Monday, March 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Sharm El-Sheikh Kali Kedua

Perjalanan hidup kita ini sebenarnya sangat panjang. Sangat sangat panjang. Kita selalu hanya mengira yang sedikit. Yang panjang terlindung dek keasyikan kita dengan dunia. Dengan kealpaan. Dengan nikmat yang fana. Andainya anda berusia 25 tahun maka angka 25 tahun itu terlalu sedikit. Hanya 25. Jika dikira mengikut bulan maka usia anda 300 bulan. Secara mingguan pula 1,300 minggu. Secara hari maka usia anda menjadi 9,125 hari. Dalam jam pula 219,000 jam. Dalam minit 13,140,000 minit. Dalam saat 788,400,000. Pernah terfikir dalam usia 25 tahun anda telah menghabiskan 300 bulan yang bernilai 1,300 minggu yang bernilai 9,125 hari yang bernilai 219,000 jam yang bernilai 13,140,000 minit yang bernilai 788, 400,000 saat.

Kita di negara yang masih maju mundur mengira kesemuanya dengan tahun dan bulan. Angka-angka yang kecil tetapi bernilai besar dibuang jauh-jauh. Tetapi tetapi di negara maju yang dikira bukan lagi minit. Mereka mengambilkira pecahan-pecahan saat. Perseribu atau persejuta. pelumba lari pecut seperti Usain Bolt lariannya dikira hingga perseribu. Seperti angka 9.763 saat. Sebab itu negara maju bercakap mengenai quantum leap. Bukan jump. Mereka melonjak jauh bukan setakat melompat. Kerana kita asyik dengan tahun dan bulan maka kita jauh di belakang. Tertinggal dalam serba banyak perkara. Kita selalu bercakap mengenai paradigm shift tetapi realitrinya masih elusive dari jangkauan pemikiran kita. Kita kekal bergerak ke hadapan sedangkan orang lain melompat dan melompat tinggi dan jauh. Tinggi dan jauh. Semakin tinggi dan semakin jauh.

Terlalu banyak paradox yang sukar dikikis dari ego-centric yang menghantui pemikiran kita. Kita ingin maju tetapi prasarana yang ada menyekat ke arah itu. Facilitation kurang. Semakin ramai anak-anak seperti Adi Putra yang akhirnya menjadi manusia biasa yang nilainya merosot jauh ke bawah. Penulis ingatkan kisah Hang Nadim hanya pengkisahan sejarah ketika orang Melayu sangat terkebelakang pemikirannya. Rupanya Hang Nadim seperti Adi Putera masih berada dalam sejarah semasa. Nasibnya juga tidak baik. Pintu-pintu kotak di sekeliling kita tidka dibuka untuk orang lain keluar atau masuk. Kotak yang ada tidak membenarkan orang lain masuk. Kita pula tidak keluar dari kotak yang sama. Banyak perkara yang perlu difikirkan dalam perjalanan yang jauh dalam membina negara. Membina diri. Membina segala-gala yang kita hasratkan. Fikirkan dalam-dalam.

Perjalanan yang jauh terasa jauh sekiranya dirasa-rasakan jauh. Perjalanan ke Tursina dan kembalinya memberi ruang untuk berfikir. Mengisi ruang-ruang kosong dalam pemikiran. Jika diisi masa dengan hal-hal yang mengasyikkan maka perjalanan itu menjadi tidak terasa. Sebagai pelancong lazimnya kita banyak melihat-lihat. Berhenti di tempat-tempat tertentu. Mungkin juga untuk melepaskan lelah. Perjalanan terus selama 12 jam tentu melenguhkan. kaki tergantung-gantung. Darah pula tersekat perjalanannya. Bila turun dari bas terhuyung-hayang. Jika semasa dalam perjalanan ke Bukit Tursina kami menyusuri pantai bandar Sharm El-Sheikh dalam perjalanan pulang pula kami mengambil jalan di bahagian tengah bandar. Berhenti sebentar untuk menjenguk-jenguk bandar ini. Di kawasan membeli belah.

Sebagai bandar pelancongan yang tersusun dan baru barangan pelancong memang banyak. Berbagai-bagai barang. Seperti juga di Dahab, pelancong di pekan ini juga sangat berkurangan. Kedatangan dan persinggahan kami meramaikan sebentar bandar ini selama sejam. Adalah juga beberapa barang yang dibeli. Paling banyak tentulah makanan dan minuman. Perut sentiasa lapar dan tekak hausnya menjadi-jadi. Pada hakikatnya diri kita sentiasa lapar. Malangnya kita selalu fokus kepada perut sahaja. Banyak kelaparan yang tidak diberi layanan saksama. Kita lapar ilmu. Lapar maklumat. Lapar keindahan berseni dalam bermasyarakat dan bermuamalah. Lapar nilai tinggi banyak perkara dalam membina kehidupan yang bertaraf tinggi. Dengan kos sara hidup yang rendah. Menikmati segala keindahan, kebahagiaan dan kesejahteraan.

Kita banyak santai. Selalunya orang akan santai setelah berpenat lelah kerana bekerja. Penulis telah hampir 13 tahun bersara sejak 23 Julai 2001. Masih sukar untuk mencari ruang santai. Jika tidak mengisi ruang maka ruang yang mengisi kita, Ketika ruang mengisi kita tidak ada apa yang menjadi nilai lagi. Akan ada hanya kekosongan yang mengosongkan. Kulit hanya membalut kekosongan itu.

Seperti ruang kosong ini tanpa makna dan nilai. Bukan peniaga atau usahawan yang memberi nilai dan warnanya. Pelancong yang mengisi ruang ini yang tinggi nilainya. Keberadaan tempat dan ruang ini memberi impak ekonomi. Perhubungan antarabangsa. Nilai tambah dalam membina negara.

Sebagai pelancong kita hanya lalu sebentar. Singgah sebentar. Kita tidak mewarnai selama-lamanya tempat ini. Pemimin dan kepimpinannya yang perlu memikirkan. 

Di negara Arab menara seperti ini terlalu biasa. Yang tinggi dah gah mungkin tidak sebanyak yang kita jangkakan. Namun yang rendah dan kecil banyak di merata tempat. Apabila tiba waktu solat berkemundang azan dari berbagai arah dan celah bangunan. Menunaiukan solat bukan kepayahan. Di tepi-tepi jalan pemandu kenderaan berhenti membentang sejadah lalu solat. Menunaikan tanggungjawab terhadap Allah. Bukan kepada manusia.

Biasalah dalam perjalanan ada juga penantian. Ada yang menghabiskan waktu. Yang lain pula tidak cukup waktu. Ada juga yang waktunya tertunda.

Sebenarnya dalam apa jua keadaan sentiasa ada hikmahnya. Dalam menunggu berkenal-kenalan dengan sahabat baru. Ada cerita baru.

Sentiasa ada perkongsian suasana dan waktu. Dalam keadaaan lain mungkin suasana seperti ini tidak tercipta.

Sebahagian dari serokan di Sharam El-Sheikh.

Bot dan kapal berlabuh. Menunggu pelancong untuk menyelam dan bermain air. Terus menunggu sehingga industri pelancongan dapat dipulihkan.

Sebahagian dari Laut Merah.

Sukar menentukan warna merah yang sebenarnya. Mungkin air kotor yang mewarnai tepian pantai dilihat merah dari kejauhan. Hakikatnya belum lagi diketahui.

No comments:

Post a Comment