Tuesday, February 4, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Mana Lagi Mencari Asma’ Bintu Abi Bakar



Pemilik nama ini jarang disebut. Mungkin sudah terlalu lama kisahnya. 1435H tahun yang lalu. Mungkin tidak sebaris dengan pejuang Islam yang lain. Mungkin kerana ia seorang wanita. Tenggelam dalam ribuan syuhada’. Terlipat sejarahnuya dalam dakapan dada mereka yang gugur. Sesungguhnya Asma’ adalah anak dara sunti Abu Bakar. Usianya ketika itu sekitar 12 tahun. Jiwanya besar. Kecerdikannya luarbiasa. Pemikirannya melampaui zaman. Tindakannya melebihi segala pejuang. Beraninya mengalahkan hulubalang. Tekadnya bukan kepalang. Akalnya panjang tiada penghalang. Gadis sunti ini adalah antara ramai pejuang Islam. Namun ketika itu dia hanya bersendirian. Tiada pembantu. Segala-galanya diserahkan kepada Allah. Begitulah sabda Rasulallah kepada Sayyidina Abu Bakar yang berasa takut sewaktu di dalam Gua Thur. لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا. Janganlah kamu bersedih. Sesungguhnya Allah bersama kita. Muslimah sunti ini mempertaruhkan dirinya demi melindungi Rasulallah dan bapanya dari ancaman musuh. Kaum Quraisy berkeliaran mencari mereka berdua.

Sepanjang perjalanan Nabi berhijrah ke Yathrib (Madinah al-Munawarrah), banyak kisah yang selalu tidak disingkap. Yang kita tahu hanyalah bagaimana kaum Quraisy memusuhi Nabi hingga berikrar untuk membunuh Baginda. Kisah-kisah yang lain tidak diberikan tumpuan sedangkan kisah-kisah itu besar ertinya dalam perjuangan menegakkan agama. Dalam dakwah. Dalam mencari keredhaan Allah. Tidak mengapalah. Mungkin kisah berikut yang sedikit ini sama-sama kita insafi dalam membina akhlak mulia di kalangan Muslimah khususnya yang masih sunti dan muda. Kita ingin menjelmakan semula semangat Asma’ dalam jiwa mereka. Jiwa yang besar menggunung untuk sama-sama berjuang dalam menegakkan agama. Membesarkan agama. Bekerja untuk agama. Untuk meletakkan agama melebihi dari segala-galanya. Untuk memberi kelebihan kepada pejuang-pejuang agama. Membantu bukan semestinya besar. Ramai orang yang tidak memandang usaha yang kecil sedangkan usaha kecil itu besar impaknya kepada kejayaan keseluruhannya. Besar signifikannya jika ditelusuri manfaatnya. Tanpa usaha kecil itu tiada kejayaan besar dengan izin Allah.

Alhamdulillah bagi mereka yang telah lama mengenal Asma’. Yang telah lama mengambil semangatnya. Untuk yang belum mari sama-sama kita kembali ke zaman itu. Suatu ketika dalam sejarah apabila Rasulallah diancam akan dibunuh oleh 100 pemuda Quraisy yang gagah perkasa. Yang ganjarannya kira-kira 100 ekor unta. Sayyidina Ali yang ketika itu juga masih kecil mengambil tempat di katil Rasulallah. Dengan izin Allah keluarlah Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar menuju Gua Thur. Orang Quraisy mahir ilmu falaq. Mereka maklum gua yang terdekat adalah Gua Thur. Gua itu kecil. Sekiranya ada antara orang Quraisy yang menundukkan kepala nescaya terlihat kehadiran Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar. Allah melindungi kekasihNya. Tidak ada orang Quraisy yang tergerak hatinya untuk menundukkan kepala. Hatta jika mereka memandang kaki mereka sendiri besar kemungkinannya akan terlihat Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar dengan ekor mata mereka. Allah memungkinkan burung merpati mengeram di hadapan pintu gua dalam masa yang singkat. Pada pintu gua kecil itu juga terdapat sarang labah-labah yang sifatnya seperti sudah berzaman. Akal logik kaum Quraisy tertutup. Tidak mungkin kedua makhluk Allah itu hadir jika ada orang di dalam gua itu. Itulah yang tersemat dalam minda mereka. Allah menyelamatkan kekasihNya.

1                 Jika ada manusia di gua itu tentu burung itu terbang.
2                 Tidak mungkin sarang labah-labah tidak putus dilanggar tubuh manusia. Atau tidak mungkin sarang itu baru kerana kita maklum sarang labah-labah perlukan masa yang lama untuk menyempurnakannya.

Apabila dikatakan gua tentulah agak tinggi untuk didaki. Bagi mereka yang pernah mendakinya ramai yang tercungap-cungap untuk sampai ke atas. Gua itu setinggi hampir setengah kolometer. Jaunya dari kota Makkah hampir lima kilometer. Dalam ukuran lama tiga batu. Baginda dan sahabatnya berada di dalam gua itu selama tiga hari tiga malam untuk meredakan keghairahan kaum Quraisy mencari mereka berdua. Semasa keluar dari rumah Baginda hanya sehelai sepinggang. Makanan dan minuman bukan penting ketika itu. Yang lebih utama ialah menyelamatkan risalah agama yang sangat baru di Makkah. Putiknya ingin dikembangkan dengan subur di Yathrib. Seperkara yang perlu diketahui ialah hijrah Rasulallah bukan tanpa perancagan rapi. Persiapan rapi dibuat dari segi fizikal, mental, perjalanan,  perisikan, siasah dan berbagai lagi. Di sinilah peranan Asma’ r.a.h. gadis sunti Sayyidina Abu Bakar yang tidak langsung dicurigai oleh kaum Quraisy. Mereka tidak menyangka gadis itu berperanan besar dalam proses penghijrahan Baginda. Peranan Asma’ terlalu besar.

1                 Pembawa bekal makanan dan minuman.
2                 Pegawai perisik pada waktu siang. Dirisik apa sahaja sumber maklumat yang dilihat dan didengar dari perbualan kaum Quraisy. Pada waktu malamnya maklumat itu disampaikan kepada Rasulallah dan bapanya.
3                 Penyedia bekalan perjalanan seperti makanan, minuman dan unta sebagai tunggangan.

Perjalanan ke Gua Thur bukan calang-calang. Sangat besar pengorbanannya. Semangatnya berkobar-kobar.

1                 Menjadikan kewajipan itu digalas di atas bahunya.
2                 Kecintaannya kepada Rasulallah pembawa agama yang benar.
3                 Kewajipan memberi bantuan dan perlindungan.
4                 Mencari data maklumat sebagai persediaan perjalanan yang lebih selamat dan tidak banyak halangan.

Cuba pembaca gambarkan suatu senerio padang pasir pada waktu malam yang gelap. Seorang gadis sunti berjalan sendirian tanpa teman. Hatinya fokus untuk membantu kerana hak. Kerana kebenaran. Kerana Allah. Begitu besar pengorbanannya.

1                 Perjalanan lima kilometer pergi dan lima kilometer balik memakan masa kira-kira empat jam. Jalannya berpasir, sukar, berbukit dan berbatu. Tidak mungkin selaju seperti di atas jalanraya yang berturap.
2                 Berjalan berkelit-kelit takut dilihat oleh sesiapa sahaja dari kaum Quraisy yang sentiasa ingin membunuh Rasulallah.
3                 Di samping itu Asma’ membawa makan dan minuman untuk 24 jam berikutnya sehingga malam esoknya.

