Benarkah orang tua banyak ragamnya? Orang muda banyak keletahnya. Orang tua bukan segera tua seperti sekelip mata. Usia memanjat dari anak menjadi remaja sebelum menginjak menjadi jejaka. Lalu masa itu bergerak perlahan membawa usia yang semakin merangkak meninggalkan muda. Meninggalkan dewasa. Tanpa disedari tua itu datang. Tidak diundang. Tidak ditentang. Hanya yang mengetahui sahaja merancang untuk hari tuanya. Barangkali itu cerita mereka yang bersekolah. Yang menjadi bijaksana. Yang pengalamannya mengajar untuk menjadi tua yang bernilai harganya. Yang pernah memimpin dan dipimpin. Banyak belajar dan mengambil iktibar. Namun begitu di luar sana ramai orang tua yang hanya tua. Sekadar membuang usia kerana tidak sedar tuanya. Apatah lagi lelaki yang sudah terbiasa dengan hal yang biasa-biasa sahaja. Semuanya dianggap norma. Normal.
Siapa lelaki sebenarnya. Siapa dia semasa kanak-kanak menentukan sifat remajanya. Ciri-ciri dewasanya. Natijah tuanya. Tua bukan terjadi dengan tiba-tiba. Proses panjang usia yang memanjat dari kanak-kanak hingga tua membentuk peribadi, sifat dan watak yang dibawa melekat pada batang tubuhnya. Permulaan yang baik selalunya menjadi baik di akhirnya. Jika kanak-kanaknya sempurna diasuh dengan keperluan masa hadapan maka tuanya lebih peka dengan keadaan. Jika mudanya didalami pengalaman bertanggungjawab maka tuanya menjadi lelaki yang penuh dengan kesedaran untuk memberi tanggungjawab. Pengalaman dan persekitaran banyak membentuk watak luaran. Watak yang menjad norma seorang manusia di kalangan komunitinya. Kendatipun watak dirinya yang sebenarnya datang dari keluarga. Dari nasab keturunan. Datang dari budaya komuniti dan bangsanya.
Suami idaman semua wanita berbagai bentuknya. Tetapi yang lazim dimpikan ialah lelaki yang bertanggungjawab. Yang peka dengan keperluan keluarga. Yang pengasih dan penyayang. Yang banyak memberi dan bukan meminta. Yang hadirnya menyenangkan. Yang jauhnya dirindui. Yang dekatnya mendamaikan. Yang perginya selalu dinanti. Suami yang lawar hanya sewaktu ingin berpacaran dahulu sahaja. Bila sudah berumahtangga lawar bukan lagi pertimbangan utama. Lawar sudah tidak lagi menjadi keutamaan. Gagahnya juga bukan penentu. Malah kayanya juga bukan yang memberikan sebaik-baiknya. Wanita mencari lelaki yang fitrahnya adalah lelaki. Suami yang terbaik untuk dirinya. Untuk anak-anaknya. Untuk keluarganya. Tempat berlindung dan tempat bergantung. Tempat mencurah rasa. Orang yang boleh berkongsi aspirasi. Cita-cita membina mahligai bahagia. Yang pada akhirnya bahagia itu di hati. Di qalbu. Bukan lagi pada paras rupa. Bukan lagi pada gagahnya. Bukan lagi pada kayanya.
Lelaki adalah bapa. Ia datang bersama perkahwinan. Hidupnya bersama wanita memberi satu ruang untuk melahirkan zuriat yang bernama anak. Anak itu bergantung hidup pada bapanya. Lelaki yang menjadi bapanya. Suami kepada ibunya. Pada bapa itulah segalanya bermula dan berakhir. Bagi anak lelaki bapanya itulah yang nanti melepaskannya ke dunia luar untuk menjadi lelaki yang melestarikan warisan keluarga. Mewarisi segala kelelakian bapanya. Bagi anak perempuan bapa itulah walinya. Yang menyerahkannya kepada lelaki pilihan keluarga. Padanya tergantung zuriat keturunan mengikut galur mertuanya. Besan bapanya. Dari bapanyalah anak cucunya nanti mewarisi segala kesempurnaan yang telah disemat dan ditanam pada dirinya. Harapannya anak perempuan itu menjadi anugerah kepada menantu lelaki yang bakal menerima segala kebaikan. Keindahan wanita yang dikahwininya.
