebarkan. Tidak banyak yang dipinta dari anak-anak. Belajarlah untuk menjadi pandai. Untuk cepat berdikari. Untuk cepat membina kehidupan yang berkecukupan. Berpaling ke belakang untuk membahagiakan kedua ibu dan ayah yang melalui zaman yang lebih susah payahnya. Semoga ada kebahagiaan di hujung sinar. Amin.

Thursday, May 1, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mencari Damai Di Hati

Selalu kita berdoa semoga Allah memberikan kita kesihatan. Sihat fizikal, mental, perasaan dan psikologi. Tiada nilai kesihatan yang Allah anugerahkan kepada kita. Dengan kesihatan kita mampu mencari rezeki yang halal tanpa gangguan. Kudrat yang disandarkan juga kepada stamina membolehkan kita bergerak dengan pantas dan lincah untuk menambahkan rezeki yang ada. Kesihatan juga menjadi kunci untuk kita bebas beribadat. Air bukan alahan. Wuduklah seberapa kerap. Seberapa banyak. Untuk solat semahu hati. Menrendahkan dahi untuk Ilahi. Merendah kehambaan yang ada pada diri. Kaki dan lutut masih segar untuk berdiri dan sujud. Berlipat kaki duduk syahdu di hadapan Allah. Dengan ihsan yang dituntut. Kerana kita tidak mungkin melihat Allah tetapi kita yakin Allah melihat kita. Kesihatan menjadikan kita menjadi insan yang berkewajipan untuk melakukan kesemua yang dituntut sebagai tanggungjawab. Mereka yang sihat sangat beruntung kerana hidup mereka berjalan lancar. Kerana itu ramai orang berlumba-lumba untuk mengekalkan kesihatan mereka. Yang lain berlumba-lumba untuk memulihkan kesihatan. Tidak kurang juga yang ingin menambah kesihatan. Dalam pada itu jangan pula sampai terlupa tentang aspek kesihatan dalam beragama. Trend yang kita lihat ialah banyaknya cacat cela dalam mentafsir dan menterjemahkan agama menjadi ibadat dan tatacara hidup seperti yang dituntut.

Menjadi trend sosial pula untuk mempertikai berbagai aspek agama. Sayangnya kita selalu melihat dari luar. Atau dari jauh. Maksudnya kita tidak mengetahui dengan sebenar-benarnya tuntutan agama. Benar kita bersyahadah setiap waktu, kita solat, berpuasa dalam bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji. Rukun Islam yang lima ini lebih kepada aktiviti fizikal. Syahadah diungkapkan. Solat dengan rukunnya. Puasa dengan menahan lapar dan dahaga. Membayar zakat bagi yang berkaitan. Menunaikan haji ke Makkah bagi yang berkemampuan. Ramai mereka yang tidak arif tentang rukun iman. Tuntutan dari rukun iman yang enam itu. Setelah beriman kepada Allah, MalaikatNya, KitabNya, RasulNya, Hari Qiamat dan Qada' serta Qadar aspek tuntutan dan tanggungjawabnya yang selalu menjadi masalah. Beriman wajib dengan lisan, dengan perasaan, dengan hati dan seluruh jiwa raga kita. Ianya secara total atau tuntas mengikut istilah Indonesia. Sesudah beriman kita tidak boleh banyak alasan untuk menerima sebahagian yang kita suka dan menolak apa yang kita tidak suka. Dalam kebanyakan masalah sebenarnya kita tidak suka sebab kita tidak faham. Tidak kenal hingga tidak mencintai apa yang kita imani. Kita tidak mencari jawapan-jawapan kepada apa yang tidak kita fahami. Maksudnya kita dituntut supaya belajar apabila tidak mengetahui. Banyak bertanya. Banyak membaca. Banyak berbincang. Banyak merujuk. Banyak hadir dalam kuliah-kuliah mengenai aspek yang berkenaan.

