Sunday, January 20, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Tempat Baru Hidup Baru


Sudah lima hari di Amman. Selasa 15 Januari 2013 saya jejakkan kaki di bumi anbia ini. Rasa lega. Hasrat yang bertahun-tahun Allah makbulkan jua. Mudah-mudahan segalanya mendapat bantuan Allah. Barakah  bumi anbia. Rasanya bukan calang-calang orang yang tahan suhu rendah di sini. Siangnya di bawah 10° dan malamnya 5°. Hari-hari pertama terasa benar sejuknya. Pasang pemanas udara untuk mengurangkan sejuk. Bukan untuk memanaskan rumah. Penghuni kekal memakai baju tebal. Tiga atau empat lapis. Pada waktu siang matahari memancar terik. Panas apabila kita berada di bawah pancarannya. Tanpa sedikitpun perlindungan. Tetapi apabila kita dilindungi bayang terasa sejuknya. Tidak kira terlindung bangunan atau pokok, sejuk tetap sejuk. Hanya di bawah pancaran matahari sahaja terasa panas. Itu pun jika tidak ada puputan atau deruan angin. Jika ada berlaku pula wind chill. Sejuk kerana angin. Maknanya suhu yang sudah rendah semakin rendahnya dek tiupan angin. 

Memakai baju sejuk dan berlapis-lapis menjadi suatu kemestian. Tidak boleh berlaku kecuaian. Mudarat boleh berlaku kepada kesihatan. Mandi dilarang sangat-sangat. Bukan kerana tiada air. Bukan kerana airnya sejuk. Mandi bertentangan dengan sejuk yang berlaku di persekitaran. Badan hendaklah dibiasakan dengan sejuk yang ada. Banyak mandi dikhuatiri mengakibatkan penyakit. Malah kadang-kadang ekstreme akibatnya. Pakai baju tebal. Kurangkan menggunakan air. Menjaga kesihatan. Maaflah sejak 15 Januari saya belum mandi lagi. Tidak terdaya menahan sejuk. Dulu saya hidupkan pemanas setiap malam. Sekarang jarang-jarang. Bila perlu sahaja. Bila tidur di bawah selimut segala sejuk hilang dengan sendiri. Bukan selimut biasa. Selimut kain nipis seperti di Malaysia boleh mati kesejukan. Selimut winter sangat tebal. Berada di bawahnya cepat panas. Haba terkumpul. Tidur berdua lebih cepat panasnya. Maaf. Realiti.

Dalam suasana yang sebegitu kehidupan berputar banyak darjahnya. Dari negara panas kami berada di negara yang sejuk. Dari tempat yang lembab kami berada di tempat yang kering udaranya. Pada beberapa hari yang awal angin cukup kencang. Kena pakai sarung kepala. Telinga sejuk dan kecut. Bila pakai sarung kepala terasa hangatnya. Sarung tangan kena pakai juga. Kaku jejari. Atau masukkan ke dalam poket jaket atau seluar. Bukan gaya. Sejuk. Tangan perlu panas. Tidak mungkin memakai baju berlengan pendek. Kemeja-T di dalam sekali. Pakai pull-over. Baju-T lengan panjang. Kemeja berlengan panjang. Baju lapis dalam lagi. Di luar barulah jaket. Jika angin kencang kulit menjadi kering. Mulalah menggerutu. Bintat merah-merah. Bagi yang tidak tahan tersa gatal pada kulit yang kering.

Pagi-pagi kena lumur dengan losyen intensive care. Manjakan kulit supaya kurang keringnya. Pada musim sejuk banyak karenah menjaga kulit dan tubuh badan. Baru perasan rupanya banyak jenama penjagaan kulit ada di seluruh dunia. Jenama yang sama. Bukan million tetapi billion dollar business. Harganya tidak banyak berbeza antara sebuah negara dengan negara yang lain. Nama wangnya berlainan tetapi nilai jenama itu hampir serupa di mana.mana. Di Jordan wangnya JD. Jordanian Dinar. Tidak UD. Urdunian Dinar. JD1 = RM5. Jangan risau tentang nilai pertukaran. Ok, sebiji kobis sebesar pinggan makan baru kira-kira RM3. Saya rasa masih sama dengan Malaysia.  Mungkin lebih murah. Yang lainya kobis di sini masih sangat segar. Baru dipetik dari pokok. Bahkan dari ladang. Masih dengan daun yang hijau. Selaput hijaunya masih melekat. Belum dibuang.  Jika tidak berkenderaan jenuh mengheretnya balik ke rumah. Begitu juga bunga kobis. Besar-besar belaka. Jenuh mencari yang kecil. Maklumlah makan berdua. Beli yang besar lama pula baru habis.

Menikmati makanan segar sangat mengujakan. Kentang masih segar, keras, besar, dan rangup. Belum jumpa kentang yang sudah lembek seperti di tanah air. Bawang merah juga begitu. Aduhai. Buah-buahan melambak-melambak. Teringat di USA dan Canada dahulu. Kedai buah melimpah-limpah dengan tuaiannya. Oren besar, mandarin, epal, pear, aprikot dan banyak lagi. Buah delima tidak ada yang kecil. Kadang-kadang jumpa yang kecil. Kebanyakannya besar-besar belaka. Saya pernah membeli delima besar di Parit Raja, Batu Pahat. Sebiji RM15. Maknanya JD3. Di Amman yang besar-besar saiznya baru JD1.5. sekilogram 2 biji. Maknanya RM7.50. Sebiji RM3.75 ringgit Malaysia. Bukan RM15. Sangat teruja memakan buah dan sayur.  Terasa berbaloi terbang dari jauh. Dari negara panas ke negara sejuk.

Hidup memang berubah coraknya. Siang lebih pendek dari malamnya. Isya’ pukul 8.25 malam seperti Malaysia juga.  Kerana suhu yang rendah mata cepat mengantuk. Biasalah pukul 8.45 sudah bam. Alhamdulillah boleh jaga dalam pukul 4.00 pagi. Keluar rumah pukul 7.30 pagi. Banyak masa untuk solat malam. Alhamdiulillah. Siang tidak pula tidur. Tidak ada masa hendak menonton TV. Ada lebih 750 rangkaian. Ada TV seluruh negara Arab sama ada yang di Timur Tengah atau yang di utara Afrika. Ada dari Korea, India, Paskiatan dan sudah tentu dari Eropah. Tidak terasa terasing sangat. Walau bagaimanapun ketagihan TV berkurangan dengan sendirinya. Tempat dan iklim boleh mengubah tabiat manusia. Barakah bumi anbia. Allahu Akbar!