Lelaki itu banyak wataknya. Banyak wajahnya. Pada suatu ketika ia menjadi abang. Pada ketika yang lain ia menjadi adik. Dalam persemendaan ia menjadi ipar duai. Begitulah susur galur manusia menentukan lelaki menjadi bapa saudara, anak, menantu dan mertua. Di luar lingkunan keluarga dan semenda lelaki menjadi ahli masyarakat. Menjadi warga kerja. Menjadi warga negara. Setiap satunya memerlukan lelaki melaksanakan watak-watak dan tuntutan watak-watak itu. Watak yang terbaik mengikut agamanya. Mengikut statusnya. Mengikut norma budaya bangsanya. Statusnya dalam keluarga yang mesti disempurnakan. Banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tidak banyak dibincangkan orang tentang lelaki sebagai lelaki. Yang selalu disebut ialah lelaki sebagai suami. Sebagai bapa. Sebagai anak. Saya ingin membicarakan lelaki sebagai suami. Suami yang telah menikahi seorang isteri. Telah hidup lama bersama. Ketikanya sampai juga usia yang menginjak tua. Menjadi warga emas. Berkilau tetapi tiada siapa yang ingin memperdagangkannya. Nilainya telah tinggal sepah. Tebu dan manisnya telah lama terbuang.
Usia tua yang semakin bersisa sedikit. Yang sedikit itu rupanya banyak masalahnya. Banyak ragamnya. Lelaki tua hanya melakonkan watak yang telah diskripkan keluarga. Banyak sangat watak yang keras. Hatinya kering. Lihatnya tidak ke dalam. Dengarnya tidak pada rintihan qalbu yang lemah antara bunyi dengan tidak. Hati nurani isterinya tidak pernah didengar. Langkahnya selalu ingin jauh. Lagaknya selalu menguasai. Selalu pula meminta haknya ditunaikan. Berkeras menuntut hak lelaki. Menjadi ketua yang sudah tidak boleh diikut. Jalan di hadapan yang selalu tersasar. Jalan di belakang yang selalu tertinggal jauh. Letak di atas menimpa yang bawah. Letak di bawah hanya menyusahkan yang di atas. Di tengah tidak tahu apa olahnya. Di tepi hanya jurang jatuhnya. Sifat lelakinya membanyak ego yang tidak sampai ke mana. Malang bagi isteri yang memilki suami sepertinya. Banyak ragam tetapi pendek perasaan.
Begitulah gambaran lelaki tradisi. Yang dididik untuk menjadi lelaki tanpa perasaan. Sukar memahami hati yang keras membatu. Ia lupa sewaktu mudanya ia dilayan penuh kasih sayang. Segala kemahuannya dituruti. Segala mahunya ditunaikan. Isteri yang cekatan sahaja mampu memberi yang terbaik untuk lelaki jenis yang banyak menuntut. Tenaga isteri semakin merudum. Tuanya menghakis segala cantiknya. Segala kekuatannya. Yang tinggal hanya sisa-sisa tanggungjawabnya kepada suami. Digagahi selagi ada kudrat yang bersisa. Yang pastinya ia merintih tanpa ada yang mendengar. Suami yang sama tuanya sudah hilang rasa. Hilang kepekaan. Yang ditunjukkan hanyalah sifat lelaki yang sukar merendah. Yang sukar menunduk. Yang sukar mengalah. Makan mahu dihidang. Pakaian mahu dibasuh. Rumah mahu dikemas. Malangnya dalam tuanya banyak pula perintah. Kurang pula membantu. Kudrat isteri yang tidak seberapa diperah dan dikerah. Malang menjadi isteri.
