Monday, October 21, 2013

Pasar Tani: Mencari Nilai Taninya




Saya pernah ke pasar tani di Pittsburgh, Pensylvania, USA. Setelah kerap ke pasar tani di Ipoh, saya dapati banyak perbezaannya. Malah sekarang setelah lebih 20 tahun bermukim di Batu Pahat, Johor konsep pasar tani jauh tersasar dari namanya. Kali terakhir saya ke pasar tani saya mengalami kekecewaan yang terlalu amat. Ia menyentuh konsepnya, ragaman barangan yang dijual dan kualiti yang tidak terurus. Mungkin pengurusannya terabai sesuatu yang dasar. Kadang-kadang perkara kecil menjadi besar ertinya. Perlu mengenal nilainya yang hakiki. Jika tidak diteropong dengan mata hati tentulah tumpul hati kerana tidak dapat melihat keindahannya. Kerana itu ramai orang mengabaikan yang kecil. Yang dilihat tidak signifikan pada mata kasar. Tetapi itulah yang menentukan sesuatu yang besar.


Begitulah pasar tani. Dua istilah biasa. Pasar dan tani. Rasanya ramai yang mengetahui maksud pasar. Kepada orang biasa tentulah tempat ramai orang berniaga. Macam-macam yang diniagakan. Dari segi istilah ekonomi, pasar adalah keadaan yang menemukan antara pemasar dan pengguna. Bagaimana dengan tani. Keluarlah istilah-istilah petani, hasil tani, pertanian dan perniagaan tani. Kita fokus kepada tani dan petani. Apabila kita bicarakan tentang pasar tani gambaran umum yang kita faham ialah pasar yang menghimpunkan petani-petani. Pelanggannya pula mencari hasil tani yang tulen. Datang dari tanah-tanah yang tidak luas. Datangnya tanaman kontan. Bukan yang dikomersilkan secara aggreget. Bukan besar-besaran. Bukan berskala besar. Petani yang bertani, hasil taninya apabila berlebihan dijual di pasar tani.

Di US saya melihat sesuatu yang lebih tulen. Petani menjual kobis, bunga kobis, kerot dan buah-buahan di sekeliling rumah seperti epal dan oren. Atau mungkin pear. Pada suatu ketika seorang sahabat membeli cili api. Bukan yang selonggok-selonggok atau yang perlu ditimbang dengan kiraan kilogram. Yang dijual –pokok-pokok cili api. Buahnya belum dipetik. Pokoknya dicabut dan dijual sekali dengan buahnya. Pembeli membeli sepokok atau beberapa pokok cili. Petik sendiri buahnya untuk dibawa balik. Maksudnya petani itu tulen. Hasil dari petani yang tulen. Suatu ketika seorang sahabat yang lain membeli sebarrel epal. Kira-kira 15 kilogram. Segar dan baru dipetik dari pokonya.

Namanya pasar tani. Petani membawa hasil tani mereka sendiri untuk dikongsi dengan orang lain. Terus dari ladang. Tanpa orang tengah. Tanpa jadual yang melewatkan. Jika kita kaji sedikit lebih mendalam sebenarnya pasar tani di US lebih kepada ekspresi diri. Mencipta keunikannya yang tersendiri. Lebih kepada hobi. Bacalah tetang falsafah barat. Pasti ditemui tentang pentingnya nilai seni (aesthetic value). Seni bukan sahaja mengenai lukisan atau kraf. Bukan juga nyanyian dan muzik. Bukan tentang binaan sahaja. Seni dalam mengekspresi diri. Tunjuk kearifan bertani. Mencuba berbagai kaedah. Membina sistem yang wajar dengan saiz ladang yang kecil. Mencipta kepelbagaian hasil tani secara kecil-kecilan. Pengguna sukakan kelainan yang dihasilkan. Ada pelanggannya yang tersendiri. Mereka datang berduyun-duyun mencari kelainan hasil tani. Bukan yang komersil. Yang komersil banyak di pasaraya. Atau di pasar sayu yang sebenar. Atau di kedai-kedai runcit. Cuba kita lihat siatuasinya di Malaysia. Banyak barang yang dijual sebenarnya bukan hasil tani yang datang terus dari ladang. Bukan dari petani kecil di ceruk kampung. Bukan diangkut dari ladang.

Rasanya banyak kebaikannya pasar tani. Lain tempat lain ragaman barangan yang dijual. Umpamanya, di Ipoh biasa dijual lemang dan rending tuk. Di Batu Pahat umpamanya, biasa dijual lontong dan lodeh. Sayur kampung rasanya banyak persamaan. Di sana tedapat pucuk paku pakis yang berwarna merah. Ada pula pucuk paku perak. Tidak lupa pula pucuk ubi, pucuk manis, jantung pisang, petai dan jering, pegaga dan ulam raja, kesum dan selom, petola dan peria, ubi dan keledek, pisang dan nanas. Ada sesuatu yang hilang. Kuantiti mungkin mudah diatasi. Tanam banyak-banyak, insyaAllah banyaklah hasilnya. Yang sukar ialah kualitinya. Di sinilah letak kesukatan menilai pasar tani. Suatu ketika saya hendak membeli pisang. Pisang yang menjadi kesukaan saya ialah pisang lilin dan pisang nipah. Pisang kapok kata orang jawa. Pilihan pertama pisang lilin. Pilihan kedua pisang nipah. Cari pisang lilin tidak. Jawapan peniaga semuanya negatif. Kerana itu saya mencari pisang nipah. Berlegar-legar lagi. Yang saya temui yang berisi putih. Bukan yang berisi merah. Yang putih kurang manis. Yang merah lebih manis. Itu baru warnanya.


Itu belum saiznya. Ketrampilan pisang itu sendiri. Belum lagi kesegarannya. Senarionya mungkin melemaskan perasaan. Saiznya tidak memikat. Kecil,  nipis dan tidak berpa berisi. Apatah lagi jika ianya pisang pada sikat di hujung. Yang pangkal sudah dibeli orang. Banyak pula yang masak kerana diperam dengan karbait. Tidak semula jadi atau masak di pokok. Ada pula yang agak muda. Masak juga dengan karbait. Paling merumitkan ialah apabila pisang itu kusam, kotor, lebam dan tidka dilihat menyelerakan. Baru cerita pisang. Bagaimana dengan ubi kayu, keledek, keladi dan buah-buahan lain. Maaflah. Orang kita tidka mahir dalam konsep kualiti. Sepatutnya masalah gred sudah lama dikuasai. Ia ada kaitan dengan saiz dan warna. Setiap barang berada pada pakej yang unik. I aada kaitan dengan harga, tarikan dan promosi. Lain warna lain harganya. Lain saiz lain harganya.



