Wednesday, July 31, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bila Tua Tertinggal Di Perjalanan



Lapanganterbang Kaherah sunyi lagi. Sunyi pada hati kami. Selama sebulan di sini dapat juga bersama anak lelaki kami dan isterinya. Banyak kali mereka berbuka bersama kami. Tidur di rumah kami. Kebetulan ada dua bilik. Satu untuk kami dan satu untuk mereka. Hari ini anak saya dan isterinya kembali ke Malaysia. Tinggal lagi kami berdua. Semasa masih boleh bersama. Kami berdua sejak 2 Ogos 1971. 42 tahun dahulu. Selepas mendapat 9 orang anak, tahun dan tahun berganti semusim dan bermusim. Seorang demi seorang kami lepaskan kerana mereka mencari kehidupan sendiri. Berumatangga dan punya tanggungjawab sendiri. Perjalanan hidup selalunya begitu. Seorang yang rindukan untuk brdua. Dari berdua angka-angkanya bertambah dati tahun ke setahun. Anak-anak membesar. Punya hidup sendiri. Kembali menerima hakikat untuk berdua lagi. Itupun sementara kembali menjadi seorang. Untuk nanti sampai masanya hanya nama yang tinggal. Sejarah yang ditinggalkan. Mudah-mudahan ada yang ditinggalkan untuk generasi kemudian.

Apabila anak-anak meninggalkan rumah untuk belajar di sekolah berasrama, masih boleh dijenguk sekali sekala. Ada masa singgah menjengah wajahnya. Melepas rindu berpisah dengan darah daging sendiri. Siapa yag tidak rindu dengan anak. Dari sekolah mereka ke IPT. Empat orang ke IPT luarnegara. Lapanganterbang dari Subang ke KLIA diulang selalu. Melepaskan mereka pergi pada suatu ketika dan menerima mereka kembali pada ketika yang berlainan. Apabila mereka pulang bercuti sekali sekala terasa dekat antara benua. Keterikatan antara anak-anak dan kami tetap ada. Jika tidak, hanya suara di hujung talian. Sayup atau jelas bergantung kepada teknologi. Di negara maju hujung talian selalunya segar dan jelas. Di negara yang lain terpaksa melekapkan telefon ke telinga untuk mendengar suara. Bila maju, teknologinya maju. Banyak kemudahan komunukasi.

Sekarang dan dahulu banyak bezanya. Senang dengan sms atau laman sesawang sosial seperti fb, twitter atau e-mail. Begitu juga dengan skype atau watssap. Namanya sahaja sudah payah dieja dan disebut. Dari jauh boleh didengar suara. Boleh ditatap wajah-wajah yang dirindu. Begitu juga smartphone. Teknologi mendekatkan antara yang jauh. Melepaskan rindu bukan lagi bertemu bersemuka. Cukup dengan teknologi. Hidup semakin lama semakin dibuai dengan keindahan mencipta teknologi. Kepayahan zaman dahulu sudah lama ditinggalkan. Berganti dengan musim bersama dari jauh. Bukan bersama dari dekat sahaja. Kerana itu kerinduan yang ditaggung tidak seperti orang dahulu. Berita dihantar melalui angin. Angin bawalah berita. Bawalah rindu kepadanya. Tentu orang sekarang ketawa tidak mengerti. Itu deria rasa orang dahulu. Mungkin tidak ramai yang percaya. Gelombang perasaan itu sampai kepada yang empunya diri. Terutama mereka yang dekat kerana darah daging atau dekat kerana tertaut perasaan.

