Monday, October 7, 2013

Menghindari Hidup Berhibur Melampaui Darjahnya



Sewaktu saya masih menjadi penjawat awam banyak kali juga menghadiri majlis-majlis yang menghidangkan hiburan. Dilihat sekilas pandang tidak ada apa-apa mudaratnya. Setakat berhibur. Santai. Melepaskan sesak di dada. Kita mengambil jalan pintas. Mengambil keharusan. Tetapi selalunya kita terlepas batas. Terlontar ke jurang terlarang. Yusof al-Qaradawi dalam bukunya Nyanyian dan Muzik Menurut Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah membuat rumusan bahawa hiburan boleh berbagai hukumnya dilihat dari aspek yang berlainan. Harus, makruh (mubah) dan haram. Ia dilihat dalam konteks yang berlainan. Jika kita bincangkan dari segi keharusannya ada beberapa syarat yang wajib dipatuhi.  

1       Artistenya lelaki, tidak digalakkan wanita kecuali audiennya wanita sahaja.
2       Audien tidak bercampur antara lelaki dan wanita.
3       Senikata lagunya tidak terkeluar dari syariah: Contohnya memuji Allah, tidak ada unsur lucah, tiada kata-kata yang sia-sia dalam  konteks agama dan tidak menghina atau mencerca orang lain.
4       Tidak mengkhayalkan atau menyebabkan kelekaan dibuai irama. Tidak ada yang berlebih-lebihan.
5       Waktunya tidak melanggari waktu solat sama ada sebelum, semasa atau sesudahnya.
6       Tidak ada percampuran dengan hal-hal yang dianggap haram. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun seperti pakaian yang tidak menutup aurat dan ada minuman keras.

Semenjak dua menjak yang akhir-akhir ini hiburan menjalar jauh ke dalam sanubari segenap masyarakat. Kadang-kadang berlaku keadaan di luar dugaan. Muzik dan lagu di tempat dan suasana yang tanpa perlu kesesuaiannya. Melibatkan orang-orang yang sewajarnya bukan dalam skop itu. Saya terpanggil untuk memperkatakan luasnya kelangsungan muzik di IPT di negara tercinta ini. Suatu ketika saya menghadiri majlis konvokasyen di sebuah IPT terkenal. Lazimnya suasana sangat syahdu. Pada permulaannya agak Islamik. Doa adalah agenda wajib. Mohon dari Allah agar majlis diberkatiNya. Majlis berjalan seperti diagendakan. Hinggalah di pertengahan majlis. Perlu rehat untuk melegakan suasana. Memebri rehat sementara. Semua yang bertugas perlu rehat. Yang hadir sebagai audien juga perlu rehat. Menyegarkan tekak serta melapangkan diri ke bilik air. Mungkin yang ketagih tergesa-gesa menyedut racun berbisa untuk membunuh diri perlahan-lahan.

Dalam suasana agak sibuk itu tetiba kami semua dikejutkan dengan bunyi muzik yang hingar bangar. Heavy metal. Kami tertanya-tanya sesama sendiri. Wajarkah muzik seperti itu dihidangkan kepada ibu bapa yang ramai warga emas. Tidak ada ibu bapa yang muda-muda. Semuanya melewati 40an tahun. Ramai yang jauh lebih tua. Siapa yang sebenarnya ingin dihiburkan. Rasanya tiada siapa yang menjangka objektifnya. Hiburan untuk siapa. Kesimpulan saya ialah pemuzik-pemuzik itu menghiburkan diri mereka sendiri. Pegawai IPT yang berkenaan menghiburkan emosinya sendiri. Konvokesyen adalah acara syahdu di IPT. Menghargai keringat pelajar, pensyarah dan staf yang lain yang menyumbang kepada kecemerlangan ilmu. Memartabatkan keintelektualan peringkat tinggi. Apatah lagi apabila IPT itu bertaraf antarabangsa. Atau mungkin telah diantarabangsakan. Neraca pertimbangannya tidak wajar. Terdapat ketidakserasian. Dalam suasana gamat itu martabat IPT itu tercampak jauh. Terlontar dilambung keseronokan diri yang terlampau.

