Kadang-kadang berterus terang adalah
sesuatu yang baik. Tidak perlu berselindung. Tidak perlu berkelit. Serlahkan
apa-apa yang dirasa. Beritahu kepada audien kita semua yang hendak disampaikan
tanpa sebarang keraguan. Yang rasanya difikirkan menasabah. Namun begitu kita selalu
seharusnya berhemah dengan diri kita. Kita ibarat cermin. Semakin mahal cermin
itu semakin jarang orang bercermin dengannya. Tetapi orang melihat cermin itu.
Mungkin dari dekat. Mungkin dari jauh. Cermin yang mahal nilainya diperhati
keadaannya. Bentuknya. Bersihnya. Berkilatnya. Bingkainya. Rupa yang dibayang
dalam cermin. Seperti juga manusia. Semaikn ia memiliki ilmu yang tinggi
semakin dilihat orang. Semakin tinggi pangkatnya semakin dipandang orang.
Semakin usia meningkat semakin diteliti orang. Apa-apa sahaja yang
memungkinkan cacat cela akan mudah dipantau orang. Barang yang rendah nilainya
dipandang baiknya. Barang yang baik pula dicari buruknya. Baik dalam buruk
senang dilihat. Buruk dalam baik lebih pula mudah dilihat orang. Mudah sangat
kelihatannya.
Hidup kita bersama berbagai kategori
orang lain di sekeliling kita. Kita tidak ada masalah tentang perkara itu.
Tetapi interaksi kita dengan mereka dalam berbagai karakter. Ia bergantung
siapa audien kita.
1
Kawan rapat. Mereka
dekat di hati. Dekat di mata. Dikenal hati dan budinya. Maka kita bercakap
dengan santai. Tidak perlu terlalu berbahasa. Di rumah kita atau di rumahnya
tidak banyak berbeza. Kita tetap santai bersama. Kerana itu kita bebas
bercakap. Tajuknya bebas. Perkataan, istilah dan ungkapannya bebas. Antara kita
yang mendengarnya. Tidak ada yang diselindung lagi. Antara empat sisi dinding
yang sama menjaga kerahsiaannya. Namun kebebasan itu terhad juga apabila ada
orang lain yang turut hadir. Apabila kita bersama orang lain. Apabila ada orang
lain di samping kita. Apabila ada orang lain yang ingin mencuri dengar
perbualan kita. Walau apapun kita masih banyak kebebasan untuk bercakap apa
sahaja. Privacy
agak longgar.
2
Saudara dekat. Saudara mara
ada yang rapat dan ada yang tidak. Ada yang sensitif dan ada yang tidak. Hendak
bercakap kena tapis juga banyak kali. Sesama saudara kadang-kadang kita berlainan
ideologi. Kefahaman dan jalan fikirnya berbeza. Landasannya pilihan
masiang-masing. Maka topik perbualan hendaklah dipandu dengan kemas. Tidak
berkisar ke arah yang sensitif. Maaflah, kita orang Melayu sangat sensitif
dengan perbezaan pendapat. Tidak dapat menerima bahawa setiap orang berbeza
pendapatnya. Kita diperlukan meraikan pendapat orang lain. Tidak dicampuradukkan
dengan persaudaraan. Darah daging jangan dicincang-cincang. Lukanya panjang. Walaupun
daging itu bertaut semula, parutnya dalam dan jelas dipandang. Pada peringkat
ini kita sudah membataskan diri. Privacy kita semakin dijaga.
3
Kawan biasa berbeza
kategorinya. Belum mesra atau payah hendak mesra. Bersahabat tetap bersahabat. Jurangnya
masih terasa. Duduk dekat masih tidak terasa kehangatannya. Dalam keadaan
seperti itu kita perlu sentiasa berhemah. Banyak menjaga protokol persahabatan.
Banyak adab yang perlu dijaga. Tutur kata yang terpilih susunan ayat-ayatnya. Suara
semesra yang mungkin. Topik perbualan tidak boleh terlalu banyak. Harus mengetahui
sempadan yang tidak boleh dilintas. Batasan yang tidak boleh dirempuh. Zon sensitifnya
besar dan tinggi. Melaggarnya bererti selamat tinggal persahabatan. Privacy
yang perlu dijaga semakin bertambah.
4
Dalam kehidupan ini
kita banyak berhadapan dengan audien yang ramai. Tanpa mengira siapa kita atau
apa jawatan kita, kita berhadapan dengan situasi audien ramai pada bila-bila
masa. Sama ada dirancang atau spontan. Mungkin di tempat kerja. Mungkin di
pasar. Mungkin di masjid. Mungkin di padang. Di mana-mana sahaja kita
berhadapan dengan audien. Bilangannya sahaja berbeza. Ramai atau mungkin
sedikit. Ketika itu kita tidak bebas hendak berkata apa sahaja yang keluar
antara bibir dan mulut kita. Banyak yang hendak ditapis. Disesuaikan dengan
ilmu dan kelayakan akademik kita. Pengalaman kita yang perlu banyak
disandarkan. Lihat pula siapa kita dan status sosial kita. Privacy yang perlu dijaga.