Sampai masanya anak-anak berkerjaya. Meninggalkan rumah juga untuk jangkamasa yang tidak menentu. Bergantung kepada komitmen kerja. Namun begitu kerana anak ramai, ada sahaja yang pulang bertingkah waktu. Ada wajah-wajah yang melintas di hadapan mata. Walaupun sehari dua, namun cukup meriuhkan hati dan perasaan. Begitulah masa memisahkan kami dengan anak-anak. Seorang demi seorang meninggalkan rumah kerana sudah berkeluarga. Dalam negara yang belum seberapa majunya, semua kerja seolah-olah bertumpu di ibu negara. Kerana itu tiada anak kami yang berkerjaya di tempat berhampiran. Tidak di negara maju. Ada sahaja kerja di bandar berhampiran. Maknanya anak-anak berpelajaran. Kerjaya menanti mereka di kawasan sendiri. Malang bagi kita anak-anak yang pandai berada di tempat orang. Orang lain yang menikmati kebijaksanaan mereka. Bukan ibu bapa. Dan bukan ahli masyarakat di tempat mereka dibesarkan. Hijrah ini belum ada kesudahannya. Bila pandai mereka meninggalkan kampung. Meninggalkan keluarga. Meninggalkan masyarakat setempat.

Anak-anak berada jauh banyak juga indahnya. Rindukan cucu memang selalu. Datangnya meriuhkan. Hilangnya menyunyikan.  Bila rindu mendatang dijengah mereka. Berkeriau kegirangan. Bila kembali ada yang hendak mengikut sama. Waktu cuti mungkin tidak mengapa. Jika waktu sekolah menangislah mereka kehampaan. Sewaktu muda ada banyak masa yang lapang. Masih ada anak seorang dua di rumah. Cucu-cucu boleh lagi berlegar di rumah bersama bapa saudara atau ibu saudara mereka. Anak-anak saya yang kecil. Bila semakin tua rumah sudah selalu kosong pada waktu siang. Kami sibuk memberi khidmat kepada masyarakat. Ada sahaja urusan di luar rumah. Selain dari menjadi pengajar dan pensyarah sambilan petang dan malam kami, kami habiskan dengan mengajar al-Quran. Ada masanya terlibat dengan persatuan dan kumpulan-kumpulan amal. Hidup ini jika tidak disibukkan, minda kita menjadi sibuk dengan berfikiran kosong. Tidak ada yang dapat dibuat secara konkrit. Kerana itu semakin tua jangan semakin banyak berehat. Rugi tua. Rugi usia. Rugi masa.

Kerana mengejar masa kami rentas lagi benua. Melompat dari sebuah negara ke negara yang lain. Dulu cerita kami selalu ditinggalkan anak-anak. Sekarang kami meninggalkan anak-anak dan cucu-cucu. Sampai masanya anak yang bersama meninggalkan kami lagi. Kali ini suasananya berlainan sekali. Selalunya kami ditinggalkan di rumah kami sendiri. Kali ini kami ditinggalkan di negara orang. Di negara yang sukar diramalkan masa hadapannya. Pergolakannya masih berpanjangan. Walaupun pusat pergolakan itu jauh dari kami namun kebimbangan tetap ada. Pergerakan terhad juga. Hanya ke daerah dan kawsan yang terdekat. Untuk pergi jauh masih boleh ditunda. Sesudah sebulan di sini, al-Azhar as-Sharif belum dapat dijengah. Berhati-hati dahulu. Meninjau suasana. Kali terakhir adalah semalam. Kami bercadang hendak ke al-Azhar. Terpaksa diurungkan kerana faktor keselamatan.

Dua hari yang lalu isteri saya membuat karipap dan mee rebus. Saya panggil anak saya dan isterinya berbuka bersama. Terkejut dia kerana ibuny atideak pernah membuat karipap sejak lebih 20 tahun yang lalu. Berselera mereka makan. Mereka tidur lagi di sini. Petang semalam isteri saya memasak mee goreng basah. Dicampur dengan udang, lada kering, brocoli dan lada gajah. Berulang-ulang anak saya makan. Seleranya memuncak. Digoreng lagi karipap semalam. Sedapnya menggigit jari. Seumur anak saya isteri saya sudah terlalu lama tidak membuat karipap. Berada di tempat orang kemahiran lama digilap semula. Beberapa hari lalu terfikir juga akan sunyinya nanti apabila anak saya dan isterinya, menantu kami meninggalkan kami di sini. Setelah bersama selalu tetiba ada ruang kosong lagi yang menerpa tiba. Sudut hati yang pastinya hiba. Lubuk rasa yang pastinya meluang ruang. Hakikat yang selalu menerpa. Bahawa kekosongan itu hak kita. Isilah. Ia akan kosong lagi. Begitulah berulang antara masa dan masa. Memang menjadi kerja untuk mengisi ruang kosong. Mencari ruang kosong untuk diisi.

