Monday, July 23, 2012

Tarikh Lahir Yang Semakin Banyak Dekatnya

Kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dari lubuk hati saya. Saya dengan rasa rendah diri sangat menghargai semua ucap selamat yang tertera. Yang saya terima. Yang indah-indah belaka. Semua doa yang membesarkan Allah. Semoga Allah sahaja yang akan membalasnya.

Angka mengingati tarikh lahir semakin banyak. Saban tahun kita diperingatkan. Diingatkan. Diingati. Didoakan. Ada orang dipestakan. Berdentum dentam nyanyi dan muzik bertingkah. Ada tarian. Yang lain pula hingga ada minum-minum dan tarian. Halal haram hilang entah ke mana. Tentu sahaja mengingati hari lahir adalah sesuatu yang cemas. Sesuatu yang bukan untuk dirayakan. Diriwayatkan suatu pertemuan antara Nabi Yaakub dengan Malakat al-maut. Nabi Yaakub bertanya sama ada kedatangannya kerana ziarah atau untuk mencabut nyawa. Izrail menjawab bahawa kedatangannya adalah ziarah. Di akhir pertemuan itu Nabi Yaakub meminta jasa baik Izrail supaya memaklumkan kepadanya jika telah sampai ajal Nabi Yaakub nanti. Izrail setuju dengan permintaan Nabi Yaakub itu.

Masa berlalu. Ratusan tahun yang panjang. Orang dahulu kala usianya panjang-panjang belaka. Ada yang melebihi 1,000 tahun. Sebab itu kata pujangga cinta 1,000 tahun ku nanti jua. Bukan sekarang. Tiada harapan walaupun 100 tahun. 60 tahun sudah dikira alhamdulillah. Sampailah ketikanya Izrail kembali mendatangi   Nabi Yaakub. Seperti dahulu juga Nabi Yaakub bertanya tentang tujuan Izrail menemuinya. Untuk ziarah atau untuk mencabut nyawanya. Kali ini Izrail menyatakan bahawa kedatangannya adalah untuk mencabut nyawa Nabi Yaakub. Terkejut Nabi Yaakub. Lalu dikatakan kepada Izrail kenapa tiada makluman awal tentang ajalnya. Bukankah sudah diperteguh janji tentang hal itu. Izrail menjawab bahawa sudah tiga kali peringatan besar dibuat kepada Nabi Yaakub. Ramai orang mungkin diperingatkan berkali-kali. Lebih banyak dari tiga kali.

Kata Izrail peringatan pertama terletak di atas kepada. Bukankah rambutmu sudah putih. Benar kata Nabi Yaakub. Itulah peringatan pertama. Kebanyakan orang yang mencapai usia dewasa mengalami berubahnya warna rambut. Uban. Ya! Uban. Kita rasa biasa sahaja apabila sudah beruban. Sebenarnya itulah tanda bahawa ajal kita semakin hampir. Inai tidak dapat melambatkan ajal itu. Tukarlah warna apapun ajal tetap datang pada waktu dan ketikanya. Tanda kedua menyusul kemudian. Mungkin seiring dengan kedatangan uban. Namun logiknya ia datang selepas uban. Kekuatan fizikal kita semakin susut. Menyusut sehingga semua yang fizikal tidak lagi menampakkan sebarang kekuatan. Disembunyikan serapi mana sekalipun, kelemahan fizikal yang dialami tidak dapat  dibendung dari dilihat. Mata kita semakin kabur. Ingatan kita semakin berkurangan. Kekuatan semakin menurun. Selera makan semakin hilang.

Kulit di badan semakin kendur. Kegebuan yang dahulu sudah menipis, kulit yang licin menjadi kasar. Menggerutu. Tidka enak walaupun diusap sendiri. Hanya selalu direnung untuk mengingat kembali masa-masa yang sudah lama berlalu. Dulu kulit itu lembut. Dirasa halus. Dipamer dengan rasa megujakan. Kedut-kedut tua menjelang. Kering kontang kulit itu dari segala seri. Jadi kusam. Menanggalkan sel-sel mati yang berdebu-debu. Akhirnya peringatan yang paling hampir dengan maut. Ajal hanya di ambang pintu. Sudah tidak ada aktiviti kesihatan yang diperlukan. Makanan kesihatan yang tidka dapat mengembalikan kegebuan. Apabila badan sudah tidak dapat ditegakkan lagi sudah sangat dekat ajal yang sudah ditentukan Allah. Tunggu sahajalah. Datangnya pada bila-bila waktu. Tidak lambat dan tidak cepat. Tepat tanpa sebarang perubahan.

Begitulah yang saya rasa. 66 tahun mengingati hari lahir bukan sesuatu yang biasa-biasa lagi. Tahun hadapan belum tentu lagi ada yang menghadiahkan ucapan itu. Semakin banyak angka itu semakin dekat kita kepada pertemuan yang telah dijanjikan. Usia kita telah ada angkanya. Semakin banyak bermakna semakin kurang bakinya. Telah diprogram sejak dari alam roh lagi. Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan untuk menghadapinya. Tentunya dengan bekal yang sebanyak-banyaknya. Kita perlu ada fixed deposit.  Akaun pelaboran yang berbagai bentuknya.dividen yang ingin dikecapi di akhirat. Tanpa pelaboran kita pergi tanpa dividen. Tanpa keuntungan. Modalpun tiada. Beruntunglah mereka yang  fixed depositnya besar dan tinggi nilainya. Kata orang, yang berimpak tinggi. Jihad yang tidak putus-putus. Mencari syahid. Mncari redha Allah.

Sambutlah hari jadi dengan keinsafan. Semakin banyak angka itu semakin hampir dengan tarikh luput guna kita di dunia. Ingatlah uban, kurangnya kekuatan fizikal dan bongkok badan adalah tanda-tanda yang sangat dekat. Semua orang perlu menantinya dengan penuh debar. Penuh cemas. Ketentuannya datang tanpa diuar-uarkan. Hanya yang punya diri dan Izrail saaja yang maklum. Bagi mereka yang merasa dekat dengan Allah, ajalnya mungkin diketahui beberapa waktu sebelum sampainya. Ada yang mengetahui seminggu sebelum saatnya. Ada yanbg mengetahuinya beberapa beberapa minggu sebelumnya. Mereka yang alim sahaja diberi Allah kelebihan untuk mengetahuinya. Kebanyakan dari kita tidak tahu bila saatnya. Arwah datuk saya memaklumkan tarikh ajalnya seminggu sebelum datangnya. Cukup seminggu. Harinhy atepat. Khamis malam Jumaat. Saatnya tidak diberitahu. Saya tidak dapat menatapnya walaupun cuba berjaga sepanjang malam. Semua orang akan merasainya. Saatnya sahaja tidak diketahui ketepatannya.

Terima kasih atas segala ucap selamat yang saya terima. Semakin tahun semakin berat. Ingatan semua orang terhadap saya sangat menginsafkan. Ianya menjadi berat seberatnya. Dalam ingatan itu ada ingatan lain yang mesti saya ingat. Diingat atau tidak ia pasti datang juga. Fitrah bagi yang hidup. InsyaAllah usia yang berbaki akan saya manfaatkan. Kepada Allah saya berserah. Saya memohon redhaNya.

Saturday, July 21, 2012

Orang Besar Baju Besi


Ramai orang percaya cerita Charles Darwin. Cerita yang sudah lama berkisar antara rekaan dengan tahayul. Manusia dikatakan berasal dari monyet. Satu evolusi yang dibuktikan secara saintifik sebagai tidak benar. Tidak pernah benar. Falsafah barat yang menyesatkan. Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa yang namanya manusia adalah bersifat manusia. Bukan monyet. Tiada langsung kerangka manusia yang menunjukkan ke arah itu. Tiada artifak yang bersifat monyet. Mummy Firaun yang sudah beribu-ribu tahun tidak banyak berbeza saiznuya dengan kita. Begitu juga dengan kerangka manusia yang sudah menjadi batu di Pompei, Itali. Itulah yang saya temui di London. Baju besi knight Inggeris dahulu kala juga tidak banyak bezanya dengan saiz manusia sekarang. Itu knight zaman Robin Hood. Zaman The Black Arrow. Zaman King Richard The Lion Heart. Zaman knight of the round table. Zaman Ivanhoe. Saya temuinya di sebuah castle. Baju besi yang siaznya menasabah. Tidak besar dan tidak kecil. Manusia melalui susur galurnya jutaan tahun dahulu.

Nabi Adam dikatakan amat besar, tinggi dan gagah. Zaman yang dekat dengan baginda besar-besar belaka. Kaum ‘Aad pada zaman nabi Hud juga dikatakan besar-besar belaka. Semasa Nabi Musa berjaya menyelamatkan kaum Yahudi menyeberangi Laut Khazum (Merah) orang Yahudi diperintahkan menyerang sebuah kependudukan di Sinai. Mereka enggan kerana dikatakan bahawa penduduk di situ besar dan gagah orangnya. Kerana itu orang Yahudi ketika itu disesatkan di padang pasir Sinai selama berdekad-dekad lamanya. Masa yang beredar mengubah bentuk fizikal manusia. Dari besar menjadi kecil. Dari tinggi menjadi rendah. Maka kekuatan fizikalnya juga berkurangan sesuai dengan saiz fizikalnya. Namun bilangan manusia semakin ramai kerana kadar kelahiran mengatasi kadar kematian. Sekarang ini pada tahun 2012 penduduk dunia melebihi 6 billion. Sesak di mana-mana.

