Saturday, March 19, 2011

Menyewa, Penyewa Yang Bayar


Ada sesuatu yang mengikat dalam sistem maklumat warganegara Amerika. Kita yang datang bertandangpun dikaitkan dengan sistem itu. Di US bekalan elektrik didaftarkan atas nama penyewa. Begitu juga telefon. Juga cable TV. Tuan rumah hanya menyewakan premisnya sahaja. Rumah memang fully furnished. Tetapi sesuai dengan yang asas sahaja. Bukan perabot mewah. Selainnya untuk menghidupkan rumah itu terpulang kepada penyewa. Boleh duduk atau tidak penyewa yang kena berusaha. Sejuk atau panas, penyewa kena ambil tahu.

Sekali imbas sukar juga hendak menyewa rumah di sana. Jika di Malaysia ada tuan rumah seperti  itu mungkin rumahnya tidak ada yang sudi menyewa sampai kiamat. Banyak pilihan lain. Lain halnya di US. Undang-undang tentang sewa rumah dan kaedah penyewaannya memberi tanggungjawab kepada penyewa untuk menguruskannya sendiri. Tuan rumah mungkin membantu sekadar menghubungi pembekal. Butiran diri yang diberikan ialah butiran diri penyewa. Apa-apa bayaran tertanggung ke atas penyewa. Pemilik rumah tiada apa-apa hubungan dengan bekalan elektrik, telefon atau cable TV.

Jika diteliti dalam-dalam barulah boleh dimengerti. Di Malaysia, kes penyewa tidak membayar bil elektrik, dan teleon rasanya berbillion ringgit nilainya. Tuan rumah gigit jari. TEN dan Telekom tidak pernah rugi. Tuan rumah yang akhirnya membayar. Rela atau terpaksa. Bayar tetap bayar. Undang-undangnya begitu. Pemilik rumah selalu menjadi mangsa. Entahlah. Di  Malaysia pemilih harta selalu tekena. Penyewa lepas bebas dari apa-apa isu. Kadang-kadang takut untuk menyewakan rumah atau premis bangunan. Terkena banyak kali mana boleh tahan.

Dalam kes di US apabila seseorang ingin mendapatkan bekalan elektrik atau telefon atau cable TV maka satu search dibuat ke pusat maklumat mengenai kedudukan pemohon. Mungkin ada bil elektrik yang belum dibayar dua tahun dahulu di rumah yang beralamat di Iowa. Sekarang dia hendak menyewa di Pittsburgh. Permohonannya tidak diproses kecuali dia membayar terlebih dahulu bil yang tertunggak sejak dua tahun dahulu. Bila diperundangkan begitu, tiada penyewa yang dapat melarikan diri dari tanggungjawab. Di mana sahaja dia berada di US, sistem itu mengikat mereka. Akhirnya tiada siapa yang engkar dari membayar bil-bil yang didaftarkan atas namanya.  Bil tertunggak  itu mengejarnya ke mana sahaja dia pergi selagi dia berada di bumi yang namanya Amerika. Mungkin di Hawaii yang jauh di Lautan Pasifik. Mungkin juga di Alaska yang jauh berhampiran Kutub Utara. Sistem maklumat itu kekal hidup.

Oleh yang demikian pemilik harta di US tidak pernah bimbang. Sekiranya sewa rumahnya tidak dibayar dia boleh melaporkannya   dan sudah pasti penyewa itu disenarai hitam dan dihalang dari membuat transaksi tentang sewa menyewa rumah atau bangunan pada masa hadapan. Perkara  itu diselesaikan secara perundangan. Rasanya elok perkara itu dilaksanakan di Malaysia supaya orang Islam sendiri terumatanya terhindar dari menanggung hutang yang berjela-jela panjangnya. Atau sengaja lupa tentang hutangnya. Atau menghindar dari membayarnya.

System maklumat kita hanya berkaitan dengan status kredit kita dengan sistem kewangan. Bila kita hendak meminjam barulah dilihat sistem. Bila kita hendak membeli kereta barulah dilihat sistem yang ada.  Sudah sampaki masanya sistem seperti itu dilaksanakan di sini. Ramai yang akan setuju kecuali mereka yang pernah melarikan diri dari menjelaskan bil-bilnya yang terdahulu.   Banyak masalah hutang piutang dapat diselesaikan. Sistem kewangan negara menjadi lebih mantap. Peniaga tidak banyak masalah.

Tidak salah kita meniru amalan yang baik. Ia banyak memberikan manfaat kepada kesejahteraan ekonomi. Kesejahteraan masyarakat.  Keyakinan  sosial pasti meningkat. Keadilan ekonomi dan sosial dimantapkan.

Tuesday, March 15, 2011

Jualan Gudang - Warehouse Sale



Kerap juga saya pergi ke jualan gudang di Malaysia. Sebagaimana biasa lokasinya ialah di premis pasaraya besar itu sendiri.  Harganya mungkin didiskaun hingga 70%. Ada beberapa barang diskaunnya hingga 80%. Namun begitu tawaran-tawaran diskaun itu tidak menyeluruh. Walaupun dinyatakan bahawa diskaun secara store wide, realitinya tidak. Banyak barang yang dilabelkan sebagai new arrival. Tiada diskaun untuknya. Terkebil-kebil mata keran melihat cantiknya. Jarang berlaku jualan gudang yang benar-benar memang di gudang lokasinya. Cara berniaga di Malaysia tidak sama dengan Di US atau Canada. Atau di England yang terkenal dengan Harrodsnya di Oxford Street, London.

Mula-mula saya mendengar istilah warehouse sale semacam ada kegilaan di kalangan pelajar Malaysia dan pasangan mereka. Saya banyak memerhati. Banyak mendengar. Banyak mendiamkan diri dahulu. Setelah beberapa kali disebut-sebut akhirnya bertanyalah juga saya. Ingin mengetahui lebih lanjut. Lebih lengkap. Lebih pasti. Jualan gudang memang diadakan di gudang. Diskaunnya hingga 90%. Semua barang yang ada di gudang itu dijual dengan diskaun. Tiada yang terkecuali. Dari yang mahal hingga yang paling murah. Termasuklah perabot, pinggan mangkuk, peralatan melancong dan banyak lagi barang yang ada di gudang itu.

Dari cerita-cerita itu terliur juga saya dan isteri. Tergoda juga dengan cerita murah. Cerita banyaknya pilihan. Cerita kegilaan orang lain. Maaflah. Pelajar di US seperti banyak duit. Sebenarnya banyak barang yang murah. Kami beli sewaktu diskaun. Diskaunnya pula seperti tidak masuk akal. Saya membeli seunit beg sandang. Materialnya tebal dan kukuh. Cuma USD9.90. Kira-kira RM26.00 sahaja. Setelah kembali ke rumah saya belek-belek tanda harganya yang asal. Terkejut saya kerana beg itu harganya USD249.90. Jika ditukar menjadi ringgit nilainya sekira-kira RM654.74. Diskaunnya sebanyak 96%. Tentu orang kata gila jika di Malaysia. Setelah 26 tahun, beg itu masih baik. Masih tahan.

