Sunday, July 15, 2012

Modal Insan Yang Berotak dan Berwatak


Menuntut ilmu adalah wajib. Ada yang fardhu ‘ain. Ada pula yang fardhu kifayah. Ilmu perlu dicari kerana ianya tidak pernah datang bergolek. Tidak juga pipih melayang. Usaha adalah segala-galanya. Tawakal mengiringinya. Izin Allah yang dipohonkan. Ingat wahyu pertama yang berbunyi Iqra’. Bacalah. Konotasinya bukan sahaja membaca tetapi mentadabbur. Mengakaji dengan mendalam. Menyelidik hingga ke dasar ilmu itu. Membongkar segala yang tersembunyi. Yan tersirat. Yang terlindung. Yang hanya dikiaskan. Yang perlu pena’kulan. Perlu ketajaman akal. Perlu banyak fikir. Ilmu dan akal bergandingan. Datang dan perginya beriringan. Tanpa akal ilmu tidak hinggap. Tidak memberi manfaat besar. Sekadar ada sahaja tidak menyerlahkan ilmu itu. Kerana itu ramai orang tidak berpuashati hinggalah mencapai tahap pakar. Orang yang mengetahui. Yang boleh dirujuk untuk menyelesaikan banyak hal yang rumit. Yang kusut. Yang menyulitkan. Yang menyinari pemikiran orang lain. Memberi cahaya menyerlahkan kefahaman.

Ilmu bersifat mahal. Mendapatkannya susah. Perlu melalui banyak usaha. Banyak rintangan. Banyak halangan. Banyak cabaran. Sukar untuk mengharmonikan kosnya. Hanya pemerintah sahaja yang mampu memperuntukkan bajet yang relevan. Apabila pendidikan dikomersilkan maka ramai yang berada di luar kemampuan. Mereka perlukan suntikan. Input kewangan yang selalunya tidak mencukupi bagi yang berpendapatan rendah. Bagi mereka yang berada dalam kelas bawahan. Rakyat kita masih ramai yang berada di bawah paras kemampuan biasa. Mereka perlukan banyak bantuan. Dalam pada itu pendidikan menjadi komoditi perdagangan. Dalam negara dan antarabangsa. Lanskap pendidikan berubah menjadi tarikan warga dunia. Khususnya dari negara yang belum maju. Sumbangan Malaysia untuk membina rangkaian persahabatan. Rangkaian perniagaan. Rangkaian ekonomi. Rangkaian politik. Memperkaya diri dan memperkaya sahabat-sahabat yang lain. Ungkapan sinonim prosper thye neighbour.

Kita masih beruntung barangkali. Ada juga rezeki yang membantu sedikit sebanyak. Di setengah negara, pendidikan menjadi terlalu mahal. Di luar kemampuan. Keluarga terpaksa melupus segala harta benda untuk memandaikan anak. Negaranya mungkin daif dari segai penawaran kerja. Peluang pekerjaan terhad kerana kurangnya kemampuan negara merancang ekonomi. Kerana itu ilmu seolah-olah menjadi hak eksklusif orang kaya. Orang berada. Orang-orang elit. Mereka yang berada di kelas teratas dalam masyarakat. Dalam mendemokrasikan pendidikan semua orang tiada sekatan untuk mendapat ilmu. Namun persekitaran menghalang terlaksananya pendemokrasian itu. Jika pendidikan menjadi terlalu komersil kita melahirkan watak-watak yang materialistik. Hanya keuntungan yang difikirkan dan bukan manfaatnya. Pendidikan seharusnya melahirkan kombinasi manusia yang berotak dan berwatak. Berakhlak mulia yang melestarikan kemanusiaan sejagat. Untuk seluruh manusia dan bukan untuk kelompoknya sahaja. No man is an island. Semua orang di sekeliling kita adalah sebahagian penting dalam kehidupan kita. Tanpa mereka kita bukan siapa-siapa.

Dalam banyak-banyak institusi pendidikan masih ada yang bernafas dalam kepayahan. Berdiri sendiri tanpa sokongan. Bertatih dan berpapah demi untuk bangun dan membangun. Kekuatan mental dan semangat mendorong untuk menegakkan prinsip dan hasrat besar membina watak dan otak. Begitulah yang saya amati pada Kolej Dar Al-Hikmah (KDH) di Kajang, Selangor. Institusi swasta yang unik kerana tegaknya didokong oleh warga-warga yang sifatnya pemurah menyumbang. KDH unik kerana menegakkan mutiara agama. Menebalkan semangat kerana Allah. Segala usaha kerana Allah. Keuntungan jauh sekali. Kewangannya sekadar cukup hidup tercungap-cungap. Tetapi selama lebih 20 tahun nafasnya bertahan lama. Masih terus untuk hidup. Dari masa ke masa ada dermawan yang menyumbang. Ada imfak yang diterima. Ada usaha mencari dana. Dalam serba kepayahan itulah tertegaknya watak-watak insan yang berlatar agama. Yang di belakangnya adalah agama. Yang mendasari dirinya ialah kecintaan kepada Allah. Namun sifat agama KDH tidak banyak mengundang sumbangan berimpak. Orang tidak mencipta nama jika menyumbang agaknya. Saluran dananya kecil. Lambat pula mengalir. Begitulah institusi agama yang selalu terpinggir.

