Tuesday, August 13, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Solat Raya Itulah Raya



Hari raya sudah semakin rancak. Minggu pertama biasanya minggu yang paling kemelut. Hari Isnin mungkin ramai yang sudah mula bekerja. Anak-anak mula bersekolah. Namun rumah terbuka diadakan siang dan malam. Di setengah tempat terutamanya di Negeri Johor marhaban belum bermula. Seminggu sesudah hari raya baru hendak dimulakan. Seminggu yang pertama ramai ahli yang pulang ke kampung.  Beraya bersama ibu bapa atau keluarga. Sesudah mereka kembali ke rumah barulah program marhaban diadakan. Setiap malam untuk kira-kira 10 hingga 15 malam. Jenuh juga dari selepas solat Maghrib hingga pukul 9.30 malam. Kadang-kadang lebih lewat apabila ada yang berhajat menyediakan juadah luar biasa banyak dan beratnya. Jemaah tersangkut lama di rumahnya. Makanan tidak habis-habis dikunyah. Siap dibungkus untuk dibawa balik.

Mari kita undur sedikit ke belakang. Amalan kita di Malaysia ialah solat hari raya kebanyakannya untuk orang lelaki. Sekarang ini sudah ramai juga orang perempuan yang solat hari raya. Saya ingin kongsikan pengalaman solat hari raya di Kaherah. Khusuanya di Hayyu Sabiq. Seven District.  Bandar Nasr. Nasr City. Solat hari raya menjadi family event. Mungkin juga social event yang besarnya sangat besar. Mega. Keluarga di sini membawa seluruh ahli keluarga mereka untuk bersama-sama solat di masjid. Tidak kira anak-anak yang kecil. Semuanya dibawa ke masjid. Barangkali perbezaan mazhab membawa kepada perbezaan. Kita bermazhab Syafiee. Ketat dengan kehadiran kanak-kanak. Kita pula menterjemahkannya hingga masjid dikira tidak mesra kanak-kanak. Mereka dihalau ke bahagian belakang. Menjadi tidak signifikan sebagai jemaah yang bakal menguasai masjid itu pada masa hadapan. Tidak dilatih untuk bertanggungjawab. Menjadi makmum yang dalam arus perdana.

Orang perempuan tidak diwajibkan solat Jumaat. Tetapi di negara Arab ramai wanita warga emas yang solat jumaat di masjid. Mendengar khutbah. Mengambil pangajaran mingguan. Kebetulan imam-imam mereka bukan sekadar mengimamkan solat. Yang dilantik menjadi imam mendalam ilmunya. Khutbahnya santai. Tanpa teks. Namun ayat al-Quran dan hadith lancar keluarnya. Begitu juga solat hari raya. Khutbahnya lancar menyentuh hal-hal yang menjadi minat imam. Lazimnya hal-hal yang berkaitan dengan keperluan semasa masyarakat. Atau peristiwa yang berkaitan. Solat lima waktu kita jemaahkan di masjid. Dalam istilah Arab semuanya masjid. Solat Jumaat dilakukan di masjid. Tetapi solat hari raya agak istimewa. Ianya diadakan di masjid yang besar. Semua orang berhimpun di masjid itu. Dari dalam hingga ke luar masjid melimpah dengan jemaah. Yang di dalam masjid biasanya lelaki sama ada dewasa, muda atau kanak-kanak. Yang membawa keluarga solat di luar masjid.

Solat berjemaah adalah himpunan harian. Solat Jumaat himpunan mingguan. Solat kedua hari raya adalah himpunan tahunan. Ada setengah tempat solat hari raya diadakan di padang yang luas. Seberapa ramai jemaah ditampung di situ. Pada pagi yang hening. Sinaran cahaya matahari pagi yang penuh tenaga. Seluruh keluarga berhimpun di situ. Menikmati hari kemenangan untuk seluruh umat manusia. Kita kongsikan dengan mereka yang bukan Islam. Mereka melihat dengan jelas besarnya himpunan orang Islam yang satu. Segala-galanya untuk yang Esa. Kita bersatu dalam solat sebagai lambang kesatuan itu. Selepas solat kita berpelukan antara saudara dan sahabat handai. Bersalam-salaman. Nampak kemeriahan yang terpancar kerana merayakan hari kemenagan. Kemenangan mengekang nafsu. Mengekang perasaan. Mendidik fizikal dan jiwa supaya biasa dengan yang sedikit. Yang ala kadar. Yang perlu sahaja. 

Pendidikan itu sebenarnya berjaya kerana ramai yang berjaya walaupun mungkin bukan fizikalnya. Namun apabila kita semak diri kita ramai yang longgar pakaiannya selepas sebulan berpuasa. Selepas menahan lapar dan dahaga. Maknanya kita kawal fizikal kita melalui kawalan minda dan perasaan. Iman, niat, latihan dan kebiasaan menjadikan kita alah bisa tegal biasa. Mereka yang tidak berpuasa tidak dapat membayangkan lapar yang ditanggung. Dahaga yang dirasa. Orang bukan Islam mungkin bertanya, dont’t you feel hungry and thirsty. Tidak lapar dan dagahakah? Jawablah dengan tenang. Memanglah lapar dan dahaga. Tetapi iman dan minda kita menjadikan kita boleh bertahan setiap hari selama sebulan. Pada hakikatnya mereka yang berpuasa tidakpun memikirkan sangat hal lapar dan dahaga. Ada masanya tidak lapar dan tidak dahaga. Bila berbuka, cecah sahaja kurma di bibir hilang lapar. Seteguk air cukup menghilangkan dahaga. Sesungguhnya Allah membahagiakan orang yang berpuasa. Kepuasan pada perasaan dan hati.

Pada hari raya ini marilah kita didik anak-anak kita supaya:

1        Cintakan agama
2        Cintakan masjid
3        Cintakan solat
4        Cintakan umat Islam
5        Cintakan masyarakat Islam
6        Cintakan waktu yang bermanfaat
7        Cintakan kelurga
8        Cintakan kebaikan


Alangkah indahnya umat Islam merayakan hari rayanya. Penuh adab dan kemeriahan. Anak-anak dan seluruh keluarga bersama tanpa kecuali. Hari raya dengan solatnya. Bukan wajib tetapi suatu tuntutan tahunan. Setahun hanya dua kali. Makan dan minum jadikan nombor di belakang. Agama didahulukan. Kuih muih lagilah di belakang. Hiasan juga di belakang. Solat dahulu. Solat yang dihukumkan sunat tetapi jika kita terlepas tahun ini maka kita perlu menunggu tahun hadapan untuk dapat melakukannya. Tentulah banyak ruginya. Dalam 354 hari hanya sehari sahaja. Hari yang hanya Allah menentukannya. Hadiah kepada mereka yang beriman. Yang Islam. Yang berpuasa. Tanyalah diri kita, besar atau tidak nikmat itu. 

