Monday, March 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Sini Nabi Musa Dan Bani Israel Tiba Dari Seberang Laut Merah


Kami singgah di sini sewaktu sudah Maghrib. Nampak gelap sedikit gambar-gambar yang diambil. Tempat ini juga cukup besar dengan sejarahnya. Di tempat inilah Nabi Musa dan kaumnya berehat setelah berjaya menyeberangi Laut Merah. Cuba kita bayangkan dalam kotak pemikiran kita. Pada suatu ketika suatu kaum yang ramai bilangannya menyeberangi Laut Merah. Mereka berlumba-lumbaan. Berjalan tergesa-gesa. Dalam takut dan debar hati. Cemas yang bersilih ganti. Di belakang mereka Firaun dan tenteranya yang ramai dan lengkap dengan senjata. Sekiranya tentera Firaun berjaya mengejar Nabi Musa dan kaumnya pastinya ramai yang terkorban. Firaun ingin menghapuskan Bani Israel ketika itu.

Ketika sampai di tepi pantai Laut Merah tentulah Bani Israel ketakutan yang amat sangat, Di hadapan mereka air dan laut yang luas. Tidak mungkin termampu menyeberanginya. Seolah-olah maut sudah sampai pada saatnya. Di belakang mereka pula ialah Firaun dan tenteranya. Menanti ketibaan mereka bererti mati juga kemungkinannya jika sudah sampai ajal. Fikiran logik kita tentu merumuskan bahawa  pilihan sudah tidak ada. Ketika dalam keadaan sepert inilah kita selalunya terperangkap dalam permainan syaitan. Kita hilang punca. Hanya berteriak ketakutan sedangkan pertolongan masih ada lagi. Harapan masih ada lagi. Kita masih ada Allah. Seperti kata Rasulallah kepada Abu Bakar: Jangat takut, Allah bersama kita. Dialognya dalam Bahasa Arab lebih menusuk. Intonasi suaranya memujuk. Harapannya memuncak. Itulah dialog Gua Thur. Gua terkenal dalam sejarah penghijrahan Nabi.

Orang yang beriman tidak boleh putus harap. Kita masih ada Allah. Allah sentiasa membantu mereka yang beriman kepadaNya. Nabi Musa diperintahkan memukulkan tongkatnya ke tebinv Laut Merah. Kun fayakun. Terbelahlah Laut Merah. Terjadi laluan yang boleh dilalui. Air memisahkan dirinya seolah-olah dibina tembok menghalangnya dari bercantum. Ada yang mentafsirkan bahawa belahan itu sebanyajk 12 iaitu untuk 12 suku Bani Israel menggunakan setiap satunya secara berasingan. Mengasingkan suku dan pada masa yang sama mempercepatkan larian. Sampailah mereka di seberang Laut Merah. Apabila mereka menoleh ke belakang kuasa Allag terjadi. Air laut yang tadinya terasing bercantum semula. Allah Maha Berkuasa. Lemas Firaun dan bala tenteranya. Janji Allah itu benar. Hingga sekarang jasad Firaun masih boleh dilihat. Manusia biasa yang memiliki sedikit kekuasaan lalu menyombong dan mendakwa dirinya Tuhan. Dunia pinjaman yang tidak kekal selamanya.

Tiba di pantai yang selamat Nabi Musa dan kaumnya berkampung di situ. Lega dari ancaman yang menggerunkan sebentar tadi. Sumber air digali dari beberapa perigi. Dikatakan terdapat lapan perigi di situ. Tiga masih boleh dilihat. Yang lainnya sudah ditelan zaman. Setiap hari tempat ini penuh dengan pelancong dari berbagai bangsa dan dari berbagai agama. Carita Nabi Musa bukan hanya cerita Islam tetapi juga cerita Kristian dan Yahudi. Juga cerita manusia yang menentang kezaliman.


Tempat ini dikenali sebagai Kolam Nabi Musa. 

Mega masih ada lagi. Tetapi sudah gelap. Raman senja yang dingin ketika itu. Musim dingin di penghujungnya.



Ada yang menyampaikan taklimat.

Berlatarbelakangkan Laut Merah. Ufuknya jingga. Persekitarannya kelam menjelang malam.

Kenang-kenangan berdua. Tempat ini sejarah bagi kami. 

Antara kolam yang masih ada. Tiga kesemuanya. Lima yang lain telah luput tempoh gunanya. Mungkin sudah tertimbus.