Bila ada jualan  gudang ramailah orang Malaysia yang turut serta meramaikannya. Beli mana yang berkenan. Kumpul barang yang hendak dibawa pulang nanti. Oleh-oleh kerana lama di rantau orang. Satu dua hadiah kena hulur juga kepada sanak saudara. Ramai isteri-isteri yang membeli pinggan mangkuk. Jenama kegilaan ketika itu ialah Noritake. Pinggan Jepun yang jika rajin meninjau di Sogo KL harganya mencecah belasan ribu ringgit untuk set lapan orang. Dalam jualan gudang di US harganya mungkin tidak sampai USD100.  Atau RM260 sahaja.

Paling suka saya beli ialah tuala mandi. Jika di pasaraya harganya antara USD39 hingga USD59. Mengikut saiznya. Besar atau kecil. Digudang harganya antara USD3.90 hingga USD5.90. Diskaun sebanyak 90%. Saya ada strategi membeli tuala banyak-banyak. Pertamanya memang untuk mandi manda. Sampai sekarang masih ada lagi. Keduanya untuk alas membungkus pinggan mangkuk. Alhamdulillah tidak ada yang pecah dalam kapal atau lori. Selamat dari pintu ke pintu. Lagipun saya alas juga dengan diapers anak bongsu saya. Beli banyak-banyak diapers untuk dibawa balik ke Malasyia. Berguna untuk mengalas dan mengampu barang-barang yang mudah pecah. Pinggan mangkuk, gelas, bingkai gambar dan kristal. Cerita tuala ini sangat nostalgik bagi saya. Tualanya besar. Cotton rich. Seronok disentuhkan di kulit. Lembut. Menyerap air. Namun tidak kesemuanya dibuat di US. Ada yang dari Germany. Ada dari Brazil. Yang penting memenuhi piawaian US. Kualiti dan standardnya terpelihara.

Satu lagi yang selalu dikejar orang Malaysia ialah barang-barang perak. Ada yang tulen dan ada yang silver-plated. Yang tulenpun masih sangat murah. Yang silver-plated lagilah murah. Sebenarnya ramai orang Malaysia berbelanja di gudang setiap bulan kerana jualannya secara bulanan. Jika tidak membeli bulan ini boleh tunggu bulan hadapan. Tidak ada masalah. Begitulah dari bulan ke bulan kami merancangkan pembelian. Merancangkan perbelanjaan. Merancangkan bajet. Cukupkan duit yang ada. Duit gaji di Malaysia simpan di bank. Hanya, hanya jika perlu sahaja minta dikirimkan ke US.  Jadi hakikatnya bukanlah pelajar Malaysia suka berbelanja besar. Nilai barang yang dibeli memang tinggi. Mahal. Tetapi dibeli sewaktu diskaunnya banyak. Sewaktu murah. Sanagat murah. Samalah juga ada pelajar Malaysia yang memiliki kereta. Kami tidak hairan kerana kereta terpakai yang mereka beli paling mahal USD500. Sekitar RM1,350 sahaja. Minyak pula cukup murah di sana.

Tidaklah semua barang yang dijual di gudang perlu dibeli. Pilih mana yanag sesuai. Tidak besar saiznya. Tidak sukar dibawa. Harganya menasabah. Cukuplah seada-adanya. Boleh dibawa pulang. Ada kualiti. Boleh dipakai lama. Lazimnya pada hari Jumaat saya membeli akhbar Pittsburgh Times. Melalui akhbar itulah saya membaca iklan jika ada jualan gudang. Berita itu selalu juga disebarkan kepada rakan-rakan yang lain. Pada pagi Sabtu ramailah antara kami yang menuju ke gudang berkenaan. Ada dua gudang yang menjadi tumpuan. Kaufmann atau Hornes. Dua gedung besar di Pittsburgh. Jualan gudangnya setiap bulan. Barang-barangnya berkualiti belaka. Puas mata memandang. Tidak puas tangan membeli. Bagaimanapun tetap alah membeli dan menang memakai.

Pakaian tidak ada jualan gudang. Sale diadakan digedung-gedung perniagaan di tengah bandar atau di mall-mall. Mall ini pula jauhnya sejam perjalanan dari bandar. Kira-kira 45 hingga 60 kilometer jauhnya.  Sama juga seperti di gudang baju kemeja dijual dengan harga USD9.90. Jenamanya Arrow,  Van Heausen, Givency, Pierre Cardin, Yves St Lauren dan banyak lagi. Sudah lama. Banyak yang lupa. Saya memang suka baju kemeja. Banyak juga yang menjadi pilihan saya. Masih ada baki-bakinya tetapi sudah tidak selesa dipakai. Saiz badan sudah berubah.

Yang masih diingat ialah peristiwanya. Kenangannya. Keseronokan kerana terlibat. Mengalami sendiri kegilaan shopping di gudang. Begitulah hidup di perantauan. Kadang-kadang sukar diulang pengalaman yang sama. Setengahnya memang tidak ada di sini. Cukuplah bagi yang mengalami. Sekadar untuk dikongsi. Manfaatnya mungkin tidak ada. Hanya maklumat. Info sepintas lalu. Mungkin menjentik ingatan bagi mereka yang ada pengalaman serupa.

Saturday, March 12, 2011

I Have Small Kids


Jika kita hanya membaca berita, banyak fakta yang tidak tepat. Hatta media elektronik sekalipun sukar difahami. Gambar dan imej yang sepatutnya memberikan fakta dan kebenaran juga sukar dimengerti. Begitulah tentang Amerika. Secara umumnya orang melihat Amerika itu jahat. Banyak tindak tanduknya yang menyakitkan hati. Apatah lagi egonya sebagai polis dunia. Ada sahaja negara orang lain yang dianggap tidak betul. Negara orang lain dianggap sebagai sarang pengganas. Orang lain semuanya pengganas. Semjua dianggap ekstrimis. Fundamentalis. Dialah juara. Pengaman dunia. Benarkah realitinya begitu? Adakah orang Amerika itu super race? Bangsa yang terpilih – the chosen one? Seperti manusia lain di negara lain, orang Amerika itu adalah manusia biasa. Cacat celanya banyak. Never perfect.

Imej luarnya sahaja dilihat gagah. Menggerunkan. Itulah maksud persona. Hanya topeng-topeng yang menyembunyikan kebobrokan di dalam. Sebenarnya semua bangsa begitu. Hiasan mukanya sahaja yang nampak cantik. Bila berada di luar negara diperlihatkan yang indah-indah belaka.  Di negaranya sendiri rakyatnya menderita tidak terkata. Hendak berkatapun terlalu banyak pitanya. Suara tidak kedengaran. Sekatan lepas sekatan. Yang dilihat hanya igauan-igauan ngeri. Muka yang berkerut. Kening yang herot. Gigi yang diketap kejap. Membakar jiwa dan raganya. Luluh  hatinya. Remuk redamnya. Seperti di Amerika, rakyatnya belum terlepas dari konsep hamba yang telah dihapuskan oleh Abraham Lincoln dahulu. Yang gah adalah politiknya. Dasar luarnya. Di dalam negaranya ramai rakyatnya yang daif.