Tanggungjawab rumahtangga bercapah banyaknya. Bukan sekadar makan dan minum. Meminta dan menuntut hanya menyusahkan pasangan. Lelaki selalu lupa tuanya juga berpasangan dengan wanita isteri yang juga tua. Apatah lagi jika isteri tidak banyak sihatnya. Ada penyakit yang dihidap setiap masa. Lelaki yang selalu lupa tuanya tetap merasakan bahawa pasangannya tetap wajib melaksanakan keperluannya walaupun terpaksa merangkak. Terpaksa mengesot. Terpaksa menjalar. Terpaksa berpapah. Dapur diserah kepada isteri. Kemas diserah kepada isteri. Kemas diserah kepada isteri. Lupa dan lupa bahawa si isteri mungkin terlalu tidak ada lagi tenaga untuk mengurus semua itu. Digagahi demi lelaki suami yang tidak mengerti. Hanya memendam rasa. Memendam dalam. Menyimpan segala kekesalan yang susah padamnya. Siapalah dirinya hendak membantah. Lelaki selalu dominan tanpa melihat sekeliling bahawa zaman sudah banyak berubahnya. Masing-masing sudah tiada lagi sebaik dahulu. Semuda dahulu. Segagah dahulu. Tua sudah menghakis segala keindahan berumahtangga.
Menjaga hati sebenarnya perlu dilatih dari awal. Dari muda. Dari kanak-kanak. Pendidikan dan asuhan diperlukan untuk belajar mengurus hati. Mengurus perasaan pasangan. Mengurus dua hati yang selalu tidak pernah sama. Dua hati yang selalu ada selisihnya. Mana ada dua orang manusia yang sama dalam segala-galanya. Jika semasa muda sudah akur dengan perbezaan itu maka tuanya akan lebih memahami. Pengalaman dan usia mengajar kita menjadi lebih matangnya. Lebih tuanya. Tua banyak menghilang warna pendidikan. Hilang wajah pengalaman. Masing-masing tenggelam dalam dunianya yang terasing dan tersendiri. Seharusnya lelaki belajar melalui pengalaman positif. Belajar yang tidak ada hentinya. Ujian dan cubaan tetap datang tanpa mengira usia. Sikap siaga penting dalam menghadapi hari-hari terakhir. Harap-harap yang ditinggal nanti hanya rindukan kebaikannya. Tiada ingatan jelek yang perlu diimbau kembali.
Kadang-kadang hidup ini tidak indah semata. Jika kita banyak mengharap maka harapan itu jarang tercapai. Tidak ada siapa yang sudi memberi harap. Namun jika kita yang banyak memberi harap, mudah-mudahan banyak hati yang penuh harapnya. Meminta payah dapatnya. Memberi pada yang ramai banyak terimanya. Mengambil hati orang lain jauh lebih baik dari mengusik emosinya. Jika tua penuh dengan pengalaman dan pembelajaran tentu pasangan masing-masing lebih tenang menghadap hari-hari muka. Keindahan sudah lama hilang. Yang tinggal hanya kebersamaan. Renunglah siapa isterimu. Dia ada di hadapanmu. Itulah wanita yang sewaktu ketika dahulu membuatmu tidak tidur malam. Siangnya hanya bayangannya. Makanmu tak kernah kenyang. Kau dakap ia sepenuh hati. Kau cium dahinya tanda kesyukuran. Syahdu dalam penyatuan. Renung kembali waktu itu. Sekarang wajah itu banyak lainnya. Kendur segala kulitnya. Rabun matanya. Terhalang bunyi dari telinganya. Ingatannya yang selalu kabur. Tenaganya tinggal nyawa-nyawa ikan. Sentuhinya lagi. Pada kulit itu masih ada deria kasih. Masih ada sayang. Masih tebal setia yang dulu juga. Jalannya sahaja yang berbeza. Tetapi cumbuan mesra masih tidak mengubah kepada ingatan lama. Andaikata masa tidak berubah dia tetap yang sama. Yang cantik mulus kulitnya. Yang tajam bak kejora matanya. Yang suaraya bak lagu merdu yang selalu ingin didengar. Bila jauh dihujung telefon sayu mendayu lagu rindu.