Sebelum meneruskan perjalanan bergambar dahulu sebagai kenang-kenangan. Bagi penulis dan isteri rasanya tiada kali kedua untuk sampai di tempat ini. Di Selatan Sinai. Awal dan terakhir. Allah izinkan kami berada di sini. Menjejak RasulNya yang bernama Musa. Rasul dalam kumpulan Ulul 'Azmi. 

Bingkisan Dari Kaherah: Sharm El-Sheikh Kali Kedua

Perjalanan hidup kita ini sebenarnya sangat panjang. Sangat sangat panjang. Kita selalu hanya mengira yang sedikit. Yang panjang terlindung dek keasyikan kita dengan dunia. Dengan kealpaan. Dengan nikmat yang fana. Andainya anda berusia 25 tahun maka angka 25 tahun itu terlalu sedikit. Hanya 25. Jika dikira mengikut bulan maka usia anda 300 bulan. Secara mingguan pula 1,300 minggu. Secara hari maka usia anda menjadi 9,125 hari. Dalam jam pula 219,000 jam. Dalam minit 13,140,000 minit. Dalam saat 788,400,000. Pernah terfikir dalam usia 25 tahun anda telah menghabiskan 300 bulan yang bernilai 1,300 minggu yang bernilai 9,125 hari yang bernilai 219,000 jam yang bernilai 13,140,000 minit yang bernilai 788, 400,000 saat.

Kita di negara yang masih maju mundur mengira kesemuanya dengan tahun dan bulan. Angka-angka yang kecil tetapi bernilai besar dibuang jauh-jauh. Tetapi tetapi di negara maju yang dikira bukan lagi minit. Mereka mengambilkira pecahan-pecahan saat. Perseribu atau persejuta. pelumba lari pecut seperti Usain Bolt lariannya dikira hingga perseribu. Seperti angka 9.763 saat. Sebab itu negara maju bercakap mengenai quantum leap. Bukan jump. Mereka melonjak jauh bukan setakat melompat. Kerana kita asyik dengan tahun dan bulan maka kita jauh di belakang. Tertinggal dalam serba banyak perkara. Kita selalu bercakap mengenai paradigm shift tetapi realitrinya masih elusive dari jangkauan pemikiran kita. Kita kekal bergerak ke hadapan sedangkan orang lain melompat dan melompat tinggi dan jauh. Tinggi dan jauh. Semakin tinggi dan semakin jauh.

Terlalu banyak paradox yang sukar dikikis dari ego-centric yang menghantui pemikiran kita. Kita ingin maju tetapi prasarana yang ada menyekat ke arah itu. Facilitation kurang. Semakin ramai anak-anak seperti Adi Putra yang akhirnya menjadi manusia biasa yang nilainya merosot jauh ke bawah. Penulis ingatkan kisah Hang Nadim hanya pengkisahan sejarah ketika orang Melayu sangat terkebelakang pemikirannya. Rupanya Hang Nadim seperti Adi Putera masih berada dalam sejarah semasa. Nasibnya juga tidak baik. Pintu-pintu kotak di sekeliling kita tidka dibuka untuk orang lain keluar atau masuk. Kotak yang ada tidak membenarkan orang lain masuk. Kita pula tidak keluar dari kotak yang sama. Banyak perkara yang perlu difikirkan dalam perjalanan yang jauh dalam membina negara. Membina diri. Membina segala-gala yang kita hasratkan. Fikirkan dalam-dalam.

Perjalanan yang jauh terasa jauh sekiranya dirasa-rasakan jauh. Perjalanan ke Tursina dan kembalinya memberi ruang untuk berfikir. Mengisi ruang-ruang kosong dalam pemikiran. Jika diisi masa dengan hal-hal yang mengasyikkan maka perjalanan itu menjadi tidak terasa. Sebagai pelancong lazimnya kita banyak melihat-lihat. Berhenti di tempat-tempat tertentu. Mungkin juga untuk melepaskan lelah. Perjalanan terus selama 12 jam tentu melenguhkan. kaki tergantung-gantung. Darah pula tersekat perjalanannya. Bila turun dari bas terhuyung-hayang. Jika semasa dalam perjalanan ke Bukit Tursina kami menyusuri pantai bandar Sharm El-Sheikh dalam perjalanan pulang pula kami mengambil jalan di bahagian tengah bandar. Berhenti sebentar untuk menjenguk-jenguk bandar ini. Di kawasan membeli belah.

