Tuesday, January 28, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Jumaat Yang Hidup Segar



Hari Jumaat adalah hari raya mingguan umat Islam di seluruh dunia. Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Maka dianjurkan supaya jemaah yang datang berpakaian cantik. Bersih. Berwangi-wangian. Penganut Mazhab Syafiee disunatkan mandi dahulu sebelum hadir ke masjid. Bagi mazab-mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali penganutnya diwajibkan mandi terlebih dahulu. Untuk mengetahui perbezaan ini banyaklah bertanya kepada ulamak yang pakar dalam ilmu fiqh atau usul fiqh. Cuma setelah banyak merantau ini penulis memahami situasinya yang berbeza. Sesungguhnya banyak berjalan banyak pemandangan. Hal yang sama tetapi dilihat dari berbagai aspek yang berbeza. Relevan dengan tempat, iklim, suhu dan persekitaran setempat. Kenapa minyak wangi itu sunat juga ada kaitannya dengan permasalahan persekitaran ini.

Semasa di USA dahulu penulis dapati khatib yang membaca khutbah tidak menggunakan teks. Kebetulan mereka orang Arab. Mereka kadang-kadang pemastautin atau peniaga atau pelajar. Tetapi warganegara lain yang berpeluang berkhutbah juga tanpa teks. Mungkin ada sedikit nota sebagai panduan. Di Jordan penulis dapati keadaannya juga begitu. Di Mesir lebih lagi kekagumannya. Walaupun masjid itu kecil imamnya tetap berkhutbah tanpa teks. Malah apabila imam utama tidak hadir sesiapa sahaja yang membaca khutbah menyampaikannya tanpa teks. Di negara kita khutbah tanpa teks  memang tidak mungkin. Penulis teringat semasa bertugas di Politeknik Ungku Omar, Ipoh dahulu. Penulis menunaikan solat Jumaat di Masjid Rapat Setia. Imamnya (Allahyarham Haji Damanhuri) jarang membaca khutbah menggunakan teks. Kesemua mereka di masjid-masjid di atas tidak pula menyimpang masuk ke laluan politik. Tidak pula terkeluar dari tajuk. Khutbah mereka segar. Memotivasikan. Mereka berinteraksi dengan jemaah.

Khutbah sangat penting dalam agenda mingguan. Topiknya semasa. Relevan. Membicarakan sesuatu untuk mengajar. Pada minggu yang lain merawat permasalahan agama. Minggu yang lain membetulkan kesilapan masa lalu. Minggu yang lain lagi menambahkan maklumat. Minggu ini bercerita tentang masalah umat Islam. Maknanya topik yang disampaikan dipelbagaikan untuk sampai ke sanubari jemaah dengan sesungguhnya. Ia tidak ditumpukan kepada pelajaran ibadat semata-mata. Khutbah disampaikan untuk menjadi renungan. Untuk membuka minda. Untuk menerawang masa hadapan. Untuk merenung laluan kita ke akhirat. Di dalam khutbah selalu diselit nas dari al-Quran dan al-hadith. Ungkapan dari ulamak dan hukamak besar dari dahulu hingga sekarang.

Penulis kadang-kadang terasa lesu setiap kali mendengar khutbah. Khatib terlalu menunduk. Hanya membaca kalimah demi kalimah. Ayat demi ayat. Hilang nyawa khutbah itu. Hilang kesegarannya. Hilang kelangsungannya kepada jemaah. Tidak ramai imam atau khatib yang suaranya segar. Semangatnya tinggi. Bicaranya ditujukan kepada jemaah. Memandang jemaah dari kanan ke kiri. Dari hadapan ke belakang saf-saf yang banyak di masjidnya. Eye contact sangat penting dalam penyampaian apa-apa yang hendak dikhabarkan kepada audien. Kepada jemaah. Waktunya pula tengahari. Panas. Kenyang selepas makan tengahari. Ada kelesuan. Ada kekenyangan. Fizikal jemaah sangat lemah. Mereka perlu disegarkan dengan suara yang lantang. Beralun dengan nada yang tinggi dan rendah. Disebut dengan jelas mana-mana bahagian yang perlu diberi penekanan. Dilembutkan suara untuk menangkap perhatian. Perlu berhenti sesaat dua supaya jemaah mengangkat kepala dari tertunduk terus menerus.

