Tuesday, March 4, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Puncak Yang Memuncak


Begitu anggun puncak Bukit Tursina. Setiap hari ramai pelancong yang mendaki ke puncaknya. Ada yang datang kerana sejarahnya. Ada yang lain kerana ingin munajat kepada Allah. Tidak kurang juga kerana hendak melihat matahari terbit dari puncak bukit yang tinggi. Yang lain mungkin sebagai senaman pendakian.


Sebuah masjid yang kecil. Di sebelahnya terbina bangunan yang lebih besar tetapi sebuah gereja Christian Ortodox orang Greek.

Masjid dilihat dari jauh. 

Pada waktu siang agak cerah kerana pancaran cahaya matahar yang cukup terang.

Bahagian dalam masjid. 

Ini gambar gereja. Di bahagian hadapan gambar ada tangga. Di sebelah kiri gambar ini ada sebuah masjid. Di tepi tembok masjid inilah penulis, isteri dan beberapa orang peserta berlindung dari angin dan sejuk. Di situ juga kami solat.

Puncak bukit dilihat dari udara.

Bila sudah sampai di atas semuanya tidak dilihat tinggi.

Mereka baru sahaja menikmati matahiri pagi yang baru sahaja muncul dari ufuk Timur.

Yang ini masih berkabus lagi.

Tertunggu-tunggu kemunculan matahari.

Di setiap ruang mereka berkumpul memandang ke Timur.

Pancaran pagi.

Di puncak bukit. Kabus, sejuk dan matahari pagi.

Di Timur yang cantik ufuknya.

Menurni bukit. Pada malamnya sangat sukar melakukan pendakian.

Laluan sempit yang sukar bagi yang belum biasa mendaki bukit.

Antara perhentian yang disediakan. Ada kedai makan dan minum. Mahalnya tidak terkira. Harga barang-barang boleh jadi 10 kali ganda. Pengangkutan tunggal hanya unta. Maklum sukarnya membawa barang setinggi itu.

Turun memang lebih mudah.

Bila ramai seronok juga. Mereka pelancong dari berbagai negara. Berbagai bahasa.

Sebuah perhentian.


Antara batu yang menjadi tangga laluan naik dan turun.

Tangga batu yang disusun bukan sperti tangga rumah. Kena pilih mana yang sesuai. Yang memudahkan. Ketika ini ada batu yang dilangkah. Ada masanya merangkak untuk naik ke atas batu yang kedudukannya lebih tinggi.

Lereng bukit yang mencuram di sebelah kanan.


Untuk sampai di hujung atas mungkin terpaksa berhenti beberapa kali. Pada peringkat ini pendaki sudah mula sangat keletihan. Pendakian semakin memenatkan. Puncak masih jauh lagi.

Bagi yang menaiki unta tentu tidak dapat merasakan sukarnya pendakian. Untuk diceritakan kepada anak cucu.



Loronng pendakian bukan sahaja curam tetapi sempit dan berliku. Lihat di kiri adalah jurang yang dalam. Di kanan pula lereng bukit yang juga menegak. Gambar ini cerah dengan matahari pagi yang memancar terang. Semuanya nampak indah. Mendakinya yang perlu digagahi dengan perkasa. Jika tidak kecundang di tengah jalan.


undefined

Pada tempat-tempat tertentu terdapat unta untuk disewa. Boleh untuk naik dan juga untuk turun. Bagi yang keletihan ianya penyelamat. Begitu juga bagi yang mengalami kecederaan.

Hentian terakhir sebelum sampai di puncak. Itu juga hentian pertama selepas turun dari puncak. Sebelum naik berehat dahulu di sini. Sewaktu turun mula mencari apa-apa barangan untuk dibawa pulang terutama sekali serpihan batu bukit yang hancu berkecai ketika Allah menampakkan dirinya kepada bukit itu. Pada serpihan-serpihan batu itulah dikatakan terdapat fossil tumbuhan menyerap ke dalamnya.

undefined

Lorong yang bengkang bengkok. Sayup dilihat dari bahagian atas laluan. Bila kita menoleh ke belakang kita rasa kita jauh di hadapan. Sewaktu kita di belakang terasa bila pula kita dapat menyaingi mereka yang di hadapan. Sesungguhnya yang tinggi boleh didaki. Yang jauh boleh didekati.

undefined

Di celah-celah bukit bukau inilah lorong pendakian ke puncak Bukit Tursina. Dari atas nampak di kejauhan. Sewaktu mendaki tiada siapa yang tahu apa yang akan ditemui. Tidak tahu bagaimana lorongnya. Ke mana beloknya. Gambar ini meningatkan penulis akan bumi Shams di Petra. Bentuk muka buminya seperti sama tetapi batu batannya di Petra lebih menarik warnanya.