Monday, August 12, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Beraya Bersama Ilmu



Beraya di perantauan bukan selalu. Bagi mereka yang tidak pernah berada jauh dari kampung halaman tidak akan dapat merasakan apa-apa perbezaan pengalaman. Ada baik dan ada kelesuannya yang tersendiri. Bila diamati tentu banyak juga keindahannya. Yang pastinya hanya orang Malaysia dan orang Nusantara sahaja yang merayakannya. Sewaktu di Pittsburgh, USA dahulu merasa sekali sahaja suasana harirayanya. Itupun pada sebelah petangnya saya ada kelas. Pada hari-hari berikutnya dapat jugalah ke rumah sahabat-sahabat yang lain. Yang pastinya ramai orang Islam berkumpul di park untuk bersama-sama kenalan dan keluarga. Makan-makan dan berbual santai melepaskan kerinduan terhadap saudara mara dan kampung halaman. Hanya beberapa jam. Bawa makanan sendiri. Kongsikan dengan rakan-rakan yang lain. Bergambar dan bersurai membawa kenangan untuk disimpan lama dalam ingatan.

Kali kedua di perantauan saya beraya di London. Pada hari raya pertama saya dan keluarga berada di London. Kami transit dalam perjalana pulang ke Malaysia setelah tamat belajar di Pittsburgh. Beberapa hari sebelumnya kami berpuasa dan berbuka di sana. Sahur kira-kira pukul 2.00 pagi dan berbuka kira-kira pukul 10.00 malam. Lama? Memang lama. Tidak haus dan lapar ke? Kami rasa biasa sahaja. Allah Maha Kaya. Masa dan tempat berbeza tetapi pengalaman berpuasa seperti biasa sahaja. Niat berpuasa telah mengunci minda dan perasaan supaya sentiasa tahan berpuasa. Haus dan lapar boleh dikawal oleh minda kita sendiri. Seperti kata seorang sahabat, beraya di perantauan kadang-kadang lebih nikmat. Bukan nikmat beraya sakan tetapi kita melalui musim yang berbeza. Bagi yang lama bertahun-tahun di perantauan hari raya dialami dalam musim yang berbeza. Ada masanya dalam musim panas seperti sekarang. Akan beredar ke musim sederhana dalam musim luruh, sejuk pada musim sejuk dan nyaman pada musim bunga. Rasanya tidak ada agama yang hari rayanya berubah musim. Allah Maha Besar. kita ditentukan dengan bulan qamariah. Bukan syamsiah.

Tahun ini saya bercadang berhari raya di Jordan. Apakan daya keadaan memisahkan saya dan Jordan. Alhamdulillah berpuasa dan berhari raya di Kaherah, Mesir pula. Seperti biasa beraya di perantauan hanya di rumah sahaja. Orang tempatan tidak beraya. Mereka berehat dari berpuasa Ramadhan. Esok mereka sambung semula puasa Syawal. Cuma kebetulan ada teman-teman anak dan menantu saya tidak kembali ke Malaysia. 11 orang daripada mereka berada di Kaherah. Di asrama Amanah Raya Berhad (ARB). Pada petang Rabu mereka menjemput saya dan isteri untuk bersama dalam majlis jamuan hari raya mereka. Majlis diadakan selepas waktu Isya’. Cantik. Kami berbuka ala kadar. Meluangkan sedikit ruang perut untuk diisi lagi dengan juadah yang mereka sediakan. Kami tidak menjangkakan yang terlalu istimewa. Rasanya tentu mereka hanya melepaskan kerinduan kepada juadah kampung seperti selalunya.

Majlis bermula hampir pada pukul 11.00 malam. Almaklumlah, apabila mengadakan majlis seperti itu kawalan waktu mungkin kurang diperhatikan. Dalam apa keadaan sekalipun faktor adalah penentu kepada banyak perkara. Semua yang menyangkut adalah penting. Waktu adalah jadual kehidupan. Menjaga waktu suatu keperluan. Mengawal waktu suatu kefardhuan. Menyanyangi waktu suatu kerinduan yang memanjang indahnya. Dari masa ke semasa kita perlu akur bahawa masa perlu diatur serapinya untuk merealisasikan kualiti hidup yang berdisiplin. Teratur. Penuh hati-hati. Berhemah. Banyak jangkaan yang dapat dibuat apabila waktu dapat dikawal. Kita boleh merancang waktu sebelumnya dan waktu selepasnya. Maknanya aktiviti berlaku dalam lingkungan yang tertentu. Orang lain dan diri kita sendiri dapat  mrencanakan aktiviti seterusnya. Hidup kita sentiasa beraktiviti. Tanpa henti. Tidur bukan rehat tetapi selingan waktu untuk menyusun strategi berikutnya.

Kebetulan ada permintaan untuk saya berucap. Spontan. Mereka minta yang tua memberi input. Alhamdulillah pengalaman menjadi pendidik selama berpuluh tahun memudahkan lidah berbicara. Melancarkan minda menyusun isi bicara. Pengalaman memang sentiasa tersedia untuk dikongsi. Saya ambil peluang untuk memberi sedikit tip. Mereka semua bakal menjadi pegawai di Malaysia nanti. Bukan orang di bawah. Bukan orang di atas. Mereka menjadi orang di tengah.   Orang di atas dengan arahannya. Dengan harapannya. Orang di bawah dengan dongaknya. Dengan harapannya juga. Sebagai orang di tengah mereka harus pandai bermain politik. Bukan politik negara tetapi politik pejabat dan sosial. Orag di atas mesti dijaga. Mesti dilindungi kerana pagawai yang di tengah akan sampai masanya berada di tempat itu. Orang di bawah mesti dijaga kerana mereka yang membantu menyempurnakan semua tugas unit atau jabatan. Orang di bawah juga perlukan pembelaan kerana pegawai di tengah yang lebih memahami kedudukan mereka.