Jadual makan paling berbeza. Kami balik dari universiti kira-kira pukul 2.00 petang. Sarapan paginya yang boleh tahan hingga ke tengahari. Selepas solat Zohor baru kami memasak. Pukul 3.00 kami makan. Malam tidak makan lagi. Lazimnya kami makan sekali sahaja sehari. Maksudnya makan nasi. Buah  dan roti kerap kami makan bila waktu senggang. Pada musim sejuk kerap laparnya. Ada sahaja yang hendak dimakan. Roti di sini lembut. Kena udara sejuk tidak menjadikan roti keras dan kaku. Lain benar dengan tepung kita. Bila dibuat lempeng sedapnya berganda. Jadual makan berubah. Jadual tidur berubah. Kebiasaan berubah. Jadual mandi dan membersihkan badan juga sangat berubah. Di negara yang beriklim sederhana banyak juga kebaikannya. Baju yang dipakai untuk tidur tidak pernah berbau. Walaupun berhari-hari. Pakailah setakat larat. Berulang setiap hari. Siapa hendak membasuh dalam sejuk. Hendak dijemur di mana kerana sejuk semuanya. Takut keringnya mengambil masa yang lama.    

Maaf. Lupa nak beritahu. Saya belajar bahasa Arab di Universiti Zarqa’. Sebuah universiti swasta. Di kelas asas terdapat dua orang guru. Pesara belaka. Mereka orang Palestin. Seorang mengajar dari segi menulis, membaca dan bercakap. Seorang lagi khusus untuk berbual sahaja. Selama sejam kami digalakkan bercakap. Bertanya dan menjawab. Atau memberi komen yang perlu. Universiti ini 45 minit perjalanan dari Abu Nuseir tempat tinggal kami. InsyaAllah untuk setahun atau dua ini saya menjadi penghuni Amman, Jordan. InsyaAllah boleh bercakap dalam bahasa Arab. Doa restu kami pohonkan.





Thursday, January 17, 2013

Hidup Beragenda dan Beragenda

Hiudp kita penuh dengan saat dan waktu. Kiralah dari saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, dekad, abad dan alaf. Kita buang alaf kerana manusia zaman kita tidak lagi mencapai usia hingga melebihi seribu tahun. Terlalu sedikit manusia yang mencapai usia melebihi 100 tahun. Ramai yang mencapai angka hingga 80an tahun sahaja. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Ada orang mengatakan bahawa usia tua ibarat kelapa. Semakin tua semakin banyak santannya. Semakin pekat. Semakin banyak minyaknya. Kita tanya kembali. Kelapa yang bagaimana. Tua bagaimana. Kelapa dari mana. Pernah lihat kelapa yang sudah dibuang sabutnya? Bagi yang tidak arif tentang kelapa, semuanya kelihatan sama. Biji kelapa tanpa sabut adalah konsep kelapa kepada orang Barat. Kepada mereka kelapa bertempurung tetapi tiada sabut atau kulitnya.
Hanya apabila dilihat sabutnya diketahui tua atau mudanya. Apabila dibelah baru diketahui tua atau mudanya. Apabila diparut baru diketahui nilai santannya. Banyak santannya. Pekat santannya. Apabila dibuat minyak barulah diketahui banyak mana minyaknya. Kualiti minyaknya. Maka untuk menjadikan kelapa yang kaulitinya terbaik tentulah banyak yang perlu dibuat. Tanah pilihan adalah tanah liat berpasir. Cukup panas dan airnya. Perlukan penjagaan yang rapi. Dipetik sesudah memang tua. Ditunggu gugurnya tentulah tidak berjadual. Terlalu lambat. Tidak dapat dijangka. Dalam hidup ini kita perlu banyak berencana. Menyusun agenda. Ada aturcara yang selari dan sejajar dengan usia dan keupayaan.
Kita menerima pendidikan dari tadika hingga ke IPT. Kita rasa masanya terlalu lama. Teruja hendak bekerja. Menerima sendiri ringgit yang boleh digenggam. Berbelanja dengan bebas meggunakannya. Sejak sekian lama kita rasa inilah masanya kita menjadi manusia. Membina harga diri. Jati diri. Nilai-nilai istimewa seorang yang mula berkerjaya. Masuklah dengan langkah lagak seorang pejuang ke alam kerja. Alam kerjaya. Mengira setiap sen untuk dilonggokkan menjadi ringgit yang banyak. Tetapi kerjaya bukan sesuatu yang statik. Perubahan teknologi mengubah status setiap kerja. Banyak yang perlu dilakukan untuk keep abrest dengan segala perubahan yang berlaku di sekeliling. Kita harus sedar ilmu yang kita ada tidak sampai setitis dengan ilmu yang orang lain miliki. Tidak banyak manapun. Kita masih diperlukan untuk menambah nilai diri. Menambah ilmu. Menambah kemahiran. Mempelbagaikan kesemuanya.
Usia menambahkan pengamalan. Seniority menambahkan produktiviti. Tanggungjawab yang bertambah bersama meningkatnya kewibawaan atau autoriti. Akauntibiliti tentunya menjadi pagar yang mengekang kejahilan. Kerakusan. Ketidakwarasan bertindak melulu kerana tidak mahu terikat. Kita kembali kepada kemanusiaan. Kita hanya dengan kekerdilan kita. Kita cuba panjat semua mercu yang kita lihat. Terbang ke awan yang kita sangka terlalu tinggi. Bagi yang telah terbang, awan hanya di bawah.  Parasnya rendah. Dalam pada itu kita terus mendaki tanpa mengetahui ke mercu mana yang hendak dipacakkan tanda kejayaan. Akhirnya ramai yang tewas. Bukan kerana gagal berjuang. Sebenarnya mereka tidak mengetahui apa yang diperjuangkan. Apa yang ingin didaki. Mercu mana yang hendak dipacakkan bendera.
Banyak yang perlu kita lalukan untuk menghargai diri kita sendiri. Sebenarnya banyak potensi untuk membangun dan memperkembang diri. Dalam kita berkeliling ada yang tertinggal. Dalam kita berkelana kita melupakan hak-hak mutlak yang sangat kita perlukan. Kita adalah hamba Allah yang sangat kecil. Terlalu kecil. Terlalu seni. Banyak ketidakupayaan yang ada pada kita. Kerana itu kita perlu belajar. Perlu mengaji. Perlu menyelidik. Perlu banyak bertanya. Kita banyak kurangnya. Kita banyak tidak tahunya. Kita banyak kekosongan ruang pemikikiran yang bestari. Carilah. Belajarlah. Agendakanlah pembelajaran sebagai input utama dalam hidup. Dari buaian hingga ke liang lahad. Tiada ruang kosong tanpa mencari kebenaran. Mencari yang tidak kita ketahui.
Tiada  yang lebih baik dari menambah keupayaan berfikir. Keupayaan menyelesaikan masalah. Keupayaan membuat keputusan bertaraf tinggi. Berimpak tinggi. Sebagai warganegara kita perlu banyak menyumbang. Sebagai penganut agama yang terunggul kita perlu banyak menyumbang. Sebagai individu kita perlu banyak menyumbang. Namun orang yang menyumbang mestilah memiliki sesuatu yang perlu disumbang. Untuk itu ianya perlu dicari. Memiliki harta yang banyak menjadi idaman. Ianya juga menjadi igauan. Harta sukar dipelihara. Selalu dalam ketakutan menjaganya. Takut hilang. Takut rugi. Takut dicuri. Takut terbakar. Ketakutan yang melibatkan semua perkara. Banyak harta banyak ketakutan. Begitulah jika kita terlalu bergantung kepada harta. Kita lupa untuk bergantung kepada pencipta harta tersebut.
Kita perlu belajar untuk mengumpul harta. Kita perlu belajar untuk memelihara harta.  Kita perlu belajar untuk menginfaqkan harta. Hanya orang Muslim yang megetahui infaq hartanya paling bermanfaat. Kita semua tahu harta tiada hadnya. Tiada siapa yang pusan memilikinya. Malah mereka yang mengejarnya juga tidak puas-puas. Kita kembali kepada ilmu yang menyegarkan pemikiran. Yang penting kepada orang berilmu ialah mengetahui. Mendalami dan memperhalusi. Kita pusing ke belakang untuk menyamapaikan segala kebaikan ilmu kepada orang lain. Setiap yang baik pastinya benih yang mencambah menjadi pokok ilmu yang berguna. Buahnhyn berguna. Bunganya berguna. Daunnya berguna. Kayunya berguna. Naungannya berguna. Oksigennya berguna. Kehadiraannya berguna. Semakin besar semakin banyak gunanya. Semakin tua semakin banyak yang telah dimanfaatkan.
Masa kita terhad. Usia kita singkat.  Tanpa agenda tiada acara yang dilakar. Tiada audien yang mendengar dan berkongsi mengenainya. Sebab itu kita hendaklah mengagendakan masa dan diri. Tidak ada siapa yang mengatur hidup kita melainkan Allah. Tetapi kita jendaklah berusaha memajukan diri untyk diri kita sendiri. Untuk Allah. Nanti kita sumbangkan kepada semua orang di sekeliling kita. Ilmu Allah tiada yang perlu disimpan untuk kepentingan diri kita sendiri. Semuanya perlu disampaikan kepada orang lain. Ilmu itu semakin berkembang semakin di sebarkan kepada orang lain. InsyaAllah Allah memberi kelapangan kepada kita untuk memperbaiki diri.