Kelangsungan pasar tani harus ada inovasinya yang tersendiri. Pengurusan pasar tani, FAMA, tidak harus berpuashati dengan status quo yang ada. Pasar tani belum sepenuhnya nasional. Maka perlu ada usaha penambahbaikan. Sudah sampai masanya pasar tani berkonsep global. Sarwajagat. Banyak makanan kita yang memiliki nilai eksport. Penyelidikan, eksperimen dan usaha yang besar perlu dilakukan untuk menaikkan prestasi pasar tani. Jangan terlalu lokal hingga pasar tani menjadi jumud dan tepu. Senerio yang sama sepanjang zaman. Menjemukan. Jika isu kualiti dapat diatasi, pasar tani bukan untuk orang kampung. Ia menjadi pasar yang lebih global. Orang kampung bukan berpesta di pasarnya sendiri tetapi menjadikan pasarnya merentas benua.  

Friday, October 18, 2013

Menilai Jauh Pasangan Hidup Sendiri




Sudah berapa lama anda berumahtangga. Cuba kira. Bila kali terakhir anda muasabah diri tentang hidup berumatangga dengan pasangan anda. Bagi yang baru bernikah, tentulah masih terasa manis-manisnya. Keindahan berseni yang Allah anugerahkan untuk pasangan yang sah dan halal. Untuk yang sudah beranak satu atau dua, inilah masanya menguji diri. Hidup berbulan madu hanya sementara. Jika ingin madu itu berkekalan anak-anak itulah madu-madu yang enak melepasi tenang minda. Ada yang sudah beranak pinak. Sudah lama. Anak sudah besar-besar. Sudah banyak yang dilalui. Asam garam yang berbagai rasanya. Olahan hidup yang berbagai ragamnya. Hidup berterusan. Yang bermenantu dan bercucu rasanya sudah amat jauh perjalanan dan pengalaman. Yang sudah jadi warga emas lagilah banyak liku dan simpang yang telah direntasi. Mencari destinasi yang tetap terus indah di hadapan. Masih mengejar pelangi hingga ke senja.


Ingatkah anda ketika mula berbulan madu dahulu. Dari malam pertama yang jika boleh jangan ada siangnya. Biarlah malam terus berulit. Rindu yang terlalu panjang untuk diurai. Maka malam-malam itu sendiri dirindui sepanjang malam-malam yang berikutnya. Bersemadilah dua cinta yang selalu lara menanti masa. Terlalu rindu walau tiada jauhnya. Walau tiada jarak masa. Walau tiada jarak tempat. Seharian bertemu tetap bertahta rindu yang sama. Waktu bercinta dan waktu bertunang sama sahaja. Hanya melengahkan kerinduan yang tidak kunjung padam. Yang tidak menjanjikan apa-apa kesempurnaan cinta dan rindu. Masih ingat bantal yang selalu basah. Hingus yang selalu mengalir. Mandi yang airnya tidak membasahi kulit. Makan yang tidak mengenyangkan kerana lambat kunyahnya. Lambat telannya. Masin yang terasa masam. Manis yang terasa pahit. Sebenarnya lapar berlalu begitu sahaja. Tiada pula kenyang mengisi kerinduan. Masa pula terlalu lama beredarnya. Rindu dan rindu. Lemas tangan menggapai rasa.


Tetapi bulan madu itu terlalu pantas. Bersilih ganti dengan menanti orang baru. Cahaya mata yang juga dirindui. Diharap pengikat kerinduan yang memanjang. Dikaulah ibu kepada anak-anakku. Dikaulah bapa kepada anak-anakku. Menjadi ibu dan bapa yang diramaikan dengan anak-anak. Suatu fasa hidup berumahtangga untuk mengingat kembali tanggungjawab kemanusiaan. Kita pernah dilahirkan, dibelai, dibesarkan, dipandaikan dan dijadikan manusia berguna. Apabila beranak pinak kita melestarikan kesinambungan warisan keluarga. Merealisasikan kemanusiaan. Membalas budi kepada yang hak. Kita dibelai ibu dan bapa hingga kita berkerjaya dan berumahtangga. Itulah saatnya kita mengambil tugas ibu dan bapa kita. Untuk masa lalu kita kembali membalas budi. Malah mungkin membayar hutang yang ditanggung oleh ibu dan bapa kita. Ketika kita beranak pinak ibu dan bapa kita telah lewat usianya. Ketika mereka memerlukan bantuan dari anak-anak.


Bantuan itu tidak semestinya material. Walaupun material itu tetap penting kepada ibu dan bapa. Bantuan fizikal amat diperlukan terutama kepada ibu bapa yang keuzurannya tambah merumitkan. Mereka pula yang perlu dibelai. Diberi segala tumpuan dan perhatian. Bantuan dan pertolongan yang berbagai. Pada masa yang sama anak-anak yang di bawah umur perlukan juga perhatian. Memberi perhatian kepada kedua ibu dan bapa adalah masa lalu yang wajib dikenang. Melaksanakan tanggungjawab kepada anak-anak adalah masa hadapan yang kita bina untuk generasi tinggalan kita kelak. Ketika anak-anak sudah meninggalkan rumah, yang ditinggalkan ialah kedua ibu dan bapa. Sewajibnya tumpuan kita adalah kepada kedua mereka. Antara cucu dan ibu bapa maka yang lebih utama ialah ibu dan bapa. Cucu-cucu kita ada ibu dan bapanya. Maksudnya anak-anak kita ada anak-anak yang perlu diurus. Ibu bapa kita sudah tidak ada anak-anak yang perlu diurus. Ramai antara mereka tidak sempurna mengurus diri mereka sendiri. Ketika itulah kita yang menjadi anak-anaknya menggandakan tugas mengurus mereka. Menyenangkan hati mereka. Meriangkan suasana seperti sewaktu kita kecil-kecil dahulu. Bawa cucu-cucu untuk menziarahi moyang mereka sekerap yang mungkin. Supaya nanti cucu dan cicit kita juga menjalankan tugas yang sama kepada kita. Kitaran yang seharusnya intim yang berkekalan.


