Adakah guru
bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelajaran anak-anak? Jika begitu serahkan
anak-anak kita kepada guru. Jadi anak angkat guru. Duduk di rumah guru. Biar
guru yang ajar secukupnya anak-anak kita. Kalau pandai, pandailah. Jika tidak
pandai memang anak kita bukan untuk jadi pandai. Kita tidak ada dakwa dakwi ke
atas guru kerana guru yang beri makan anak kita. Beri pakaian. Beri tempat
tinggal. Beri wang saku setiap hari. Bayarkan fitrah bila menjelang hari raya.
Bila sudah tamat belajar anak itu balik ke rumah dalam keadaan sudah pandai.
Sudah bekerja. Gajinya lumayan pula. Ibu dan bapa terima hasilnya sahaja. Anak-anak
boleh serahkan gaji mereka kepada ibu dan bapa. Nanti ibu dan bapa tidak perlu
ambil tahu tentang persekolahan anak-anak. Apatah lagi mengenai kerja rumah dan
sebagainya.
Kerana itu kerajaan
perlu menyediakan peruntukan yang besar untuk menambahkan bilangan guru. Setiap
guru disediakan rumah yang besar untuk menampung anak angkat. Ibu dan bapa
tidak perlu keluar apa-apa belanja untuk memandaikan anak-anak. Seorang guru
umpamanya memelihara kira-kira 30 orang murid bagi satu-satu sesi. Maksudnya setiap
masa ada 30 orang murid. Bila ada yang tamat diganti dengan yang baru. Seperti air
yang mengalir. Yang kurang dipenuhkan. Yang penuh dialirkan. Semua usaha-usaha
ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa mendidik anak-anak. Kita bebankan
kesemuanya kepada guru-guru. Oleh kerana
guru adalah profesional rasanya guru boleh menjalankan tugas itu. Syaratnya guru
diberi imbuhan yang sewajarnya untuk menampung kos hidup, tenaga dan masa yang
diluangkan. Barangkali itulah kehendak ibu bapa kerana mereka tidak berminat
dengan apa yang guru lakukan di sekolah.
Ada suatu
kemusykilan yang selalu saya sebut kepada pelajar-pelajar saya dahulu. Guru tidak
pernah menyenaraikan sepenuhnya tugas mereka selama 24 jam sehari kepada ibu
bapa. Kepada masyarakat. Kepada orang politik. Kepada polis. Kepada askar. Kepada
penghulu. Kepada Pegawai Daerah. Mungkin kepada Raja dan Sultan. Juga Menteri
Besar dan Ketua Menteri. Buat senarai yang sebenar. Sebarkan supaya semua orang
mengetahui bahawa kerja guru bukan hanya
memaksa murid membuat kerja rumah. Berjela panjangnya tugas guru. Bertimbun kerja
yang mesti disudahkan. Wajib dilakukan. Bertindan-tindan fail yang mesti diisi.
Berbagai laporan yang mesti disediakan. Berbagai mesyuarat yang mesti dihadiri.
Berbagai pertandingan yang mesti diurus. Tidak termasuk kelas tambahan yang
mesti juga diadakan. Bukan waktu petang sahaja tetapi pada hujung minggu dan
pada cuti sekolah.
Elok juga sediakan
pasukan ibu bapa yang berada di sekolah setiap hari. Pastikan mereka melihat
dengan jelas apa sebenarnya yang dibuat oleh guru-guru di sekolah. Jemput juga orang
lain ke sekolah seberapa kerap yang boleh. Biar mereka melihat apa sebenarnya yang
berlaku di sekolah. Adakah guru seperti yang difahami oleh orang di luar
sekolah. Kerjanya hanya mengajar. Seronok. Memakai pakaian yang cantik dan
kemas. Atau adakah guru adalah kuli masyarakat yang selalu dibebankan dengan
tugas untuk memandaikan bakal ahli masyarakat. Tetapi selalu tidak dibantu
untuk melaksanakan tugasnya dengan saksama. Kerja besar yang guru lakukan
setiap masa tiada siapa yang peduli. Kesilapan kecil yang guru lakukan
dibesar-besarkan. Benar juga keluhan guru. Kenapa tidak anak itu dibawa balik. Ibu
bapa ajar sendiri. Tidak lagi perlu sakit hati terhadap kerja guru.