Asma’ bukan sebarang gadis sunti. Memiliki kebijakasanaan, keberanian dan kekuatan luar biasa. Akalnya sangat panjang dengan izin Allah. Pada malam pertama dan kedua ia memakai jilbab panjang yang melebihi kakinya. Apabila berjalan bekas tapak kakinya hilang disapu kaki jilbab. Orang lain tentu tidak terfikir begitu. Setiap tapak kaki di padang pasir tentu sahaja boleh menimbulkan syak yang nantinya memungkinkan Gua Thur diperiksa oleh kaum Quraisy. Pada malam ketiga dia membawa bekal makanan dan minum serta bekal perjalanan. Tentulah lebih banyak berbanding dengan dua malam sebelumnya. Visualnya tentu perjalanan dari rumahnya yang sangat memberatkan. Memayahkan perjalanan. Lambat mengheret kaki. Itulah Asma’ bintu Abi Bakar.

Dalam sesuatu perkara besar lazimnya ada kelompok yang saling membantu. Telah saling memahami tugas masing-masing. Bersedia menerima isyarat bertugas. Begitulah dalam hal penghijrahan Rasulallah. Ada beberapa nama yang ditugaskan untuk membantu secara sulit. Secara berahsia. Mereka adalah:

1                 Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Saidina Abu Bakar) - bertanggungjawab mejadi perisik di kota Makkah.
2       Aisyah dan Asma’ (dua orang puteri Saidina Abu Bakar)- bertanggungjawab
         menyediakan makanan dan Asma’ yang menghantarnya ke Gua Thur kerana    ia            kakak kepada Aisyah.
3       Abdullah ibn Ariqath - mengembala dua ekor kambing di sekitar Gua Thur 
         untuk membekalkan susu kambing  kepada Baginda berdua.
4       Amir bin Fuhairah – dikatakan belum Islam tetapi dijadikan juru pandu hingga ke            Madinah.

 Mereka berlima bertindak sebagai jawatankuasa logistik kepada Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar. Peranan Asma’ agak besar kerana ia gadis sunti. Kehadiran Abdullah ibn Ariqath dan Amir bin Fuhairah membantu keselamatannya sepanjang tugasnya berulang alik ke Gua Thur. Lelaki berdua itu berperanan menghapuskan bekas tapak kaki Asma’ menggunakan kaki kambing yang berkais-kais sepanjang perjalanan. Kadang-kadang dalam sesuatu kerja besar kita tidak perlukan orang yang terlalu tinggi ilmunya. Tidak perlu mereka yang banyak pengalamannya. Tidak perlukan orang berpengaruh.

1                 Cukup dengan orang-orang yang boleh dipercayai.
2                 Mereka yang setia.
3                 Istiqamah dalam tugas.
4                 Kepada Allah berserah.

Bagaimana kita dapat membangkitkan semangat Asma’ dalam sanubari gadis-gadis kita. Yang sunti-sunti lagi. Kita kembali kepada ibu dan bapa.

1                 Hayati semangat juang Asma’ dalam menegakkan agama dan membantu menyelamatkan Rasulallah dan bapanya.
2                 Iman perlu kukuh dalam menjalankan tugas agama. Mencari redha Allah.
3                 Semangat Islam ditegakkan dalam dada mereka sejak kecil.
4                 Bina suasana Islam yang kondusif dalam rumah dan dalam persekitaran.
5                 Tanam semangat cintakan agama.
6                 Tanam semangat jihad terhadap kebaikan.

Ya Allah jauhkanlah umat Islam dari kelekaan terhadap hiburan. Terhadap muzik. Terhadap nyanian. Terhaap tarian. Terhadap apa-apa sahaja yang tidak Islamik. Yang tidak membantu ke arah Islam. Tanamkanlah di dada anak-anak muda kami dengan iman dan semangat cintakan Allah dan RasulNya. Terhadap agama yang Allah wahyukan kepada mereka. Lahirkanlah di kalangan mereka semangat Asma; bintu Abi Bakar. Seperti Sayyidin Ali bin Abi Talib semasa ia masih kecil lagi. Semangat keluarga Yassir. Semangat Ammar ibn Yassir.


Islam dahagakan anak-anak muda yang semangatnya untuk Allah. Berjuang membebaskan diri dari kemungkaran. Menegakkan yang hak. Menyampaikan yang baik walaupun sedikit. Dalam dunia yang penuh kacau sekarang ini anak-anak mudalah harapan kita. Tetapi tanggungjawab membangunkan mereka bukan lagi di bahu siapa-siapa. Ibu dan bapalah yang wajib menggalasnya. Tanamlah semangat Islam sejak anak-anak masih rebung. Semasa ubun-ubun mereka masih lembut. Semasa minda mereka belum cemar. Semasa mereka mudah diatur. Semasa mereka mendengar kata. Semasa mereka patuh kepada ibu dan bapa. InsyaAllah anak-anak kita menjadi pejuang agama.  Amin.

Thursday, January 30, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mempamer Rupa Diri



Kadang-kadang berterus terang adalah sesuatu yang baik. Tidak perlu berselindung. Tidak perlu berkelit. Serlahkan apa-apa yang dirasa. Beritahu kepada audien kita semua yang hendak disampaikan tanpa sebarang keraguan. Yang rasanya difikirkan menasabah. Namun begitu kita selalu seharusnya berhemah dengan diri kita. Kita ibarat cermin. Semakin mahal cermin itu semakin jarang orang bercermin dengannya. Tetapi orang melihat cermin itu. Mungkin dari dekat. Mungkin dari jauh. Cermin yang mahal nilainya diperhati keadaannya. Bentuknya. Bersihnya. Berkilatnya. Bingkainya. Rupa yang dibayang dalam cermin. Seperti juga manusia. Semaikn ia memiliki ilmu yang tinggi semakin dilihat orang. Semakin tinggi pangkatnya semakin dipandang orang. Semakin usia meningkat semakin diteliti orang. Apa-apa sahaja yang memungkinkan cacat cela akan mudah dipantau orang. Barang yang rendah nilainya dipandang baiknya. Barang yang baik pula dicari buruknya. Baik dalam buruk senang dilihat. Buruk dalam baik lebih pula mudah dilihat orang. Mudah sangat kelihatannya.

Hidup kita bersama berbagai kategori orang lain di sekeliling kita. Kita tidak ada masalah tentang perkara itu. Tetapi interaksi kita dengan mereka dalam berbagai karakter. Ia bergantung siapa audien kita.