Ramai antara mereka tidak memiliki rumah sebagai keperluan asas. Mereka menjadi manusia jalanan – street people. Hidup secukup makan. Tidur di mana-mana ada sampah. Jadilah mereka sampah masyarakat. kadang-kadang dipanggil bum. Ramai yang mati bila winter. Sejuk yang membunuh kerana mereka tiada tempat perlindungan. Sesuatu yang sangat ironis. Real paradox. Kaya tetapi ada rakyatnya yang miskin. Yang papa. Yang kedana. Gelandangan tidak menentu. Itulah dunia kapitalis. Condong untuk kaya tanpa memperdulikan golongan yang memerlukan. Jika tidak kembali kepada Islam, itulah yang akhirnya akan terjadi. Bacalah sejarah bagaimana dalam zaman terkini negara seperti Greece boleh muflis. Bagaimana Iceland boleh muflis. Itu di Eropah. Dalam tahun 2010. Dalam abad ke-2. Bukan dongeng. Bukan fitnah. Bukan fiction. It is real. Memungkinkan ianya berlaku kepada negara lain yang sombong dan enggan kembali kepada Islam. Sistem apapun yang diamalkan terlalu banyak cacat celanya. Itulah kesombongan manusia. Selalu berpaling dari jalan lurus pimpinan Allah.

Namun dalam kezaliman hidup yang melampau di Amerika itu rakyatnya secara individu masih ramai yang tinggi darjat manusiawinya. Mereka sukakan kanak-kanak. Cuma tidak suka memelihara anak. Namun begitu banyak perkara yang disandarkan kepada kanak-kanak. Sewaktu saya hendak menduduki rumah sewa saya, saya memohon bekalan elektrik, telefon dan cable TV. Semua itu dipohon oleh orang yang hendak menyewa rumah. Bukan dipohon oleh tuan rumah. Telefon dan cable TV merupakan aksesori. Tetapi elektrik adalah necessity. Semua permohonan di atas cukup hanya dengan telefon sahaja. Langsung tidak perlu pergi ke pejabat. Tidak perlu mengisi borang. Tidak perlu beratur panjang. Nanti bilnya juga dibayar melalui pos. No stamp needed. Everything paid for. What a life. Bagaimana hidup boleh jadi semudah itu? Jawapannya senang juga. Mereka sudah ada sistem pusat. Semua maklumat boleh diakses di situ. Sebut nama, sebut nombor pengenalan semua maklumat peribadi ada di situ. Lari ke manapun boleh dikesan. Muncullah di mana. Tinggallah di mana. Sistem yang sedia ada dapat mengesan. Kita belum sampai ke tahap itu. Lama lagi agaknya. 50 tahun lagi mungkin. Itupun jika sikap kita betul ke arah itu.

Melalui telefon saya memohon bekalan elektrik.
Hello. I’m moving to this address. I need electricity. When can I get it?”
Ok sir. Your particulars please.” Jenuhlah saya memberikan nama. Siap dengan ejaannya sekali. Nombor pengenalan saya. Di sana dipanggil social security number. Bukan nombor kad pengenalan. Diberi oleh Imegresen. Alamat rumah dan nombor telefon. Bila siap saya menerima jawapan rutin.
Thank you sir. We’ll fix it tomorrow.”
Pardon me. I need it now. I’ve small kids you know.”
Ok then. I’ll do whatever I can.”
“Thank you very much.”
Sejam dua kemudian pastinya bekalan elektrik akan disambung. With immediate effect. Sebabnya? Because of small kids. Begitulah mulianya kemanusiaan mereka. Apapun tidak akan dilewatkan. Tidak dilengah-lengahkan. Jika dan jika berlaku mudarat kepada kanak-kanak kecil, jenuh nanti naik turun mahkamah. Ibu bapa boleh menuntut pampasan yang jumlahnya berjuta ringgit. Pampasan kerana mengabaikan kebajikan kanak-kanak. Tiada siapa yang berani mengambuil risiko itu di US.

Di Heathrow Airport, London saya dan keluarga mendapat penghormatan yang hampir serupa. Saya bimbang bagasi yang kami bawa melewati berat yang dibenarkan. Seorang hanya 30kg. Tujuh orang banyak juga. Tetapi barang yang kami bawa melepasi timbangan itu. Oleh itu banyak beg sandang yang kami elakkan dari ditimbang. Takut sangat melebihi yang dibenarkan. Sewaktu check-in petugas menggesa kami meletakkan semua  beg sandang yang kami bawa. Timbangan yang menyekat sudah tidak diambilkira lagi. Semuanya kerana kanak-kanak. Begitulah tamadun yang berbeza. Di negara maju kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua selalu mendapat keutamaan. Jika kita amati itu sebenarnya falsafah dan prinsip Islam. Adab Islam. Kanak-kanak, wanita dan orang tua adalah mereka yang perlu diberi keutamaan. Yang perlu dilindungi. Yang perlu dibantu. Di negara kita tamadunnya belum terbentuk. Tenggelam timbul. Penghormatan kepada kanak-kanak, wanita dan orang tua selalu tidak terlaksana. Hanya dalam pilihanraya sahaja bibit kemanusiaan itu tinggi tahapnya. Pada waktu lain semuanya ranap ke bumi. Entahlah, pendidikan masih gagal mengangkat martabat bangsa.

Bekalan air tidak pernah putus. Air adalah keperluan asas yang sangat asas di sana. Walaupun rumah tidak disewa, bekalan air tetap ada. Air kosnya sangat murah. Real bare necessity.  Elektrik juga keperluan asas tetapi ada nilai yang berbeza. Rumah yang tidak berpenghuni mungkin boleh berlaku kebakaran. Litar pintas yang tidak dapat dikesan. Sebab itu bekalannya diputuskan apabila penghuninya meninggalkan rumah sewa itu. Atau ketika berpindah ke tempat lain. Elektrik bukan sahaja untuk menerangi. Bukan sahaja untuk sumber hiburan. Ianya asas penting untuk menghidupkan alat pemanas dalam musim winter. Tanpa alat pemanas itu tiada manusia yang boleh duduk dalam kesejukan. Kanak-kanak yang ketahanan dirinya sangat rendah besar kemungkinannya mudah mati.

Barangkali kita ke arah itu. Dalam program sekarang ini kita menekankan modal insan. Cuma kita harapkan ianya dilaksanakan secara menyeluruh. Seluruh aspek kemanusiaan. Memanifestasikan yang terunggul. Mendepani yang sempurna. Menlingkari semua yang perlu diketengahkan. Langsung mencari yang terpahat di hati. Yang mendambakan kesempurnaan jua. Di US, kanak-kanak diberi layanan istimewa. Kehadirannya ditatang bagai minyak yang penuh. Tetapi itulah manusia. Banyak ronanya. Banyak ragamnya. Banyak karenahnya. Dalam pada sayangkan anak dan kanak-kanak itu, ramai juga yang hilang pertimbangan. Penderaan anak di mana-mana. Pembunuhan di mana-mana. Penghamilan kanak-kanak ada di mana-mana. Pada satu pihak mereka memuliakan kanak-kanak. Pada pihak yang lain kanak-kanak tidak ada nilai manusianya. Diperlakukan tanpa harga.