Rasanya ibu bapa tidak
pernah ambil pusing dengan tugas guru. Ibu yang anaknya tidak seberapa pening
kepala dengan karenah anak-anak. Di sekolah murid atau pelajar beribu-ribu
orang ramainya. Jika ditugaskan 500 orang ibu dan bapa di sekolah belum tentu
mereka dapat mengawal keadaan. Yang pastinya mereka tiada kemahiran untuk
melaksanakan pendidikan yang bersistem. Berjadual. Lestari. Socially interactive.
Melaksanakan domain-domain pemikiran yang inquisitive. Mengembangkan minda. Merencanakan
perubahan. Melatih social being yang selalunya hanya guru yang
faham. Kita menjadi keliru dengan sikap ibu bapa yang tidak ada sedikit
kefahaman tentang kerja guru. Mereka hanya perlu membantu guru dengan cara
memantau kerja rumah anak-anak mereka. Itu sahaja. Bukan susah. Pastikan kerja rumah
anak mereka disiapkan untuk diperiksa. Semak setiap hari. Setiap masa. Guru marah
anak bukan untuk membunuh mereka. Bukan untuk disebat dengan cemeti. Bukan untuk
dihumban ke dalam perigi buta. Semuanya untuk memandaikan anak-anak.
Mungkin semasa wang
BRIM RM500 disampaikan, pemimpin yang bertanggungjawab buat aku janji dengan
ibu bapa. Saya berjanji
akan menyemak kerja sekolah anak saya setiap hari. Tandatangan. Ada saksi
dua orang. Bubuh tarikh. Jika ibu bapa jenis yang melaporkan kesilapan guru
senaraihitamkan mereka supaya tidak lagi layak menerima wang BRIM tahun yang
berikutnya. Pemimpin masyarakat atau mereka yang mempunyai kedudukan perlu
bercakap mengenai perkara ini. Guru memang profesional. Tetapi mereka
dibebankan dengan kerja-kerja yang bukan profesional. Profesionalism seperti di
kementerian tidak berlaku di sekolah. Profesionalism seperti di universiti tidak
berlaku di sekolah. Tuan dan puan, mengertilah bahawa guru-guru di sekolah
terlalu berat beban kerjanya. Yang bukan-bukan. Yang bukan profesionalpun. Tetapi
guru kena buat. Jika tidak dibuat hilang peluang naik pangkat. Tertutup peluang
bergaji lebih besar. Tuan dan puan tidak tahu akan hal ini. Tidak menyemak
kerja sekolah adalah satu kesalahan bersar kepada Guru Besar atau Pengetua. Kalau
mampu dan dibenarkan guru-guru yang gagal menyemak kerja rumah murid-muridnya mungkin
kena penampar Guru Besar atau Pengetua. Ibu dan bapa tidak tahu hal itu. Besarnya
erti kerja rumah dalam Kemenerian Pelajaran.
Sudah sampai
masanya guru dilindungi. Harus ditubuhkan suatu badan yang menjaga kepentingn
guru. Pentadbiran tidak dapat melindungi guru. Politik tidak dapat melindungi
guru. Perundangannya tidak ada. Guru, bagaimana? Fikirlah cara-cara untuk
menyelamatkan diri. Untuk menjaga kepentingan ramai. Tidak wajar selamanya
menjadi punching
bag kepada ahli masyarakat yang selalu sangat sedikit timbang
rasanya. Persatuan guru bagaimana? Kesatuan guru bagaimana? Lihat balik sajak
Uthman Awang. Bukankah semua orang berguru. Bukan guru kepalang ajar. Guru dalam
apa kapasitinya sekalipun telah dilalui oleh semua orang. Jarang sangat orang
yang tidak berguru. Jika begitu di manan silapnya hingga ibu dan bapa tidak
menginsafi tugas guru. Tidak meraikan kepayahan yang selalu ditanggung oleh guru.
Bukan empati. Simpati yang sangat sedikit pun sudah mencukupi untuk meriakan
hati guru yang selalu terluka.
No comments:
Post a Comment