Dalam sibuk-sibuk hidup itu bagaimanakah anda menyantuni pasangan anda. Seperti ada yang sudah keletihan kerana bertahun-tahun melayani karenah pasangan masing-masing. Sudah sama-sama tua barangkali. Sudah malas bersama. Merasa cukup bersama kelibat masing-masing sahaja. Fikirkan sejenak. Kedua ibu bapa kita sudah terlalu tua. Mungkin sudah tiada. Anak-nak sudah memiliki urusan mereka sendiri. Ketika itulah sewajarnya kita kembali kepada pasangan masing-masing. Bukan anak-anak atau cucu-cucu. Liku-liku hidup bersama yang sudah terlalu lama dan panjang. Asam dan garam yang sudah terlalu banyak dikecap. Alun dan gelombang yang berbagai badainya sudah dilalui. Tentu kembali kepada fitrah itu lebih indah.


1       Pasangan kita adalah pilihan kita sendiri. Dicintai dan disayangi separuh mati.
2       Mungkin dipilih untuk kita. Kita jatuh cinta kepadanya setelah lama bersama.


Pandang kembali pasangan anda. Tanpa mengira usianya. Tanpa mengira perubahan saiz fizikalnya. Tanpa memikirkan keuzurannya. Ingat kembali semasa mudanya. Semasa cantiknya. Semasa masnisnya. Semasa kulitnya masih gebu. Semasa matanya masih menyilau apabila dipandang. Semasa giginya berbaris rapi mewarnai senyumnya. Semasa jelingannya memukau rasa. Semasa cubitannya mencengkam sayang. Semua masa itu sudah berlalu lama. Namun secara fizikalnya masing-masing masih tetap hadir dalam sanubari masing-masing. Masih perlu dan memerlukan. Jangan dustai dirimu. Jangan menyangkal fitrah cinta dan sayang. Kasih yang semerbak wangi jika tahu renjis dan siramnya. Bukankah dia tetap muda di hati. Subur pada perasaan. Segar menawan mata memandang.


3       Berapa kali anda sentuh dirinya dalam sehari.
4       Berapa banyak khidmat yang anda beri untuk menghiburnya.
5       Bagaimana anda menyalakan obor kasih dan sayang yang panjang berzaman.


Ukuran mata selalu mengelirukan. Mengecilkan yang besar tersergam. Andainya mata hati dan perasaan dapat digubah dan dianyam indahnya. Pasangan kita sebaik-baik insan untuk kita. Dia telah memberikan banyak kebaikan. Banyak keindahan hidup bersama. Banyak kenangan yang dialbumkan dalam minda kenangan. Nukilan rasa yang diabadikan dalam lipatan sejarah keluarga. Biasalah apabila sudah melalui waktu-waktu luput usia banyak yang terpaksa diakur mengerti. Pendengaran yang meragu maksud. Penglihatan yang meragut jarak. Kesihatan yang diinjak uzur. Alangkah, alangkah manisnya jika rasa rindu masih semerbak. Kasih masih memanjat tinggi. Sayang masih memanjang waktu. Rangkaian dua hati yang membesar bak sesawang putih. Bersih dan suci. Menanti dan terus-terusan memerangkap rindu. Menggamit kasih.



Janganlah mengerdip pada yang lain. Cukuplah pasangan anda teman sejati hingga ke mati. Teman yang terlalu mengerti tentang kita. Yang telah menerima kita seadanya. Yang telah mencambahkan zuriat pewaris keluarga. Kepada Allah kita panjatkan  doa kesyukuran. Pasangan kita bukan calang-calang orang. Insan istimewa yang selalu di samping kita. Senang bersama tawanya. Susah bersama tangisnya. Penghibur jiwa lara sepanjang masa. InsyaAllah tambatan kasih bertaut lama. Abadi hingga ke syurga. Amin.   

Thursday, October 10, 2013

Pendidik Yang Lupa Mendidik




Siapakah orang yang layak menjadi pendidik. Adakah saiz memainkan peranan. Atau inborn qualities yang menjadikannya berjaya sebagai pendidik. Kita berhadapan dengan situasi yang berbeza-beza. Ada antara guru yang memang guru yang boleh digurui. Ada pula yang perlu menggilap dirinya untuk digurui. Yang lain bertempiaran tanpa fokus. Sifat mendidiknya hanya sementara. Tidak kekal hingga ke akhir hayat. Semasa menjadi guru, sifat gurunya superficial. Pada kulit selaput bawang sahaja. Yang dikejarnya bukan kecemerlangan pendidikan anak didiknya. Pangkat dijangkau. Pendapatan banyak digapai. Nama ditempa. Malangnya kecemerlangan sebagai guru tidak dijaga. Tidak dihargainya sendiri. Semakin lama guru jenis ini terjurus jauh meninggalkan urusan penting dirinya. Melupakan core business yang sepadan dengan indentitinya. Keperguruan yang digarap semasa hendak menjadi guru dicampak jauh hingga yang tinggal ialah isi kosong tanpa inti dan pati. Sarinya tiris membocori usia kerjayanya.


Memberi ilmu sifat lazim seorang guru. Tugas 24 jam dilakukan bukan kerana makan gaji. Mungkin ada kecintaan untuk mendidik. Mungkin terlalu nipis di luar sedar. Tahun demi tahun. Suatu hal yang harus diperakui ialah seorang pendidik tidak pernah memihak. Tidak bias. Berada di tengah jalan lurus membimbing anak didik untuk maju ke hadapan. Untuk menggapai awan. Berada di atas persada  intelektual. Kanan dan kiri bukan untuk disebelahi tanpa hak. Seorang pendidik bebas memilih jalan hidupnya sendiri. Tetapi kerjayanya dikawal oleh peraturan-peraturan tugas. Kata-katanya, tindakan-tindakannya dan saeluruh kehidupannya diteropong oleh semua orang. Seorang pendidik diperlukan bersih, dilihat bersih mengamalkan yang bersih. Tiada kontroversi dari segi politik, sosial apatah lagi maksiat atau yang menyalahi agama. Pendidik kekal mendidik dalam semua keadaan. Dirujuk pandainya. Diminta inteleknya. Dikongsi pengalaman lalunya. Dituruti jejaknya.


