Saya tidak tahu ada berapa banyak castle (kota) di Canada. Yang saya
temuai hanya sebuah sahaja di Toronto. Sebuah castle besar yang diberi nama Casa Loma. Ia mungkin hanya sebuah
binaan untuk mengingat warga Canada tentang warisan datuk nenek mereka di Eropah.
Hingga sekarang banyak kota yang kekal binaannya di seluruh Eropah. Ada di
England, Germany, Switzerland, France dan banyak negara lain sama ada di Eropah
Barat ataupun di Eropah Timur. Casa Loma cukup besar untuk menjadi tarikan
utama pelancong dalam negara khususnya. Atau dari USA. Di USA tiada kota
seperti Casa Loma. Bagi anak-anak, kota itu menjadi lambang kegagahan mereka
sewaktu di Eropah. Anak-anak Muslim jangan tidak tahu bahawa kota-kota yang
berselerak di Eropah adalah binaan yang diterokai oleh sarjana Islam zaman
lampau. Selepas Perang Salib, orang Barat membawa pula bersama mereka tamadun
yang diilhamkan oleh Islam. Dibangunkan oleh orang Islam.
Setiap hari begitu ramai orang yang
mengunjungi Casa Loma. Paling ramai ialah kanak-kanak. Pembacaan mereka melalu
buku dibuktikan dengan melihatnya sendiri. Mereka membuat pengamatan yang pasti
tentang sebuah kota. Bahawa golongan bangsawan di Eropah sangat gemar membina
kota untuk melindungi keluarga dan empayar kekayaan mereka dari musuh. Sejarah
menunjukkan bahawa orang Barat suka berperang antara keluarga. Antara puak.
Antara bangsa. Kota-kota kukuh dan besar dibina dengan harapan ianya dapat
menyelamatkan mereka dari serangan musuh. Tradisi yang bermula dari Timur
Tengah ini menular ke Barat. Idea kota diambil menjadi sebahagian dari tradisi
Barat. Hingga sekarang banyak kota yang masih kekal terpelihara di Barat.
Di Canada, Casa Loma hanya sebuah monumen.
Tiada penghuni. Pengunjung dan pelancong yang meramaikannya pada siang hari.
Menelusuri setiap ruang kota tersebut memberikan imej-imej masa lampau sebuah
kota. Ada dungeon umpamanya. Tempat
mengurung penjenayah. Orang yang bersalah. Tempat menghukum supaya mereka
terpisah dari dunia luar. Sejuk dan lembab. Suhu yang menyesak dan menyeksakan.
Ada antara mereka dirantai ke dinding. Terikat selama menjalani hukuman. Di
ruang lain ada tempat mengawet air anggur. Arak nombor wahid bagi mereka yang
gemar acara mabuk-mabuk. Pesta yang beriringan segala maksiat. Perempuan, arak,
muzik. Apabila agama bukan panduan maksiat yang menjadi pedoman.
Berseronok menikmati dunia. Akhirat
terlindung dan terhijab entah ke mana.
Saya kira orang Ipoh mengetahui Callie
Castle. Sebuah kota atau istana besar. Anugerah seorang suami kepada kekasih
hatinya, seorang isteri. Saya pernah menjejak kota itu. Memang besar. Banyak ruang.
Banyak bilik. Sayangnya kota itu tidak sempat disudahkan. Saya tidak pasti
sebab musababnya. Lambang cinta yang tidak kesampaian. Shah Jehan membina
Tajmahal setelah Mumtaznya meninggal dunia. Kecintaan yang diabadikan. Dilihat sebagai
lambang cinta agung. Sebenarnya semua orang cintakan pasangannya. Seagung Shah
Jehan. Banyak bezanya kaedah melakar lambang kasih sayang itu. Ramai orang
menyatakannya di hati. Di sanubari. Jauh di sudut hati. Kadang-kadang tidak
terungkap di mulut. Riak wajah sahaja yang membayangkan sayang. Mana mungkin
membina monumen besar yang ongkosnya jutaan ringgit. Namun cinta besar tetap
wujud. Pasangan itu sahaja yang arif tentang cinta mereka berdua.
Melihat saiznya sahaj sudah cukup dimaklumi. Kos pembinaannya di luar kemampaun semua orang kecual1 beberapa orang sahaja. Walau bagaimanapun, kota ini dinikmati oleh ramai pengunjung. Tidak menghuni tetapi meramaikannya sepanjang masa.
Bila besar diiringi pula dengan agamnya. Cantiknya. Luar dan dalam yang sesuai lanskapnya. Hiasan dalamannya unik. Kembali ke zaman kota meriah di Eropah. Dari luar tersergam sungguh. Bila agaknya orang kita berupaya membina dan menghadirkan kekuatan ekonomi seperti ini.
No comments:
Post a Comment