Kita tidak boleh lari dari agama kerana kita tidak boleh merasakan bahawa agama adalah milik ustaz dan ustazah sahaja. Milik orang tua-tua. Milik imam-imam sahaja. Kita perlu berada sama ada dalam zon fardhu kifayah atau zon fardhu ain. Tiada ruang untuk mengelak sehingga kita ingin berada di luar kedua-duanya. Atau ingin pula berada antara kedua-duanya. Tidak mungkin. Agama tidak melarang kita mengambil adat (urf) sebagai gandingan. Umpamanya penganut Islam memakai pakaian negara masing-masing asalkan menutup aurat dan memenuhi syarat menutup aurat. Memakai pakaian orang Arab adalah satu alternatif. Mengaitkan agama dengan Arab kerana agama Islam datang dari mereka. Oleh yang demikian tiada pakaian yang khusus untuk orang Islam. Yang dipentingkan menutup aurat seperti yang digariskan di dalam al-Quran dan dalam al-Sunnah. Membuang atau menolak tuntutan tersebut bermakna kita memaksa diri untuk mengambil pakaian barat umpamanya sehingga kita melanggar tuntutan menutup aurat. Melanggari hukum larangannya. Malang juga apabila ramai antara kita yang menolak yang hak. Mengambil pula yang bukan hak sehingga mendedahkan aurat. Malang lagi apabila dikatakan pakaian tidak dinisbahkan kepada agama. Tidak dinisbahkan kepada iman. Al-Quran dari Allah. Dibawa turun oleh malaikat Jibril. Disampaikan kepada Rasulallah. Bertenang sebentar. Kita beriman kepada Allah, malaikat, kitab dan Rasul. Perintah dan larangan termaktub di dalam al-Quran. Menolak perintah bermakna menolak Rasul, menolak malaikat, menolak Allah dan menolak al-Quran itu sendiri. Di mana status iman ketika itu?

Sejak negara ini tertakluk pepada penjajahan, norma-norma bukan Islam telah banyak sangat yang kita ambil. Perlahan-lahan ianya meresap menjadi darag daging. Dalam kehidupan kita ini ramai orang-orang yang profesionnya adalah menjadi contoh masyarakat. Tingkahlakunya menjadi contoh. Pakaian mereka dijadikan contoh. Kehidupan mereka dijadikan contoh. Apa sahaja yang berkaitan dengan diri mereka dijadikan berita dan kemungkinan besar dicontohi. Public figure mungkin sesiapa sahaja seperti guru, imam, penghulu, kadi, pelakon, penyanyi atau pemimpin politik. Mereka diteropong setiap masa. Ada sahaja yang merakamkan aktiviti mereka sama ada dengan lisan, dengan coretan atau dengan gambar dan video. Mereka yang Muslim tentulah wajib melaksanakan kesemua yang Islamik. Pilihan kita itu sahaja. Tiada pilihan lain. Pilihan yang telah digaristentukan oleh Allah. Bukan oleh manusia. Bukan ditentukan oleh ibu dan bapa. Bukan juga ditentukan oleh ustaz dan ustazah. Islam bertandakan nama yang ibu bapa kita beri pada kita semasa kita dilahirkan. Kewajipan kita sebagai Muslim untuk melaksanakan kesemua tuntutan Islam dan menjauhi kesemua larangannya. Tiada ruang alasan. Tiada ruang dalih. Tiada ruang untuk mencari pilihan lain. Allah telah sempurnakan Islam sebagai agama yang diredhaiNya.