Kekuatan KDH bukan kerana banyak wangnya. Bukan kerana tinggi kosnya. Bukan kerana melimpah hartanya. Semangatnya yang kental menongkah masa. Menongkah arus segala kepayahan pengurusan dan pentadbirannya. Tetapi seperti kata Datuk Sidiq Fadhil yang penting ialah graduan yang berotak dan berwatak. Saya terasa terlalu kecil bersama KDH. Saya pernah bertugas di IPTA. Dalam mesyuarat-mesyuarat pengurusan yang disebut semuanya juta. Makmal juta. Bengkel juta. Semuanya dalam kontek juta. Di KDH yang disebut hanyalah puluh ribu. Paling besar ratus ribu. Sangat kecil jumlahnya. Rendah  nilaiannya. Itupun payah untuk mendanakannya. Namun nilai rohaninya sangat tinggi. Natijahnya ialah hasil yang menepati agama. Mendekatkan kepada Allah. Memartabatkan taqwa. Kerana agama KDH bertahan. Warga pelajarnya bukan setakat orang tempatan. Ramai dari Indonesia. Tentulah ada sesuatu yang menarik di KDH. Ada mutiara yang diselam. Ada lombong lorongan untuk semuanya kerana Allah.  Jika ingi menyumbang carilah laman web Kolej Dar Al-Hikmah.  carilah laman web Kolej Dar Al-Hikmah. http://www.hikmah.edu.my/

Masa hadapan agama bukan lagi bersandar di bahu ustaz dan ustazah. Kita sudah banyak melahirkan profesional yang melangkaui ustaz dan ustazah. Pendekatan dakwah yang semakin subur.  Sudah tentu teknologi menjadi penentu dalam hal ini. Lebih saintifik. Banyak bukti dan fakta benar. Kebenaran yang selalu diserlahkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Orang barat menemui Islam melalui teknologi. Melalui sains. Melalui penyelidikan. Kajian angkasa menemukan mereka dengan tanda-tanda kebesaran Allah. Alam yang luas memberikan jalan berfikir untuk memahami wujudnya Allah. Tidak mungkin alam ini terjadi secara kebetulan seperti yang pelopori oleh Charles Darwin. Semuanya terbukti tidak benar.

Menjiwai ilmu membina jalan fikir yang waras. Santai dan damai. Ilmu memandu kita ke arah yang lebih tinggi. Martabatnya tidak ternilai. Pemiliknya menjadi orang yang bukan biasa-biasa. Dengan jalan fikir yang teratur wawasan hidup menjadi lebih cerah. Wawasan akhirat yang mendasari wawasan dunia. Bukan sebaliknya. Dunia hanya sementara. Akhirat sememangnya benar. Tempat kembali hanya Allah. Sejarah masa lalu kita hanya yang menikam kenangan. Masa hadapan yang lebih cerah itulah harapan dan hasrat besar yang mesti dicapai. Disempurnakan misinya. Jelas visinya. Jalannya diluruskan. Semua halangan disingkirkan. Semua cabaran dikesampingkan. Masa hdapan tidak boleh dibiarkan yang kaburnya menyilau. Allah pasti memberi jalan yang kita doakan. Yanbg kita minta. Semua yang positif dan ada nilai agama tentu dalam keredhaan Allah.

Pendidikan dan ilmu mestilah digabungjalin. Teknologi seharusnya menajamkan fikiran supaya boleh kembnal kepada yang hak. Semuanya kerana Allah. Ketajaman akal dan berfikir mesti dibina supaya dapat memahami yang tersurat dan tersirat. Menghalusi hal-hal yang nampak biasa. Meninjau jauh ke dasar ilmu menjadi penting kerana di sana kita akan menemui Allah. Gambaran tentang Allah menjadi lebih jelas. Kehalusan berfikir memberi kita banyak ruang untuk melihat sesuatu dengan pendekatan berbeza. Tidak sama pakar Matematik dan Sosiologis. Begitu juga sejarawan dengan teknologis. Namun semakin kita belajar semakin banyak pintu-pintu ilmu yang akan terbuka. Pandangan kita lebih jauh. Stamina berfikir lebih lama. Hati kigta tidak tertup kaku hanya melihat kapada yang satu. Pandangan orang berilmu bercapah ke mana-mana. Luas alam ini kepadanya. Kepada orang yang kurang ilmunya semuanya menjadi sempit. Semput dibuatnya. Nafasnya sesak. Pendek.

Tajam akal tentulah perlu diasah. Tuntutlah apa sahaja ilmu yang bermanfaat. Tahu lebih banyak tentu lebih baik. Tidak sama orang megetahui dengan mereka yang tidak mengetahui. Orang yang mengetahui boleh menjana keindahan berilmu. Ia sentiasa segar. Lapang. Ceria. Cita-citanya tidak pernah padam. Semuanya menarik untuk dikaji. Dunia dan akhirat menyatu dalam dirinya. Amalkanlah membaca. Banyak membaca. Berbagai disiplin ilmu. Sediakan bajet bulanan untuk membeli buku. Rujukan. Apa sahaja bahan yang memberi input ilmu. Hiasi rumah dengan buku. Berderet di almari. Di dinding. Di atas rak-rak. Tidak ada yang lebih baik dari memiliki buku. Memakai pakaian yang cantik pasti mengundang kekaguman teman dan taulan. Tetapi memiliki buku menyempurnakan penghormatan itu. Mulakanlah hari ini untuk membina diri yang berotak dan berwatak. Bestari bersalut akhlak mulia. Memiliki nilai agama dan nilai insaniah yag tinggi. InsyaAllah jika diusahakan.

No comments:

Post a Comment