Friday, May 10, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Kita Tidak Punya Hati


Mungkinkah hal ini terjadi. Bagaimana manusia tidak punya hati. Mari kita fikirkan sejenak. Cuba rasa. Dengar barangkali. Guna alat pengesan. Sebentar. Ada. Hati kita berada di tempatnya. Benar. Sahih. Di kiri dada kita. Kekal selalu di situ. Tetapi,  tetapi hati yang itu adalah fizikalnya. Substancenya. Yang boleh kita lihat. Boleh didengar. Dipegang. Dirasa dengan jari jemari kita. Pernah fikir. Milik siapakah hati itu. Siapa punya. Adakah kita berhak memiliki hati itu. Hanya sekeping. Kecil. Seperti tiada signifikannya pada tubuh. Namun begitu di situlah terhimpunnya seorang insan yang bernama manusia. Tanpa hati itu kita tiada. Tiada bererti kewujudannya. Hadirnya tidak ada yang menanti. Perginya tiada yang menangisi. Bersamanya tiada yang ambil peduli. Fikir lagi sejenak. Fikir dalam-dalam. Milik siapa hati itu. Ada masanya kita tiada berhati perut. Hati kita dicuri orang pada ketika yang lain. Rasanya cuba kita jawab sendiri. Kita hanya membawa hati. Jasad kita hanya tempat tumpangan. Kita hanya memegang amanah menjaga dan memelihara hati kita. Pada hakikatnya hati kita bukan milik kita.
Sewaktu kita menjadi anak hati kita milik ibu bapa kita. Hati ini untuk mereka  berdua. Hati kita membahagiakan mereka. Keluarga kita mahukan hati kita. Tidak mungkin ada manusia yang hatinya untuk dirinya seorang. Secara mutlak. Kita serahkan hati kita kepada kedua ibu dan bapa. Anak yang soleh dan solehah tidak pernah memikirkan dirinya lebih utama dari kedua ibu dan bapanya. Segala-galanya untuk mereka. Itulah jalan yang diredhai Allah. Anak yang tinggi martabatnya di sisi Allah. Sedari kecil kita dididik dengan teliti supaya celik adab. Supaya berdisiplin. Membawa obor keluarga. Mewarisia segala kebaikan keluarga. Kita dibesarkan menjadi celik akademik. Pandai urus diri. Berdikari. Mandiri. Kita keluar dari rumah yang merupakan sekolah pertama kita. Langkah kita dari rumah sudah dibekalkan dengan sebahagian dari peranan kita untuk menjdai ahli masyarakat yang berguna. Kita adalah duta keluarga kita. Kita adalah cerminan keluarga kita. Baik kita baiklah tanggapan orang tentang keluarga kita.
Apabila kita bercinta hati kita hilang dari badan. Dicuri orang. Kita pula merelakannya. Tidak pula kita membantah. Atau menolak. Tidak pernah ada orang membuat laporan polis yang hatinya dicuri orang. Bersama sendu diadukan kepada ibu. Kepada bapa. Mungkin kepada abang dan kakak. Hilangnya hati bukan sesuatu yang perlu dirisaukan. Malah diterima berita itu dengan ria. Banyak senyum dari pilu. Yang dicuri hatinya bertambah gembira. Yang mencuri bahagia sama. Keluarga mengira bicara menceriakan keluarga. Ketika hati dicuri orang hati itu tidak pula hilang jauh. Cuma berbunga-bunga. Bergemerlapan. Berbintang-bintang. Semakin pandai pencurinya semakin cantik hati kita jadinya. Semakin besar. Semakin bercabang-cabang bunganya. Pendek kata mereka yang dicuri hatinya adalah orang-orang yang paling gembira berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Dunia ini terlalu lama geraknya. Terlalu luas untk didakap. Semuanya indah belaka.
Apabila berumahtangga hati kita hilang lagi. Sudah milik pasangan kita. Kita tiada hak mutlak ke atas hati kita sendiri. Semua perbuatan dirujuk kepada pasangan. Setiap bicara bersusun bahasa. Setiap gerak berjadual masa. Tidur dan jaga ada masa. Berkerja ada agenda. Santainya ada bicara berdua.  Hati di dalam sudah dibahagi-bahagi. Yang tingglpun bukan milik kita. Hanya sedikit untuk diusap-usap selalu. Mengingatkan amanah yang masih banyak tertunda. Ketika itu rumah adalah rumah yang sebenarnya. Bukan lagi semak, sepah dan taburnya. Bukan lagi tinggal dan sepinya. Rumah sudah ada surinya. Maka suri itu selalu dirujuk sukanya. Diambil pandangannya. Ditanya hendaknya. Dilihat kebajikannya. Diimbas bahasa tubuhnya. Dihibur laranya. Ditari gendangnya. Susahnya disambut sandar. Senangnya ditawa senyum. Jauhnya dirindu. Dekatnya disayang. Beratnya diangkat. Ringannya dijinjing. Pasangan di sampig kanan atau kiri adalah temah hidup yang panjang waktunya. Dari dunia hingga ke akhirat.
Apabila kita beranak pinak hati kita hilang semakin jauh. Pasangan sudah mengundur sedikit memberi laluan kepada anak-anak yang bersusun setiap tahun. Hati kita diracik semakin kecil. Tanggungjawab semakin besar. Pendek kata hati yang dulunya satu sudah menjadi unit-unit kecil yang semakin mengecil. Yang dilihat besar hanya salutan pengalaman yang bertambah. Anak-anak adalah permata hati. Hati kita untuk mereka. Kecilnya kita beri sepenuh hati. Besarnya kita perhati. Kita jaga dengan hati-hati. Pergi dan baliknya semua kena hati yang uruskan. Tanpa hati kita, anak-anak kita hilang dari ingatan. Terpinggir dari tanggungjawab. Kerana itu ibu bapa yang hatinya diberikan kepada anak, menjadikan mereka hidup bahagia, yakin diri, stabil dan masa hadapanya seperti terancang. Beranak pinak bukan suatu yang mudah begitu. Perlu ada rencana masa hadapan mereka. Masa yang jauh itu dibahagikan berfasa-fasa supaya setiap satunya dicapai mengikut jadual.