Mengetahui mengenai selok belok agama bukan juga suatu alternatif. Ianya pilihan tunggal. Mereka yang secara sedar mengetahui dirinya adalah Muslim berkewajipan mengetahui tentang agamanya dengan jelas. Apabila timbul permasalahan kita semua boleh menjawabnya. Boleh menyelesaikannya. Andainya jawapan-jawapan yang diperlukan tidak kita ketahui maka kita tangguhkan untuk menjawabnya. Mungkin bukan bidang kita. Atau kita belum mengetahui secara pasti. Apabila ada keraguan maka perkara itu hendaklah diserahkan kepada pakarnya. Bukan sebarang orang yang boleh menjawab. Media juga harus dikendalikan oleh mereka yang memiliki latarbelakang agama. Mencari maklumat hendaklah bersumebrkan kepada mereka yang ahli. Yang pakar. Sekiranya jawapan yang diberikan bukan menjawab maka jawapan itu tidak wajar dikeluarkan dalam siaran media. Tindakan seperti itu tentulah merosakkan agama. Salah representasi. Menyebar luas sesuatu yang sepatutnya dikawal. Yang tidak wajar dihebahkan. Yang hak atau benar diberi nilai benar dan yang batil atau salah disalahkan. Bertanya mengenai hal agama yang khusus atau rumit tidak boleh melalui sesiapa sahaja yang beragama Islam di tepi-tepi jalan. Jika mereka memang ada latarbelakang agama mungkin ianya sesuai.

Ketidakarifan tentang agama boleh diatasi dengan pendidikan agama yang lebih merentasi aras yang lebih tinggi. Pengajaran dan pembelajaran agama di negara kita masih lagi berbentuk tradisional. Di negara Arab ianya berkesan tetapi di negara kita yang sedang mabuk dengan teknologi maklumat, kaedah tradisi kurang menarik minat. Peranti elektronik perlu menjadi kebiasaan. Wujudkan penguasaan kinestetik. Pendengaran sahaja sudah di luar kotak pembelajaran yang biasa. Melihat sahaja juga tidak memberi impaknya yang diharapkan. Sampai masanya kita bergerak kepada animasi. Matapelajaran animasi sepatutnya sudah berada di sekolah menengah atas iaitu tingkatan empat dan lima. Matlamat jangkapanjangnya semua bakal eksekutif boleh menggunakan peralatan berkomunikasi dengan selesa. Kerana itu ustaz dan ustazah sewajarnya terlibat dalam arus perdana teknologi. Bukan lagi hanya penonton. Tidak pula menolak untuk mencuba dan memahirkan diri. Zaman sudah berubah jauh. Langkah kita perlu pula the fast way forward. Sangat wajar sekarang ini penglibatan mereka yang arif dengan teknologi untuk juga menjadi pendakwah agama. Bantuan anda semua diharapkan sangat-sangat. Semarakkan agama kita dengan teknologi. Bangunkan perisian yang sekadar menutup kos. Jihad mereka yang mahir teknologi. Rujuk ulamak yang syadid untuk mendapatkan input yang sewajarnya.

Persekitaran kita penuh dengan banyaknya masalah dan maslahah. Ianya berpunca dari masalah individu tetapi merebak menjadi masalah ummah. Sudah meruncing sehingga sukar dirawat. Mencegahnya juga sudah di luar kawalan. Ramai orang mengatakan sekarang sudah akhir zaman. Dahan untuk berpaut semakin rapuh. Ulamak ternama semakin ramai yang meninggal dunia. Jika kita tidak bergerak untuk memperbaiki keadaan, maka kita juga terseret sama untuk menjadi tidak bermanfaat. Waktu yang masih ada perlu dimanfaatkan mengikut kemampuan kita secara individu dan secara jamaah. Masing-masing mencari wadahnya sendiri untuk memberi yang terbaik. Yang tidak mampu membantu. Sedekahkan tenaga atau wang ringgit atau nasihat yang baik. Ke mana kita? Ayuh kita orak langkah menuju jalan lurus yang ada di hadapan kita sekarang

Tuesday, April 29, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Malangnya Bangsa Yang Mudah Dijual

Hampir semua orang Melayu menonton filem-filem P. Ramlee. Penulis teringat filem Tiga Abdul. Pertama, sesiapa yang marah hartanya dirampas. Kedua, berniaga manusia lebih untung dari berniaga unta. Ketiga, ketamakan kepada harta menjadikan manusia hilang pertimbangan. Keempat, rasuah memungkinkan apa sahaja. Kelima, perdamaian adalah lebih baik dari persengketaan kerana air dicincang tidak akan putus. Keenam, P. Ramlee menyarankan peningkatan kekuatan ekonomi dan perancangan keluarga. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee telah pergi meninggalkan kita 40 tahun yang lalu. 40 tahun dahulu dia telah mengenalpasti punca kegagalan bangsa yang banyak cacat-celanya. Banyak berebut harta yang sedikit. Tidak memikirkan generasi yang akan datang. Anak dan cucunya sendiri. Kegilaan memenuhi perut sendiri merosakkan sebuah bangsa yang dahulunya bermaruah. Yang mampu dikatakan hanya: Ini tidak adil. Cukup sekadar itu sahaja.