Mungkin kita perlukan pusat latihan imam dan khatib. IPT yang ada di sekeliling kita boleh memainkan peranan. Latihan vokal kepada imam. Kepada khatib. Kita bukan bercerita mengenai penyanyi yang perlu mantap vokalnya. Imam dan khatib juga perlu menguasai vokal mereka. Penyanyi hanya perlukan suaranya sesekali apabila menerima undangan untuk menyanyi. Imam pula profesionya menjadi imam lima kali sehari semalam. Membaca khutbah setiap Hari Jumaat. Pada dua hari raya. Latihan vokal memantapkan penyampaian suara. Bertenaga. Bergema. Masuk ke dalam minda dan mudah-mudahan tidak keluar-keluar lagi. Khutbah yang disampaikan dengan segar menggegarkan hati dan perasaan. Membawa jemaah merenung jauh ke hadapan. Menerobos ke masa-masa yang semakin banyak cabarannya. Semakin payah laluannya. Kekangan ilmu yang menyempitkan. Amal yang selalu terganggu. Ideologi dan pandangan yang selalu bercanggah. Agama yang lurus selalu diajak berbelok ke arah yang tidak ada penghujungnya. Agenda Allah adalah hakiki. Agenda Rasulallah juga hakiki. Agenda manusia biasa selalu menjadikan kita keliru membuat pemilihan jika ilmu di dada tidak mencukupi sebagai perisai. Yang melindungi iman. Yang mengukuhkan iman.

Kita perlu menggunakan teknologi dalam penyampaian khutbah. Teknologinya sudah ada. Ada setengah tempat teknologi dalam masjid sudah dilaksanakan berpuluh tahun. Cuba tinjau di masjid besar Ipoh umpamanya. Khutbahnya disiarkan menggunakan CCTV. Menggunakan skrin besar. Kita kena melangkah berani untuk berinteraksi dengan jemaah. Ada jemaah yang cukup dengan mendengar. Bukan pendengarannya bagus. Mereka sesuai dengan mendengar sahaja. Boleh memahami apa yang disampaikan. Bagi yang lain mendengar menjana kebosanan. Apatah lagi apabila imam khutbahnya monotone. Satu nada sahaja dari awal hingga akhir. Bagi mereka gambar yang bergerak dan berwarna menangkap imaginasi mereka. Mereka membaca sama khutbah yang disampaikan. Melihat gerak bibir imam di atas mimbar. Melihat baris-baris ayat yang dibaca.

Untuk merevolusikan penyampaian khutbah ini teknologinya perlu disediakan. Ada jurukamera. Ada juruteknik. Ada bilik rakaman. Khutbah telah disediakan awal. Di Jabatan Agama Islam negeri-negeri ada unit khutbah lengkap dengan kemahiran multimedia. Setiap minggu imam membaca khutbah melalui kopmputer riba atau notebook. Teks yang sama dipancarkan ke skrin besar di banyak sudut dalam masjid. Jika perlu tambah dengan gambar gerak dan gambar pegun. Apabila kita bercerita tentang Palestin jemaah tidak memahami kedudukan perkara. Mereka tidak mengetahui kesengsaraan orang Rohingya di Myanmar. Multimedia dalam khutbah akan memberi kefahaman yang betul. Membantu mereka untuk bertindak dengan betul. Yang penting beramal dengan betul. Mendengar suara imam dari minggu ke minggu kadang-kadang dilihat tidak memberi kesan. Mereka merasakan itu hanya rukun dan syarat sah solat Jumaat. Mendengar dua khutbah. Walhal mereka tidak memahaminya. Tidak menghayatinya. Tidak mengambil iktibar darinya. Tidak mempelajari apa-apa. Proses dakwah yang sepatutnya mengalir dari masjid ke rumah dan keluarga terhenti di masjid sahaja. Tidak keluar ke mana-mana.

Penulis ingin mencadangkan sesuatu yang mungkin baru:
1                 Rakaman khutbah dibuat dalam bentuk CD atau VCD. Jemaah membuat tempahan untuk mendapatkannya setiap minggu. Perlu ada pendaftaran. Perlu ada yuran yang menampung kos. Perlu ada perpustakaan untuk menyimpan koleksi khutbah di masjid.
2                 Difotostat untuk edaran kepada jemaah. Tetapi edaran ini hendaklah dihadkan supaya tidak berlaku pembaziran kertas dan pembaziran cetakan.


Kita perlu mendidik umat supaya menghargai ilmu. Menghargai maklumat. Menghargai sumber ilmu itu sendiri. CD, VCD dan edaran khutbah boleh dijadikan koleksi semua umat Islam yang menjadi jemaah sesuatu masjid. Perpustakaan dan khazanah umat. Darinya mereka boleh membuat rujukan. Ianya mungkin mengenai hukum. Mungkin fatwa. Mungkin larangan. Mungkin berbagai lagi. Yang penting ialah kita menggunakan teknologi untuk membangun minda umat. Mengubah sikap dan sifat. Membuat anjakan paradigma ke arah penghayatan agama yang membangun secara dinamik sifatnya.

No comments:

Post a Comment