Di kampung atau di taman kita berhati-hati. Rumah kita berjiran dengan tetangga. Hati kita milik mereka juga. Kita kongsi citarasa. Menjaga hak-hak jiran dan berjiran. Susah senang bersama menjaga keakraban. Di kejiranan kita, kita bukan orang asing. Masjid dan surau wajib dijengah. Jiran tetangga wajib dikenal. Mereka perlu dijengah juga. Ambil tahu hal persekitaran kerana kita bersama mereka. Senang dan susuh ada hubungan akrab bersama mereka. Kita tidak boleh memutlakkan hati kita untuk diri kita. Hanya untuk keluarga kita sahaja. Sebahagian besar hati kita milik jiran tetangga. Mereka perlu kelebihan kita. Mereka ingin berkongsi pengalaman kita. Mereka inginkan ilmu yang ada pada kita. Berkongsi hati membuahkan banyak hasil yang berbagai manfaatnya kepada jiran tetangga. Mana mungkin kita hidup tanpa berbaik dengan jiran tetangga. Berbanding dengan saudara mara, jiran tetangga lebih utama kerana mereka lebih dekat. Libih dulu datangnya. Lebih pantas bantunya.
Apabila kita bekerja hati kita untuk kerjaya. Untuk rakan sekerja. Tentunya juga untuk ketua yang menjaga. Kesemua tanggungjawab dilaksana mengikut jadual. Masa dan hari dijaga serapi mungkin. Jadual yang perlu disempurnakan. Hari-hari kita bukan sepi. Ada sahaja arahan dan rutin yang pasti beres pada masanya. Rantaian tugasan organisasi bergantung kepad kita. Kita menjadi rantaia penting tidak boleh putus. Mana-mana bahagian yang putus memungkinkan orang lain tersadai. Banyak kerja lain tersesak dalam prosesnya. Sebab itu hati kita bukan milik kita lagi. Ianya untuk kerjaya yang menjadi pilijan kita. Mungkin kerjaya yang dijodohkan untuk kita. Tanpa hati kerja kita tiada kualitinya. Kuantitinya juga terlalu sedikit. Apabila hati diberikan kepada kerjaya barulah produktiviti meningkat. Kualitinya terjamin. Bekerja sewajarnya kerana Allah. Hasilnya ialah untuk nagara. Untuk keluarga. Pekerja yang berkerjaya menggandakan usaha kerana ada matlamat jelas yang perlu dicapai pada fasa-fasa kehidupan. Maka kerana itu keikhlasan bekerja perlu ditanam bertunjang di hati kita.
Apabila kita naik pangkat hati kita lebih jauh hilangnya. Semakin sayup meninggalkan yang lama dan biasa-biasa. Kita tinggalkan rakan-rakan kerana tempat kita lebih tinggi di atas. Tugas dan tanggungjawab memimbun untuk disempurnakan. Hati kita semakin jauh. Milik kita tinggal terlalu sedikit. Malah hati kita sudah sukar disapa isteri. Anak-anak ruangnya semakin samar-samar. Pangkat dan kedudukan kadang-kadang menukar hati. Dari lembut menjadi kasar. Dari kecil menjadi besar. Dari kosong menjadi berisi dengan penuh pengalaman. Masa mematangkan diri. Tugas memperkayakan diri. Kepelbagaian tugas memperkayakan pengalaman yang dulunya terlalu sempit. Kita mula melihat ruang-ruang untuk berlegar. Membawa arah yang jelas. Memperbetul kedudukan. Membina wawasan yang mengufuk jauhnya. Itulah pangkat dan kedudukan. Perlukan hati kita untuk menjiwainya. Pangkat diterima dengan amanah. Ada pertayaan yang perlu dijawab di hadapan Allah nanti.
Apabila kita menjadi pemimpin hati kita sudah terlalu jauh dari tubuh badan kita. Pemimpin hanyalah jawatan. Kerusi dan meja pinjaman. Bilik pejabat yang orang sewakan. Kita diberi tempoh seketika memanaskan kerusi empuk yang hakikatnya bukan milik kita. Ia milik orang-orang yang berhak ke atasnya. Semua mereka meminjamkannya sebentar untuk kita. Kerusi itu amanah. Amanah besar untuk berbakti dan berjasa. Untuk menyumbang dan bukan untuk mengambil peluang. Apatah lagi untung. Memimpin bukan seperti pemandu. Destinasi pemimpin tiada hadnya. Tiada jangkawaktu yang tertentu. Yang penting ada bakti yang bertambah tingkatnya. Semua yang dipimpin berasa digerakkan ke hadapan. Membesar maju bersama taqwa. Fizikal yang diisi dengan rohani. Negara makmur dengan sentuhan agama. Rakyatnya patuh kepada perintah Allah dan RasulNya. Negara ditadbir bersendikan syariah. Semua pertimbangan hanya untuk Allah. Membina negara yang letaknya di bawah lidungan Allah. Amanah dan keadilan sentiasa dijulang. Nasihat dan meminta nasihat diberi nafas yang positif. Amamar maaruf dan nahi mungkar.  Ingatlah nanti perlu dijawab. Adakah kita pemimpin yang wajar dan adil.
Apabila kita toleh semula ke belakang kita sudah tidak melihat lagi hati kita. Kita mungkin sudah lupa di mana kita tinggalkannya. Kepada siapa kita  bahagikannya. Untuk siapa kita hulurkan. Masih bersisakah ianya. Kita jengah ke dalam. Yang kita rasa hanyalah kerangkanya. Tapaknya masih kukuh. Besarnya semakin mengganda. Hebatnya berlapis-lapis. Rupanya hati kita masih ada. Dibahagi tidak terpisah. Diberi bukan tinggal hanya sisanya sahaja. Dicampak kembali juga. Dibuang tetap bersama. Semakin hati itu dimanfaatkan semakin pula terlihat manfaatnya. Semakin banyak bakti dan sumbangan. Semakin sihat tubuh dan semangat. Semakin tinggi harapan. Tiada siapa yang rugi memberi hati. Hati itu bukan milik kita. Semu aorang berhak memiliki hati kita. Hanya hati yang baik terserlah cahayanya. Putihnya. Pancaran cahayanya. Terangnya menerangi. Putihnya memutihi. Terangnya menggemerlapkan orang lain. Tidak semua berkesempatan memiliki hati kita. Namun cukuplah kepada mereka yang sudi dan bersedia. Berkongsi hati rupanya fitrah kita manusia.  
Pada fitrahnya hati kita adalah milik kita. Pada hakikat kehidupan hati kita milik orang lain. Kita hilang hak untuk memutlakkannya sebagai milik kita yang tunggal. Kerana itu jagalah hati untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Gilap hati itu supaya sinarnya mnerangi orang lain. Besarkan hati supaya banyak yang sukar nmenjadi senang. Tinggikan hati supaya yang kecil menjadi besar dan menyerlah kepada orang lain. Berikanlah hati kita kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya supaya iany  menjadi hati yang mulia. Tulus. Ikhlas. Penuh dengan ihsan. insyaAllah.

