Thursday, August 1, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bagaimana Jika Bapa Sendiri Mengajar Anak-Anak Di Sekolah?



Adakah guru bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelajaran anak-anak? Jika begitu serahkan anak-anak kita kepada guru. Jadi anak angkat guru. Duduk di rumah guru. Biar guru yang ajar secukupnya anak-anak kita. Kalau pandai, pandailah. Jika tidak pandai memang anak kita bukan untuk jadi pandai. Kita tidak ada dakwa dakwi ke atas guru kerana guru yang beri makan anak kita. Beri pakaian. Beri tempat tinggal. Beri wang saku setiap hari. Bayarkan fitrah bila menjelang hari raya. Bila sudah tamat belajar anak itu balik ke rumah dalam keadaan sudah pandai. Sudah bekerja. Gajinya lumayan pula. Ibu dan bapa terima hasilnya sahaja. Anak-anak boleh serahkan gaji mereka kepada ibu dan bapa. Nanti ibu dan bapa tidak perlu ambil tahu tentang persekolahan anak-anak. Apatah lagi mengenai kerja rumah dan sebagainya.

Kerana itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang besar untuk menambahkan bilangan guru. Setiap guru disediakan rumah yang besar untuk menampung anak angkat. Ibu dan bapa tidak perlu keluar apa-apa belanja untuk memandaikan anak-anak. Seorang guru umpamanya memelihara kira-kira 30 orang murid bagi satu-satu sesi. Maksudnya setiap masa ada 30 orang murid. Bila ada yang tamat diganti dengan yang baru. Seperti air yang mengalir. Yang kurang dipenuhkan. Yang penuh dialirkan. Semua usaha-usaha ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa mendidik anak-anak. Kita bebankan kesemuanya kepada guru-guru.  Oleh kerana guru adalah profesional rasanya guru boleh menjalankan tugas itu. Syaratnya guru diberi imbuhan yang sewajarnya untuk menampung kos hidup, tenaga dan masa yang diluangkan. Barangkali itulah kehendak ibu bapa kerana mereka tidak berminat dengan apa yang guru lakukan di sekolah.

Ada suatu kemusykilan yang selalu saya sebut kepada pelajar-pelajar saya dahulu. Guru tidak pernah menyenaraikan sepenuhnya tugas mereka selama 24 jam sehari kepada ibu bapa. Kepada masyarakat. Kepada orang politik. Kepada polis. Kepada askar. Kepada penghulu. Kepada Pegawai Daerah. Mungkin kepada Raja dan Sultan. Juga Menteri Besar dan Ketua Menteri. Buat senarai yang sebenar. Sebarkan supaya semua orang mengetahui  bahawa kerja guru bukan hanya memaksa murid membuat kerja rumah. Berjela panjangnya tugas guru. Bertimbun kerja yang mesti disudahkan. Wajib dilakukan. Bertindan-tindan fail yang mesti diisi. Berbagai laporan yang mesti disediakan. Berbagai mesyuarat yang mesti dihadiri. Berbagai pertandingan yang mesti diurus. Tidak termasuk kelas tambahan yang mesti juga diadakan. Bukan waktu petang sahaja tetapi pada hujung minggu dan pada cuti sekolah.

Elok juga sediakan pasukan ibu bapa yang berada di sekolah setiap hari. Pastikan mereka melihat dengan jelas apa sebenarnya yang dibuat oleh guru-guru di sekolah. Jemput juga orang lain ke sekolah seberapa kerap yang boleh. Biar mereka melihat apa sebenarnya yang berlaku di sekolah. Adakah guru seperti yang difahami oleh orang di luar sekolah. Kerjanya hanya mengajar. Seronok. Memakai pakaian yang cantik dan kemas. Atau adakah guru adalah kuli masyarakat yang selalu dibebankan dengan tugas untuk memandaikan bakal ahli masyarakat. Tetapi selalu tidak dibantu untuk melaksanakan tugasnya dengan saksama. Kerja besar yang guru lakukan setiap masa tiada siapa yang peduli. Kesilapan kecil yang guru lakukan dibesar-besarkan. Benar juga keluhan guru. Kenapa tidak anak itu dibawa balik. Ibu bapa ajar sendiri. Tidak lagi perlu sakit hati terhadap kerja guru.

Rasanya ibu bapa tidak pernah ambil pusing dengan tugas guru. Ibu yang anaknya tidak seberapa pening kepala dengan karenah anak-anak. Di sekolah murid atau pelajar beribu-ribu orang ramainya. Jika ditugaskan 500 orang ibu dan bapa di sekolah belum tentu mereka dapat mengawal keadaan. Yang pastinya mereka tiada kemahiran untuk melaksanakan pendidikan yang bersistem. Berjadual. Lestari. Socially interactive. Melaksanakan domain-domain pemikiran yang inquisitive. Mengembangkan minda. Merencanakan perubahan. Melatih social being yang selalunya hanya guru yang faham. Kita menjadi keliru dengan sikap ibu bapa yang tidak ada sedikit kefahaman tentang kerja guru. Mereka hanya perlu membantu guru dengan cara memantau kerja rumah anak-anak mereka. Itu sahaja. Bukan susah. Pastikan kerja rumah anak mereka disiapkan untuk diperiksa. Semak setiap hari. Setiap masa. Guru marah anak bukan untuk membunuh mereka. Bukan untuk disebat dengan cemeti. Bukan untuk dihumban ke dalam perigi buta. Semuanya untuk memandaikan anak-anak.

