Tuesday, May 15, 2012

Trafalgar Square dan Beburung Merpati Yang Jinak-Jinak di Tangan


Andainya ada ruang di sini untuk memungkinkan merpati jinak di tangan. Dalam kesibikan manusia mengejar dunia meeka tidak melupakan alam dan persekitarannya. Berkongsi dengan penghuni alam yang lain. Mereka dijinakkan. Mereka menjinak kerana kebiasaan yang sangat biasa. berkongsi ruang yang sama.


Jinak-jinak merpati. Makan di tangan. Ditangkap jangan. Bukan larangan. Cuma sia-sia. Terlalu sukar menangkapnya. Di negara sendiri saya tidak ada kesempatan bersama merpati. Tiada tempat merpati bebas bermesra dengan manusia. Kita tidak memberi ruang untuknya. Ada yang membelanya tetapi bilangannya terlalu sedikit. Di luar negara banyak tempat untuk bersama merpati. Memberi makan apa yang ada. Ditabur dan diserak. Berkawan-kawan merpati itu datang. Datang dan datang. Warna yang berbagai tetapi tiada yang berwarna garang. Ada putih. Ada hitam. Ada biru. Ada cokelat. Mungkin campuran hijau. Ada yang berkombinasi antara warna-warna itu. Jinak-jinak belaka. Hinggap di kepala. Di lengan dan di bahu. Tidak ada yang takut. Bukan liar. Namun ditangkap sukar jua. Jinak-jinak merpati. Alangkah elok jika wanita begitu. Tentu tidak ramai yang dicemari tangan-tangan berdosa. Tetap suci. Tetap anggun. Tetap terpelihara. Terbangnya siang sahaja. Hinggapnya merata-rata tetapi sukar ditangkap orang. Bebas dan selalu bebas. Unggas tetap ke sarang bila datang malam.



Tiada kanak-kanak di Malaysia yang dibiasakan dengan burung. Semuanya seperti tabu. Anak keempat saya keliru dengan keadaan. Hanya burung yang jinak. Kanak-kanak Melayu yang selalu segan denga keadaan. Alhamdulillah besarnya berjaya sebagai wanita berkerjaya. Mencari tapak kejayaan dalam hidup.


Lama saya di situ. Hati saya terbang bersama burung-burung itu. Deramnya bergema kerana banyaknya. Kerana seronoknya makan percuma dari tangan-tangan manusia. Alangkah jika manusia diberi pilihan untuk menerima segalanya dengan percuma. Hanya perlu terbang dan hinggap. Makanan tersedia. Tetapi tidak. Manusia dengan futrahnya. Perlu berusaha. Mencari. Memadan dan mengukur kecukupannya. Belajar dan berkemahiran untuk kegunaan yang selari dengan kehendak. Akalnya digunapakai untuk mencari jalan terbaik bagi faedahnya dirinya. Di samping itu bertanggungjawab pula mengenai orang-orang, tumbuhan dan haiwan yang ada di sekelilingnya. Kitaran yang tidak boleh terputus. Yang mesti dilestarikan. Yang mesti diperpanjang. Yang mesti diperkasakan. Kesejagatan manusia yang mesti terpelihara.



Menara tinggi yang selalunya ada di kota-kota besar. Ada simbol Yahudi seperti yang selalu disebut. Nelson seorang wira. Tiangnya yang dipacak tinggi sebagai lambang kejayaannya. Itu yang dilihat secara fizikal. Pada psikologinya itulah keangkuhan bangsa yang mencacak egonya.


Trafalgar Square di tengah kesibukan kota London. Di tengahnya tertegak Nelson Column. Tiang yang disandarkan kepada Lord Nelson. Panglima perang British yang menewaskan Napoleon Bonaparte. Usaha Nepoleon menawan Britain gagal. Dua kali ia mencuba. Nelson mengalahkannya. Satu di Trafalgar dan keduanya di Waterloo. Napoleon yang gagah itu gagal. Kerana itu Nelson diabadikan jasanya. Trafalgar Square itu selalu mengingatkan sejarahnya. Tugunya juga ada di situ. Ingat merpati putih? Selalu dilambangkan kepada kemerdekaan. Kebebasan bernegara. Menjadi warganegara. Berdaulat. Dataran-dataran sepertinya banyak di barat. Trafalgar Square antara yang signifikan. Kawasannya luas. Di sekelilingnya berselirat jalanraya utama di London. Bunyi burung merpati dan deru engin kereta berselang-seli membising. Bunyi kereta yang membingit. Bunyi merpati yang serasi dengan alam. Kesejagatannya melampaui benua dan negara. Merpati tetap merpati.


Apalah seorang bapa. Anak-anaknya adalah permatanya. Pengalaman kebersamaan ini sukar dilupakan. Mereka merentas benua bersama saya. Alam luas yang terbentang sebagai pengalaman hidup. Seusia mereka banyak yang berbekas di hati. Selalu diingat lama. Singa di belakang saya adalah lambang kegagahan Britain walaupun pada dasarnya tiada singa yang hidup di britain. Kita semua tahu singa hanya ada di Afrika dan India. Mungkin lambang hanya lambang. Kekuatan dalaman sebuah kedaulatan.


Orang barat mengenang wira mereka. Ditunjukkan kepada generasai terkemudian dari mereka. Sejarahnya diabadikan. Tidak pula dimanipulasi. Bukan untuk ditokok tambah hingga bukan lagi hilang nilai sejarahnya. Dokumen mereka autentik. Dataran mereka real. Tugu mereka benar. Catatan-catatan mereka benar. Semuanya dibebaskan dari sandaran politik. Sejarah itu untuk iktibar. Untuk wawasan. Untuk merencanakan masa hadapan yang lebih wajar. Begitulah Trafalgar Square menjadi gah. Bukan Nelson wiranya. Medannya yang diabadikan. Wiranya hanya satu figura. Ia memenangkan negaranya. Akhirnya negara yang diberi keutamaan. Bukan wiranya. Tanggungjawab warganegara untuk menggemilangkan negaranya. Negaranya hanyalah tanahair dan hutan belantara. Gunung-ganang dan padang rumput. Warganya yang memanfaatkan segala sumber yang ada untuk maslahah manusia. Bukan untuk prutnya sendiri. Bukan untuk perut yang diketahuinya. Tetapi untuk sesiapa sahaja yang mahu. Yang menghendakinya. Yang memerlukannnya. Untuk sama-sama mencicip bahagian masing-masing mengikut kewajarannya.


Patung Nelson terlalu tinggi untuk dirakam bersama. Di ruang ini jauh sedikit dari pusat kesibukan burung merpati. Jinaknya tetap sama.


Sejarah Britain berwarna warni. Sejarahnya berperang dengan Perancis bukan hanya Napoleon dan Nelson sahaja. Lama sebelum itu kedua negara sentiasa tidak boleh bertentang mata. Banyak perang yang tidak decisive. Menang atau kalah di laut sahaja. Tanah jajahan tidak diperolehi. Namun impaknya besar. Walaupun Britain tidak menakluki Perancis ia berjaya menakluki sebahagian besar negara-negara di bumi ini. Seluruh Amerika Utara menjadi milik Britain. Begitu juga Afrika yang besar itu dijajahinya. Termasuk juga India dan Australia. Dalam kegagahannya itu Lord Nelson bukanlah individu yang disanjung tinggi melangit. Sebagai komander perang itu tanggungjawabnya. Menang atau kalah bergantung kepada strategi dan persekitarannya. Logistik memainkan peranan penting. Begitu juga latihan dan taktik berperang. Kelebihan itu yang dimiliki askar British. Dalam sejarahnya Perancis gagal menggugatnya. German gagal berbuat apa-apa. Yang gagal akhirnya ialah sistem hidup mereka. Falsafah meeka. Gaya hidup mereka. Sistem yang tidak ditebat dengan syariah selalu gagal. Sekarang mereka mencari alternatif. Ramai yang mengakui benarnya sistem Islam. Lestari dan benar sepanjang zaman. Itulah janji dan jaminan Allah.