Sebagai bandar pelancongan yang tersusun dan baru barangan pelancong memang banyak. Berbagai-bagai barang. Seperti juga di Dahab, pelancong di pekan ini juga sangat berkurangan. Kedatangan dan persinggahan kami meramaikan sebentar bandar ini selama sejam. Adalah juga beberapa barang yang dibeli. Paling banyak tentulah makanan dan minuman. Perut sentiasa lapar dan tekak hausnya menjadi-jadi. Pada hakikatnya diri kita sentiasa lapar. Malangnya kita selalu fokus kepada perut sahaja. Banyak kelaparan yang tidak diberi layanan saksama. Kita lapar ilmu. Lapar maklumat. Lapar keindahan berseni dalam bermasyarakat dan bermuamalah. Lapar nilai tinggi banyak perkara dalam membina kehidupan yang bertaraf tinggi. Dengan kos sara hidup yang rendah. Menikmati segala keindahan, kebahagiaan dan kesejahteraan.

Kita banyak santai. Selalunya orang akan santai setelah berpenat lelah kerana bekerja. Penulis telah hampir 13 tahun bersara sejak 23 Julai 2001. Masih sukar untuk mencari ruang santai. Jika tidak mengisi ruang maka ruang yang mengisi kita, Ketika ruang mengisi kita tidak ada apa yang menjadi nilai lagi. Akan ada hanya kekosongan yang mengosongkan. Kulit hanya membalut kekosongan itu.

Seperti ruang kosong ini tanpa makna dan nilai. Bukan peniaga atau usahawan yang memberi nilai dan warnanya. Pelancong yang mengisi ruang ini yang tinggi nilainya. Keberadaan tempat dan ruang ini memberi impak ekonomi. Perhubungan antarabangsa. Nilai tambah dalam membina negara.

Sebagai pelancong kita hanya lalu sebentar. Singgah sebentar. Kita tidak mewarnai selama-lamanya tempat ini. Pemimin dan kepimpinannya yang perlu memikirkan. 

Di negara Arab menara seperti ini terlalu biasa. Yang tinggi dah gah mungkin tidak sebanyak yang kita jangkakan. Namun yang rendah dan kecil banyak di merata tempat. Apabila tiba waktu solat berkemundang azan dari berbagai arah dan celah bangunan. Menunaiukan solat bukan kepayahan. Di tepi-tepi jalan pemandu kenderaan berhenti membentang sejadah lalu solat. Menunaikan tanggungjawab terhadap Allah. Bukan kepada manusia.

Biasalah dalam perjalanan ada juga penantian. Ada yang menghabiskan waktu. Yang lain pula tidak cukup waktu. Ada juga yang waktunya tertunda.

Sebenarnya dalam apa jua keadaan sentiasa ada hikmahnya. Dalam menunggu berkenal-kenalan dengan sahabat baru. Ada cerita baru.

Sentiasa ada perkongsian suasana dan waktu. Dalam keadaaan lain mungkin suasana seperti ini tidak tercipta.

Sebahagian dari serokan di Sharam El-Sheikh.

Bot dan kapal berlabuh. Menunggu pelancong untuk menyelam dan bermain air. Terus menunggu sehingga industri pelancongan dapat dipulihkan.

Sebahagian dari Laut Merah.

Sukar menentukan warna merah yang sebenarnya. Mungkin air kotor yang mewarnai tepian pantai dilihat merah dari kejauhan. Hakikatnya belum lagi diketahui.

Sunday, March 9, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Hidup Ini Bermasyarakat Dan Bermuamalah

Dalam hidup kita ini ada beberapa perkara yang perlu diambilberat. Kita tidak boleh sibuk dengan hal kita sendiri sahaja. Menganggap kerja kita sahaja yang lebih penting. Masa kita sahaja yang berharga. Atau diri kita sahaja yang utama. Sebagai anggota masyarakat kita ahli dalam berbagai konteks. Mungkin dalam konteks rakan sekerja. Ada masanya dalam konteks profesional. Pada masa yang lain dalam konteks kejiranan. Ada pula dalam konteks situasional  . Kita ditemukan dalam suasana tertentu. Hanya beberapa ketika. Lazimnya dalam peristiwa yang dikongsi bersama. Mungkin beberapa detik seperti dalam bas. Mungkin beberapa jam seperti dalam perjalanan jauh. Atau beberapa hari seperti dalam majlis-majlis tertentu. Ada pula dalam konteks yang lebih lama. Berkampung kerana menuntut ilmu. Semasa menunaikan haji umpamanya.