Pengalaman berada di luar negara seharusnya menjadikan seseorang itu lebih fleksibel. Boleh mengubah keadaan apabila diperlukan. Mindanya lebih terbuka. Selalu berlapang dada. Tidak ada perkara yang terlalu jumud. Yang terlalu terikat. Apabila berhadapan dengan sesuatu situasi pantas mengadaptasi diri. Selalunya kita dikawal oleh dasar, strategi dan perancangan. Namun semuanya perlukan ke bijaksanaan untuk menyempurnakannya dengan saksama. Suatu hal yang wajib tidak dilupakan ialah hukum hakam yang melingkari sesuatu tindakan. Syariat jangan dilupakan. Pengalaman juga sewajarnya membantu kita mengubah paradigma apabila diperlukan. Tidak ada situasi yang benar-benar serupa pada setiap masa. Pada keadaan yang berlainan. Kerana itu kita tidak boleh melayan semua perkara dengan serupa belaka. Mesti ada kelainannya. Contohnya pagi dan tengahari tentulah berbeza. Petang dan malam juga berbeza. Ramai dan sedikit tentulah berbeza juga. Apatah lagi antara rasmi dan santai lagilah banyak bezanya.

Kagum juga dengan beberapa orang pelajar ARB dan yang lain. Ada yang sudah empat tahun tidak pernah balik ke Malaysia hatta untuk berhari raya bersama keluarga. Barangkali kebiasaan menjadikan mereka sangat santai dengan perasaan. Jika kembali ke Malaysia mereka bingung kerana terpisah dengan halaqah ilmu. Tidak tahu apa yang sebenarnya perlu dilakukan pada hari raya. Mereka tidak pandai  berhibur atau membuang masa. Apa lagi untuk ke hulu dan ke hilir sudah bukan kebiasaan. Mereka selesa di Kaherah kerana setiap masa banyak pengisian minda dan ilmu. Kuliah-kuliah umum banyak di mana-mana. Mereka yang sudah arif boleh memilih tempat, masa dan tokoh yang dituntut ilmunya. Seorang pelajar wanita berada di Mesir sejak usianya13 tahun. Selepas sekolah Kebangsaan. Ibu dan bapanya letakkan dia di Kaherah untuk menuntut ilmu di sini dalam Bahasa Arab. Seperti sekolah menengah kita juga. Ada sains,  matematik dan lain-lain subjek sekular dan agama. Apabila tamat pengajian menengah dia boleh memilih jurusan yang diminati. Banyak juga institusi pendidikan yang percuma atau terlalu tidak signifikan yuran tahunannya. Bayangkan 30USD setahun.  Atau RM90. Sebulan hanya kira-kira RM7.50.

Sewa rumah, pengangkutan dan makan minum tidak semahal seperti di Malaysia. Mengkagumkan kerana sebenarnya ramai ibu bapa Malaysia, Indonesia, Thailand malah dari negara Cina menghantar anak-anak mereka belajar di Mesir. Di negara asing. Bukan anak yang besar-besar dan panjang akalnya. Tetapi anak-anak sekitar 13 tahun. Mereka di sini belajar di sekolah menengah bersama anak-anak Mesir. Anak-anak Arab. Biasa sahaja. Mereka gembira. Santai dan biasa-biasa. Di Malaysia anak-anak terdedah dengan berbagai pancaroba remaja. Ramai yang gagal membina pertahanan diri dan pertahanan iman. Hedonism sudah tidak terkawal lagi.  Di Kaherah umpamanya walaupun resapan budaya barat kelihatan juga tetapi tarikannya masih belum terlalu kuat. Budaya Islam dan budaya Arab masih dipertahankan. Cuma selalu yang saya tanyakan jawapannya ialah mengapa anak-anak dari Kelantan, Terengganu, Kedah atau Perak ramai di sini. Anak-anak dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Ada. Bukan tidak ada. Kadarnya sangat sedikit berbanding pelajar dari negeri-negeri lain.  


Jalan utama Hayyu Sabiq waktu malam. Lampu kedai bergemerlapan.

Sebuah kedia roti yang meriah dengan pelanggan.

Sebuah kedai lain

Di jalan

Asrama Amanah Raya  Berhad. Pelajar memasang lampu berkerlipan.

Pengacara. Saya bersama lima orang pelajar lelaki yang tidak pulang ke Malaysia. Empat dalam gambar. Seorang lain menjadi jurukamera.

Bersama pelajar wanita.

Lima pelajar ARB. Yang lain sahabat mereka yang turut sama.

Kenangan di akhir majlis.

Yang wanita.

Jamuan  di rumah sewa saya. Jumaat malam Sabtu.

Lima lelaki.


Kira-kira 10 wanita.





Wednesday, August 7, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Hari Raya Yang Dirayakan



Hari ini hari apa? Hari raya.
Siapa yang berhari raya? Kita.
Kita itu siapa? Kita semua.
Maksudnya semua orang tanpa mengira agamanya? Tidak.
Jadi? Kita orang Islam sahaja.
Di mana kita berhari raya? Di masjid, di rumah dan di rumah saudara serta sahabat handai.
Bila berhari raya? Mulai 1 Syawal.
Hingga bila? Tak tau. Biasanya orang berhari raya selama berbulan-bulan.
Bila berpuasa enam dalam bulan Syawal? Jarang buat.
Kenapa? Hari-hari orang jemput makan. Lebih-lebih lagi hujung minggu. Ada sahaja rumah terbuka.
Mengapa kita berhari raya? Berseronok selepas berpuasa.
Kenapa berpuasa dalam bulan Ramadhan? Menunaikan rukun Islam.
Apa yang selalu kita buat pada hari raya? Menonton TV, makan-makan, borak-borak, jalan-jalan.
Solat tak? Kadang-kadang terlepas juga. Sibuk dengan menonton TV.
Tak penat ke? Penat juga. Perut kenyang. Biasa juga tidur depan TV.

Jika kita buat soal selidik banyak jawapan yang tidak selari dengan kehendak agama. Kehendak Islam. Kita sudah terbelenggu dengan adat. Dengan kebiasaan. Hingga tahapnya sudah tidak terkawal lagi. Kita dituntut berhari raya.  Setelah berpuasa selama sebulan. Setelah membayar zakat fitrah. Setelah bertakbir, tahmid dan tahlil. Setelah solat eid ul-fitri. Semuanya dilakukan sekali dalam setahun. Cuma puasa selama sebulan. Zakat fitrah mengikut kadarnya. Takbir bermula dari selepas Maghrib hari sebelumnya hingga solat eid ul-fitri. Solat pula hanya beberapa minit sahaja. Yang panjang khutbahnya. Sebelum pergi solat kita disunatkan makan dahulu. Sarapan dahulu. Makanan banyak. Masih kecur sejak dari semalam. Tekak meminta diisi. Perut minta dikenyangkan. Sunat mandi untuk solat eid ul-fitri. Kita pakai baju baru. Wangi baunya. Bergaya ke masjid atau di mana sahaja diadakan solat eid ul-fitri. Himpunan terbesar yang diadakan setahun hanya sekali. Jika solat Jumaat seminggu sekali, solat eid ul-fitri setahun hanya sekali. Beberapa minggu selepas itu himpunan manusia di dunia paling besar di Padang Arafah. Kemuncak dalam setahun. Hanya sekali juga. Tidak sah haji tanpa wukuf di Arafah. Setahun hanya sekali. Beberapa jam sahaja. Hari yang sangat pendek.