Pendidik dilihat cantik menawan. Adabnya memukau. Tingkah lakunya memikat. Penampilannya menyilau. Tanpa bias. Apapun yang berada di luar sana tidak memberi impak memihak. Ia terus dengan tanggungjawab. Dengan akauntibili. Bahawa hidupnya selepas persaraan menjelang akan kekal sebagai guru yang menggurui. Sukar sebenarnya untuk menahan diri dari tidak memihak. Selalu terpanggil untuk menyebelihi pihak yang menawan hati. Tetapi, tetapi seorang pendidik tidak boleh go public. Tidak boleh menyatakan pendirian yang menyentuh satu pihak. Negatif terhadap pihak yang lain. Terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan politik. Seorang pendidik berada dalam aliran yang tidak menyebelah. Mendidik dalam kerangka benar. Dalam lingkaran hak. Skop yang ditentukan. Menggarap falsafah dan asas pendidikan untuk memandaikan. Untuk mendidik jalan berfikir yang waras. Yang tidak memantulkan imbasan-imbasan yang kabur dan menjengkelkan.


Kekuatan mental dan psikologi harus kuat. Kukuh menahan gelora dari luar. Pengaruh-pengaruh sadar yang datang disingkir supaya seorang pendidik tetap pada jalan lurusnya. Tidak memihak. Anak didik diluruskan mindanya. Ibu bapa diberi input wajar. Pendidik perlu mendidik dalam kerangka yang hak. Yang benar. Yang fitrah. Yang didasarkan pemerintah. Pendapatnya yang tersendiri adalah haknya. Tetapi tidak boleh dipublikkan untuk pendengaran umum. Atau pembacaan umum. Pendidik mesti kekal mendidik. Kekal dilihat tanpa memihak. Orang di luar sana ingin melihat pendidik yang pendiriannya menyerlahkan intelek. Ke hadapan tetapi memandang ke kanan dan ke kiri untuk meluruskan tindakan. Membetulkan arah yang dirasa menyimpang. Patuh pada etika dan professionalism yang didokongnya. Pendidik bukan sebarang orang. Superhuman yang dipandang tinggi. Dijulang namanya. Dihormat dan disayang pada tahap-tahapnya yang dapat diingini.


Apabila pendidik melanggari etika bebas tanpa memihak maka secara tidak langsung dia merendahkan martabat profesionnya. Sifatnya yang lurus mula bengkok dan banyak rapuhnya. Selalunya pendidik mendokong prinsip yang diperakui. Yang teruji melalui zaman berzaman. Maka pendidik tidak boleh masuk ke bidang yang banyak kontroversi. Bidang yang tidak ada ketentuan hitam dan putihnya. Terlalu banyak ruang kelabu. Jika pendidik memasuki ruang kontroversi itu maka berlakulah pencemaran pendirian. Orang tidak lagi melihatnya sebagai berada di jalan lurus. Akan ada yang memberi label baru. Label yang menjauhkan dirinya dari keperluan mendidik. Fikirannya mencambah ke arah yang bukan mendidik. Lebih banyak menyanggah. Menungkah arus yang selalu lurus. Mendidik bukan sekadar bercakap untuk diikut. Seluruh diri pendidik diperhati. Yang zahir diperhati. Yang batin dan tersirat juga diperhati. Orang ingin melihat pendidik yang kekal lurusnya.


Maka pendidik harus membebaskan diri dari sensitiviti agama, politik, warna kulit, gender, budaya dan banyak lagi pertimbangan yang perlu dihindarkan.

Selagi nyawa dikandung badan seorang pendidik tiada penamat usia. Tiada tempoh masa. Kekal mendidik walaupun secara legalnya sudah tamat usiaguna. Sudah bersara dan dipersarakan. Andainya tidak dijaga identiti dan entiti diri pendidik hilang pertimbangan. Ramai pendidik memakai label pendidik semasa menyandang jawatan. Label itu luput apabila sandangannya terurai. Maka sifat pendidik yang dahulu disandarkan kepadanya dilucutkan dari dirinya. Apabila pendidik itu berada memihak atau bias dia menjadi tenggelam dalam masyarakat. Sayang. Sepatutnya dia timbul semakin timbul. Terapung bermain air. Hidup di muara sungai. Subur di pulau. Buahnya membahagiakan. Menyihatkan jasad. Naungannya merimbun untuk berteduh.  Kerana itu pendidik harus kuat berpegang kepada kedudukan diri. Sentiasa berada dalam lurus ke hadapan. Mendidik dan terus mendidik. Masih menjadi harapan untuk orang di sekeliling. Memberi idea yang boleh dipakai. Cakapnya benar. Wawasannya segar.



Pendidik perlu berwawasan jauh. Jauh ke hadapan. Memikirkan yang besar-besar untuk anak-anak didiknya. Untuk keluarga anak-anak didiknya. Menyantuni intelek dan sosial masyarakat di sekeliling dirinya.  Semasa memakai gelar pendidik ia mendidik. Semasa di luar, pendidik kekal mendidik. Pendidik adalah profesion yang kekal pada diri pendidik. Jangan tanggalkan dari diri. Jangan buang jauh-jauh. Jika dibuang kutiplah lagi kerana ianya sudah sinonim dengan diri. Hargailah diri sendiri. Syukuri nikmat mendidik yang besar impaknya kepada anak didik. Memperkayakan minda mereka. Memperbesarkan jalan fikir mereka. Keluarkan mereka dari kongkongan budaya yang boleh dibuka luas. Merubah dan membangun ke arah yang lebih cemerlang.

Monday, October 7, 2013

Menghindari Hidup Berhibur Melampaui Darjahnya



Sewaktu saya masih menjadi penjawat awam banyak kali juga menghadiri majlis-majlis yang menghidangkan hiburan. Dilihat sekilas pandang tidak ada apa-apa mudaratnya. Setakat berhibur. Santai. Melepaskan sesak di dada. Kita mengambil jalan pintas. Mengambil keharusan. Tetapi selalunya kita terlepas batas. Terlontar ke jurang terlarang. Yusof al-Qaradawi dalam bukunya Nyanyian dan Muzik Menurut Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah membuat rumusan bahawa hiburan boleh berbagai hukumnya dilihat dari aspek yang berlainan. Harus, makruh (mubah) dan haram. Ia dilihat dalam konteks yang berlainan. Jika kita bincangkan dari segi keharusannya ada beberapa syarat yang wajib dipatuhi.  

1       Artistenya lelaki, tidak digalakkan wanita kecuali audiennya wanita sahaja.
2       Audien tidak bercampur antara lelaki dan wanita.
3       Senikata lagunya tidak terkeluar dari syariah: Contohnya memuji Allah, tidak ada unsur lucah, tiada kata-kata yang sia-sia dalam  konteks agama dan tidak menghina atau mencerca orang lain.
4       Tidak mengkhayalkan atau menyebabkan kelekaan dibuai irama. Tidak ada yang berlebih-lebihan.
5       Waktunya tidak melanggari waktu solat sama ada sebelum, semasa atau sesudahnya.
6       Tidak ada percampuran dengan hal-hal yang dianggap haram. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun seperti pakaian yang tidak menutup aurat dan ada minuman keras.