Kembali kepada Darwin. Tidak ada suatu kebenaran yang menyokong dakwaannya. Tidak mungkin manusia berketurunan dari monyet. Tidak ada satupun nas al-Quran yang menyebut tentang hal itu. Tiada juga nas dari al-Hadith yang disabdakan oleh Rasulullah. Segala penemuan tentang manusia sejak dari dahulu lagi memang berbentuk manusia seperti kita. Saiz kita yang semakin kecil tentulah jarak masanya terlalu lama berbanding dengan manusia pertama yang menghuni bumi. Zaman Nabi Adam dan zaman kita entah sudah berapa juta tahun. Sejarahwan  barat memperingkatkan bahawa tamadun manusia melalui zaman batu, besi, gangsa dan hingga sekarang. Jika ianya teori, banyak ketidakbenarannya. Manusia yang menggunakan peralatan batu tidak semestinya primitif. Tidak semestinya mundur. Tidak semsetinya daif. Ketiadaan bahan lain menyebabkan mereka menggunakan batu. Zaman Nabi Daud yang sudah beribu-ribu tahun diabadikan dalam surah al-Hadid. Nabi Daud sudah memakai baju besi. Bila zaman itu sebenarnya. Tiada  tarikh yang kita ketahui. Iktibarnya sahaja yang Allah wahyukan. Yang penting ialah maklumat dan pengajarannya kepada manusia yang terkemudian. Besi sudah ada sejak dahulu kala. Sains mengakui bahawa besi datangnya dari langit. Dari planet lain.
Baju besi yang saya lihat di London seolah-olahnya seperti saiz saya. Orang putih dahulu hingga sekarang tidak banyak beza saiznya. Malah ada orang sekarang yang tidak boleh memakai baju besi itu kerana pemakainya dahulu lebih kurus dan lebih kecil sosok tubuh mereka. Setelah ribuan tahun manusia tidak banyak berubah. Akal mereka sahaja semakin ligat. Pemikiran semakin berputar. Teknologi yang dibangunkan untuk mengimbangi saiz mereka yang kecil. Teknologi membantu manusia melaksanakan tugas-tugas berat dan sukar. Teknologi semakin diharap untuk menghasilkan kehendak dan keperluan manusia. Kehendak yang tidak terbatas diimbangi dengan kecanggihan teknologi. Dalam apa-apa perbincangan sekalipun, teknologi menjadi topik dominasi. Kita tidak dapat menghindarkanya. Tidak boleh mengabaikannya. Mungkin tidak boleh berlebihan. Jika kita tidak boleh kufur menikmatinya. Banyak yang boleh dilakukan dengan menggunakan teknologi.

Benarkah teknologi adalah milik kita. Istana yang dibina Raja Sulaiman untuk Puteri Balqis mengacah imaginasi kita. Bahtera Nabi Nuh adalah mind gogling. Empangan Ma’arib di Yamen mendahului zaman. Piramid di Mesir dan Mexico mencabar minda. Banyak lagi monumen yang dibina oleh orang terdahulu yang berusia ribuan tahun. Mereka sudah ada teknologi yang tidak dapat disusur. Bagaimana Firaun diawet masih menjadi mistri. Tembok yang mengekang Yaajuj dan Maajuj lagilah teramat mistri. Teknologinya tiada siapa yang tahu. Semua itu menjadi input kepada kita bahawa teknologi sudah ada sejak dahulu. Bentuknya bersesuaian dengan zaman itu. Dengan keperluan manusia waktu itu.  Tidak adil menidakkan teknologi pada zaman mereka. Malah senibina kaum ‘Aad yang membina menara-menara tinggi begitu hebat. Setelah ribuan tahun ianya masih wujud di bawah timbunan bukit-bukit pasir yang terkenal dengan nama al-Ahqaf.

Bagi masyarakat yang jahil teknologi dunianya bergerak terlalu lambat. Perubahan tidak dijana. Paradigma tidak bergerak. Lonjakan tidak rancang. Kerana itu pemikiran perlu dijana. Perlu digerakkan. Perlu dikitar. Jika manusia dibiarkan berada dalam kejahilan banyak musibah yang menimpa kelompok manusia itu. Ada peribahasa yang berbunyi yang buta menjadi makana yang celik. Yang lemah menjadi makanan yang gagah. Maka yang jahil menjadi makanan yang berpengetahuan dan berkemahiran. Mereka yang memiliki ketrampilan selalu berada di hadapan. Maaflah, orang yang banyak tidak tahunya selalu dieksploitasi oleh mereka yang lebih mengetahui. Apabila yang terlalu banyak jahilnya bergantung kepada yang tahu, maka yang jahil kehilangan diri mereka sendiri. Mereka kehilangan identiti. Kehilanga jatidiri. Hilang kebebasan. Bak kata orang those who are dependent lose their independence. Mereka yang banyak bergantung kepada orang lain kehilangan kebebasan untuk bertindak dan berfikir. Mereka kehilangan diri dan maruah diri.

Dalam usaha untuk memartabatkan ilmu masih ramai lagi yang terpinggir dari mendapat ilmu yang diperlukan. Sebenarnya yang paling penting ialah menjadi orang berakal. Bukan orang yang kaya material sahaja. Material tanpa ilmu memusnahkan material itu. Akal membawa manusia menentukan yang hak dan batil. Yang benar dan salah. Antara hitam dan putih. Akal yang terbina boleh menentukan pilihan yang terbaik selaras dengan syariat. Sesuai dengan agama. Memenuhi syarat mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangannya. Menjadi manusia yang terlalu bergantung kepada manusia membunuh kemanusiaan yang ada dalam diri mereka sendiri. Yang dituntut ialah bergantung kepada Allah. Berusaha dan berikhtiar. Banyak amal saleh. Bergantung kepada manusia hanya untuk dunia dan material yang sementara sahaja. Bergantung kepada Allah untuk kedua-duanya. Dunia dan akhirat.

Bacalah sejarah manusia untuk diambil iktibarnya. Fikirkan dari sudut agama. Dari sudut syariat. Al-Quran adalah sumber tamadun yang teragung. Ilmu Allah yang sangat luas. Al-Quran yang mengandungi 114 surat dan 6,236 ayat mencakup semua aspek kehidupan duni adan akhirat. Tiada suatupun yang tertinggal. Semua keperluan manusia diwahyukan Allah. Semuanya perlu digali. Dikaji. Difikir. Al-hadith pula memperlengkap perincian yang tidak terdapat dalam al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah adalah utusan Allah. Perantara antara Allah dan manusia. Kita beriman dengan enam rukun iman. Kita laksanakan lima rukun Islam. Semuanya dilakukan dengan ihsan. Kita dituntut melakukan semua yang diperintah seolah-oleh kita melihat Allah. Tetapi keerana kita tidak dapat melihat Allah maka yakinlah Allah melihat kita. Allah dekat dengan kita. Allah sentiasa bersama kita jika kita berusaha mendekatiNya. InsyaAllah.

Ramadhan Yang Terakhir


Ramadhan datang lagi. Kita nantikan selama 11 bulan yang lalu. Bulan yang penuh barakah. Padanya diturunkan al-Quran. Pertemuan pertama antara penghulu rasul dengan penghulu malaikat. Tentunya sejarah manusia sangat gemilang. Rentetan dari pertemuan antara dua makhluk mulia tersebut tersimpul rukun iman. Terlaksana rukun Islam. Pada bulan Ramadhan Allah peruntukkan kepada manusia malam yang penuh barakah. Lailatulqadar. Pasti datang bersama Ramadhan. Setahun dijanjikan hanya sekali sahaja. Suatu malam yang tiada tolok bandingnya. Amalan pada bulan mulia ini digandakan oleh Allah. Malah pahala berpuasa hanya Allah sahaja yang mengetahui kuantiti ganjarannya. Ianya di luar kebiasaan kadar pahala melaksanakan amal-amal yang lain. Baik wajib. Baik sunat. Allah yang berhak menyukatnya. Hanya hakNya sahaja.

Dalam kebesarannya ini Ramadhan kerap juga tidak diberi tempat. Ramai yang tidak memikirkan kehebatannya. Keagungannya. Ketinggian martabatnya. Bagitulah bagi mereka yang lagha. Yang lalai. Yang tidak memberi erti datangnya Ramadhan. Bagi yang alim tentang agamanya, Ramadhan dinanti penuh cemas. Penuh harap. Penuh keluh kesah. Bila datang Ramadhan ditatang sepenuh kasih. Syukur yang tiada nilai angkanya.  Tiada yang sepadan dengan kebesarannya. Maka pada bulan yang penuh barakah ini mereka mengambil kesempatan apa sahaja yang ada untuk membuat kebaikan. Kebajikan. Beramal soleh. Tiada suatu ruang masa yang diabaikan. Semuanya diisi dengan penuh tertib rasa kecintaan kepada Allah yang semakin membara. Ingin dekat dan lebih dekat. Beribadat seolah-olah esok akan tiada lagi.