Salam Dari Amman Jordan: Sallahuddin al-Ayyubi Yang Terlindung Sejarahnya – Bahagian Pertama


Sejak berada di Bumi Anbia sudah tiga kali saya kembali ke zaman Sallahuddian Al-Ayyubi. Pertama di Ajloun, Jordan. Keduanya di Karak, Jordan. Ketiganya di Kaherah, Mesir. Sallahuddin adalah tokoh Islam yang gilang gemilang. Sayangnya tidak ramai yang mengetahui perjuangannya membebaskan bumi anbia dari cengkaman orang-orang salib dari utara yang dibantu oleh orang-orang Yahudi. Dua kurun lamanya bumi anbia di bawah kuasa luar yang bukan Arab dan bukan Islam. Selama dua kurun bumi Islam diijnak dan dipijak dengan rakus dan zalim. Orang Islam dtindas sesuka hati mereka. Orang Islam menjadi sampah yang melata. Melarat tanpa apa-apa. Harga diri mereka hilang dibuang ke laut Mediterranean. Jati diri mereka dibenam ke dasar padang pasir yang merentas Timur tengah. Semangat mereka direntap dan dilempar jauh dan tinggi melepasi gunung-ganang yang ada di bumi Anbia ini. Seperti sesuatu yang malang apabila kita rentasi sejarah bumi Syam, bumi anbia ini. Sejarahnya bergemerlapan membina tamadun besar sejak dari zaman purba. Banyak bangsa-bangsa besar berada di sini. Sebut sahaja Yunani Kuno, Yunani Baru, Rom, Anbat dan banyak lagi. Di bumi ini juga ramai Rasul dan Nabi silih berganti.
Tinggalan sejarah yang banyak bertaburan di Jordan merupakan sebahagian sejarah gemilang bumi ini pada suatu ketika dahulu. Jordan bukanlah nama sebuah negara asal. Yang kita tahu ialah Syam. Rasulullah pernah berniaga di sini. Tanda kerasulannya dikenalpasti oleh seorang padri Yahudi. Tanda-tanda besar yang masih ada seperti Laut Mati (Nabi Luth), Al-Quds (Bait al-Maqdis – nabi Sulaiman), makam Nabi Musa, Nabi Syuib, Nabi Khidir, Al-Kahfi dan banyak lagi. Tidak semua dapat saya kunjungi. Hanya beberapa yang besar dan signifikan seperti Petra, Laut Mati, Jarash, Ajloun, Karak  dan Umi Quois. Laut Mati dan Petra telah saya ceritakan walaupun mungkin masih ada bahagian-bahagian yang belum ternukil. Antara yang kuat menggamit saya ialah keberadaannya Sallahuddin Al-Ayyubi di bumi anbia ini pada kurun yang ke-11 dan 12. Dia datang dari Kurdistan. Dihimpunkan pejuang dari pelosok bumi Islam. Sejarah mencatatkan bahawa perjuangan untuk membebaskan bumi ini berlarutan hampir dua kurun. 200 tahun. Maknanya untuk mencipta sesuatu yang indah bukan sehari dua. Berkurun-kuran lamanya orang dahulu menegakkan yang hak. Yang leluhurnya untuk Allah. Bukan calang-calang perjuangan yang telah dibaktikan. Yang telah dibakar semangat juang yang gemilang.
Pengajaran pertama yang wajib kita ingat ialah untuk jatuh, masa yang diambil mungkin cukup singkat. Tanda-tandanya mungkin telah terlihat lama. Tidak diambil endah hingga akhirnya meranapkan sebuah kegagahan. Keruntuhan sebuah negara mencabar iman dan kekuatan semangat. Apabila jatuh maka jatuhlah semua yang dibina. Fizikal dan spiritualnya.
Pengaran keduanya ialah untuk bangkit adalah sesuatu yang amat sukar dan menyeksakan. Semasa kita cuba bangkit akan ada yang menekan. Mereka tidak memberi ruang untuk diperjuangkan. Yang paling malang, tidak ramai orang ingin membantu orang yang malang. Ramai antara mereka hanya menonton tanpa apa-apa sumbangan yang dapat memberi manfaat.
Pengajaran ketiganya, untuk bangkit kita mungkin perlukan bantuan orang lain. Tetapi kita sendiri yang perlu bangkit. Diri kita sendiri perlu dibangkitkan. Khususnya semangat kita perlu tinggi. Jiwa kita perlu besar. Azam kita perlu kukuh. Psikologi kita stabil. Fikiran kita menjangkau segala kemungkinan.  Orang yang berjaya hanya menjadi orang-orang yang selesa. Mengekalkan keselesaan yang jauh lebih senang. Sebagai analogi sahaja, menukar giar kereta dari empat ke giar lima sangat mudah. Kenderaan ketika itu sedang meluncur mudah. Pertukaran giar seperti tidak bergitu terasa. Tetapi dari giar satu ke giar dua mungkin kereta terpaksa menderam. Apatah lagi jika menongkah bukit. Begitulah orang yang ingin bangun. Ingin berjuang. Payahnya banyak. Sukarnya mengazab. Masanya lama. Usahanya berganda-ganda. Tidak semua orang berjaya. Tidak semua orang jatuh. Kebanyakan kita berada di bawah. Berusaha untuk naik ke atas. Malangnya bila berada di atas lupa sejarah sewaktu di bawah dahulu. Maka orang-orang seperti ini menyediakan dirinya untuk jatuh hingga mungkin tidak akan bangkit lagi.
Begitulah yang terjadi kepada mereka yang berada di bumi anbia ini dahulu. Kerajaan Umayyah tumbang digantikan oleh kerajaan Abasiyyah. Walaypun pada zaman Abasiyyah, Islam mencapai kegemilangannya dari segi ilmu pengetahun orang Islam terlalai dari segi dendam orang Yahudi dan kristian yang tersingkin dari bumi anbia. Mereka merancang lebih 1,000 tahun untuk kembali ke bumi mereka. Ya, 1,000 tahun. Bacalah sejarah dunia. Orang barat mengatakan bahawa sebalum berlaku Zaman Pencerahan, kepada mereka dunia berada dalam kegelapan. The Dark Ages. Suatu penipuan sejarah. Kita pula akur dengan penipuan tersebut. Suatu paradox yang sengaja dicipta. Memang orang barat berada dalam kegelapan selama 1,000 tahun tetapi dalam masa 1,000 tahun itu Islam membina tamadunnya. Segala bentuk ilmu diperkembangkan. Orang Islam mewah dengan ilmu dan kesenangan. Kepada orang barat apa sahaja yang bukan dari mereka tidak diiktraf. Yang nyatanya segala ilmu Islam dibawa ke barat, diperkembangkan dan diberi label barat. Ibn Sina (Aveceina), Ibn Rush (Averoush) dan banyak lagi ilmu yang menjurus kepada sains dan teknologi dimajukan seperti Matematik, Geometri, Algebra, Astronomi san sebagainya. Rasanya kebanyakan ilmu telah diperkembangkan pada zaman 1,000 tahun yang dikatakan gelap itu.
Pengajaran keempatnya ialah pengajaran itu sendiri. Di Jordan umpamanya, kenangan masa lalu masih sangat kuat. Mereka ingat sejarah mereka. Mengetahui susur galurnya. Kita di Malaysia selalu kecundang tentang sejarah. Apatah lagi apabila sejarah diberi nafas kedua dan ketiga. Sejarah yang tulen terpinggir kerana ada agenda lain yang diserlahkan. Di Jordan penduduknya arif tentang sejarah negara mereka. Namun pengaruh barat memingirkan pengajaran lama ke museum-museum untuk tontonan. Sejarah peradaban bumi Syam sejak berzaman-zaman hanya tinggal bekas. Anak-anak muda leka dengan hiburan. Terleka dengan hidup senang. Gempa bumi besar pada kurun ke-8 seperti tidak diingat lagi. Terbaliknya Laut Mati dilihat hanya sebagai sejarah. Mereka tidak menangisi lagi sejarah silam yang menyeksakan bangsa mereka. Agaknya begitulah sukarnya Sallahuddin berusaha mengembalikan semangat dan keyakinan pejuang-pejuang pilihannya untuk membebaskan al-Kuds pada zamannya. Ketika semua orang sudah kehilangan kemantapan akidah untuk melawan kebatilan. 
Telusurilah sejarah bangsa supaya tersemat semangat juang untuk menjaganya. Untuk memartabatkannya. Untuk menjulangnya ke persada yang diredhai Allah.
 

Saturday, May 4, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Terang Yang Bersuluh