Bangunan kukuh di belakang sana sudah ratusan tahun. Nampak daya tahannya dimamah zaman. Musim berganti dengan kitaran suhu dan panas sejuknya. Lambang tamadun yang utuh.


Kenapa merpati di Trafalgar Square tersangatlah jinaknya. Makan di tapak tangan sangat biasa kepada mereka. Manusia yang berada d situ bukan  untuk digeruni. Bahkan untuk dipaksa memberi makan.   Dijadikan sasaran untuk dihinggapi. Begitu dekatnya kita dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Kebiasaan menjadikan merpati-merpati itu menjinakkan diri. Tiada merpati yang disakiti. Tiada yang dizalimi. Tiada yang kelaparan. Masing-masing dilayan. Dimaniskan dengan kamanusiaan yang tiada batasan. Seumur hidup saya belum pernah mengalaminya. Merpati di Trafalgar Square itu menggamit saya untuk bersantai bersama mereka. Menerbangi angkasa London. Menghirup uradanya. Melintasi sejarahnya. Mengujakan diri untuk mengambil apa yang baik. Titipan pengajaran untuk anak cucu. Untuk genersai saya yang kemudian.


Pengunjung yang seorang ini sengaja melebihkan jinaknya burung merpati. Lihatlah. Merpati itu ada di bahagian atas badannya. Baik di kepala. Baik di bahunya. Di sekeliling kakinya bjuga berkerumun merpati itu mencari ruang untu mendekatinya. Rahsianya bukan apa-apa. Makanan yang sengaja ditabur di seluruh badannya.


Manusia yang bernama pelancong tidak henti mengunjungi square itu. Terasa aman berada di situ. Burung yang beribu-ribu banyaknya terlalu jinak untuk diajak bersama. Makannya yang terkedek-kedek. Jalannya yang berlenggok-lenggok. Patuknya yang tanpa henti. Kenyangnya entah bila. Tangan-tangan yang dihayun dan dipanjangkan menabur segala makanan yang enak bagi mereka. Boleh dibeli di sekeliling dataran itu. Dataran yang mengenang seorang wira menjadi produk pelancongan. Memberi impak ekonomi. Tempat orang mencari makan. Sesungguhnya yang namanya planet bumi ini asalnya kering kontang. Allah turunkan hujan. Basahlah bumi. Air meresap ke dalam mencambahkan biji benih yang Allah kirimkan ke bumi. Lalu tumbuhlah segala pokok. Yang besar dan yang renek. Yang mencakar langit dan yang menjalar di bumi. Yang dimakan buahnya dan yang dimakan daunnya. Lalu datanglah haiwan yang menjadi makanan dan tunggangan. Menyatu antara manusia dengan alam sekitarnya. Keharmonian yang Allah ciptakan untuk kelangsungan hidup manusia di bumi.





Di Trafalgar Square saya menemui tuntutan itu. Harmoni antara makhluk. Mensyukuri nikmat hidup. Memaklumi tanda-tanda kebesaran Allah. Dalam dunia yang semakin ke hujungnya ini apa lagi yang masih tinggal. Jika tidak kenal kebesaran Allah tiada lagi harapan untuk kembali kepadaNya dengan selamat. Realitinya kita bukan burung. Bukan merpati. Kita manusia yang tanggungjawabnya besar. Kesempurnaan tanggungjawab itu ditagih jawapannya di sana nanti. InsyaAllah kita mendokongnya.

Monday, May 14, 2012

Mengarak Panji-Panji di Buckingham Palace

Di Barat banyak hal yang tidak eksklusif. Hatta istana presiden atau raja menjadi tempat popular kunjungan awam. Jadi sebahagian dari industri pelancongan. Jadi produknya. Di USA orang boleh masuk melawat White House di Washington. Di London orang hanya boleh berada di luar istana Buckingham. Tempat semayam Queen Elizabeth II bersama suaminya Putera Philip. Dilihat dari luar tiada apa yang istimewa tentang istana ini. Biasalah bangunan lama yang tersergam. Kawasan sekelilingnya lapang dan luas. Saya tidak tahu dalamnya. Mungkin penuh dengan segala kemewahan sebuah keluarga DiRaja. Segala kemungkinan gambaran kekayaan. Keluarga DiRaja Britain itu kaya dengan segala harta yang mungkin. Kemampuan berharta bukan ada halangan. Hari itu saya dan keluarga teringin sangat melihat sesuatu yang selalu diperkatakan orang. Melihat keunikan pertukaran pengawal di hadapan istana Queen itu. Lazimnya disebut The Changing of the Guards.

Istana batu yang kelihatan dengan kesuraman batunya. Tiada warna di luarnya. Tidak begitu menarik jika dipandang lama. Empat musim setiap tahun tidak memungkinkan untuk dicat selalu. Maka yang diserikan ialah dalamnya. Hiasan dalaman yang benar-benar English. Royalty pula. Bagi orang Barat pengisian dan hiasan dalaman itu lebih penting. Luar hanya kulit sementara. Walaupun dihias tiada bertahan lama. Yang di dalam itu kekal lama. Berzaman boleh diabadikan. Kekuatan dalaman itulah yang memberi ketahanan diluarnya. Fizikal semata-mata tidak memberi jaminan ketahanan. Rohani yang utuh merentas berbagai kepayahan. Bak bangunan ini ia megah merentasi musim demi musim. Istana itu tetap gagah mengusik rasa.

Pertukaran sif  bertugas bukanlah sesuatu yang istimewa. Di mana-mana berlaku. Secara kecil atau secara besar. Tetapi kadang-kadang peristiwa kecil boleh menjadi sesuatu yang berimpak besar.  Menjadikan kunjungan sesuatu yang menyegarkan. Menyemat di qalbu. Apalah istimewanya pengawal-pengawal yang berbaris keluar dan yang berbaris masuk. Sesuatu yang lumrah di mana-mana. Bukan di Istana Buckingham sahaja. Namun di London pertukaran pengawal menjadi produk pelancongan yang sangat bernilai tinggi. Sesuatu yang dianggap must see. Kebanggaan orang British. English khususnya. Setiap hari beribu-ribu pelancong bersesak-sesak melihat, menonton, merakam menikmati sesuatu yang dilihat indah. Worth your money. Terasa rugi jika tidak melihatnya dengan mata kepala sendiri. Suasananya, persekitarannya, wajah-wajah yang berbagai rupa. Warna-warni pakaian yang berkemilauan di musim bunga. Wajah-wajah spring yang ceria keluar dari kesuraman winter beberapa bulan sebelumnya. Spring menjadikan suasana bergemerlapan. Di istana lama ini hanya untuk melihat pengawal-pengawal bertukar giliran kerja. Tradisi yang sudah tidak lagi dipamer di mana-mana. Ia jadi vintage. Mungkin antik.

Mereka di atas kuda. Berpelana. Pakaian tradisi pahlawan silam. Kuning DiRaja. Derap kaki kuda. Pergerakan yang sistematik. Kelembutan gerakannya memukau. Lenggok kuda yang menarik. Harmini antara manusia dan haiwan tunggangan yang ada sejak dahulu kala. Kebanyakan kuda dari negar Arab. Kuda yang berjenis Stallion sangat popular sebagai kuda yang tidak terbilang tan gkasnya. Teringat pahlawan Islam yang bernama Khalid. Ingat Salahuddin al-Ayubi yang mengalahkan King Richard. Kuda adalah antara penjana kemenangan dalam mana-mana perang zaman itu.