Masyarakat dunia sudah lari dari landasannya. Dalam mengejar kemajuan dan kehebatan, masih ramai yang terdampar di perlimbangan. Masih bergelumang dengan keaiban. Masih tidak dapat lari dari kejahilan melampau. Benih-benih yang dilambak merata-rata. Janin-janin yang dibuang sesuka-suka. Bayi-bayi yang dihurung melata-lata. Kanak-kanak yang dicampak tanpa ada harga. Nilai kemanusiaan sudah tidak ada. Beringatlah. Kita semua akan kembali kepadaNya.

Friday, March 11, 2011

Mind Your Language


Suatu ketika dahulu ditayangkan sebuah program TV dari United Kingdom (UK). Tajuknya seperti di atas  Mind Your Language. Siri tersebut mengisahkan sebuah kelas Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Bila latarbelakangnya adalah UK maka bahasa kedua bermakna untuk orang asing. Mereka mungkin pemastautin tetap atau mereka yang bermukim sementara di sana. Pemastautin tetap sebenarnya adalah migrant yang datang berpindah dari negara luar. Lazimnya mereka adalah penduduk dari negara-negara yang pernah dijajah oleh UK. Kebanyakan  negara-negara itu berada di Asia dan  di Afrika.

Kelas dalam siri itu lucu dan hilarious. Ada sahaja yang menyebabkan penonton jadi ketawa. Semuanya kerana kekeliruan untuk memahami bahasa bukan dengan cara yang betul mengikut budaya pengguna bahasa itu. Mereka yang bukan penutur jati tentu sahaja mengalami berbagai kesukaran menguasai bahasa itu. Sesuatu yang baru dan asing. Perkataan yang senang jadi susah. Perkataan yang tertentu tersalah erti. Salah tanggap. Salah konsep. Oleh kerana mereka semua adalah pelajar maka kesalahan itu dimaafkan. Dalam keadaan biasa tentulah ungkapan-ungkapan yang sebegitu dianggap  sensitif.  Tetapi tidak dalam siri Mind Your Language.

Supervisornya seorang andalusia. Orang putih. Sudah lama mendara. Masih mencari yang sesuai di hati. Mr. Brown selalu menjadi perhatian. Gurunya bujang teruna. Trang tang tang. Handsome pula. Pelajar-pelajarnya kur semangat. Bermacam-macam bangsa. Ada Jepun. Ada India. Ada Pakistan. Ada Itali. Ada Sepanyol. Ada Cina.  Beberapa bangsa yang lain. Bangsa yang saya maksudkan ialah warganegara sesuatu negara. Mereka mempelajari Bahasa Inggeris di negara bahasa itu. Kebetulan gurunya orang berbudaya tempatan. Memang cukup kemas kepenguruannya. Malangnya pelajarnya orang yang baru mempelajari budaya itu. Baru dengan bahasa itu. Maka berlakulah pertembungan budaya. Tetapi garapannya  santai, ringan dan melucukan. Seorang teman yang belajar di UK akhirnya berkahwin dengan seorang teman pelajar spertinya di kelas seperti Mind Your Language itu.

Bahasa Inggeris dimaklumi bahawa ejaan perkataan-perkataannya agak sukar. Huruf lain, bunyinya lain. Sebutan pula banyak ilmu nauhunya. Jika belajar dari guru yang alang kepalang akan banyak kesilapan yang berlaku. Itu belum lagi cerita bahasa Inggeris Amerika, Banyak ejaan yang sudah diubah. Cuba disesuaikan dengan lidah mereka. Mempelajari bahasa Inggeris dari orang Inggeris tentulah lebih menepati. Pelajar-pelajarnya sahaja yang tunggang langgang cuba memahaminya. Ada sahaja yang tersalah sebut. Tersalah ungkapan. Tersalah maksud. Budaya masing-masing pula bertentangan. Watak orang dari India dan Pakistan selalu digambarkan bercakaran sentiasa. Ada sahaja yang tidak kena.

Kembali kepada isteri saya. Sampai sahaja di sana mulalah dia tercari-cari kelas bahasa Inggeris. Kebetulan di University of Pittsburgh dikendalikan kelas English As A Second Language For Foreign Students’ Spouses. Bahasa Inggeris sebagai  bahasa kedua untuk pasangan pelajar asing. Isteri saya boleh berbahasa Inggeris. Cukup makan. Walaupun ramai isteri pelajar Malaysia di sana tidak ramai yang berminat mengikuti kelas bahasa Inggeris itu. Mungkin sibuk dengan hal sendiri. Seingat saya kelasanya diadakan di Cathedral of Learning. Di tingkat 34. Saya selalu berseloroh dengan isteri saya. Saya yang melanjutkan pelajaran kelasnya di bangunan yang rendah. Dia di bangunan paling tinggi di kampus. Rupanya pasangan pelajar-pelajar asing lebih diberi layanan mesra. Tempat mereka lebih istimewa.

Universiti di sana memikirkan bahawa tentu pasangan yang mengikut suami atau isteri berasa jemu di rumah. Suami atau isteri belajar. Pasangannya perlu mengisi masa. Maka mendaftarlah isteri saya. Dalam kelasnya itu memang benar-benar antarabangsa. Rakan-rakannya dari seluruh dunia. Ada yang boleh berbahasa Inggeris sedikit-sedikit. Tetapi ramai yang memang langsung tidak tahu walau sedikitpun. Ada dari Jepun. Republik Cina. Korea. Indonesia. India. Pakistan. Iran. Syria. Lebnon. Itali. Brazil. Afrika. Peru. Turki. Dan banyak lagi. Gurunya terdiri dari mereka yang berpengalaman. Memahami kehendak dan apa yang tersirat di hati pelajar. Apa sahaja yang digagapkan pelajar dapat diinterpretasi. Dia membantu membetulkan sebutan. Memilih perkataan yang sesuai. Memandu bercakap dengan intonasi yang betul belajar membaca dan menulis. Membuat ayat dan cerita. Dalam waktu yang singkat sahaja pelajar-pelajar boleh memahami apa yang mereka pelajari.

Buka teks disediakan secara percuma. Mungkin ada pertubuhan yang membiayanya. Bukan satu. Ada dua atau tiga. Tebal-tebal belaka. Isinya bukan untuk beginners. Topik yang dibincangkan mencakup tentang politik, Presiden Reagan (ketika itu), kad kredit, ekonomi dunia. Bukan calang-calang topik yang dibincangkan. Itu belum cerita agama. Cerita budaya. Bila datang Christmas maka bercertitalah dia tentangnya. Memberitahu mereka yang beragama lain. Yang berbudaya lain. Bila datang Thanksgiving berceritalah tentang pilgrim father. Tentang Mayflower. 1964 yang membawa orang Irish mendarat di Boston, Masachusettes. Kenapa ada hidangan turkey (ayam belanda). Bila sampai haloween berceritalah tentang treat or trick. Guru bercakap tanpa sekatan. Tiada apa yang sensitif. Semuanya disampaikan sekadar makluman. Cerita. Maklumat. Mungkin dalam hatinya ada sedikit dakwah. Itu hatinya. Yang zahirnya pelajar-pejar itu mempelajari budaya Amerika. 