1                 Kawan rapat. Mereka dekat di hati. Dekat di mata. Dikenal hati dan budinya. Maka kita bercakap dengan santai. Tidak perlu terlalu berbahasa. Di rumah kita atau di rumahnya tidak banyak berbeza. Kita tetap santai bersama. Kerana itu kita bebas bercakap. Tajuknya bebas. Perkataan, istilah dan ungkapannya bebas. Antara kita yang mendengarnya. Tidak ada yang diselindung lagi. Antara empat sisi dinding yang sama menjaga kerahsiaannya. Namun kebebasan itu terhad juga apabila ada orang lain yang turut hadir. Apabila kita bersama orang lain. Apabila ada orang lain di samping kita. Apabila ada orang lain yang ingin mencuri dengar perbualan kita. Walau apapun kita masih banyak kebebasan untuk bercakap apa sahaja. Privacy agak longgar.
2                 Saudara dekat. Saudara mara ada yang rapat dan ada yang tidak. Ada yang sensitif dan ada yang tidak. Hendak bercakap kena tapis juga banyak kali. Sesama saudara kadang-kadang kita berlainan ideologi. Kefahaman dan jalan fikirnya berbeza. Landasannya pilihan masiang-masing. Maka topik perbualan hendaklah dipandu dengan kemas. Tidak berkisar ke arah yang sensitif. Maaflah, kita orang Melayu sangat sensitif dengan perbezaan pendapat. Tidak dapat menerima bahawa setiap orang berbeza pendapatnya. Kita diperlukan meraikan pendapat orang lain. Tidak dicampuradukkan dengan persaudaraan. Darah daging jangan dicincang-cincang. Lukanya panjang. Walaupun daging itu bertaut semula, parutnya dalam dan jelas dipandang. Pada peringkat ini kita sudah membataskan diri. Privacy kita semakin dijaga.
3                 Kawan biasa berbeza kategorinya. Belum mesra atau payah hendak mesra. Bersahabat tetap bersahabat. Jurangnya masih terasa. Duduk dekat masih tidak terasa kehangatannya. Dalam keadaan seperti itu kita perlu sentiasa berhemah. Banyak menjaga protokol persahabatan. Banyak adab yang perlu dijaga. Tutur kata yang terpilih susunan ayat-ayatnya. Suara semesra yang mungkin. Topik perbualan tidak boleh terlalu banyak. Harus mengetahui sempadan yang tidak boleh dilintas. Batasan yang tidak boleh dirempuh. Zon sensitifnya besar dan tinggi. Melaggarnya bererti selamat tinggal persahabatan. Privacy yang perlu dijaga semakin bertambah.
4                 Dalam kehidupan ini kita banyak berhadapan dengan audien yang ramai. Tanpa mengira siapa kita atau apa jawatan kita, kita berhadapan dengan situasi audien ramai pada bila-bila masa. Sama ada dirancang atau spontan. Mungkin di tempat kerja. Mungkin di pasar. Mungkin di masjid. Mungkin di padang. Di mana-mana sahaja kita berhadapan dengan audien. Bilangannya sahaja berbeza. Ramai atau mungkin sedikit. Ketika itu kita tidak bebas hendak berkata apa sahaja yang keluar antara bibir dan mulut kita. Banyak yang hendak ditapis. Disesuaikan dengan ilmu dan kelayakan akademik kita. Pengalaman kita yang perlu banyak disandarkan. Lihat pula siapa kita dan status sosial kita. Privacy yang perlu dijaga.
5                 Kadang-kadang kita melihat berbagai-bagai orang awam dalam media rasmi. Mungkin akhbar dan mungkin juga media elektronik. Apabila ungkapan yang keluar dari mulut terlalu laju, tidak sesuai didengar. Terlalu perlahan seperti kurang yakin pula. Terlalu garang gerun orang mendengar. Jika suaranya mendatar jemu pula didengar. Dalam pada itu ada pula yang apabila didengar terasa puas. Suaranya jelas. Diungkapkan butirannya secara bersahaja tetapi berturutan dengan jeda waktu yang cukup memukau. Isinya padat. Istilah dan perkataan yang digunakan banyak betulnya. Banyak jawapan dari soalan. Banyak aspek yang disentuh. Dia tahu sempadan yang tidak boleh disebut berdasarkan siapa dirinya. Menjaga privacy diri.
6                 Media sosial pula siapa yang menggunakannya? Walaupun pada asalnya seperti orang muda yang terpukau dengan media sosial tetapi hakikatnya teknologi tanpa sempadan. Tanpa sebarang halangan. Sesiapa sahaja boleh memanfaatkannya. Atau menyalahgunakannya.  Jika penggunaannya bersesuaian, alhamdulillah. Tetapi apabila sempadan diri tidak dijaga maka media sosial sebenarnya menjadikan seseorang itu hilang jati dirinya. Hilang harga dirinya. Hilang integritinya. Malangnya ramai pengguna media sosial yang memandang ringan hal ini. Dirinya sedang diperhatikan orang. Orang akan meletakkannya di tempat yang jauh dari tempat yang dijangka.

Penulis teringat siri TV suatu ketika dahulu. Seorang menteri yang berkelulusan biasa-biasa mempunyai seorang setiausaha lulusan Oxford University. Universiti yang graduannya dikatakan versatile. Universiti kebangaan Britain. Graduannya disuntik dengan input intelektual yang tinggi. Apabila bercakap tidak memberikan keputusan. Tidak memberikan jawapan. Yang bertanya perlu mencari jawapan sendiri. Yang ditanya hanya memberikan beberapa alternatif untuk dipilih. See the point? Kita sebenarnya tidak boleh memberikan jawapan yang pasti kepada sebarang pertanyaan orang lain. Orang yang bertanya itulah yang perlu mencari jawapannya sendiri. Kita hanya boleh menghidangkan alternatif cadangan untuknya membuat pilihan. Kita tidak ada kaitan dengan jawapan yang dipilihnya. Kita dalam kategori non partisan. Tidak memihak. Alternatif yang kita berikan hendaklah:

1                 Pada aras tinggi.
2                 Mengandungi idea intelektual.
3                 Sesuatu yang segar.
4                 Sesuatu yang inovatif atau kreatif.
5                 Memberikan cadangan di luar jangka.
6                 Jawapan di luar kebiasaan.
7                 Ada input-input baru.

Inilah masalahnya. Kita selalu memihak. Selalu condong untuk mempamerkan kecondongan kita. Ada tempat kita boleh pamerkan minat kita. Ideologi kita. Pegangan kita. Tetapi dalam media yang audiennya berkeliling dunia kita seharusnya membataskan diri. Kata-kata atau tulisan kita dibaca orang. Orang lebih hormat tulisan yang membina. Yang akademik. Yang membantu untuk membuka minda. Orang yang berkedudukan lagilah banyak pantang larangnya. Tidak boleh sebarang yang hendak ditulis. Bukan sebarangan yang diungkapkan. Tidak mungkin dalam media sosial kita ketawakan orang lain. Yang kita ketawakan sahabat kita tetapi yang membacanya semua orang. Di siitulah kita terperangkap dalam teknologi. Kelemahan kita terselah. Orang “menelanjangkan” diri kita tanpa usia. Tanpa pangkat. Tanpa kelayakan akademik. Tanpa taraf sosial.


Media sosial adalah saluran santai untuk santai-santaian. Boleh serius dengan versinya yang tersendiri. Tetapi tidak boleh main-main tanpa sekatan siapa diri kita yang sebenarnya. Perlu berhijab di sebalik hemah dan waspada. Cermin kita mahal harganya. Jika pecah berderailah ia. Jika retak hilang nilai. Jagalah cermin itu. Ia cermin diri yang tidak ternila harganya.