Mungkin semasa wang BRIM RM500 disampaikan, pemimpin yang bertanggungjawab buat aku janji dengan ibu bapa. Saya berjanji akan menyemak kerja sekolah anak saya setiap hari. Tandatangan. Ada saksi dua orang. Bubuh tarikh. Jika ibu bapa jenis yang melaporkan kesilapan guru senaraihitamkan mereka supaya tidak lagi layak menerima wang BRIM tahun yang berikutnya. Pemimpin masyarakat atau mereka yang mempunyai kedudukan perlu bercakap mengenai perkara ini. Guru memang profesional. Tetapi mereka dibebankan dengan kerja-kerja yang bukan profesional. Profesionalism seperti di kementerian tidak berlaku di sekolah. Profesionalism seperti di universiti tidak berlaku di sekolah. Tuan dan puan, mengertilah bahawa guru-guru di sekolah terlalu berat beban kerjanya. Yang bukan-bukan. Yang bukan profesionalpun. Tetapi guru kena buat. Jika tidak dibuat hilang peluang naik pangkat. Tertutup peluang bergaji lebih besar. Tuan dan puan tidak tahu akan hal ini. Tidak menyemak kerja sekolah adalah satu kesalahan bersar kepada Guru Besar atau Pengetua. Kalau mampu dan dibenarkan guru-guru yang gagal menyemak kerja rumah murid-muridnya mungkin kena penampar Guru Besar atau Pengetua. Ibu dan bapa tidak tahu hal itu. Besarnya erti kerja rumah dalam Kemenerian Pelajaran.


Sudah sampai masanya guru dilindungi. Harus ditubuhkan suatu badan yang menjaga kepentingn guru. Pentadbiran tidak dapat melindungi guru. Politik tidak dapat melindungi guru. Perundangannya tidak ada. Guru, bagaimana? Fikirlah cara-cara untuk menyelamatkan diri. Untuk menjaga kepentingan ramai. Tidak wajar selamanya menjadi punching bag kepada ahli masyarakat yang selalu sangat sedikit timbang rasanya. Persatuan guru bagaimana? Kesatuan guru bagaimana? Lihat balik sajak Uthman Awang. Bukankah semua orang berguru. Bukan guru kepalang ajar. Guru dalam apa kapasitinya sekalipun telah dilalui oleh semua orang. Jarang sangat orang yang tidak berguru. Jika begitu di manan silapnya hingga ibu dan bapa tidak menginsafi tugas guru. Tidak meraikan kepayahan yang selalu ditanggung oleh guru. Bukan empati. Simpati yang sangat sedikit pun sudah mencukupi untuk meriakan hati guru yang selalu terluka.

Wednesday, July 31, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bila Tua Tertinggal Di Perjalanan



Lapanganterbang Kaherah sunyi lagi. Sunyi pada hati kami. Selama sebulan di sini dapat juga bersama anak lelaki kami dan isterinya. Banyak kali mereka berbuka bersama kami. Tidur di rumah kami. Kebetulan ada dua bilik. Satu untuk kami dan satu untuk mereka. Hari ini anak saya dan isterinya kembali ke Malaysia. Tinggal lagi kami berdua. Semasa masih boleh bersama. Kami berdua sejak 2 Ogos 1971. 42 tahun dahulu. Selepas mendapat 9 orang anak, tahun dan tahun berganti semusim dan bermusim. Seorang demi seorang kami lepaskan kerana mereka mencari kehidupan sendiri. Berumatangga dan punya tanggungjawab sendiri. Perjalanan hidup selalunya begitu. Seorang yang rindukan untuk brdua. Dari berdua angka-angkanya bertambah dati tahun ke setahun. Anak-anak membesar. Punya hidup sendiri. Kembali menerima hakikat untuk berdua lagi. Itupun sementara kembali menjadi seorang. Untuk nanti sampai masanya hanya nama yang tinggal. Sejarah yang ditinggalkan. Mudah-mudahan ada yang ditinggalkan untuk generasi kemudian.

Apabila anak-anak meninggalkan rumah untuk belajar di sekolah berasrama, masih boleh dijenguk sekali sekala. Ada masa singgah menjengah wajahnya. Melepas rindu berpisah dengan darah daging sendiri. Siapa yag tidak rindu dengan anak. Dari sekolah mereka ke IPT. Empat orang ke IPT luarnegara. Lapanganterbang dari Subang ke KLIA diulang selalu. Melepaskan mereka pergi pada suatu ketika dan menerima mereka kembali pada ketika yang berlainan. Apabila mereka pulang bercuti sekali sekala terasa dekat antara benua. Keterikatan antara anak-anak dan kami tetap ada. Jika tidak, hanya suara di hujung talian. Sayup atau jelas bergantung kepada teknologi. Di negara maju hujung talian selalunya segar dan jelas. Di negara yang lain terpaksa melekapkan telefon ke telinga untuk mendengar suara. Bila maju, teknologinya maju. Banyak kemudahan komunukasi.

Sekarang dan dahulu banyak bezanya. Senang dengan sms atau laman sesawang sosial seperti fb, twitter atau e-mail. Begitu juga dengan skype atau watssap. Namanya sahaja sudah payah dieja dan disebut. Dari jauh boleh didengar suara. Boleh ditatap wajah-wajah yang dirindu. Begitu juga smartphone. Teknologi mendekatkan antara yang jauh. Melepaskan rindu bukan lagi bertemu bersemuka. Cukup dengan teknologi. Hidup semakin lama semakin dibuai dengan keindahan mencipta teknologi. Kepayahan zaman dahulu sudah lama ditinggalkan. Berganti dengan musim bersama dari jauh. Bukan bersama dari dekat sahaja. Kerana itu kerinduan yang ditaggung tidak seperti orang dahulu. Berita dihantar melalui angin. Angin bawalah berita. Bawalah rindu kepadanya. Tentu orang sekarang ketawa tidak mengerti. Itu deria rasa orang dahulu. Mungkin tidak ramai yang percaya. Gelombang perasaan itu sampai kepada yang empunya diri. Terutama mereka yang dekat kerana darah daging atau dekat kerana tertaut perasaan.