Sunday, January 13, 2013

Brussel Sprout and Carrot



Puas saya melihat sendiri bagaimana hay dibuat. Di hujung  musim fall itu saya dibawa berkeliling kampung berhampiran Ottawa untuk melihat orang meniup botol.membuat kraf Red Indian. Suatu pengalaman yang sukar untuk melupakannya. Menulis kembali mengenainya sangat nostalgik. Sebenanya paling lama sekali ialah berada di lading lembu. Di kawasan ladang itu banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Suatu waktu dahulu ada kegilaan Hollywood menghasilkan filem-filem cowboy.para pelakonnya banyak melakukan aktiviti dari pagi hingga malam. Tugas utama mereka ialah mengembala lembu menggunakan kuda. Mereka kesemuanya membawa senapang atau pistol. Bertembak suatu kemestian. Bertembak dengan Red Indians. Ironis. Orang putih yang datang menyeberang dari Eropah merampas tanah orang Indian, memusuhi Red Indians yang pada awalnya sangat pemurah. Kekuatan senjata itu yang memenangkan orang putih ke atas penduduk asal di negara besar yang bernama Amerika Syarikat. The United States of America.

Senjata juga alat untuk menunjuk kuasa. Yang kuat selalu menang walaupun tidak semestinya kekal menangnya. Maka wujudlah cerita-cerita seperti Doc Holiday dan ramai lagi. Begitulah Clint Eastwood, Ronald Reagan dan John Wayne memonopoli layar perak. Individu cowboy itu menggunakan senjata api dengan skil yang tinggi. Cepatnya bak kilat. Split second move. Precise. Tembakan yang selalu mengenai dahi. Antara dua mata. Atau di dada. Bertempiaran penajrah. Hero pasti menjadi Sheriff atau Marshall. Aman sebuah daerah. Sebuah pekan.  Di mana-manapun orang jahat sentiasa ada. Walaupun banyak angkaranya, yang jahat akhirnya kalah. Janji Allah untuk memenangkan manusia yang baik. Tidak derhaka kepadaNya. Di Canada saya tidak berjaya mendapatkan sampel kehidupan cowboy yang sebenar. Cebisan-cebisannya masih ada.

Setelah puas melihat orang membuat hay kami melihat pula barn. Bangsal besar tempat menyimpan hay. Bangsal itu memang besar. Yang disimpan ialah hay untuk makanan lembu selama kira-kira tiga bulan. Jika lembu yang dipelihara sebanyak 1,000 ekor tentu sukar hendak membayangkan saiz barn dan kuantiti hay yang mengisinya.  Saya belum pernah pula mendengar orang berniaga hay. Setiap pemilik ladang membuaynya sendiri. Padang ragut mereka luas. Hay adalah hasilan rerumput yang ada. Kerana tanah luas maka ramai mereka yanag mendiami ladang berbudi kepada tanah. Di sekeliling rumah, barn dan kandang kuda berbagai tanaman yang mercup hidupnya. Pada musim fall kesemua tanaman itu dituai. Kali ini perhatian saya tertumpu kepada brussle sprouts dan carrot. Tidak ada yang intimewanya kedua jenis sayur ini. Di Malaysia banyak. Diimport. Carrot biasa di pasaraya.

Yang saya lihat ialah kedua-dua sayur yang masih di pohonnya. Maksud saya brussle sprout masih dipohonnya yang sebenar. Carrot pula masih tertanam di tanah.  Mereka yang biasa makan di restoran besar makan brussle sprout tentu dianggap istimewa. Jika ada rezeki belilah sepaket. Belah dua. Goreng dengan mentega. Masin berulam dengan sedikit pahit. Menyegarkan. Ramai orang menyangka brussle sprout sebagai anak kubis. Bukan. Saiznya memang begitu. Sebesar bola pingpong. Kehijau-hijauan. Kami petik sebanyak mungkin. Malam itu di resort tepian tasik berhampiran Ottawa saya masak dengan mentega. Campur dengan bawang besar berwarna putih. Aromanya mencucur air liur. Apa lagi orang putih yang datang makan sakan. Licin semua yang saya masak. Kali pertama kami bertemu brussle sprout di ladangnya. Amsih di pohonnya. Kali pertama pula orang putih merasa masakan Melayu Malaysia. Sampai licin dibuatnya.