Melaka bukan calang-calang empayar pada ketika kegemilangannya. Sekutunya adalah negara Cina dan Majapahit. Dua empayar besar di Timur yang tiada tolok bandingnya. Begitu hebatnya politik Melaka yang dipimpin oleh Tun Perak. The king maker yang sangat terkenal dalam sejarah tanahair. Tetapi legasinya terhenti apabila Tun Perak tiada. Kedatangan Portugis meruntuhkan Melaka. Sebuah negara kecil yang lebih licik politiknya. Ramai orang mengatakan bahawa Melaka kalah kerana berperang dengan keris dan parang sahaja. Siapa yang berkata begitu? Tentulah mereka yang menyokong penjajah. Kita berehat sebentar. Lihat kembali Melaka pada zaman kegemilangannya. Pertahanan Melaka bukan sahaja di darat tetapi juga di laut. Armada Melaka bukan calang-calang juga kebalnya. Senjata yang bernama lela dan rentaka bukan sedikit berjajaran di pantai Melaka. Di atas bukit. Di kapal-kapalnya. Maknanya peperangan telah menggunakan senjata yang hampir serupa. Saiznya sahaja mungkin kecil berbanding meriam orang Portugis. Melaka bukan tidak pernah berperang. Angkatan perangnya telah teruji.

Bagaimana sebuah empayar yang besar tumbang kepada Portugis yang kecil? Sejarah memaparkan adanya Si Kitul dan Mandaliar. Apabila dalam sebuah bangsa ada watak-watak tamak maka bangsa itu akhirnya hancur. Musuh akan menyerang dari penjuru yang tidak dijangka. Banyak pintu-pintu dengan sendirinya terbuka. Dibuka dengan relahati oleh anak bangsa sendiri. Habuan yang diterima akhirnya hanya sebuah kehancuran sebuah bangsa yang gah. Apakah tragedi tersebut berulang lagi? Peperangan bukan lagi dengan meriam atau keris tetapi teknologi dan maklumat yang mengancam. Harta benda mudah alih yang menjadi taruhan. Tanah jajahan bukan keutamaan tetapi apa yang ada di dalam sesebuah negara yang menjadi idaman. Lanskap negara dan bangsa akan berubah. Akan tercipta hamba-hamba baru yang bertuankan dengan tangan-tangan yang berkuasa besar. Apabila diteliti ada ciri-ciri akhir zaman. Kau ikut aku, selamat. Kau tolak aku, musnah. Rasanya pembaca dapat meneka siapa yang berkata begitu. Kita selalu terleka dengan kemewahan sementara. Benarlah dunia ini hanya pinjaman. Terlalu sementara. Terlalu sekejap. Esok atau lusa kesemuanya mungkin tinggal sejarahnya sahaja.

