Tuesday, August 13, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Solat Raya Itulah Raya



Hari raya sudah semakin rancak. Minggu pertama biasanya minggu yang paling kemelut. Hari Isnin mungkin ramai yang sudah mula bekerja. Anak-anak mula bersekolah. Namun rumah terbuka diadakan siang dan malam. Di setengah tempat terutamanya di Negeri Johor marhaban belum bermula. Seminggu sesudah hari raya baru hendak dimulakan. Seminggu yang pertama ramai ahli yang pulang ke kampung.  Beraya bersama ibu bapa atau keluarga. Sesudah mereka kembali ke rumah barulah program marhaban diadakan. Setiap malam untuk kira-kira 10 hingga 15 malam. Jenuh juga dari selepas solat Maghrib hingga pukul 9.30 malam. Kadang-kadang lebih lewat apabila ada yang berhajat menyediakan juadah luar biasa banyak dan beratnya. Jemaah tersangkut lama di rumahnya. Makanan tidak habis-habis dikunyah. Siap dibungkus untuk dibawa balik.

Mari kita undur sedikit ke belakang. Amalan kita di Malaysia ialah solat hari raya kebanyakannya untuk orang lelaki. Sekarang ini sudah ramai juga orang perempuan yang solat hari raya. Saya ingin kongsikan pengalaman solat hari raya di Kaherah. Khusuanya di Hayyu Sabiq. Seven District.  Bandar Nasr. Nasr City. Solat hari raya menjadi family event. Mungkin juga social event yang besarnya sangat besar. Mega. Keluarga di sini membawa seluruh ahli keluarga mereka untuk bersama-sama solat di masjid. Tidak kira anak-anak yang kecil. Semuanya dibawa ke masjid. Barangkali perbezaan mazhab membawa kepada perbezaan. Kita bermazhab Syafiee. Ketat dengan kehadiran kanak-kanak. Kita pula menterjemahkannya hingga masjid dikira tidak mesra kanak-kanak. Mereka dihalau ke bahagian belakang. Menjadi tidak signifikan sebagai jemaah yang bakal menguasai masjid itu pada masa hadapan. Tidak dilatih untuk bertanggungjawab. Menjadi makmum yang dalam arus perdana.

Orang perempuan tidak diwajibkan solat Jumaat. Tetapi di negara Arab ramai wanita warga emas yang solat jumaat di masjid. Mendengar khutbah. Mengambil pangajaran mingguan. Kebetulan imam-imam mereka bukan sekadar mengimamkan solat. Yang dilantik menjadi imam mendalam ilmunya. Khutbahnya santai. Tanpa teks. Namun ayat al-Quran dan hadith lancar keluarnya. Begitu juga solat hari raya. Khutbahnya lancar menyentuh hal-hal yang menjadi minat imam. Lazimnya hal-hal yang berkaitan dengan keperluan semasa masyarakat. Atau peristiwa yang berkaitan. Solat lima waktu kita jemaahkan di masjid. Dalam istilah Arab semuanya masjid. Solat Jumaat dilakukan di masjid. Tetapi solat hari raya agak istimewa. Ianya diadakan di masjid yang besar. Semua orang berhimpun di masjid itu. Dari dalam hingga ke luar masjid melimpah dengan jemaah. Yang di dalam masjid biasanya lelaki sama ada dewasa, muda atau kanak-kanak. Yang membawa keluarga solat di luar masjid.

Solat berjemaah adalah himpunan harian. Solat Jumaat himpunan mingguan. Solat kedua hari raya adalah himpunan tahunan. Ada setengah tempat solat hari raya diadakan di padang yang luas. Seberapa ramai jemaah ditampung di situ. Pada pagi yang hening. Sinaran cahaya matahari pagi yang penuh tenaga. Seluruh keluarga berhimpun di situ. Menikmati hari kemenangan untuk seluruh umat manusia. Kita kongsikan dengan mereka yang bukan Islam. Mereka melihat dengan jelas besarnya himpunan orang Islam yang satu. Segala-galanya untuk yang Esa. Kita bersatu dalam solat sebagai lambang kesatuan itu. Selepas solat kita berpelukan antara saudara dan sahabat handai. Bersalam-salaman. Nampak kemeriahan yang terpancar kerana merayakan hari kemenagan. Kemenangan mengekang nafsu. Mengekang perasaan. Mendidik fizikal dan jiwa supaya biasa dengan yang sedikit. Yang ala kadar. Yang perlu sahaja. 

Pendidikan itu sebenarnya berjaya kerana ramai yang berjaya walaupun mungkin bukan fizikalnya. Namun apabila kita semak diri kita ramai yang longgar pakaiannya selepas sebulan berpuasa. Selepas menahan lapar dan dahaga. Maknanya kita kawal fizikal kita melalui kawalan minda dan perasaan. Iman, niat, latihan dan kebiasaan menjadikan kita alah bisa tegal biasa. Mereka yang tidak berpuasa tidak dapat membayangkan lapar yang ditanggung. Dahaga yang dirasa. Orang bukan Islam mungkin bertanya, dont’t you feel hungry and thirsty. Tidak lapar dan dagahakah? Jawablah dengan tenang. Memanglah lapar dan dahaga. Tetapi iman dan minda kita menjadikan kita boleh bertahan setiap hari selama sebulan. Pada hakikatnya mereka yang berpuasa tidakpun memikirkan sangat hal lapar dan dahaga. Ada masanya tidak lapar dan tidak dahaga. Bila berbuka, cecah sahaja kurma di bibir hilang lapar. Seteguk air cukup menghilangkan dahaga. Sesungguhnya Allah membahagiakan orang yang berpuasa. Kepuasan pada perasaan dan hati.

Pada hari raya ini marilah kita didik anak-anak kita supaya:

1        Cintakan agama
2        Cintakan masjid
3        Cintakan solat
4        Cintakan umat Islam
5        Cintakan masyarakat Islam
6        Cintakan waktu yang bermanfaat
7        Cintakan kelurga
8        Cintakan kebaikan


Alangkah indahnya umat Islam merayakan hari rayanya. Penuh adab dan kemeriahan. Anak-anak dan seluruh keluarga bersama tanpa kecuali. Hari raya dengan solatnya. Bukan wajib tetapi suatu tuntutan tahunan. Setahun hanya dua kali. Makan dan minum jadikan nombor di belakang. Agama didahulukan. Kuih muih lagilah di belakang. Hiasan juga di belakang. Solat dahulu. Solat yang dihukumkan sunat tetapi jika kita terlepas tahun ini maka kita perlu menunggu tahun hadapan untuk dapat melakukannya. Tentulah banyak ruginya. Dalam 354 hari hanya sehari sahaja. Hari yang hanya Allah menentukannya. Hadiah kepada mereka yang beriman. Yang Islam. Yang berpuasa. Tanyalah diri kita, besar atau tidak nikmat itu. 

No comments:

Post a Comment