Kita jarang makan carrot mentah. Mungkin dibuat acar mentah. Dalam banyak aspek ramai orang makan carrot yang dimasak bersama kari. Atau yang disagat untuk ulam arau rojak. Di sekolah kita diajar untuk sentiasa bersih. Rasanya banyak ilmu iu datangnya dari Barat. Kebersihan sebahagian dari iman. Itu hadith. Beratnya kebersihan kepada Islam. Bandingannya iman. Di ladang lembu itu pemiliknya mencabut carrot. Dibuang daunnya. Digosok-gosokkan pada seluarnya. Dimakan begitu sahaja. Tidak hairankan? Saya belum sebut lagi. Carrot itu dibaja dengan tahi lembu. Masih banyak bertepek-tepek kekeringan. Yang lain turut juga makan carrot mengikut langkah pemiliknya. Budaya kita tidka membenarkannya. Kepada mereka semuanya perkara biasa sahaja.

Sebab itu mengetahui antara budaya penting dalam memelihara hubungan sesama manusia yang berlainan latarbelakang. Mereka yang berkahwin campur khususnya hendaklah berusaha sangat-sangat mengharmonikan perbezaan budaya. Antara pasangan berbeza pandangan. Berbeza falsafah. Berbeza cara dan gaya hidup. Cita-cita dan aspirasi berbeza. Jika tidak dari tarikh bulan madu perbezaan itu semakin ketara hingga membawa keretakan rumahrangga. Setelah beberapa lama barulah boleh masing-masing mengambil jalan yang lebih tolerant. Mengemudi rumahtangga ke arah laluan yang kurang berliku. Jika ada halangan, ada cara untuk mengatasinya. Brussle sprout dan carrot mengingatkan kita tentang kebesaran Allah. Di bahagian bumi yang lain ada orang sangat jauh berbezanya dengan kita. Perbezaan itu bukan untuk dicemuh tetapi difahami kedudukan setempat dan persekitaran mereka. Budaya yang tidak bertentangan dengan agama bukan suatu kesalahan. Banyak iktibar mengembara. Pengembaraan yang slealu mengajar. Banyak berjalan banyaklah pemandangan yang memberi impak kebesaran Allah.

Thursday, January 10, 2013

Casa Loma


Saya tidak tahu ada berapa banyak castle (kota) di Canada. Yang saya temuai hanya sebuah sahaja di Toronto. Sebuah castle besar yang diberi nama Casa Loma. Ia mungkin hanya sebuah binaan untuk mengingat warga Canada tentang warisan datuk nenek mereka di Eropah. Hingga sekarang banyak kota yang kekal binaannya di seluruh Eropah. Ada di England, Germany, Switzerland, France dan banyak negara lain sama ada di Eropah Barat ataupun di Eropah Timur. Casa Loma cukup besar untuk menjadi tarikan utama pelancong dalam negara khususnya. Atau dari USA. Di USA tiada kota seperti Casa Loma. Bagi anak-anak, kota itu menjadi lambang kegagahan mereka sewaktu di Eropah. Anak-anak Muslim jangan tidak tahu bahawa kota-kota yang berselerak di Eropah adalah binaan yang diterokai oleh sarjana Islam zaman lampau. Selepas Perang Salib, orang Barat membawa pula bersama mereka tamadun yang diilhamkan oleh Islam. Dibangunkan oleh orang Islam.

Setiap hari begitu ramai orang yang mengunjungi Casa Loma. Paling ramai ialah kanak-kanak. Pembacaan mereka melalu buku dibuktikan dengan melihatnya sendiri. Mereka membuat pengamatan yang pasti tentang sebuah kota. Bahawa golongan bangsawan di Eropah sangat gemar membina kota untuk melindungi keluarga dan empayar kekayaan mereka dari musuh. Sejarah menunjukkan bahawa orang Barat suka berperang antara keluarga. Antara puak. Antara bangsa. Kota-kota kukuh dan besar dibina dengan harapan ianya dapat menyelamatkan mereka dari serangan musuh. Tradisi yang bermula dari Timur Tengah ini menular ke Barat. Idea kota diambil menjadi sebahagian dari tradisi Barat. Hingga sekarang banyak kota yang masih kekal terpelihara di Barat.

Di Canada, Casa Loma hanya sebuah monumen. Tiada penghuni. Pengunjung dan pelancong yang meramaikannya pada siang hari. Menelusuri setiap ruang kota tersebut memberikan imej-imej masa lampau sebuah kota. Ada dungeon umpamanya. Tempat mengurung penjenayah. Orang yang bersalah. Tempat menghukum supaya mereka terpisah dari dunia luar. Sejuk dan lembab. Suhu yang menyesak dan menyeksakan. Ada antara mereka dirantai ke dinding. Terikat selama menjalani hukuman. Di ruang lain ada tempat mengawet air anggur. Arak nombor wahid bagi mereka yang gemar acara mabuk-mabuk. Pesta yang beriringan segala maksiat. Perempuan, arak, muzik. Apabila agama bukan panduan maksiat yang menjadi pedoman. Berseronok  menikmati dunia. Akhirat terlindung dan terhijab entah ke mana.

Saya kira orang Ipoh mengetahui Callie Castle. Sebuah kota atau istana besar. Anugerah seorang suami kepada kekasih hatinya, seorang isteri. Saya pernah menjejak kota itu. Memang besar. Banyak ruang. Banyak bilik. Sayangnya kota itu tidak sempat disudahkan. Saya tidak pasti sebab musababnya. Lambang cinta yang tidak kesampaian. Shah Jehan membina Tajmahal setelah Mumtaznya meninggal dunia. Kecintaan yang diabadikan. Dilihat sebagai lambang cinta agung. Sebenarnya semua orang cintakan pasangannya. Seagung Shah Jehan. Banyak bezanya kaedah melakar lambang kasih sayang itu. Ramai orang menyatakannya di hati. Di sanubari. Jauh di sudut hati. Kadang-kadang tidak terungkap di mulut. Riak wajah sahaja yang membayangkan sayang. Mana mungkin membina monumen besar yang ongkosnya jutaan ringgit. Namun cinta besar tetap wujud. Pasangan itu sahaja yang arif tentang cinta mereka berdua.




Casa Loma, Toronto

Melihat saiznya sahaj sudah cukup dimaklumi. Kos pembinaannya di luar kemampaun  semua orang kecual1 beberapa orang  sahaja. Walau bagaimanapun, kota ini dinikmati oleh ramai pengunjung. Tidak menghuni tetapi meramaikannya sepanjang masa.