Sejarah yang hitam untuk sebuah bangsa yang dibina dengan keringat tetapi tidak dibangunkan dengan kesedaran yang tinggi. Bahawa di belakang sejarahnya banyak tangan-tangan yang berusaha menggagalkannya. Apabila mereka yang di atas selalu cry wolf, akhirnya datang bencana tanpa siapa dapat membantu. Apabila serigala besar datang menyerang dengan gagahnya apalah yang dapat dilakukan oleh mangsanya yang kerdil dan kecut. Kepercayaan yang telah tergadai menjadikan sebuah bangsa tidak tahu siapa lagi yang boleh dipercayai. Ketika kita bangun jaga dari tidur lena kita, mata kita melihat bahawa kesemuanya sudah menjadi milik orang. Kita terkepung sendiri dari segenap penjuru. Dari segenap aspek. Bagaimana kita menamakan diri kita tuan tetapi tanpa memiliki tanah. Tanpa memiliki rumah. Tanpa memiliki ladang. Tanpa memiliki sumber untuk kelangsungan generasinya. Dari bandar hingga ke desa kesemuanya tergadai kerana gelap mata. Jalanraya hanya memudahkan kesemuanya terlepas dengan kesegeraan yang tidak dapat dikawal. Yang tinggal hanyalah kita-kita yang diibaratkan seperti peribahasa sepuluh jung masuk anjing tetap bercawat ekor juga. Teknologi hanya untuk memerangkap minda supaya patuh tanpa had. Pendidikan lebih banyak hanya untuk secukup hidup. Jalan fikir kita singkat dan sempit. Kotak kita terlalu kecil, tertutup dan terasing.

Dunia kita itulah sahaja. Dipertahankan tanpa sebab yang menasabah. Yang lain dirampas orang satu demi satu. Lihatlah sekeliling kita, apa lagi yang tinggal. Mungkin nama dan barisan yang tidak dikenali lagi. Yang tinggal hanya kerangka zaman yang berlalu. Kita diajar untuk sayang. Malangnya erti sayang tidak dapat diterjemah dan ditafsir dengan bijaksana. Sayang kita melulu sehingga menutup mata dan telinga. Paling menyedihkan ialah sayang kita menutup akal dari berfikir dengan saksama. Dengan wajar. Dengan kebijaksanaan yang betul. Kita hilang kewarasan berfikir. Jarang melihat apa yang tersirat. Golong yang melihat yang tersirat terlalu sedikit. Ramai hanya mampu melihat yang tersurat. Itu pun hanya cebisan-cebisan yang dipertontonkan kepada mereka. Drama tanpa diketahui maknanya. Momokan yang akhirnya memakan diri sendiri. Sangat mengecewakan apabila nasihat ditolak sebagai berhasad dengki. Teguran ditolak sebagai tidak berterima kasih. Peringatan ditolak sebagai menghalang. Kerana tidak memiliki kearifan, orang di bawah mengiyakan sahaja apa yang dibicara.

Sekarang ini kita di persimpangan. Adakah kata-kata Hang Tuah masih relevan? Takkan Melayu hilang di dunia. Kita tidak memiliki kekuatan ekonomi. Kerana itu kita menjadi bangsa yang terjual. Mudah dibeli. Bak barang di pasar malam. Kadang-kadang boleh dibeli secara borong. Benar. Kadang-ladang tawaran yang diterima sangat lumayan tetapi terlupa yang terjual adalah sebuah bangsa. Sebuah maruah. Sebuah kelangsungan bangsa itu sendiri. Sebuah nilai yang tidak akan kembali lagi. Suatu prophecy yang disogokkan kepada kita bahawa bangsa kita tiada nilai asal usulnya. Apabila anak-anak muda kita diracuni dengan hedonism seluruh harapan kita musnah. Harapan kita tidak berbaki lagi. Mereka yang diharap membina mereka juga gagal menjalankan amanah. Jeritan kita hanya menghalau puaka. Kata-kata hanya jampi mentera. Senyum hanya banyak puranya. Ketawa kerana helahnya. Kesemuanya memperdaya. Sebuah bangsa yang hilang nama. Hanya kerana dunia yang fana. Apabila nanti anak bangsa kita menjadi minoriti menangislah bersama seperti orang kita di sebuah negara di selatan. Seperti sebuah bangsa di negara besar di seberang pasifik dan Atlantik. Kita telah lama diperingatkan. Tiada siapa yang mahu mendengar. Dianggap pula sebagai pendengki. Cemburukan kejayaan orang lain. Sekarang kita menerima kerumitannya yang sukar dirungkai. Hanya menunggu sat-saat musnahnya. Mudah-mudahan iman kita yang dapat membantu membangkitkan kekuatan. Allah bersama kita. InsyaAllah.

