Tuesday, May 15, 2012

Trafalgar Square dan Beburung Merpati Yang Jinak-Jinak di Tangan


Andainya ada ruang di sini untuk memungkinkan merpati jinak di tangan. Dalam kesibikan manusia mengejar dunia meeka tidak melupakan alam dan persekitarannya. Berkongsi dengan penghuni alam yang lain. Mereka dijinakkan. Mereka menjinak kerana kebiasaan yang sangat biasa. berkongsi ruang yang sama.


Jinak-jinak merpati. Makan di tangan. Ditangkap jangan. Bukan larangan. Cuma sia-sia. Terlalu sukar menangkapnya. Di negara sendiri saya tidak ada kesempatan bersama merpati. Tiada tempat merpati bebas bermesra dengan manusia. Kita tidak memberi ruang untuknya. Ada yang membelanya tetapi bilangannya terlalu sedikit. Di luar negara banyak tempat untuk bersama merpati. Memberi makan apa yang ada. Ditabur dan diserak. Berkawan-kawan merpati itu datang. Datang dan datang. Warna yang berbagai tetapi tiada yang berwarna garang. Ada putih. Ada hitam. Ada biru. Ada cokelat. Mungkin campuran hijau. Ada yang berkombinasi antara warna-warna itu. Jinak-jinak belaka. Hinggap di kepala. Di lengan dan di bahu. Tidak ada yang takut. Bukan liar. Namun ditangkap sukar jua. Jinak-jinak merpati. Alangkah elok jika wanita begitu. Tentu tidak ramai yang dicemari tangan-tangan berdosa. Tetap suci. Tetap anggun. Tetap terpelihara. Terbangnya siang sahaja. Hinggapnya merata-rata tetapi sukar ditangkap orang. Bebas dan selalu bebas. Unggas tetap ke sarang bila datang malam.



Tiada kanak-kanak di Malaysia yang dibiasakan dengan burung. Semuanya seperti tabu. Anak keempat saya keliru dengan keadaan. Hanya burung yang jinak. Kanak-kanak Melayu yang selalu segan denga keadaan. Alhamdulillah besarnya berjaya sebagai wanita berkerjaya. Mencari tapak kejayaan dalam hidup.


Lama saya di situ. Hati saya terbang bersama burung-burung itu. Deramnya bergema kerana banyaknya. Kerana seronoknya makan percuma dari tangan-tangan manusia. Alangkah jika manusia diberi pilihan untuk menerima segalanya dengan percuma. Hanya perlu terbang dan hinggap. Makanan tersedia. Tetapi tidak. Manusia dengan futrahnya. Perlu berusaha. Mencari. Memadan dan mengukur kecukupannya. Belajar dan berkemahiran untuk kegunaan yang selari dengan kehendak. Akalnya digunapakai untuk mencari jalan terbaik bagi faedahnya dirinya. Di samping itu bertanggungjawab pula mengenai orang-orang, tumbuhan dan haiwan yang ada di sekelilingnya. Kitaran yang tidak boleh terputus. Yang mesti dilestarikan. Yang mesti diperpanjang. Yang mesti diperkasakan. Kesejagatan manusia yang mesti terpelihara.



Menara tinggi yang selalunya ada di kota-kota besar. Ada simbol Yahudi seperti yang selalu disebut. Nelson seorang wira. Tiangnya yang dipacak tinggi sebagai lambang kejayaannya. Itu yang dilihat secara fizikal. Pada psikologinya itulah keangkuhan bangsa yang mencacak egonya.


Trafalgar Square di tengah kesibukan kota London. Di tengahnya tertegak Nelson Column. Tiang yang disandarkan kepada Lord Nelson. Panglima perang British yang menewaskan Napoleon Bonaparte. Usaha Nepoleon menawan Britain gagal. Dua kali ia mencuba. Nelson mengalahkannya. Satu di Trafalgar dan keduanya di Waterloo. Napoleon yang gagah itu gagal. Kerana itu Nelson diabadikan jasanya. Trafalgar Square itu selalu mengingatkan sejarahnya. Tugunya juga ada di situ. Ingat merpati putih? Selalu dilambangkan kepada kemerdekaan. Kebebasan bernegara. Menjadi warganegara. Berdaulat. Dataran-dataran sepertinya banyak di barat. Trafalgar Square antara yang signifikan. Kawasannya luas. Di sekelilingnya berselirat jalanraya utama di London. Bunyi burung merpati dan deru engin kereta berselang-seli membising. Bunyi kereta yang membingit. Bunyi merpati yang serasi dengan alam. Kesejagatannya melampaui benua dan negara. Merpati tetap merpati.


Apalah seorang bapa. Anak-anaknya adalah permatanya. Pengalaman kebersamaan ini sukar dilupakan. Mereka merentas benua bersama saya. Alam luas yang terbentang sebagai pengalaman hidup. Seusia mereka banyak yang berbekas di hati. Selalu diingat lama. Singa di belakang saya adalah lambang kegagahan Britain walaupun pada dasarnya tiada singa yang hidup di britain. Kita semua tahu singa hanya ada di Afrika dan India. Mungkin lambang hanya lambang. Kekuatan dalaman sebuah kedaulatan.