Casa Loma Castle, Toronto

Bila besar diiringi pula dengan agamnya. Cantiknya. Luar dan dalam yang sesuai lanskapnya. Hiasan dalamannya unik. Kembali ke zaman kota meriah di Eropah. Dari luar tersergam sungguh. Bila agaknya orang kita berupaya membina  dan menghadirkan kekuatan ekonomi seperti ini.


Monday, January 7, 2013

Sayang, Kau Terpaksa Ku Tinggal Sendirian


 Kadang-kadang kita selalu digerakkan untuk berhijrah. Bukan kerana kepayahan atau kekangan. Konsepnya tentulah untuk yang lebih baik. Untuk yang lebih cantik. Lebih bermakna. Lebih tinggi. Lebih banyak dan banyak lagi. Hidup kita tidak pernah statik. Kecuali mati yang pada zahirnya statik untuk jangkamasa yang sangat lama. Agi idup agi ngelaban. Itulah pesan Kanang, wira zaman darurat dahulu. Begitulah kita. Jika ingin perubahan, hijrah langkahnya. Jika ingin tinggi, terbanglah. Jika ingin jauh, jalanlah. Jika ingin menyelam, renanglah dahulu. Tidak ada yang tinggi jika terus menerus berada di bawah. Tidak mungkin jauh jika tidak berpergian. Tidak mungkin dapat jika tidak menggapai tangan. Mana mungkin memeluk tanpa melingkari tangan. Hijrah tentulah jauh dari segi jarak tempat. Dari segi jarak masa. Dari segi jangkamasa. Dari segi pemikiran. Dari segi perasaan. Dari segi psikologi.

Hijrah memerlukan pengorbanan yang terlalu banyak. Kita meninggalkan kebiasaan sehari-hari. Yang telah sebati berbulan dan bertahun-tahun. Kita ke arah sesuatu yang belum tentu. Suasana baru yang memang lain dari biasa. Lain dari rutin. Lain dari keenakan, kelunakan, keselesaan dan zon-zon melekakan. Tanpa hijrah banyak yang tidak dapat kita lihat warna dan bentuknya. Tidak dapat didengar lagu dan iramanya. Tidak dapat dihidu aroma semerbak harumnya. Malah bumi yang dipijak tidak diketahui tinggi rendanya. Tidak tahu mana tarinya. Berada dalam kepompong sendiri selalu menjadikan kita asing benar dari mereka yang jauh perjalanannya. Yang tinggi terbangnya. Yang selalu melewati ufuk jauh di sekeliling pandangan mata. Berada dalam kelompok sendiri menjadikan kita terperosok jauh ke dalam diri sendiri. Kita tidak mengetahui apa yang ada di luar sana.

InsyaAllah,  Selasa 15 Januari 2013 akan saya tinggalkan watan tercinta ini. Darah yang mengalir di bumi dan di badan menyatu untuk lagi mencari yang belum ada. Mencari pelengkap untuk menghadirkan diri dengan lebih berwajah lebih baik. Jam 3.00 pagi Selasa ini saya dan isteri akan terbang ke Jordan. Bumi para anbia. Mungkin untuk jangkamasa dua tahun atau lebih. Bukan berjalan. Bukan beristirehat. Bukan melancong. Saya ingin rehlah seperti yang saya katakan selalu. Mencari ilmu lain yang belum ada. Yang belum meyakinkan diri. Walaupun ilmu sekular saya belum sepenuhnya tercapai, saya ingin ke bidang yang sangat juga utama dalam Islam. Mempelajari Bahasa Arab. Teringat hadith Rasulullah s.a.w. yang menggesa kita semua sebagai umatnya supaya mempelajari Bahasa Arab. Seorang sahabat bertanya sebabnya. Rasulullah menjawab, “Bahasa Arab adalah bahasaku, bahasa al-Quran dan bahasa syurga.” Pengakuan yang kita sayangkan Rasulullah tentu tidak memadai tanpa kita mempelajari bahasa Baginda. Bahasa Arab dan al-Quran tiada keraguan padanya. Di syurga nanti tiada seorangpun yang menggunakan bahasa selain dari bahasa Arab.

Mempelajari Bahasa Arab dan menuturkannya mendapat gandaan ganjaran. Ganjaran pertama kerana bersusah payah mempelajarinya. Ganjaran kedua kerana berusaha menuturkannya. Menyayangi Bahasa Arab bermakna mencintai Rasulullah. Khazanah ilmu tentang Islam terlalu banyak dalam Bahasa Arab. Musykil sungguh kerana saya hanya memandang kosong buku-buku Arab yang anak saya bawa balik dari Mesir. Membaca al-Quran setakat memahami sedikit dari kalimah-kaliah yang biasa. Apabila bertemu dengan kalimah dan ayat-ayat yang bekaitan dengan akidah umpamanya tentulah saya tidak berupaya menangkap maksudnya. Terlalu banyak isi al-Quran yang tidak dapat diberi makna yang sebenar. Malang diri yang serba kekurangan dari segi itu. Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini membawa barakah yang besar.

Bila berpergian kita tinggalkan banyak yang tersayang. Yang kita kasihi. Yang kita cintai. Mereka dan segala yang dekat kepada kita menjadi jauh hanya dalam masa beberapa ketika. Semakin jauh semakin sayup di balik awan. Hilang dari pandangan. Hanya di hati kita masih kekal ingat. Hanya di mata kita masih ada imejnya.  Di telinga terngiang-ngiang suaranya. Ditinggalkan semua yang dekat di hati. Yang jauh ialah fizikalnya. Jaraknya. Masaya. Tempat memisahkan pertemuan. Masa memisahkan antara yang dahulu dan yang kemudian. Tinggallah semua yang selalunya sangat biasa. Hingga kadang-kadang kita terlalu selesa dengan yang sama dan berulang-ulang. Memang kadang-kadang ingin berada dalam situasi yang aman dan menyenangkan. Kepada kebanyakan orang ungkapan yang sama diulang-ulang. Disebut-sebut hingga lali. Ungkapan yang ringkas tetapi perlukan jawapan yang panjang berjela-jela. Kenapa nak susah-susahkan diri?