Kita telah berpuasa selama sebulan. Ramadhan yang dipenuhi dengan amal ibadat. Berbagai ibadat. Membaca al-Quran. Solat Tarawih. Berserta solat Witir. Malamnya dihidupkan dengan tahajjud. Memberi makan kepada orang berpuasa. Menghidupkan malam. Membantu orang lain yang memerlukan. Sekurang-kurangnya dengan doa yang baik-baik. Berhari rayalah dengan pengertian bahawa hari raya itu adalah ibadat. Beringat kepada Allah yang telah menganugerahkan kita kekuatan untuk melalui Ramadhan yang baru semalam berlalu. Yang memberi kita peluang bersama Ramadhan bersama orang lain. Kita baru sahaja berdoa selama sebulan memohon dipertemukan lagi dengan Ramadhan tahun hadapan. Untuk kita isi lagi dengan sepadatnya ibadat.     

1        Makanlah kerana ibadat. Usah sampai sendat hingga mata sentiasa rapat tidak boleh dibuka kerana ketat melekat.
2        Berpakaianlah sesederhana mungkin. Ada orang lain yang tidak berganti pakaiannya.
3        Berjalanlah kerana ibadat. Setiap langkah dikira pahalanya. Ke rumah datuk dan nenek. Rumah bapa dan emak saudara. Abang dan kakak. Saudara-mara yang lain. Sahabat handai.
4        Jaga batas aurat. Bataskan pergaulan bebas. Hormati Ramadhan yang baru berlalu. Hormati Syawal yang penuh barakah.
5        Berhiburlah tetapi dengan zikir. Dengan al-Quran. Mungkin qasidah dan nasyid.
6        Ibu dan bapa buatlah pilihan yang paling baik untuk anak cucu dan keluarga. Bataskan menonton TV. Terlalu banyak yang melekakan. Rakaman yang dibuat sebelum hari raya. Dalam Ramadhan mereka membuat rakaman.
a.      Tidak menghormati Ramadhan yang sedang dilalui.
b.     Tidak menghormati Syawal. Bulan ibadat yang diandaikan untuk berhibur di luar batas syariat.

Hari raya bukan musim komersil. Kita terlalu diruntun emosi untuk merayakannya hingga terlupa batas-batas yang dituntut.  Hari raya hanya sehari sahaja. Benar puasa kita selama sebulan. Ada yang kata tidak seimbang jika hari raya diraya hanya sehari. Keadilan itu untuk siapa. Dari siapa. Syawal kedua kita dituntut berpuasa. Puasa selama enam hari. Habiskan sekali lalu. Rehat kita hanya pada Syawal pertama sahaja. Pada Syawal ketujuh kita berhari raya semula. Kesinambungan dari suatu rukun agama kepada kebiasaan. Membiasakan diri berpuasa untuk menginsafi diri supaya tidak melakukan hal-hal yang melampaui emosi.

1        Catu makanan pada tubuh badan. Makan yang sedikit selaluya menambah kesihatan. Mengekalkan kesihatan. Memulihkan sebahagian penyakit.
2        Mengekang nafsu supaya serakahnya berkurangan.
3        Menginsafi kekurangan orang lain yang memerlukan.
4        Empati terhadap kesusahan orang lain kerana ketidakmampuan. Kerana penyakit yang menghalangnya makan. Kerana tidak ada bekalan makanan.

Hari raya adalah manifestasi kepada kepekaan kita terhadap seluruh kecintaan kita kepada Allah. Kepada RasulNya. Kepada sesama makhluk yang lain.  Puasa difardhukan kepada kita yang bergelar Muslim.  Bukan orang lain. Islam, baligh, mukallaf, siuman dan tidak terhalang dari berbagai halangan seperti penyakit, mengandung, perjalanan jauh atau kerana menyusukan anak. Maka hari raya kita tentulah selaras dengan keperluan Ramadhan itu. Kesinambungan dari suatu rantaian ibadat yang besar pahalanya. Berhibur tidak ada dalilnya dalam al-Quran. Tidak ada dalilnya dalam hadith. Tidak juga diberi kelonggaran oleh ulamak. Tidak oleh orang alim. Tidak oleh ustaz dan ustazah. Hari raya adalah untuk menyempurnakan ibadat kita. Menampung kekurangan dalam bulan Ramadhan. Menambahkan lagi segala kebaikannya. Menimbunkan keupayaan meningkatkan ibadat.

Jika begitu hambarlah hari raya. Tidak. Lihat semula diri kita. Di manakah hambarnya. Nikmat apakah yang kita terima. Balik semula. Undur semula ke belakang. Kita menerima Iman. Islam. Rezeki. Sihat. Amal ibadat yang sempurna. Kita lihat semua yang kita terima. Itulah sebenarnya yang menghiburkan hati. Menyempurnakan tuntutan Allah dan RasulNya. Tuntutan agama yang tiada belah baginya. Apapun apabila kita berjaya melaksanakan tanggungjawab kita maka ada kelegaan dalam hati dan perasaan kita. Tidak perlu hiburtan dari luar. Hiburan dalaman itu lebih nikmatnya. Lebih berperisa kerana ia gambaran yang sukar dilukiskan. Tiada ukuran dan sukatan untuk menentukan banyaknya. Kita dan diri kita yang merasakannya sendiri. Belum tentu dapat dilihat oleh orang lain.

Bagaimana jika pada kali ini kita sama-sama senaraikan semua kenaikan yang telah kita lakukan pada Ramadhan yang berlalu ini. Senaraikan juga keburukan yang kita lakukan. Kita buat lagi senarai yang sama tahun hadapan. Pada satu Syawal tahun hadapan kita bandingkan senarai itu. Jika kebaikannya bertambah, alhamdulilllah. Jika sebaliknya berlaku, semak balik diri kita. Selama ini hanya Raqib dan Atid sahaja yang mencatat baik dan buruk kita. Mari kita sama-sama melakukannya. Catatkan yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya. Mudah-mudahkan kita lebih insaf akan kelemahan kita. Kekuatan iman kita cukup terbatas. Mudah kita muasabah diri. Kita sendiri sedar mana yang perlu digandakan dan mana yang perlu ditinggalkan. Semoga hari, minggu, bulan, tahun dan usia kita bertambah baiknya. InsyaAllah.