Mendaki Bukit Tursina bermakna menelusuri lorong orang Badwi. Yang dilalui ialah lorong curam yang berlantaikan batu, kerikil dan pasir. Berjalan pada waktu malam dengan suluhan lampu picit. Memilih tempat dan titik yang sesuai untuk memijakkan kaki. Untuk pasti yang dipijak ialah alas nyata. Tidak pula akan tergelincir. Tidak tergelongsor. Tidak terpelecok. Banyak berdoa supaya tidak terkehel atau terseliuh. Sukar nanti untuk turun sendiri. Yang hendak membantu juga menghadapi kesukaran. Lazimnya akan turun menggunakan unta. Bagi yang tidak biasa ngeri juga kerana boleh gayat. Unta itu tinggi. Berjalan dilorong yang diapit oleh gaung dan jurang yang dalam. Gambar di bawah hanya cebisan dari lorong panjang yang dilalui.

undefined

Sewaktu menuruni lorong ini pada pagi esoknya rupanya pasir-pasir yang ada sangat kering. Angin pula bertiup kencang. Setiap pijakan kaki mengeluarkan debu yang bukan kepalang banyaknya. Seluruh pakaian dan diri sendiri penuh dengan debu. Pakaian yang dibasuh selepas itu berwarna cokelat dan kehitam-hitaman. Kami tidak pula berpandukan kepada ramalan cuaca. Sejarah menunjukkan tiada yang menyulitkan dalam pendakian naik dan turun.

Sayup tingginya di atas. Untuk mendaki seluruh kudrat dimanfaatkan. Doa dipanjangkan. Semangat digagahkan.

  1. Celah-celah laluan.


Bukan mudah sebenarnya.

Besar-besar batunya.


Sinarnya yang dilihat dahulu.

Sebahagian dahulu yang dilihat. Dari jauh. Dari puncak bukit yang tinggi. Semakin tinggi semakin cantiknya.

Kelihatan penuh. Hanya sebentar sahaja. Beberapa saat kemudian memancarlah cahayanya.

undefined

Kemunculan awal seperti ini yang menjadi kerinduan mereka yang pernah mendaki Bukit Tursina. Dilihat dengan mata sendiri sangatlah cantiknya. Rasanya kita mencintai setiap kelahiran. Mungkin seorang bayi. Mungkin tunas biji benih. Mungkin tunas pada pokok. Bagi matahari ianya sesuatu yang sukar kita lihat. Tidak di semua tempat kita dapat melihatnya. Peluang seperti ini sukar di Malaysia kerana langit selalunya penuh dengan awan. Mungkin juga penuh dengan kabus atau jerebu seperti sekarang.



Photo of Mount Sinai

Pagi itu memang ramai manusia di puncak Bukit Tursina. Jika kami datang kerana gamitan syahdunya bukit itu, mereka pula datang dengan matlamat yang lain. Kebanyakan mereka hanya untuk melihat cantiknya matahari. Keunculan dirinya yang bulat dalam warna jingga yang samar-samar pada awalnya. Hanya dalam beberapa saat sahaja pancaran cahayanya segera menerangi alam. Matahari yang jaraknya jutaan tahun cahaya dari bumi dijadikan Allah untuk menyinari alam. Memberikan kehidupan sementara. Nanti kembali semula mengadapNya. Allah Yang Maha Mencipta kita semua. Kerana itu apa-apa yang kita nikmati semuanya sementara belaka.


Photo of Mount Sinai



Bulatan kecil matahari bak bayi baru lahir. Itupun memberikan nikmati melihatnya dengan sebaik-baiknya. Ramai pelancong yang merasa puas melihat munculnya matahari itu. Bagaimana nanti apabila matahari muncul dari Barat. Allahuakbar.




Ramainya penguncung puncak Bukit Tursina. Pada waktu ini semua mata ditumpukan kepada matahari. Hilang semua aktiviti lain. Yang berkamera tiada henti-hentinya merakam peristiwa yang mungkin sekali inilah seumur hidup. Beberapa saat tadi diganti dengan pancaran matahari pagi yang semakin menerangi alam. Barulah terlihat berbagai-bagai pemandangan di sekeliling Bukit Tursina.



Gambar ini dirakan antara waktu fajar dan sebelum terbit matahari. Cahaya awalnya sudah mengufuk. Di daerah itulah terbitnya fajar. Di situlah juga jalur munculnya matahari pagi yang cantik memukau semua yang  memandangnya. Ciptaan Allah kesemuanya cantik-cantik belaka.


Dalam pakaian yang berbungkus dinginnya tidak terkira. Paling kurang empat lapis pakaian. Untuk menahan sejuk. Cuma kami tidak bersedia dengan datangnya angin kencang. Jika tidak tentu kami bawa pakaian lebih tebal. Di puncak bukit tetapi seolah-olah berada di Greenland.


Setelah memandang keliling rupanya masih ada salji di bukit-bukit yang berhampiran. Semasa menuruni Bukit Tursina kami temui saki baki salji yang belum cair. Dikhabarkan beberapa hari selepas itu sajli turun lagi di Bukit Tursina. Andainya salji turun lagi sewaktu kami mendaki tentunya pendakian menjadi lebih sukar. Licin dan lebih banyak risikonya. Alhamdulillah Allah izinkan kami menjejakkan kaki di bukit itu. Walaupun seperti peluang tiada lagi, mungkin dengan izin Allah bukit itu dapat didaki lagi. Mudah-mudahan menjadi realiti. 


Tuesday, February 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Apakah Dunia Lakonan Ada Badinya?