Selama ini kita berjalan bukan dalam gelap gelita. Kita berjalan siang dengan cahaya siang yang ada. Kita berjalan malam dengan cahaya suram malam gelap. Jika siangnya kita disinari cahaya panas, malamnya kita disinari cahaya suram yang tidak berapa terang. Senangnya kelabu sahaja. Tidak berapa jelas apa yang dilihat. Yang nampak  boleh jadi bayang-bayang yang orang selalu takut. Kita hanya ada terang atau gelap. Siang adalah terang. Malam adalah gelap secara fitrahnya. Bayang-bayang siang tidak menakutkan sesiapa sahaja yang waras fikirannya.  Besarnya tidak menakutkan. Gelapnya tidak menakutkan juga. Orang selalu takut dengan bayang-bayang malam. Hitam juga tetapi menakutkan. Kenapa? Malam biasanya gelap. Biasanya sunyi. Biasanya memainkan bulu roma. Bayang-bayang tidak dikethui gelapnya. Maka bayang-bayang selalu memainkan bebayang lain. Semua yang berbayang menjadi lembaga-lembaga yang menakutkan. Fitrah manusia memang takut kepada bayang. Kepada gelap. Kepada malam.
Pagi ini saya ucapkan Assalamualaikum kepada semua rakyat Malaysia. Hari baru. Pagi baru. Pagi yang cerah dengan cahaya baru. Tanggal 5 Mei 2013 adalah tarikh yang bersejarah. Walau apapun yang bakal berlalu sepanjang hari ini, pastinya sejarah yang tersendiri tercipta.  Betulkanlah sejarah itu supaya anak cucu kita kesemuanya dapat menelusuri sejarah datuk dan neneknya dengan wajar. Bahawa pada tanggal 5 Mei ini datuk dan neneknya meniti sejarah bangsanya dengan berani dan yakin. Mereka telah membuat keputusan untuk menentukan sendiri masa hadapan mereka. Masa hadapan untuk anak cucu mereka di kemudian hari nanti. Mereka membuat keputusan bahawa anak cucu mereka, mereka sendiri yang menentukannya. Yang mencorakkan coraknya. Yang membentangkan lapangannya. Yang meninggi pentasnya. Yang menaikkan martabatnya. Yang menjanjikan yang terbaik untuk mereka semua.
 Sejarah sentiasa berlalu di hadapan mata kita. Sama ada kita terlibat atau tidak sejarah itu tetap berlaku. Sampai masanya dikaji semula. Apakah kejayaannya sesuatu keputusan suatu bangsa. Apakah pula kegagalannya. Apa pula halangan-halangan yang menidakkan kelangsungan suatu bangsa yang diyakini kebebasannya. Kemerdekaannya. Sudah hampir enam dekad kita merdeka dari British. Dari barat dan kebaratan. Kita telah berundur ke dalam suasana yang sedikit suram. Tidak terang seperti cahaya yang kita rancangkan. Di sebalik tabir-tabir suram kita terperangkap dalam agenda diri. Ramai antara kita sukar melepaskan diri kerana perangkap itu. Semakin ianya menebal semakin kita rapuh berfikir. Rapuh untuk melangkah keluar menuju jalan-jalan lurus yang lebih bererti. Jalan-jalan yang lebih membawa kita ke hadapan. Jalan yang sewajarnya lebih mudah dan santai. Kaki kita tidak keduanya melangkah sama. Ada yang terikat dan tertinggal. Kerana itu derapan kita ke hadapan selalu bertingkah tanpa irama. Gelanggang selalu tinggi dan rendah. Paluan irama yang selalu tidak cantik tingkahnya.
Pagi ini kita sama-sama singkap kain nipis yang menabiri cahaya yang kita harapkan. Biar cahaya baru benar-benar memancarkan cahayanya. Menghidupkan yang hidup segan mati tidak mahu. Menceriakan hati-hati yang suram banyak zamannya. Hari ini biarlah terang benderang. Telus sepanjang masa dan rentasan dinding dan temboknya. Ada tawa riang di hujung medan yang luas untuk terus diteroka. Ada usapan lembut sayu tangis ceria kerana bebas dari gelap dan bayang. Bebas dari takut dan ancam. Kita keluar mendamaikan hati. Mencari yang dulunya telah lama hilang. Mencari bahtera merdeka yang hilang dendangannya. Mencari negara yang darah kita tertumpah di sini. Memajukan segala sumber yang kaya di bumi ini. Kita terbang tinggi menggayat awan. Menggarap semua yang mungkin digapai tangan. Yang pastinya hati kita bukan kecil. Bukan kerdil dan takut. Bahawa lapangan sudah terbuka. Permainan ini baru hendak dimulakan. Marilah bertingkah sama memeriahkan suasana.
Setelah semalaman mata tidak mahu lelapnya, pagi ini cahaya baru menyejukkan gundah di hati. Abang kakak yang pandai menentukan masa hadapan sendiri. Ayah dan ibu yang tahu di mana anaknya berada. Telah diletakkan di tempat baik dan bersih. Telah dibimbing ke jalan lurus yang tidak banyak beloknya. Telah dilindung dari panas dan hujan. Hari ini anak-anak watan bermain di gelanggang yang menjadi biasa. Jika asas berfikir tidak banyak diisi sukar juga membuat  jalan berfikir yang cantik natijahnya. Kita berfikir sekarang untuk suatu jangka masa hadapan yang jauh. Yang orang lain sukar menjangkaunya. Apatah lagi untuk memaparkan visualnya di hadapan mata.  Selepas ini kita buka gelanggang baru supaya anak-anak kita lebih banyak tingkahnya. Lebih banyak pandainya. Lebih tinggi wawasannya. Lebih realistik pencapaiannya. Hari ini baru bermula. Dari hari ini kita harus membuat langkah baru yang lebih memberi yakin diri. Kita angkat martabat kita bersama. Kita angkat jatidiri kita yang banyak hilang. Cari dan temuilah diri kita yang malap dahulu. Mungkin setengahnya hilang keyakinan untuk timbul dan menyerlah.
Pastinya sesuatu sudah berubah. Akan berubah. Terus dinamik perubahannya. Kita corakkan semula masa hadapan kita. Kita bina landasan-landasan baru untuk kita pergi lebih jauh. Lebih tinggi dari sebelumnya. Tidak mungkin kita hanya selamanya begini sahaja. Hanya di pinggiran tanpa turut serta. Inilah masanya untuk maju bersama. Membina semula yang hilang. Mencari yang pergi. Memanggil yang mengintai. Yang rendah kita tinggikan. Yang tinggi kita tegakkan. Yang lebar kita hamparkan. Yang sempit kita lapangkan. Hati kita dan hati kita yang perlu bercakap. Perasaan kita yang perlu damai. Psikologi kita yang perlu tenteram. Soal hati yang dahulunya muram ada riak untuk bahagia pada masa hadapan. Hari ini dan hari ini kit ada peluang itu. Doa saya untuk semua rakyat Malaysia. Berbahagialah selalu. Semoga Allah memberkatimu.

Friday, May 3, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Benarkah Ada Peluang Kedua?


Ramai orang mengharap-harap jika diberi peluang kedua. Benarkah ada peluang kedua seperti yang diharap? Rasanya tidak ada. Apabila kita kehilangan peluang maka kita memang tidak berpeluang menikmati apa yang kita harapkan. Allah tidak mengizinkan kita mengecap apa sahaja nikmat yang berkaitan dengan peluang itu. Apabila datang peluang kedua, peluang itu sebenarnya bukan peluang kedua. Sebabnya:
Peluang itu sudah di luar konteks.
Sudah di luar kotak.
Sudah luput tarikh.
Sudah tidak relevan lagi.
Sudah di luar persekitaran yang diperlukan.
Sudah bukan masanya. Lost its timeliness.
Sudah tidak ada syahdunya lagi.
Kita sudah tidak perlukannya lagi.