Sampai masanya anak-anak berkerjaya. Meninggalkan rumah juga untuk jangkamasa yang tidak menentu. Bergantung kepada komitmen kerja. Namun begitu kerana anak ramai, ada sahaja yang pulang bertingkah waktu. Ada wajah-wajah yang melintas di hadapan mata. Walaupun sehari dua, namun cukup meriuhkan hati dan perasaan. Begitulah masa memisahkan kami dengan anak-anak. Seorang demi seorang meninggalkan rumah kerana sudah berkeluarga. Dalam negara yang belum seberapa majunya, semua kerja seolah-olah bertumpu di ibu negara. Kerana itu tiada anak kami yang berkerjaya di tempat berhampiran. Tidak di negara maju. Ada sahaja kerja di bandar berhampiran. Maknanya anak-anak berpelajaran. Kerjaya menanti mereka di kawasan sendiri. Malang bagi kita anak-anak yang pandai berada di tempat orang. Orang lain yang menikmati kebijaksanaan mereka. Bukan ibu bapa. Dan bukan ahli masyarakat di tempat mereka dibesarkan. Hijrah ini belum ada kesudahannya. Bila pandai mereka meninggalkan kampung. Meninggalkan keluarga. Meninggalkan masyarakat setempat.

Anak-anak berada jauh banyak juga indahnya. Rindukan cucu memang selalu. Datangnya meriuhkan. Hilangnya menyunyikan.  Bila rindu mendatang dijengah mereka. Berkeriau kegirangan. Bila kembali ada yang hendak mengikut sama. Waktu cuti mungkin tidak mengapa. Jika waktu sekolah menangislah mereka kehampaan. Sewaktu muda ada banyak masa yang lapang. Masih ada anak seorang dua di rumah. Cucu-cucu boleh lagi berlegar di rumah bersama bapa saudara atau ibu saudara mereka. Anak-anak saya yang kecil. Bila semakin tua rumah sudah selalu kosong pada waktu siang. Kami sibuk memberi khidmat kepada masyarakat. Ada sahaja urusan di luar rumah. Selain dari menjadi pengajar dan pensyarah sambilan petang dan malam kami, kami habiskan dengan mengajar al-Quran. Ada masanya terlibat dengan persatuan dan kumpulan-kumpulan amal. Hidup ini jika tidak disibukkan, minda kita menjadi sibuk dengan berfikiran kosong. Tidak ada yang dapat dibuat secara konkrit. Kerana itu semakin tua jangan semakin banyak berehat. Rugi tua. Rugi usia. Rugi masa.

Kerana mengejar masa kami rentas lagi benua. Melompat dari sebuah negara ke negara yang lain. Dulu cerita kami selalu ditinggalkan anak-anak. Sekarang kami meninggalkan anak-anak dan cucu-cucu. Sampai masanya anak yang bersama meninggalkan kami lagi. Kali ini suasananya berlainan sekali. Selalunya kami ditinggalkan di rumah kami sendiri. Kali ini kami ditinggalkan di negara orang. Di negara yang sukar diramalkan masa hadapannya. Pergolakannya masih berpanjangan. Walaupun pusat pergolakan itu jauh dari kami namun kebimbangan tetap ada. Pergerakan terhad juga. Hanya ke daerah dan kawsan yang terdekat. Untuk pergi jauh masih boleh ditunda. Sesudah sebulan di sini, al-Azhar as-Sharif belum dapat dijengah. Berhati-hati dahulu. Meninjau suasana. Kali terakhir adalah semalam. Kami bercadang hendak ke al-Azhar. Terpaksa diurungkan kerana faktor keselamatan.

Dua hari yang lalu isteri saya membuat karipap dan mee rebus. Saya panggil anak saya dan isterinya berbuka bersama. Terkejut dia kerana ibuny atideak pernah membuat karipap sejak lebih 20 tahun yang lalu. Berselera mereka makan. Mereka tidur lagi di sini. Petang semalam isteri saya memasak mee goreng basah. Dicampur dengan udang, lada kering, brocoli dan lada gajah. Berulang-ulang anak saya makan. Seleranya memuncak. Digoreng lagi karipap semalam. Sedapnya menggigit jari. Seumur anak saya isteri saya sudah terlalu lama tidak membuat karipap. Berada di tempat orang kemahiran lama digilap semula. Beberapa hari lalu terfikir juga akan sunyinya nanti apabila anak saya dan isterinya, menantu kami meninggalkan kami di sini. Setelah bersama selalu tetiba ada ruang kosong lagi yang menerpa tiba. Sudut hati yang pastinya hiba. Lubuk rasa yang pastinya meluang ruang. Hakikat yang selalu menerpa. Bahawa kekosongan itu hak kita. Isilah. Ia akan kosong lagi. Begitulah berulang antara masa dan masa. Memang menjadi kerja untuk mengisi ruang kosong. Mencari ruang kosong untuk diisi.

Sesungguhnya ruang kosong itu adalah kita. Diri kita. Hanya yang mengetahui sahaja akan mengisi ruang kosong itu. Hanya yang arif sahaja mengetahui menyimpan di ruangan kosong dan kekal di dalamnya. Tanpa kebijaksanaan ruang kosong yang kita hadapai tetap kosong walaupun puas diisi. Seperti air mata berada di ruang kosong. Sampai masanya ia melimpah sama ada merembas di pipi atau sekadar tergenang di mata. Ia akan kering untuk berada di ruangan kosong itu. Kembali kepada fitrah dan hakikat. Apabila perpisahan berlaku maka airmata tidak dapat mengisi ruang kosong yang tercipta. Ia akan kosong berpanjangan hingga sampai waktu penuhnya. Perasaan yang akan penuh sendiri. Ibarat air yang mengalir memenuhi ruang kosong itu sendiri.  Begitu kegembiraan diisi dengan airmata. Dua ekstrim yang sifatnya hampir sama.


Kami tetap di sini. Berdua menghabiskan misi hidup yang belum terisi. Tidak berani ke sisi kerana jalan di hadapan perlu direntas lagi. Banyak yang belum diperolehi. Berpisah sementara dengan anak, menantu dan cucu-cucu kesayangan. InsyaAllah tahun hadapan bertemu lagi.