Semenjak dua menjak yang akhir-akhir ini hiburan menjalar jauh ke dalam sanubari segenap masyarakat. Kadang-kadang berlaku keadaan di luar dugaan. Muzik dan lagu di tempat dan suasana yang tanpa perlu kesesuaiannya. Melibatkan orang-orang yang sewajarnya bukan dalam skop itu. Saya terpanggil untuk memperkatakan luasnya kelangsungan muzik di IPT di negara tercinta ini. Suatu ketika saya menghadiri majlis konvokasyen di sebuah IPT terkenal. Lazimnya suasana sangat syahdu. Pada permulaannya agak Islamik. Doa adalah agenda wajib. Mohon dari Allah agar majlis diberkatiNya. Majlis berjalan seperti diagendakan. Hinggalah di pertengahan majlis. Perlu rehat untuk melegakan suasana. Memebri rehat sementara. Semua yang bertugas perlu rehat. Yang hadir sebagai audien juga perlu rehat. Menyegarkan tekak serta melapangkan diri ke bilik air. Mungkin yang ketagih tergesa-gesa menyedut racun berbisa untuk membunuh diri perlahan-lahan.

Dalam suasana agak sibuk itu tetiba kami semua dikejutkan dengan bunyi muzik yang hingar bangar. Heavy metal. Kami tertanya-tanya sesama sendiri. Wajarkah muzik seperti itu dihidangkan kepada ibu bapa yang ramai warga emas. Tidak ada ibu bapa yang muda-muda. Semuanya melewati 40an tahun. Ramai yang jauh lebih tua. Siapa yang sebenarnya ingin dihiburkan. Rasanya tiada siapa yang menjangka objektifnya. Hiburan untuk siapa. Kesimpulan saya ialah pemuzik-pemuzik itu menghiburkan diri mereka sendiri. Pegawai IPT yang berkenaan menghiburkan emosinya sendiri. Konvokesyen adalah acara syahdu di IPT. Menghargai keringat pelajar, pensyarah dan staf yang lain yang menyumbang kepada kecemerlangan ilmu. Memartabatkan keintelektualan peringkat tinggi. Apatah lagi apabila IPT itu bertaraf antarabangsa. Atau mungkin telah diantarabangsakan. Neraca pertimbangannya tidak wajar. Terdapat ketidakserasian. Dalam suasana gamat itu martabat IPT itu tercampak jauh. Terlontar dilambung keseronokan diri yang terlampau.

Sekarang ini musim konvokasyen. Saya percaya budaya bermuzik yang tidak sesuai ini masih berlaku. Tiada penilaian yang segerak antara keperluan dan tuntutannya. Selalu tempang. Mungkin ada keharusan bermuzik atau berhibur tetapi tidak perlu nyanyian. Tiada perlu senikata. Ianya bukan pesta muzik. Bukan konsert. Yang diperlukan hanya halwa telinga. Menenangkan keadaan yang pantas dan sibuk. Beratus-ratus nama dibariskan. Graduan idaman. Mereka berjalan tanpa berhenti di pentas. Tangan Canselor keletihan mengunjuk ijazah. Petugas berpeluh dalam dewan yang berhawa dingin. Kesemua yang hadir perlu rehat sebentar. Sebentar. Hiburkan mereka dengan ketenangan yang wajar. Muzik sentimental yang lembut tetapi segar. Menyegarkan. Elakkan dari yang rancak. Hiburan orang muda tidak sesuai dalam suasana yang syahdu. Hatta nasyid sekalipun tidak banyak kesesuaiannya. Hanya sesuatu yang segar, santai dan menjadi halwa telinga. Tidak kuat. Sekadar didengar. Antara perlahan dengan sederhana kuat.  

Dalam keadaan lain ada trend membawa muzik bertapak di IPT. Di IPT yang tidak mengajar muzik. Yang tidak melahirkan pemuzik. Ada IPT yang menyerap muzik dan hiburan seolah-olah warganya lupa tapak asas dan dasar ilmu yang didokong. Kadang-kadang warga IPT diajak untuk berhibur melebihi keperluan. Hiburan diinstitusikan. Bayangkan muzik yang dibawa ke IPT menjadikan warganya seperti berada di Royal Albert Hall London. Seperti menonton ballerina di Moscow.  Seperti berada di New York. Pakaian biasa tidak sesuai. Audiennya memakai pakaian yang dilihat janggal untuk orang Malaysia. Maaflah kepada artiste. Sya hanya ingin berbicara. Maafkan saya. Tiada niat merendah. Cuma saya tidak mahu ada yang terlupa peranan. Artiste memberi hiburan. Orang lain berhibur tetapi dengan kesederhanaan yang diterima akal sosial. Berhibur tidak wajar banyak ketidakseimbangan yang berlaku. Warga IPT adalah watak-watak yang berprestasi tinggi dalam bidang ilmu. Ilmiah. Akademik. Terlibat dengan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi. Bila mereka berhibur dalam suasana yang melampaui bidang akademik terlihat kejanggalan. Terserlah ketidakterampilan dalam mengharungi peranan ilmu dan social. Apabila kita bawa peranan syariah maka kesemua yang berhibur terlontar jauh dari naungan itu. Terkeluar dari skop agama. Menjauh rahmat yang selalu dicari.


Banyak bajet dan masa serta tenaga yang perlu untuk menjayakan sesuatu hiburan. Sebenarnya jika bajet, masa dan tenaga itu diarahkan untuk melahirkan anak bangsa yang cemerlang tentu banyak kegemilangan IPT yang dikecapi ramai. Masyarakat di luar sana memantau apa yang dapat dilihat. Apa yang dapat dibaca. Mereka menilai juga. Mengikut penilaian mereka yang berbeza. Namun tidak ada yang terlepas dari menilainya dari segi agama. Dari segi Melayu. Dari segi keperluannya.  Kerana itu hidup kita harus disedari dari berbagai aspek yang wajar. Menilai diri adalah penting. Muasabah diri adalah jalan mencari yang baik dan benar. Yang hak. Barangkali antara kita harus banyak beringat. Dunia sudah terlalu dekat di hujungnya. Di satu pihak kita menanti Imam Mahadi. Pihak yang lain pula menanti dajal yang bermata satu. Ilmu dan ilmiah tentu boleh memilih yang hak. Yang hakiki. Intelek kita mampu memilih yang terbaik. Untuk dunia hingga ke akhirat.