Kerana itu merebut peluang pertama sangatlah pentingnya. Lebih penting dari mendapatnya. Ramai orang mendapat peluang tetapi melepaskannya kerana peluang itu tidak bermakna kepada mereka. Mereka tidak melihat yang tersirat. Tidak melihat nilai konteks dan nilai masa.  Tidak dapat menjangkau lintasan masa hadapan yang jauh dan berliku. Tidak dapat mengintai di sebalik rimbunan halangan menuju bahagia dan mendapatkan kedamaian selesa di hati dan sanubari. Ada masanya peluang yang keemaasan dilepaskan begitu sahaja. Ada masanya diberikan kepada orang lain. Peluang itu akhirnya digunakan oleh orang lain untuk menyulitkan kita. Tentu rugi apabila kita diberi peluang kita tidak memanfaatkannya. Apabila kita mendapat peluang kita melepaskannya. Apabila kita dihadapkan dengan peluang kita menolaknya kerana kita tidak tahu nilai peluang itu. Di mana kita 100 tahun lagi? Tidak ada. Siapa yang menjadi waris kita? Cucu dan cicit kita. Dapat kita visualkan di hadapan mata rupa bentuk kehidupan mereka waktu itu. Waktu kita sudah tidak ada. Waktu yang sudah melepaskan peluang kita untuk mencorakkan cucu cicit dan keturunan kita pada masa hadapan.
Di banyak negara orang mencari kebahagiaan. Mereka mendapatkannya. Tidak kesemuanya. Sebahagian besarnya. Kemewahan melimpah-limpah. Pergilah ke USA. Pergilah ke Sweden. Pergilah ke Negara Cina atau Russia. Jangan jauh pergilah ke Singapura. Dekat tetapi kita gagal mencontohinya. Kita banyak berkokok tanpa ekor. Bertelur tidak mana banyaknya. Negara Cina dahulunya komunis. Mereka buang baju komunis. Mereka bergerak ke hadapan untuk mengungguli negara lain. Untuk membahagiakan rakyatnya. Begitu juga Russia, Poland, Hungary, Romania dan Albania. Komunis mereka sudah lama dibuang. Kita ke barat. Dahulu kita kagum dengan sistem Yahudi yang mereka ada. Mereka kaya pada zahirnya. Rupa-rupanya mereka kaya pada kertas. Balance sheet mereka tidak pernah balanced. Setiap tahun deficit. Dalam setiap unit wang yang mereka miliki majoritinya adalah hutang. Mereka hidup dalam hutang. Kepompongnya besar. Belonnya besar. Mereka sesak kerana kekosongan isi. Nampak gah dan gagah. Apabila berlaku krisis matawang barulah kita mengetahui bahawa kaya mereka pada angka.  Bukan pada real assets. Statistik adalah ilmu yang baik. Namun jika digunakan untuk deceit maka diri sendiri juga yang merana. Kita tidak mahu wabak itu menular ke negara kita. Biar penuh dengan isi yang konkrit. Dana yang disusun dan dipergunakan untuk tujuan produktif. Untuk menjana kehidupan yang lebih baik. Lebih tinggi tetapi dengan kos yang lebih rendah. Lebih baik kita mewah dari kaya tetapi tidak mewah. Kos hidup yang tinggi mesti disejajarkan dengan taraf hidup yang diperlukan. Segala-galanya mesti berada pada titik equilibrium. Seimbang dari mana-mana penjuru. Semua kos pada peringkat optimum. Baru kita dapat mengoptimumkan peluang yang ada.
Pembangunan dan kemajuan? Kitakan kaya. Sumber cukai kita menimbun. Jika dirancang dengan berwawasan tentu banyak yang dapat dihasilkan. Jalanraya tanggungjawab kerajaan. Setiap ringgit yang dibelanjakan ada multiplier effectnya dalam ekonomi. Pelaboran melonjakkan ekonomi ke aras yang tiada siapa yang tahu. Hanya boleh diramalkan secara positif. Aliran ekonomi yang pantas menambahkan produktiviti. Bertambah cukai. Bertambah dana kerajaan. Syaratnya. Gunakan dana itu secara prudent. Bukan bermewah-mewah atau membazir. Hospital adalah juga tanggungjawab kerajaan. Menanggung rakyatnya yang sakit. Bukan untuk membebankan yang sakit. Tergamakkah kita meminta bayaran dari anak kita yang kita rawat? Rakyat adalah rakyat. Anak watan. Sakit dan sihatnya untuk negara. Mereka perlu sihat supaya produktif. Mengembalikan sumbangan mereka kepada negara. Sekolah tanggungjawab kerajaan.  Saya tidak tahu jika ada bapa yang menuntut bayaran pendidikan dari anak-anaknya. Bukankah kita menginginkan anak-anak kita pandai-pandai belaka? Supaya mereka berintelek tinggi. Memikirkan yang besar-besar. Mencipta barangan, teknologi dan sistem yang  memberi manfaat kepada negara.
Dalam mana-mana sistem bernegara ada hak-hak yang diasingkan. Ada hak yang ditanggung. Ada hak yang dtanggung bersama. Prasarana ditanggung oleh kerajaan. Usaha individu sama ada untuk kehidupan atau untuk pelaboran. Tanpa gandingan bertanggungjawab antara kerajaan, pelabor dan rakyat mana mungkin sistem berjalan lancar. Prasarana inilah yang selalu dimanipulasi. Rakyat selalu dimomokkan supaya bersyukur. Benar. Bersyukur itu tanda akur. Mungkin wajib bersyukur kepada Allah yang mengizinkan segalanya berlaku dengan baik dan aman. Alangkah indahnya jika ramai orang yang mengetahui perjalanan sebuah bahtera negara. Bagaimana legislative, eksekutive dan judiciary berganding membina sebuah sistem bernegara. Pengasingan kuasa yang dihasratkan menjamin ketelusan sistem itu sendiri. Tidak ada pihak yang menyelinap masuk ke bahagian yang lain. Mengganggu perjalanan sistem. Akhirnya mencacatkan sistem keseluruhannya.
 Berat sebenarnya menerima peluang yang keemasan. Datangnya bukan banyak kali. Mungkin sekali sudah mencukupi. Kekal nikmatnya sepanjang zaman. Mungkin juga kita berhak menerima peluang berkali-kali untuk mematangkan kita. Berlatih untuk membezakan peluang yang tulen emasnya dan peluang yang hanya kaca berkilau. Maknanya kita rela jatuh ke dalam lubang yang sama berulang kali. Rasanya itu bukan kita. Hati kita tidak membenarkan. Persekitaran kita tidak membenarkan. Terlalu daif jika kita membenarkan diri kita menjadi selemah itu. Cukuplah peluang yang selama ini kita lepaskan. Hak itu hak kita. Dijamin oleh sistem. Oleh persekitaran. Oleh sosial. Hak membuat pilihan asalkan bersandarkan syariat. Jika kita terlepas peluang ini mungkin senerionya yang akan datang tidak lagi sama. Lanskapnya jauh berubah. Kita juga tidak tahu. Peluang ini mungkin yang terakhir. Kita mengharapkan peluang ini yang terbaik untuk kita. Masa sudah semakin suntuk.
Satu hakikat yang tidak boleh kita lupakan ialah sistem yang ada di negara kita agak unik. Dalam apapun keputusan yang kita lakukan kita hendaklah merentasi agama. Merentsi kaum. Merentasi wilayah. Merentasi budaya. Merentasi perbezaan pendidikan, taraf ekonomi dan sistem perbandaran. Kesemuanya perlu diadun supaya natijahnya ialah negara yang lebih utama. Lebih penting. Lebih dipelihara. Supaya dengan memahami itu ada kebebasan beragama. Kebebasan berbudaya. Kebebasan untuk hidup bersama. Menjarakkan antaranya tidak boleh. Compartmentalise juga tidak boleh. Segration tidak boleh.  Proses assimilasi perlu digandakan. Akomodasi ditingkatkan. Integrasi diperbanyakkan. Kontrak sosial yang tidak pernah ditulis perlu ditinjau semula supaya akhirnya yang kita kejar ialah aman bahagia. Bukan kuasa yang mencederakan usaha-usaha kita yang lain. Rindu sangat melihat cahaya siang hari yang aurora atau kirmizi di ufuk suria pagi. Sudah hampir sangat. Banyaklah berdoa. Hanya izinNya sahaja segalanya ada kemungkinannya.  Titipan rindu dari saya.

Salam Dari Amman Jordan: Memilih Jalan Lurus Yang Arahnya Ke Hadapan


Jalan yang paling baik ialah jalan lurus. Jalan yang mana hai tolonglah tunjuk, jalan lurus jangan belok-belok. Kata Allahyarham Tan Sri P. Ramle. Filem Bujang Lapok yang banyak memori nakal dan lawaknya. Lihat kembali. Pasti lawak itu masih baru mendahului zamannya. Kita pula meneruskan perjalanan kita. Jalan yang paling baik untuk kita ialah:
Lurus
Dekat
Rata
Lanskapnya cantik
Ekonomikal
Tidak melanggar syara’
Tiada gangguan
Ada jaminan sampai ikut jadual
Ada ganjaran di hujung jalan. Ganjaran puas, segar, selamat. Psikologi tenteram. Ada kedamaian yang selalu dicita-citakan.