Bila hendak meninggalkan sesuatu tempat ada sahaja barang yang tidak muat untuk dibawa.

Hendak dibawa tetapi hendak selit di mana 

Ada lagi

Saat-saat sebelum meninggalkan rumah

Termenung juga seorang ibu hendak ditinggalkan anak

Rakan yang akan sama pulang. Di belakang bersepah beg yang besar-besar.

Pakaian lama dan mungkin sedikit hadiah untuk keluarga. Ikut yang mampu sahaja.

Keluar dari perkarangan yang dihuni selama lima tahun

Papan tanda ini akan berbalam dalam ingatan. Ada yang mahu diingat dan ada yang ingin dilupakan. Selepas beberapa tahun nanti akan diulang lihat untyk kembali kepada masa yang lampau.

Terjengah-jenga juga untuk meninggalkan sesuatu yang sudah terbiasa di situ

Sementara menunggu yang lain

Lorong ini akan sunyi dari ingatan

Tidak lagi akan dilewati

Debunya yang pernah hinggap pada tubuh

Tempat bermain tentu dikenang

Laluan yang nantinya akan nostalgik 

Tangga masjid yang selalu diinjak naik dan turun bersama doa 

Bila berhimpun begini banyak ragamnya. Kenapa hanya tercengang-cengang. Tolonglah bawa beg sendiri sekurang-kurangnya. Sedar jika tercicir.

Hendak mengimbas bagasi

Kedua-duanya akan meninggalkan kami

Semakin dekat masanya

Menunggu giliran

Lapanganterbang ini akan ditinggalkan untuk jangka waktu yang panjang. Ada umur mungkin dijengah lagi apabila ada seminar atau lawatan sewaktu sudah menjadi pegawai nanti.

Yang tinggal mungkin air mata sahaja yang mengalir. Sendu dalam hati.

Sunyi sebentar. Giliran masing-masing akan tiba.

Saat yang akan menghilang hanya beberapa detik selepas ini.



Tuesday, July 30, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Murah dan Percuma



Bila orang kata murah mungkin ada yang tidak percaya. Bila dikatakan percuma tentulah bertambah lagi tidak percaya. Pada hakikatnya itulah realiti berada di bumi anbia. Pengalaman yang sama di Amman dan di Kaherah. Kebetulan kedua-duanya berkaitan dengan cili segar. Lada besar kata orang Johor. Ada yang merah dan ada yang hijau. Di negara Arab warna ladanya ada tiga. Hijau kerana masih muda, merah yang sudah masak dan warna kekuningan dalam dua versi warna. Kuning kekuningan dan merah. Jika di Irbid tiga kilogram hanya 1JD atau sama dengan RM4.60. Kira-kira RM1.50/kg. Di Kaherah rasanya lebih murah lagi kerana 2LE/kg. Sama dengan RM0.88 sahaja sekilogram. Di Amman saya membeli kira-kira 10 biji lada. Ditimbang tetapi pekedai mengatakan majanan atau gratis (Indonesia) atau percuma. Beberapa hari lepas perkara yang sama berlaku di Kaherah. Saya membeli lada merah kira-kira 350 gram. Atau 0.75LE. Sampai dikaunter ianya tidak dikira. Percuma lagi.

Ada beberapa implikasi tentang perniagaan di kalangan orang Arab. Orang Islam. Walaupun mereka tidak semaju yang kita harapkan namun pertimbangan berat diutamakan.

1        Timbangan dan sukatan tidak dikurangkan. Mesti dilebihkan. Cuba belek semula sejarah Nabi Syuib. Kaum Madyan dimusnahkan oleh Allah kerana mereka suka mengurangkan timbangan dan sukatan. Kerana itu saya dapati orang Arab melebihkan timbangan apabila menjual. Melebihkan sukatan apabila perlu diukur atau disukat. Menyelamatkan diri supaya tidak diazab seperti kaum Nabi Syuib. Bagaimana di Malaysia? Kadang-kadang peniaga Islam menjadi tidak Islamik. Barang-barang sub-standard, harga dilambungkan. Jadi kemaruk dengan keuntungan sedangkan akhirnya pengguna sedar tertipu. Perniagaan jadi menguncup selepas itu.
2        Peniaga di negara Arab ada konsep sedekahnya. Sedikit yang memadai. Cili yang hampir setengah kilogram dikira banyak jika di Malaysia. Saya rasa bukan kebetulan. Dua kali bukan kebetulan. Tentu ini amalan. Tidak terlalu berkira. Yang sedikit diabaikan. Dikira tetapi tidak dimasukkan dalam jumlah yang perlu dibayar. Hanya apabila kita semak bil kita dapati ada barang yang tidak dikira. Alhamdulillah. Rezeki dari Allah.

Sekarang sudah hampir hari raya. Menjelang hari yang selalunya dibesarkan oleh orang Islam di negara-negara nusantara. Tidak di negara Arab. Saya tinggalkan Malaysia sebelum pilihanraya. Selepas pilihanraya, datang pula Ramadhan. Sekarang menjelang hari raya. Amalan yang sudah terbiasa ialah barang-barang naik harga selepas pilihanraya. Kenapa? Tak tahu. Mengapa? Tak tahu. Wajarkah? Tak tahu. Semua orang kena tanggung bebannya. Percuma? Mana ada. Jangan harap berlaku di Malaysia. Di Batu Pahat, Johor rasanya cili besar sudah melebihi RM10 sekarang. Dua hari menjelang hari raya pastinya harga meningkat lagi. Ada dua saranan:

1        Tanam lada tiga bulan menjelang hari raya. Tanah banyak dan luas. Dalam pasu pun boleh. Tanah di kampung apa kurangnya. Berhektar-hektar keliling rumah.
2        Ubah menu makanan. Kurangkan cili. Atau ubah adat dari memasak atau memakan makanan yang banyak cili dan bahan-bahan yang biasa.
3        Kena ada satu gerakan yang boleh menggempur kebiasaan ini. Masak ala kadar. Bukan wajib. Sunat sahaja. Tetapi jika hingga taksub, bahaya juga. Malah banyak juga berlaku pembaziran. Pahala yang bertukar menjadi dosa.

