Apa tanda orang
yang banyak belajar. Yang sudah belajar. Yang belajarnya tinggi. Sukar hendak
diukur hanya dengan melihat sahaja. Mata selalunya terpedaya dengan apa yang
dilihat. Hanya bila kita bersama baru dapat diperhati letaknya perkara.
Kadang-kadang banyak ketidakselarian antara pandai dan berilmu. Antara tahu
tetapi tidak beramal. Antara berilmu tetapi tidak tahu bagaimana untuk
menggunakannya. Malang sekali jika ilmu hanya untuk mengisi hati dan perasaan.
Tidak dimanfaatkan untuk kegunaan umum yang memberi manfaat kepada orang di
sekeliling. Kita selalu terpempan berhadapan dengan orang jenis ini.
Psikologinya sukar diramal. Perasaannya sukar diduga. Kehendaknya tidak dapat
dijangka. Yang kita lihat pada dirinya terhimpun sifat ambivert yang timbul tenggelam.
Tidak tahu bila timbulnya. Tidak tahu bila tenggelamnya. Pengalaman juga tidak
banyak mengubah paradigma dirinya supaya selari dengan himpunan
pangamalan-pengalaman itu.
Dalam situasi
pertama ini terlihat orang besar yang penuh pengalaman. Pendidikannya tinggi di
IPT. Dari ijazah bacelor ke ijazah master dan akhirnya ke doktorat. PhD
senangnya. Apa yang berlaku kadang-kadang orang jenis ini terlalu berada di
awang-awangan. Terlalu tinggi hingga dia tidak dapat turun semula ke bawah.
Tidak melihat dari dekat semua yang di bawah.
Yang di sebalik sinar air. Di sebalik rimbunan pepohon. Di sebalik
tembok. Di sebalik dinding. Apatah lagi yang di sebalik hati. Tindakannya tidak
menjejak tanah. Tergesa-gesa tanpa maklumat benar. Tanpa penyelidikan yang
wajar. Tanpa bertanya kepada yang arif. Maka terlihatlah ketidakdewasaan.
Ketidakmatangan. Ketidakprofesionalismnya. Orang di sekeliling hanya mampu
geleng kepada. Tidak menyangka bahawa orang yang diberi gelaran pandai, tidak
sepandai gelaran itu.
Dalam situasi kedua
kita melihat orang yang tidak tinggi ilmu dan pelajarannya. IPT tidak pernah
dijejak kecuali membuat lawatan ke dalamnya. Atau mungkin anaknya. Atau mungkin
juga menghantar anak-anak saudaranya. Namun begitu pada dirinya ada sifat matang,
dewasa dan profesional. Saya teringat suatu kisah seorang profesor wanita di
Indonesia yang berkahwin dengan supirnya sendiri. Drebar. Apabila ditanya
jawapannya sangat mudah. Setiap kali dia berhadapan dengan maslalah supirnya
itulah yang memberi idea untuk menyelesaikannya. Seorang profesor yang begitu
tinggi ilmunya gagal merealisasi kepandaiannya. Seorang drebar yang tidak
setinggi mana ilmunya mengatasi kepandaian seorang profesor. Maksudnya orang biasa
boleh jadi pandai kerana deria yang dimiliki dimanfaatkan. Digunapakai untuk
dirinya dan orang-orang di sekelilingnya. apabila tinggi tidak menjejak tanah
maka tanah tidak memberi erti yang wajar. Orang di tanah melihat tinggi dan
mengerti setinggi mana. Dia tidak mampu mengangkat dirinya. Namun dia tahu erti
tinggi itu banyak lamanya. Banyak susahnya. Setiap masa dia berjejak di bumi.
Kita sebenarnya
bukan apa yang orang lihat pada sosok tubuh badan sahaja. Orang melihat kita dan
membuat penilaian sesuai dengan siapa kita sebenarnya. Cuba muasabah diri
mengenai perkara ini:
1
Penampilan
diri adalah yang selalu dipandang pertama. Dicintai dan mungkin digilai pada
kali pertama dilihat atau ditemui.
2
Wajah
adalah yang kedua dipandang dengan kedua mata. Orang jatuh cinta mungkin kerana
mata. Hidung. Bibir. Pipi. Bentuk tubuh. Lenggok tubuh. Mimik muka. Kemasan
rambut. Cara berpakaian.