Benar!  Bagaimana jika Ramadhan ini adalah yang terakhir untuk kita. Jika ajal kita sampai di sini, inilah Ramadhan yang terakhir. Inilah Ramadhan yang telah kita tunggu 11 bulan yang lalu. Inilah Ramadhan yang akan kita tinggalkan. Inilah Ramadhan yang tidak mungkin akan bersama dengan kita lagi. Ramadhan akan datang dan pergi mengikut sunnahnya. Ajal kita tidak membenarkan kita bersamanya lagi. Kebersamaan yang puyna keterbatasan. Hilanglah kita dari berpuasa. Hilanglah kita dari malam-malam bertarawih. Bertadarus. Bertahajjud. Bersama dengan umat Islam yang ghairah menyambutnya. Terpisahlah segala amal yang tidak lagi dapat diulang. Terputus dari segala amal dunia. Kita tinggalkan Ramadhan. Kita hanya sampai di sini sahaja. Andai Ramadhan ini adalah yang teakhir.

Bagi yang rasanya ingin hidup seribu tahun lagi, Ramadhan ini dianggap biasa sahaja. Ia akan ke hujungnya. Tahun hadapan ianya datang lagi. Siapa sebenarnya yang pasti akan bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan. Siapa yang nanti akan berpuasa. Siapa yang akan melakukan amal soleh yang berganda-ganda pahalanya. Ajal adalah antara yang akan menahan kita dari menemuinya lagi. Usia kita mungkin tidak sampai tahun hadapan. Cukup hingga tahun ini sahaja. Ramadhan ini sahaja. Kita tidak  tahu kemungkinan ada antara kita yang hilang upaya. Yang tiada ada lagi deria. Tidak lagi ada ingatan. Tiada perasaan menunggu dan kecintaan. Saraf yang mati dan keliru.  Ketika itu Ramadhan tiada lagi ditunggu. Tiada lagi amal soleh yang dapat terlaksana. Sakit datang selepas sihat. Uzur selepas afiat. Ramadhan ini menjadi yang terakhir.

Kebahagiaan bersama Ramadhan tiada tolok bandingnya. Kemeriahan yang menjulang.  Riang yang mendakap girang. Bahagia yang datang setiap waktu sahur dan waktu berbuka. Allahuakbar! Bagaimana jika ini adalah yang terakhir. Yang tidak dapat menunggu lagi. Yang tidak dapat mengharap lagi. Yang tidak dapat lagi merencana untuk mentarbiahkannya. Tiada lagi aktiviti memakmurkannya. Tiada lagi jadual yang mengisi pahala dan ganjaran dijanjikan. Semuanya terputus. Hilang dari jadual hidup. Hilang dari agenda kehidupan. Peranan sebagai manusia terputus pada Ramadhan ini. Masakan tiada airmata yang menggenang. Tidak merembes sayu. Tidak mengalir kerana hilangnya syahdu. Ramadhan yang penuh dengan barakah. Tidak ada bulan yang isinya penuh dengan segala yang ditunggu. Setiap malam didoakan semoga ada kesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan. Untuk menikmatinya lagi. Kebesaran Allah  Maha Besar.

Beruntung umat Muhammad yang difardhukan dengan puasa di bulan Ramadhan. Walaupun puasa dfardhukan kepada umat terdahulu tetapi kefardhuannya kepada umat Muhammad sangat jauh melebihi segala-galanya. Hanya umat Muhammad sahaja yang menikmati ganjaran besar dari Allah kerana puasa di bulan Ramadhan. Khusus untuk umat Muhammad. Bagi mereka yang darjah kecintaannya kepada Rasulullah sangat tinggi, Ramadhan ini anugerah besar dari Allah kepada Rasulullah dan umatnya. Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi yang lain kagum dengan kelebihan yang ada pada umat Muhammad. Dalam peristiwa isra’ dan mi’raj, Nabi Musa sangat mengkagumi umat Muhammad sehingga baginda teringin untuk menjadi seorang daripadanya. Seorang Rasul ulul ‘azmi terasa iri dengan kehebatan umat Muhammad.

Di mana silapnya hingga umat Muhammad lari dari landasan agama. Cuba beritakan kepada mereka sekiranya Ramadhan ini adalah yang terakhir. Tiada kesempatan mereancana untuk  berhariraya. Tiada baju baru yang berpasang-pasang. Tiada kuih-muih yang terhidang. Tiada langsir baru yang tergantung. Tiada perabot baru untuk menghias rumah. Ramadhan terakhir yang tamatnya di sini. Tahun ini. Kali ini. Ramadhan yang tidak akan mungkin ditemui lagi.  Ramadhan yang mengakhiri segala Ramadhan. Penamat segala yang barakah pada siang dan malamnya.

Apalah hariraya yang tidak seberapa. Apalah ketupat dan rendang yang tidak lagi diperlukan di alam barzah. TV dan hedonismnya yang terputus. Yang sewaktu umur masih ada hanya menambah dosa. Hanya maksiat yang banyak. Rencana, rancangan dan program yang semakin hari semakin menyesakkan iman dan akidah. Tidak dicuba dikurangkan. Malah diinisiatifkan supaya lebih bersifat global. Semakin besar impak negatifnya. Fiikirkan jika Ramadhan oini adalah yang terakhir. Adakah lagi gunanya segala bentuk hedonism yang ada. Bukankah yang akan dibawa nanti amal soleh. Solat yang panjang banyak rekaatnya. Puasa yang tidak pernah diingkari. Zakat yang ringan tulang untuk mengunjukkannya. Sedekah yang tidak pernah lekang dari niat. Mengimpakkan harta yang tidak ada batasnya. Sayidina Abu Bakar mengimpakkan semua hartanya tanpa syarat. Tanpa rasa berat. Tanpa teragak-agak. Tanpa fikir panjang-panjang. Tanpa sorong tarik. Muktamad. Rasulullah sendiri tersangat kagum. Bila ditanya Rasululah jika kesemuanya diimpakkan apa lagi yang tinggal untuk dirinya dan keluarganya. Allahuakbar! Sangat tulus jawapannya yang terukir pada bibirnya yang tidak lekang dengan zikir. Aku ada Allah dan RasulNya.

Sahabat kabir yang seluruh hidup dan matinya hanya untuk Allah dan RasulNya. Abu Bakar sudah dijamin syurga semasa hidupnya. Status kita bagaimana. Apakah Ramadhan ini yang terakhir untuk kita. Allahuakbar. Ayuh isilah siang dan malamnya dengan amal yang menjana barakah.

Tuesday, July 17, 2012

Puteri Yang Malangnya Selalu Dirundung


Bacalah cerita rakyat dahulu kala. Apabila sang puteri bertemu puteranya maka cinta berputik pada pandang pertama. Semua halangan dari si tukang sihir yang jahat dipatahkan dengan satu ciuman kasih. Segala sumpahan termusnah. Bergemerlapanlah alam semesta kerana ria bersama pasangan kekasih yang serasi antara keduanya. Mereka berkahwin. Berakhir suatu episod cinta indah antara dua sejoli yang pertemuan pertamanya diabadikan dalam melayari bahtera kehidupan berumahtangga. Mereka berbahagia selama-lamanya. They lived happily ever after. Di England (Great Britain) cerita itu menjadi tidak benar. Perkahwinan putera dan puteri yang cantik rupawan tidak kekal lama. Tiada keabadian yang dicari dan direncana. Kilauan kasih hanya pada awalnya sahaja. Mendung menyelubungi seluruh kehidupan. Bumi bertuah yang bernama Kensington menyaksikan betapa remuknya hati seorang puteri yang terpisah dari putera harapannya.

Melalui Istana Kensington tergambar keredupan suasananya. Akhir spring itu, dalam suhu sekitar 16ยบC persekitarannya begitu suram. Suram sesuram hati penghuninya. Bahagia yang hanya sekerat jalan. Keindahan yang tiada panjangnya. Puteri Diana yang rupawan hanya memendam rasa. Sukarnya melalui masa-masa bersama keluarga DiRaja Britain. Tunggaknya masih Queen Elizabeth II. Satu-satunya ratu yang paling lama berada di atas singgahsana pemerintahan. Walaupun kehadiran Queen hanyalah ceremonial minat rakyat dan manusia dari seluruh pelosok dunia masih terarah kepadanya. Seluruh negara Commonwealth memahami hakikat ini. Negara seperti Australia, New Zealand dan Canada masih menganggap Queen sebagai raja mereka. Kemerdekaan dan kebebasan tidak menghakis semangat cintakan Queen. Malah kerajaan British masih menempatkan Gorvenor Generalnya di negara-negara yang mengiktiraf Queen sebagai raja mereka.