Jenuh juga saya membantu isteri saya. Saya sendiri bukan faham sangat dengan kad kredit. Membacalah bagai nak gila. Memberikan apa yang saya faham kepada isteri saya. Rajinnya ke kelas. Bila dia tiada saya menjaga anak-anak. Tiap semester saya tidak gagal meraikan sijil yang diterimanya. Sifatnya kekal hingga sekarang. Masih teruja untuk  belajar lagi. Saya sentiasa menanti dengan penuh debar perancangan masa hadapannya. dari tahap ke tahap terus memanjat. Semangat kepada anak cucunya. Tidak terikut setengahnya. Tidak kurang yang tertanya memanjang. Belum habis  belajar lagi ke? Rajinnya. Senang sahaja jawabnya. Saya mencari. Hasilnya saya kongsikan kepada pelajar-pelajar saya. Maksudnya pelajar-pelajar al-Quran yang mengikuti kelas-kelasnya.

Bila balik ke rumah ada sahaja cerita lucu rakan-rakannya di kelas. Al-maklumlah kali pertama mendengar sesuatu perkataan. Banyak berpintal dengan huruf “r”. Yang paling sukar mungkin membiasakan ungkapan-ungkapan yang biasa kepada masyarakat berbahasa Inggeris. Ungkapan, “You know what?” tidak ramai memahaminya sehingga beberapa ketika. Ungkapan itu mudah tetapi maksudnya merujuk kepada sesuatu peristiwa yang mengejutkan. Bayangkan apabila disebut, “You know what today I eat rice!” Sesuatu yang mendebarkan rupanya anti-climax.    Hanya kerana gagal menghayati semangat bahasa itu.

Bersama kita di Malaysia ramai pelajar asing. Apa yang kita buat kepada pasangan mereka? Sepatutnya ada program-program seperti itu. Ajar mereka bahasa Malaysia. Budaya Malaysia. Adat istiadat Malaysia. Biar kesemuanya lekat di hati mereka. Mudah-mudahan ia menjadi dakwah. Yang pandai tinggal kekal menjadi pemastautin tetap. Yang kaya berurusniaga di sini. Biar datang rasa sayang mereka kepada kita. Itulah nilai tambah yang sepatutnya mereka dapat. Yang sepatutnya mereka bawa pulang. Yang sepatutnya mereka simpan sebagai ingatan kuat tentang Malaysia. Sayang jika kita tidak memikirkannya. Suatu peluang yang bukan datang selalu. Mungkin bagi setiap mereka hanya sekali seumur hidup. Apa nanti yang dibawa pulang oleh pasangan-pasangan yang berada di Malaysia  bertahun-tahun lamanya.

Isteri saya mendaftar selama tiga semester. Tiap hujung semester dia mendapat sijil. Masih ada sampai sekarang. Bila ada majlis penyampaian sijil semua pasangan dan anak-anak mereka diraikan sama. Riuh rendahlah majlis itu. Anak-anak berkeriau di sana sini. Macam-macam bangsa ada. Meriah. Santai. Ceria dan mesra. Suasana dan iklim yang dibina ialah untuk mewujudkan pleasant stay. Di negara orang tidak semestinya selalu rindu ke kampung jika sudah dibina rangkaian sahabat handai baru yang bermacam-macam pula rupa dan budayanya. Mengenali diri masing-masing yang memang berlainan. Yang memang berbeza. Kenal hati budi. Mengerti ada sebab Allah menjadikan manusia berlainan ciri dan karekternya. Watak-watak manusia yang terpencar dari Adam dan Hawa. Sesungguhnya mereka dari sumber yang satu. Allah menciptakan manusia supaya mereka mengerti antara satu sama lain. Kembali kepada fitrah kejadiannya. Lalu mensyukuri wujudnya. Berbakti kepada Yang Khaliq. Kita tetap hamba selamnya.

Wednesday, March 9, 2011

Alangkah Lidah Lagi Tergigit


Apa khabar mereka yang baru mendirikan rumahtangga? Barangkali masih dalam berbulan madu. Nikmatilah saat-saat itu kerana mungkin hanya sekali seumur hidup. Jarang orang mengulanginya. Jarang-jarang atau kadang-kadang seperti kata P Ramlee. Mungkin ada yang sudah menimang anak. Cahaya mata kekasih hati. Pengarang jantung. Memang bercahaya sewaktu kecilnya. Setiap kembali dari kerja si comel itu dahulu yang menjadi keutamaan. Yang lain nanti dahulu. Bila sudah puas mengulitinya baru teringat banyak lagi chores yang kena buat. Mudah-mudahan pasangan hidup masing-masing menjadai pasangan yang profesional. Dijauhkan dari pasangan yang dominan. Perintah sahaja maunya. Ada sahaja suruhnya. Kalaulah, kalaulah dapat yang memang professional, hidup tentu lebih banyak bernafas dari sesak selalu. Lebih banyak lega dari kepayahan memanjang.

Cuba ingat kembali sebelum membuat keputusan untuk berumahtanga dahulu. Kenapa nekad untuk menamatkan zaman bujang? Apa sebenarnya yang dijangka dari ikatan bersuami isteri? Is it physical. Or  just follow the trend? Atau lumrah yang datang dari dalam diri. Meronta-ronta minta diisi. Perlukan kehadiran seseorang untuk mendamaikan rasa. Untuk segera didampingi. Untuk disayangi. Untuk dimengerti mintanya. Untuk diketahui kehendaknya. Untuk dikongsi senang dan susahnya. Untuk hati dan perasaan menerawang. Scanning around. Akhirnya hinggap hati pada seseorang. Rasanya ada keserasian. Very compatible. Are you sure? Positive? Benarkah itu pilihan terbaik berbanding pilihan-pilihan lain yang banyak di luar sana?

Begitulah kata hati? Dari mata turun ke hati. Terpaut dengan yang ditunjukkan. Terikat dengan kesesuaiannya. Terasa damai. Aman rasanya di dalam sanubari. Gejolaknya selalu. Berdebar bila bertemu. Rindu mencengkam bila berjauhan. Sms tidak mendamaikan. Telefon berjam-jam tidak boleh menghilang rindu. Bertemu selalu tidak puas mengungkapo  rasa cinta. Tatapan tidak pernah mengudang jemu. Mendamaikan mata. Nasib baik tidak perlu menulis surat cinta lagi. Menukilkan bait-bait curahan hati yang berjela-jela panjangnya. Mungkin dikarang sepanjang malam. Setitik dua air mata membasahinya. Tanda rindu yang bukan kepalang. Dihantar dengan wangian terhidu. Semerbak membawa rindu dari orang jauh. Allah akbar. Rindunya hati ini.