Wednesday, January 29, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Memperlihat Yang Tersirat



Anugerah Allah yang besar kepada manusia ialah akal. Dengannya kita boleh berfikir untuk memilih yang terbaik. Menginsafi segala kekurangan. Memanfaatkan segala kebaikan dan kelebihan. Memahami keadaan yang berbeza. Apabila kita melihat sekeliling kita, kita dapati tidak semua orang yang memiliki akal yang tinggi. Bahkan Allah menjadikan kita dalam berbagai peringkat kapasiti akal yang berbeza. Ada yang lebih dan ada yang kurang. Mereka yang berfikiran tinggi sangat kurang. Para anbia Allah berikan kelebihan itu dengan izin Allah. Kita yang biasa-biasa ini perlu pula mengasah bakat untuk berfikir. Belajar untuk menyusun jalan fikir. Menyatakan fikiran dengan banyak belajar. Perbezaan kapasiti berfikir juga menyerlahkan tindakan yang kita ambil. Tindakan kita sama dengan jalan fikir kita. Mereka yang jalan fikirnya tinggi tindakannya sukar dibaca. Berbeza untuk difahami. Tafsirannya berbagai. Kalimah yang digunakan berbagai makna. Ayat yang diungkap berbagai maksud. Banyak yang tersirat dari yang tersurat. Hanya mereka yang berfikiran tinggi sahaja lama merenung setiap yang difikir. Mengambil tindakan yang sesudah difikirkan masak-masak. Tidak ada tindakan yang memudaratkan. Menyusahkan. Apatah lagi menyesatkan. Cuba fahami maksud ungkapan ini:

Di mana saya boleh basuh tangan?

Bagi kita yang biasa-biasa membaca ayat tersebut tentulah maksudnya seperti tersurat. Hendak basuh tangan secara lafzi. Seperti disebut. Seperti ditulis. Lalu kita tunjukkan bekas air. Singki. Parit. Kolam. Sungai. Mungkin tasik. Habis cerita. Ayat itu mudah difahami. Maksudnya diketahui dengan jelas. Semua orang memahaminya. Rasanya tiada yang tekecuali. Kecualilah dia sedang mempelajari Bahasa Melayu dan belum khatam lagi. Pemahamannya masih di tahap rendah. Kita yang lain tiada masalah. Orang Melayu memang memahami ayat tersebut. Hari-hari kita menggunakannya. Mereka yang kita tanya juga dapat memahami ayat tersebut. Pertanyaan itu dijawab dengan betul. Kita yang bertanya diarahkan ke tempat yang ada air. Mereka faham kita hendak membasuh tangan. Sangat mudah. As simple as that. Tidak ada apa-apa yang sukar. Benarkah begitu? Betul? Baca seterusnya.

Sekarang mari kita berganjak sedikit ke atas. Berfikir ke aras tinggi. Suatu perkara yang penulis alami ialah mereka yang berada pada aras pemikiran tinggi menggunakan bahasa yang banyak tersirat. Mereka cultured and learned. Sukar hendak diterjemahkan secara harfiah. Mungkin beradab dan berhemah. Tidak juga menepati maksudnya. Penulis belajar dari seseorang yang terkenal di Malaysia. Satu-satunya yang berjawatan sepertinya. Langsung dari Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung. Tokoh itu ialah Prof DiRaja Ungku Aziz. Membasuh tangan bukan bermakna seperti yang diungkap semata-mata. Membasuh tangan bermakna berurusan di bilik air. Prosesnya panjang dan diakhiri dengan membasuh tangan. Jika orang dahulu menggunakan ungkapan ke sungai besar dan ke sungai kecil, membasuh tangan bermaksud seperti berikut:

1                 Ke bilik air.
2                 Melepaskan hajat besar atau kecil.
3                 Melegakan diri.
4                 Mengemaskan diri.
5                 Mengemaskan penampilan.
6                 Puaskan hati di bilik air seperti membetulkan pakaian, menyisir rambut, membasuh muka dan memeriksa gigi, janggut, misai dan mungkin kebersihan hidung.
7                 Mempastikan penampilan terbaik sebelum berjumpa dengan penyambut tetamu, sahabat, kenalan dan audien.
8                 Akhir sekali membasuh tangan.

Ungkapan membasuh tangan merupakan penamat suatu proses aktiviti yang panjang. Yang perlu dilakukan dengan teliti dan penuh sabar. Perlu banyak latihan supaya dapat melakukannya tanpa teragak-agak. Siapa Prof DiRaja Ungku Aziz? Rasanya mereka yang sebaya dengan penulis amat mengenalinya. Ramai orang Malaysia mengenalinya. Orang muda juga ramai mengenalinya. Dia tergolong antara tokoh yang berfikiran tinggi. Menjana pemikiran untuk maslahah ummah. Maknanya mereka yang semakin tinggi ketokohannya wajarlah mempamerkan pemikiran tinggi. Bertindak selaras dengan pemikiran tinggi itu. Mereka yang mendengar diperlukan berfikir panjang. Mereka yang membaca perlu menyingkap bait demi bait yang tersurat. Terlalu banyak yang tersirat di sebalik yang tersurat. Bukan double meaning tetapi perlu dilihat dari aspek yang berbeza sebelum difahami. Sebelum mengambil tindakan yang selari dengan ambilan fahaman itu.

Dalam perkara ini bahasa amat penting. Dalam profesion apa sekalipun bahasa adalah inti kepada pemahaman. Pencerakinan bahasa dan maknanya. Penyampaiannya kepada audien. Huraian dah hujjah yang memberikan ruang memperluas minda. Begitulah semua ulamak (dimaksudkan expert – pakar) menguasai bahasa peringkat tinggi. Ilmu perlu dipelajari dengan bahasa yang tinggi. Disampaikan dengan bahasa yang tinggi. Bahasa tinggi bukan pula bermakna jargon, bombastik  atau ungkapan yang tidak mudah difahami. Yang dimaksudkan ialah maknanya mendalam. Sedikit tajam. Bahasa yang tinggi lebih kepada:

1                 Menggunakan bahasa harian tetapi diolah dengan sedemikian rupa sehingga maknanya memberi impak besar. Contoh: Saya hendak tidur. Biasa sebab kita orang biasa. Jika diungkapkan, saya istirehat sekarang. Kita tidak tahu maksud sebenarnya. Berehat kerana penat atau hendak tidur. Tetapi jika waktu malam, masa sudah lewat serta matanya kelihatan pejam dan celik tentulah ia hendak tidur. Tidur adalah berehat. Fizikal dan minda. Sebelum digerakkan semula pada esoknya sebelum solat Subuh.
2                 Bahasa yang disusun sangat mudah tetapi indah.
3                 Semua orang memahaminya sepintas lalu walaupun perlukan tindakan yang berbeza mengikut kefahaman masing-masing.

Ingat Perjanjian Hudaibiyah? Ramai para sahabat yang marah kerana Rasulallah akur dengan permintaan kaum musriqin Makkah yang memberikan syarat-syarat tidak masuk akal. Itu yang tersurat dan yang difahami pada zahirnya. Sesungguhnya Rasulallah lebih mengetahui berbanding mereka semua. Akhirnya ternyata bahawa bantahan para sahabat itu tiada asasnya kerana at the and of the day Muslimin mengatasi kaum musriqin. Dalam semua hal. Dalam semua aspek. Hanya dalam masa lapan tahun kebenaran terserlah walaupun perjanjian itu untuk jangkamasa 10 tahun. Malah Makkah dibuka semula oleh Rasulallah dan sahabat-sahabatnya tanpa sebarang tentangan. Selepas itu berbondong-bondong kaum musriqin menganut Islam.