Sifat manusia masih sayangkan raja mereka. Di mana-mana negara yang beraja keadaan itu sama. Di Jepun, Nepal, Bhutan, Denmark, Sepanyol, Thailand, Kemboja, Fiji, Monaco, Maghribi, Jordan, Arab Saudi, Brunei dan begitu juga di banyak negara di Afrika. Raja masih dilihat sebagai tinggi kedudukannya. Cuma masa telah mengubah banyak suasana politik. Raja tidak lagi memiliki kuasa politik. Sistem yang dikatakan demokrasi meletakkan raja sebagai terlalu ceremonial. Dalam kebanyakan hal kehadiran raja dipertimbangkan tetapi bukan dalam pentadbiran. Bukan dalam politik. Sebab itu di Britain kedudukan keluarga DiRaja menjadi perhatian umum. Menjadi kritikan umum jika melakukan sesuatu yang dianggap silap. Luar biasa. Rakyat mereka berdebat mempersoal aktiviti dan tindakan raja mereka. Secara terbuka. Tiada media yang disekat dari membicarakannya.

Di suatu sudut Hyde Park saya terdengar seorang pemidato mengkritik Keluarga DiRaja. Ada sahaja yang tidak kena. Di mata rakyat yang diharapkan ialah raja mempamerkan kesempurnaan. Kepekaan yang tinggi terhadap isu masyarakat di bawah. Yang di luar istana. Di barat mengkritik raja no hold barred. Bebas sebebasnya. Bagi keluarga DiRaja kritikan sebegitu dianggap no big deal. Biasa sahaja. Sama seperti orang lain yang juga dikritik walaupun tidak dalam media. Ketahanan perasaan mereka sangat tinggi. Adversary Quotient (AQ)  yang tahan uji. Kritikan tidak mejejaskan fungsi dan peranan mereka. Tidak mengganggu kehidupan mereka. Mereka faham bahawa mereka berada di bawah public scrutiny. Setiap pergerakan mereka diekori. Setiap perbuatan mereka dinilai. Apatah lagi pekerti mereka semestinya sentiasa diperhati.

Sejarah awal Puteri Diana bak puteri dari kayangan. Kebetulan ia memiliki ciri seorang puteri. Sosok tubuhnya yang langsing menjadi ditiru segila-gilanya. Rambutnya diset di serata dunia. Senyumnya yang memukau tiada tolok bandingnya. Matanya yang cerah mencairkan semua orang tanpa mengira jantina dan usia. Gambarnya puas mengisi semua muka hadapan media di seluruh dunia. Princess Diana. The only Princess Diana. Dari keluarga elit ia naik menjadi keluarga DiRaja. Menjadi menantu Queen.  Rupanya semua itu indah khabar dari rupa. Senyumannya mengandungi hiba. Sinar matanya memendam duka. Lenggang-lenggoknya mendamba luka. Hidupnya tidak pernah bahagia. Putera harapannya bukan putera idamannya yang sebenarnya. Kecantikan Diana tidak dapat mengikat Putera Charles selama-lamanya. Diana tidak dapat memiliki Charles. Suaminya itu hanya seketika. Lalu dalam sorotan kehidupannya. Menghilang di sebalik ufuk kasih yang baru dibina. Ternyata Charles milik orang lain.

Keagungan bukan milik kita. Kita hanyalah watak-watak sementara yang memeriahkan dunia. Itulah kata-kata Shakespeare. The world is a stage. The people are the actors. Sekiranya Shakespeare masih hidup tentu banyak nukilannya tentang Puteri Diana. Puteri malang yang menghambat bahagia. Yang terluka sepanjang hidupnya. Berusaha mencari bahagia yang selalu elusif dari hidupnya. Menjangkau sesuatu yang tidak pernah kekal. Mengejar pelangi pancawarna. Tidak tahu di mana pangkalnya. Tidak tahu di mana hujungnya. Kecewanya hingga ke hujung hayat. Tiada cinta sejati yang ditemuinya. Semuanya hanya sementara sahaja. Benarlah dunia ini fana. Abadi hanya milik akhirat. Sejarah Diana abadi. Gambarnya abadi. Patung lilinnya abadi di muzium lilin di London. Namun bahagianya tidak pernah abadi. Wataknya hanya sementara. Kebahagiaan itu milik orang lain. Mudanya bukan ciri juara. Cantiknya bukan resepi gahara. Ketentuan untuk dirinya sekadar itu sahaja. Semuanya sementara. Seketika. Barangkali jika ada sifat qanaah pada dirinya cukuplah berpada.

Barangkali banyak iktibar dari cerita itu. Yang abadi hanyalah Allah. Yang baqa hanyalah Dia. Cinta kepada Allah tidak pernah surut. Keterikatan dan kejelikatan yang padu. Mencintai Allah sentiasa membahagiakan. Dalam segala kekurangan material orang bahagia kerana cintanya kepada Allah. Tiada batas. Tiada sekatan. Cintakan manusia terlalu banyak titik bengiknya. Banyak syaratnya. Banyak batasannya. Skopnya juga terlalu kecil. Itupun tidak pernah ada jaminan berkekalan. Janji senang bersama dan susah bersama kadang-kadang hanyalah mainan bibir. Penyedap telinga. Ritual yang diulang-ulang. Di sebalik ungkapan itu tiada  makna yang memanjang nilainya. Selalu memisahkan antara realiti dengan harapan. Bagi yang pendek fikirnya hanya kekecewaan sahaja yang selalu datang menjengah. Kebergantungan yang menghilangkan kejernihan akal. Usaha menjadi kecil. Diri berada dalam alam sempit yang menghimpit. Kebanyakannya tersepit dalam perasaan yang perit.

Hidup ini perlu banyak pertimbangan. Perlu banyak melangkaui perasaan. Akal selalu dipupuk untuk wajar. Siuman. Bersandar kepada syariat. Cinta yang keterikatannya tidak menghilangkan identiti diri. Tidak hilang pertimbangan hingga lupakan tanggungjawab kepada Yang Maha Esa. Kebergantungan yang mutlak hanya untuk Allah. Sayangnya Puteri Diana bukan dalam kelompok kita. Ceritanya gah sekadar untuk media. Cerita dunia hanya fana dan sementara. Yang kekal hanyalah akhirat sana. Abadan abada. Nikmat yang sentiasa bertambah. Luasnya tiada dalam jangkauan pemikiran manusia. Bahagia yang abadi bukan pada manusia. Cinta abadi kepada Allah pasti membahagiakan. Carilah yang lain. Pasti tidak akan ditemui.

Sunday, July 15, 2012

Modal Insan Yang Berotak dan Berwatak


Menuntut ilmu adalah wajib. Ada yang fardhu ‘ain. Ada pula yang fardhu kifayah. Ilmu perlu dicari kerana ianya tidak pernah datang bergolek. Tidak juga pipih melayang. Usaha adalah segala-galanya. Tawakal mengiringinya. Izin Allah yang dipohonkan. Ingat wahyu pertama yang berbunyi Iqra’. Bacalah. Konotasinya bukan sahaja membaca tetapi mentadabbur. Mengakaji dengan mendalam. Menyelidik hingga ke dasar ilmu itu. Membongkar segala yang tersembunyi. Yan tersirat. Yang terlindung. Yang hanya dikiaskan. Yang perlu pena’kulan. Perlu ketajaman akal. Perlu banyak fikir. Ilmu dan akal bergandingan. Datang dan perginya beriringan. Tanpa akal ilmu tidak hinggap. Tidak memberi manfaat besar. Sekadar ada sahaja tidak menyerlahkan ilmu itu. Kerana itu ramai orang tidak berpuashati hinggalah mencapai tahap pakar. Orang yang mengetahui. Yang boleh dirujuk untuk menyelesaikan banyak hal yang rumit. Yang kusut. Yang menyulitkan. Yang menyinari pemikiran orang lain. Memberi cahaya menyerlahkan kefahaman.

Ilmu bersifat mahal. Mendapatkannya susah. Perlu melalui banyak usaha. Banyak rintangan. Banyak halangan. Banyak cabaran. Sukar untuk mengharmonikan kosnya. Hanya pemerintah sahaja yang mampu memperuntukkan bajet yang relevan. Apabila pendidikan dikomersilkan maka ramai yang berada di luar kemampuan. Mereka perlukan suntikan. Input kewangan yang selalunya tidak mencukupi bagi yang berpendapatan rendah. Bagi mereka yang berada dalam kelas bawahan. Rakyat kita masih ramai yang berada di bawah paras kemampuan biasa. Mereka perlukan banyak bantuan. Dalam pada itu pendidikan menjadi komoditi perdagangan. Dalam negara dan antarabangsa. Lanskap pendidikan berubah menjadi tarikan warga dunia. Khususnya dari negara yang belum maju. Sumbangan Malaysia untuk membina rangkaian persahabatan. Rangkaian perniagaan. Rangkaian ekonomi. Rangkaian politik. Memperkaya diri dan memperkaya sahabat-sahabat yang lain. Ungkapan sinonim prosper thye neighbour.