Thursday, September 19, 2013

Tudung Yang Tiada Bicara




Tudung adalah isu Islam dan bukan Islam. Di negara bukan Islam isu tudung sangat meruncing. Ada undang-undang yang mencegah wanita Islam dari memakai tudung. Purdah atau niqab lagilah ditentang mereka kerana luar biasa kepada mereka. Baik di Eropah atau di Amerika Utara tudung dilihat seperti suatu fenomena negatif. Dilihat sebagai primitif. Seolah-olah wanita mengundur ke belakang. Masalahnya:

1       Tidak semua wanita Islam yang memahami tentang tudung.
2       Ramai juga yang memakai tudung tetapi tidak memenuhi syaratnya yang sebenar.
3       Ramai yang menganggap tudung adalah isu remeh.
4       Di setengah negara bukan Islam ada undang-undang yang mencegah diskriminasi dalam apa bentuk sekalipun.
5       Di Malaysia ramai majikan bukan Islam mendiskriminasi pemakai tudung.
6       Lebih menyedihkan lagi majikan yang beragama Islam juga termasuk dalam golongan yang turut mendiskriminasi pemakai tudung.


Di manakah letaknya tudung dan pemakainya? Tudung bukan sekadar haisan. Bukan sekadar pakaian. Jika dikira kebiasaan, pemakaian tudung berlaku di mana-mana. Di Russia, Itali, Greece, perancis, Jerman, Scotland, Wales, Poland, Hungary, Albania dan banyak negara lain tudung dipakai oleh wanita desa. Tudung kepada mereka hanya pakaian. Dipakai di kepala. Mengelak terik cahaya matahari. Mengelak dari rambut mereka ditiup angin kencang dan menjadi kusut masai. Mengelak dari sejuk kerana salji. Tiada nilai agama pada pemakaian tudung. Untuk orang Islam tudung adalah sesuatu yang amat berbeza. Pada tudung ada nilai agama yang ditentukan oleh Allah SWT. Perhatikan petikan maksud ayat al-Quran berikut:
         Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali   yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher           bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka       memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka    …..……. An-Nur 24:31



Jika ditanya kepada lelaki jawapannya hampir sama. Seluruh tubuh wanita menarik pandangan mereka. Rasanya tiada kecuali. Hanya lelaki yang berkecuali sahaja yang terkecuali. Dari hujung rambut hingga hujung jari kaki wanita kesemuanya menarik perhatian lelaki. Mana mungkin lelaki memandang tanpa erti wanita yang tutupan auratnya tidak sempurna.  Transisi pakaian wanita Melayu Islam sangat panjang. Pada zaman dahulu mereka digambarkan dengan berkemban sahaja. Terdedah dari dada ke kepala. Terdedah bahagian kaki. Pada ketika yang lain wanita Melayu Islam memakai tudung dari kain batik atau songket atau kain pelikat. Dikerubung di kepala. Menutup bahu dan dada. Labuh hingga ke punggung. Aurat wanita adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Maka bentuk gtubuh wanita adalah aurat. Terlaranglah pakaian yang:

1       Ketat.
2       Singkat.
3       Jarang. Nampak bayangan kulit atau bentuk.
4       Berlubang.
5       Koyak atau sengaja dikoyakkan.
6       Terbelah hadapan, belakang atau tepi.
7       Berlengan pendek.
8       Nampak pusat.
9       Nampak pinggang.
10  Berlengan besar hingga kelihatan yang di dalam.
11  Plunging neckline.
12  Plunding backline.
13  Melekat di kulit.


Pada suatu ketika, tudung tidak lagi dipakai kecuali oleh golongan tua. Itupun selendang yang hanya disangkut di kepala. Sebahagian rambut di bahagian hadapan sengaja terkeluar. Masih ramai yang memakainya begitu. Tahun-tahun 60an berlaku gerakan kebangkitan Islam. Sejak itu ramai wanita Melayu Islam memakai tudung. Tidak semua. Masih ada yang menganggap tudung adalah hak peribadi. Tarbiah belum menusuk hati. Hidayah belum sampai. Usaha dakwah belum memberi impak kepada mereka. Nampaknya tudung belum lagi dianggap wajib walaupun ilmuan dan ulamak sudah menggesa demikian. Nas al-Quran dan hadith sudah jelas tuntutannya dengan memberi berbagai penekanan. Memberikan gambaran akibat kerana tidak memakai tudung.


Penjajahan minda terhadap orang Melayu-Islam sangat kuat. Kekal bersarang dalam minda walaupun kita sudah merdeka selama 56 tahun. Ibarat seorang wanita, sudah berada dalam zon emas. Bukan dewasa lagi. Sudah melewati zaman muda. Walaupun di sekolah menengah kebanyakan pelajar wanita bertudung, malangnya apabila tamat SPM ramai antara mereka yang mencampakkan tudung untuk dibakar api dunia. Sewaktu melamar kerja kerana ingin berkerjaya, ramai majikan yang meminta mereka menanggalkan tudung jika ingin bekerja. Jika ingin naik pangkat. Jika ingin mendaki tangga kerjaya. Malah di agensi dan organisasi pemerintah, tudung tidak dianggap kritikal. Tidak diwajibkan kerana ianya tuntutan agama. Sesetengahnya diremehkan. Ramai yang menyangka tidak memakai tudung selari dengan peradaban Barat. Maju, moden dan canggih. Advanced and sophisticated.


 Persepsi ini salah dan merimaskan. Kadang-kadang kita terlebih perasan. Kita bukan maju sendirian. Maju banyak konotasinya. Banyak konteksnya. Ingat kembali kisah Nabi Sulaiman a.s. Teknologi memindahkan istana Balqis terlalu pantas. Orang Yunan sudah membina alat astronomi yang tidak difahami orang sekarang. Firaun membina piramidnya. Begitu juga orang Inca di Amerika Selatan. Orang Aztec sama juga. Nabi Nuh membina kapal yang pertama. Kaum Imad membina menara yang menjulang langit. Kaum Nabi Salleh memahat gunung untuk dijadikan penempatan mereka. Maju  mengikut konteks zaman dan tahap keperluannya. Iskandar Zulkarnain membina tembuk yang menghalang Yaajuj dan Maajuj. Dalam semua zaman ada kemajuan. Moden? Apa sahaja yang baru adalah moden. Benarkah kita moden? Jika kita mengatakan diri kita moden maka kita dapati kita adalah anatara umat yang terkebelakang. Singapura 20 tahun di hadapan kita. Jepun dan Korea jauh, terlalu jauh di hadapan.