Satu lagi yang tidak dapat dipecahkan ialah kitaran perniagaan. Orang Islam Melayu tidak menguasai pasaran sayur-sayuran. Hanya menempel restu orang lain. Kerana itu kita tidak dapat mengawal keadaan. Kerakusan untuk menangguk keuntungan sangat tinggi. Kesempatan kerana adat yang terlalu diikut rasa. Membinasakan tabungan sahaja. Membinasakan ekonomi yang sedikit. Ekonomi yang sempit. Merugikan dalam jangka pendek dan jangka panjang. Kita menang politik tetapi kalah habis dalam ekonomi. Ko. Knock out. Habis. Saya teringat cili merah berharga RM20 pada tahun 1991. Di Ipoh hanya RM6. Sebabnya? Orang Ipoh tidak menggila menggunakan cili merah. Mereka memasak menu lain. Tidak taksub kepada cili merah. Orang Johor (maaf orang Jawa) seharusnya berubah paradigma. Kawal kebiasaan supaya kebiasaan itu tidak dimanipulasi oleh orang lain. Anak-anak yang balik kampung jangan pula menagih makanan tradisi yang mahal harganya sekarang. Buang kebiasaan itu. Masak makanan lain yang lebih mudah.

Lagi satu, jangan berlumba-lumba membunuh diri pada hari raya ini. Selepas hari raya darah tinggi meningkat. Gula dalam darah meningkat parasnya. Gaut menjadi-jadi. Demam melibatkan ramai orang. Kesemuanya gara-gara memakan makanan yang tinggi lemaknya. Tinggi karbohidratnya. Tinggi kolestrolnya. Tinggi gulanya. Itu belum mentega, minyak sapi, margerin, krim, gula dan sebagainya. Belum lagi penaik, pengawet, pewarna, perasa dan entah apa lagi yang dipaksa masuk ke dalam perut. Sesak sampai ke dada. Banyak makanan adalah dalam konsep sedekah. Ramai yang memberi makanan percuma. Masalahnya masing-masing cuba membunuh satu sama lain. Mungkin kita cuba lebih santai. Makan apa yang ada. Sayur masak air. Atau celur sahaja. Jantung pisang banyak. Pucuk paku banyak. Pusuk ubi banyak. Pucuk manis banyak. Kangkung banyak. Bayam banyak. Keliling rumah dan keliling kampung penuh dengan sayur. Tumbu-tumbuhan yang boleh dijadikan sayur. Kurangkan kelapa dan minyak. Pelihara ayam sebanyak-banyaknya. Ayam kampung mahal dijual. Dimakan lebih berperisa. Cuma jangan dilepaskan begitu sahaja. Dikawal dan diberi makan secara berkala. Seperti ayam komersil. Supaya ayam itu tidak makan yang bukan-bukan.

Saya ingin kembali memilih. Ramadhan atau hari raya. Jika kita memilih Ramadhan maka hari raya menjadi event yang kita kesampingkan. Subdued. Maksudnya kita tetap beraya tetapi ala kadar persediaannya. Beraya kerana telah berjaya tamat menjalani Ramadhan. Makan ala kadar. Pakaian ala kadar. Persediaan lain ala kadar juga. Sukar sungguh hendak membuang kebiasaan ini. Yang penting ibadat. Takbir, tahmid dan tahlil. Yang penting ibadat. Ibadat. Ibadat. Kegilaan berhari raya dengan berlebih-lebihan wajar dikurangkan. Disederhanakan. Cuba fikirkan habis-habis. Semasak-masaknya. Sedalam-dalamnya. Sewaras-warasnya. Kita orang Islam sentiasa dalam kerugian. Kita beli berbagai persiapan, orang lain yang untung. Bukan orang kita. Kita beli berbagai pakaian. Orang lain yang untung. Kita bergaya sakan. Orang lain yang untung. Orang kita hanya mendapat serpihan dari keuntungan besar yang dikaut oleh orang lain. Kenapa kita tidak muasabah diri supaya kita berkira dengan  keadaan yang seperlunya.

Orang Islam Melayu tidak menyedari bahawa mereka banyak menyumbang kepada kenaikan harga barang-barang.

1        Kita tidak kisah harga barang meningkat.  Dah nak naik macam mana. Terlalu berserah. Ada mekanisma yang boleh menurunkan harga. Bincanglah dengan mereka yang arif. Jangan ikut lurus bendul sahaja.
2        Adat kita terlau terikat sehingga tidak mahu mengubah kebiasaan. Tiap kali musim perayaan harga barang mesti naik. Jika tidak membeli tidak ada orang Melayu yang sakit atau hingga meninggal dunia. Tidak seronok. Seronok hanya perasaan. Seksa poket tiada siapa yang ambil peduli. Wang tabungan bocor tiada siapa yang peduli. Tahun ini pula bonus hanya setakat RM500. Jika kebisaan tidak diubah, RM500 hanya cukup untuk membeli beberapa kilogram daging dan ayam.


Sampai masanya kita meneliti semula diri kita. Kembalikan yang hak. Berbelanja yang hak. Membeli yang hak. Yang perlu sahaja. Yang kerananya kita kebulur jika tidak ada. Kesihatan terganggu jika tidak ada. Tenaga pupus jika tidak ada. Yang perlu dan perlu sahaja. Kita yang boleh mengubanya. Jangan harap pada orang lain. Paling tidak baik ialah marah pada orang lain. Kita yang perlu mengubahnya. Bukan orang lain.