Orang barat mengenang wira mereka. Ditunjukkan kepada generasai terkemudian dari mereka. Sejarahnya diabadikan. Tidak pula dimanipulasi. Bukan untuk ditokok tambah hingga bukan lagi hilang nilai sejarahnya. Dokumen mereka autentik. Dataran mereka real. Tugu mereka benar. Catatan-catatan mereka benar. Semuanya dibebaskan dari sandaran politik. Sejarah itu untuk iktibar. Untuk wawasan. Untuk merencanakan masa hadapan yang lebih wajar. Begitulah Trafalgar Square menjadi gah. Bukan Nelson wiranya. Medannya yang diabadikan. Wiranya hanya satu figura. Ia memenangkan negaranya. Akhirnya negara yang diberi keutamaan. Bukan wiranya. Tanggungjawab warganegara untuk menggemilangkan negaranya. Negaranya hanyalah tanahair dan hutan belantara. Gunung-ganang dan padang rumput. Warganya yang memanfaatkan segala sumber yang ada untuk maslahah manusia. Bukan untuk prutnya sendiri. Bukan untuk perut yang diketahuinya. Tetapi untuk sesiapa sahaja yang mahu. Yang menghendakinya. Yang memerlukannnya. Untuk sama-sama mencicip bahagian masing-masing mengikut kewajarannya.


Patung Nelson terlalu tinggi untuk dirakam bersama. Di ruang ini jauh sedikit dari pusat kesibukan burung merpati. Jinaknya tetap sama.


Sejarah Britain berwarna warni. Sejarahnya berperang dengan Perancis bukan hanya Napoleon dan Nelson sahaja. Lama sebelum itu kedua negara sentiasa tidak boleh bertentang mata. Banyak perang yang tidak decisive. Menang atau kalah di laut sahaja. Tanah jajahan tidak diperolehi. Namun impaknya besar. Walaupun Britain tidak menakluki Perancis ia berjaya menakluki sebahagian besar negara-negara di bumi ini. Seluruh Amerika Utara menjadi milik Britain. Begitu juga Afrika yang besar itu dijajahinya. Termasuk juga India dan Australia. Dalam kegagahannya itu Lord Nelson bukanlah individu yang disanjung tinggi melangit. Sebagai komander perang itu tanggungjawabnya. Menang atau kalah bergantung kepada strategi dan persekitarannya. Logistik memainkan peranan penting. Begitu juga latihan dan taktik berperang. Kelebihan itu yang dimiliki askar British. Dalam sejarahnya Perancis gagal menggugatnya. German gagal berbuat apa-apa. Yang gagal akhirnya ialah sistem hidup mereka. Falsafah meeka. Gaya hidup mereka. Sistem yang tidak ditebat dengan syariah selalu gagal. Sekarang mereka mencari alternatif. Ramai yang mengakui benarnya sistem Islam. Lestari dan benar sepanjang zaman. Itulah janji dan jaminan Allah.


Bangunan kukuh di belakang sana sudah ratusan tahun. Nampak daya tahannya dimamah zaman. Musim berganti dengan kitaran suhu dan panas sejuknya. Lambang tamadun yang utuh.


Kenapa merpati di Trafalgar Square tersangatlah jinaknya. Makan di tapak tangan sangat biasa kepada mereka. Manusia yang berada d situ bukan  untuk digeruni. Bahkan untuk dipaksa memberi makan.   Dijadikan sasaran untuk dihinggapi. Begitu dekatnya kita dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Kebiasaan menjadikan merpati-merpati itu menjinakkan diri. Tiada merpati yang disakiti. Tiada yang dizalimi. Tiada yang kelaparan. Masing-masing dilayan. Dimaniskan dengan kamanusiaan yang tiada batasan. Seumur hidup saya belum pernah mengalaminya. Merpati di Trafalgar Square itu menggamit saya untuk bersantai bersama mereka. Menerbangi angkasa London. Menghirup uradanya. Melintasi sejarahnya. Mengujakan diri untuk mengambil apa yang baik. Titipan pengajaran untuk anak cucu. Untuk genersai saya yang kemudian.


Pengunjung yang seorang ini sengaja melebihkan jinaknya burung merpati. Lihatlah. Merpati itu ada di bahagian atas badannya. Baik di kepala. Baik di bahunya. Di sekeliling kakinya bjuga berkerumun merpati itu mencari ruang untu mendekatinya. Rahsianya bukan apa-apa. Makanan yang sengaja ditabur di seluruh badannya.


Manusia yang bernama pelancong tidak henti mengunjungi square itu. Terasa aman berada di situ. Burung yang beribu-ribu banyaknya terlalu jinak untuk diajak bersama. Makannya yang terkedek-kedek. Jalannya yang berlenggok-lenggok. Patuknya yang tanpa henti. Kenyangnya entah bila. Tangan-tangan yang dihayun dan dipanjangkan menabur segala makanan yang enak bagi mereka. Boleh dibeli di sekeliling dataran itu. Dataran yang mengenang seorang wira menjadi produk pelancongan. Memberi impak ekonomi. Tempat orang mencari makan. Sesungguhnya yang namanya planet bumi ini asalnya kering kontang. Allah turunkan hujan. Basahlah bumi. Air meresap ke dalam mencambahkan biji benih yang Allah kirimkan ke bumi. Lalu tumbuhlah segala pokok. Yang besar dan yang renek. Yang mencakar langit dan yang menjalar di bumi. Yang dimakan buahnya dan yang dimakan daunnya. Lalu datanglah haiwan yang menjadi makanan dan tunggangan. Menyatu antara manusia dengan alam sekitarnya. Keharmonian yang Allah ciptakan untuk kelangsungan hidup manusia di bumi.





Di Trafalgar Square saya menemui tuntutan itu. Harmoni antara makhluk. Mensyukuri nikmat hidup. Memaklumi tanda-tanda kebesaran Allah. Dalam dunia yang semakin ke hujungnya ini apa lagi yang masih tinggal. Jika tidak kenal kebesaran Allah tiada lagi harapan untuk kembali kepadaNya dengan selamat. Realitinya kita bukan burung. Bukan merpati. Kita manusia yang tanggungjawabnya besar. Kesempurnaan tanggungjawab itu ditagih jawapannya di sana nanti. InsyaAllah kita mendokongnya.

No comments:

Post a Comment