Salam Eid ul-Fitr dari Kaherah. Kullu am waantum bikhair.

Tuesday, August 6, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Ilmu Yang Mengangkat Fikir



Apa tanda orang yang banyak belajar. Yang sudah belajar. Yang belajarnya tinggi. Sukar hendak diukur hanya dengan melihat sahaja. Mata selalunya terpedaya dengan apa yang dilihat. Hanya bila kita bersama baru dapat diperhati letaknya perkara. Kadang-kadang banyak ketidakselarian antara pandai dan berilmu. Antara tahu tetapi tidak beramal. Antara berilmu tetapi tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya. Malang sekali jika ilmu hanya untuk mengisi hati dan perasaan. Tidak dimanfaatkan untuk kegunaan umum yang memberi manfaat kepada orang di sekeliling. Kita selalu terpempan berhadapan dengan orang jenis ini. Psikologinya sukar diramal. Perasaannya sukar diduga. Kehendaknya tidak dapat dijangka. Yang kita lihat pada dirinya terhimpun sifat ambivert yang timbul tenggelam. Tidak tahu bila timbulnya. Tidak tahu bila tenggelamnya. Pengalaman juga tidak banyak mengubah paradigma dirinya supaya selari dengan himpunan pangamalan-pengalaman itu.

Dalam situasi pertama ini terlihat orang besar yang penuh pengalaman. Pendidikannya tinggi di IPT. Dari ijazah bacelor ke ijazah master dan akhirnya ke doktorat. PhD senangnya. Apa yang berlaku kadang-kadang orang jenis ini terlalu berada di awang-awangan. Terlalu tinggi hingga dia tidak dapat turun semula ke bawah. Tidak melihat dari dekat semua yang di bawah.  Yang di sebalik sinar air. Di sebalik rimbunan pepohon. Di sebalik tembok. Di sebalik dinding. Apatah lagi yang di sebalik hati. Tindakannya tidak menjejak tanah. Tergesa-gesa tanpa maklumat benar. Tanpa penyelidikan yang wajar. Tanpa bertanya kepada yang arif. Maka terlihatlah ketidakdewasaan. Ketidakmatangan. Ketidakprofesionalismnya. Orang di sekeliling hanya mampu geleng kepada. Tidak menyangka bahawa orang yang diberi gelaran pandai, tidak sepandai gelaran itu.

Dalam situasi kedua kita melihat orang yang tidak tinggi ilmu dan pelajarannya. IPT tidak pernah dijejak kecuali membuat lawatan ke dalamnya. Atau mungkin anaknya. Atau mungkin juga menghantar anak-anak saudaranya. Namun begitu pada dirinya ada sifat matang, dewasa dan profesional. Saya teringat suatu kisah seorang profesor wanita di Indonesia yang berkahwin dengan supirnya sendiri. Drebar. Apabila ditanya jawapannya sangat mudah. Setiap kali dia berhadapan dengan maslalah supirnya itulah yang memberi idea untuk menyelesaikannya. Seorang profesor yang begitu tinggi ilmunya gagal merealisasi kepandaiannya. Seorang drebar yang tidak setinggi mana ilmunya mengatasi kepandaian seorang profesor. Maksudnya orang biasa boleh jadi pandai kerana deria yang dimiliki dimanfaatkan. Digunapakai untuk dirinya dan orang-orang di sekelilingnya. apabila tinggi tidak menjejak tanah maka tanah tidak memberi erti yang wajar. Orang di tanah melihat tinggi dan mengerti setinggi mana. Dia tidak mampu mengangkat dirinya. Namun dia tahu erti tinggi itu banyak lamanya. Banyak susahnya. Setiap masa dia berjejak di bumi.

Kita sebenarnya bukan apa yang orang lihat pada sosok tubuh badan sahaja. Orang melihat kita dan membuat penilaian sesuai dengan siapa kita sebenarnya. Cuba muasabah diri mengenai perkara ini:

1        Penampilan diri adalah yang selalu dipandang pertama. Dicintai dan mungkin digilai pada kali pertama dilihat atau ditemui.
2        Wajah adalah yang kedua dipandang dengan kedua mata. Orang jatuh cinta mungkin kerana mata. Hidung. Bibir. Pipi. Bentuk tubuh. Lenggok tubuh. Mimik muka. Kemasan rambut. Cara berpakaian.
3        Cara berjalan. Cara duduk. Cara berjabat salam.
4        Suara. Parau. Bergetar. Romantik. Tagas. Berirama. Intonasinya bersesuaian. Merdu. Bergema.
5        Bahasa yang digunakan beristilah. Perkataan-perkataan yang sesuai tepatnya. Bombastik tetapi dimengerti.
6        Susunan ayat yang memukau. Berirama. Kejelasan suara.
7        Renungan mata. Ruang bicara yang melibatkan semua orang.
8        Topik yang digarap secara profesional. Ada keluasan. Ada kedalaman. Kaya dengan contoh dan pengalaman-pengalaman orang lain yang dikutip dari berbagai sumber sekunder. Tetapi dipersembahkan seolah-olahnya itu adalah pengalaman primer.
9        Lontaran kata-katan yang datang dari hati dan perasaan. Bukan emosi tanpa erti. Dilihat meyakinkan. Didengar banyak dalilnya. Diamati banyak benarnya.

Manusia dilihat zahirnya dengan mata kasar. Dilihat dalamannya dengan mata hati. Ilmu berguna untuk melihat dalaman manusia. Keikhlasanannya. Kebersihan hatinya. Ketulusannya. Besar harapannya. Berbagai lagi yang melibatkan psikologi dan emosi. Kita sebenarnya lebih selesa bersama dengan orang yang tenang. Luas pandangannya. Terbuka menerima yang sama dan yang berbeza atau tidak. Perbezaan pendapat selalu diraikan. Diterima sebagai kelainan. Emosi selalu diterbataskan. Dikekang. Dikawal. Yang dilahirkan ialah senyum yang menawan. Sukanya senyum. Tidak sukanya juga senyum. Wajahnya bersih. Tiada riak-riak negatif. Cebik atau kerut dahi. Apabila kita berinteraksi dengan orang lain jangan sekali-kali zahirkan perasaan menolak. Mimik wajahnya menunjukkan segala-galanya. Risau orang sekeliling melihatnya. Di hadapan orang lain banyak hal yang perlu disembunyikan. Terutamanya perasaan kita. Menyatakan perasaan dengan terang-terangan boleh menakutkan orang lain. Ramai yang akan menarik diri dari kerap berinteraksi dengan kita. Mereka menjauh.