Sebab itu memakai tudung bukan kolot. Bukan orthodox. Bukan fundamentalist. Bukan juga jahil. Pakaian yang dituntut sepanjang hidup manusia. Hingga ke akhirat. Kita banyak dengar dan baca cerita negatif tentang tudung di negara Barat. Itu yang dihighlightkan dalam media Barat. Media kita kutip tanpa meletakkannya pada perspektif yang benar mengikut tuntutan Islam.  Berita dari Barat dianggap autentik. Tidak dibetulkan. Tidak diedit mengikut tuntutan yang sebenar. Orang kita yang tidak begitu arif tentang agama mengambil berita tidak benar itu sebagai saranan. Sebagai ikutan. Ramai mereka yang berada di saf pimpinan tidak mengendahkan tudung. Isu peribadi. Isu pilihan. Isu alternatif. Dokongan negara Islam terketepi. Islam sebagai agama persekutuan terpinggir. Undang-undang yang ada tidak diuar-uarkan supaya kanak-kanak sekolah mengetahuinya. Ibu bapa mengetahuinya. Semua penduduk Malaysia mengetahuinya. Masukkan dalam kurikulum sekolah. Selayaknya semua warganegara maklum dan serius menghormati agama orang lain.


Tanpa usaha keras semua yang terlibat, isu tudung kerap timbul sewaktu wanita muda menghadiri temuduga. Syarat diterima bekerja jika bersedia menanggalkan tudung. Aduhai! Malaysia negaraku. Mereka tidak salah. Kita yang Islam yang salah.  Sebelum mereka memulakan perniagaan syarat wanita dibenarkan memakai tudung tidak dikenakan. Apa yang boleh kita lakukan?

1       Sebarkan maklumat menengai wajib perlunya pemakaian tudung di kalangan wanita Islam.
2       Masukkan dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah. Guru perlu menerangkan dengan jelas konsep dan hukumnya.
3       Cara pemakaian tudung yang memenuhi syariat.
4       Masyhhurkan undang-undang anti diskriminasi dalam apa bentuk sekalipun. Sama ada agama, budaya, warna kulit, gender dan sebagainya.  
5       Didik anak-anak supaya celik undang-undang. Tahu saluran aduan. Kaedah aduan dan sebagainya.
6       Kita hendaklah bersuara. Diam dan bising di belakang tidak menyelesaikan masalah.
7       Gunakan saluran Jabatan Buruh, Kementerian Sumber Manusia, ADUN, Ahli Parlimen, media elektronik, media cetak dan banyak lagi.
8       Setiap maklumat sertakan kronologi peristiwa. Elok sebelum memulakan temuduga buat rakaman melalui telefon bimbit masing-msing.
9       Sekadar panduan, catatkan:
a.     Tarikh:
b.     Masa:
c.      Tempat: Nama syarikat, organisasi, agensi.
d.     Panel penemuduga:
                                                   i.      Pengerusi:
                                                 ii.      Kedua:
                                              iii.      Ketiga:
                                              iv.      Keempat:
                                                 v.      Kelima:
e.      Ahli panel yang memberi komen diskriminasi:
f.       Butiran diskriminasi:
                                                   i.      Kelayakan
                                                 ii.      Kemahiran
                                              iii.      Bahasa
                                              iv.      Pakaian
                                                 v.      Agama
                                              vi.      Bangsa
                                            vii.      Kaum
                                         viii.      Adat
                                              ix.       
g.     Lain-lain



Secara jujurnya semua bentuk diskriminasi wajib dihentikan. Di Barat bentuk diskriminasi terhadap Islam semakin berkurangan. Semakin ramai antara warganegara mereka yang memeluk Islam. Pemerintah mereka semakin terbuka minda. Sekiranya mereka yang bukan Islam di Barat boleh membuka hati mereka mengapa kita tidak. Kita hidup bersama. Bersekolah bersama. Berjiran. Sandar bersandar. Begitulah sukarnya mereka yang lemah ekonominya. Subjected to being discriminated. Ridiculed. Embarassed. Seharusnya kita sudah lama independent economically. Kita jadi majikan. Bukan kuli. Baru boleh kita dictate our own terms. Selagi itu tidak terjadi, apa-apa yang dikaitkan dengan Islam diletakkan di bawah tapak kaki. Dipijak dan diijnak. Menjeritlah. Tiada siapa yang mendengar. Orang tidak peduli. Kita kehilangan savior.

Tuesday, September 10, 2013

Transformasi Yang Berhormat



Kisah 1:

Saya berbual dengan beks seorang MP (Ahli Parlimen). Seorang sahabat sejak dari waktu di sekolah menengah. Kebetulan sama belajar di universiti. Dialog kami berdua.

Saya: YB, saya bercadang untuk menyumbang di kawasan YB.
YB:    Apa yang hendak you sumbng?
Saya: Dalam bentuk sesi motivasi di kalangan pelajar sekolah menengah.
YB:    Bagus jugak. Tapi you pegawai division one kan?
Saya: Ya

Perbualan kami terhenti setakat itu. Tersentap hati saya dengan sebutan division one itu. Saya banyak juga makan garam. Mengerti apa yang tersirat  di sebalik pertanyaan YB tersebut. Seorang sahabat yang saya kenal hati budinya tetapi memberi respons yang menjengkalkan hati saya. Saya tidak dapat mengagak apa yang pembaca faham dari dialog ringkas tetapi padat itu. Dialognya kecil. Namun implikasinya sangat mengesankan. Sebagai bukan orang politik saya memahami hati seorang YB. Menjaga domainnya sebagai orang politik. Seorang ahli politik banyak bertindak dengan syak wasangka. Cuba membaca yang tersirat. Memberi respons sewajarnya. Pembaca ingin tahu jawapannya?

1        Orang division one tidak boleh aktif dalam politik kepartian. Jawatan saya ketika itu dalam kategori tersebut. Division one.
2        YB tersebut khuatir saya membina kekuatan melalui ceramah motivasi di kawasan YB yang juga kampung halaman saya. Takut saya menjadi pesaingnya. Rakan-rakan saya di kawasan itu. Saudara mara saya di kaswasan itu/
3        Ungkapan , you division one sangat menghiris hati saya. Saya orang akademik. Politik hanya sekadar mengambil tahu sahaja.