Apa sebenarnya yang kita fahami dari dunia lakonan? Ianya hanya lakonan. Bukan realiti. Plot cerita yang dilakonkan mungkin diambil dari realiti atau fiksyen semata-mata. Betulkah begitu. Fiksyen sekalipun tentunya bersandarkan kepada pengalaman dalam persekitaran penulis skrip. Dihayati oleh pengarahnya. Dilakonkan untuk tatapan umum. Lakonan memerlukan watak-watak hebat untuk merealisasikan jalan cerita yang digarap pengarahnya. Garapan yang baik selalunya menampilkan lakonan yang real. Menjiwai  cerita dan wataknya. Penonton merasa puas kerana paparan di TV atau pawagam itu memberikan input minda yang baik.  Lakonan yang baik memenuhi selera dan kehendak penonton semua peringkat. Tidak meninggalkan impak kurang atau negatif. Umpamanya selepas menonton sesuatu drama kita merasa terkesan. Tidak pula merasa banyak ketidakselarian. Secara psikologinya ada keselelarian dengan teori dan kebiasaan hidup manusia. Tidak pula memperlekeh mana-mana gender. Tidak memperlekeh usia, tahap pendidikan atau diskriminasi dalam bentuk stereotyping.

Selama ini kita bayak dihidangkan dengan filem dan drama TV. Banyak nama-nama besar dalam bidang lakonan. Ramai yang kekal aktif. Ramai yang sudah kembali kepada Allah. Ramai yang Allah uji dengan berbagai dugaan di dunia. Apabila kita sorot kembali, kita dapati ada antara pelakon hebat filem dan drama yang realiti hidupnya seperti lakonan mereka yang direalisasikan dalam dunia realiti mereka. Kehidupan sebenar mereka seperti apa yang pernah mereka lakonkan.

1                 Pelakon yang airmatanya sangat murah akhirnya menjalani hidup dengan berendam dengan airmata.
2                 Palakon yang  menjiwai watak susah dan miskin, menjadi benar-benar miskin dan susah di hari tua mereka. Lakonan dan realiti bergabung akhirnya.
3                 Pelakon yang melakonkan watak terbuang, benar-benar terbuang di hari tuanya hingga ke akhir hayatnya. Ada pelakon yang dibuang oleh ahli keluarga sehingga akhir hayatnya.
4                 Pelakon yang membawa watak, maaf, janda atau balu Allah izinkan menjadi janda atau balu.
5                 Pelakon yang membawa watak sakit, mengidap realiti sakit yang sebenar.
6                 Pelakon yang membawa watak nakal, kekal nakalnya di luar lakonan.

Itu sekadar beberapa contoh sahaja. Banyak lagi watak-watak lain yang dilakonkan oleh berbagai pelakon. Apa sebenarnya yang boleh kita kongsikan di sini?

1                 Pelakon menjiwai watak lakonan mereka. Hidup seperti watak itu. Berusaha menghidupkan watak itu seperti sebenarnya berlaku. Dirinya adalah watak itu.
2                 Menghafal skrip. Menghafal skrip berulang-ulang hingga lekat di bibir. Apa yang diungkapkan sebelum dan semasa penggambaran adalah skrip itu.
3                 Seluruh hidupnya berada dalam watak itu hingga selesai proses penggambaran dan dubbing. Pada waktu yang lain watak lain pula yang dipegangnya. Prosesnya berulang.

Cuba amati kata-kata ulamak. Sesuatu yang diulang-ulang seolah-olah doa. Seperti zikir jadinya. Berapa kali agaknya seseorang pelakon utama menghafal skrip. Mengulang-ulangnya hingga lekat di bibir. Lekat di minda. Seluruh pemikirannya itulah skrip yang dihafalnya. Akhirnya Allah makbulkan seperti yang diulang-ulang. Bagaimana dengan dialog berikut:

Yalah, aku ni miskin.
Aku ni orang susah.
Aku ni orang bodoh.
Aku ni tak pandai.
Yalah, aku ni hina.
Aku memang busuk.
Aku memang tak baik.

Berapa ratus atau ribu kali agaknya dialog itu dihafal. Dilakonkan hingga selesai. Kita selalu didorong supaya berwirid mengingati Allah. Apabila skrip lakonan menjadi seperti wirid mungkin itu yang lekat dalam minda dan hati. Allah makbulkan wiridnya. Rasanya pelakon akan sedar akan impak lakonannya. Kepada mereka ianya semata-mata lakonan. Tiada kena mengena dengan realiti. Mungkin kena ambil iktibar yang lebih sedikit. Cari semula apa di sebalik lakonan. Apa yang berlaku kepada pelakon berlaku juga kepada ahli masyarakat yang lain. Namum cerita mereka tertutup. Tiada paparazi yang mengintai mereka. Kepada artis atau selebriti semua kisahnya menjadi tatapan umum. Semua orang megetahuinya. Sementelahan pula dunia seni ramai peminatnya. Tidak ramai artis yang bertahan dalam dunia yang penuh pancaroba. Ada sahaja cerita yang di luar jangkaan.

Beruntung pelakon yang selalu memegang watak baik. Watak orang kaya. Orang besar. Orang ternama. Memegang watak orang alim. Jadi imam. Ketua. Penghulu dan sebagainya. Ramai pula memegang watak yang negatif. Antigonis. Ditonton dengan meluat. Dibenci. Malah hingga di luar set pelakon seperti ini dibenci orang. Bukan kerana jahat atau nakal. Tetapi kerana lakonannya yang dianggap berkesan. Dari segi prestasi seni ianya dianggap satu kejayaan. Namun dari segi yang lain lakonan itu mengaibatkan penonton membencinya. Ada kemungkinannya mereka yang benci itu menyumpah seranah. Bukan seorang. Bahkan ramai yang berpandangan serupa. Nah! Bagaimana? Hanya lakonan tetapi memberi impak negatif. Dimaki hamun tanpa disedari oleh pelakonnya. Yang benci pula mungkin bukan orang sebarangan. Orang biasa-biasa yang bersih hatinya. Caci makinya dikatakan orang dari ‘mulut yang masin’. Apabila kebencian itu turut menjadi doa maka lakonan ahkirnya menjadi realiti.