Saturday, April 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Keangkuhan Jalan Kemusnahan

Andainya kita menelusuri kisah-kisah dalam al-Quran kita dapati kemusnahan yang Allah timpakan kepada kaum manusia adalah kerana keangkuhan mereka. Terdapat kecenderungan mempercayai bahawa diri mereka atau kuasa mereka yang menentukan hidup atau mati mereka yang dikuasai. Yang dikuasai pula taksub percaya bahawa mereka dilindungi. Mereka dibela. Mereka diberi kehidupan yang selayaknya. Paling ketara ialah mereka yakin manusia yang memberi mereka rezeki. Kesemuanya dinisbahkan kepada manusia iaitu mereka yang berkuasa. Sesungguhnya manusia selalu terpana dengan cahaya yang bergemerlapan. Tertipu dengan kilauan kaca yang bukan permata. Segala pesanan dan panduan yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah diketepikan. Tidak dilihat dan jauh sekali dari dirujuk. Apabila diperingatkan mereka menempelak kembali. Jengkel kerana dinasihati. Mereka yang memberi nasihat dipertikai ilmunya. Ditanya motifnya. Kumpulan mana yang diwakilinya. Pertimbangan untuk melihat sesuatu dengan saksama sudah tidak ada pedulinya lagi. Insafilah bahawa pada akhirnya manusia seperti itu Allah musnahkan kesemuanya kecuali mereka yang beriman. Bilangannya sedikit. Hanya minoriti sahaja. Kaum Nabi Nuh a.s. Allah musnahkan kecuali yang patuh berada di dalam kapal. Yang lain musnah kerana enggan kembali menyembah Allah. Kaum Nabi Syuib a.s. di Madyan Allah musnahkan kerana enggan meninggalkan perbuatan mereka yang mencuri timbangan dan sukatan. Kaum Nabi Salleh a.s. (Kaum Thamud) Allah musnahkan kerana mereka menolak kuasa Allah. Amanah tidak dipedulikan. Unta kiriman Allah dibunuh walaupun telah dilarang. Kaum Nabi Luth a.s. Allah musnahkan kerana enggan meninggalkan kehidupan mereka yang songsang. Kaum Nabi Hud a.s. Allah musnahkan juga kerana mereka enggan kembali menyembah Allah. Banyak lagi kisah di dalam al-Quran yang berkaitan dengan kemusnahan yang Allah timpakan ke atas mereka. Firaun di Mesir. Begitu juga Namrud yang enggan menerima dakwah Nabi Ibrahim a.s. Talut yang akhirnya dibunuh oleh Nabi Daud a.s.

Jika kita teliti kemusnahan yang Allah timpakan kepada mereka semua adalah setelah datangnya keangkuhan. Pertamanya, mereka telah mencapai kemajuan ilmu sehingga mencabar kekuasaan Allah. Keduanya, kemajuan fizikal yang mereka bangunkan seolah-olah tiada kaitannya dengan Allah. Ketiganya, mereka telah menikmati kekayaan yang mereka anggap atas usaha mereka sendiri tanpa izin Allah. Mereka menganggap kekayaan itu bukan dari Allah. Keempatnya, mereka mabuk dunia sehingga bergelumang dengan maksiat dalam kategori dosa besar. Membunuh, mencuri, meminum arak, berzina, bertenung nasib dan terlibat dengan riba' yang berleluasa. Nilai baik pada anggapan mereka ialah apabila yang kuat menzalimi yang lemah. Mereka berseronok apabila dapat melakukan maksiat. Penindasan sudah tidak terbilang banyaknya. Dalam keadaan seperti itu sangat sukar melihat kebaikan. Yang berkuasa ketawa sekuat rasa. Yang di bawah didera dengan azab kehidupan yang menyiksakan. Di luar perbincangan al-Quran kita mempelajari sejarah tentang kemusnahan yang Allah timpakan ke atas manusia. Dari Timur hingga ke Barat terlalu banyak kisah itu. Betapa kuatnya empayar Yunani dari Greece hingga ke seluruh Jazirah Arab dan utara Afrika. Empayar Rom mengambil alih kehebatan Yunani. Empayar Farsi pula di Timur Jazirah Arab. Kita lihat pula tamaddun Indus di India. Tamaddun Cina. Empayar Sri Vijaya dan Mahajapahit. Kehebatan orang Tartar. Begitu juga orang Inca di Amerika Selatan. Orang Yucatan di Mexico. Dalam masa yang dekat dengan kita ialah Britain. Suatu masa dahulu hampir keseluruh dunia adalah milik mereka. Amerika Syarikat dan Canada milik mereka. Australia dan New Zealand milik mereka. Benua India milik mereka. Negara-negara Islam tunduk kepada mereka. Malah negara Cina pernah berada di bawah cengkaman mereka. Termasuklah negara kita yang kecil mongel ini.