Pada waktu yang tertentu kita bersama dengan rakan sementara. Dalam keadaan yang singkat. Kebersamaan dan keberadaan itu dikongsi dengan cerita. Dengan perkongsian maklumat. Dengan minum atau makan bersama. Duduk dan santai bersama. Pendek kata masa yang singkat itu dimanfaatkan bersama. Secara positif pastinya. Kita berusaha mengelak dari berlaku sebarang yang negatif. Kebersamaan menjadi cacat cela jika ada perlakuan negatif yang berlaku. Mungkin disebabkan hanya sepatah perkataan yang tidak enak diungkap. Atau tidak sesuai dengan masa dan tempatnya. Sebab itu dalam pertemuan-pertemuan singat dengan orang lain kita berusaha menjaga akhlak. Menghormati orang-orang yang bersama kita ketika itu.

Manusia adalah makhluk sosial (sosiologi: haiwan sosial). Kecenderungan kita untuk bersama orang lain sangat tinggi. Ada naluri kehangatan interaksi. Berkomunikasi tanpa banyak batasan rahsia. Kebebasan berbicara bersama dengan orang yang terpercaya. Bidalan Inggeris berbunyi, "Birds of the same feather flock together." Yang ini mungkin sedikit extreme. Terlalu selektif. Sebagai manusia kita tidak perlu sehingga memilih bulu. Buka sedikit minda untuk bersama dengan orang lain. Terlalu memilih kita menjadi overt. Terlalu pentingkan diri sendiri. Kerana itu banyakkan berkawan. Luaskan persahabatan. Panjangkan senarai kenalan. Mereka yang kita kenali inilah apabila tiba masanya memberikan huluran bantuan dan sokongan. Kita tidak tahu bila masanya. Percayalah. Datangnya tanpa dirancang. Tanpa kita jangkakan. Allah datangkan segala-galanya dengan kehendakNya.

Kasihan orang Arab di Dahab. Kedai makan mereka memang lengang. Tempatnya cantik. Lokasinya menarik dan strategik. Hanya kami bertujuh sahaja yang ada. Enam dalam gambar. Seorang bertugas sebagai jurufoto. Bukan kedai ini sahaja. Kedai yang lain sama sahaja nasibnya.

Pasca revolusi tahun 2011 memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan di Mesir. Terlalu merosot. Pelancong asing menjauhi kawasan yang dianggap panas ini. Ramai yang tidak mahu dibawa ke mari. Banyak lokasi lain yang lebih selamat pada pendapat mereka. Kami yang berada di lokasi tidak merasa apa-apa. Hanya perlu berjaga dan berwaspada. Apa sahaja boleh berlaku. Walau apapun masa yang ada kami pergunakan semaksimumnya untuk dimanfaatkan.


Saturday, March 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Khianat Samiriy

Nabi Musa dan kaumnya dikatakan sampai di kawasan ini. Jauh juga dari tempat menyeberang laut Merah sewaktu dikejar Firaun dan tenteranya. Lebih 100 kilometer. Allah memerintahkan Nabi Musa untuk mendaki bukit yang dinamakan Bukit Thur di Saina'. Kita menyebutnya Bukit Tursina. Nabi Musa berpesan supaya kaumnya menunggunya selama 30 hari. Nabi Harun diberi tanggungjawab untuk menggantikan Baginda memimpin kaumnya semasa ketiadaannya.

Di bukit itu Nabi Musa berdialog dengan Allah. Al-Quran merakamkan berbagai peristiwa yang berlaku semasa Nabi Musa berada di puncak Tursina.