Setiap perjalanan pasti ada likunya. Ada lekuknya. Ada simpangnya. Destinasinya berfasa-fasa. Sampainya belum diambilkira. Yang kita lakukan ialah melalui jalan yang menjadi pilihan. Yang rasanya mendamaikan hati. Pengalaman mengajar kit auntyk memilih yang terbaik. Ilmu mengajar kita supaya tidak mengikut nafsu. Kewarasan sewajarnya mengatasi kegilaan yang tidak menentu. Apabila perjalanan sampai di suatu simpang maka kita melalui ujian yang bukan kepalang. Yang di hadapan bukan calang-calang destinasi. Jauh atau dekat hanya nisbah. Susah atau senang juga nisbah. Sampai atau tidak hanya Allah yang menentukan. Kerja kit aialah membuat pilihan mengikut kewarasan fikiran yang kita ada. Mengikut ilmu yang dulu kita timba. Mengikut pengalaman yang tela mengajar kita. Yang pasti  ujian yang kita ambil bukan aneka pilihan. Bukan menjwab soalan. Bukan memahami karangan. Kita diberi ujian untuk menentukan masa hadapan kita sendiri. Masa hadapan mengikut acuan kita sendiri. Acuan-acuan itu boleh mungkin digariskan untuk memenuhi yang berikut:
Kelangsungan hidup beragama
Jaminan dan keselamatan sosial
Hidup dalam negara bermartabat
Mengkayakan negara dan rakyatnya supaya dipandang tinggi di mata orang lain
Teknologi yang setanding
Pendidikan yang dinamik

Kesemuanya adalah teori-teori garapan orang bijaksana. Kerana ramai orang yang tidak sampai ke situ cara berfikirnya maka butir-butirannya selalu dimanipulasi. Orang selalu hendak mendengar yang muluk-muluk sahaja. Mimpi yang indah-indah walaupun mimpi itu selalunya tidak menjadi realiti. Statistik dan angka selalu dijadikan hidangan tanpa warna dan rasa. Yang ada gambaran indah mempesona. Tidak semua dapat menjamahnya. Tidak mungkin untuk mengalaminya. Berapa ramai yang tinggal di banglow dan villa. Berapa ramai yang memandu Mercedez Benz atau Lamborginie. Berapa ramai yang melancongnya ke London dan New York. Kebanyakan orang cukup dengan LRT. Dengan bas sangkut-sangkut. Mungkin dengan kereta terpakai. Itupun terlalu mahal untuk orang biasa. Belum minyak, cukai jalan, insuran dan tolnya. Maka ramai orang hanya mampu bermimpi sahaja. Kerana itu simpang yang di hadapan adalah pilihan untuk mendapatkan yang lebih baik. Kembali kita senaraikan yang lebih baik:
Syariat yang mengatasi selainya.
Menyenangkan hidup beragama.
Menegakkan yang hak dan menolak yang batil.
Terjamin keselamatan berkerajaan, pekerjaan, kesihatan dan ruang legar rakyat yang perlu besar.
Kebebasan mencapai cita-cita.
Ekonomi yang luasnya melangit dan melaut.
Orang pandai yang ramai lulusan IPT.

Bagaimana kita membuat pilihan memang rahsia. Tetapi orang lain perlu diberi ruang untuk belajar. Untuk mengenalpasti yang mana intan dan yang mana kaca. Hidup senang di dunia belum tentu senang di akhirat jika tanpa bekal yang cukup untuk duduk di sana. Doa kita selalu dimurahkan rezeki yang halal. Diinfaqkan kepada yang berhak menerimanya. Yang nanti menuntut di akhirat jika tidak diberi haknya di dunia. Banyak tanggungjawab kita di dunia. Tentulah lebih banyak lagi tanggungjawab pemimpin. Bukan sekadar duduk di dewan yang mulia. Perlu difikirkan merentas dinding-dinding agama dan sosial. Kaum dan etnik. Wilayah dan sempadan. Kita bukan hidup sendiri-sendiri. Hakikat kita adalah majmuk. Kena fikirkan yang namanya rakyat. Keadilan mesti ditegakkan kerana atas dasar apa sekalipun keadilan tersangatlah penting. Keadilan menyelamatkan dari kesilapan-kesilapan kerana bias. Kerana memihak. Kerana taksub. Kerana asobiah.
Apabila Islam diunggulkan maknanya semua tembok dinding sudah direntas. Bukankah dalam Islam tiada konsep makan sendiri. Tiada konsep kenyang sendiri. Jiran tetangga perlu dikenyangkan  bersama. Kaum kerabat perlu senang bersama. Masyarakat perlu ditiadakan yang miskin dan yang fakir. Semua orang wajib mencari nafkah mengikut kemampuan tenang dan fikiran. Mengikut peluang yang ada. Kelebihan dan kekurang tetap berlaku. Kerana itu yang kaya membayar zakat untuk membantu yang kurang berada. Untuk membiayai negara. Jika semua anggota masyarakat menyumbang tidak ada sebab negara tidak dalam keadaan sejahtera. Itulah tanggungjawab pemimpin untuk mensejahterakan rakyatnya. Bila lagi agaknya kita akan mendapat pemimpin yang mendekati Umar Abdul Aziz. Adilnya tidak dapat dinilai dengan kata-kata.  Tiada suratan yang dapat mengisi kisahnya. Sehingga haiwan pemangsa tidak memakan mangsanya kerana menghormati Umar Abzul Aziz. Begitulah khalifah yang adil bukan sahaja dikasihi Allah. Disayangi malaikat. Dihormati manusia. Disegani haiwan.
Kit atelah lebih enam dekad berjalan. Kita sampai di sebuah simpang yang lain. Kali ini kita diuji lagi. Siapa yang kita pilih memiliki ciri-ciri yang kita perlukan untuk membantu kita maju ke hadapan.  Tidak yang membawa kita ke jurang yang membenamkan. Tidak juga yang mengundurkan. Barangkali pengalaman saya sudah memberi isyarat yang terbaik untuk diri saya. Ilmu yang saya ada membantu saya membuat pilihan. Pemerhatian saya membantu menjurus jalan dan simpang pilihan saya. Jika anda terasa sukar membuat pemilihan lihat senarai keutamaan di atas. Allah dan agama jika didahulukan tidak pernah mengecewakan. Tidak mungkin Allah mengecewakan kita kerana menta’zimkannya. Keyakinan mesti tinggi. Banyak yang mustahil di mata manusia semudah kun fayakun kepada Allah. Kita hanya mampu berusaha. Kita sertakan dengan doa. Yang lainnya serahkan kepada Allah. Pasti Allah memberikan kita pilihan yang terbaik untuk kita.
Saya sangat sayangkan tanah tumpah darah saya. Saya ingin kembali ke alam damai yang pernah saya kecap sewaktu zaman muda dahulu. Belum maju dan belum berkembang tetapi banyak kedamaian di hati. Sepatutnya ianya berkembang maju semakin mendamaikan. Semakin menyenangkan. Semakin memberi makna kepada kehidupan yang lebih tinggi nilainya. Jatidiri kita sepatutnya sudah tidak lagi dipertikaikan.  Enam dekad membina bangsa masih belum nampak kerangkanya. Generasi muda juga yang perlu membinanya. Jagalah ibu pertiwi ini sebaiknya. Inilah sahaja yang ada bagi kita. Dirgahayu Malaysia. Semoga Allah memelihara kita.