Berbaris dan beriringan. Rangkaian warna kuning. Kuda yang berbulu gelap. Tidak lekang mata memandang. Gagah dan perkasa. Derap kaki kuda ada masanya gempita. Mungkin siaga. Ada masanya mengancam bunyinya.

Dalam kehidupan ini kadang-kadang kita terlalu menantikan yang besar. Seolah-olah yang besar itu bulat datangnya bergolek. Dinanti yang pipih datangnya melayang. Kehidupan istana yang canggih tidak menghalang berlangsungnya sesuatu yang tradisi. Cebisan budaya lama yang dikekalkan. Yang dijadikan produk pelancongan. Queen hanya figure untuk upacara dan majlis rasmi-rasmian. Namun begitu kehadiran Queen memberikan impak ekonomi kepada Britain atau United Kingdom (UK). Terasa rugi tidak melihatnya. Kepada pelancong, pertukaran pengawal yang sangat tradisi bukan mudah untuk ditonton. Pengawal-pengawal yang lengkap dengan regalia mereka. Kostum lama yang digilap baru. Pakaian pengawal zaman silam yang dikekalkan. Yang dipamerkan untuk menghidupkan zaman lampau. Bayangan yang sudah lama berlalu. Mereka berbaju kuning, hitam dan putih. Warna-warna gagah kepahlawanan. Night of the Round Table. Orang lama seperti saya biasa dengan cerita-cerita itu.


Berpusu-pusu pelancong dari seluruh dunia. Berkerumun di sekitar istana. Tidak kelihatanpun Queen. Yang ada hanya budaya dan keindahan tamadun mereka. Maju jauh ke dadapan sekalipun mereka tidak meninggalkan yang lama. Malah makin disinari dengan gemerlapan untuk dikongsi bersama dengan seluruh warga dunia. Manusia ini sama sahaja. Mereka ingin melihat sesuatu yang tiada di tempat mereka. Yang mereka ada kadang-kadang tidak diberi nilai. Tidak diletakkan di tempat yang tinggi. Benar kata pepetah Melayu, kuman di seberang laut nampak besarnya. Gajah di hadapan mata silau tidak dilihat.


Saya seperti menonton filem-filem klasik. Teringat saya tentang Spartacus, Cleoptra, Robin Hood dan banyak lagi. Warna warni. Pakaian dari kain tebal dan mungkin dari bulu haiwan atau gentian tiruan. Pada musim sejuk menampan rasa mencucuk yang mendesah dari udara luar. Hangat di dalam balutan pakaian tebal.

Kita tidak ada kenderaan tradisi begini. Yang selalu diingat zaman nenek moyang kita hanya berjalan kaki. Berkaki ayam. Haiwan tunggangan tiada untukk memudahkan pergerakan. Mungkin gajah yang gagah. Tetapi lanskap dan terrain negara kita tidak memungkinkan haiwan seperti kuda, unta, keldai dan baghal. Pergerakan jadi lambat. Tamadun juga tidak dapat dibina dengan kewajaran yang ada. Cara berfikir jadi lambat. Segalanya banyak merangkak.



Lagi kehebatan pakaian mereka. Kostum lama. Topi mereka berbagai warna.

Ramainya askar beruniform merah. Seluar gelap berjalur merah. Lihat topi mereka. Hitam, tinggi dan menancap ke atas. Nampak berat. Tetapi mungkin ringan kerana dibuat dari bulu. Asli atau tiruan.


Punyalah segak mereka. Saya dan anak ketiga saya tumpang sebelah. Mereka tak kisahpun. Yang di kanan tu koperal. Yang berbaju hitam konstabal biasa. Polis mereka. Rezeki saya yang Allah anugerahkan. Jejak kaki di sana. Melihat rupa bangsa mereka dari dekat. Pengalaman sekali seumur hidup. Jadilah ubat dan penawar. Ingatan juga yang kekal. Mengimbau selalu.


Kuda hitam. Ingat lagu Juliza Adzlizan sewaktu pertandaingan akhir Bintang RTM yang disertainya pada tahun 1984. Aduh lamanya.


Aduhai. Dengan seperti berat di kepala masih berjalan dengan gagah. Demi negaranya. Topi itu tinggi tetapi bukan untyk meninggi diri. Dahipun tidak kelihatan. Mata sahaja yang pasti cerah kerana sentiasa waspada dalam semua keadaan.


Saya ke Amerika Syarikat, saya melihat kampung-kampung tradisi yang mereka bangunkan untyk menjadi bukti sejarah mereka. Bukan di muzium. Bahkan kampung sebenar dan orang kampung sebenar. Lengkap berpakaian tradisi. Peralatan tradisi. Gaya hidup tradisi. Begitu juga saya lihat di Canada.  Yang lama tidak semuanya dibuang. Kecuali yang mendatangkan mudarat. Walaupun dulunya da kesan negatif ianya disejarahkan. Untuk dilihat dan difahami oleh generasai yang akan datang silih berganti. Memaluinya warganegara belajar menghindar yang tidak baik. Memupuk yang bermanfaat. Tiada dahulu pasti tiada sekarang. Kita banyak belajar dari sejarah. Dari jatuh bangun orang-orang dahulu. Rugilah jika mengatakan sejarah semata-mata hanaya masa lampau yang sudah tiada. Untuk apa diingat. Namun kita tidak boleh membuat kesilapan yang sama berulang-ulang. Tidak belajar dari sejarah namanya. Tidak kira sekecil mana sekalipun sejarah ada manfaatnya untuk diri sendiri, keluarga dan untuk negara.

Tolong jangan buang yang lama. Tolong jangan buang yang tua. Ibarat kelapa, yang tua banyak santannya. Dari yang tua itulah biji benih dicambahkan. Kelangsungan suatu generasi. Kemusiaan yang selalu lestari. Dimantapkan mengikut tahap kekuatan minda, rohani dan psikologi warganya. Memahami modal insan yang perlu dibangunkan. Yang dirancang peranan dan tanggungjawabnya. Memikul amanah bangsanya untuk masa hadapan generasi selepasnya. Membina bangsa yang beragama tentulah lebih besar keutamaannya. Banyak bangsa yang pupus tetapi agama Allah berterusan. Jika ada bangsa yang tidak lagi mampu memikul amanah Allah maka Allah gantikan dnegan bangsa lain. Begitulah fitrahnya kehidupan di muka bumi yang fana ini. InsyaAllah kita tidak membuang yang tua. Yang lama. Banyak cerita di sebaliknya. Cerita lama yang tiada pada yang muda.


Saya simpulkan segala-galanya sebagai spectacular. Awsome. Yang lama dan tua jika digilap dan dilihat dengan mata kasih pasti masih menyinar. Masih mengujakan. Menjadi luar biasa.

Monday, April 30, 2012

Tulisan Jawi Di Oxford Street


Suatu ketika dahulu tulisan Jawi dominan di Tanah Melayu. Semenanjung Malaysia. Selepas merdeka kita masih kental dengan tulisan Jawi. Sayangnya ada tokoh yang tidak sensitif dengan budaya bangsanya sendiri. Sekolah dan sistem pendidikan yang sewajarnya menyuburkan tulisan Jawi menjadi kekosongan dengan agenda Jawi. Ditamatkan peranannya sebagai penyampai komunuikasi. Jawi bukan lagi medium bahasa tulisan secara rasminya di Malaysia. Tulisan Jawi bukan lagi sebagai penting. Bukan lagi ikon tamadun bangsa yang telah dibina beratus tahun lamanya. Begitulah di Perlak. Di Masai. Di Kampar. Di Melaka. Kerananya hingga sekarang tulisan Jawi hanya suatu sejarah yang parah dan memeritkan untuk mengingatnya. Rasional yang tiada nilainya.