Tentu ramai yang akan bersetuju dengan pertanyaan itu. Menyusahkan diri bukan prinsip. Bukan falsafah. Tetapi cuba lihat keliling. Cuba berkisar dalam lingkungan kita sendiri. Berapa ramai orang yang ingin menjadi lebih baik. Lebih mengetahui. Lebih banyak kemahirannya. Lebih ramai rangkaian kenalan dan konteknya. Itu belum lagi mereka yang ingin berada di paras yang tidak sama dengan orang lain. Ramai antara kita yang suka berada dalam zon selesa.  Jadi seperti orang lain. Menyamai seperti yang dimiliki oleh orang lain. Akademik, ekonomi, milikan harta dan keberadaan yang terlalu biasa. Mungkin hanya beberapa peratus sahaja merkea yang ingin memiliki yang lain dari orang lain. Akademik yang bercapah. Ilmu yang bercabang-cabang. Kaya dalam hal-hal yang selain daripada harta benda. Cuba langsung kita fikirkan bahawa pengalaman itu hanya melalui masa. jarak yang jauh. Meninggalkan semua yang biasa. Mencari sesuatu untuk memenuhi hasrat diri. 

Kita dilihat bukan sahaja dari segi fizikal. Bukan wajah yang cantik dan anggun. Dalaman kita dinilai orang. Rohani dan emosi. Akhlak barangkali dipamerkan dengan penampilan dan tingkah laku tertentu kepada audien yang tertentu. Atau bagaimana kita bertindak dalam persekitaran yang terbatas. Lalu kita dilihat dan dinilai dalaman kita. Hati kita. Pemikiran kita. Tidakan kita. Idea kita. Hujjah kita. Keikhlasan kita. Pengalaman membantu kita melebarkan sayap untuk melihat dari atas. Dari ruang yang lebih lebar dan luas. Seperti burung helang yang terbang tinggi masih dapat melihat ikan yang jauh di dalam air laut. Haiwan yang merayap di tempat-tempat yang terlindung masih dapat ditangkap dengan kaki yang kuat kejap cengkamannya. Mata burung yang selalu awas dan telus. Begitulah rasanya mereka yang jauh lebih luas pengalaman dan pendidikannya. Sama ada secara formal atau tak formal pendidikan tetap suatu input yang lebih menyempurnakan seseorang individu. Jangan segan untuk mengalami apa sahaja yang boleh menambah nilai diri.

Berpergian, berhijrah atau meninggalkan semua yang kita sayang bukan bermakna kita sudah tidak sayang lagi kepada semuanya. Pengalaman yang lebih luas sebenarnya menjadikan kita orang yang lebih penyayang. Lebih menghargai kasih sayang. Berpisah bukan melupakan. Ianya mencipta kerinduan yang berpanjang. Bila bertemu lagi kasih sayang itu akan lebih diberi makna. Lebih bernilai. Saya tinggalkan anak-anak, cucu-cucu, adik beradik, ibu bapa, teman-teman, handai taulan dan sesiapa sahaja yang bersama dengan saya. Saya tinggalkan rumah dan halaman. Saya tinggalkan tanahair tercinta yang selalu mendebarkan sebaknya. Kecintaan kepada watan yang tidak berbelah bagi. Semakin berusia semakin bergejolak memikirkan hambatan-hambatan yang selalu merungsingkan tentang masa hadapan negara yang tidak menentu. Mungkin hari ini kita baru terasa bahangnya. Bahang itu akan semakin panas jika tiada kesudahannya yang mamtap. Waja kuat memperkasa.

Pergi jauh meninggalkan kecintaan adalah meneroka masa hadapan yang lebih baik. Di hujung sana ada cahaya yang lebih bersinar. Menyorot ke belakang saya banyak melalui fasa-fasa yang santai dan mengujakan dalam kerjaya sebagai pendidik. Hingga kini masih teruja mendidik. Sesudah melaluinya selama hampir 44 tahun. Sejak tahun 1969. Saya puas dipanggil cikgu dan encik. Kadang-kadang orang tersasul memanggil saya prof. Atau doktor. Akhirnya saya masuk kelompok antara mereka yang dipanggil ustaz. Saya bukan pakar agama tetapi penglibatan saya dalam pengajian al-Quran menjadikan saya terkeluar dari aliran sekular. Jordan akan mengubah lanskap diri saya. Mudah-mudahan Bahasa Arab memudahkan saya mendalami agama. Lebih mahir al-Quran kerana rahsia yang mendalam perlu terus digali.

Rasanya apabila kita mencari yang lebih baik tidak ada yang lebih baik dari menjadi lebih dekat dengan Allah. Ilmu yang semakin banyak memperlihatkan lebih banyak tanda-tanda kebesaranNya.  Kita melihat, mendengar, menghidu, menyentuh dengan deria kita. Yang lebih penting naluri kita pasti tersentuh dengan kehadiran alam yang menambah senarai semua yang pernah kita alami. Pernah hadir dalam deria dan minda kita. Saya tidak tinggalkan kesemuanya begitu sahaja. Memang fizikal saya tidak berpijak di bumi Malaysia yang saya cintai ini. Namun teknologi menajdikan kita selalu berada bersama. Blog saya ini akan selalu saya isi. Saya tetap menjengah saudara. Kita bertemu di alam maya. Semoga saya sihat walafiat. Saya doakan semuanya dalam sejahtera. Mohon doa restu. InsyaAllah kita bertemu lagi.

Saturday, January 5, 2013

Toronto Island



Di negara kita tidak banyak dibangunkan tempat-tempat rekreasi. Nisbah penemptan penduduk dengan keperluan rekreasi dilihat secara fizkal adalah terlalu rendah. Tanah-tanah kosong yang ada dibangunkan setiap mililiter untuk memenuhi kerakusan manusia mendapatkan keuntungan yang berganda-ganda. Jika ada yang membangunkan kawasan rekreasi pasti setiap pengunjung dikenakan untuk menyumbang penyenggaraannya. Maka warga yang berpendapatan tinggi sahaja yang menikmati banyak kemudahan prasarana rekreasi. Rakyat marhain kecur air liur mendengar beritaya. Melihat gambarnya. Banyak perbezaannya di negara Barat dengan kita. Orang Barat memikirkan kelangsungan generasi mereka. Pemimpin yang ada merancangkan yang terbaik untuk anak cucu mereka. Pemeliharaan alam dikongsi oleh semua orang. Memang kosnya mahal. Tetapi hasil cukai negara diagihkan untuk membangunkan sesuatu yang dinikmati bersama tanpa tambahan bayaran. Jika ada hanya token.