1   Turunnya Kitab Taurah. Dalam Bahasa Inggeris dinamakan The Ten Commandments. Sekarang tinggal sejarahnya sahaja. Ketulenannya sudah tidak ada. Kitab Bani Israel ini banyak pindaan untuk disesuaikan dengan nafsu mereka sendiri. Nilai murni orang beriman di kalangan mereka sudah tiada lagi. Diganti oleh Allah dengan Injil yang juga dipinda-pinda oleh orang Yahudi. Diganti pula akhirnya dengan al-Quran yang Allah jamin akan kekal hingga Kiamat.
2   Nabi Musa dapat berdialog secara terus dengan Allah tanpa perantaraan malaikat Jibril.
3   Permohonan Nabi Musa untuk melihat wajah Allah tidak sama sekali berkemungkinan kerana  Allah terlalu Agung. Sebagai gambaran Allah memperlihatkan wajahnya kepada sebuah gunung dan apa yang berlaku menyebabkan Nabi Musa pengsan. Gunung tersebut hancur sehancurnya. Hingga ke hari ini masih terdapat sisa kehancuran gunung tersebut. Terdapat serpihan batu yang di dalamnya fossil tumbuh-tumbuhan. Ada yang mengatakan bahawa sebelum Allah menampakkan dirinya kesemua tumbuhan yang ada di gunung itu lari masuk ke dalam batu. Wallahu'alam.
4   Tempoh keberadaan Nabi Musa di puncak Tursina dilanjutkan hingga 40 hari. Ditambah 10 hari lagi. Ujian kepada Nabi Musa dan kepada kaumnya.
5   Kaumnya membuat spekulasi bahawa Nabi Musa sudah menipu mereka. Muncullah Samiriy yang berusaha menimbulkan keraguan di hati kaumnya. Diciptanya patung lembu dari emas. Boleh pula lembu itu berkata-kata. Lalu disembah lembu itu sebagai tuhan mereka. Surah al-Baqarah banyak menceritakan kisah tersebut.  Ditambah lagi dengan ayat-ayat lain dalam sursh-surah yang lain.

Ceritanya panjang lagi. Cuba-cubalah baca tafsirannya untuk memahami bahawa akidah manusia boleh terpesong kerana pandainya seseorang berkata-kata. Kita selalu kalah dengan orang yang bijak bercakap. Malangnya di kalangan mereka yang jahil agama, mudah percaya kepada dakyah atau propaganda. Sedikit pujukan sudah menyesatkan mereka. Percaya kepada sesuatu yang tidak ada kepastiannya. Sedangkan nabi pemimpin mereka masih hidup ketika itu. Apatah lagi kita di akhir zaman ini. Terlalu ramai yang berwatak Samiriy. Sesat dan menyesatkan. Berlaku di semua negara Islam dari dahulu hingga sekarang. Ramai pendakwah yang autentik tetapi ramai yang mencari orang-orang yang tidak diketahui ilmu agamanya. Mereka terjebak ke arah kesesatan.

Rujkuklah al-Quran dan hadith. Carilah guru yang diketahui alimnya. Bukan seorang tetapi seberapa ramai yang boleh. Antara mereka lengkap melengkapi. Harmonikan perbezaaan antara mereka. Sesungguhnya yang hak tetap jelas haknya. Yang batil nampak jelas batilnya. Apabila menemui keraguan cari lagi pakarnya supaya jelas apa yang difahami. InsyaAllah selamat dunia dan akhirat.


Penulis bergambar dengan Tuan Haji Maulan dan bebrapa pelajar negeri Johor.

Isteri penulis bersama pelajar.

Dua gambar berturut ini benar. Yang di belakang ialah Tuan Syed Ahmad.

Mendengar taklimat.

Hampir 100 orang kesemuanya.

Yang wanita.

Bersama Tuan Haji Maulan.

Sendirian.

Ini bukan lembu yang telah dicipta Samiriy. Patung tersebut dikatakan telah dibuang ke laut oleh Nabi Musa. Ada orang kemudian yang telah mengukir batu menyerupai lembu. Mungkin untuk mengingatkan tentang tempat dan peristiwa di sini ribuan tahun dahlulu. Sebenarnya penulis menemui ukiran haiwan lain berhampiran tempat ini. Antaranya menyerupai gajah. Jelas belalainya. 

Sepohon pokok badam berhampiran kawasan ini.

Berlatarbelakangkan bukit bukau.

Bingkisan Dari Kaherah: Makam Nabi Salleh a.s.

Kembara di bumi Anbia seperti mengulangi siri Jejak Rasul . Banyak tempat dan dikatakan ada kaitannya dengan para anbia. Kali ini penulis menjejak makam Nabi Salleh a.s. Al-Quran menukilkan bahawa Nabi Salleh adalah nabi untuk kaum Thamud. Lokasi yang tepat tidak dapat dipastikan tetapi ada dua lokasi yang seperti menepati huraian yang Allah rakamkan dalam al-Quran. Yang pertama di Arab Saudi dan yang keduannya di Petra, Jordam. Bangunan di kedua tempat ini memang dipahat di dinding gunung. gua-gua dijadikan bilik. Malah ada binaan yang berseni mengikut kreativiti mereka. Seperti kaum-kaum yang lain yang terdahulu mereka membangun dari segi fizikal dan prasarana kehidupan mereka.Kemewahan dan kemakmuran ekonomi menjadikan mereka lupakan Allah kecuali segelintir kecil dalam kalangan mereka.