Banyak sifat manusia yang sama. Dalam pada itu terlalu banyak yang berbeza. Perasaan hatinya. Kehendaknya. Harapannya. Kesukaaannya. Sensitivitinya. Mengenali psikologi yang ada pada orang lain membantu kita untuk lebih santai. Terelak dari hal-hal yang sensitif dari dibicarakan. Dari diperdebatkan. Ada orang suka berdebat walaupun mengenai hal-hal yang sangat kecil. Yang tidak sesuai didebatkan. Apatah lagi jika debatnya dicondongkan untuk kemenangannya. Bias. Orang jadi keliru. Ada watak yang menyenangkan orang lain. Ada juga wataknya yang menggerunkan. Pada waktu-waktunya orang lain berada dalam kebingungan. Elok jika ramai orang yang mahir psikologi. Memahami dir sendiri dan pada masa yang sama memahami diri orang lain. Ada kesesuaian yang diatur supaya keharmonian antara hati dapat dipelihara.


Belajarlah setinggi mana. Turun ke bawah kerana kita dari bawah. Tambahlah ilmu sebanyak mana. Kepada orang lain ialah mengertinya. Keselarian antara berbagai tahap dan peribadi manusia yang berlainan. No man is an island. Kita tidak hidup terpencil. Manusia lain adalah sebahagian dari pentingnya kehidupan kita. Jangan menafikan pentingnya orang lain terutama mereka yang dekat hatinya dengan kita. Yang dekat darahnya dengan kita. Yang dekat zahirnya dengan persekitaran kita. Jika kita lebih perihatin maka kita lebih tenang sebenarnya melayan hati kita sendiri. Jangan selalu terlalu mengharap orang memberi. Jangan ungkit bila memberi. Bukalah tangan untuk menerima apa sahaja yang baik. Orang lain berusaha juga untuk membahagiakan kita semua. Caranya sahaja berlainan.

Friday, August 2, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Membiasakan Diri Yang Luarbiasa



Apa sebenarnya yang kita pelajari di univrsiti. Di IPT. Kadang-kadang kita tidak dapat melakukan  hal-hal yang sangat asas. Basic. IPT memberikan kita hal yang dianggap besar. Tinggi melangit. Selalu disebut sebagai menara gading. Hebatnya. Tingginya nilai yang diberi. Besarnya harapan yang menggunung. IPT memberikan harapan besar untuk menjadi orang berilmu. Berpangkat besar. Berpejabat melebar. Tugasnya banyak memberi arahan. Pembantu keliling pinggang sedia untuk disuruh arah. Kerja yang susah dikongsi. Yang berat diringankan. Yang penting semua dibereskan dengan proses dan prosedur yang termaktub. Perintah am yang mengawal. Strategi dan dasar yang merantai. Perncangan yang strategik dan taktikal.

Itu gambaran santai seseorang yang sudah ditauliahkan sebagai pegawai. Yang telah melalui prosesnya dari bawah. Dari yang dasar. Untuk menjadi pegawai bukan terus diangkat ke tempat yang tinggi. Tidak ada orang yang dilahirkan terus menjadi pegawai. Dia melalui latihan yang panjang. Diberi ilmu yang tinggi. Melakukan kerja-kerja amali yang biasa-biasa. Di IPT hal-hal praktikal seperti ini tidak ada. Mahasiswa sibuk dengan teori. Pensyarah sibuk dengan penyelidikan. Ramai graduan yang kosong fizikal dan perasaannya. Mereka memiliki ijazah tetapi tidak berjejak di bumi. Terapung-apung di udara. Harapan tinggi menggunung. Apabila diperhati sebenarnya ijazah bukan penentu kejayaan masa hadapan. Banyak yang perlu dipelajari tetapi bukan di IPT. Itulah pentingnya deria. Ada mata, lihat. Ada telinga, dengar. Ada mulut, banyak bertanya. Ada hidung, banyak menghidu. Menghidu untuk trouble shooting. Ada fikiran, cari jalan kebaikan. Ada perasaan, berikan keadilan.

Pangalaman membuktikan bahawa pelajar yang aktif di IPT pada akhirnya lebih berjaya dengan kadar cepat. Aktiviti memerlukan pemikiran yang mendalam dan terbuka. Bersedia berhadapan dengan masalah dan cara mengatasainya. Selalu berada dalam situasi yang memerlukanya membuat keputusan. Mana-mana pealajar yang pasif dan hanya sibuk dengan dirinya sendiri sahaja, berhadapan dengan banyak masalah sewaktu bekerja. Kurang berinteraksi. Kurang berkomunikaasi. Tidak mahir merancang. Kalut bila berhadapan dengan masalah. Lambat matang. Kurang profesional. Selalu tepu fikirannya. Buntu. Apabila disergah ketua seperti hendak terair kain dan seluar. Bila diminta pendapat semuanya bungkam.

Bakat sebenarnya kepada bakal pegawai sudah dikenalpasti semasa di IPT lagi. Semasa berada bersama rakan taulan. Semasa bersama jemaah. Semasa menjalankan aktiviti. Ada beberapa ciri yang boleh dikenalpasti walaupun ketepatanya bukan 100% benar.

1        Mencari tugas.
2        Bertanya apa yang perlu dibantu.
3        Sedia membantu.
4        Perihatin.
5        Memberi buah fikiran.
6        Tinggi inisiatifnya. Tidak menunggu diarah.
7        Selalu ambil tahu.
8        Bertanya khabar.
9        Memantau dengan tujuan untuk memberi bantuan atau fikiran.
10   Tidak mengira masa.
11   Sedia berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.
12   Kesilapan dijadikan pengajaran.
13   Banyak bertanya.
14   Banyak belajar.
15   Menjaga masa.
16   Mendahului masa.
17   Selalu menyegerakan sesuatu.