Begitulah dalam hidup ini kita kena banyak melihat ke dalam. Ke dasar yang tersirat untk memahami apa sebenarnya yang tersurat. Banyak tindakan orang lain yang dilihat banyak celanya. Apabila diteliti kita dapati tindakan itu memerlukan pemikiran tinggi. Tindakan proaktif. Tindakan berwawasan. Perhatikan orang bermain catur. Mereka yang hebat dan selalu menang selalu bercatur. Bukan sekadar mencatur bidak sendiri. Melihat juga caturan orang lain. Gerak catur. Malah selalunya gerakan yang dianggap innocent itulah yang sangat berbahaya. Boleh checkmate pihak lawan. Kerana itu kita perlu banyak berfikir peringkat tinggi. Perlu melihat yang tersirat. Perlu memahami tindakan orang lain dengan minda yang terbuka dan tenang. Belajarlah untuk memahami berdasarkan aspek yang berbeza. Melihat sesuatu dari luar kotak. Keluar dari kebiasaan. Berbahasa dengan indah. Memberi makna yang berungkap dan bermadah. Dibaca senang. Diingat mudah. Diulang melancarkan lidah.

Tuesday, January 28, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Mana Nilai Cintamu



Tanya diri anda sendiri. Sekarang. Jangan tangguh-tangguh. Bila kali terakhir anda jatuh cinta?

1                 Kali pertama bersua. Cinta pandang pertama. Aduh indahnya.
2                 Sebelum bertunang. Memadu kasih dalam gelombang lalu. Dengan komputer dan sms. Yang jauh jadi dekat. Wajah ditatap tiap waktu. Bangun tidur itulah wajah. Hendak tidur lelap mata bersama wajah kesayangan.
3                 Semasa bertunang. Masa yang terlalu lama ditunggu. Membasahi bantal setiap malam yang sepi dan sunyi. Menunggu saat yang terasa sangat lama.
4                 Sesudah diijab kabul. Penantian yang tiada lagi senggangnya. Bersama memadu kasih. Bulan madu yang tiada tolok bandingnya.
5                 Bila berjauhan. Ditinggal dan meninggalkan. Rindu menyayat hati.
6                 Tamat di situ.

Itulah cinta muda. Kurang fikirnya. Hanya rindu semasa yang disulam dengan senda gurau dan air mata. Masa terlalu  deras menjauh dan meninggalkan semua yang indah. Tiba masanya hidup bertiga, berempat hingga berjela panjangnya. Kulit yang gebu menjadi sedikit kusam dan layu. Tidak sempat menyapu losyen kerana sibuk dengan anak dan pasangan. Pinggang yang ramping penuh berisi. Kesempatan untuk riadah semakin terbatas. Rambut yang bagai mayang mengurai menggerbang tanpa angin bertiup. Pakaian hilang seri dan cantiknya. Rumah pula penuh dengan tanggungjawab siang dan malam. Di luar banyak juga tanggungjawab yang peru dibereskan. Profesion tempat bergantung mengisi perut. Masyarakat tempat berkongsi sekitar tempat. Agama dijulang kerana ianya milik Allah. Apakah cinta berhenti di situ.  Apabila rindu tidak menggamit lagi di hati. Apabila ayu dan cantik tidak seanggun dahulu. Apabila perut tidak berotot seperti dahulu. Apabila rambut menipis gugur bersama tambahnya usia. Apabila tulang yang lembut sudah tidak lagi termamah gigi. Apabila yang dekat sudah tidak lagi nampaknya. Apabila telinga banyak kali dipanggil dengarnya tiada. Apakah masih ada lagi cinta yang dahulu.

Ingat lagi ikrar semasa mula bersapa. Intan payung yang melindung diri. Kasih yang diulit dengan mimpi indah saban malam. Bahawa cinta itu putiknya akan dijaga ribuan tahun. Dimamah besi dan batu untuk menjaga amanah kasih. Setia yang berpanjangan hingga ke akhir zaman. Cinta itukah yang hanya bersandarkan gebu ayu. Gagah berani bak sang putera raja dengan pedang saktinya. Datangnya dengan kuda putih yang tangkas larinya. Apakah cinta pudar dan layu ditelan usia. Hanya nikmat muda yang entah bila-bila. Atau cinta itu hanya rindu-rinduan kerana belum bersama. Apabila di hadapan mata rindu itu hilang bersama usia yang memanjat tua. Kita lupa indahnya. Kita lupa nikmatnya. Kita lupa janji yang dipadu tanpa audit dan kira. Mulut bermain kata-kata indah itu. Sayup di telinga yang sentiasa meminta dengarnya.

Anak-anak menggantikan cinta. Harta benda mengurangkan cinta. Tua seperti memusnahkan cinta. Oop! Cuba pandang ke hadapan. Mungkin 1,000 tahun lagi. Adakah lagi harapan untuk hidup bersama. Untuk mati juga bersama. Nantinya untuk di syurga bersama-sama. Bukankah itu panduan cinta yang dinukil dan diungkap banyak kali. Dahulu yang mungkin dilupa kerana selang masa yang lama. Cuba surutkan masa ke belakang. Menjauh dalam minda. Lihat semula pasangan masing-masing. Lihat semula fizikalnya dari atas hingga ke bawah. Baca senarai semak ini:

1                 Dialah yang paling baik sepanjang hidup bersama. Hanya dia, hanya dia yang memberikan kebaikan itu. Kasih sayangnya. Rindunya. Belainya. Usapnya.
2                 Pandang lama-lama. Dialah yang paling anggun dan antun antara ramai di sekelilingnya. Terbaik antara yang sebayanya.
3                 Cuba teliti. Kasih sayangnya belum pernah terputus sejak lama.
4                 Anda masih terlalu rindu padanya. Jauhnya dirindui. Dekatnya merinduinya.
5                 Anda masih menanti kelibatnya. Di depan mata atau dengan ekor mata.
6                 Baunya sinonim kasih.
7                 Suaranya sinonim rindu.
8                 Geraknya mengangkat motivasi yang layu.
9                 Olahnya memudakan semangat yang perlu dijulang.
10            Hadirnya tetap memberi terpaan sayang.

Penulis teringat kata-kata Sayyidina Umar al-Khattab, isterinya adalah ibu kepada anak-anaknya. Begitulah agaknya seorang isteri akan berkata, suaminya adalah bapa kepada anak-anaknya. Tanpa gusar dan bimabang. Tanpa gundah dan bingung. Tanpa ada rasa sesal atau rungut merendah harap. Kasih itu tetap ada. Sayang itu tetap bersada. Kita yang wajar menjaganya. Yang pelru menggilapnya. Yang perlu meletakkannya di tempatnya yang tinggi. Dijulang tanpa tempat dan masa. Bahawa sayang dan kasih itu tetap bertahta di hati. Lara atau duka ia di situ. Senang atau indah ia di situ. Semestinya tiada siapa yang boleh merampasnya. Apatah lagi mencurinya.

Usia hanya kiraan angka. Tanaylah mereka yang sudah berumur banyak. Mereka tidak merasa tua. Tidak merasa menjadi kurang upaya. Maknanya hati dan perasaan sentiasa muda. Bermakna jika kasih dan sayang itu diingini, ianya kukuh pada hati dan semangat. Bukan hilang bersama usia. Ulamak tersohor Indonesia, allahyarham Agus Salim, sentiasa berpegangan tangan apabila berjalan bersama isterinya.