Tugas Nabi Salleh ketika itu adalah untuk membawa balik kaumnya ke jalan Allah. Sebaliknya mereka menjadi terlalu sombong. Bukti-bukti kebesaran Allah yang didatangkan sebagai mukjizat Nabi Salleh mereka tolak kesemuanya. Allah perintahkan Nabi Salleh dan mereka yang beriman menyingkir dari negeri mereka. Lalu Allah musnahkan kaum Thamud seperti yang tercatat dalam al-Quran. Allah musnahkan mereka dengan suatu tempikan yang sangat kuat. Hapuslah suatu kaum yang penuh dengan kesombongan. Seolah-olahnya sewaktu mereka dalam kemewahan mereka tidak perlukan Allah.

Ada beberapa pengamatan yang serupa dalam kisah kemusnahan kaum-kaum yang terdahulu.

1     Mereka dalam kemewahan. Negara mereka maju.
2     Pemimpin-pemimpin mereka menjadi sangat kuat. Kesombongan mendatangi mereka. Lupakan Allah  
       Yang Maha Mencipta segala-galanya. Yang mengizinklan mereka menjadi pemimpin.
3     Pemimpin yang menjerumuskan pengikiynya ke jalan kesesatan.
4     Kemusnahan menyeluruh. Allah mungkin tinggalkan sisa untuk menjadi iktibar kepada orang                          terkemudian.

Papantanda ini berhampiran dengan makam Nabi Salleh. Menarik kerana latabelakangnya yang cerah. Di negara Arab langit selalu cerah.

Di permakaman Nabi Salleh.

Allah takdirkan kami selalu dapat bersama. Anugerah Allah. Banyak sebabnya:
1   Pernah hidup sukar.
2   Menjawat jawatan sederhana tinggi.
3   Menikmati pendapatan yang berpanjangan. Alhamdulillah.
4   Allah lanjutkan usia selepas bersara.
5   Allah kurniakan kesihatan fizikal, mental dan perasaan.
6   Rezeki yang Allah beri dan izin dariNya untuk mengembara di muk bumi milik Allah ini.

Syukur padaMu ya Allah.


Satu lagi makam berhampiran makam Nabi Salleh. Tidak diketahui siapa.

Permakaman ini hanya tinggalan sejarah. Ada yang ingat dan ramai yang tidak lagi mengingatinya. Andainya masih kerap membaca al-Quran pastinya akan mengulang lagi kisah-kisah para anbia seperti Nabi Salleh. Mengambil iktibar darinya bahawa kita sentiasa perlukan Allah.

Bingkisan Dari Kaherah: Masa-Masa Sendiri Yang Perlu Diisi

Ada dua hal mengenai manusia. Pertama manusia sebagai dirinya sendiri. Kedua manusia sebagai insan sosial. Dalam banyak keadaan kita selalu ingin bersama orang lain. Kita berjiran. Bersama rakan sekerja. Menaiki kenderaan awam. Bermuamalah di banyak tempat seperti kedai, pasar dan pejabat. Secara fitrahnya kita lebih sukakan jamaah dari bersendirian. Dengan bersosial kita berinteraksi, berdiskusi dan berkomunikasi. Tidak mungkin kita hidup bersendirian dalam apa keadaan sekalipun. Kita tentunya menjadi lemas dengan sendirinya. Kita pandai bercakap maka kita ingin selalu bercakap. Kita boleh mendengar maka banyak suara orang lain yang ingin kita dengar. Kita boleh melihat maka kita ingin selalu melihat orang lain bersama kita. Apabila kita bercakap tentang psikologi maka kita tidak dapat lari dari sense of belonging. Atau espirit de corp. Begitulah kuatnya ikatan antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Kekuatan itulah yang membina synergy untuk mencipta gandaan atau lonjakan kejayaan pada waktu-waktu tertentu. Mungkin secara terancang atau secara terjadual.