Setelah berumahtangga adakah situasi itu masih ada? Adakah  rindu itu masih membara? Adakah  berjauhan itu memberi rasa rindu? Mudah-mudahan rasa itu masih kuat. Masih kejap. Masih agung. Bak Laila dengan Majnunnya. Bak Romeo dengan Julietnya. Bak Uda dengan Daranya. Bak Zulaika dengan Yusufnya. Itulah sebenarnya yang didoakan sepanjang masa. Itulah yang dihasrat setiap detik. Itulah yang dihajat memanjang masa. Sampai ketua yang kuat mendokong cinta. Yang menebar sayang berpanjangan. Berkongsi kehidupan yang penuh bahagia. Tentunya teori sahaja tidak menyerlahkan manifestasi agung. Yang praktikalnya itu yang dicari. Prosedur kehidupan berdua yang dihajatkan panjangnya. Hingga ke akhir zaman citanya. Senang dan susahnya yang dihadap bersama. Synergy dua orang kekasih yang bersedia mengorbankan apa sahaja demi cinta abadi. Demi kasih ke hujung dunia.

Banyak olahan hidup yang perlu dihadapi. Dalam pengamatan dan pengalaman, pasangan hidup kita  bukan orang yang cirinya sama dengan kita. Cantik itu bukan ukuran. Kadang-kadang bukan isu. Susuk tubuh juga mungkin bukan tarikan. Kelayakan akademik bukan juga dihitung panjang. Kemahiran bukan carian. Dalam banyak hal yang dicari ialah ketenangan. Hanya yang dapat memberi sinar ketenangan itulah yang paling mendamaikan. Kasih sayang yang dapat diadun itulah yang membahagiakan. Pengertian yang terlalu sedikit tetapi pada hakikatnya itulah yang paling payah diterima.  Paling payah diberi. Paling payah dimengerti. Paling payah dicari-cari.

Tidak ada orang yang boleh memahami orang lain sepenuhnya. 100%. Tidak mungkin. Setiap kita tetap ada perbezaan. Ada yang ketara. Ada yang tersembunyi. Lihatlah keliling. Pasangan yang berkekalan lama memiliki ciri-ciri yang bertentangan. Yang seorang becok yang seorang lagi pendiam. Yang seorang ganas yang seorang lembut. Yang seorang panas baran yang seorang banyak sabarnya. Tidak mungkin ada pasangan yang cirinya sama. Hidup mereka akan menjadi sangat menjemukan. Jika dua-dua becok tentu banyak perangnya. Jika dua-dua panas baran tentu selalu meletup gunung berapi. Allah mentukan fitrahnya begitu. Yang berlawanan itu yang serasi. Yang sama sukar hidupnya. Bak besi berani unlike pole attracts. Like pole repels.

Oleh kerana manusia memang berbeza ada dua persepri yang dapat kita bina. Menerima atau menolak. Jika keputusan ini diambil sebelum berumahtangga maka terhindarlah jangkaan pergeseran yang mungkin berlaku. Terelak dari berperanag dengan psangan. Tidak timbul kesulitan. Belum masuk dalam alam yang nanti memayahkan. Bagaimana jika sudah berumahtangga? Tentu tidak mungkin mengundur ke belakang? Waktu tidak boleh diputar kembali. This is crucial. You have to move forward. Never abstain either. Menjadi tanggungjawab untuk menegakkan haluan bersama. Biduk di laut pastinya beroleng. Arus air kadang-kadang deras juga. Boleh mengubah haluan. Apatah lagi ombak besar. Apatah lagi ribut kuat yang melanda. Jurumudi kenalah mereka yang kuat pegangnya. Yang kuat berdirinya. Yang kuat semangatnya. Yang jauh pandangannya. Yang pandai menyerap pengalaman.

Biasalah pasangan berselisih pengertian. Yang satu berkeras dengan pendapatnya. Apakah yang penting sebenarnya dalam sebuah perkongsian hidup? Menegakkan pendapat atau berkongsi pendapat? Jika tidak diamati ia membarah. Luka yang semakin melebar. Parah berdarah. Alangkah baik jika pasangan melihat persamaan. Lihatlah persamaan. Lihatlah yang sedikit itu. Yang tidak kelihatan sekalipun. Belajar meropong jauh supaya dikenal ma’rifat untuk mencari hakikat. Perbezaan hanya persepsi. Apa bezanya antara besar dengan kecil? Boleh diserasikan dengan ruang. Boleh diserasikan dengan keadaan. Perbezaan-perbezaan yang terlalu ditonjolkan tentu menghiris hati. Meracuni kasih sayang yang sudah terbina.

Tidak semua orang ada kekuatan untuk menghadapi perbezaan. Yang diharap dahulu ialah kebahagiaan. Kedamaian. Tidak ada siapa yang tahu formulanya. Yang tahu sifirnya. Yang tahu jalannya. Yang pasti tidak ada jalan pintas. Tidak ada formula yang teruji. Masing-masing mengalami eksperimen yang berlainan. Kerangka kasar sahaja yang boleh dipelajari. Hakikatnya ialah semua pasangan perlu banyak belajar. Keserasian perlu dibina. Kebahagiaan bukan datang bergolek. Tiada yang pipih datang melayang. Ibarat pokok bukan buah yang tumbuh dahulu. Air dan baja memungkinkan tunas. Yang nantinya meranting dan membesar dahan. Di hujungnya bergayutan buah yang diharap enak, manis, menyegar, menyihat dan memberi segala kebaikannya.

Buang perbezaan yang dapat dilihat. Hindarkan perbezaan yang dirasa kehadirannya.  Rasa cinta tentu mengatasi kesemuanya. Rasa kasih tentu menyelimuti semua perbezaan itu. Rasa bahagia tentu mendamaikan. Hakikatnya perbezaan itu tetap ada. Kenapa melihat perbezaan jika persamaan mendamaikan? Bukankah yang dicari bahagia dan bukan derita? Pilihan di tangan kita. Orang lain hanya melihat dari luar. Setakat mana kita boleh menghulur tangan memohon bantuan? Setakat mana kita boleh menghulur tangan untuk membantu? Sebab itu hanya apabila bersedia, hanya apabila sudah mantap berfikir, hanya bila rasional mengatasi emosi ikatlah dimimu dengan kahidupan berumahtangga. Kehidupan yang selalunya banyak bergolak. Kesediaan menghadapinya mendamaikan pergolakan. Dalam diri kita itu letaknya segala penyelesaiannya. Sekali lagi seperti yang selalu saya sebut, carilah ilmu. Apapun bidang yang ingin diceburi mesti dengan ilmu. Ia mengawal segala kemungkinan. Jalan penyelesaiannya sudah terbina. Mencegah adalah lebih baik dari merawat. Sentiasa ingat Allah. Banyak solat. Banyak berdoa. Baca al-Quran selalu. Itu lebih mendamaikan. Kebahagiaan yang sangat murah kosnya.