1                 Jika bukan suami yang memimpin isteri, siapa lagi.
2                 Jika bukan suami yang memberi kasih sayang, siapa lagi.
3                 Jika bukan suami yang memberikan yang terbaik, siapa lagi.
4                 Begitulah sebaliknya bagi seorang isteri terhadap suaminya.

Sebenarnya usia yang bertambah memberi ruang kepada pasangan untuk lebih intim. Lebih mengetahui kasih sayang yang dibina bertahan sekian banyak tahun. Melalui ujian dan cabaran yang bukan sedikit. Lagipun apabila usia memanjat tua:

1                 Masing-masing kehilangan diri. Tetapi tidak kehilangan kasih sayang.
2                 Usia hanya peredaran masa. Menambah bilangannya tetapi tidak meninggalkan yang punya diri.
3                 Semakin banyak ruang untuk bersama. Anak-anak sudah mendapat kedamaian dan kebahagiaan masing-masing.
4                 Kebersamaan yang selalu mengundang rindu. Ditatap bukan jemu. Ditinggal bukan lupa.

Namun semuanya perlu ada agenda. Perlu ada usaha yang istiqamah. Perlu ada perancangan yang rapi.

1                 Fizikal hendaklah dipelihara. Usia lazimnya membawa bersama kesegaran pada diri. Pada kulit. Pada bentuk tubuh badan. Pada keceriaan. Pada akhlak keseluruhannya.
2                 Penampilan perlu dijaga. Pasangan kita melihat kita dengan rasa sayang terbaik. Kitalah yang paling disayangi. Paling dikasihi. Maka penampilan kita diperlukan lebih baik dari orang lain yang sebaya. Tua bukan bermakna menjadi selekeh. Menjadi kumal. Menjadi lusuh.
3                 Kesihatan adalah resepi ampuh untuk menambah dan menambat kasih sayang. Kehilangan kesihatan bermakna meragut tenaga berkasih sayang. Hilang kesegaran bersama. Masing-masing keletihan kerana merawat fizikal dan spiritual masing-masing.


Tiga resepi ini menajdi inti kepada kekalnya kasih sayang. Tua yang menambah sayang. Usia yang mengangkat kasih. Mata tertutup pada yang lain. Ditutup untuk melihat yang ada di depan mata. Cinta tidak ada titik masa. Ia kesinambungan suatu titik yang panjang bak infiniti. Jauh dan sayup di hadapan harapan. Memanjangkan hasrat untuk selalu bersama. Mendambakan bahagia yang diusaha dan bukan datangnya sendiri. Kerana itu agenda hidup termasuk juga mengagendakan kasih sayang yang kekal lama hingga ke hujung usia. Jatuh cinta hanya sekali. Kasih sayangnya diabadikan sepanjang masa. Akhirnya kita berupaya mengungkapkan kata-kata keramat cinta, “I love you!”

Bingkisan Dari Kaherah: Jumaat Yang Hidup Segar



Hari Jumaat adalah hari raya mingguan umat Islam di seluruh dunia. Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Maka dianjurkan supaya jemaah yang datang berpakaian cantik. Bersih. Berwangi-wangian. Penganut Mazhab Syafiee disunatkan mandi dahulu sebelum hadir ke masjid. Bagi mazab-mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali penganutnya diwajibkan mandi terlebih dahulu. Untuk mengetahui perbezaan ini banyaklah bertanya kepada ulamak yang pakar dalam ilmu fiqh atau usul fiqh. Cuma setelah banyak merantau ini penulis memahami situasinya yang berbeza. Sesungguhnya banyak berjalan banyak pemandangan. Hal yang sama tetapi dilihat dari berbagai aspek yang berbeza. Relevan dengan tempat, iklim, suhu dan persekitaran setempat. Kenapa minyak wangi itu sunat juga ada kaitannya dengan permasalahan persekitaran ini.

Semasa di USA dahulu penulis dapati khatib yang membaca khutbah tidak menggunakan teks. Kebetulan mereka orang Arab. Mereka kadang-kadang pemastautin atau peniaga atau pelajar. Tetapi warganegara lain yang berpeluang berkhutbah juga tanpa teks. Mungkin ada sedikit nota sebagai panduan. Di Jordan penulis dapati keadaannya juga begitu. Di Mesir lebih lagi kekagumannya. Walaupun masjid itu kecil imamnya tetap berkhutbah tanpa teks. Malah apabila imam utama tidak hadir sesiapa sahaja yang membaca khutbah menyampaikannya tanpa teks. Di negara kita khutbah tanpa teks  memang tidak mungkin. Penulis teringat semasa bertugas di Politeknik Ungku Omar, Ipoh dahulu. Penulis menunaikan solat Jumaat di Masjid Rapat Setia. Imamnya (Allahyarham Haji Damanhuri) jarang membaca khutbah menggunakan teks. Kesemua mereka di masjid-masjid di atas tidak pula menyimpang masuk ke laluan politik. Tidak pula terkeluar dari tajuk. Khutbah mereka segar. Memotivasikan. Mereka berinteraksi dengan jemaah.

Khutbah sangat penting dalam agenda mingguan. Topiknya semasa. Relevan. Membicarakan sesuatu untuk mengajar. Pada minggu yang lain merawat permasalahan agama. Minggu yang lain membetulkan kesilapan masa lalu. Minggu yang lain lagi menambahkan maklumat. Minggu ini bercerita tentang masalah umat Islam. Maknanya topik yang disampaikan dipelbagaikan untuk sampai ke sanubari jemaah dengan sesungguhnya. Ia tidak ditumpukan kepada pelajaran ibadat semata-mata. Khutbah disampaikan untuk menjadi renungan. Untuk membuka minda. Untuk menerawang masa hadapan. Untuk merenung laluan kita ke akhirat. Di dalam khutbah selalu diselit nas dari al-Quran dan al-hadith. Ungkapan dari ulamak dan hukamak besar dari dahulu hingga sekarang.

Penulis kadang-kadang terasa lesu setiap kali mendengar khutbah. Khatib terlalu menunduk. Hanya membaca kalimah demi kalimah. Ayat demi ayat. Hilang nyawa khutbah itu. Hilang kesegarannya. Hilang kelangsungannya kepada jemaah. Tidak ramai imam atau khatib yang suaranya segar. Semangatnya tinggi. Bicaranya ditujukan kepada jemaah. Memandang jemaah dari kanan ke kiri. Dari hadapan ke belakang saf-saf yang banyak di masjidnya. Eye contact sangat penting dalam penyampaian apa-apa yang hendak dikhabarkan kepada audien. Kepada jemaah. Waktunya pula tengahari. Panas. Kenyang selepas makan tengahari. Ada kelesuan. Ada kekenyangan. Fizikal jemaah sangat lemah. Mereka perlu disegarkan dengan suara yang lantang. Beralun dengan nada yang tinggi dan rendah. Disebut dengan jelas mana-mana bahagian yang perlu diberi penekanan. Dilembutkan suara untuk menangkap perhatian. Perlu berhenti sesaat dua supaya jemaah mengangkat kepala dari tertunduk terus menerus.