Kita membayar tol di lebuhraya umpamanya. Dikira setiap kilometer. Di USA tol hanya perlukan a dime. Jika di Malaysia 10 sen. Campak sahaja palang tol pasti terangkat. Digalakkan menyumbang lebih daripada itu. Bagi yang sayangkan negara sumbangan mereka melebihi minimum. Mungkin a quarter (25 sen) atau half-dollar (50 sen). Tidak ada yang mencampakkan a dollar, two-dollar, five-dollar bill atau lebih banyak lagi. Yang dollar kesemuanya kertas. Tiada pemberat yang boleh menaikkan palan tol. Falsafahnya tinggi. Campaklah seberapa banyak wang siling. Setiap pengguna menymbang sedikit. Tidak perlu banyak. Konsepnya menyumbang. Bukan membebankan. Bukan mendenda. Bukan menyeksa. Pengguna telah membayar insuran kereta. Membayar cukai jalan. Membayar cukai semasa membeli kereta. Mengambil insuran kemalangan. Membayar cukai minyak. Maka tol adalah tambahan kepada kos-kos yang lain itu. Tidak kesemua pengguna dalam golongan berada. Kenderaan sudah menajdi suatu keperluan. Bare nesccessity.

Kembali kepada tanah. Terlalu sedikit tanah yang dinikmati bersama seperti park. Milik awan. Dibangunkan pemerintah atau pihak berkuasa. Di situ warganya menikmati kehidupan santai. Mereka melapangkan fikiran. Mencari ilham. Bersosial. Mendidik anak cucu mencintai outdoor life. Kita di sini mematikan semua itu. Kita take for granted bahawa dunia ini luas. Benarkah begitu. Kita lihat keliling semuanya sempit. Rumah kecil. Keperluan ruang tidak mencukupi. Jalanraya keliling rumah dan taman atau kampung sempit belaka. Asal ada sahaja. Fungsinya ada tetapi dalam serba terhad. Semua yang sempit akhirnya menyempitkan fikiran. Tidak banyak kreativiti dipancarkan. Yang difikirkan ialah sempitnya ruang. Fikiran jadi buntu. Ramai antara kita jadi kaku, beku dan kelu. Akhirnya lesu. Tidak terfikir tinggi kerana tinggi sudah disekat di atas. Tidak memikirkan luas kerana terperangkap dalam ruang yang sempit. Tidak terfikirkan jauh kerana langkahnya selalu tersekat.

Di Barat banyak ruang dimanfaatkan untuk warganegara. Banyak aktiviti bebas dan berbagai dilaksanakkan. Rumah mungkin ruang yang sangat terhad. Di taman, di kawasan rekreasi banyak akviti dijalankan. Hari keluarga. Perkelahan. Perhimpunan warga kerja. Sukan. Rekreasi bebas. Apa sahaja boleh dilakukan untuk diri sendiri. Untuk kelompok  tertentu. Mungkin juga untuk massa. Yang penting tiada siapa yang tidak berkaitan rasa terganggu. Seolah-ola dalam taman yang luas itu ada privacy terbuka. Ramai yang berada di taman itu tidak mengira status sosial. Status keluarga. Status akademik. Apa sahaja perbezaan tidak pernah dijadikan pembeza. Sekatan atau halangan. Orang besar dan orang kecil tiada bezanya kecuali kenderaan yang mereka naiki. Jenama pakaian yang mereka gemari. Restoran yang mereka kunjungi. Butik yang selalu dilanggani. Yang lain semua sama. Tiada siapa tahu berapa banyak wang yang masing-masing miliki. Atau hutang.

Di Toronto Island tanahnya dibangunkan untuk dinikmati warga Toronto. Taman-taman yang indah. Bebunga yang berwarna warni. Dari spring hingga fall pulau itu dikunjungi untuk dinikmati keindahannya. Udara segar yang menyegarkan. Bersih susananya. Bersih udaranya. Bersih fikir dan mindanya. Imej-imej yang berikut mudah-mudahan memberikan kita idea untuk berkasih sayang dengan tanah. Dengan alam sekitar. Dengan manusia yang ada di sekeliling kita. Perancangan bandar dan desa yang berintegrasi. Ingatlah anak cucu kita yang akan kita tinggalkan nanti. Doa mereka yang kita harapkan. Bukan kata nista kerana kita tidak memikirkan kesejahteraan mereka.


Hanlan's point lighthouse Toronto Islands
Pulau tetap pulau walaupun ianya terletak di sebuah tasik besar. Di tasik itu hilir mudik kapal-kapal kargo. Toronto adalah pelabuhan besar. Pulau Toronto merbahaya jika nakhoda tidak mahir mengemudikan kapal mere. Rumah api membantu menyelamatkan pelayaran pada waktu malam dan waktu berkabus.
 

Bandaraya Toronto dilihat dari Pulau Toronto. CN Tower sangat majestic. Mercu tanda yang sinonim dengan Toronto.


garden
 
Rekabentuk taman yang selalu unik. Sejuk mata memandang. Kehijauan yang terpelihara.

File:Toronto islands house 2009.JPG
 
Rumah-rumah yang dibina juga teralu cantik. Rekabentuknya, warna catnya, lanskapnya.

Picture of Toronto Islands neighborhood, Toronto City, Canada, October 2007 by Parent (Toronto Park)  (621.9 KB) Photo viewed 129 times
 
Penunjung tidak henti-henti bertali arus menikmati keindahan Pulau Toronto.


Pada musim summer berbagai bunga memenuhi lanskap di mana sahaja ada tanah. Di Pulau Toronto tanaman bunga disusun rapi supaya dilihat lebih menyerlah cantiknya.

 
 
Terlalu banyak yang dilaborkan di Pulau Toronto. Berlatarbelkangkan CN Tower, kehijauan pepohon yang ada menjadikan Pulau Toronto sebuah tempat retreat kepada warga Toronto. Dengan angin sepoi-sepoi bahasa, Tasik Ontario mendamaikan suhu dan iklimnya.
 
 
Boleh kita  fikirkan langkah positif yang futuristic. Kita perlukan kawasan hijau di bandar yang banyak dan luas. Bukan setakat beberapa batang pokok. Beberapa pasu bunga. Anak cucu kita tiada tempat untuk bermain. Untuk membina minda kreatif mereka. Untuk mengambilalih tugas kita bila kita tiada nanti. Fikir-fikirkan.

Thursday, January 3, 2013

Daun Maple dan Daun Getah

 
 
Di Canada orang menjadikan daun pohon Maple sebagai sumber rezeki. Kuning dan merah warnanya. Bila musim luruh, melambak-lambak di perdu pokok. Sumber alam semulajadi ini sangat menarik pada musim fall. Di mana-mana daunnya merah dan kuning. Sebenarnya daun Maple menjadi lambang negara Canada. Warnanya merah. Namun daun Maple yang kuat merahnya tidak begitu menonjol. Yang dilihat tidak berapa merah atau kuning sahaja. Mungkin lebih banyak berwarna jingga. Banyak yang boleh dihasilkan daripada daun Maple. Dari daun yang diawet hinggalah hiasan dinding. Berbagai-bagai kraf dan hasil seni yang terhasil. Sesiapa yang pernah berada di negara beriklim sederhana pasti asyik pada musim fall. Pasti nostalgik mengingatinya walaupun sesudah beryahun-tahun meninggalkan suasana dan situasi itu. Pengalaman besar dan berharga sebegitu sukar dinyahkan dari minda. Malah bagi setengah orang ianya treassured dalam ingatan yang kekal lama.