Mengumpul Barang Buangan



Pelajar-pelajar Malaysia apabila berada di luar negara ukhwahnya sangat baik. Perasaan kekitaan yang mendalam. Esprit de corps. Tolong menolong dan bekerjasama selalu dipamerkan. Bila berjauhan dari sanak saudara rakan terdekat yang diakrabkan. Bila berjauhan dari tanah air tercinta rakan-rakan menjadi teman. Biasalah kita selalu mencari orang kita. Untuk selalu biasa-biasa. Cari orang sekampung. Orang senegeri. Orang senegara.

Keakraban antara pelajar biasanya sangat kental. Walau bagaimanapun ada syaratnya juga. Tentulah orang mengelakkan diri mereka jika dikesan ada kesombongan. Jika tidak suka dirapati. Jika malas bersama yang lain. Jika menjauhkan diri. Jika cakapnya ada lagak tinggi. Hidungnya nampak melangit. Jalannya mengepak terbang. Bahasanya kesat. Pautan bibirnya kelihatan sinis. Atau sapanya sangat payah. Jika semua itu tidak kelihatan maka mudahlah mendapat kawan. Senang orang mendekati. Ada kimia yang teradun. Ada elektrik yang terpasang.

Pengalaman di negara orang banyak yang mengajar diri. Biasanya rakan-rakan yang sudah berada di sana berusaha membantu bila dikhabarkan ada keluarga yang akan sampai. Mereka membuat pelan tindakan untuk membantu. Ada yang menghubungi melalui surat. Pada tahun 1984 dahulu telefon bimbit belum ada. E-mail belum ada. Surat sahaja yang boleh. Tentulah memakan masa yang lama untuk balas membalas. Orangnya tidak dikenali. Tulisan dalam surat itu yang memberi gambaran ringkas siapa orangnya. Keikhlasannya. Keterbukaannya untuk dibantu atau membantu.

Maka mereka menanti saya sekeluarga. Pengangkutan disediakan di lapanganterbang. Kereta besar buatan Amerika. Memanglah kereta buruk. Pelajar mana mampu membeli kereta baru. Yang penting ada pengangkutan. Boleh bergerk ikut suka rasa. Membeli barang tidak perlu diangkut dengan berjalan kaki. Semasa winter jenuh kesejukan. Jika summer pula kepanasan. Sejuk tidak tahan. Panas   tidak tahan. Ketawa orang putih melihat orang Malaysia berpayung pada musim summer. Mereka menikmati cahaya matahari. Kita berlindung darinya. Dua budaya yang jauh berbeza.

Teman-teman tadi sudah membuat berbagai perancangan untuk menerima saya sekeluarga. Sudah dicarikan rumah-rumah yang layak disewa. Mereka tahu setakat mana kemampuan pelajar yang datang. Yang sekeluarga perlukan sebuah rumah. Yang bujang perlukan bilik. Lokasi dan bentuk rumah kesemuanya difikirkan. Bilangan bilik yang diperlukan juga difikirkan. Bila saya sampai sudah ada senarai rumah untuk dilihat kesesuaiannya. Dalam kedinginan winter itu berjalanlah dari rumah ke rumah. Menyesuaikan selera. Serasai dengan keperluan yang ada. Akhirnya saya sewa sebuah rumah di Bates Street. Tingkat tiga. Di atas sekali. Alhamdulillah. Puas mata memandang keliling dari vantage point tingkap rumah itu. Seperti panorama layaknya.

Rumah itu milik seorang Arab yang berasal dari Syria. Kekal beragama Kristian. Agama anutan nenek moyangnya terdahulu. Adik beradiknya juga ramai di Oakland itu. Kesemuanya beragama Kristian. Isterinya wanita kulit putih Amerika. Sewaktu saya mengunjungi rumahnya untuk menandatangani kontrak menyewa rumahnya, saya terpandang sebuah bingkai kaca yang mengandungi surah al-Fatihah. Saya hanya memandang bingkai itu sahaja. Saya tidak membuat apa-apa komen. Teman-teman yang lain telah memberitahu saya lebih awal bahawa Arab itu beragama Kristian. Dia memahami pandangan mata saya. Dia membuat pengakuan bahawa dia boleh membaca surah al-Fatihah itu. Dia juga memahami maknanya. Tetapi tentulah dia tidak memahami tafsiran dan tuntutannya. Jika dia mengetahuinya tentu dia beragama Islam. Persetujuan dicapai. Kontrak ditandatangani. Duduklah saya di rumah itu selama 18 bulan. Setahun setengah yang penuh pengalaman. Duduk di negara orang. Sangat jauh dari kampung halaman. Jauh disebalik bumi. 12 jam perbezaan masa.

 Saya telah sebutkan terdahulu bahawa pada hari Ahad malam hari Isnin adalah waktu membuang sampah. Pagi Isnin adalah masa kutipan sampah di kawasan tempat tinggal saya. Bila diingat kembali terasa juga berbagai dalam hati. Malam-malam seperti itu pelajar Malaysia berjalan mencari barang-barang buangan. Barang terpakai yang dibuang. Barang yang tidak diperlukan lagi. Sampai masanya dilupuskan. Bagi pelajar Malaysia malam-malam seperti itulah peluang mendapatkan barang-barang yang mungkin ada gunanya. Kadang-kadang untuk diri sendiri. Kadang-kadang untuk sahabat-sahabat yang akan sampai. Akan ada sahabat-sahabat yang menyimpan stok barangan untuk diagihkan kepada sahabat-sahabat lain yang bakal tiba.

Lupa untuk memberitahu. Rumah-rumah di sana kesemuanya fully furnished. Katil dan tilamnya ada. Peti ais ada. Dapur atau stove ada. Meja makan ada. Sofa ada. Yang tidak ada mungkin bantal, selimut (comforter). TV tidak ada. Radio tidak ada. Telefon tidak ada. Kerusi mungkin hanya ada dua atau empat sahaja. Tidak cukup untuk keluarga seperti saya. Lima orang anak. Sebab itu mencari barang terpakai kadang-kadang diperlukan untuk menambah perabot yang ada.

Barang-barang yang dicari bukan sebarangan. Pilihan kami mungkin tilam, meja, kerusi dan perobot-perabot lain yang sesuai. Bukan yang terlalu besar. Bukan yang sudah buruk. Bukan yang sudah rosak. Yang dipilih adalah barang-barang yang  memang masih boleh dipakai. Cuma pemiliknya sudah membeli yang baru. Yang lama dibuang. Saya teringat cerita seorang putera raja dari sebuah negeri di semenanjung yang turut sama mengusung tilam untuk diserahkan kepada seorang temannya yang lain. Ia ditolong pula oleh seorang pegawai tinggi kerajaan yang sedang membuat PhD. Anak raja itu menjadi Raja Muda sekarang. Hebat orangnya. memiliki PhD.