Saturday, July 27, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Matematik Dalam Proses Membina Sebuah Rumah



Sewaktu saya membina rumah dahulu saya kontrakkan kepada seorang Melayu. Dalam senarainya banyak rumah yang telah dibina. Saya tidak pula menyiasat penuh setakat mana kejayaannya membina rumah. Standard yang dicapainya dan sebagainya.  Rumah saya yang dikontraknya mengambil masa 20 bulan. Selalunya 8 bulan sudah siap. Tetapi rumah saya 20 bulan. Hampir setiap hari saya memantau apa yang dikerjakan ke atas rumah itu. Dari meratakan tanah hinggalah siap. Kemajuan hariannya sangatlah perlahan. Kadang-kadang no progress. Tidak ada tanda kerja. Tiada barang untuk dikerjakan. Membina bangunan di kalangan kontraktor Melayau seperti juga menjual pisang goreng. Asal laku. Asal buat. Asal jadi. Asal siap. Kita yang hendak duduk sakit jiwa dibuatnya. Rumah lama siap. Kita terus menyewa rumah. 20 bulan tolak 8 bulan bermakna 12 bulan saya menanggung sewa rumah. Beribu juga habisnya.

Selepas membina rumah saya dapati ada beberapa hal lagi yang perlu penambahbaikan. Kontrakkan kepada kontraktor Melayu. Sama juga. Banyak songelnya. Banyak dalehnya. Lisan bicaranya seperti yang terbaik dalam dunia. Hasil kerjanya tidak juga seberapa. Ada bahagian bumbung rumah saya yang bocor. Berbagai orang yang datang. Berbagai idea. Semuanya tidak menjadi. Bocor tetap bocor. Akhirnya ambil juga kontraktor Cina. Pakar bumbung. Kerjanya hanya berkaitan dengan membetulkan bumbung. Tiada kerja lain. Dipanjatnyalah bumbung. Naik hanya sekali sahaja. Apabila turun dibentangkan kosnya kira-kira RM18,000. Saya senyap sebentar. Kira terduduk jugalah. Tawar punya tawar. Kurang RM500. Bincang punya bincang boleh bayar ansur. Alhamdulillah. Memang bumbung yang perlu dibaiki tetapi untuk itu:

1         Datang kontraktor elektrik. Kipas dan lampu perlu ditanggalkan. Akan dipasang semula kemudian.
2         Datang kontraktor siling. Ditanggalkan yang lama. Akan diganti kemudian.
3         Setelah siap bumbung diperbetulkan siling dibuat semula. Kipas dan lampu dipasang semula. Datang pula kontraktor cat. Siling dicat.
4         RM17,500 bukan untuk bumbung sahaja tetapi untuk semua kerja yang berkaitan.
5         Saya betulkan juga bilik air. Datang kontraktor lain.
6         Bertulan paip air. Datang kontraktor lain.
7         Buat pintu gelongsor (sliding door). Datang kontraktor lain.
8         Kesemua mereka dirangkaikan kepada kontraktor bumbung.

Kesemua mereka tidak bekerja dengan kontraktor bumbung tetapi semua bayaran melalui kontraktor bumbung. Yang menakjubkan ialah, kontraktor yang berbagai-bagai itu hampir serupa peribadinya. Banyak kerja dan tidak banyak cakap. Bersedia mendengar dan melayani kehendak kami yang membayar mereka. Tidak banyak cerita. Tidak ada yang merungut. Tidak ada yang masam muka bila diajak berunding. Hati pelanggan dipuaskan. Saya tidak menghubungi setiap seorang daripada mereka. Semuanya diuruskan oleh kontraktor bumbung. Sebenarnya ada juga kerja-kerja tambahan yang tidak dikira. Mungkin terlalu kecil untuk dikira. Atau juga dijadikan tarikan pelanggan. Tidak terlalu berkira. Walaupun bukan Islam konsep sedekah diamalkannya. Ada lebih dan kurangnya. Tidak melahap apa sahaja yang ada. Berkira apabila mengambikira upah dan belanja. Tetapi tidak menekan. Ahlamdulillah setelah beberapa tahun masalah bocor dapat diatasi.

Saya ingin kembali kepada masalah kontraktor Melayu. Kebanyakan mereka memiliki keberanian untuk mengambil kerja-kerja kontrak. Maafkan saya. Ramai antara mereka pengalamannya cetek. Tidak mahu belajar untuk memperbaiki diri.

1        Bajet selalu diabaikan.
2        Jadual kerja tidak ada. Tiada matematik. Apatah lagi simplex method, critical path method (CPM), program evaluation and review technique (PERT), decision tree, stock management dan banyak lagi yang diamalkan dalam kejuruteraan.  
3        Tidak ada waktu mula kerja dan tamat kerja yang standard.
4        Tidak ada jadual hari kerja yang standard.

Apabila kesemua yang tersebut diabaikan maka tiada jangkamasa yang dapat ditetapkan. Apabila tuan rumah daif dalam hal perundangan maka kontraktor bebas membuat ta’rifannya sendiri tentang masa dan kualiti. Sebagai contoh tentang ta’rif lewat. Jenis-jenis kelewatan. Kesemua ini memerlukan suatu kefahaman yang mendalam. Hanya mereka yang faham dan berpengalaman sahaja dapat membuat kontrak yang adil. Seorang sahabat saya di Kluang menerima bayaran kembali sebanyak RM11,00 kerana kontraktor lewat menyiapkan rumahnya. Rumah saya yang lewat sehingga 20 bulan tidak memberikan apa-apa kepada saya. Berbagai-bagai masalah yang cuba saya bantu. Hasil kerjanya kurang memuaskan mengikut standard saya. Saya terima juga ketentuan yang ada. Antara masalah pekerja  Melayu pula ialah:

1         Lewat memulakan kerja. Datang pukul 8.30 pagi baru hendak sarapan. Merokok dahulu. Sembang sekejap. Pukul 9.30 pagi baru hendak memulakan kerja. Setengah jam atau satu jam berhenti pula untuk merokok. Pukul 12.00 tengahari sudah berhenti untuk makan tengahari.