Kita masih beruntung barangkali. Ada juga rezeki yang membantu sedikit sebanyak. Di setengah negara, pendidikan menjadi terlalu mahal. Di luar kemampuan. Keluarga terpaksa melupus segala harta benda untuk memandaikan anak. Negaranya mungkin daif dari segai penawaran kerja. Peluang pekerjaan terhad kerana kurangnya kemampuan negara merancang ekonomi. Kerana itu ilmu seolah-olah menjadi hak eksklusif orang kaya. Orang berada. Orang-orang elit. Mereka yang berada di kelas teratas dalam masyarakat. Dalam mendemokrasikan pendidikan semua orang tiada sekatan untuk mendapat ilmu. Namun persekitaran menghalang terlaksananya pendemokrasian itu. Jika pendidikan menjadi terlalu komersil kita melahirkan watak-watak yang materialistik. Hanya keuntungan yang difikirkan dan bukan manfaatnya. Pendidikan seharusnya melahirkan kombinasi manusia yang berotak dan berwatak. Berakhlak mulia yang melestarikan kemanusiaan sejagat. Untuk seluruh manusia dan bukan untuk kelompoknya sahaja. No man is an island. Semua orang di sekeliling kita adalah sebahagian penting dalam kehidupan kita. Tanpa mereka kita bukan siapa-siapa.

Dalam banyak-banyak institusi pendidikan masih ada yang bernafas dalam kepayahan. Berdiri sendiri tanpa sokongan. Bertatih dan berpapah demi untuk bangun dan membangun. Kekuatan mental dan semangat mendorong untuk menegakkan prinsip dan hasrat besar membina watak dan otak. Begitulah yang saya amati pada Kolej Dar Al-Hikmah (KDH) di Kajang, Selangor. Institusi swasta yang unik kerana tegaknya didokong oleh warga-warga yang sifatnya pemurah menyumbang. KDH unik kerana menegakkan mutiara agama. Menebalkan semangat kerana Allah. Segala usaha kerana Allah. Keuntungan jauh sekali. Kewangannya sekadar cukup hidup tercungap-cungap. Tetapi selama lebih 20 tahun nafasnya bertahan lama. Masih terus untuk hidup. Dari masa ke masa ada dermawan yang menyumbang. Ada imfak yang diterima. Ada usaha mencari dana. Dalam serba kepayahan itulah tertegaknya watak-watak insan yang berlatar agama. Yang di belakangnya adalah agama. Yang mendasari dirinya ialah kecintaan kepada Allah. Namun sifat agama KDH tidak banyak mengundang sumbangan berimpak. Orang tidak mencipta nama jika menyumbang agaknya. Saluran dananya kecil. Lambat pula mengalir. Begitulah institusi agama yang selalu terpinggir.

Kekuatan KDH bukan kerana banyak wangnya. Bukan kerana tinggi kosnya. Bukan kerana melimpah hartanya. Semangatnya yang kental menongkah masa. Menongkah arus segala kepayahan pengurusan dan pentadbirannya. Tetapi seperti kata Datuk Sidiq Fadhil yang penting ialah graduan yang berotak dan berwatak. Saya terasa terlalu kecil bersama KDH. Saya pernah bertugas di IPTA. Dalam mesyuarat-mesyuarat pengurusan yang disebut semuanya juta. Makmal juta. Bengkel juta. Semuanya dalam kontek juta. Di KDH yang disebut hanyalah puluh ribu. Paling besar ratus ribu. Sangat kecil jumlahnya. Rendah  nilaiannya. Itupun payah untuk mendanakannya. Namun nilai rohaninya sangat tinggi. Natijahnya ialah hasil yang menepati agama. Mendekatkan kepada Allah. Memartabatkan taqwa. Kerana agama KDH bertahan. Warga pelajarnya bukan setakat orang tempatan. Ramai dari Indonesia. Tentulah ada sesuatu yang menarik di KDH. Ada mutiara yang diselam. Ada lombong lorongan untuk semuanya kerana Allah.  Jika ingi menyumbang carilah laman web Kolej Dar Al-Hikmah.  carilah laman web Kolej Dar Al-Hikmah. http://www.hikmah.edu.my/

Masa hadapan agama bukan lagi bersandar di bahu ustaz dan ustazah. Kita sudah banyak melahirkan profesional yang melangkaui ustaz dan ustazah. Pendekatan dakwah yang semakin subur.  Sudah tentu teknologi menjadi penentu dalam hal ini. Lebih saintifik. Banyak bukti dan fakta benar. Kebenaran yang selalu diserlahkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Orang barat menemui Islam melalui teknologi. Melalui sains. Melalui penyelidikan. Kajian angkasa menemukan mereka dengan tanda-tanda kebesaran Allah. Alam yang luas memberikan jalan berfikir untuk memahami wujudnya Allah. Tidak mungkin alam ini terjadi secara kebetulan seperti yang pelopori oleh Charles Darwin. Semuanya terbukti tidak benar.

Menjiwai ilmu membina jalan fikir yang waras. Santai dan damai. Ilmu memandu kita ke arah yang lebih tinggi. Martabatnya tidak ternilai. Pemiliknya menjadi orang yang bukan biasa-biasa. Dengan jalan fikir yang teratur wawasan hidup menjadi lebih cerah. Wawasan akhirat yang mendasari wawasan dunia. Bukan sebaliknya. Dunia hanya sementara. Akhirat sememangnya benar. Tempat kembali hanya Allah. Sejarah masa lalu kita hanya yang menikam kenangan. Masa hadapan yang lebih cerah itulah harapan dan hasrat besar yang mesti dicapai. Disempurnakan misinya. Jelas visinya. Jalannya diluruskan. Semua halangan disingkirkan. Semua cabaran dikesampingkan. Masa hdapan tidak boleh dibiarkan yang kaburnya menyilau. Allah pasti memberi jalan yang kita doakan. Yanbg kita minta. Semua yang positif dan ada nilai agama tentu dalam keredhaan Allah.

Pendidikan dan ilmu mestilah digabungjalin. Teknologi seharusnya menajamkan fikiran supaya boleh kembnal kepada yang hak. Semuanya kerana Allah. Ketajaman akal dan berfikir mesti dibina supaya dapat memahami yang tersurat dan tersirat. Menghalusi hal-hal yang nampak biasa. Meninjau jauh ke dasar ilmu menjadi penting kerana di sana kita akan menemui Allah. Gambaran tentang Allah menjadi lebih jelas. Kehalusan berfikir memberi kita banyak ruang untuk melihat sesuatu dengan pendekatan berbeza. Tidak sama pakar Matematik dan Sosiologis. Begitu juga sejarawan dengan teknologis. Namun semakin kita belajar semakin banyak pintu-pintu ilmu yang akan terbuka. Pandangan kita lebih jauh. Stamina berfikir lebih lama. Hati kigta tidak tertup kaku hanya melihat kapada yang satu. Pandangan orang berilmu bercapah ke mana-mana. Luas alam ini kepadanya. Kepada orang yang kurang ilmunya semuanya menjadi sempit. Semput dibuatnya. Nafasnya sesak. Pendek.

Tajam akal tentulah perlu diasah. Tuntutlah apa sahaja ilmu yang bermanfaat. Tahu lebih banyak tentu lebih baik. Tidak sama orang megetahui dengan mereka yang tidak mengetahui. Orang yang mengetahui boleh menjana keindahan berilmu. Ia sentiasa segar. Lapang. Ceria. Cita-citanya tidak pernah padam. Semuanya menarik untuk dikaji. Dunia dan akhirat menyatu dalam dirinya. Amalkanlah membaca. Banyak membaca. Berbagai disiplin ilmu. Sediakan bajet bulanan untuk membeli buku. Rujukan. Apa sahaja bahan yang memberi input ilmu. Hiasi rumah dengan buku. Berderet di almari. Di dinding. Di atas rak-rak. Tidak ada yang lebih baik dari memiliki buku. Memakai pakaian yang cantik pasti mengundang kekaguman teman dan taulan. Tetapi memiliki buku menyempurnakan penghormatan itu. Mulakanlah hari ini untuk membina diri yang berotak dan berwatak. Bestari bersalut akhlak mulia. Memiliki nilai agama dan nilai insaniah yag tinggi. InsyaAllah jika diusahakan.

Sunday, July 1, 2012

Menjadi Tua Yang Selayaknya


Ramai orang tidak pernah berfikir tentang tuanya. Usia yang lanjut dikira fitrahnya begitu. Tidak perlu difikir. Tidak perlu diambil pusiang. Pada yang lain ramai pula yang sangat takut. Tua menakutkan. Bukan takut mati tetapi takut hilang populariti. Hilang status selebriti. Hilang ketokohan. Hilang seri. Hilang puji puja. Pada yang lain tua maksudnya usia sudah lama terhakis. Tinggal lagi bakinya yang sedikit. Ajal semakin hampir. Dunia semakin jauh berlalu. Di hadapan sana dunia terkemudian yang pasti datang. Kepastiannya sahaja belum diketahui. Hanya mereka yang sampai ke tahap tinggi sahaja yang mengetahui bila ajalnya sampai. Menunggu penuh harap untuk kembali diredhai Allah. Rindu yang tiada tolok bandingnya. Tua jenis inilah yang seharusnya menjadi idaman. Semoga hidup penuh barakah. Dilindungi Allah selalu.