Banyak barang-barang kraf yang dihasilkan menggunakan daun Maple. Kreativiti mengenainya tiada had. Asalkan dapat difikirkan ada sahaja hasil seni yang dapat direkacipta. Besar atau kecil tidak menjadi apa-apa ukuran mutlak. Yang penting cantik, warna-warni dan sedap mata memandang. Ada pula nilai estetika. Ada nilai ekonomi. Ada impak psikologi.


 

 
 Hiasan bunga ini begitu cantik dipandang dan dipamerkan
 
 Daun Maple Jepun. Sedikit variasi dengan daun Maple Canada atau USA.
 
 Bingkai berwarna daun yang berbagai warna.
 
 Hasilan bermotifkan daun Maple. Mereka yang mahir knitting boleh menghasilkan apa sahaja.
 
Mug yang bermotifkan daun Maple.
 Sejambak daun Maple.
 
 Lambang cinta dari daun Maple.
 
 Bayangkan anda dalam ruang yang suasananya begini. Maaf ia bukan mimpi. Realiti yang menggamit syukur.
 
 
 Daun pokok getah ini saya rakam di Sungai Petani, Kedah. Kuningnya serupa benar sepeerti daun pokok Maple.
 
  


Daun Maple yang berwarna kuning.


Kebanyakan daun memang berwarna hijau. Semakin tua warnanya semakin pekat. Melewati suatu jangka masa tertentu, ia mula bertukar warna apabila usia mula menyusup tiba. Begitulah orang Melayu hijau bermakna terlalu belum banyak pengalaman.
 
 
Fall bagi saya adalah lambang damai. Suasana di sekeliling bermula dari panas yang lewat summer. Kemudiannya suhu kian menurun dalam pancaran matahari yang kering. Ketika itu dedaun semakin kurang mendapat terikan pancaran matahari. Daun yang dahulunya hijau menyejukkan bertukar menguning, jingga dan merah darah. Pada peringkat awalnya terdapat pancawarna. Teranyam antara warna hijau, kuning dan merah. Angin yang kering berpuput. Berguguranlah warna-warna dari tangkai, ranting dan dahan. Di atas tanah terhampar lambakan dedaun yang berwarna-warni. Berbagai saiznya. Jika pokok-pokok itu berlainan spesis maka daun yang gugur memenuhi perdu pokok masing-masing dengan warna yang pastinya berlainan. Berjalan di atas dedaunan panca warna itu seperti berada entah di mana. Kita terasing dalam keindahan yang sukar diungkapkan. Pengalaman itu tidak mungkin ada di sini. Hanya di sana kita merasa kebesaran Allah. Melihat dengan mata kepala sendiri. semoga mata hati kita mensyukuri nikmat pengalaman besar dan bermakna itu.
 
 
Lambakan daun yang menguning, jingga dan perang menghampar luas. Selagi ada pepohon begitulah setiap fall berlaku. Lambakan ini hanya di akhir fall.


 

 

 
Aduhai warna yang sememangnya cantik. Lena memandangnya. Tidur dalam jaga yang penuh syahdu.
 


 
Arah manapun kita pandang kita tetap berada dalam daerah warna. Untuk dikecap keindahannya.
 

 
Daun jika dilihat sebagai daun tiada apa gunanya. Fitrahnya Allah tentukan bahawa dedaun yang berguguran itu lumat, hancur, menyatu dengan tanah. Darinya kesinambungan kehidupan berlangsung. Generasi ke generasi. Lama, abadi dan berkekalan. Itulah bezanya antara yang mengerti dengan yang tidak mengerti. Daun gugur bukan kemusnahan tetapi di sebaliknya suatu kehidupan baru. Harapan baru. Masa hadapan yang lebih panjang. Lebih memberi harapan tinggi. Dedaun itu sampai masanya untuk musnah kerana kemusnahan itu melestarikan generasi lain yang lebih baik. Sebagai analogi manusia juga gugur bila sampai ajalnya. Berbeza antara manusia dengan manusia yang lain. Setelah pergi dunianya ada manusia yang tinggalkan warna dan warni. Ada yang tinggalkan nama panjang berjela. Disebut orang zaman berzaman. Ada orang tinggalkan lagu merdu berdendang panjang menghibur generasi demi generasi.
Begitulah daun yang berwarna dan berwarni. Lagu-lagu merah, jingga dan kuning. Gugurnya cantik. Berseraknya penuh dengan lembayung warna. Meleraikan simpulan-simpulan sulit dalam hati. Meleraikan rasa risau yang mendesah-desah. Fall yang penuh dengan warna, melagukan irama kehidupan yang bermusim. Yang bersilih ganti datang dan pergi tahun demi tahun. Semua yang pergi diganti dengan yang datang berikutnya. Yang datang mengganti yang pergi sebelumnya. Musim warna dan warni itu tetap datang walaupun bukan semua yang pergi itu datang. Bukan semua yang datang mengganti yang pergi. Daun Maple tetap dengan warnanya yang indah menawan. Lagu dan warna fall dalam dunia yang berbeza. Suasana yang berbeza. Hanya yang mengerti sahaja memahami warna dan lagunya. Benarlah bait-bait lagu Andy Williams. Autumn leaves. Desir angin fall yang hangat, kering dan penuh rindu.


Warna-warna itu menunjukkan fasa penuaan dan fasa kepelbagaian warna. Ada juga yang berwarna merah. Tetapi tidak merah seperti lambang negara Canada.




Ada juga daun getah yang semerah daun Maple. Cuma daun getah bersaiz lebih kecil.



 
Sebenarnya warna ini sangat cerah bila dilihat secara dekat.
 
 
Ramai orang menghasilkan berbagai hasilan dari daun pokok getah. Iklim kita panas dan lembab. Daun yang gugur cepat reput dan rosaknya. Gunanya juga luput sesegera gugurnya. Ada yang cuba membuat bunga hiasan. Mengawet daun yang kering. Berjalur-jalur menjalar berangkai. Mungkin kelemahan pemasaran dan promosi tidak menjadikan hasilan daun getah menebar ke seluruh antero dunia. Hasilan dari negara Cina menembusi Eropah dan Amerika. Hasilan kita tenggelam timbul di sini sahaja. Tidak pergi jauh. Ia juga melibatkan budaya. Kita belum memiliki sifat kecintaan yang tinggi terhadap hak kita sendiri. yang dilihat hak orang lain. Membudayakan hak sendiri masih belum mencapai tahap yang dicita-citakan.