Mungkin kita perlukan pusat latihan imam dan khatib. IPT yang ada di sekeliling kita boleh memainkan peranan. Latihan vokal kepada imam. Kepada khatib. Kita bukan bercerita mengenai penyanyi yang perlu mantap vokalnya. Imam dan khatib juga perlu menguasai vokal mereka. Penyanyi hanya perlukan suaranya sesekali apabila menerima undangan untuk menyanyi. Imam pula profesionya menjadi imam lima kali sehari semalam. Membaca khutbah setiap Hari Jumaat. Pada dua hari raya. Latihan vokal memantapkan penyampaian suara. Bertenaga. Bergema. Masuk ke dalam minda dan mudah-mudahan tidak keluar-keluar lagi. Khutbah yang disampaikan dengan segar menggegarkan hati dan perasaan. Membawa jemaah merenung jauh ke hadapan. Menerobos ke masa-masa yang semakin banyak cabarannya. Semakin payah laluannya. Kekangan ilmu yang menyempitkan. Amal yang selalu terganggu. Ideologi dan pandangan yang selalu bercanggah. Agama yang lurus selalu diajak berbelok ke arah yang tidak ada penghujungnya. Agenda Allah adalah hakiki. Agenda Rasulallah juga hakiki. Agenda manusia biasa selalu menjadikan kita keliru membuat pemilihan jika ilmu di dada tidak mencukupi sebagai perisai. Yang melindungi iman. Yang mengukuhkan iman.

Kita perlu menggunakan teknologi dalam penyampaian khutbah. Teknologinya sudah ada. Ada setengah tempat teknologi dalam masjid sudah dilaksanakan berpuluh tahun. Cuba tinjau di masjid besar Ipoh umpamanya. Khutbahnya disiarkan menggunakan CCTV. Menggunakan skrin besar. Kita kena melangkah berani untuk berinteraksi dengan jemaah. Ada jemaah yang cukup dengan mendengar. Bukan pendengarannya bagus. Mereka sesuai dengan mendengar sahaja. Boleh memahami apa yang disampaikan. Bagi yang lain mendengar menjana kebosanan. Apatah lagi apabila imam khutbahnya monotone. Satu nada sahaja dari awal hingga akhir. Bagi mereka gambar yang bergerak dan berwarna menangkap imaginasi mereka. Mereka membaca sama khutbah yang disampaikan. Melihat gerak bibir imam di atas mimbar. Melihat baris-baris ayat yang dibaca.

Untuk merevolusikan penyampaian khutbah ini teknologinya perlu disediakan. Ada jurukamera. Ada juruteknik. Ada bilik rakaman. Khutbah telah disediakan awal. Di Jabatan Agama Islam negeri-negeri ada unit khutbah lengkap dengan kemahiran multimedia. Setiap minggu imam membaca khutbah melalui kopmputer riba atau notebook. Teks yang sama dipancarkan ke skrin besar di banyak sudut dalam masjid. Jika perlu tambah dengan gambar gerak dan gambar pegun. Apabila kita bercerita tentang Palestin jemaah tidak memahami kedudukan perkara. Mereka tidak mengetahui kesengsaraan orang Rohingya di Myanmar. Multimedia dalam khutbah akan memberi kefahaman yang betul. Membantu mereka untuk bertindak dengan betul. Yang penting beramal dengan betul. Mendengar suara imam dari minggu ke minggu kadang-kadang dilihat tidak memberi kesan. Mereka merasakan itu hanya rukun dan syarat sah solat Jumaat. Mendengar dua khutbah. Walhal mereka tidak memahaminya. Tidak menghayatinya. Tidak mengambil iktibar darinya. Tidak mempelajari apa-apa. Proses dakwah yang sepatutnya mengalir dari masjid ke rumah dan keluarga terhenti di masjid sahaja. Tidak keluar ke mana-mana.

Penulis ingin mencadangkan sesuatu yang mungkin baru:
1                 Rakaman khutbah dibuat dalam bentuk CD atau VCD. Jemaah membuat tempahan untuk mendapatkannya setiap minggu. Perlu ada pendaftaran. Perlu ada yuran yang menampung kos. Perlu ada perpustakaan untuk menyimpan koleksi khutbah di masjid.
2                 Difotostat untuk edaran kepada jemaah. Tetapi edaran ini hendaklah dihadkan supaya tidak berlaku pembaziran kertas dan pembaziran cetakan.


Kita perlu mendidik umat supaya menghargai ilmu. Menghargai maklumat. Menghargai sumber ilmu itu sendiri. CD, VCD dan edaran khutbah boleh dijadikan koleksi semua umat Islam yang menjadi jemaah sesuatu masjid. Perpustakaan dan khazanah umat. Darinya mereka boleh membuat rujukan. Ianya mungkin mengenai hukum. Mungkin fatwa. Mungkin larangan. Mungkin berbagai lagi. Yang penting ialah kita menggunakan teknologi untuk membangun minda umat. Mengubah sikap dan sifat. Membuat anjakan paradigma ke arah penghayatan agama yang membangun secara dinamik sifatnya.

Sunday, January 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Memperhemah Kemewahan



Malaysia negara banyak sumber asli. Kaya dan banyak. Sejak merdeka pada 31 Ogos 1957 kekayaan kita Allah limpahkan kepada kita. Malangnya limpahan itu tidak turun ke bawah. Tidak sampai kepada rakyat di bawah. Jika kita senaraikan, sumber asli kita terlalu banyak. Pada kewajarannya kita semua menikmati kemewahan yang luar biasa. Namun kesemuanya menjadi mimpi-mimpi indah yang tidak tercapai tangan.
1                 Minyak kita gred baik. Harganya mahal dalam pasaran dunia. Hasil minyak yang banyak itu sepatutnya kita belikan minyak gred rendah untuk keguanan kita. Untung atau lebihannya untuk buat pembangunan. Kita sepatutnya menikmati harga minyak yang rendah. Maknanya hasil minyak melimpah hingga ke bawah. Tidak diempang di peringkat atas. Tiada tirisnya ke bawah. Mungkin minyak dianggap milik negara. Rakyat tidak berhak mendapat apa-apa manfaat darinya.
2                 Getah: tayar, sarung tangan dan kondom (maaf: fakta dan hakikat). Kesemuanya adalah tukaran wang asing yang besar. Kita pengeluar terbesar sarung tangan. Pengeluar (maaf sekali lagi) terbesar kondom dunia. Barakah getah asli.
3                 Kelapa sawit: minyak, margerin, sabun, susu, alat solek dan perubatan. Minyak sawit seperti emas pada pepohonan kayu.
4                 Perabot: kayu getah. Jika dahulu kayu getak hanya layak sebagai kayu untuk memasak sekarang ini ianya menjadi perabot yang menjadi kegilaan di Barat. Kita tidak menebang hutan sebaliknya menggunakan kayu yang ditanam. Memulihara alam sekitar. Sesuai dengan propagasi mereka untuk memelihara hutan.
5                 Tekstil. Kita eksport pakaian siap ke Barat dan US. Hasil tukaran asing yang besar.