Monday, April 22, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Fitrah Agama Yang Datangnya Dinanti


Di Malaysia sekarang ini jarang sangat jemaah yang membaca al-Quran di masjid pada hari Jumaat. Yang dewasa bersandar atau meralipkan mata. Yang muda entah di mana. Di bawah pokok. Di tempat teduh. Merokok atau bersembang. Kanak-kanak pula memangnya ramai tetapi tiada pengawasan supaya mereka berbuat yang bermanfaat di masjid. Lalu kita melihat suasana yang kurang kondusif. Hari Jumaat  hanya dihadiri untuk solat semata-mata. Al-Quran banyak di masjid tetapi tidak ramai yang menyentuhnya. Mungkin ramai hanya melihatnya sebagai hiasan sahaja. Perkataan al-Quran yang maksudnya bacaan itu tidak sampai maklumannya kepada ummah yang ramai. Senarionya ialah tidak ramai yang mahir al-Quran. Tidak ramai yang belajar. Tentu sekali tidak ramai yang mengajar. Tidak ramai yang membaca. Tidak ramai yang memiliki rasa peduli yang tinggi tentang al-Quran. Sejak kedatangan Portugis kasih kita kepada al-Quran semakin terhakis. Apabila Inggeris dengan Britishnya menguasai ruang lingkup kehidupan kita , kecintaan kita kepada al-Quran semakin mengecil. Ianya menjadi sesuatu yang eksklusif. Dikatakan orang alim sahaja yang membaca al-Quran.
Rasanya masih ramai juga yang mempelajari al-Quran. Yang masih kurang ialah kegemaran membacanya setiap waktu dan setiap tempat yang sesuai.  Saya ingin paparkan gambaran di Amman, Jordan. Sementara menunggu azan Jumaat, jemaah terlalu ramai yang membaca al-Quran. Banyak atau sedikit bergantung kepada waktu yang ada. Kanak-kanak yang masih kecil sekitar tujuh hingga belasan tahun tidak ketinggalan membaca al-Quran. Mungkin di kanan atau di kiri bapa mereka. Mereka bukan membaca olok-olok.  Bukan main-main. Mereka benar-benar membaca al-Quran. Bapanya memberikan contoh yang baik. Anak-anak mengikut jejak bapa. Begitulah pentingnya anak solat bersama bapa. Bukan terpisah membawa hal anak itu sendiri bersama rakan-rakannya. Pendidikan al-Quran dan pendidikan agama di masjid terpisah dari realiti atau amalinya. Kita kotakkan agama untuk orang dewasa atau orang tua-tua sahaja. Anak-anak kehilangan tempat dan ruang untuk membesar mencintai agama. Itu belum lagi ruang solat yang dibataskan. Dihadkan. Di belakangkan. Kita yang dewasa menajdi tidak mesra jemaah.
Kita selalu solat berjemaah. Apabila imam tersalah baca atau terlupa, tidak ramai jemaah yang dapat membetulkan. Apatah lagi jika imam membaca cabutan dari surah yang besar dan panjang. Terpaksalah imam memerah otaknya untuk mengingat hafalannya selama ini. Tidak berlaku begitu di negara yang rakyatnya Arab atau mungkin Pakistan atau yang mungkin darjah hafalan al-Qurannya sangat tinggi. Bukan imam sahaja yang hebat al-Qurannya. Makmum di belakang sangat ramai yang hafal al-Quran. Setiap kesilapan mam dibetulkan oleh ramai makmum.  Menyedari hal tersebut saya sangatlah ingin menyarankan kepada pembaca supaya kita sama-sama kembali kepada al-Quran. Pelajari dan kaji semula untuk menemui semula fitrah diri kita. Saya ada beberapa cadangan.
1        Mari ramai-ramai kita belajar al-Quran. Belajar dari seorang guru kepada guru yang lebih tinggi martabatnya. Maknanya kita semakin mendalami. Semakin baik. Mendekati kesempurnaan bacaan.
2        Jika ada peluang ajar orang lain yang tidak begitu mengetahui al-Quran.
3        Cuba menghafal seberapa banyak surah yang mungkin. Dari surah-surah yang pendek dan senang hingga ke surah yang panjang.
4        Yang keempat sangat penting.
4.1  Cuba cekalkan hati menghantar anak-anak untuk menghafal al-Quran sejak dari sebelum ke sekolah rendah lagi. Semasa mereka di tadika. Ada seorang kanak-kanak di Mesir menghafal al-Quran sewaktu usianya empat tahun. Dia meninggal ketika usianya lapan tahun. Hingga sekarang arwah itu dianggap sebagai wali kanak-kanak. Kuburnya sentiasa diziarahi pelancong.
4.2  Jika masih ada anak-anak yang belum ke sekolah menengah pastikan mereka menghafal seberapa banyak surah yang boleh. Berserta dengan tajwidnya sekali.
4.3  Pilihlah sekolah menengah agama atau maahad atau pusat-pusat menghafaz al-Quran. Jika anak-anak menjadi hafiz sejuk perut ibu. Tempat tinggalnya dinaungi. Dia menjadi seperti al-Quran berjalan. Dirinya seolah-olah menjadi al-Quran.
4.4  Anak-anak yang menjadi hafiz senang belajarnya. Semua matapelajaran boleh dihafal seperti menghafal al-Quran.
4.5  Setelah menjadi hafiz, dia boleh memilih apa sahaja bidang yang diminatinya. InsyaAllah belajar bukan lagi masalah baginya.
Di masjid, rak-rak al-Quran seharusnya di sekeliling ruang solat. Maksudnya al-Quran boleh dicapai pada bila-bila masa. Dibaca sentiasa. Selain membaca surah Yaasin atau surah al-Kahfi, bacalah al-Quran keseluruhannya. Sedikit demi sedikit. Setiap sebelum solat. Setiap selepas solat. Ketika berada di masjid. Dalam teksi dan bas. Ketika memandu. Semasa santai. Para sahabat khatam al-Quran setiap malam. Imam Syafie khatam al-Quran berkali-kali setiap bulan. Maksudnya al-Quran kita jadikan agenda. Bukan memenuhi masa terluang. Bagi yang mampu tubuhkan pusat-pusat menghafal al-Quran. Jika wawasan kita ialah sesuatu yang besar. jauh langkah natijahnya.
Semua imam hafal al-Quran. Pahala solat berjemaah menjadi berganda-ganda.
Bapa dan ibu hafal al-Quran supaya pendidikan al-Quran bermula dari rumah.
Hidup berkeluarga dilingkungi al-Quran. Agama adalah pelindung yang terbaik. Perisai dari segala kefasadan.
Pemimpin hendaklah hafal al-Quran supaya semua tindakannya berlandaskan agama.
Pegawai-pegawai di semua peringkat adalah hafal al-Quran supaya mereka dipandu dengan selamat menurut al-Quran.
Semua guru yang Muslim hafal al-Quran supaya ilmu yang disampaikan bermotif agama. Menuju kepada Allah. Disampaikan dengan kesedaran bahawa segala-galanya adalah hak Allah.

Apabila al-Quran dijadikan agenda dengan sendirinya agenda-agenda lain akan terkurang. Kita lebih dekat kepada agenda agama. Agenda yang lurus jalannya. Menuju ke arah yang lebih diredhai. InsyaAllah kekurangan-kekurangan kita selama ini akan Allah cukupkan. Allah tambahkan. Allah gandakan. Akan Allah tinggikan darjat kita. Umat Islam menajdi lebih mulia kerana akhlaknya mengambilkira al-Quran. Teringin benar rasanya melihat bahawa kita dikelilingi orang-orang yang pandai al-Quran dan pandai agama. Jadilah profesional yang di bibirnya al-Quran. Akauntan yang hafiz. Jurutera yang hafiz. Arkitek yang hafiz. Peguam yang hafiz. Doktor perubatan yang hafiz. Al-Quran akan mendinding mereka dari taksub dengan profesion mereka. Mereka sewajarnya amat dekat kepada Allah. Seluruh tenaganya untuk Allah. Khidmatnya untuk Allah. Saya ingin melihat mereka yang tersebut di atas menjadi pendakwah. Menjadi guru agama di masjid dan surau. Menjadi guru kepada keluarga, jiran dan saudara mara. Profesional bukan bererti tiada agama. Bukan yang tidak pandai agama. Sebaliknya sudah sampai masanya mereka menerajui masyarakat dengan kemahiran al-Quran dan agama mereka. Sudah ramai yang terkehadapan. Dr. Daniel umpamanya. Dr. Jamnus contoh yang lain. Kita ingin meramaikannya lagi.
Ayah dan ibu, serahkan anak-anakmu kepada agama.
Datuk, serahkan cucumu kepada agama.
Pemimpin, serahkan pimpinanmu kepada agama.