Namun demikian dalam diri manusia terdapat suatu sudut sempit untuk dirinya sendiri. Untuk dia membina peribadinya yang tersendiri. Maka sukar untuk kita melihat manusia ramai yang identical. Tidak mungkin terlalu banyak keserupaannya. Terlalu jarang berlaku. Sifat menyendiri terlalu jauh dari sifat sosialnya. Dalam suatu konteks manusia suka berkhayal atau mengelamun. Ada yang lain suka bermimpi. Malah dalam jaganya kadang-kadang dia bermimpi. Yang paling baik ialah menukar konotasi berkhayal, bermenung dan mengelamun. Kita ada istilah yang lebih baik. Jauh lebih positif. Berfikir. Banyak berfikir untuk memperbaiki keadaan. Mengatasi kelemahan. Menambah kekurangan. Membina semula kegagalan. Atau paling kurang cuba mencongak-congak masa hadapan yang banyak ketidakpastiannya. Tetapi dengan ilmu dan pengalaman  pemikiran kita boleh dibentuk. Disusun prosesnya supaya memberikan kita urutan aktiviti yang saling berkait dan membantu antara satu sama lain.

Apabila kita berkawan maka kita seharusnya memahami bahawa rakan kita perlukan waktu untuk bersendiri. Begitu bagi pasangan yang sudah berumahtangga. Antara mereka berdua perlu juga waktu bersendiri untuk mengimbas kekuatan dan kelemahan perkongsian hidup sesama mereka berdua. Untuk memikir jalan memperbaiki kehidupan untuk masa hadapan keluarga. Mencari jalan keluar kekusutan dalam berbagai hal. Maksudnya dalam apa keadaan sekalipun kita perlu mengizinkan orang lain untuk bersama dirinya sendiri dari masa ke semasa. Jika yang difikirkan ialah hal-hal yang positif maka banyaklah natijah positif yang membantu memperbaiki keadaan.

Di Dahab penulis sempat juga bersendirian bersama isteri. Besiar-siar di pekan kecil pelancongan yang lengang. Zaman kegemilangan pelancongan pra-revolusi belum lagi kembali ke Mesir. Terlalu sedikit berpapasan dengan pelancong dari Eropah atau Amerika Syarikat. Selesa berjalan-jalan atau melihat-lihat di sekitar pantai dan kedai-kedai yang lengang.


Ini dikira pusat bandar Dahab. Terlalu lengang. Di kejauhan sebahagian kedai makan di tepian pantai. Banyak berderetan tetapi hampir kesemuanya merintih menanti pelanggan dan pengunjung. Mereka menjadi terlalu daif.

Kedai banyak tetapi pelanggannya tiada. Entah sampai bila mereka mampu bertahan.

Seorang pejalan kaki di belakang sudah seperti meramaikan suasana.

Di kanan dan kiri gambar adalah kedai-kedai makan dan hotel. Waktu petang-petang sebegini langsung tiada pelanggan yang menjengah.

Iklannya besar dan menggamit. 

Di tepi Teluk Aqaba. Teluk yang dikongsi Mesir, Israel, Jordan dan Arab Saudi. Teluk yang tenang ini menjanjikan kedamaian dan kebahagiaan. Iklim diperlukan untuk menghadirkan yang terbaik dalam banyak hal. Iklim politik  adalah satu antaranya. Kestabilan politik menjamin kesejahteraan negara.


Friday, March 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Permakaman Nabi Harun a.s.

Al-Quran merakamkan berbagai kisah sejarah manusia terdahulu dalam berbagai peristiwa. Allah merakamkan kisah-kisah terpilih yang ada kaitannya dengan akidah. Kisah-kisah itu bukan sebarangan bahkan Allah persembahkan dengan keteraturannya yang tertentu. Apabila kita baca al-Quran sejarah itu tersingkap satu persatu. Sekiranya kita memahami isi al-Quran Allah membawa kita menelusuri sejarah manusia sejak dari zaman dahulukala. Polanya seperti serupa. Manusia menempa kemajuan yang hebat kemudiannya mereka kufur kepada nikmat Allah. Semua yang berkaitan dengan tuntutan Allah mereka tolak. Mereka dustakan dalam istilah agama.