3
Cara
berjalan. Cara duduk. Cara berjabat salam.
4
Suara.
Parau. Bergetar. Romantik. Tagas. Berirama. Intonasinya bersesuaian. Merdu.
Bergema.
5
Bahasa
yang digunakan beristilah. Perkataan-perkataan yang sesuai tepatnya. Bombastik
tetapi dimengerti.
6
Susunan
ayat yang memukau. Berirama. Kejelasan suara.
7
Renungan
mata. Ruang bicara yang melibatkan semua orang.
8
Topik
yang digarap secara profesional. Ada keluasan. Ada kedalaman. Kaya dengan
contoh dan pengalaman-pengalaman orang lain yang dikutip dari berbagai sumber
sekunder. Tetapi dipersembahkan seolah-olahnya itu adalah pengalaman primer.
9
Lontaran
kata-katan yang datang dari hati dan perasaan. Bukan emosi tanpa erti. Dilihat
meyakinkan. Didengar banyak dalilnya. Diamati banyak benarnya.
Manusia dilihat
zahirnya dengan mata kasar. Dilihat dalamannya dengan mata hati. Ilmu berguna
untuk melihat dalaman manusia. Keikhlasanannya. Kebersihan hatinya.
Ketulusannya. Besar harapannya. Berbagai lagi yang melibatkan psikologi dan
emosi. Kita sebenarnya lebih selesa bersama dengan orang yang tenang. Luas
pandangannya. Terbuka menerima yang sama dan yang berbeza atau tidak. Perbezaan
pendapat selalu diraikan. Diterima sebagai kelainan. Emosi selalu
diterbataskan. Dikekang. Dikawal. Yang dilahirkan ialah senyum yang menawan.
Sukanya senyum. Tidak sukanya juga senyum. Wajahnya bersih. Tiada riak-riak
negatif. Cebik atau kerut dahi. Apabila kita berinteraksi dengan orang lain
jangan sekali-kali zahirkan perasaan menolak. Mimik wajahnya menunjukkan
segala-galanya. Risau orang sekeliling melihatnya. Di hadapan orang lain banyak
hal yang perlu disembunyikan. Terutamanya perasaan kita. Menyatakan perasaan
dengan terang-terangan boleh menakutkan orang lain. Ramai yang akan menarik
diri dari kerap berinteraksi dengan kita. Mereka menjauh.
Banyak sifat
manusia yang sama. Dalam pada itu terlalu banyak yang berbeza. Perasaan
hatinya. Kehendaknya. Harapannya. Kesukaaannya. Sensitivitinya. Mengenali
psikologi yang ada pada orang lain membantu kita untuk lebih santai. Terelak dari
hal-hal yang sensitif dari dibicarakan. Dari diperdebatkan. Ada orang suka
berdebat walaupun mengenai hal-hal yang sangat kecil. Yang tidak sesuai
didebatkan. Apatah lagi jika debatnya dicondongkan untuk kemenangannya. Bias. Orang jadi keliru. Ada watak yang
menyenangkan orang lain. Ada juga wataknya yang menggerunkan. Pada
waktu-waktunya orang lain berada dalam kebingungan. Elok jika ramai orang yang
mahir psikologi. Memahami dir sendiri dan pada masa yang sama memahami diri
orang lain. Ada kesesuaian yang diatur supaya keharmonian antara hati dapat
dipelihara.
Belajarlah setinggi
mana. Turun ke bawah kerana kita dari bawah. Tambahlah ilmu sebanyak mana.
Kepada orang lain ialah mengertinya. Keselarian antara berbagai tahap dan
peribadi manusia yang berlainan. No man is an island. Kita tidak hidup
terpencil. Manusia lain adalah sebahagian dari pentingnya kehidupan kita.
Jangan menafikan pentingnya orang lain terutama mereka yang dekat hatinya
dengan kita. Yang dekat darahnya dengan kita. Yang dekat zahirnya dengan
persekitaran kita. Jika kita lebih perihatin maka kita lebih tenang sebenarnya
melayan hati kita sendiri. Jangan selalu terlalu mengharap orang memberi.
Jangan ungkit bila memberi. Bukalah tangan untuk menerima apa sahaja yang baik.
Orang lain berusaha juga untuk membahagiakan kita semua. Caranya sahaja
berlainan.
No comments:
Post a Comment