Sangat ironis seorang profesor dari Korea Selatan menangis kerana kesayuan yang terlalu menusuk hatinya. Bagaimana suatu bangsa membuang warisannya. Menyisih pesaka nenek moyangnya. Menyingkirkan nadi jiwa bangsanya sendiri. Melemparkan sejauhnya jatidiri bangsanya. Entiti bangsanya. Dilakukan dengan sedar tanpa silu. Peristiwa memilukan itu berlaku pada tahun-tahun 60an. Setelah 50 tahun berlalu seorang insan dari sebuah negara yang tiada kaitan dengan tulisan Jawi melihat intan dan cahaya padanya. Kita melihatnya sebagai kaca. Orang melihatnya sebagai intan. Dengan sinarnya yang memancar jauh. Memaut hati yang tertawan syahdu. Harganya yang mahal. Tersurat padanya ketinggian tamadun. Tersirat padanya tamadun yang  telah mendarah daging. Yang telah menghirup semangat suatu bangsa. Kalah dalam perjuangan diterima sebagai lumrah. Namun membuang suatu warisan tentulah tiada rasionalnya. Sedikit sasau. Telah berlaku kecelaruan identiti. Malangnya bangsa yang tidak mengenal bangsanya. Sebal yang mendalam. Mereka yang seusia saya amat mengetahui. Anak-anak muda galilah sejarah ini. Ada yang telah terhakis dari dirimu.

Sejarah telah mempersadakan bahawa Raffles telah menulis surat kepada Sultan Hussein Shah di Temasik (Singapura) dalam tulisan Jawi. Cair Sultan Hussein dibuatnya. Tulisan Jawi membuka ruang yang sangat luas kepada British bertapak di Temasaik bermula secara rasminya pada tahun 1819. .  Ulamak dahulu menulis dalam tulisan Jawi. Himpunan hadith Bahrul Madzi karangan Idris Marbawi dalam tulisan Jawi. Himpunan hadith ini ada di mana-mana perpustakaan di banyak negara Islam. Mereka menyangka tulisan itu tulisan Arab. Jawi yang menjadi tersohor. Begitulah juga kitab-kitab lama. Selain daripada itu hikayat-hikayat lama juga dalam tulisan Jawi. Hikayat Ahmad Muhammad. Terjemahan buku-buku detektif Arab seperti Rokumbul dari Mesir. Itu belum lagi syair Dandan Setia. Buku-buku pantun. Di selatan Thailand ulamak-ulamaknya menulis dalam tulisan Jawi. Semuanya itu masih dirujuk sebagai khazanah alam Melayu. Manuskrip-manuskrip lama ini masih banyak tersimpan di Barat khususnya di Britain.

Hari itu, Jun 1986 saya menelusuri Oxford Street di London. Kami berlapan, termasuk seorang teman yang belajar di London, window shopping dari sebuah kedai ke sebuah kedai yang lain di sepanjang jalan itu.  Sampai di sebuah kedai saya jadi terpempan, terpacak kaku. Terdiam, terkebil-kebil bagai mimpi yang sukar dipercayai. Melihat tulisan Jawi dalam sebuah almari pameran yang bercermin bersih. “Tolong jangan sentuh!”. Allahuakbar. Saya tidak tahu perasaan saya. Terkejut. Kagum. Aneh. Bagaimana orang putih boleh mempamerkannya di kedainya. Di sebuah kota besar yang bernama London. Kota besar yang gah di seluruh dunia. Nak tahu kedai apa? Pada tahun-tahun 80an bunga kaca sangat popular di kalangan orang Melayu. Antara yang ramai membelinya bukan siapa-siapa. Orang Melayu yang kaya tetapi tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Golongan ini ramai yang datang santai di London. Banyak duit dan rajin membelah jalan dan kedai untuk membeli produk kegilaan mereka. Bunga kaca antara yang menjadi kegilaan.

Cermin pameran itu bersih. Sukar untuk membersihkannya jika comot disentuh. Atau jika kotor. Tetapi mungkin sebagai tarikan. Dalam minda saya berserabut banyak soalan mengenai tulisan Jawi itu. Tahun 1986 bermakna sudah lebih 20 tahun tulisan itu dipadam dari tulisan rasmi di Malaysia. Ironisnya tulisan itu dipamerkan di Oxford Street. Bukan di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bukan di Geylang, Singapura. Bukan di Jakarta. Bukan di Bandar Brunei.  Bukan juga di Yala, Thailand. Di Oxford Street. Jalan yang mempersadakan kedai ternama The Harrods. Jalan yang seindahnya pusat bisness di London. Beribu-ribu kilometer jauhnya tulisan Jawi kita mengembara. Orang putih yang menjajah kita dahulu merasakan bahawa kita masih mengangkat tulisan Jawi setinggi yang mungkin. Berada dimercunya supaya dikaji, diamal dan dibudayakan oleh orang lain. Bangsa lain.  Mereka tidak tahu hal sebaliknya yang telah berlaku.

Semua bangsa yang berdaulat memiliki tulisan mereka sendiri. Orang Jepun tiada siapa yang menghina. Orang Korea tiada siapa yang meremeh. Begitu juga dengan orang Sepanyol, Italy, Germany, Greece, Russia. Banyak lagi negara lain yang memiliki tulisannya sendiri. Secara sinonimnya bangsa yang kehilangan tulisan menjadi lemah. Begitulah bangsa-bangsa di nusantara yang dilemahkan oleh penjajah-penjajah mereka. Hilang tulisan Kavi milik kita dahulu. Orang Jawa menulis kitab-kitab agama dalam bahasa Jawi menggunakan tulisan Jawi. Tulisan yang berbeza dengan tulisan Arab. Dibezakan dengan nga, ca, ga, nya dan pa. Ada padanya pengaruh Farsi. Iran sekarang. Tetapi ianya subur digunakan. Penjajah British tidak pernah mengganggunya. Mereka tidak mempersia-siakannya. Orang kita sendiri yang melakukannya. Setelah kita merdeka. Setelah memerintah sendiri. Mereka singkir sesuatu yang telah menjadi darah daging bangsa.

Orang putih tidak menjangka kita kehilangan entiti. Kehilangan jatidiri. Kehilangan nadi dan nyawa. Banyak faktor yang turut menyumbang ke arah jatuhnya diri. Jatuhnya rupa bangsa. Tulisan itu antara yang besar. Huruf Jawi antara yang menyayat. Yang perlu dipilukan. Yang sepatutnya  ditangisi. Tetapi malangnya kita tidak merasa apa-apa. Tidak merasa kehilangan. Tidak pernah merasa kekosongan dalam khazanah budaya.  Warisan yang begitu utuh dilepaskan dengan bersahaja. Tiada rasa bersalah. Tiada berhutang apa-apa. Hari itu di Oxford Street saya tercegat berdiri menerawang bangsa saya. Mengimbau generasi yang silih berganti. Negara dijajah kerana kekuatan politik mereka. Ekonomi dijajah kerana penguasaan angka-angka keuntungan. Minda kita dijajah kerana psikologi. Pendidikan memberikan kita ruang untuk diisi dengan yang semuanya barat. Tiada yang menyangka di luar kewarasan yang kita ada, kita tega membuang aset  warisan berharga tanpa dipaksa. Tanpa dijajah. Dengan senyum membuangnya. Tiada airmata yang mengalir.