Sebagai perbandingan, pekerja Cina memulakan kerja tepat pada pukul 8.00 pagi. Tidak berhenti untuk minum atau merokok. Pekerja di Jordan memulakan kerja pada pukul 7.00 pagi. Kira cerah matahari. Bukan kira waktu.

2         Pekerja Melayu menyambung kerja pada pukul 2.30 petang atau lebih lewat.

Pekerja Cina memulakan kerja tepat pada pukul 2.00 petang. Dari Ipoh hingga ke Batu Pahat itulah amalam  mereka yang saya lihat. Rehat selama dua jam meeka habiskan untuk makan, merokok dan tidur. Sempat tidur.

3         Pekerja Melayu berhenti kerja pada waktu petang mungkin pada pukul 4.30 petang. Masing-masing berkejar hendak balik.

Pekerja Cina berhenti kerja pada pukul 5.00 petang. Sebelum balik mereka kemas dan sapu tempat mereka bekerja. Tidak ada sepah selepas kerja. Saya belum jumpa pekerja Melayu yang berkemas atau menyapu bekas kerja mereka sebelum meninggalkan tempat kerja.

4         Pekerja Melayu cuti hujung minggu. Kadang-kadang cuti juga apabila ada kenduri kendara. Komitmen terhadap kerja tidak ada.

Pekerja Cina cuti hanya pada hari Ahad sahaja. Tidak ada cuti lain kerana orang Cuna biasanya mengadakan kenduri kendara pada waktu malam.

5         Kontraktor Melayu sangat berharap kepada bayaran pendahuluan dan bayaran progress. Tanpa keduanya kewangan mereka sesak dan mereka tidak boleh bernafas. Maknanya kontraktor Melayu kekurangan modal.

Kontraktor Cina tidak berharap sangat kepada bayaran-bayaran tersebut. Yang penting bayar. Kontraktor Cina memiliki sumber modal.

6         Kontraktor Melayu cukup dengan satu kontrak pada satu-satu ketika. Bayangkan selama 20 bulan berapa keuntungan yang boleh diperolehi. Pekerja tidak ada masalah. Kontraktor yang menanggung kos masa. Bukankah masa itu emas? Tidak diterjemahkan dalam bentuk ringgit. Masalah besar jika tahap kearifan tidak tinggi.

7         Kontraktor Melayu tidak memiliki pekerja mahir yang berbagai. Semua pekerja dianggap boleh buat semua kerja.

Pekerja Cina berbeza. Setiap seorang memiliki kemahiran yang berbeza. yang membuat pintu dan tingkap berbeza dengan yang memasang kunci. Yang menyimin dan yang mengecat berbeza. Yang membuat tingkap kayu berbeza dengan yang membuat tingkap besi dan sebagainya. Pekerja Cina membuat pengkhususan. Pekerja Melayu banyak jack of all trades. Kualiti tidak difikirkan dengan mendalam.

8         Kontraktor Melayu tidak memiliki pekerja yang memahami seni atau yang berkaitan dengan seni. Sakit jiwa apabila pekerja mengetuk kekisi kayu yang berseni sesuka hati. Atau tiang tangga diketuk bagai hendak pecah.

Banyak yang perlu diperbaiki oleh kontraktor Melayu. Slogan-slogan sahaja tidak memadai. Tidak menjanjikan kepuasan kepada pelanggan. Membina rumah adalah sesuatu yang penuh nilai dalam kehidupan seseorang. Apabila siap rumah itu ingin dihuni dan dinikmati fizikal dan seninya. Ia seharusnya mendamaikan. Saya sarankan supaya kontraktor Melayu:

1        Pelajari the latest technique. The state of the art.
2        Bina rangkaian rakan kontraktor yang berbagai.
3        Tumpu kepada satu bidang sahaja untuk membina kemahiran. Rangkaian membantu memperluaskan kerja. Peranan sub-kontraktor.  
4        Latih seberapa ramai pekerja mahir. Tangkap seberapa banyak kerja kontrak.
5        Jadualkan kerja supaya setiap kontrak disusun mengikut susunan kerjanya. Jangan bercampur aduk.
6        Sediakan bajet yang menasabah. Kontraktor hendaklah makan gaji kepada dirinya sendiri. Wang yang berada dalam poket bukan haknya. Wang itu hendaklah disimpan. Ia harus menguatkan semangat untuk mengambil elaun bulanannya sahaja. Jangan makan wang yang melebihi elaun bulanan. Perniagaan nanti menjadi tunggang langgang.


Kembalikan kepercayaan bangsamu kepada dirimu. Ubah sikap. Ubah kemahiran. Berniaga mesti diurus secara berniaga. 

Thursday, July 25, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Senibina Yang Membina Tamadun




Banyak berjalan pastinya banyak melihat. Ada sahaja yang dapat dipandang. Dari situ boleh buat berbagai-bagai tafsiran. Membuat analisis. Membuat rumusan. Suatu ketika dalam hidup. Suatu sudut usia. Melihat dan memerhati. Mengingat kembali yang lalu. Cuba memindahkannya kepada suatu fasa lain pada masa hadapan. Tentunya dalam hidup ini kita perlu banyak bersyukur. Banyak nikmat yang Allah anugerahkan. Tiada manusia yang dapat mengira. Kita hanya dapat bersyukur. Kelemahan yang ada pada kita tidak memungkinkan kita berbuat yang terbaik. Banyak komitmen hidup yang perlukan masa dan tenaga. Mudah-mudahan kesemuanya kerana Allah. Dalam apa keadaan sekalipun kita mesti mencari damai di hati supaya boleh beribadat dengan aman dan damai. Jika hati tidak tenang sukar khusyuk dalam ibadat.

