Saturday, July 21, 2012

Ramadhan Yang Terakhir


Ramadhan datang lagi. Kita nantikan selama 11 bulan yang lalu. Bulan yang penuh barakah. Padanya diturunkan al-Quran. Pertemuan pertama antara penghulu rasul dengan penghulu malaikat. Tentunya sejarah manusia sangat gemilang. Rentetan dari pertemuan antara dua makhluk mulia tersebut tersimpul rukun iman. Terlaksana rukun Islam. Pada bulan Ramadhan Allah peruntukkan kepada manusia malam yang penuh barakah. Lailatulqadar. Pasti datang bersama Ramadhan. Setahun dijanjikan hanya sekali sahaja. Suatu malam yang tiada tolok bandingnya. Amalan pada bulan mulia ini digandakan oleh Allah. Malah pahala berpuasa hanya Allah sahaja yang mengetahui kuantiti ganjarannya. Ianya di luar kebiasaan kadar pahala melaksanakan amal-amal yang lain. Baik wajib. Baik sunat. Allah yang berhak menyukatnya. Hanya hakNya sahaja.

Dalam kebesarannya ini Ramadhan kerap juga tidak diberi tempat. Ramai yang tidak memikirkan kehebatannya. Keagungannya. Ketinggian martabatnya. Bagitulah bagi mereka yang lagha. Yang lalai. Yang tidak memberi erti datangnya Ramadhan. Bagi yang alim tentang agamanya, Ramadhan dinanti penuh cemas. Penuh harap. Penuh keluh kesah. Bila datang Ramadhan ditatang sepenuh kasih. Syukur yang tiada nilai angkanya.  Tiada yang sepadan dengan kebesarannya. Maka pada bulan yang penuh barakah ini mereka mengambil kesempatan apa sahaja yang ada untuk membuat kebaikan. Kebajikan. Beramal soleh. Tiada suatu ruang masa yang diabaikan. Semuanya diisi dengan penuh tertib rasa kecintaan kepada Allah yang semakin membara. Ingin dekat dan lebih dekat. Beribadat seolah-olah esok akan tiada lagi.

Benar!  Bagaimana jika Ramadhan ini adalah yang terakhir untuk kita. Jika ajal kita sampai di sini, inilah Ramadhan yang terakhir. Inilah Ramadhan yang telah kita tunggu 11 bulan yang lalu. Inilah Ramadhan yang akan kita tinggalkan. Inilah Ramadhan yang tidak mungkin akan bersama dengan kita lagi. Ramadhan akan datang dan pergi mengikut sunnahnya. Ajal kita tidak membenarkan kita bersamanya lagi. Kebersamaan yang puyna keterbatasan. Hilanglah kita dari berpuasa. Hilanglah kita dari malam-malam bertarawih. Bertadarus. Bertahajjud. Bersama dengan umat Islam yang ghairah menyambutnya. Terpisahlah segala amal yang tidak lagi dapat diulang. Terputus dari segala amal dunia. Kita tinggalkan Ramadhan. Kita hanya sampai di sini sahaja. Andai Ramadhan ini adalah yang teakhir.

Bagi yang rasanya ingin hidup seribu tahun lagi, Ramadhan ini dianggap biasa sahaja. Ia akan ke hujungnya. Tahun hadapan ianya datang lagi. Siapa sebenarnya yang pasti akan bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan. Siapa yang nanti akan berpuasa. Siapa yang akan melakukan amal soleh yang berganda-ganda pahalanya. Ajal adalah antara yang akan menahan kita dari menemuinya lagi. Usia kita mungkin tidak sampai tahun hadapan. Cukup hingga tahun ini sahaja. Ramadhan ini sahaja. Kita tidak  tahu kemungkinan ada antara kita yang hilang upaya. Yang tiada ada lagi deria. Tidak lagi ada ingatan. Tiada perasaan menunggu dan kecintaan. Saraf yang mati dan keliru.  Ketika itu Ramadhan tiada lagi ditunggu. Tiada lagi amal soleh yang dapat terlaksana. Sakit datang selepas sihat. Uzur selepas afiat. Ramadhan ini menjadi yang terakhir.