Mungkin ada baiknya dunia lakonan dilihat semula. Mungkin industri hiburan diperlukan tetapi lihat penampilan pelakon-pelakonnya supaya tidak melakonkan watak-watak yang negatif. Watak yang naif. Adegan-adegan yang tidak kondusif dalam pembentukan nilai murni ditiadakan. Tidak diperlihatkan. Tidak disebut secara jelas. Jalan cerita penuh dengan nasihat. Banyak unsur motivasi. Sorotan psikologi yang mengesankan. Analisis akademik dalam penceritaan. Dan banyak lagi jika mahu digarap. Sampai masanya industri hiburan merujuk kepada panel agama dan panel akademik. Pertamanya supaya ada kepatuhan syarie dan keduanya selari dengan penyelidikan akademik. Kita perlu melonjakkan industri lakonan umpamanya ke tahap yang jauh lebih tinggi. Sopan dan berhemah.

Saturday, February 22, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Dana Muslim Dan Pembangunan



Kita selalu terperangkap dengan soalan balas. Mana ada modal? Mana nak cari modal?  Bukan sedikit modalnya? Mungkin kita boleh fikirkan dalam-dalam. Sudah sampai masanya kita berdikari. Bagaimana? Mari kita kongsi fikir sama-sama.

1                 Kita ada harta walaupun mungkin tidak banyak. Berbagai kategori. Ada yang lebih dan ada yang kurang. Mungkin ramai yang hartanya terlalu sedikit untuk difikirkan. Tidak mengapa. Nanti kita fikirkan.
2                 Kita ada pendapatan. Ada yang banyak pendapatannya dan ada yang sedikit. Ada yang berlebihan dan ada yang cukup-cukup sahaja.
3                 Ada antara kita yang mencari poendapatan lain. Untuk menambah cukup atau untuk mencari kelebihan.
4                 Tanggungan kewangan kita banyak. Anak-anak semakin membesar. Keperluan hidup yang lain perlu difikirkan.
5                 Kita tidak tahu masa hadapan kita semua. Cemerlang atau tidak.

Soalnya, kenapa kita tidak berbuat sesuatu untuk sama-sama meringankan tanggungan antara satu sama lain. Dalam sejarah orang Melayu ada beberapa negatif yang sukar dihapuskan. Sukar dibuang tabiatnya. Sejak penulis muda hingga berumur lanjut cerita tidak amanah kepada rakan kongsi masih berlaku terus-menerus.

1                 Apa-apa usaha yang dibuat secara perkongsian membawa musibah kepada rakan kongsi.
2                 Usaha koperasi tidak disokong oleh ahli.
3                 Apabila berniaga banyak hasad dengki.
4                 Ramai yang dikatakan menggunakan pelaris. Bukan profesiomalism. Bukan ibadah.

Kaum dan bangsa lain berniaga dengan usaha. Dengan ilmu. Dengan pengalaman. Yang kita tidak tahu ialah bantuan moral dan modal dari saudara mara, rakan taulan dan institusi kewangan yang kaum atau bangsa mereka miliki. Kerana itu kita perlukan alternatif yang lebih kondusif kepada status ekonomi kita. Ketidak mampuan kita. Mari kita  dekati permasalahan ini dengan jalan lain yang selamat. Ingat, jangan terlibat dengan skim cepat kaya. Kita buat sesuatu yang kita sendiri seperti tidak sedar. Jangan gopoh. Jangan tamak. Jangan terburu-buru. Pilih yang selamat. Yang halal. Yang suci. Yang mematuhi kehendak syariah.

Pembentukan Yayasan Keluarga

Soalan pertama mungkin, apa benda ni? Baiklah. Setiap keluarga elok jika berusaha membentuk yayasan untuk keluarga masing-masing. Ikut kadar kemampuan masing-masing tetepi faedahnya untuk seluruh ahli keluarga. Dalam menikmati faedah yayasan ini tidak ada ahli yang harus dinafikan. Yang penting ialah seluruh ahli keluarga terbela. Bagaimana hendak memulakan? Ini cerita semangat. Cerita warisan. Cerita masa hadapan.

1                 Dalam keluarga ada tokoh yang menyatukan. Mungkin datuk atau nenek. Mungkin anak sulong. Mungkin siapa sahaja asalkan ada tokoh yang dapat menyatukan pemikiran ahli keluarga yang lain.
2                 Sumbangan mengikut kadar kemampuan. Himpunkan dana dalam bentuk wang ringgit. Mungkin ribuan ringgit. Mungkin ratusan. Mungkin puluh-puluh. Mungkin beberapa ringgit. Mungkin sekadar beberapa puluh sen. Setiap masa. Setiap bulan. Mungkin dibuka akaun bank. Semua wang dimasukknan ke dalam akaun. Masing-masing mencatatkan tarikh, masa dan amaun yang dimasukkan. Bukan untuk perbandingan siapa lebih dan siapa kurang. Sebaliknya hanya untuk mengetahui sumber dana itu sendiri.
3                 Anak cucu yang berikutnya dinasihati dan digalakkan untuk meneruskan sumbangan walaupun yayasan telah sampai kepada peringkat kukuh.
4                 Manfaatnya biarlah hingga ke akhir zaman.