Bandingkan dengan ciri-ciri berikut:

1        Memandang tetapi tidak membantu.
2        Diarah tetapi lambat buatnya.
3        Pendapat, tiada.
4        Mesyuarat senyap.
5        Buat salah, terima marah.
6        Malas bertanya.
7        Masa tidak pernah dijaga. Selalu lewat.
8        Suka mengarah dan kurang membuat sendiri.
9        Enggan membuat tugas-tugas lain walaupun tugas itu mungkin berkaitan dengan jawatannya apabila dia naik pangkat nanti.
10   Iri dengan kelebihan orang lain tetapi tidak berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Khusus kepada bakal pegawai wanita:

1        Buat sendiri tugas tanpa bantuan pegawai lelaki. Ingat, jawatan sama taraf. Gaji saman banyak.
2        Jangan banyak berdalih mengenai keluarga dan sebagainya. Kerja adalah kerja. Tanggungjawab adalah tanggungjawab. Tidak memindahkannya kepada rakan sejawatan. Tidak adil.
3        Sama-sama buat kerja berat seperti mengangkat barang. Kecuali mengandung, sakit atau uzur. Selagi boleh membantu, bantu. Jangan lihat dan perintah sahaja. Rakan sejawatan meluat. Pegawai bawahan merungut. Pegawai atasan melihat dan pegawai yang malas biasanya dikenakan tindakan demerit. Kurang markah. Lemah dalam sesuatu aspek kepimpinan. Lambat naik pangkat. Lambat dari orang lain.

Untuk pelatih-pelatih eksekutif atau bakal penolong pengarah sila ambil berat tentang perkara ini.

1        Patuhi semua yang melibatkan waktu. Waktu datang. Waktu mula mesyuarat. Waktu balik. Waktu rehat. Waktu temu janji. Waktu hantar laporan. Waktu hantar kertaskerja.
2        Buat semua kerja asas seperti mencari fail. Membawa fail. Mengemas fail. Megelap fail. Mengemaskin fail. Menyusun fail. Memfail semula.
3        Mengangkat kotak. Menyusun kotak. Membawa kotak. Tanpa kecuali sama ada lelaki atau wanita. Pelatih wanita jangan mengada-ngada. Anda sedang dinilai.
4        Membancuh kopi. Menghidang kopi. Menjerang air.
5        Membuat fotostat.
6        Menyapu lantai dan mengemopnya.
7        Membasuh cawan dan piring. Gelas dan pinggan. Sudu dan garpu. Membersihkan sinki. Mengemas dapur.
8        Menghias bilik. Pejabat. Ruang-ruang yang ada.

Pelatih kena buat semua kerja yang bukan-bukan. Itu adalah latihan. Selepas tamat latihan barulah ditauliahkan sebagai pegawai. Semasa latihan jangan banyak songel. Belum jadi pegawai lagi. Belum lagi boleh mengarah-arah kerani dan pekerja pejabat. Hanya dan hanya selepas ditauliahkan sebagai pegawai baru diberi beberapa pembantu. Ketika itu baru boleh memberi arahan. Belajar dulu. Jangan sebarang memberi arahan. Kadang-kadang tersalah arah. Banyak istilah pejabat yang perlu dipelajari. Tidak dipelajari di IPT. Bila jadi pegawai banyak kebiasaan yang perlu diubah. Tidak boleh bersembang kecuali berbincang. Buat kerja berganti susunan. Ada sahaja kerja yang menanti. Sistem mesti berjalan. Manhaj mesti dilaksanakan. Program dipantau. Mesyuarat membincang dan mencadang. Laporan perlu dibuat. Konsultasi dengan pegawai atasan dan pegawai sejawat di jabatan lain perlu dibuat. Apabila menjadi pegawai tidak boleh ikut perasaan. Tidak boleh panas baran. Beringat selalu, anda ada segulung ijazah. Sudah berpelajaran tinggi. Oleh itu jangan rendahkan akhlak.

Ketika latihan dan selepas ditauliahkan sebagai pegawai semua yang dipelajari di IPT mungkin tidak lagi digunakan untuk membuat kerja. Bila berkaitan dengan hukum hakam barulah dijengah semula apa yang dipelajari. Mungkin teori digunakan. Tugas harian tiada sangkut menyangkut dengan pelajaran di IPT. Menaip surat, mencari maklumat, membuat survey, menyemak data dan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk melaksanakan sesuatu program pejabat atau organisasi. Ijazah hanya melayakkan untuk memegang sesuatu jawatan. Ijazah hanya penanda aras bahawa anda sudah dilatih berfikir pada tahap tinggi. Menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Di peringkat amali dalam kerja yang sebenarnya anda perlu memikul semua tanggungjawab jika kegagalan berlaku. Jika kesilapan berlaku. Jangan ambil enteng. Kesilapan bermakna organisasi boleh lumpuh. Kerugian mungkin mencecah jutaan ringgit. Pelangan hilang. Kepercayaan hilang. Perlu difahami besarnya tanggungjawab dalam oragnisasi. Ada kaitanya dengan untung dan rugi.


Anda adalah sebahagian dari rantaian penting organisasi. Jika anda berfungsi maka organisasi berjalan dengan baik. Jika anda gagal berfungsi seluruh organisasi akan tersedak dan tersangkut. Semput dan sakit. Apabila duduk di kerusi empuk jangan bezakan diri anda sebagai lelaki atau wanita. Tarafnya sama. Jawatannya sama. Gaji dan elaunnya sama. Peluang naik pangkat sama. Buat semua kerja kerana itulah tugas pegawai. Bertanggungjawab. Berdisiplin. 

Thursday, August 1, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bagaimana Jika Bapa Sendiri Mengajar Anak-Anak Di Sekolah?



Adakah guru bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelajaran anak-anak? Jika begitu serahkan anak-anak kita kepada guru. Jadi anak angkat guru. Duduk di rumah guru. Biar guru yang ajar secukupnya anak-anak kita. Kalau pandai, pandailah. Jika tidak pandai memang anak kita bukan untuk jadi pandai. Kita tidak ada dakwa dakwi ke atas guru kerana guru yang beri makan anak kita. Beri pakaian. Beri tempat tinggal. Beri wang saku setiap hari. Bayarkan fitrah bila menjelang hari raya. Bila sudah tamat belajar anak itu balik ke rumah dalam keadaan sudah pandai. Sudah bekerja. Gajinya lumayan pula. Ibu dan bapa terima hasilnya sahaja. Anak-anak boleh serahkan gaji mereka kepada ibu dan bapa. Nanti ibu dan bapa tidak perlu ambil tahu tentang persekolahan anak-anak. Apatah lagi mengenai kerja rumah dan sebagainya.