Sejarah dalam al-Quran bukan seperti sejarah moden. Kita menerima sejarah dengan hidangan  pelaku, tarikh, tempat, masa dan implikasi sejarah itu. Cuma kerapkali implikasinya ditulis dengan kecondongan yang teratur. Ada yang tersembunyi. mata kasar kita tidak melihatnya. Begitulah British umpamanya menulis tentang sejarah kita. Semua yang menentang British dianggap sebagai penentang atau pemberontak. jadilah Datuk Bahaman seorang penderhaka. Jadilah Mat Kilau sorang penderhaka. Jadilah Datuk Maharajalelaa seorang penderhaka. Mereka menderhaka terhadap British tetapi dikiaskan menderhaka kepada Sultan dan Raja. masih banyak kesamaran dalam penulisan sejarah kit asendiri. dari kacamata seorang sejarawan yang profesional dan tulen ilmunya. Tidak condong ke mana-mana arah. Fokus kepada ilmunya sahaja.

Al-Quran tidak menamakan masa, hari, tarikh dan pelaku-pelaku lain selain dari Nabi dan Rasul kekasih Allah. Yang pastinya terdapat dialog-dialog yang mendidik kita supaya mengenal antara yang hak dan yang batil. Yang benar dan yang karut. Berulang-ulang sejarah manusia dari suatu zaman ke suatu zaman yang lain. Pada zaman kegemilangan sesuatu bangsa itu lazinya mereka melupakan Allah. Diperingatkan berulang-ulang kali. Rasul dan Nabi yang memperingatkan mereka ditempelak. Dihina. Disifatkan dengan sifat-sifat keji dan hina. Keindahan akhirat terhijab dari mereka. Yang mereka lihat hanya kegemilangan dunia yang fana. Yang palsu. Yang bersifat sementara.

Apabila kita membaca al-Quran yang penting ialah intipati setiap kalimah, ayat dan surahnya. Bukan sejarahnya per se. Ambul iktibar dari peristiwa yang Allah rakamkan itu. InsyaAlah banyak manfaatnya.

Ini dikatakan makam Nabi Harun. Terletak berhampiran dengan Fox Camp tempat penulis menginap bersama rombongan mendaki Bukit Tursina. Kira-kira sekilometer dar Fox Camp.

Kadang-kadang penulis menjadi jengkel juga di dalam hati. Banyak di tempat-tempat begini terdapat gereja kecil. Terganggu sedikit konsentrasi untuk syahdu di tempat yang dikatakan bersejarah. Ada orang lain yang memainkan peranan. Keadaan sebegini bukan di satu dua tempat tetapi di banyak tempat. Aduhai! Apabila kita lemah banyak ketidakmampuan untuk mengatur yang lebih baik. Toleransi  menjadi terlalu longgar.

Dari dekat baru kita dapat fokus. Dari jauh tadi yang kita lihat bangunan lain yang lebih besar. 

Tanah perkuburan di sekitar tempat permakaman Nabi Harun. Seperti misteri juga. Makam Nabi Harun dikatakan berada di Jordan. Di puncak sebuah bukit di Petra. Sebab itu kita tidak seharusnya banyak memepertikai pendapat manusia. Yang benar dari Allah adalah lebih penting. Tempat sejarah ini untuk kita mengenang kematian kita sendiri. Kita bakal ada pusara sendiri. Sejarah kita sendiri. Suatu ketika nanti kita juga menjadi orang lama. Hanya sejarah. Tiada siapa yang kenal. 

Kita menghormati pusara. Sedekah Fatihah. Berdoa untuk keampunan empunya pusara. Mudah-mudahan Allah menerima rohnya. Mudah-mudahan juga kita bertemu pemilik pusara itu di akhirat nanti.

Dari jauh hanya batu-batu kecil sahaja yang dapat dilihat. Begitulah pengakhiran setiap manusia yang mati. yang Islam dan beriman. Yang ditinggalkan hanya batu-batu kecil sahaja. 

Andaikan kita yang bersemadi di situ. Orang hanya melihat tanpa mengetahui siapa yang pusaranya di situ. Itulah tinggalan orang terdahulu. Hanya sedikit tanda. Itupun jika masih ada tanda. Tandapun tidak penting. Yang kita tinggalkan ilmu yang bermanfaat, anak yang soleh dan amal jariah. Cukup setakat itu sahaja.

Tanda sebegini hanya ingatan orang terkemudian. Hanya mereka yang tertentu sahaja diingat orang. Yang lain manusia biasa yang tidak perlu diingat. Allah simpan dalam lipatan sejarah yang mungki tidak dibuka oleh sesiapapun hingga akhir zaman.