Tua selalunya sinonim dengan segala yang buruk. Malah ada yang menjadi hina. Seorang manusia yang dahulunya tampan bertukar wajah dan wataknya. Rambutnya mungkin sudah tiada. Atau menipis menampakkan kulit kepala. Atau memutih bak salju. Muka cengkung dengan kulit tua berkedut melekat di rahang dan kerangka muka. Mata sudah berlapis-lapis tebal. Kedutnya beribu. Bukan lagi gebu. Yang dilihat ialah kulit kusam. Kasar dan tidak enak disentuh. Segala yang dahulunya daging hilang entah ke mana. Ditelan usia yang memanjang. Mulut rapat kerana gigi yang tiada. Gigi palsu yang tidak pernah asli. Tidak dapat mengembalikan kepada yang asal. Jadilah gigi itu sekadar pelapik gusi. Penghias mulut. Ada fungsi untuk menikmati makanan. Namun wajah tua kekal begitu dengan tuanya. Itu belum yang bertongkat. Berpapah bila berjalan. Berkerusi roda ke sana ke mari. Belum lagi yang hanya mampu baring. Mata sahaja berkelip-kelip. Atau mungkin juga koma bak sayur kata orang putih. Vegetable. Camatose.

Ada semacam suatu gambar jelas yang rupanya tua. Ingatan mungkin menjadi kabur. Lupan alebih banhak dari ingatnya. Nyanyuk mendatang.  Ada sesuatu barangkali yang orang muda tidak suka. Orang tua lazimnya berbau tua. Hapak. Hangit. Bau yang tidak enak. Bau yang tidak gemar didekati. Bau yang selalu dijauhi.  Itulah tua. Itulah apabila usia berkurangan. Apabila usia tinggal berbaki sahaja. Semuanya menjadi tidak disukai. Seorang insan yang dahulunya dikerumuni kini dijauhi. Direnggani. Mungkin tidak disisih. Mungkin tidak terpinggir. Tetapi tidak ramai yang beersedia mendampingi lagi. Masa sudah berlalu. Zaman sudah berubah. Watak-watak dahulu sudah tiada. Yang tinggal hanyalah kenangan yang sukar diingat. Imbauan masa lalu yang semakin pudar. Masa hadapan pula tiada jelasnya.

Itu adalah juga gambaran diri kita yang masih belum sampai ke tahap tua. Suatu hari akan datang juga waktunya. Tiada siapa yang dapat menghindarnya kecuali ajalnya datang semasa muda. Orang tua yang bagaimanakah kita nanti. Pilihan di tangan kita. Ketentuan pada Allah sahaja. Segalanya kuasa Allah. Jika boleh diminta tentulah kita ingin menjadi orang tua yang hanya tua pada usia tetapi tidak dilihat tua dalam banyak aspek. Dalam banyak hal. Kita ingin kekal segar  bugar. Lincah bertenaga. Dunia ini masih kita yang punya. Kobaran semangatnya melepas luas. Menggapai awan. Mendakap gunung. Merenang lautan. Segala yang datang disambut tatang. Musuh habis ditentang. Masih kekal menjadi harapan. Pelindung yang tiada tandingan. Bantuannya berpanjangan. Alangkah indahnya jika saat-saat begitu kekal abadi. Namun semuanya hanya usikan jiwa. Segalanya sudah tiada.

Fizikal orang tua memang kudrat yang sudah lama terhakis meninggalkan sedikit sisa. Semuanya lemah, kaku dan perlu sangat dengan pertolongan. Itu belum sakitnya yang menghalang gerakan. Jalan memang sudah bukan lagi rutin. Ia banyak duduk dan baring. Tidur yang semakin tidak mendamaikan. Kematian diri yang sebelum ajal. Seingatnya ia sangat banyak bergerak semasa gagahnya dahulu. Tenaganya melimpah-limpah. Tidak lama kekal di rumah. Pulang mungkin kerana tidur yang menuntut mata. Itupun larut malam baru bertemu bantal. Masa yang ada dihabiskan untuk kegilaan zaman muda. Hiburan dan santai yang tidak pernah habisnya. Masa berganti masa nilai tambah tidak banyak positifnya. Dirinya selalu statik dari segi ilmu dan  pengetahuan. Dunianya terlalu sempit bak katak di bawah tempurung. Dalam kotak kecil yang sukar olahnya. Ia tenggelam dalam dunia yang itu-itu juga. Bila tua mendatang maka dirinya terperangkap dalam dunia sama yang sempit. Fizikalnya terlalu menguasai. Fikirnya tidak lagi bekerja kerana tidak pernah dilatih. Tulang yang rapuh dan reput. Kulit kedutnya beribu. Tiada lagi yang gebu.

Kesihatan selalu menghantui orang tua. Datanglah masanya batuk mengokol. Demam yang sebentar betah sebentar lagi datangnya. Darah tinggi berselang dengan darah rendah. Kolestrol bertimba-timba. Kencing manis bergula-gula. Ditambah pula dengan hilangnya pendengaran. Kekaburan mata yang memandang samar. Selera patah riuk. Semua yang dimakan hilang rasa enaknya. Sedikit menjamah hanya untuk meneruskan nafas yang ada. Bila sudah tua program kesihatan sudah terlambat untuk dilaksana. Piramid makanan sudah lama tiada gunanya. Ibarat rosak yang terlalu hingga tidak boleh diperbaiki lagi. Maka pada dirinya tinggal kerangka yang tidak lagi menjadi idola. Tidak lagi menjadi rujukan. Tiada lagi harga yang dahulunya mahal. Yang dahulunya tinggi nilai. Bila tua mendatang segala kebaikan yang dahulu tenggelam jika tiada kecemerlangan. Jika tidak mencipta nama. Jika tiada sumbangan bermakna. Menjadi manusia biasa-biasa menenggelamkan usia yang panjang tidak seberapa.

Orang memandang pakaian sebagai sesuatu yang lumrah. Dari muda jangan tidak pernah menggayakan pakaian sewajarnya. Memakai biasa menjadi orang biasa. Jika pakaian selalu diambilkira maka diri menjadi seorang yang lebih berwibawa. Dipandang berbeza dengan orang lain. Pakaian bukan sekadar yang menutup aurat. Bukan sekadar yang menyalut tubuh. Setiap suasana ada pakaian yang sesuai. Yang layak dipakai. Tidak semua pakaian sesuai untuk semua keadaan. Jika pandai berpakaian tentulah ada mata yang memandang senang. Setuju dengan cara pemakaiannya. Akur dengan segala yang berkaitan dengannya. Malang bagi orang tua yang melepas pandang pakaiannya. Kumal memualkan. Kotor mencemarkan. Kusam menjengkelkan. Renyuk menyakitkan. Semuanya bergantung kepada kebiasaan. Ia tidak datang tiba-tiba. Dari muda hendaklah dibiasakan berpakaian yang paling sesuai. Memprotokolkan diri. Menjaga adab berpakaian. Etiket yang sekecil rumit sekalipun diberi peka. Kebiasaan yang positif menampilkan ketuaan yang berwibawa. Bukan yang nanti dipinggirkan.

Sangat besarnya beza orang tua dengan orang muda. Suatu hal yang tidak dinafikan ialah orang tua berbau orang tua. Unik bagi orang tua. Bayi sentiasa wangi. Kulitnya wangi. Rambutnya wangi. Serba serbinya wangi. Apabila tua sebaliknya yang terjadi. Semuanya menjadi hapak. Mungkin hangit. Hanyir. Memualkan. Fitrah yang datang bersama usia tua. Wangi-wangian yang mungkin boleh mengubah keadaan. Sabun mandi yang sesuai. Minyak rambut yang sepadan. Minyak wangi yang pandai pakainya. Itu juga menuntut kebiasaan. Bukan apabila tua baru hendak mereka gaya. Semuanya sudah terlambat. Kekok dan tersasar. Dari muda hendaklah memulakan gaya hidup yang mewangi. Harum sepanjang masa. Hadirnya menyeri. Lintasannya mengharum angin lalu. Wangi selalu mendamaikan. Menjadi terapi kemurungan. Hati jadi selalu riang dan ria. Ceria kerana udara sekeliling yang memberi impak gembira. Wangi menyahkan segala yang sebaliknya.

Tiada kompromi kepada akhlak yang baik. Akhlak yang dipadankan dengan al-Quran. Akhlak Rasulullah. Akhlak yang diperakui sebagai yang terbaik. Richard the Lion Heart tunduk malu di hadapan Sallahuddin al-Ayubi kerana santunnya.  Bermusuh semasa perang. Sahabat ketika santai. Di medan pertempuran segalanya antara mati atau mematikan. Di luar medan itu semua orang adalah pendamai yang unggul. Akhlak itulah yang seharusnya diunggulkan. Menjadi orang yang pemaaf  bukan pendendam. Membantu bukan yang menyusahkan. Membina bukan yang meruntuhkan. Menyenangkan bukan yang merisaukan. Memberi harapan bukan yang menenggelamkan. Akhlak istimewa yang seharusnya ada pada mereka yang tua. Yang baki usianya hanyalah kebaikan. Sumbangan. Menjaga maslahah umum. Memberi yang terbaik. Sebelum sampai ke saat tua itu semuanya perlu membina amalan baik sedari muda. Dewasanya sudah mantap dengan segala yang baik. Apabila tua terserlah segala keindahan tua usia itu.