Apabila negara-negara jajahan mereka merdeka sebuah demi sebuah, Britain dikatakan tinggal singa yang kehilangan gigi. Mereka kehilangan sumber kekayaan yang memperkaya dan mengukuhkan diri mereka. Tanpa kekayaan itu mereka hilang kuasa. Dalam dunia ini tidak ada negara atau bangsa atau kaum atau kelompok tertentu yang kekal selamanya. Apabila mereka beranggapan keterlaluan tentang diri mereka, ketika itulah kemusnahan Allah timpakan. Pertama, kemusnahan berlaku setelah mereka dianggap kuat. Malah kadang-kadang terlalu kuat. Kedua, mereka menganggap diri mereka maju sehingga tidak perlukan Allah untuk disembah. Ketiga, mereka percaya hanya diri mereka sahaja yang terbaik. Orang lain tiada nilai kepada mereka dari kacamata kekayaan dan kehebatan. Keempat, agama dianggap hanya ceremonial. Adat-adatan. Bukan cara hidup yang sempurna. Kelima, mereka yang alim dari segi agama tidak ada tempat dalam hati, dalam masyarakat atau dalam sistem. Mereka wujud tetapi kewujudan mereka tidak diiktiraf. Mereka hanya diperlukan untuk menjadi imam solat, juru nikah kahwin, mengurus jenazah dan doa mendoa. Selain daripada itu tidak ada pengiktirafan kepada mereka. Kadang-kadang mereka yang alim dan dekat dengan Allah ini tiada siapa yang tahu. Tanda pengiktirafan Allah yang penulis lihat ialah apabila mereka yang alim ini meninggal, manusia hidup yang datang menziarahi jenazahnya, yang menghormati jenazahnya dan yang mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan tersangat ramai sehingga kita gempar kerana terlalu ramainya. Mereka pula datang dari tempat jauh. Jiran sekampung tidak tahu dan tidak kenal si mati. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam. Jika kita tidak mendekati kelompok itu maka kita tidak kenal siapa mereka.

Kemusnahan yang Allah timpakan bukan sukar bagi Allah. Hanya dengan kun fayakun. Kita diperingatkan dan diperingatkan. Nasihat demi nasihat. Rujuk al-Quran dan al-Sunnah. Rasullah meninggalkannya sebagai amanah kepada kita semua. Wahai orang-orang yang beriman, andainya kita kembali mengikat diri kita dengan kedua-dua tinggalan Rasulallah itu nescaya Allah peliharakan kita. Kita dituntut supaya pandai dengan banyak ilmu. Menguasai teknologi. Kaya dengan harta benda. Tetapi dengan syarat kesemuanya kerana Allah. Kesemuanya itu datangnya dari Allah. Maka untuk Allah digunakan. Allah pinjamkan kepada kita hanya sementara sahaja. Mungkin Allah ambil kembali sebelum kita mati. Mungkin juga kita tinggalkan kesemuanya setelah kita mati. Rasanya kita semua maklum bahawa yang kita bawa bukan itu semua. Secara fizikalnya kita hanya bawa kain kapan yang membaluti tubuh kita. Yang lain kita bawa ialah dalam bentuk pahala yang tidak kita lihat. Beruntung mereka yang membawa banyak pahala. Mudah-mudahan kita dalam golongan seperti itu. InsyaAllah.