Sesungguhnya ruang kosong itu adalah kita. Diri kita. Hanya yang mengetahui sahaja akan mengisi ruang kosong itu. Hanya yang arif sahaja mengetahui menyimpan di ruangan kosong dan kekal di dalamnya. Tanpa kebijaksanaan ruang kosong yang kita hadapai tetap kosong walaupun puas diisi. Seperti air mata berada di ruang kosong. Sampai masanya ia melimpah sama ada merembas di pipi atau sekadar tergenang di mata. Ia akan kering untuk berada di ruangan kosong itu. Kembali kepada fitrah dan hakikat. Apabila perpisahan berlaku maka airmata tidak dapat mengisi ruang kosong yang tercipta. Ia akan kosong berpanjangan hingga sampai waktu penuhnya. Perasaan yang akan penuh sendiri. Ibarat air yang mengalir memenuhi ruang kosong itu sendiri.  Begitu kegembiraan diisi dengan airmata. Dua ekstrim yang sifatnya hampir sama.


Kami tetap di sini. Berdua menghabiskan misi hidup yang belum terisi. Tidak berani ke sisi kerana jalan di hadapan perlu direntas lagi. Banyak yang belum diperolehi. Berpisah sementara dengan anak, menantu dan cucu-cucu kesayangan. InsyaAllah tahun hadapan bertemu lagi.

Bila hendak meninggalkan sesuatu tempat ada sahaja barang yang tidak muat untuk dibawa.

Hendak dibawa tetapi hendak selit di mana 

Ada lagi

Saat-saat sebelum meninggalkan rumah

Termenung juga seorang ibu hendak ditinggalkan anak

Rakan yang akan sama pulang. Di belakang bersepah beg yang besar-besar.

Pakaian lama dan mungkin sedikit hadiah untuk keluarga. Ikut yang mampu sahaja.

Keluar dari perkarangan yang dihuni selama lima tahun

Papan tanda ini akan berbalam dalam ingatan. Ada yang mahu diingat dan ada yang ingin dilupakan. Selepas beberapa tahun nanti akan diulang lihat untyk kembali kepada masa yang lampau.

Terjengah-jenga juga untuk meninggalkan sesuatu yang sudah terbiasa di situ

Sementara menunggu yang lain

Lorong ini akan sunyi dari ingatan

Tidak lagi akan dilewati

Debunya yang pernah hinggap pada tubuh

Tempat bermain tentu dikenang

Laluan yang nantinya akan nostalgik 

Tangga masjid yang selalu diinjak naik dan turun bersama doa 

Bila berhimpun begini banyak ragamnya. Kenapa hanya tercengang-cengang. Tolonglah bawa beg sendiri sekurang-kurangnya. Sedar jika tercicir.

Hendak mengimbas bagasi

Kedua-duanya akan meninggalkan kami

Semakin dekat masanya

Menunggu giliran

Lapanganterbang ini akan ditinggalkan untuk jangka waktu yang panjang. Ada umur mungkin dijengah lagi apabila ada seminar atau lawatan sewaktu sudah menjadi pegawai nanti.

Yang tinggal mungkin air mata sahaja yang mengalir. Sendu dalam hati.

Sunyi sebentar. Giliran masing-masing akan tiba.

Saat yang akan menghilang hanya beberapa detik selepas ini.



No comments:

Post a Comment