Pada dasarnya penjawat awam yang berstatus division one dilarang terlibat dalam politik. Saya pernah menghadiri mesyuarat sebuah parti politik. YB yang menjadi pemerhati bahagian sangat berwaspada terhadap orang-orang yang berkelayakan division one. Bercakap tidak boleh. Bertanya tidak boleh. Berhujjah tidak boleh. Membangkang jauh sama sekali. Yang menjadi kemusykilan saya ialah mengangkat tangan dalam konteks menyokong atau membantah sesuatu cadangan dibolehkan. Bercakap tidak boleh tetapi menangkat tangan boleh.  Maknanya dalam parti politik orang yang dalam kategori dividion one dibisukan. Pada masa yang sama tangan mereka diperlukan dalam kiraan undi.  Seorang pegawai division one adalah ahli pasif. Orang pandai jangan harap mendapat tempat dengan mudah dalam parti politik. Dalam suatu kisah yang lain seorang ahli politik yang memiliki ijazah PhD tidak terpilih dalam pertandingan untuk jawatan ketua pemuda bahagian di sebuah negeri. Yang menang hanya seorang yang berkelulusan SPM. Bukan bermakna kelulusan SPM tidak bijak. Namun persepsi masyarakat begitu. Ada kekurangan dari segi akademik. Tidak terasah kognitifnya ke peringkat tinggi. Dalam apa keadaan sekalipun, kelayakan akademik adalah penting.

Kisah 2:

Saya menghubungai seorang YB yang baru menang dalam PRU13 yang lalu. Beberapa kali saya buat panggilan tidak berjawab. Datang pula sms meminta saya membuat sms sahaja. Kami berbalas mesej.

YB:    sms je. Saya sdg mesyuarat.
Saya: Assalamualaikum YB. Saya Haji Yusof dari Batu Pahat. Saya cadang nak                      jumpa YB. Bila agaknya YB habis mesyuarat. Saya di JB sekarang.
YB:   Berkaitan dgn apa ye? Boleh jelaskan.
(Saya jelaskan maksud hajat saya yang sebenar. Maaf ada kerahsiaan.)
YB:   Siapa ni?
(Saya terangkan butiran mengenai diri saya)
Selepas itu saya hantar gambar wajah saya supaya mudah dikenali.

Dialog melalui sms hanya setakat itu sahaja. Saya menjadi tawar hati. Tidak menghubunginya lagi hingga sekarang. Kecewa hingga ke dasar hati. Apa masalahnya dalam hal ini? Dalam kes pertama YB tersebut menjaga domainnya hingga tidak membuka ruang langsung untuk menambah baik dirinya dan domainnya. YB yang baru ini bekas seorang penjawat awam. Saya mengenalinya sekian lama. Banyak kali  bersamanya dalam majlis-majlis. Setelah menjadi ahli politik dia masih lagi memakai baju penjawat awam. Transformasi belum berlaku pada dirinya. Ada banyak perbezaan antara penjawat awam berbanding seorang ahli politik. Khususnya apabila mereka menjadi YB.

1                    Domain seorang penjawat awam hanyalah organisasinya sahaja. Dalam satu kawasan takluk yang kecil. Tugasnya khusus dan dikhususkan. Pegawai Tadbir Tanah hanya menjaga hal-hal yang berkaitan dengan tanah. Qadhi pula berkaitan dengan agama Islam. YB pula tugasnya mencakup semua perkara mengenai orang hidup dan mungkin juga orang yang sudah meningggal dunia.  Tidak ada pengkhususan yang khusus. Jika menjadi EXCO dia diberi tugas khusus di peringkat negeri tetapi melayani semua hal dalam kawasannya sendiri. Tanpa had.
2                    Penjawat awam bertugas lapan jam sehari. Lima hari seminggu. Bercuti semasa cuti umum. Cuti rehatnya mungkin 30 hari dalam setahun. Seorang YB bertugas 24 jam sehari. Tujuh hari seminggu. Tidak ada cuti semasa cuti umum. Tidak ada cuti rehat.
3                    Politik parti dan politik pejabat tidak sama. Ada kesamaan tetapi tidak sama. Politik pejabat melibatkan kewibawaan (authority), tanggungjawab (responsibility) dan penanggungjawaban (accountability). Dasar pejabat adalah jelas. Skop kerja adalah jelas. Spesifikasi jobnya jelas. Dalam politik parti everything is not impossible but not everything is possible. Orang politik jarang mengatakan yes. Tidak juga mengatakan no.
4                    YB baru tidak diberi pendidikan untuk menjadi true politician. Mereka menjadi ahli politik biasa-biasa sahaja. Dalam banyak hal YB gagal dalam berkomunikasi. Alat paling penting kepada ahli politik.

Apabila seorang rakyat berhajatkan wakil rakyatnya sewajarnya tidak ada hijab antara mereka. Terus dan telus. YB tidak perlu banyak soal. Banyak songel. Rakyat tahu YB sibuk. Namun rakyat didahulukan terutamanya pengundinya. Mereka yang memilihnya. Yang mengangkatnya berada dalam posisi itu sekarang. Bagaimana jika dialog berikut berlangsung?

Rakyat: Assalamualaikum YB. Saya nak buat temujanji dengan YB.
YB:       Waalaikum salam. Maaf saya sibuk sekarang. Boleh hubungi saya pukul                   5.00 petang ini?
Rakyat: InsyaAllah YB.


Tidak perlu bertanya siapa. Ada hal apa. Apa masalah. Boleh jelaskan. Dengan telefon mana ada ruang untuk memperincikan hajat hati. Letih jari mengetik teks panjang berjela. Tidak perlu hingga minta penjelasan siapa nama rakyat yang ingin membuat temujanji. YB adalah wakil rakyat. Bertugas untuk rakyat. Kata orang bijak pandai YB adalah hamba rakyat. Rakyat yang menjadi raja. Malangnya tidak ramai YB yang menghambakan diri. Rakyat kekal dirakyatkan. Untuk mereka yang beraspirasi untuk menjadi YB eloklah belajar protokol komunikasi. Bahasa diplomasi. Pendekatan diplomatik. Beradab dan berhemah. Usah sedikitpun terkurang adab. Secarikpun tidak. Jika itu berlaku cemarnya diri kekal diingat rakyat sampai bila-bila. Kadang-kadang rakyat bungkam dengan masalah mereka kerana YB tidak sensitif mengenal masalah rakyat. Tidak pula arif walaupun sekadar mengambil perhatian. Menyejukkan hati rakyat. Fikir-fikirkan.