Kebahagiaan bersama Ramadhan tiada tolok bandingnya. Kemeriahan yang menjulang.  Riang yang mendakap girang. Bahagia yang datang setiap waktu sahur dan waktu berbuka. Allahuakbar! Bagaimana jika ini adalah yang terakhir. Yang tidak dapat menunggu lagi. Yang tidak dapat mengharap lagi. Yang tidak dapat lagi merencana untuk mentarbiahkannya. Tiada lagi aktiviti memakmurkannya. Tiada lagi jadual yang mengisi pahala dan ganjaran dijanjikan. Semuanya terputus. Hilang dari jadual hidup. Hilang dari agenda kehidupan. Peranan sebagai manusia terputus pada Ramadhan ini. Masakan tiada airmata yang menggenang. Tidak merembes sayu. Tidak mengalir kerana hilangnya syahdu. Ramadhan yang penuh dengan barakah. Tidak ada bulan yang isinya penuh dengan segala yang ditunggu. Setiap malam didoakan semoga ada kesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan. Untuk menikmatinya lagi. Kebesaran Allah  Maha Besar.

Beruntung umat Muhammad yang difardhukan dengan puasa di bulan Ramadhan. Walaupun puasa dfardhukan kepada umat terdahulu tetapi kefardhuannya kepada umat Muhammad sangat jauh melebihi segala-galanya. Hanya umat Muhammad sahaja yang menikmati ganjaran besar dari Allah kerana puasa di bulan Ramadhan. Khusus untuk umat Muhammad. Bagi mereka yang darjah kecintaannya kepada Rasulullah sangat tinggi, Ramadhan ini anugerah besar dari Allah kepada Rasulullah dan umatnya. Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi yang lain kagum dengan kelebihan yang ada pada umat Muhammad. Dalam peristiwa isra’ dan mi’raj, Nabi Musa sangat mengkagumi umat Muhammad sehingga baginda teringin untuk menjadi seorang daripadanya. Seorang Rasul ulul ‘azmi terasa iri dengan kehebatan umat Muhammad.

Di mana silapnya hingga umat Muhammad lari dari landasan agama. Cuba beritakan kepada mereka sekiranya Ramadhan ini adalah yang terakhir. Tiada kesempatan mereancana untuk  berhariraya. Tiada baju baru yang berpasang-pasang. Tiada kuih-muih yang terhidang. Tiada langsir baru yang tergantung. Tiada perabot baru untuk menghias rumah. Ramadhan terakhir yang tamatnya di sini. Tahun ini. Kali ini. Ramadhan yang tidak akan mungkin ditemui lagi.  Ramadhan yang mengakhiri segala Ramadhan. Penamat segala yang barakah pada siang dan malamnya.

Apalah hariraya yang tidak seberapa. Apalah ketupat dan rendang yang tidak lagi diperlukan di alam barzah. TV dan hedonismnya yang terputus. Yang sewaktu umur masih ada hanya menambah dosa. Hanya maksiat yang banyak. Rencana, rancangan dan program yang semakin hari semakin menyesakkan iman dan akidah. Tidak dicuba dikurangkan. Malah diinisiatifkan supaya lebih bersifat global. Semakin besar impak negatifnya. Fiikirkan jika Ramadhan oini adalah yang terakhir. Adakah lagi gunanya segala bentuk hedonism yang ada. Bukankah yang akan dibawa nanti amal soleh. Solat yang panjang banyak rekaatnya. Puasa yang tidak pernah diingkari. Zakat yang ringan tulang untuk mengunjukkannya. Sedekah yang tidak pernah lekang dari niat. Mengimpakkan harta yang tidak ada batasnya. Sayidina Abu Bakar mengimpakkan semua hartanya tanpa syarat. Tanpa rasa berat. Tanpa teragak-agak. Tanpa fikir panjang-panjang. Tanpa sorong tarik. Muktamad. Rasulullah sendiri tersangat kagum. Bila ditanya Rasululah jika kesemuanya diimpakkan apa lagi yang tinggal untuk dirinya dan keluarganya. Allahuakbar! Sangat tulus jawapannya yang terukir pada bibirnya yang tidak lekang dengan zikir. Aku ada Allah dan RasulNya.

Sahabat kabir yang seluruh hidup dan matinya hanya untuk Allah dan RasulNya. Abu Bakar sudah dijamin syurga semasa hidupnya. Status kita bagaimana. Apakah Ramadhan ini yang terakhir untuk kita. Allahuakbar. Ayuh isilah siang dan malamnya dengan amal yang menjana barakah.

No comments:

Post a Comment