Hidup tidak boleh terlalu khusus. Hanya tahu satu atau dua perkara sahaja. Sewajarnya memiliki multi-skill. Banyak perkara yang boleh dibuat.  Macam-macam yang boleh dicapai. Semuanya memartabatkan diri. Meninggikan nilai diri. Berbeza dengan orang lain. Alangkah manisnya jika seseorang itu multi-discipline. Banyak rencamnya dari segi kemahiran. Pengetauan yang berbilang-bilang. Banyak topik yang boleh dibicarakan. Berbual bukan sesuatu yang membosankan. Bukan topik sama yang berulang-ulang. Tidak ada sesuatu yang hanya sama sepanjang masa. Ke tengah dan ke tepi semuanya boleh. Merentas semua yang boleh dibincangkan. Banyak idea yang menabur meluas melaut banyaknya. Cakapnya bernas. Ideanya praktikal. Selalu mencadangkan yang terbaik. Ekonomikal. Tua bukan penghalang untuk memberi sumbangan. Banyak pengalaman yang perlu dikongsi kepada generasi pengikut. Banyak hal-hal positif yang mungkin tiada pada orang lain. Susah senang yang dilalui hingga menjejak tua. Kejayaan dan kegagalan yang dilalui. Jauh dan dekat perjalanannya. Sosio-elonomi-politik yang dilihatnya. Perjalanan masa yang tidak pernah berhenti. Yang telah memberi input kepada dirinya. Yang bermakna tuanya bukan kosong. Banyak isinya. Sarat pengalamannya. Jika tidak dikongsi dengan orang lain pastinya semuanya hanya tenggelam dalam diri yang semakin dilupakan.

Nama yang baik selalu mengatasi segala keburukan. Tetapi sedikit keburukan mencacatcela segala kebaikan. ‘Ala kuli hal berusahalah untuk membina nama yang baik. Menggilap nama yang boleh dibaikkan. Gajah mati meninggalkan tulang. Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama yang harum mewangi menyerbak menyelubungi segala yang ditinggalkan. Aroma dan aura yang selalu menyenangkan. Biarlah tua menjadi kelapa yang pekat santannya. Buah yang manis isinya. Yang membenih isinya. Boleh mencambah melestarikan kitaran khidupan pokok. Tua yang mentuakan. Tua yang boleh dituakan. Biar orang maklum tuanya. Kerana tua itu adalah lurahnya manusia. Tualah dengan ketuaan yang menjadi tua bernilai tua. Mudah-mudahan menjadi tua yang tetap bermanfaat. Memberi guna kepada orang-orang di sekeliling. Paling rapat dengan orang-orang yang darah dagingnya mengalir dalam setiap urat dan saraf mereka. Terhindarlah hendaknya tua yang sangat dianggap tua. Mudah-mudahan tidak menjadi tua yang menghindar guna.

Thursday, June 28, 2012

Menjadi Lelaki Yang Memahami


Benarkah orang tua banyak ragamnya?  Orang muda banyak keletahnya. Orang tua bukan segera tua seperti sekelip mata. Usia memanjat dari anak menjadi remaja sebelum menginjak menjadi jejaka. Lalu masa itu bergerak perlahan membawa usia yang semakin merangkak meninggalkan muda. Meninggalkan dewasa. Tanpa disedari tua itu datang. Tidak diundang. Tidak ditentang. Hanya yang mengetahui sahaja merancang untuk hari tuanya. Barangkali itu cerita mereka yang bersekolah. Yang menjadi bijaksana. Yang pengalamannya mengajar untuk menjadi tua yang bernilai harganya. Yang  pernah memimpin dan dipimpin. Banyak belajar dan mengambil iktibar. Namun begitu di luar sana ramai orang tua yang hanya tua. Sekadar membuang usia kerana tidak sedar tuanya. Apatah lagi lelaki yang sudah terbiasa dengan hal yang biasa-biasa sahaja.  Semuanya dianggap norma. Normal.

Siapa lelaki sebenarnya. Siapa dia semasa kanak-kanak menentukan sifat remajanya. Ciri-ciri dewasanya. Natijah tuanya. Tua bukan terjadi dengan tiba-tiba. Proses panjang usia yang memanjat dari kanak-kanak hingga tua membentuk peribadi, sifat dan watak yang dibawa melekat pada batang tubuhnya. Permulaan yang baik selalunya menjadi baik di akhirnya. Jika kanak-kanaknya sempurna diasuh dengan keperluan masa hadapan maka tuanya lebih peka dengan keadaan. Jika mudanya didalami pengalaman bertanggungjawab maka tuanya menjadi lelaki yang penuh dengan kesedaran untuk memberi tanggungjawab. Pengalaman dan persekitaran banyak membentuk watak luaran. Watak yang menjad norma seorang manusia di kalangan komunitinya. Kendatipun watak dirinya yang sebenarnya datang dari keluarga. Dari nasab keturunan. Datang dari budaya komuniti dan bangsanya.

Suami idaman semua wanita berbagai bentuknya. Tetapi yang lazim dimpikan ialah lelaki yang bertanggungjawab. Yang peka dengan keperluan keluarga. Yang pengasih dan penyayang. Yang banyak memberi dan bukan meminta. Yang hadirnya menyenangkan. Yang jauhnya dirindui. Yang dekatnya mendamaikan. Yang perginya selalu dinanti. Suami yang lawar hanya sewaktu ingin  berpacaran dahulu sahaja. Bila sudah berumahtangga lawar bukan lagi pertimbangan utama. Lawar sudah tidak lagi menjadi keutamaan. Gagahnya juga bukan penentu. Malah kayanya juga bukan yang memberikan sebaik-baiknya. Wanita mencari lelaki yang fitrahnya adalah lelaki. Suami yang terbaik untuk dirinya. Untuk anak-anaknya. Untuk keluarganya. Tempat berlindung dan tempat bergantung. Tempat mencurah rasa. Orang yang boleh berkongsi aspirasi. Cita-cita membina mahligai bahagia. Yang pada akhirnya bahagia itu di hati. Di qalbu. Bukan lagi pada paras rupa.  Bukan lagi pada gagahnya. Bukan lagi pada kayanya.

Lelaki adalah bapa. Ia datang bersama perkahwinan. Hidupnya bersama wanita memberi satu ruang untuk melahirkan zuriat yang bernama anak. Anak itu bergantung hidup pada bapanya. Lelaki yang menjadi bapanya. Suami kepada ibunya. Pada bapa itulah segalanya bermula dan berakhir. Bagi anak lelaki bapanya itulah yang nanti melepaskannya ke dunia luar untuk menjadi lelaki yang melestarikan warisan keluarga. Mewarisi segala kelelakian bapanya. Bagi anak perempuan bapa itulah walinya. Yang menyerahkannya kepada lelaki pilihan keluarga. Padanya tergantung zuriat keturunan mengikut galur mertuanya. Besan bapanya. Dari bapanyalah anak cucunya nanti mewarisi segala kesempurnaan yang telah disemat dan ditanam pada dirinya. Harapannya anak perempuan itu menjadi anugerah kepada menantu lelaki yang bakal menerima segala kebaikan. Keindahan wanita yang dikahwininya.

Lelaki itu banyak wataknya. Banyak wajahnya. Pada suatu ketika ia menjadi abang. Pada ketika yang lain ia menjadi adik. Dalam persemendaan ia menjadi  ipar duai. Begitulah susur galur manusia menentukan lelaki menjadi bapa saudara, anak, menantu  dan mertua. Di luar lingkunan keluarga dan semenda lelaki menjadi ahli masyarakat. Menjadi warga kerja. Menjadi warga negara. Setiap satunya memerlukan lelaki melaksanakan watak-watak dan tuntutan watak-watak itu. Watak yang terbaik mengikut agamanya. Mengikut statusnya. Mengikut norma budaya bangsanya. Statusnya dalam keluarga yang mesti disempurnakan. Banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tidak banyak dibincangkan orang tentang lelaki sebagai lelaki. Yang selalu  disebut ialah lelaki sebagai suami. Sebagai bapa. Sebagai anak. Saya ingin membicarakan lelaki sebagai suami. Suami yang telah menikahi seorang isteri. Telah hidup lama bersama. Ketikanya sampai juga usia yang menginjak tua. Menjadi warga emas. Berkilau tetapi tiada siapa yang ingin memperdagangkannya. Nilainya telah tinggal sepah.  Tebu dan manisnya telah lama terbuang.