Setelah tiga atau lima tahun cuba semak dana itu. Rasanya tentulah amaunnya beribu ringgit. Tunggu, jangan gelap mata. Sebelum ditubuhkan dana.

1                 Yayasan hendaklah didaftarkan dahulu.
2                 Dilantik lembaga pengarah.
3                 Ada lembaga pengurus dari pengerusi, setiausaham bendahari dan AJK.
4                 Ada pemegang amanah.
5                 Hak menandatangani cek jika ada. Semua transaksi hendaklah menggunakan cek. Bukan wang tunai.

Untuk apa yayasan?

1                 Membina empayar ekonomi keluarga. Seluruh keluarga.
2                 Faedahnya melampaui dari pemikiran kita. Bahawa ekonomi membina ekonomi berikutnya.

Manfaat kepada ahli keluarga:

1                 Pembiayaan pendidikan bagi yang kekurangan. Ahli yang berkemampuan tidak ghairah mendapatkan faedah yayasan keluarga. Konsepnya membantu yang perlu dibantu. Bukan secara individu tetapi melalui perkongsian.
2                 Mebeli hartanah yang tidak dikhuatiri ada susutnilainya.
3                 Membeli tanah ladang. Hasil ladang akan membolehkan ladang lain dibeli kemudiannya.
4                 Membeli rumah kedai untuk disewa.
5                 Membantu ahli keluarga memiliki rumah mampu milik.
6                 Memberi peluang pekerjaan kepada ahli keluarga.

Apabila yayasan ini kukuh dari segi ekonomi lakukan pula tanggungjawab sosial.

1                 Membantu kewangan kepada bakal hafiz dan hafizah.
2                 Ibu tunggal yang perlukan modal untuk berniaga menyara hidup.
3                 Bantuan kepada saudara baru.
4                 Bantuan kebajikan dan amal yang lain. Banyak dan boleh difikirkan mengikut turutan dan keutamaan.
5                 Sekolah tahfiz dan pengajian al-Quran.
6                 Institusi pendidikan agama.

Jika ramai keluaraga yang membentuk yayasan keluarga penulis yakin ramai ahli keluarga yang terbela nasibnya. Cuma ada beberapa perkara yang tidak boleh dilepas pandang.

1                 Abak-anak sentiassa ditarbiahkan supaya memiliki rasa tanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Kepada saudara-maranya sendiri terlebih dahulu.
2                 Didik supaya mereka yang mampu hendaklah berdikari di samping menyumbang. Konsepnya ialah menambah kekukuhan yayasan bukan meruntuhkannya.
3                 Konsep besarnya ialah menyumbang bukan menerima. Yang layak sahaja menerima bantuan yayasan. Pahala hendaklah dihimpunya mengikut kadar masing-masing. Elakkan dosa terhimpun.
4                 Dalam pemilikan rumah umpamanya, yayasan membantu kepada ahli yang perlukan bantuan. Mungkin bayaran awal, insuran dan bayaran-bayaran lain yang diperlukan. Tanpa faedah. Tanpa caj. Kembalikan yayasan kepada ahli keluarga.


Dalam keadaan kehidupan yang semakin menyesakkan ini, yayasan keluarga boleh membantu diri kita sendiri dan membanntu ahli keluarga. Membantu negara. Mungkin dengan cara itu kita lebih berdikari. Lebih matang berfikir kerana kita tidak perlukan bantuan orang lain yang akhirnya menjerat diri dek hutang. Dek budi. Dek perlu membayar balik dengan hal-hal yang tidak kita gemari. Andainya semua keluarga bertindak yang sama, kita biarkan kerajaan dengan peranannya. Kita pantau dengan cara demokrasi yang kita amalkan. Biarkan semua institusi ekonomi dengan jalan mereka masing-masing. Kita jaga ekonomi keluarga. Ekonomi perut kita. Perut kita, kita sendiri yang jaga. Tidak terlalu mengharap-harap sehingga terjual maruah  diri. InsyaAllah kesejahteraan keluarga lebih terjamin. Apa lagi yang lebih penting melebihi agama? Apabila kita kenyang mudah-mudahan Allah memberikan kita kesihatan yang baik. Mudah beribadat. Boleh pula membantu orang lain menikmati ibadat yang bersambut-sambut manfaatnya. InsyaAllah kita boleh lakukannya dengan izin Allah jua. Redha Allah sangat banyak jika kita berusaha keranaNya.

Friday, February 21, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kembali Ke Aras Laut



Berada di kayangan hanya sebentar sahaja. Sekadar dua jam yang tidak lama. Pagi itu puncak Tursina ditinggalkan juga. Dalam sejuk dan angin yang datangnya bergelombang dituruni Bukit Tursina. Kira-kira tiga jam yang tiada hentinya. Alhamdulillah dalam letih mendaki rupanya masih berbaki tenaga untuk menuruni bukit. Ingin segera kembali ke Fox Camp. Banyak ucapan tahniah dari kiri dan kanan. Terima kasih banyak-banyak. Sampai di situ kira-kira pukul 8.30 pagi. Sarapan pagi itu seperti tidak tertelan. Minum sahaja. Terlalu keletihan yang amat sangat. Hilang selera makan. Selalunya selepas bekerja keras lapar menjadi-jadi. Tetapi kali ini mungkin terlalu keletihan sehingga selera juga turut hilang bersama peluh yang mengalir di badan. Hujung jari kaki masih terasa sakit untuk beberapa hari. Mungkin semasa mendaki dan menuruni bukit hujung jari menekan kasut. Lupa pula hendak memotong kuku sebelum melakukan pendakian. Itu juga faktor penyumbang.

