Saturday, March 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Masa-Masa Sendiri Yang Perlu Diisi

Ada dua hal mengenai manusia. Pertama manusia sebagai dirinya sendiri. Kedua manusia sebagai insan sosial. Dalam banyak keadaan kita selalu ingin bersama orang lain. Kita berjiran. Bersama rakan sekerja. Menaiki kenderaan awam. Bermuamalah di banyak tempat seperti kedai, pasar dan pejabat. Secara fitrahnya kita lebih sukakan jamaah dari bersendirian. Dengan bersosial kita berinteraksi, berdiskusi dan berkomunikasi. Tidak mungkin kita hidup bersendirian dalam apa keadaan sekalipun. Kita tentunya menjadi lemas dengan sendirinya. Kita pandai bercakap maka kita ingin selalu bercakap. Kita boleh mendengar maka banyak suara orang lain yang ingin kita dengar. Kita boleh melihat maka kita ingin selalu melihat orang lain bersama kita. Apabila kita bercakap tentang psikologi maka kita tidak dapat lari dari sense of belonging. Atau espirit de corp. Begitulah kuatnya ikatan antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Kekuatan itulah yang membina synergy untuk mencipta gandaan atau lonjakan kejayaan pada waktu-waktu tertentu. Mungkin secara terancang atau secara terjadual.

Namun demikian dalam diri manusia terdapat suatu sudut sempit untuk dirinya sendiri. Untuk dia membina peribadinya yang tersendiri. Maka sukar untuk kita melihat manusia ramai yang identical. Tidak mungkin terlalu banyak keserupaannya. Terlalu jarang berlaku. Sifat menyendiri terlalu jauh dari sifat sosialnya. Dalam suatu konteks manusia suka berkhayal atau mengelamun. Ada yang lain suka bermimpi. Malah dalam jaganya kadang-kadang dia bermimpi. Yang paling baik ialah menukar konotasi berkhayal, bermenung dan mengelamun. Kita ada istilah yang lebih baik. Jauh lebih positif. Berfikir. Banyak berfikir untuk memperbaiki keadaan. Mengatasi kelemahan. Menambah kekurangan. Membina semula kegagalan. Atau paling kurang cuba mencongak-congak masa hadapan yang banyak ketidakpastiannya. Tetapi dengan ilmu dan pengalaman  pemikiran kita boleh dibentuk. Disusun prosesnya supaya memberikan kita urutan aktiviti yang saling berkait dan membantu antara satu sama lain.

Apabila kita berkawan maka kita seharusnya memahami bahawa rakan kita perlukan waktu untuk bersendiri. Begitu bagi pasangan yang sudah berumahtangga. Antara mereka berdua perlu juga waktu bersendiri untuk mengimbas kekuatan dan kelemahan perkongsian hidup sesama mereka berdua. Untuk memikir jalan memperbaiki kehidupan untuk masa hadapan keluarga. Mencari jalan keluar kekusutan dalam berbagai hal. Maksudnya dalam apa keadaan sekalipun kita perlu mengizinkan orang lain untuk bersama dirinya sendiri dari masa ke semasa. Jika yang difikirkan ialah hal-hal yang positif maka banyaklah natijah positif yang membantu memperbaiki keadaan.

Di Dahab penulis sempat juga bersendirian bersama isteri. Besiar-siar di pekan kecil pelancongan yang lengang. Zaman kegemilangan pelancongan pra-revolusi belum lagi kembali ke Mesir. Terlalu sedikit berpapasan dengan pelancong dari Eropah atau Amerika Syarikat. Selesa berjalan-jalan atau melihat-lihat di sekitar pantai dan kedai-kedai yang lengang.


Ini dikira pusat bandar Dahab. Terlalu lengang. Di kejauhan sebahagian kedai makan di tepian pantai. Banyak berderetan tetapi hampir kesemuanya merintih menanti pelanggan dan pengunjung. Mereka menjadi terlalu daif.

Kedai banyak tetapi pelanggannya tiada. Entah sampai bila mereka mampu bertahan.

Seorang pejalan kaki di belakang sudah seperti meramaikan suasana.

Di kanan dan kiri gambar adalah kedai-kedai makan dan hotel. Waktu petang-petang sebegini langsung tiada pelanggan yang menjengah.

Iklannya besar dan menggamit. 

Di tepi Teluk Aqaba. Teluk yang dikongsi Mesir, Israel, Jordan dan Arab Saudi. Teluk yang tenang ini menjanjikan kedamaian dan kebahagiaan. Iklim diperlukan untuk menghadirkan yang terbaik dalam banyak hal. Iklim politik  adalah satu antaranya. Kestabilan politik menjamin kesejahteraan negara.


No comments:

Post a Comment