Kembali kepada Profesor dari Korea yang panjang tangisnya. Kehairanan yang mendalam dalam mindanya kerana kepadanya mana mungkin sebuah bangsa besar yang bermaruah boleh membuang tulisannya yang penuh sejarah. Ia datang dari negara jauh di utara semata-mata ingin mengkaji Jawi. Saya pasti nanti natijahnya akan memedihkan untuk dibaca. Bagaimana kita membuang intan permata yang sangat mahal berharga. Kita gantikan dengan sesuatu yang baru. Tidak ada masalahnya menambah. Mengambil sebagai tambahan. Memperkayakan apa yang ada. Tetapi membuang sesuatu yang berharga terasa sangat merugikan. Malah jika difikirkan lama-lama terasa melemaskan. Menyesakkan dada. Mengapa dan mengapa. Di mana silapnya. Hati kita masih disalut penjajah mungkin. Atau kita telah menjadi alat penjajah. Telah memainkan drama yang skripnya dibuat oleh penjajah. Ada dalang-dalang yang tidak kelihatan di belakang tabir. Bayang-bayang yang tidak dikenal strukturnya.

Oxford Street yang menabur banyak keraguan masa hadapan bangsa. Saya antara anggotanya. Perlukaah saya menangis. Ada air mata tergenang. Berkaca. Sebak memanjang lama. Lebih 20 tahun terpendam.

Wednesday, April 25, 2012

Menjejak Kaki Di Kota London Yang Tidak Jejak Kakinya

Bagai mimpi yang diimpikan. Berjejak juga telapak kaki saya di bumi London. Tanah yang telah lama bermain di minda. Kota yag suatu masa dahulu menjadi pusat dunia. Semua berputar ke arahnya. Beredar ke arahnya.  Satu-satunya kota yang menjadi imbauan semua orang. Kota indah impian semua orang. Warga dunia dari tanah jajahan berpusu-pusu menerpa warnanya. Mendengar lagunya. Menghirup segar wangi hembusan udaranya. Suatu ketika dahulu London adalah segala-galanya. Kemilaunya mewarnai dunia. Segala-galanya berpusat di London. Begitulah tapak mulanya waktu yang berpusatkan di GMT – Greenwich Meridian Time. Greenwich disebut sebagai Greenic ikut bunyi Bahasa Malaysia. Semua jam di dunia berpandukan waktu GMT. Ke Timur dan ke Barat semuanya berpandukan waktu GMT ini. Hebat sungguh orang putih. Semua tamadun dunia beralih ke arahnya. Tiada siapa yang terkata hingga hari ini.

Lanskap London tidaklah surreal seperti New York. Dari udara  London seperti biasa sahaja. Tidak kelihatan istimewanya.  Tiada pencakar langit yang dikenal uniknya seperti Empire State Building di New York. Mercutanda di London dapat dinikmati dari bawah. Hanya yang rajin menyusur pasti melihatnya. Untuk mereka yang banyak meninjau. Yang banyak mendongak. Suasananya yang pasti berbeza. Kota fesyen. Kota Dunhill bagi yang merokok. Kota Jaguar dan Rolls Royce bagi yang gila terlalu tentang kereta. Kota yang menghunikan Queennya. Kota besar yang bercapah manusia yang menghuninya. Dari pelosok dunia mereka berhimpun untuk melukiskan warna-warna tamadun dan budaya mereka. Kota yang amat gah dengan namanya. Orang tua di kampung saya boleh menyebut namanya tetapi bunyinya agak berbeza. London kita sebut Landen. Orang kampung menyebut ikut ejaannya. London. Bukan Landen.

Menjejak kaki di London buat kali pertama tiada apa-apa impak pada saya. Malah hati saya sebal. Kecewa. Pengalaman yang langsung tidak indah. London tidak seperti yang saya indahkan dalam impian saya. Yang saya warnai dalam imej-imej yang saya bina. Terdapat jurang besar antara tamadun yang pernah saya temui. Yang pernah saya tatap dan teruja dengannya. Selera London bagi diri saya patah di Heathrow Airport. Pintu masuk agung dari udara. Semua pesawat dari seluruh dunia melayangkan tubuhnya mendarat di sini. Berbondong-bondonglah manusia yang berbagai warna. Berbagai bahasa yang dicelup dengan Inggeris. Berbagai agama yang diharmonikan untuk kemanusiaan. Berbagai budaya yang dikecilkan untuk memberi ruang budaya baru yang semangatnya berbeza.  Makan dan pakainya yang selalu berganti untuk selari dengan musim dan iklimnya. Tetapi Heahtrow Airport membekukan hati saya.

Biasalah bagi sesiapapun terasa kepenatan di dalam pesawat. Setelah letih duduk berjam-jam lamanya ingin pula ke ruang yang biasa. Mana lagi jika bukan ke bilik air. Ingat lagi rest room kata orang US. Di England saya kembali ke asal saya. Rest room yang indah di US bertukar menjadi Toilet di London. Sama seperti di Malaysia. Sama seperti di negara-negara Commonwealth yang lain. Kadang-kadang kita sepert tidak perasan bahawa nama adalah petunjuk kepada apa yang akan dilihat. Yang memberi impak sama ada positif atau negatif. Diamati. Dipandang. Ditinjau. Diberi erti. Benar, apa ada pada nama. Tetapi a name carries a lot of weight. Meanings. Perceptions. Connotations. Implicatons. Itulah yang menjebak perasaan saya di Heathrow Airport. Pintu masuk agung ke negara yang menjajah negara saya. Negara tuan. Negara kita bersama. Negara yang sudah merdeka tetapi telah parah dijajah sejak Portugis menjejak kaki pada 1509. Dalam dua tahun merancang mereka menang menjajah Melaka pada 1511. Silih berganti penjajah dari Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali kepada Inggeris pada tahun 1945. Setelah 434 tahun pada saat ini saya jejaki penjajah itu bermula dari di Heathrow Airport. Apakah gahnya suatu bangsa yang suatu waktu dulu berkeliling dunia menawan dengan psikologi dan diplomasinya. Dalam baik dan senyap mereka mengangkut semua khazanah yang bernilai dari seluruh tanah jajahannya. Tetapi hari ini di Heathrow Airport rasa hormat itu tidak datang kepda sara. Suatu  anti-climax. Pengajaran untuk diri saya. Saya kongsikan dengan pembaca.

Saya lintasi Jepun di Narita Airport. Saya huni bumi Uncle Sam selama bermusim-musim. Saya nikmati kebersihan dan kesegaran. Berganti musim yang datang dan pergi. Keindahan yang selalu dinanti. Expecting something better the next time around.  Rupanya tidak begitu di pintu masuk ke sebuah negara besar suatu ketika yang berlalu dahulu. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa keperitan jajahannya. Mereka membawa pulang kebobrokan dan ketidakupayaan warga jajahannya. Ketuaan yang berpenyakit. Meroyan dan rawan dengan rintihan kelesuannya yang tersendiri. Negara besar berstatus penjajah yang mereput dan lemah. Suatu tanda yang tidak besar tetapi impaknya sangat mengesankan.  Premis saya berpandukan kepada bilik air di Heathrow Airport yang selalu gah. Rupanya ada kegagalan budaya mengurusnya. Bilik air yang comot. Penuh dengan klorin di tandasnya. Kuning dan menjijikkan. Meloyakan. Baunya hanyir. Jika dikatakan tandas di lebuhraya di Malaysia adalah bersih, saya masih menyangkalnya. Standardnya belum mencapai apa yang terdapat di Jepun atau USA. Yang di Heathrow Airport mungkin saya katakan 10 anak tangga di bawah bilik air di R @ R lebuhraya PLUS.