Dalam berpindah randah saya dapat mempelajari banyak perkara. Antaranya barangkali senibina. Semua manusia perlukan rumah dalam bentuknya yang berbagai. Setiap tempat, daerah, negeri dan negara ada kelainannya. Kita tidak boleh hanya hairan dan banyak kenapanya. Setiap sesuatu berasaskan pengalaman berbeza. Pengaruh iklim, angin, suhu, cahaya matahari, adat, budaya dan kebiasaan mempengaruhi senibina. Pendidikan dan disiplin hidup menambahbaik senibina itu. Jika banyak bersyukur Allah sentiasa memberi banyak kelebihan. Rezeki Allah berbagai bentuknya. Kadang-kadang kita tidak perasan. Sewaktu saya hendak membina rumah dahulu saya fikirkan arah angin dan arah matahari naik dan turun. Angin selalunya ada kaitan dengan hujan. Andainya rumah mengadap angin maka selalulah tempias apabila hujan lebat.  Matahari pula mempengaruhi suhu di dalam rumah. Terutamanya bilik tidur. Ianya lebih baik mengadap matahari naik. Apabila malam bilik itu lebih dingin berbanding yang mengadap matahari jatuh.

Di Jordan, rumah saya di tingkat bawah. Atas tanah. Tetapi kerana orang Jordan membina rumah di lereng-lereng bukit maka tingkat bawah bermakna seperti di bawah tanah. Alhamdulillah rumah yang saya duduk tidak tertanam dalam tanah seperti kebiasaannya. Apabila membuka tingkap masih nampak dunia di sekeliling. Cuma selalu berjaga-jaga supaya mereka yang di atas bangunan bersebelahan tidak banyak nampak pergerakan kita. Kena selalu berjaga takut-takut kita tidak dalam keadaan sempurna. Rumah orang Jordan agak kemas buatannya. Secara perundangannya semua rumah diwajibkan menggunakan jubin batu tempatan. Sebelah rata dan sebelah lagi sengaja dikasarkan dengan cara dipahat atau diketuk. Tentu menggunakan mesin khas untuk melakukanya secara berskala besar. Cuma rumah orang Jordan tidak dicat. Warnanya sama sahaja. Tidak kira di mana. Itulah warnanya. Warna putih batu.

Di Kaherah ini rumah yang saya duduki adalah rumah lama. Saya perhatikan rumah orang Mesir agak kasar buatannya. Mungkin adatnya begitu. Tidak dirasakan mengapa. Keduanya mungkin untuk menjimatkan kos. Ketiganya mungkin kerana tiada perundangan yang mengawal tentang seni dalam senibina. Yang dipastikan dipatuhi hanya dari segi kejuruteraan tetapi tidak seninya. Nilai seni tidak banyak diambil kira kecuali bangunan peribadi. Milik individu yang kaya dan berada. Saya perhatikan spesifikasi ruang tidak standard. Lantai tinggi rendah. Tiada ukuran yang sama. Pintu dan tingkap asalkan boleh ditutup. Di Jordan dan di Kaherah saya lihat sambungan elektrik sangat tidak dijaga. Tidak kemas. Tidak dilindung. Tidak dianggap seperti bahaya. Wayar berselirat. Sambungan tidak rapi. Apabila hal sebegitu menjadi budaya maka nilai seni sesebuah rumah semakin berkurangan.


Saya rasa bersyukur kerana rumah saya di tingkat empat. Tidak mengarah matahari naik atau matahari turun. Walaupun sekarang musim panas, hanya pada waktu tengahari terasa panasnya. Pada sebelah petang hingga malam terasa dingin. Kipas angin perlahan sudah memadai. Terasa sejuk juga pada ketika-ketikanya. Alhamdulillah. Allah meletakkan saya di sini bersama isteri. Ada kedamaian di negara orang. Sedang menunggu bulan Ogos yang dikatakan lebih panas. InsyaAllah tiada apa yang menyulitkan. Memang panas kerana di sekeliling Kaherah adalah padang pasir terbesar di dunia. Sahara. Teringat saya, di Malaysia ramai orang perempuan yang bernama Sahara. Maknanya padang pasir. Gurun. Panas. Berpasir. Mudah-mudahan mereka tidak begitu. Biarlah nama sahaja Sahara tetapi orangnya seperti wadi yang sejuk, subur dan penuh dengan kehijauan. 


Punca elektrik seperti ini tidak mungkin berlaku di Malaysia

Berselirat wayar

Bilik ini seeprti dicat. Walau bagaimanapun lihatlah hasilnya.

Sambungan bergantungan

Rumah-rumah yang berbagai kemasan luarnya

Lubang kunci atau selak pada pintu

Lihatlah bata-bata itu disusun. Nampak dengan mata kasar tidak kemas.

Aduhai. Yang ini lagilah. Ada pula lubang.

Macam mana ni. Jika rumah saya memang saya tolak mentah-mentah.

Hendak menggantung kipas. Siling ini lantai untuk tingkat atas. Seperti hendak runtuh ditebuknya. Lepas itu dibiarkan begitu. Tidak dikemaskan semula. Tiada aesthetic value.

Ketidakkemasan pada rangka pintu.

Ini bukan baju. Tikar getah terpaksa dipotong kerana lantai bahagian yang itu lebih tinggi dari bahagian yang lain. Jika tidak dipotong tikar getah itu, pintu tidak boleh ditutup. Kan haru tu. Yang berwarna biru adalah jubin lantai.

Kasehan dinding tu. Kena tebuk.

\
Dah nak tanggal. 

Rekabentuk cat yang tidak menjadi.

Kemasan pada pintu.

Kabel alat pendingin udara dari rumah sebelah. Dinding pertama yang ditebuk. Besar lubangnya. Ternganga. 

Dinding kedua yang dilubangkan.

Tidak pasti sama ada wayar-wayar ini hidup atau sudah dimatikan.