Di sana, di negara orang, kami melupakan pangkat. Kami melupakan kedudukan. Seperti kata Abraham H Maslow, sampai ke suatu peringkat kita perlukan teman bersembang. Sahabat bertukar fikiran. Teman untuk melaksanakan aktiviti bersama. Berada bersama adalah suatu keperluan. Manusia tidak mungkin hidup sendiri. Sebab itu bila berjauhan dari keluarga orang-orang di sekeliling kita itulah yang menjadi saudara terdekat. Yang selalu menjenguk. Yang selalu membantu bila diperlukan. Jalinan ikatan yang kuat. Itulah ukhwah.

Benarlah kata pepatah ikutlah resemi padi makin berisi makin menunduk. Jika banyak menunduk maka ramailah sahabat. Ramailah yang mendekat. Ramailah yang senang dan selesa dengan kehadiran kita. Hidup kita menjadi lebih selesa dikelilingi oleh orang-orang yang responsif dan bukan orang-orang yang agresif. Banyak senang dari susahnya. Pertemuan-pertemuan selalu diatur supaya kebersamaan itu ada jadualnya. Seminggu sekali memang diatur jadual usrah. Berkongsi apa-apa yang diketahui tentang agama. Ada yang membawa kitab. Rujuklah yang sesuai. Mengisi masa dengan agama. Pada waktu-waktu yang lain mungkin diadakan jamuan ringan. Panggil teman-teman ke rumah. Sembang-sembang. Ingat tanah air. Atau bertemu di park jika suhu dan iklim mengizinkan. Tidak hujan dan tidak sejuk.

Begitulah di perantauan.  Ada sahaja yang dilakukan untuk tidak berasa sunyi. Masa diisi dengan belajar. Pada hujung minggu banyak aktiviti diatur untuk mengisi masa. Isteri-isteri juga dengan aktiviti mereka. Tidaklah sunyi menanti suami yang sibuk dengan kehidupan sebagai pelajar. Kadang-kadang  saya rasa kehidupan lebih teratur sewaktu duduk di US dahulu. Jadual seperti sesuai dengan kehidupan sebagai pelajar. Ada waktu belajar. Ada waktu bersama keluarga. Ada waktu menjalankan hal-hal agama. Rasa sangat santai. Tidaklah terkejar sana terkejar sini. Budaya mereka yang menyerap ke dalam diri pelajar seperti saya.  Masa tidak terluang dengan sia-sia.

Masa itu emas. Masa itu telah berlalu. Saya pula sudah menjadi warga emas. Susah juga untuk memberi nilai terhadap diri sendiri. Cuma mungkin hanya dapat berkongsi nilai-nilai yang telah dialami. Yang telah dipinjam. Yang telah dihimpun sekian lama. Yang pastinya tidak sama dengan pengalaman orang lain. Nilaian saya juga begitu. Persepsi saya tentu lain. Garapannya lain. Interpretasinya juga lain. Apapun sekadar menyampai. Yang baik ambillah. Yang kurang buang ke tepi. Penilaian selalu berbeza.

Tuesday, March 8, 2011

Another Facet of Pittsburgh

This is really great. The river is just very wide. Just by looking at this picture nobody may have the notion that this is a river. People may think that this is a seaside. Water skiing is a favourite sport. The background at The Point is just perfect. The mood is always there. Under normal weather the confluence of the two rivers is very conducive to enjoy the water. The current could be too strong for swimming. Nevertheless there is no harm to enjoy it with all the necessary precautions.


The water front is huge. The great Ohio River is simply enormous. River cruise is an attraction to local as well to foreign tourists. It may take hours. Watching the city's skyline. Its very vantage point.

The Point is an attraction by itself. The fountain keeps its life selffulfilling.


Bird's eye view of Pittsburgh. Bridges spanning on the right and left of the city. I could not remember how many of those bridges that I have crossed.
It is summer. The grass is lush green. Full of life. Vibrant with activities.

The citizens are enjoying the sunlight. Only one season. Never the year round. How lucky! Yet we never enjoy the sun. To us, no suntan please. As much as possible we try our best to avoid the sun.

Green everywhere. Flowers blooming. Fountains with cooling water. In summer people become lazy. They go for holidays. Enjoy their lives. This is the moment.

Downtown Pittsburgh. Very lively.


The Cathedral of Learning. A landmark of Pittsburgh. Standing tall, serene, tranquil. Basking in its own serendepity. The place of discovery.


The only theme park in Pittsburgh. Kennhy Park. An hour drive out of town. Throngs of people as early as May. End of Spring. Families spend their moments together. Catching up with each other.


Swing and swing. Around and around. A test of courage. Nerves. Overcoming fear. 

A typical rollercoaster. It may have double or triple loops. The world becomes void.. Upside down. Take control of your life. Such moments drive people crazy. The moment they landed on dear earth everything is back to normal. Fear is just a passing moment. Overcoming it is a never ending process. Of course learning never ends.

The skyline back in 1986. 26 years could have changed the original skyline. New skyscrapers may have replaced some of the older  buildings. Additions may have been made.



Bridges and bridges. Countless of them.

At The Point. Near the fountain. In summer it is full and congested with people seeking outdoor pleasure. Some have gone fishing. Others could be camping. Some gone hiking. A few mountain climbing. Or they may hop from town to town. From county to county. From state to state.


The heart of Pittsburgh seems compact and concentrated. The city itself is fun to traverse. A lot to see and hear. Bargain hunting can be fun also.


The University of Pittsburgh main campus. Notice that The Cathedral of Learning looks tall and commanding. 


The Pitts's stadium. The most popular is American Football. Running from one end  of the field to the other end. Gaining as much touchdowns as possible.


Country life of yesteryears. A replica of a traditional village. 19th century and early 20th century. It is funny. Our tourism industry try to attrack foreign tourists with what we can offer as a modern living. On the other hand tourists are seeking the true lives of the people. Reality that prevail. Not something that they are already bored with. They want to run away from situations that never fulfill their would be happiness.

Back to the future.

We can find solace here.


The Point in perspective.


Summer with blazing sun. Lush green trees abound.

The bridges are unique. Each of them is huge. An engineering marvel. An architectural achievement. Massive and yet attractive.



Each bridge is unique. No two bridges are the same. Customised. Aesthetic values abound.

Pittsburgh caught in sunset.


Alleghany Centre. Shopping arcades. Shopping and relaxing.


Another shopping centre. The Station Square.

In summer there are endless atractions. Daytime is full of excitements. Open concert such as this dominated even the smallest space. Belching out their songs. Entertaining the crowd. An inviting noise indeed. Notice that they are adults with years of experience. The young may have stage frights.

The Pittsburgh Plate Glass building in the background. An architectural marvel by itself. There are many shops around. It is yours for your pleasure.

An easy life. Marinas along the river. Water sports around. Fresh water. Time to relax.

Steel and steel. Bridges after bridges. Reminder of the past. The move forward. To the future.

Different design. Different crossing. Blended with nature. Strong. Sustanaible.

I used to cross this bridge. It leads to Pittsburgh International Airport. Some 40km away. So huge. Enormous amount of steel. The city of bridges. Pittsburgh is renown for that. None match its existence. The only city full of bridges.