Saya jadi terpempan. Tidak mungkin percaya saya berada di England. Di London. Di Heathrow Airport. Sedikit bersih dari tandas awam biasa di Malaysia. Yang selalunya kita menahan hidung. Menahan nafas. Yang kita selalu lemas berada di dalamnya. Hanya kerana suatu keperluan yang mendesak. Tanpanya dibayar sekalipun rasanya tidak mahu bertaruh nafas. Itulah bilik air.  Serta merta imej London yang saya bina dalam minda saya jatuh merudum berdentum-dentum ke jurang dalam di bawah. Tidak mungkin kota sehebat London gagal dan kecundang dek bilik airnya. Namun itulah hakikat yang mesti diterima. Dilihat mana silapnya. Rancang untuk memperbaikinya. Bina semula imej yang bakal payah naiknya nanti.

 Namanya begitu gah sekali. Rasa tidak percaya pada pengalaman pertama itu. Ketidakseimbangan yang tidak terpelihara. Keharmonian menjaga imej yang terlalai.



Islam mengagaskan bahawa kebersihan adalah sebahagian dari iman. Bersih itu terlalu besar nilainya. Terlalu tinggi. Tanda beriman. Petunjuk beriman. Ciri-ciri orang beriman. Acuannya begitu. Kebersihan yang sinonim dengan kesihatan. Dekat dengan kesejahteraan. Bunga-bunga akhlak yang baik. Kita sibuk dengan alam sekitar yang tidak seberapa. Jika kita mengikut ajaran agama tiada masalah dengan kebersihan. Saya kagum dengan orang Jepun dengan zero-defectnya. Langsung tidak mahu sebarang cacat cela. Walau sekecil mana sekalipun. Begitulah juga yang saya alami di US. Kebersihan adalah tanggungjawab semua warganya. Tanpa mengira agama, budaya, keturunan dan taraf pendidikannya. Tanpa mengira taraf sosial dan statusnya dalam masyarakat. Ada keseragaman dalam melihat yang hak. Yang benar. Yang global nilainya. Jika itu sebagai tanda aras menunjukan maju rasanya negara kita jauh lagi. Terlalu jauh di belakang. Warga kita masih tidak mengerti nilai dan harga kebersihan. Pihak yang berwajib kadang-kadang banyak melepas pandang. Tidak salah memberi perhatian kepada yang bergemerlapan tetapi sampah yang di bawah perlu diurus untuk kesejagatan manusia.  Yang di atas hilang nilainya jika sampah di bawah terlalu bersepah.
  

 Jenama kereta tersohor. Home of Jaguar cars. Jenama sebegitu jadi tercalar di lapaganterbang ini. Saya hanya mata yang melihat.


Nama besar seperti London tercemar kerana kebersihan. Itu adalah cermin yang dilihat oleh pengunjung yang berlabuh di London. Saya merisik kepada mereka yang berada di sana. Jawapannya juga menjengkelkan. Kepada orang British kekotoran yang ada semuanya diakibatkan oleh warga manusia yang pernah dijajahnya dahulu. Mereka menjajah semua fizikalnya. Mereka gagal merubah banyak perkara. Semua kebobrokan dan kegagalan itu ditimpakan kepada manusia yang telah dijajah. Yang dianggap remeh. Tidak penting. Yang buruk semuanya ditudingkan kepada orang lain. Yang baik untuk diri mereka sendiri. Manusia selalu lupa pada yang manis. Yang diingat hanya pahitnya sahaja. Masa melapangkan berfikir selalu terabai. Tanggungjawab mendidik juga dibahukan kepada orang lain. Ambil jalan mudah. Cuci tangan.

Begitulah hinanya mereka yang dijajah. Hina tarafnya. Lemah kualiti diri mereka. Tarafnya manusia kelas ketiga atau keempat.  Daif layanan yang diterima. Kadang-kadang yang dijajah memperlihatkan kelemahan mental dan usaha. Terlalu merendah hingga muka tidak langsung didongakkan. sekarang yang menjajah dan dijajah seiring bersama. Dongaklah. Merendah bukan lagi status yang perlu dikekalkan. Bangkit untuk membujuk semangat bahawa dijajah bukan bererti hilang maruah dan harga diri.
  

Hero-hero pilihan juga yang menghantar ke lapanganterbang. Orang-orang besar. Di sana biasa-biasa sahaja.
Setiap kali ada yang kembali ke tanah air pasti ada teman yang menghantar hingga ke lapanganterbang. Bezanya di Malaysia hanya menghantar di suatu ruang. Di sana boleh menghantar hingga ke pintu tempat berlepas ke kapalterbang. Kapalterbang bukan sesuatu yang ekskelusif seperti di sana.


Yang menghantar beberapa kereta. Bukan seorang dua. Anak beranak.



Di dalam kepalterbang. Ke London kami.

Airmata jarang keringnya. Sayu meninggalkan tempat bermain yang banyak kenang dan budinya. Teman-teman yang ditinggalkan. Bila sudah di Malaysia entah berjumpa lagi entah tidak. Yang pastinya ramai sudah tidak ditemui lagi. Masing-masing dengan haluan. Bila membuka album lama ini baru menerpa semula kenangan yang seperlunya diimbau.



Berpisah rupanya meningalkan kesayuan yang mendalam juga. Sesudah bersama seketika rapat dan akrab. Sesudah senang dan susah bersama berpisah juga bila tiba masanya. Tentu ada sendu di dalam.





 Selamat tinggal semuanya. Tanah Pittsburgh yang terpaksa ditinggalkan. Di sini sahaja pertemuan terakhir kita. InsyaAllah nanti berjumpa lagi. Harapan yang selalu tidak terpenuhi. Pertemuan dan perpisahan yang menjadi lumrah di mana-mana. Selamat tinggal Pittsburgh. Nafasku pernah hangat di sini. Kenangan itu abadi. untuk diulang-ulang melihat. Meneroka ke dalam diri. 




Friday, April 13, 2012

London – Kota Tuan Malaysia Dahulu Kala




Dulu dari Tokyo saya ingat saya meyeberang lautan Pasifik untuk sampai di USA. Sangkaan saya meleset. Sebenarnya saya terbang melalui angkasa Canada melalui Laut Bering di Russia. Melalui Alaska dan the great ice of Canada. Perjalanannya lebih pendek. Bila saya terbang ke London persepsi saya sama juga. Saya ingat saya menyeberang Lautan Atlantik. Meleset lagi. Rupanya saya menyusur berhampiran Kutub Utara melalui Newfoundland. (Bunyiya Niufuland). Sesudah bertahun lamanya saya lihat pada globe yang mengandungi peta dunia. Laluan pintas dari Jepun ke Amerika Syarikat dan laluan pnitas dari Amerika Syarikat ke Eropah ialah melalui persekitaran Kutub Utara. Kapalterbang selalu menggunakan laluan pintas. Lebih dekat. Lebih pantas. Lebih jimat. Penerbangan ke London lebih mudah kerana anak-anak sudah bertambah  usia. 18 bulan bertambah usia mereka. Sudah lebih berani memandang orang putih yang tinggi dan besar belaka. Cakap orang putih slang Amerika sudah biasa. Kami duduk berdekatan. Tidak banyak masalah. Kerana kami bertujuh maka bagasi kami banyak dan berat. Bapanyalah yang banyak berurusan. Alhamdulillah anak yang sulong dan kedua sudah boleh diharap. Ada pembantu. Isteri saya mengawal yang kecil-kecil.