Tengahari 14 Februari 2014 hingga ke petang berehat di Dahab. Sebuah bandar pelancongan tepi pantai di tepi Teluk Aqaba yang dikongsi oleh empat negara iaitu Mesir, Israel, Jordan dan Arab Saudi. Di Dahap banyak aktiviti pelancongan seperti menyelam, snorkeling, belayar dan sebagainya. Ada juga lawatan yang boleh diatur ke Jordan terutamanya ke Petra yang terletak di Selatan Jordan. Walaupun sudah dua kali menziarahi kota purba Petra penulis masih rindu lagi akan kecantikannya. Warna warninya. Keidnahannya terlalu menawan. Al-Siq yang menjalur dan warna-warni. Aduhai! Di Dahap penulis dan yang lain santai sehingga hari pagi Ahad. Hari-hari yang berlalu diisi dengan santai selepas keletihan mendaki. Makan dan minum. Bersiar-siar di pekan Dahap.

Dahap adalah sebuah pusat pelancongan yang meriah pada waktu-waktu kegemilangannya. Namun apa yang penulis dapati hanyalah kesepian. Banyak kedai-kedai yang telah lama ditutup. Apabila kita berkunjung ke kedai-kedai yang ada mereka seolah-olah merayu kita membeli barang-barang yang mereka jual. Apabila kita tawar-menawar masih ada layanan yang diterima. Tidak ada kesombongan atau kesibukan sehingga menolak sebarang tawar-menawar. Penulis bersiar-siar bersama isteri. Santai sesantainya. Tidak ramai pelancong asing yang selalunya berduyun-duyun dari Eropah. Rata-rata pekedai fasih berbahasa Inggeris, Perancis dan bahasa-bahasa yang lain. Mesir hampir dengan Greece, Italy, Germany dan Sepanyol. Banyak interaksi antara mereka. Pastinya rakyat Mesir yang berniaga diperlukan menguasai beberapa bahasa asing.

Seronok juga melihat-lihat deretan kedai makan di tepian pantai. Kesuraman sahaja yang memanjang pantai. Banyak antara kedai-kedai makan itu yang ditutup. Banyak yang kesunyian dari pelanggan. Kedai-kedainya dihias cantik bak istana Arab. Pelanggan sahaja yang tiada. Mana-mana yang masih beroperasi tentunya dengan tight budget. Dengan survival yang tinggi. Mungkin modal pusingan masih boleh dipusing-pusingkan lagi. Dana masih mencukupi. Jika mengikut fitrahnya mereka tidak mampu bertahan. Penulis dan beberapa orang rakan mencuba juga makanan di situ. Teringat sewaktu di Canada dahulu. Restoran antarabangsa kebanyakannya mirip antara satu sama lain dari segi makanan. Ikan, sotong dan udang panggang di Dahap sama rasanya dengan yang penulis makan di Toronto, Canada. Itulah rasanya. Terasa masin dan mungkin masam. Ia sesuai untuk makan sekali cuba sahaja. Lidah Melayu seperti lidah penulis lebih biasa dengan masakan Melayu Malaysia. Banyak rencah dan ramuannya. Kepelbagaian rasanya terlalu banyak. Kita sahaja yang jenuh membuat pilihan. Mungkin tidak semua chef boleh memasaknya.

Ada sesuatu yang sangat menarik di Dahap. Bandarnya bersih sesuai dengan statusnya sebagai bandar pelancongan. Disesuaikan dengan selera Eropah. Selera pelancong antarabangsa. Penduduknya yang kebanyakannya berniaga didatangkan khas. Mereka lebih terpelajar. Lebih profesional. Lebih mengetahui keperluan kebersihan yang selalunya dinafikan di kebanyakan tempat di Kaherah. Penulis melihat banyak juga usaha untuk mencantikkan Kaherah. Namun begitu kebiasaan dan budaya terlalu perlahan perubahannya. Muhammad Abduh telah lebih seratus tahun bercakap mengenai kebersihan. Harapannya masih belum dapat direalisasikan. Di Dahap umpamanya, sampah sarap bukan kesemuanya diuruskan oleh majlis perbandarannya. Peniaga-peniaga sendiri mengambil inisiatip secara berkelompok untuk mengurus sampah yang mereka buat. Ada yang memungut dan menghantarnya ke tempat pengumpulan sampah. Dilihat lebih terurus. Tidak hanya mengharap sahaja.

Penulis mendapati terdapat dua pengajaran besar dari Dahap. Pertamanya, proses masak-memasak tidak boleh dilakukan di atas air. Semua dapur berada di atas darat. Jauh sedikit dari pantai. Tidak ada langsung sisa makanan dan minuman yang dibuang ke laut. Dalam bahasa undang-undangnya, dilarang. Seperti diharamkan. Dilarang langsung tanpa sebarang pengecualian. Tanpa kompromi. Hatta semua air kumbahan melalui proses pembersihan terlebih dahulu. Hanya yang benar-benar bersih sahaja dilepaskan ke laut. Kebanyakan tempat makan berada di gigi air. Jauh dari tempat memasak. Mungkin kira-kira 50 meter. Menyeberang jalanraya yang memisahkan antara tempat memasak dan tempat makan. Keduanya, tidak ada sisa makanan dari tempat makan yang dibuang ke laut. Kesemuanya dibawa ke bahagian pembersihan untuk pemprosesan. Atau pembuangan.