Kerana itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang besar untuk menambahkan bilangan guru. Setiap guru disediakan rumah yang besar untuk menampung anak angkat. Ibu dan bapa tidak perlu keluar apa-apa belanja untuk memandaikan anak-anak. Seorang guru umpamanya memelihara kira-kira 30 orang murid bagi satu-satu sesi. Maksudnya setiap masa ada 30 orang murid. Bila ada yang tamat diganti dengan yang baru. Seperti air yang mengalir. Yang kurang dipenuhkan. Yang penuh dialirkan. Semua usaha-usaha ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa mendidik anak-anak. Kita bebankan kesemuanya kepada guru-guru.  Oleh kerana guru adalah profesional rasanya guru boleh menjalankan tugas itu. Syaratnya guru diberi imbuhan yang sewajarnya untuk menampung kos hidup, tenaga dan masa yang diluangkan. Barangkali itulah kehendak ibu bapa kerana mereka tidak berminat dengan apa yang guru lakukan di sekolah.

Ada suatu kemusykilan yang selalu saya sebut kepada pelajar-pelajar saya dahulu. Guru tidak pernah menyenaraikan sepenuhnya tugas mereka selama 24 jam sehari kepada ibu bapa. Kepada masyarakat. Kepada orang politik. Kepada polis. Kepada askar. Kepada penghulu. Kepada Pegawai Daerah. Mungkin kepada Raja dan Sultan. Juga Menteri Besar dan Ketua Menteri. Buat senarai yang sebenar. Sebarkan supaya semua orang mengetahui  bahawa kerja guru bukan hanya memaksa murid membuat kerja rumah. Berjela panjangnya tugas guru. Bertimbun kerja yang mesti disudahkan. Wajib dilakukan. Bertindan-tindan fail yang mesti diisi. Berbagai laporan yang mesti disediakan. Berbagai mesyuarat yang mesti dihadiri. Berbagai pertandingan yang mesti diurus. Tidak termasuk kelas tambahan yang mesti juga diadakan. Bukan waktu petang sahaja tetapi pada hujung minggu dan pada cuti sekolah.

Elok juga sediakan pasukan ibu bapa yang berada di sekolah setiap hari. Pastikan mereka melihat dengan jelas apa sebenarnya yang dibuat oleh guru-guru di sekolah. Jemput juga orang lain ke sekolah seberapa kerap yang boleh. Biar mereka melihat apa sebenarnya yang berlaku di sekolah. Adakah guru seperti yang difahami oleh orang di luar sekolah. Kerjanya hanya mengajar. Seronok. Memakai pakaian yang cantik dan kemas. Atau adakah guru adalah kuli masyarakat yang selalu dibebankan dengan tugas untuk memandaikan bakal ahli masyarakat. Tetapi selalu tidak dibantu untuk melaksanakan tugasnya dengan saksama. Kerja besar yang guru lakukan setiap masa tiada siapa yang peduli. Kesilapan kecil yang guru lakukan dibesar-besarkan. Benar juga keluhan guru. Kenapa tidak anak itu dibawa balik. Ibu bapa ajar sendiri. Tidak lagi perlu sakit hati terhadap kerja guru.

Rasanya ibu bapa tidak pernah ambil pusing dengan tugas guru. Ibu yang anaknya tidak seberapa pening kepala dengan karenah anak-anak. Di sekolah murid atau pelajar beribu-ribu orang ramainya. Jika ditugaskan 500 orang ibu dan bapa di sekolah belum tentu mereka dapat mengawal keadaan. Yang pastinya mereka tiada kemahiran untuk melaksanakan pendidikan yang bersistem. Berjadual. Lestari. Socially interactive. Melaksanakan domain-domain pemikiran yang inquisitive. Mengembangkan minda. Merencanakan perubahan. Melatih social being yang selalunya hanya guru yang faham. Kita menjadi keliru dengan sikap ibu bapa yang tidak ada sedikit kefahaman tentang kerja guru. Mereka hanya perlu membantu guru dengan cara memantau kerja rumah anak-anak mereka. Itu sahaja. Bukan susah. Pastikan kerja rumah anak mereka disiapkan untuk diperiksa. Semak setiap hari. Setiap masa. Guru marah anak bukan untuk membunuh mereka. Bukan untuk disebat dengan cemeti. Bukan untuk dihumban ke dalam perigi buta. Semuanya untuk memandaikan anak-anak.

Mungkin semasa wang BRIM RM500 disampaikan, pemimpin yang bertanggungjawab buat aku janji dengan ibu bapa. Saya berjanji akan menyemak kerja sekolah anak saya setiap hari. Tandatangan. Ada saksi dua orang. Bubuh tarikh. Jika ibu bapa jenis yang melaporkan kesilapan guru senaraihitamkan mereka supaya tidak lagi layak menerima wang BRIM tahun yang berikutnya. Pemimpin masyarakat atau mereka yang mempunyai kedudukan perlu bercakap mengenai perkara ini. Guru memang profesional. Tetapi mereka dibebankan dengan kerja-kerja yang bukan profesional. Profesionalism seperti di kementerian tidak berlaku di sekolah. Profesionalism seperti di universiti tidak berlaku di sekolah. Tuan dan puan, mengertilah bahawa guru-guru di sekolah terlalu berat beban kerjanya. Yang bukan-bukan. Yang bukan profesionalpun. Tetapi guru kena buat. Jika tidak dibuat hilang peluang naik pangkat. Tertutup peluang bergaji lebih besar. Tuan dan puan tidak tahu akan hal ini. Tidak menyemak kerja sekolah adalah satu kesalahan bersar kepada Guru Besar atau Pengetua. Kalau mampu dan dibenarkan guru-guru yang gagal menyemak kerja rumah murid-muridnya mungkin kena penampar Guru Besar atau Pengetua. Ibu dan bapa tidak tahu hal itu. Besarnya erti kerja rumah dalam Kemenerian Pelajaran.


Sudah sampai masanya guru dilindungi. Harus ditubuhkan suatu badan yang menjaga kepentingn guru. Pentadbiran tidak dapat melindungi guru. Politik tidak dapat melindungi guru. Perundangannya tidak ada. Guru, bagaimana? Fikirlah cara-cara untuk menyelamatkan diri. Untuk menjaga kepentingan ramai. Tidak wajar selamanya menjadi punching bag kepada ahli masyarakat yang selalu sangat sedikit timbang rasanya. Persatuan guru bagaimana? Kesatuan guru bagaimana? Lihat balik sajak Uthman Awang. Bukankah semua orang berguru. Bukan guru kepalang ajar. Guru dalam apa kapasitinya sekalipun telah dilalui oleh semua orang. Jarang sangat orang yang tidak berguru. Jika begitu di manan silapnya hingga ibu dan bapa tidak menginsafi tugas guru. Tidak meraikan kepayahan yang selalu ditanggung oleh guru. Bukan empati. Simpati yang sangat sedikit pun sudah mencukupi untuk meriakan hati guru yang selalu terluka.