Menaiki kapalterang kelas ekonomi seperti menaiki bas ekspress. Malah kadang-kadang tempat duduknya lebih rapat dan kurang selesa. Penerbangan yang berbelasa jam terpaksa diharungi. Sekejap makan sekejap tidur. Kami mengejar matahari. Ikut pusingan jam. Namun pergantian siang dan malam lebih cepat. Ini bermakna matahari jauh lebih pantas. Beratus kali ganda lebih cepat dari kapalterbang. Bila jaga ada hiburan. Mendengar muzik. Atau menonton. Ada cerita baru setiap masa. Saya tidak ingat kapaterbang syarikat apa yang saya naik. Mungkin Northwestern. Biasalah kapalterbang orang putih premugari dan pramgaranya sudah agak berumur. Mungkin 40an dan 50an tahun. Tetapi jalannya panats. Langkahnya panjang. Tidak ada yang diam terutamanya waktu makan. Rasanya seperti mereka tiada rehat. Sebab itu apabila mendarat mereka direhatkan selama mungkin antara tiga hari hingga dua minggu. Untuk memulihkan tenaga. Recuperate. Kesihatan mereka dijamin. Meraka nampak aktif. Latihan yang bertahun-tahun lamanya.

Bila teringat menaiki kapalterbang nostalgik juga. Dilayan as international traveller.

Your meal sir?

Mohammedan food please?

Sure. Here you are sir.

Thank you.

Tea or coffee sir?

Coffee please.
(Di rumah saya jarang minum kopi. Tetapi bila di hotel atau kapalterbang saya minta kopi.)

Sugar sir?

One please.
(Biasanya sepaket kecil. Jika di hotel seketul gula kiub. Saya suka kurang manis. Di US dulu saya minum tanpa gula. Kopinya lebih pekat lagi.)

Minta maaflah. Dalam kapalterbang tidak disuakan cream atau susu. Itu di Malaysia. International traveler tidak minta kebiasaan seperti di negara sendiri. Belajar dan mengalami. Bukan mudah dipanggil sir. Terbang anak beranak lagi. Tentu banyak besarnya. Must be somebody. Yes a nobody in my country. Ini yang kata orang study cum businss cum pleasure. Rezeki anak-anak. Dalam penerbangan begitu seronok melihat anak-anak enjoy the world. Mereka bergerak. Mereka makan dan minum. Mereka bergurau. Masih segar di depan mata. Saat kecil mereka yang penuh dengan keriangan. Duduk berbaris dari hujung ke hujung. Pramugari pula mengambil berat hal kanak-kanak. Layan dan senyum. Anak-anak senang dilayan.

Masa yang sudah terlalu lama berlalu. Perjalanan ke London itu sejarah besar. Tahun 2007/8 anak keenam saya ke Lancaster di utara England. Puas dia ulang alik di London. Tiap tahun dia balik ke Malaysia. Saya sengaja memilih untuk kembali ke Malaysia melalui London. Sebab ada peluang. Idaman sejak dari dahulu lagi.

Kota tuan penjajah dahulu.

Saya bersekolah Inggeris. Banyak sejarahnya saya baca. Dari Eusof Fables hinggalah Knight of the Round Table. Robin Hood. The Black Arrow. King Richard the Lion Haeart. Itu belum Lord Nelson yang mengalahkan Napoleon. Francis Drake yang belayar jauh melihat dunia. Selepas merdeka saya asih belajar sejarah Inggeris dan bukan sejarah agung bangsanya sendiri. Bukan kembali ke Melaka dan zaman kegemilangannya. Bukan menangisi rebahnya kota Melaka. Tiada papan di Jawa yang didirikan. Bercerailah nyawa. Tumbanglah harapan. Ranap sebuah tamadun. Lemah. Dijajah. Dimalapkan. Yang tinggal banrangkali kata-kata Hang Tuah, “Tidak Melayu Hilang Di Dunia.” Entahlah. Dunia mana agaknya.

Nama London sudah terlalu lama saya tahu. Berpuluh tahun saya tahu ejaannya. Bila ada peluang tentu sahaja saya jump at the idea. Teringat cerita orang mengenai Hyde Park. Big Ben. Tower Bridge. Buckingham Palace. Oxford Street. The Harrods. The River Thames. Princess Diana of course. The Queen for that matter. No 10 Downing Street. Castle. Parliament House. Wax Museum. Trafalgar Square. Masa yang ada tidak lama. Seminggu sahaja. Wang di poket sudah mula menipis. One last straw. London, I must you. Saya anak dari tanah jajahan British. 1974 Perjanjian Pangkor. Dari Perak Residen bertambah di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Negeri Johor an independent State. Hingga sekarang masih ada askar sendiri. Gelarannya Askar Timbalan Setia. 99 orang. Sultan sebagai komander. Menjadikan jumlahnya 100 orang. Tanda ia tidak pernah dijajah.

Walau bagaimanapun British menduduki Malaysia. Dari Johor ke Perlis dan Kelantan. Menyeberang Laut Cina Selatan ialah dua negeri di bawah East India Company. Sabah dan Sarawak. Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menjadi sebahagian dari Tanah Melayu hanya pada tahun 1909. Selepas Perjanjian Bangkok. Kehalusan diplomasi British. Cair Thailand dibuatnya. London yang bermula dengan Stanford Raffles di Temasik pada tahun 1819. Habis rantau ini menjadi milik orang Barat. Tidak ada satupun yang dilepas pandang. Kerana itu London menjadi tumpuan orang-orang dari bekas tanah jajahannya. Saya adalah antara mereka. Tahun 1986 itu saya jejaki London dalam suhu yang masih sejuk. Spring di hemispiar utara yang belum tamat. 11˚C. Masih seram-seram sejuk bila dipuput bayu.  Ada kegembiraan dan ada kejutan di London. Kota gah penjajah nombor satu dunia. Taringnya sudah lama terlerai. Kayanya terhakis. Gahnya layu. Kitaran alam. Fitrah yang tidak dapat dihindar.

Thursday, April 12, 2012

Mengapakah Agama Selalu Menjadi Ironis


Tahun lalu saya melihatnya. Maghrib tadi Rabu 11.4.2012 saya melihat yang lain pula. Natijahnya serupa. Tempat yang berbeza dan tarikhnya berbeza. Peristiwanya juga berbeza. Tetapi yang pasti hati saya tersayat. Ada yang tidak kena. Banyak tidak kenanya. Ramai orang yang tidak merasa apa-apa. Tahun 2011 saya menghadiri majlis pernikahan di sebuah surau di Batu Pahat. Kali keduanya di sebuah masjid di Bandar Baru Nilai. Kedua-duanya hal yang berkaitan dengan agama. Pelaksanaan acara agama. Kedua-duanya wajib dalam kehidupan manusia. Pernikahan untuk yang hidup. Keduanya adalah pengurusan jenazah untuk yang mati. Masjid seperti sudah tidak memberi erti. Apatah lagi surau. Dalam ingin menyempurnakan suatu syariat, syariat yang lebih besar dilanggar. Ramai orang tidak dapat membezakan antara rumah manusia dengan rumah Allah.