Usia tua yang semakin bersisa sedikit. Yang sedikit itu rupanya banyak masalahnya. Banyak ragamnya. Lelaki tua hanya melakonkan watak yang telah diskripkan keluarga. Banyak sangat watak yang keras. Hatinya kering. Lihatnya tidak ke dalam. Dengarnya tidak pada rintihan qalbu yang lemah antara bunyi dengan tidak. Hati nurani isterinya tidak pernah didengar. Langkahnya selalu ingin jauh. Lagaknya selalu menguasai. Selalu pula meminta haknya ditunaikan. Berkeras menuntut hak lelaki. Menjadi ketua yang sudah tidak boleh diikut. Jalan di hadapan yang selalu tersasar. Jalan di belakang yang selalu tertinggal jauh. Letak di atas menimpa yang bawah. Letak di bawah hanya menyusahkan yang di atas. Di tengah tidak tahu apa olahnya. Di tepi hanya jurang jatuhnya. Sifat lelakinya membanyak ego yang tidak sampai ke mana. Malang bagi isteri yang memilki suami sepertinya. Banyak ragam tetapi pendek perasaan.

Begitulah gambaran lelaki tradisi. Yang dididik untuk menjadi lelaki tanpa perasaan. Sukar memahami hati yang keras membatu. Ia lupa sewaktu mudanya ia dilayan penuh kasih sayang. Segala kemahuannya dituruti. Segala mahunya ditunaikan. Isteri yang cekatan sahaja mampu memberi yang terbaik untuk lelaki jenis yang banyak menuntut. Tenaga isteri semakin merudum. Tuanya menghakis segala cantiknya. Segala kekuatannya. Yang tinggal hanya sisa-sisa tanggungjawabnya kepada suami. Digagahi selagi ada kudrat yang bersisa. Yang pastinya ia merintih tanpa ada yang mendengar. Suami yang sama tuanya sudah hilang rasa. Hilang kepekaan. Yang ditunjukkan hanyalah sifat lelaki yang sukar merendah. Yang sukar menunduk. Yang sukar mengalah. Makan mahu dihidang. Pakaian mahu dibasuh. Rumah mahu dikemas. Malangnya dalam tuanya banyak pula perintah. Kurang pula membantu. Kudrat isteri yang tidak seberapa diperah dan dikerah. Malang menjadi isteri.

Tanggungjawab rumahtangga bercapah banyaknya. Bukan sekadar makan dan minum. Meminta dan menuntut hanya menyusahkan pasangan. Lelaki selalu lupa tuanya juga berpasangan dengan wanita isteri yang juga tua. Apatah lagi jika isteri tidak banyak sihatnya. Ada penyakit yang dihidap setiap masa. Lelaki yang selalu lupa tuanya tetap merasakan bahawa pasangannya tetap wajib melaksanakan keperluannya walaupun terpaksa merangkak. Terpaksa mengesot. Terpaksa menjalar. Terpaksa berpapah. Dapur diserah kepada isteri. Kemas diserah kepada isteri. Kemas diserah kepada isteri. Lupa dan lupa bahawa si isteri mungkin terlalu tidak ada lagi tenaga untuk mengurus semua itu. Digagahi demi lelaki suami yang tidak mengerti. Hanya memendam rasa. Memendam dalam. Menyimpan segala kekesalan yang susah padamnya. Siapalah dirinya hendak membantah. Lelaki selalu dominan tanpa melihat sekeliling bahawa zaman sudah banyak berubahnya. Masing-masing sudah tiada lagi sebaik dahulu. Semuda dahulu. Segagah dahulu. Tua sudah menghakis segala keindahan berumahtangga.

Menjaga hati sebenarnya perlu dilatih dari awal. Dari muda. Dari kanak-kanak. Pendidikan dan asuhan diperlukan untuk belajar mengurus hati. Mengurus perasaan pasangan. Mengurus dua hati yang selalu tidak pernah sama. Dua hati yang selalu ada selisihnya. Mana ada dua orang manusia yang sama dalam segala-galanya. Jika semasa muda sudah akur dengan perbezaan itu maka tuanya akan lebih memahami. Pengalaman dan usia mengajar kita menjadi lebih matangnya. Lebih tuanya. Tua banyak menghilang warna pendidikan. Hilang wajah pengalaman. Masing-masing tenggelam dalam dunianya yang terasing dan tersendiri. Seharusnya lelaki belajar melalui pengalaman positif. Belajar yang tidak ada hentinya. Ujian dan cubaan tetap datang tanpa mengira usia. Sikap siaga penting dalam menghadapi hari-hari terakhir. Harap-harap yang ditinggal nanti hanya rindukan kebaikannya. Tiada ingatan jelek yang perlu diimbau kembali.

Kadang-kadang hidup ini tidak indah semata. Jika kita banyak mengharap maka harapan itu jarang tercapai. Tidak ada siapa yang sudi memberi harap. Namun jika kita yang banyak memberi harap, mudah-mudahan banyak hati yang penuh harapnya. Meminta payah dapatnya. Memberi pada yang ramai banyak terimanya. Mengambil hati orang lain jauh lebih baik dari mengusik emosinya. Jika tua penuh dengan pengalaman dan pembelajaran tentu pasangan masing-masing lebih tenang menghadap hari-hari muka. Keindahan sudah lama hilang. Yang tinggal hanya kebersamaan. Renunglah siapa isterimu. Dia ada di hadapanmu. Itulah wanita yang sewaktu ketika dahulu membuatmu tidak tidur malam. Siangnya hanya bayangannya. Makanmu tak kernah kenyang. Kau dakap ia sepenuh hati. Kau cium dahinya tanda kesyukuran. Syahdu dalam penyatuan. Renung kembali waktu itu. Sekarang wajah itu banyak lainnya. Kendur segala kulitnya. Rabun matanya. Terhalang bunyi dari telinganya. Ingatannya yang selalu kabur. Tenaganya tinggal nyawa-nyawa ikan. Sentuhinya lagi. Pada kulit itu masih ada deria kasih. Masih ada sayang. Masih tebal setia yang dulu juga. Jalannya sahaja yang berbeza. Tetapi cumbuan mesra masih tidak mengubah kepada ingatan lama. Andaikata masa tidak berubah dia tetap yang sama. Yang cantik mulus kulitnya. Yang tajam bak kejora matanya. Yang suaraya bak lagu merdu yang selalu ingin didengar. Bila jauh dihujung telefon sayu mendayu lagu rindu.

Makanmu tidak pernah berubah. Minta yang enak. Minta yang mengenyangkan perut lama yang itu juga. Tolonglah ke dapur kerana isterimu tidak lagi banyak kudratnya. Kupaslah bawang. Tumbuklah cili. Jerangkan air. Tanak nasi. Sapu sampah. Susun pinggan mangkuk. Mop lantai. Bersihkan dapur. Hidangkan makanan. Apa salahnya menjadi pramusaji untuk isteri tersayang. Dulu semasa mudanya ia tidak pernah engkar melayanimu. Giliranmulah sekarang untuk mengembalikan haknya yang telah diberikan kepadamu dahulu. Tiada yang mutlak mengenai layanan bersuami isteri. Tidak semuanya tertanggung di atas bahu isteri. Suami sepertimu juga perlu memberi hak itu kepada isterimu. Sampai masanya dia perlukan layanan. Anak-anak semuanya jauh belaka. Banyak sibuk mereka. Mereka ada kehidupan sendiri yang perlu juga diurus. Menjadi orang tua yang menegrti banyak mendamaikan hati sendiri.

Sabarmu hendaklah digandakan. Sabar orang tua tentu banyak mengesankan. Tidak perlu banyak bercakap. Bila tua banyak kata yang tidak terkota. Indah cerita dari tenaga yang ada. Buatlah seberapa banyak yang boleh. Memberi apa sahaja yang membahagiakan pasangan. Tentu sahaja tidak semua membahagiakan. Tetapi sekurang-kurangnya sudah dilaksanakan apa yang seperlunya. Tututan besar dan wajib terlaksana. Kesabaran menghadapi hari tua kadang-kadang memeritkan. Tetapi itu adalah hakikat. Bahagia tidak pernah datang sendiri. Ianya dicari. Dicungkil. Digali. Usaha besar sahaja yang mungkin merealisasikan kebahagiaan yang selalu elusif itu. Tidak mungkin ia datang menggolek. Tidak juga pipih melayang. Ia perlu direncana sepanjang masa. Jangka pendek dan jangka panjang. Perlu diubah dari masa ke semasa. Hidup selalu dinamik. Volatile. Hindarkanlah dari menjadi hostile.

Santun-menyantun sangat mudah bagi yang mengetahui. Tidak ramai antara kita yang  sentiasa pandai mengendalikan suasana. Ada sahaja perubahan yang perlu dibuat. Kepekaan yang seharusnya tinggi. Ingatlah apabila sama-sama tua banyak yang semakin terserlah bezanya. Nampak kurangnya. Dilihat cacat-celanya. Ia perlukan hati yang kuat untuk melayari hari-hari tua yang tidak ada kepastian apa yang dijangka. Usaha, doa dan tawakal. InsyaAllah akan ada bahagia di hari-hari yang berbaki.