Pasti tidak ada yang rugi. Malah Islam pasti bertambah indahnya. InsyaAllah.

Friday, April 19, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Mulia Manusia di Tapak Kaki



Tapak kaki kita memijak tanah, tetapi kita pilih tanah yang kering. Kita pilih yang bersih. Kita pilih yang tidak cemar. Kita pegang tanah tetapi kita basuh seperti mengikis kulit. Kita terduduk di atas tanah  namun kita kebas pakaian dan kulit seperti terlalulah kotornya. Bayangkan kita tersembam di atas tanah. Malunya tidak terkira. Marahnya hati tidak terhitung. Kita rasa maruah kita tercemar. Terpalit kita kotor. Tergeser berbekas. Terheret juga cemar. Entah mengapa kita menganggap tanah adalah kotor. Cemar. Malah ada orang menganggap tanah seperti najis. Mungkin benar tetapi banyak tidak benarnya. Tanah yang sahih ada campuran najis tentulah fitrahnya najis. Tetapi jika secara hakikinya kita mengetahui tanah itu tidak cemar dan tidak najis tentulah tiada najisnya. Tanah itu suci. Di padang pasir orang Islam solat dengan mudahnya. Mengetahui qiblat dan ada wuduk atau tayammum. Maka solat terlaksana. Tempat kotor? Tidak. Pakaian kotor? Mungkin dilihat banyak palitan tanah di sana sini. Pakaian itu dianggap kotor. Benar. Tetapi apa kategori kotor yang kita lihat. Kotor yang bukan najis. Yang kekal suci kerana ianya palitan tanah. Solatnya sah. Tiada yang tidak mengesahkannya.
Manusia yang sudah jadi manusia selalu berasa mulia. Terutama yang datang dari tempat yang namanya bukan tanah. Yang tidak pernah bergelumang dengan tanah tidak merasa tanah itu haknya. Yang tidak pernah hidup di tanah tidak terasa tanah adalah miliknya. Cuba berhenti sebentar. Duduk dengan elok. Pejamkan mata. Pandang ke hadapan. Manusia dijadikan dari tanah. Allah hidupkan kita dari tanah. Kerana itu kita memiliki sifat-sifat tanah yang subur. 70% adalah air. 30% bukan air iaitu tanah itu sendiri, api (panas) dan angin. Dari manusia lahir anak-anak. Kotoran dari dirinya kembali ke tanah. Ada yang dilepaskan ke udara. Ada yang disimpan untuk mengekalkan hidupnya. Kerana kita dari tanah kenapa manusia takutkan “kotor” tanah. Seorang doktor tidak pernah takutkan semua kotoran semasa bertugas. Seorang veterinar tidak pernah takut dengan najis dan yang bernajis kerana itu tugasnya. Kita, kita yang tidak ada tugas khusus sangat takut dengan tanah. Fobia dengan tanah. Harap-harap janganlah jatuh ke tanah. Dari tempat tinggi jatuh ke tempat yang sangat rendah. Sebenarnya kita dijadikan untuk jatuh ke tanah. Untuk berada di tempat rendah. Di dalam tanah.
Berapa tinggi kemuliaan kita tidak pernah kekal lama. Kita berada di atas hanya seketika yang sangat sekejap. Sangat pendeknya pada nisbah masa. Kita hidup mungkin 75 tahun. Mati kita sebelum qiamat mungkin seperti infiniti. Di alam barzah sangatlah lamanya. Di atas sekejap masa. Di bawah sana terlalu lama nisbahnya. Kerana itu jangan risau berada di bawah. Bukan hina berada di tempat yang rendah. Kebanyakan kita memang berada di bawah. Tidak merasa naik ke atas. Maka yang berjaya ke atas seharusnya ingat tempat hakikinya tetap di bawah. Seperti orang lain juga. Barangkali kita banyak melihat. Banyak menonton. Ramai orang di atas bila sampai ajalnya berada di bawah. Tanah perkuburannya dikambus juga. Yang dilihat ialah kaki yang memijaknya. Bukan sekali orang di atas. Tidak mungkin orang di atas turun memijaknya. Maka yang memijaknya ialah orang yang selalu berada di bawah. Yang tidak pernah berada di atas. Orang yang tidak pernah terfikir untuk berada di atas. Semasa hidupnya dia hina kerana berada di bawah. Dihina kerana tempatnya di bawah. Bila orang di atas berada di bawah orang bawahlah yang memijaknya. Bayangkan jika orang atas dahulu selalu memijak orang, matinya nanti dipijak-pijak orang tanpa pua memijaknya.
Pengalaman di luar negara selalu memberikan kejutan-kejutan diri. Di tanahair kita selalu berada di tempat yang istimewa. Dalam lingkungan adat beradat. Budaya kita yang tersendiri. Di luar negara kita banyak membuang kesemuanya untuk sementara. Hari Khamis 18 April 2013 saya ziarah ke Irbid. Di utara Amman. Katanya sebuah bandar kecil. Pelajar Malaysia pula beribu-ribu ramainya. Melebihi 2,000 orang. Kali pertama ke Irbid ada pengalamannya yang tersendiri. Naik bas berebut-rebut. Alhamdulillah isteri saya mendapat tempat duduk. Saya bingung sekejap kerana semua tempat duduk sudah berpenghuni. Seseorang menyuruh saya duduk di tangga bas. Di hadapan pintu bas yang tertutup. Allahuakbar. Dapat juga duduk. Atas lantai? Betul. Kotor? Tidak perlu fikirkannya. Yang penting duduk. Lagipun bekas-bekas tanah dari tapak kasut penumpang bukan najis. Terlalu sedikit anjing di Amman. Tanah atas sifatnya sebagai tanah adalah suci. Mensucikan yang najis sekalipun. Di Jordan, perjalanan dengan bas untuk ke tampat jauh tidak dibenarkan berdiri. Semua penumpang diwajibkan duduk. Tidak kira di atas apa. Yang pentingnya duduk.
Orang Malaysia terasa ganjil jika naik bas ekspress duduk di atas lantai. Di tangga bas. Hina. Cemar. Rendah. Maruah seperti diletak di bawah tapak kaki. Tetai kaki kita sendiri juga. Kaki saudara kita sendiri. Kaki yang dahulunya dari tanah juga. Duduk di atas bukan asing kepada kita. Sampai masanya kita berada di bawah tanah. Dikelilingi tanah. Selut. Lumpur. Gelap. Tanah menjadi rumah kita yang panjang lamanya. Sekarang musim orang hendak berada di atas. Ingatlah! Di atas sana gayat memandang ke bawah. Yang menjadi gayat ialah tanggungjawabnya. Amanahnya yang berat. Karenahnya yang banyak. Galas dan pikulnya yang memerit perasaan. Bagi yang berani sewajarnya mengenal diri sendiri. Ada kesedaran yang tinggi bahawa tempat tinggi itu sementara. Bukan selama-lamanya. Andai tanggungjawab disempurnakan, maka lapanglah kuburnya nanti. Jika tidak, banyak masalah di alam barzah. Belum lagi di akhirat nanti. Dari bawah naiklah ke atas dengan wajar. Ikut jalan lurus yang sudah digarispandukan. Apabila dipilih jalan lain tentulah natijahnya bukan yang hakiki. Nanti turunnya bukan hak. Mungkin terjatuh. Mungki luruh sendiri.
Tinggi atau rendah adalah nisbah. Pilihlah nisbah yang positif. Yang hakiki. Yang fitrah. Mudah-mudahan ada yang mengerti bahawa hidup ini fana. Tidak pernah selamanya. Kesemua yang hidup pasti mati. Kita pasti kembali kepada Allah. Jawablah soalsiasatNya nanti. InsyaAllah biloh menjawabnya.