Adalah digalakkan bahawa pernikahan dijalankan di rumah Allah. Banyak rahmat dan barakahnya. Agenda Islam ini semakin subur kerana kesedaran terhadap agama yang semakin kuat. Namun begitu banyak aspek yang terabai. Tidak dilihat dari segi hukum hakamnya. Tidak diberi pertimbangan yang sewajarnya. Majlis yang menagih redha Allah dicemari. Majlis yang menagih pahala Allah tidak diberi nilai agama. Banyak sangat melebihkan adat. Dalam agama uruf adalah sebahagian penting urusan agama asalkan tidak bercanggah dengan syariat. Dalam majlis-majlis agama mutakhir ini orang selalu sibuk dengan media. Media cetak atau elektronik. Paling banyak ialah kamera. Tidak ada salahnya menggunakan teknologi dalam majlis agama. Masa sudah berubah. Bukan teknologinya sahaja yang berubah. Kita sudah semakin tidak boleh lekang dengan teknologi. Kamera adalah alat mengabadikan sesuatu peristiwa secara pegun. At a point of time. Namun pengendalinya adalah manusia.

Tidak menutup aurat dalam rumah Allah? Bukan dongeng. Bukan rekaan. Itu adalah realiti. Kenapa pula? Yang dimaksudkan ialah camerawomen yang professional ataupun yang amature. Novice mungkin. Mereka adalah teman pengantin. Saudara pengantin. Mungkin yang disewa khas perkhidmatannya untuk majlis itu. Mereka tidak bertudung. Baju mereka berlengan pendek. Singkat lagi. Lengannya terlalu besar. Bila diangkat telus dari kanan ke kiri. Plunging neckline pula. Atau berbaju ketat dan singkat. Seluar jean ketat. Jauh di bawah pusat. Bila menunduk atau mencangkung pasti nampak alur belakang. Nampak alur depan. Mereka bergerak bebas di sebelah lelaki. Jemaah rumah Allah itu. Sebelah orang tua-tua. Adab? Sopan? Agama dan budaya bertingkah. Adat resam mendominan agama. Keutamaan yang songsang. Anyaman dan adunan yang celaru. Di mana kita sebenarnya dalam hal ini. Didikan ada. Praktikalnya yang selalu diabaikan. Kayu ukurnya tidak diambilkira. ISO untuk agama selalu dibiarkan tumpul sendiri. Anak-anak muda tidak mencari yang hak. Tidak diberitahu yang hak. Tidak dibawa kepada yang hak. Orang dewasa kecundang dalam arus yang tidak dimengerti. Anjakan paradigma yang mengarah ke kiri. Ke arah negatif.

Lalu acara dan agenda agama menjadi celaru. Tidak diketahui yang benar. Yang hak. Majlis pernikahan yang syahdu menjadi cair nilai agamanya. Itulah yang dilihat. Entahlah, tidak diketahui  apa yang terpahat. Takut-takut banyak yang tergugat. Garis panduan dari penganjur tidak ada. Peringatan tidak ada. Nasihat tidak ada. Majlis-majlis di rumah Allah seharusnya menghormati Allah. Menghormati RasulNya. Menghormati agama. Menghormati imam. Menghormati jurunikah. Menghormati orang tua-tua yang tercongok terkebil-kebil menahan sesak nafas. Maaflah mereka jangan dianggap boneka yang hanya senyum abadi. Hati mereka sakit terkena bisa adab yang tidak sampai. Sopan yang tidak menjadi. Tertib yang tidak tersusun. Guballah garispanduan semasa berada di rumah Allah. Masuk dengan tahiyyatul masjid sebanyak dua rakaat. Solat berjemaah bila masuk waktunya. Jaga akhlak. Orang tua berkeliling majlis. Meeka menjadi hakim dan pengadil akan beres tidaknya majlis itu. Mereka yang nampak cacat celanya.

Episod kedua ini juga menyayat hati saya. Saya solat Maghrib. Kelihatan ramai orang. Di parkir berderet-deret kereta. Saya fikir itu jemaah yang biasa. Iqamah sudah hampir dilaungkan. Mengapa pula ramai wanita tercegat di sana sini? Tidakkah mereka solat di ruang yang disediakan? Kelihatan sekujur jenazah di tepian dewan masjid. Dikelilingi oleh ramai wanita. Saudara mara agaknya. Tidak berganjak walaupun ruang masjid sudah mula penuh. Selepas solat saya dapati benar. Sangkaan saya benar. Ketakutan saya benar. Rupanya wanita yang ada, ramai yang tidak solat Maghrib. Bagaimana terjadi begitu? Solat itu wajib. Solat itu fardhu ain. Tiada ganti. Tiada dalih kecuali yang uzur syar’ie. Tetapi tidak mungkin terlalu ramai yang uzur. Yang berusia emas tidak mungkin uzur lagi. Sudah menopause. Tidak solat. Tidak solat. Tiang agama yang tumbang. Rapuh dan patah. Bila tiang itu gagal menajdi tempat bergantung maka punahlah agama.

Status jenazah tidak pula diketahui. Tidak mungkin sudah disolatkan sebelum Maghrib. Jika sudah mengapa masih di masjid. Bila pula proses mengkebumikannya. Selepas solat Maghrib tidak pula dibawa ke dalam masjid. Tiada persediaan untuk solat. Sayang. Jemaah ramai. Lebih 40 orang. Sayang dan sayang. Ada kelebihan pada angka 40 itu. Baik untuk si mati. Bila ada jenazah maka ada dua urusan. Urusan untuk yang hidup dan urusan untuk yang mati. Dua urusan yang berbeza. Kedua-duanya wajib belaka. Yang hidup wajib terus menegakkan agama. Melakukan yang diperintah dan menjauhi yang dilarang. Yang mati wajib segera diuruskan. Jangan tergantung masa terlalu lama. Mungkin si mati ingin segera menemui Allah. Ia mungkin sudah terlalu rindu. Kenapa dilambat-lambatkan. Kasihan dia.

Dalam urusan seperti itu kena ada juara di kalangan keluarga. Pada suatu ketika urus yang hidup dan urus yang mati. Apabila persiapan yang mati telah ke penghujungnya pantau pula yang hidup. Ambil iktibar bahawa seorang ahli keluarga sudah pergi. Yang tinggal jangan abaikan agama. Jangan rtingankan ibadat. Siapa tidak sedih. Tetapi mengiringi perginya dengan ibadat adalah lebih baik dari hanya meratap. Lebih baik dari menderaikan air mata sahaja. Urusan hidup tidak akan habis sehingga nyawa bercerai dari badan. Yang hidup wajib uruskan jenazah hingga liang lahadnya terkambus. Yang mati tinggal untuk memulakan alam  barunya. Alam barzahnya. Mudah-mudahan baik untuknya. Yang hidup kembali untuk meneruskan hidupnya. Untuk terus mengabdikan dirinya kepada Allah. Mensyukuri nikmatnya. Berdoa mengharap redhaNya. RahmatNya. BarakahNya.

Orang perempuan Islam Melayu di Malaysia tidak ramai yang solat jenazah. Solat jenazah bukan hak mutlak orang lelaki sahaja. Lelaki mati. Perempuan juga mati. Jika sewaktu mengerjakan haji dan umrah semua orang solat jenazah mengapa apabila kembali ke Malaysia tidak pula melakukannya. Rugi dan rugi. Itulah penghormatan terakhir untuk si mati. Hadiah paling besar untuknya. Untuk dibawa ke alam barzah yang lamanya tidak dapat dijangka. Di luar keupayaan mengira. Marilah sama-sama kita semarakkan agama. Buat yang mudah dan praktikal. Saudara kita mati. Jiran kita mati. Rakan kita mati. Orang-orang di sekeliling kita mati. Solatkan mereka sebelum orang lain solatkan kita nanti. InsyaAllah. Kita bersama menjalankan ibadat orang. Mudah-mudahan Allah mudahkan orang menyumbang ibadat untuk jenazah kita nanti. Semoga usia yang berbaki dalam redha Allah. Dirahmati. Diberi barakah. Amin.