Makanmu tidak pernah berubah. Minta yang enak. Minta yang mengenyangkan perut lama yang itu juga. Tolonglah ke dapur kerana isterimu tidak lagi banyak kudratnya. Kupaslah bawang. Tumbuklah cili. Jerangkan air. Tanak nasi. Sapu sampah. Susun pinggan mangkuk. Mop lantai. Bersihkan dapur. Hidangkan makanan. Apa salahnya menjadi pramusaji untuk isteri tersayang. Dulu semasa mudanya ia tidak pernah engkar melayanimu. Giliranmulah sekarang untuk mengembalikan haknya yang telah diberikan kepadamu dahulu. Tiada yang mutlak mengenai layanan bersuami isteri. Tidak semuanya tertanggung di atas bahu isteri. Suami sepertimu juga perlu memberi hak itu kepada isterimu. Sampai masanya dia perlukan layanan. Anak-anak semuanya jauh belaka. Banyak sibuk mereka. Mereka ada kehidupan sendiri yang perlu juga diurus. Menjadi orang tua yang menegrti banyak mendamaikan hati sendiri.
Sabarmu hendaklah digandakan. Sabar orang tua tentu banyak mengesankan. Tidak perlu banyak bercakap. Bila tua banyak kata yang tidak terkota. Indah cerita dari tenaga yang ada. Buatlah seberapa banyak yang boleh. Memberi apa sahaja yang membahagiakan pasangan. Tentu sahaja tidak semua membahagiakan. Tetapi sekurang-kurangnya sudah dilaksanakan apa yang seperlunya. Tututan besar dan wajib terlaksana. Kesabaran menghadapi hari tua kadang-kadang memeritkan. Tetapi itu adalah hakikat. Bahagia tidak pernah datang sendiri. Ianya dicari. Dicungkil. Digali. Usaha besar sahaja yang mungkin merealisasikan kebahagiaan yang selalu elusif itu. Tidak mungkin ia datang menggolek. Tidak juga pipih melayang. Ia perlu direncana sepanjang masa. Jangka pendek dan jangka panjang. Perlu diubah dari masa ke semasa. Hidup selalu dinamik. Volatile. Hindarkanlah dari menjadi hostile.
Santun-menyantun sangat mudah bagi yang mengetahui. Tidak ramai antara kita yang sentiasa pandai mengendalikan suasana. Ada sahaja perubahan yang perlu dibuat. Kepekaan yang seharusnya tinggi. Ingatlah apabila sama-sama tua banyak yang semakin terserlah bezanya. Nampak kurangnya. Dilihat cacat-celanya. Ia perlukan hati yang kuat untuk melayari hari-hari tua yang tidak ada kepastian apa yang dijangka. Usaha, doa dan tawakal. InsyaAllah akan ada bahagia di hari-hari yang berbaki.
Salam
ReplyDeleteTulisan tuan mengingatkan saya pada ibubapa saya...Ia sangat benar, Laku orang tua, isteri yang banyak umur meladeni suami yang juga banyak umur. Orang tua yang makin banyak lupanya.
FG
Rumahtangga bak bahtera di lautan yang semakin lama semakin luas. Tepinya entah di mana. Kudrat melayari bahtera itu semakin menyusut. Maut adalah pasti semakin hampir. Hidup pula perlu diteruskan. Kepada Allah berserah. KepadaNya segala yang perlu diharap. InsyaAllah ada kedamaian menghabiskan sisa-sisa pelayaran yang semakin luarbiasanya.
ReplyDelete