Jika kita jumlahkan kesemuanya kita terasa kaya. Namun hanya usahawan sahaja yang menikmati kemewahan. Sesungguhnya Teori Pareto masih benar hingga sekarang. Mengikut teori ini hanya sekelompok kecil warganegara yang menikmati sejumlah besar ekonomi sesebuah negara. Jika sumber asli dapat diurus dengan baik, hasilnya dapat diagih kepada mereka di peringkat bawah dalam bentuk pendapatan lebih tinggi atau dengan kos kebanyakan keperluan yang lebih rendah. Dalam jangka panjang kos hidup dapat dikurangkan. Sebaliknya taraf hidup dapat ditingkatkan.

Perindustrian perkilangan: intensif modal vs intensif buruh. Sudah terlalu lama kita ketinggalan. Teori ini penulis pelajari semasa menuntut di Universiti Malaya pada tahun-tahun 1975-78 dahulu. Sudah lebih 35 tahun. Teori itu pula sudah lebih awal sebelum penulis pelajari. Maknanya sesudah teori itu diperkenalkan kita ketinggalan arusnya sejak lebih 50 tahun yang lalu. Jika diandaikan peluang pekerjaan tidak banyak, mengapakah pula berlaku lambakan pekerja asing. Jika diandaikan peluang pekerjaan mencukupi mengapa sukar mendapat pekerjaan bagi anak tempatan. Banyak persoalan ekonomi dan persoalan dasar ekonomi itu sendiri.

Perdagangan: pasaran baru. Kita masih terus-terusan menumpukan pandangan kita kepada pasaran tradisi. United Kingdom dan USA. Pasaran-pasaran lain tidak diteroka. Mungkin tidak yakin. Mungkin juga kita terlalu selektif. Sifat manja tajaan British. Di Kaherah penulis kadang-kadang terpandang proton Saga, Proton Wira, Waja, Kembara, Kancil, Pesona dan CamPro. Sesekali. Sebuah-sebuah. Tetapi hati penulis menjadi iri melihat Hyundai, Toyata dan banyak lagi kereta Jepun dan Korea yang memenuhi jalanraya dan di tepi-tepi jalan. Konsepnya berani, aggresif, pecahkan semua tembok halangan dan akhirnya “cakap mestilah serupa bikin.”

Pelancongan: syarie. Dunia semakin sesak nafas. Umat Islam tidak ramai yang peka tentang keperluan pelancongan syarie. Bebas dari hal-hal yang dilarang.
1                 Bebas dari makanan haram.
2                 Bebas dari maksiat kejantinaan.
3                 Bebas dari aktiviti melalaikan seperti konsert dan sebagainya.
4                 Bebas dari mendedahkan aurat.
5                 Bebas dari menggunakan alat dan bahan terlarang.
6                 Banyak aktiviti ibadat.

Bila agaknya kita dapat menikmati kesemua itu. Di hadapan mata kita. Semasa usia kita masih ada.  Aspek kehidupan Islam selalu terabai. Terpinggir di tepi. Diletak di samping. Ditinggal jauh di belakang. Sikap kita begitu. Malu dengan apa yang kita ada. Kita kendung dan kelek orang punya. Kita cicirkan milik kita sendiri. Malu yang sangat tidak bertempat. Di negara orang apa yang mereka ada
diktiraf sebagai autentik. Diperagakan. Dikomersilkan. Mengkayakan budaya. Mengkayakan ummah. Mengkayakan negara. Kata masih banyak perlu belajar lagi. Mengubah anjakan paradigma yang lesu.

Aspek produktiviti kita masih di tahap rendah. Negara maju beranjak dari intensif buruh ke arah intensif modal. Sekarang ini kebanjiran warga asing membawa banyak ketidakseimbangan kepada sistem sosial.
1                 Budaya asing yang berbeza. Tingkah laku yang berbeza.
2                 Sistem kerja yang berbeza.
3                 Penyakit bawaan mereka yang tidak disaring dengan teliti.
4                 Jenayah yang semakin membanyak dan membesar.
5                 Inter-sosial yang tidak selari dengan budaya setempat.

Kerana itu kita banyak melihat kejanggalan dalam masyarakat. Jika tidak diteliti dan diperhalusi kita pula yang nantinya menyerap budaya asing ke dalam budaya kita. Anak-anak kita terpaksa belajar dari awal semula untuk mereka nanti cuba mengharmonikan antara budaya setempat dengan budaya baru yang dibawa dari luar secara tidak formal. Untuk mengurangkan lambakan pekerja asing sewajarnya kita mengorak langkah deras dan berani untuk memulakan secara besar-besaran ke arah intensif modal. Kita tumpukan kepada pekerja kita sendiri. Mahirkan mereka dengan teknologi tinggi. Salut mereka dengan sikap dan sifat rajin dan usaha. Tanamkan semangat membina ummah. Membina agama. Mencari syurga dalam ibadah bekerja.

Penulis membuat pemerhatian bahawa kita sebenarnya banyak melakukan keborosan, ketirisan dan pembaziran dengan terancang dan dalam situasi sedar. Maksudnya disengajakan. Apabila ada majlis pasti ada perasmian pembukaan dan ditambah pula dengan perasmian penutup. Budaya politik dimasukkan menjadi budaya majlis-majlisan. Selalunya majlis-majlisan sebegitu dalam bentuk yang grand (mewah), makan-makan tanpa objektif produktif. Tiada keuntungan timbal balas. Sanak saudara yang tidak berkaitan hadir sama. Tidak ada relevannya kehadiran mereka. Bajet perasmian, dua perasmian mencecah ribuan ringgit. Semakin tinggi taraf VIP ke VVIP maka semakin besarlah bajet yang diperuntukkan. Bayangkan statistiknya dalam setahun. Di seluruh negara. Bajet majlis-majlisan ini menelan kos berbilion ringgit. Dari Putrajaya hingga ke pedalaman di Pahang, sarawak dan Sabah. Sewajarnya majlis-majlisan ini terpilih. Ada keutamaannya. Berhemah membelanjakan wang rakyat. Yang berlaku hanya ketirisan dan pembaziran kerana ianya hilang bersama tamatnnya majlis itu sendiri. Ianya tidak manjana apa-apa nilai tambah.

Sejarah merakamkan bagaimana khalifah Umar Abdul Aziz memadam pelita negara dan menghidupkan pelita keluarga kerana takut terhadap dosa yang sentiasa dicatat malaikat Atid di sebelah kiri kita. Kita juga dimaklumkan bagaimana Allahyarham Tun Razak membawa anak-anak dengan belanja sendiri sewaktu membuat lawatan rasmi. Bukan dengan biaya kerajaan. Presiden Mesir yang digulingkan membiayai tambang isterinya berubat ke Arab Saudi. Dengan kapalterbang komersil. Sedangkan ketika yang sama beliau sendiri membuat lawatan ke Arab Saudi. Pada pendapatnya isterinya tidak berhak menaiki kapalterbang yang diperuntukkan kepada Presiden. Bukan isteri dan bukan anak-anaknya. Bukan saudara mara dan bukan rakan-rakannya.


Pembaziran, kebocoran dan ketirisan dapat dilihat dengan angka. Ada stastistiknya. Kita perlukan perubahan sikap dan akhlaq yang benar-benar cintakan Allh untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik. Apa-apa yang kita pelihara akan kembali memelihara kita. Perjalanan kita ke alam barzah mungkin tidak lama tetapi perjalanan ke alam akhirat sangat lama.  Kebaikan yang kita lakukan semoga melindungi kita di alam barzah. Kita seharusnya berfikir untuk tidak menzalimi diri kita sendiri.