Sekarang ini musim konvokasyen. Saya percaya budaya bermuzik yang tidak sesuai ini masih berlaku. Tiada penilaian yang segerak antara keperluan dan tuntutannya. Selalu tempang. Mungkin ada keharusan bermuzik atau berhibur tetapi tidak perlu nyanyian. Tiada perlu senikata. Ianya bukan pesta muzik. Bukan konsert. Yang diperlukan hanya halwa telinga. Menenangkan keadaan yang pantas dan sibuk. Beratus-ratus nama dibariskan. Graduan idaman. Mereka berjalan tanpa berhenti di pentas. Tangan Canselor keletihan mengunjuk ijazah. Petugas berpeluh dalam dewan yang berhawa dingin. Kesemua yang hadir perlu rehat sebentar. Sebentar. Hiburkan mereka dengan ketenangan yang wajar. Muzik sentimental yang lembut tetapi segar. Menyegarkan. Elakkan dari yang rancak. Hiburan orang muda tidak sesuai dalam suasana yang syahdu. Hatta nasyid sekalipun tidak banyak kesesuaiannya. Hanya sesuatu yang segar, santai dan menjadi halwa telinga. Tidak kuat. Sekadar didengar. Antara perlahan dengan sederhana kuat.  

Dalam keadaan lain ada trend membawa muzik bertapak di IPT. Di IPT yang tidak mengajar muzik. Yang tidak melahirkan pemuzik. Ada IPT yang menyerap muzik dan hiburan seolah-olah warganya lupa tapak asas dan dasar ilmu yang didokong. Kadang-kadang warga IPT diajak untuk berhibur melebihi keperluan. Hiburan diinstitusikan. Bayangkan muzik yang dibawa ke IPT menjadikan warganya seperti berada di Royal Albert Hall London. Seperti menonton ballerina di Moscow.  Seperti berada di New York. Pakaian biasa tidak sesuai. Audiennya memakai pakaian yang dilihat janggal untuk orang Malaysia. Maaflah kepada artiste. Sya hanya ingin berbicara. Maafkan saya. Tiada niat merendah. Cuma saya tidak mahu ada yang terlupa peranan. Artiste memberi hiburan. Orang lain berhibur tetapi dengan kesederhanaan yang diterima akal sosial. Berhibur tidak wajar banyak ketidakseimbangan yang berlaku. Warga IPT adalah watak-watak yang berprestasi tinggi dalam bidang ilmu. Ilmiah. Akademik. Terlibat dengan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi. Bila mereka berhibur dalam suasana yang melampaui bidang akademik terlihat kejanggalan. Terserlah ketidakterampilan dalam mengharungi peranan ilmu dan social. Apabila kita bawa peranan syariah maka kesemua yang berhibur terlontar jauh dari naungan itu. Terkeluar dari skop agama. Menjauh rahmat yang selalu dicari.


Banyak bajet dan masa serta tenaga yang perlu untuk menjayakan sesuatu hiburan. Sebenarnya jika bajet, masa dan tenaga itu diarahkan untuk melahirkan anak bangsa yang cemerlang tentu banyak kegemilangan IPT yang dikecapi ramai. Masyarakat di luar sana memantau apa yang dapat dilihat. Apa yang dapat dibaca. Mereka menilai juga. Mengikut penilaian mereka yang berbeza. Namun tidak ada yang terlepas dari menilainya dari segi agama. Dari segi Melayu. Dari segi keperluannya.  Kerana itu hidup kita harus disedari dari berbagai aspek yang wajar. Menilai diri adalah penting. Muasabah diri adalah jalan mencari yang baik dan benar. Yang hak. Barangkali antara kita harus banyak beringat. Dunia sudah terlalu dekat di hujungnya. Di satu pihak kita menanti Imam Mahadi. Pihak yang lain pula menanti dajal yang bermata satu. Ilmu dan ilmiah tentu boleh memilih yang hak. Yang hakiki. Intelek kita mampu memilih yang terbaik. Untuk dunia hingga ke akhirat.

No comments:

Post a Comment