5
Kadang-kadang kita
melihat berbagai-bagai orang awam dalam media rasmi. Mungkin akhbar dan mungkin
juga media elektronik. Apabila ungkapan yang keluar dari mulut terlalu laju,
tidak sesuai didengar. Terlalu perlahan seperti kurang yakin pula. Terlalu garang
gerun orang mendengar. Jika suaranya mendatar jemu pula didengar. Dalam pada
itu ada pula yang apabila didengar terasa puas. Suaranya jelas. Diungkapkan butirannya
secara bersahaja tetapi berturutan dengan jeda waktu yang cukup memukau. Isinya
padat. Istilah dan perkataan yang digunakan banyak betulnya. Banyak jawapan
dari soalan. Banyak aspek yang disentuh. Dia tahu sempadan yang tidak boleh
disebut berdasarkan siapa dirinya. Menjaga privacy diri.
6
Media sosial pula siapa
yang menggunakannya? Walaupun pada asalnya seperti orang muda yang terpukau
dengan media sosial tetapi hakikatnya teknologi tanpa sempadan. Tanpa sebarang
halangan. Sesiapa sahaja boleh memanfaatkannya. Atau menyalahgunakannya. Jika penggunaannya bersesuaian, alhamdulillah.
Tetapi apabila sempadan diri tidak dijaga maka media sosial sebenarnya
menjadikan seseorang itu hilang jati dirinya. Hilang harga dirinya. Hilang integritinya.
Malangnya ramai pengguna media sosial yang memandang ringan hal ini. Dirinya
sedang diperhatikan orang. Orang akan meletakkannya di tempat yang jauh dari
tempat yang dijangka.
Penulis teringat siri TV suatu ketika
dahulu. Seorang menteri yang berkelulusan biasa-biasa mempunyai seorang
setiausaha lulusan Oxford University. Universiti yang graduannya
dikatakan versatile.
Universiti kebangaan Britain. Graduannya disuntik dengan input intelektual yang
tinggi. Apabila bercakap tidak memberikan keputusan. Tidak memberikan jawapan. Yang
bertanya perlu mencari jawapan sendiri. Yang ditanya hanya memberikan beberapa
alternatif untuk dipilih. See the point? Kita sebenarnya tidak boleh
memberikan jawapan yang pasti kepada sebarang pertanyaan orang lain. Orang yang
bertanya itulah yang perlu mencari jawapannya sendiri. Kita hanya boleh
menghidangkan alternatif cadangan untuknya membuat pilihan. Kita tidak ada kaitan
dengan jawapan yang dipilihnya. Kita dalam kategori non partisan. Tidak memihak. Alternatif
yang kita berikan hendaklah:
1
Pada aras tinggi.
2
Mengandungi idea
intelektual.
3
Sesuatu yang segar.
4
Sesuatu yang inovatif
atau kreatif.
5
Memberikan cadangan di
luar jangka.
6
Jawapan di luar
kebiasaan.
7
Ada input-input baru.
Inilah masalahnya. Kita selalu memihak. Selalu
condong untuk mempamerkan kecondongan kita. Ada tempat kita boleh pamerkan minat
kita. Ideologi kita. Pegangan kita. Tetapi dalam media yang audiennya berkeliling
dunia kita seharusnya membataskan diri. Kata-kata atau tulisan kita dibaca
orang. Orang lebih hormat tulisan yang membina. Yang akademik. Yang membantu
untuk membuka minda. Orang yang berkedudukan lagilah banyak pantang larangnya. Tidak
boleh sebarang yang hendak ditulis. Bukan sebarangan yang diungkapkan. Tidak mungkin
dalam media sosial kita ketawakan orang lain. Yang kita ketawakan sahabat kita
tetapi yang membacanya semua orang. Di siitulah kita terperangkap dalam
teknologi. Kelemahan kita terselah. Orang “menelanjangkan” diri kita tanpa
usia. Tanpa pangkat. Tanpa kelayakan akademik. Tanpa taraf sosial.
Media sosial adalah saluran santai untuk
santai-santaian. Boleh serius dengan versinya yang tersendiri. Tetapi tidak
boleh main-main tanpa sekatan siapa diri kita yang sebenarnya. Perlu berhijab
di sebalik hemah dan waspada. Cermin kita mahal harganya. Jika pecah
berderailah ia. Jika retak hilang nilai. Jagalah cermin itu. Ia cermin diri
yang tidak ternila harganya.
No comments:
Post a Comment