Apa yang penulis lihat ialah sehingga di gigi air, kejernihan airnya memang terpelihara. Tidak ada pencemaran air. Banyak berjalan terluas pemandangan. Semasa berjalan inilah kita terjumpa dengan hal-hal yang di luar jangka. The unexpected. Kebersihan di negara kita yang tercinta belum mencapai tahap terbaik. Bila penulis berada di Dahap rupanya kita masih lebih jauh dari yang dijangkakan. Rakyat Malaysia terlalu ramai yang tidak peka dengan signifikannya pencemaran air dalam kehidupan kita pada keseluruhannya. Kita perlu ingat apa yang kita lakukan pasti kembali kepada kita. Apabila kita melakukan pencemaran, maka pencemaran itu seolah-olahnya kita menganiaya diri kita sendiri. Kita sendiri yang menerima akibat perbuatan kita itu. Apabila air kotor, kita yang susah. Bermacam-macam akibatnya.

Malangnya pencemaran di negara kita menjadi-jadi tanpa had. Tidak ada penguasa yang berwibawa. Tidak ada individu yang dapat digalaskan tanggungjawab. Kita membina kemakmuran negara tetapi kita mencemarkan keperluan asas kita sendiri. Di kampung air dicemar dengan baja dan racun rumpai atau racun serangga. Di pekan kecil longkang dan parit dicemar dengan minyak dan kotoran dan air kumbahan oleh ke semua peniaga. Di bandar besar, sisa kilang dilepaskan ke longkang, parit dan sungai. Di tepi pantai pusat-pusat peranginan melepaskan kesemua bahan buangannya ke laut. Dari kampung ke pekan ke bandar hingga ke laut kita terkepung dengan pencemaran. Jika sesuatu tidak dilakukan dengan segera maka kita semua yang akan menerima konsekuennya. Bukan orang lain.


Di negara maju seperti Great Britain air kumbahan dan kotoran diproses sehabis bersih sebelum dilepaskan ke Sungai Thames. Sungai yang pada suatu ketika dahulu tidak memungkinkan sebarang kehidupan kini sangat bersih. Kehidupan air yang dahulu kembali memeriahkan sungai itu. Maknanya pencemaran air boleh dielakkan. Memanglah kosnya tinggi. Tetapi demi warisan akan datang maka usaha mengelak pencemaran sepatutnya menjadi keutamaan. Agenda nasional yang tidak boleh diabaikan. Yang perlu disegerakkan untuk dilaksanakan oleh semua rakyat. Mereka semua membantu semampunya mengikut peranan masing-masing. Pendidikan di sekolah sahaja tidak mencukupi. Kita perlukan kepimpinan yang boleh membawa minda dan tindakan rakyat ke arah itu. Kita laksanakan sebelum kesemuanya menjadi terlambat.

Tuesday, February 18, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Epilog Tursina



Dalam banyak hal kita selalu membuat perbandingan relatif antara sesuatu dengan sesuatu yang lain. Apabila kita mencipta sejarah ianya relatif signifikan kepada yang melakukannya. Pada sudut yang lain ianya tidak penting. Ada yang lebih pending dalam sejarah itu sendiri. Masanya penting. Tempatnya penting. Ceritera panjangnya penting. Perasaan yang terhimpun adalah penting. Semangat yang kuat juga penting. Stamina rasanya sangat penting. Rakan-rakan peserta juga penting kerana banyak bantuan dari mereka. Apatah lagi psikologi yang unggul. Iman yang tinggi bahawa Allah memudahkan segala-galanya. Doa dan harapan yang dimakbulkan. Pertolongan Allah yang tidak terhingga. Pertolongan sesama manusia yang banyak bilangnya.

Kita sebenarnya tidak pernah mengetahui diri kita secara dekat. Sejujurnya kita selalunya hanya membuat andaian. Membuat premis yang belum tentu betul. Apatah lagi hipotesis yang belum tentu boleh diuji. Variabelnya belum tentu dapat kita senaraikan antara yang signifikan dengan yang tidak. Mungkin kita perlu banyak menjalani ujian diri. Ujian potensi. Setelah melalui siri ujian-ujian yang tertentu barulah kita mengetahui di mana status kita yang sebenarnya. Ada testimoni yang dapat dibaca. Ada dalil yang dapat dipersembahkan. Pun begitu kesemuanya bukan untuk ujub. Bukan juga untuk riak. Bukan juga untuk besar diri. Kita hanya ingin tahu diri kita lebih dekat. Lebih mengerti tentang apa yang boleh kita lakukan. Apa yang tidak mampu kita lakukan. Mungkin perkongsian pengalaman membuka hati dan minda orang lain untuk menjadi lebih positif. Sesuatu yang dilihat tidak bermungkinan hanya tergantung tidak diketahui kesudahannya tanpa ada percubaan.

Benarlah kata mereka yang mengetahui, jangan menyerah sebelum mencuba. Tidak mungkin ada kejayaan tanpa percubaan. Kejayaan pastinya selalu berhadapan terlebih dahulu dengan kesukaran. Melalui berbagai halangan mental dan fizikal. Pemikiran yang positif dan negatif yang silih berganti. Menyerah kalah sebelum mencuba terasa aib diri. Menyerah setelah mencuba barangkali lemah mentalnya. Menyerah setelah hampir berjaya sukar difahami. Berjaya setelah mencuba adalah suatu anugerah. Diam setelah berjaya tidak dapat dikongsi ceritanya. Terlalu banyak bercerita siapa pula yang mahu membaca dan mendengarnya. Perspektif kita berbeza. Mudah-mudahan perkongsian ikhlas sahaja yang memungkinkan kita melihat sesuatu dengan lebih berlapang dada. Bukankah Allah sentiasa bersama kita?

Mendaki puncak bukan kesemuanya cerita derita hati. Bukan pula penyeksaan fizikal. Ada yang manis untuk dikenang. Menjejak puncak adalah manis. Lebih manis dari sewaktu dipuji semasa muda. Semasa kulit belum berkedut. Manis kerana beroleh jaya. Puncak tinggi yang selalunya melebihi ketinggian puncak-puncak yang lain di sekelilignya. Cuma jangan lupa bahawa di tempat lain ada yang lebih tinggi. Sesungguhnya langit itu tinggi.  Sukar memilih perkataan dan ayat untuk menggambarkan manis di puncak Tursina. Kepada orang putih satu perkataan sahaja. Miracle. Penulis tidak berfikir begitu. Ianya bukan suatu keajaiban. Sesungguhnya ia anugerah Allah. Mendapat limpah kurnaiaNya. Manisnya ditambah kerana faktor usia yang jarang diberi kelebihan apabila sudah melepasi jangkaan biasa. Fizikal pula tidak pernah teruji seberat itu.

Melalui berbagai kepahitan adalah asam garam menuju kejayaan. Jarang berlaku yang pipih datang melayang. Yang bulat datang bergolek. Kita yang selalu terlayang. Kita juga yang selalu tergolek. Kejayaan berada di hadapan atau di atas atau kedua-duanya. Di hadapan dan di atas. Untuk ke hadapan banyak susah payahnya. Apatah lagi batu, krikil dan pasir yang belum tentu selamat untuk dipijak. Yang belum tentu memberikan kelebihan. Malah kadang-ladang membahayakan. Menambah risiko. Benar juga kata Konficius, perjalanan yang jauh itu dimulakan dengan langkah yang pertama. Jika tidak dimulakan pastinya yang dekat sekalipun tidak kesampaian. Dengan awal bismillah kita mulakan. Dengan alhamdulillah kita persembahkan apabila tiba di puncak. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Bahawa untuk mendaki ke atas terlalu banyak kesukarannya. Namun apabila langkah dikejapkan ke langkah yang berikutnya ia mendekati sarasan. Jauh hanya ukuran. Tinggi hanya relatif.

Dalam terang kita melihat. Mata kasar kita nampak mudah yang di hadapan. Nampak kepayahan yang bakal ditempuh. Boleh mengira risiko yang berkemungkinan. Dalam terang kita lebih pasti dengan ketidakpastian yang ada di hadapan kita. Kita boleh membuat perancangan yang serapi mungkin. Boleh mengatur strategi yang mantap. Melaksanakan proses yang langkahnya dilakukan mengikut turutan yang lebih padu. Tetepi dalam gelap kita membuat pertimbangan yang lebih wajar. Kita tidak boleh bergerak dalam gelap tanpa mengetahui gelap di hadapan kita. Perlu banyak persediaan. Kita mengetahui bahaya yang mungkin dihadapi. Tetapi kita tidak melihatnya. Hanya perasaan kita yang mengerti. Menghidu bahaya yang datang. Naluri kita yang terlatih pasti lebih tajam lagi jangkaannya.

Apabila kita menonton filem atau video kita kadang-kadang tidak faham. Mengapa ada selingan lelucon. Ada jenaka. Ada watak kelakar. Ada situasi yang melucukan. Ada yang lucu dari kata-kata atau tingkahlaku yang berbagai. Didengar lucu. Dilihat lucu. Yang lebih hebat ialah ianya selalu diingat dan tetap melucukan. Dalam kepayahan mendaki Bukit Tursina tidak kurang juga peristiwa lucu sebegitu. Maaflah. Lucunya mungkin terlampau. Ianya tidak lucu sewaktu berlaku. Apabila dikongsi cerita, datang lucunya. Entah mengapa penulis kerap membuang angin semasa mendaki. Sedang mengangkat kaki terasa angin mendesas keluar. Mungkin pergerakan fizikal melonggarkan rongga-rongga dalaman untuk memudahkan angin mencari laluan keluar. Sedang memijak batu angin yang lain pula keluar. Begitulah berulang-ulang. Rupanya orang lain ada yang mengalami hal yang sama. Terdengar dalam pendakian seorang peserta lelaki memberi kenyataan lucu bahawa rakannya banyak membuang angin. Angin adalah milik individu. Orang lain mengetahuinya apabila terhidu sesuatu yang dikenalpasti sebagai angin. Atau apabila terdengar bunyi yang dikenalpasti sebagai angin. Angin tetap angin. Bagi orang Melayu ianya tetap lucu. Kita tahu angin dan penangannya.


Cerita Tursina ini pastinya panjang untuk dirakam dengan kata-kata. Lama untuk berada dalam lipatan. Mereka yang bersama mengetahui ceritanya. Mereka yang membaca mengetahui sejarahnya. Mudah-mudahan banyak manfaatnya untuk kita sama-sama membina masa hadapan yang puncaknya lebih tinggi. Yang manisnya melebihi madu. Yang indahnya membunga harapan mewangi selalu. InsyaAllah.