Wednesday, March 9, 2011

Mengumpul Barang Buangan



Pelajar-pelajar Malaysia apabila berada di luar negara ukhwahnya sangat baik. Perasaan kekitaan yang mendalam. Esprit de corps. Tolong menolong dan bekerjasama selalu dipamerkan. Bila berjauhan dari sanak saudara rakan terdekat yang diakrabkan. Bila berjauhan dari tanah air tercinta rakan-rakan menjadi teman. Biasalah kita selalu mencari orang kita. Untuk selalu biasa-biasa. Cari orang sekampung. Orang senegeri. Orang senegara.

Keakraban antara pelajar biasanya sangat kental. Walau bagaimanapun ada syaratnya juga. Tentulah orang mengelakkan diri mereka jika dikesan ada kesombongan. Jika tidak suka dirapati. Jika malas bersama yang lain. Jika menjauhkan diri. Jika cakapnya ada lagak tinggi. Hidungnya nampak melangit. Jalannya mengepak terbang. Bahasanya kesat. Pautan bibirnya kelihatan sinis. Atau sapanya sangat payah. Jika semua itu tidak kelihatan maka mudahlah mendapat kawan. Senang orang mendekati. Ada kimia yang teradun. Ada elektrik yang terpasang.

Pengalaman di negara orang banyak yang mengajar diri. Biasanya rakan-rakan yang sudah berada di sana berusaha membantu bila dikhabarkan ada keluarga yang akan sampai. Mereka membuat pelan tindakan untuk membantu. Ada yang menghubungi melalui surat. Pada tahun 1984 dahulu telefon bimbit belum ada. E-mail belum ada. Surat sahaja yang boleh. Tentulah memakan masa yang lama untuk balas membalas. Orangnya tidak dikenali. Tulisan dalam surat itu yang memberi gambaran ringkas siapa orangnya. Keikhlasannya. Keterbukaannya untuk dibantu atau membantu.

Maka mereka menanti saya sekeluarga. Pengangkutan disediakan di lapanganterbang. Kereta besar buatan Amerika. Memanglah kereta buruk. Pelajar mana mampu membeli kereta baru. Yang penting ada pengangkutan. Boleh bergerk ikut suka rasa. Membeli barang tidak perlu diangkut dengan berjalan kaki. Semasa winter jenuh kesejukan. Jika summer pula kepanasan. Sejuk tidak tahan. Panas   tidak tahan. Ketawa orang putih melihat orang Malaysia berpayung pada musim summer. Mereka menikmati cahaya matahari. Kita berlindung darinya. Dua budaya yang jauh berbeza.

Teman-teman tadi sudah membuat berbagai perancangan untuk menerima saya sekeluarga. Sudah dicarikan rumah-rumah yang layak disewa. Mereka tahu setakat mana kemampuan pelajar yang datang. Yang sekeluarga perlukan sebuah rumah. Yang bujang perlukan bilik. Lokasi dan bentuk rumah kesemuanya difikirkan. Bilangan bilik yang diperlukan juga difikirkan. Bila saya sampai sudah ada senarai rumah untuk dilihat kesesuaiannya. Dalam kedinginan winter itu berjalanlah dari rumah ke rumah. Menyesuaikan selera. Serasai dengan keperluan yang ada. Akhirnya saya sewa sebuah rumah di Bates Street. Tingkat tiga. Di atas sekali. Alhamdulillah. Puas mata memandang keliling dari vantage point tingkap rumah itu. Seperti panorama layaknya.

Rumah itu milik seorang Arab yang berasal dari Syria. Kekal beragama Kristian. Agama anutan nenek moyangnya terdahulu. Adik beradiknya juga ramai di Oakland itu. Kesemuanya beragama Kristian. Isterinya wanita kulit putih Amerika. Sewaktu saya mengunjungi rumahnya untuk menandatangani kontrak menyewa rumahnya, saya terpandang sebuah bingkai kaca yang mengandungi surah al-Fatihah. Saya hanya memandang bingkai itu sahaja. Saya tidak membuat apa-apa komen. Teman-teman yang lain telah memberitahu saya lebih awal bahawa Arab itu beragama Kristian. Dia memahami pandangan mata saya. Dia membuat pengakuan bahawa dia boleh membaca surah al-Fatihah itu. Dia juga memahami maknanya. Tetapi tentulah dia tidak memahami tafsiran dan tuntutannya. Jika dia mengetahuinya tentu dia beragama Islam. Persetujuan dicapai. Kontrak ditandatangani. Duduklah saya di rumah itu selama 18 bulan. Setahun setengah yang penuh pengalaman. Duduk di negara orang. Sangat jauh dari kampung halaman. Jauh disebalik bumi. 12 jam perbezaan masa.

 Saya telah sebutkan terdahulu bahawa pada hari Ahad malam hari Isnin adalah waktu membuang sampah. Pagi Isnin adalah masa kutipan sampah di kawasan tempat tinggal saya. Bila diingat kembali terasa juga berbagai dalam hati. Malam-malam seperti itu pelajar Malaysia berjalan mencari barang-barang buangan. Barang terpakai yang dibuang. Barang yang tidak diperlukan lagi. Sampai masanya dilupuskan. Bagi pelajar Malaysia malam-malam seperti itulah peluang mendapatkan barang-barang yang mungkin ada gunanya. Kadang-kadang untuk diri sendiri. Kadang-kadang untuk sahabat-sahabat yang akan sampai. Akan ada sahabat-sahabat yang menyimpan stok barangan untuk diagihkan kepada sahabat-sahabat lain yang bakal tiba.

Lupa untuk memberitahu. Rumah-rumah di sana kesemuanya fully furnished. Katil dan tilamnya ada. Peti ais ada. Dapur atau stove ada. Meja makan ada. Sofa ada. Yang tidak ada mungkin bantal, selimut (comforter). TV tidak ada. Radio tidak ada. Telefon tidak ada. Kerusi mungkin hanya ada dua atau empat sahaja. Tidak cukup untuk keluarga seperti saya. Lima orang anak. Sebab itu mencari barang terpakai kadang-kadang diperlukan untuk menambah perabot yang ada.

Barang-barang yang dicari bukan sebarangan. Pilihan kami mungkin tilam, meja, kerusi dan perobot-perabot lain yang sesuai. Bukan yang terlalu besar. Bukan yang sudah buruk. Bukan yang sudah rosak. Yang dipilih adalah barang-barang yang  memang masih boleh dipakai. Cuma pemiliknya sudah membeli yang baru. Yang lama dibuang. Saya teringat cerita seorang putera raja dari sebuah negeri di semenanjung yang turut sama mengusung tilam untuk diserahkan kepada seorang temannya yang lain. Ia ditolong pula oleh seorang pegawai tinggi kerajaan yang sedang membuat PhD. Anak raja itu menjadi Raja Muda sekarang. Hebat orangnya. memiliki PhD.

Di sana, di negara orang, kami melupakan pangkat. Kami melupakan kedudukan. Seperti kata Abraham H Maslow, sampai ke suatu peringkat kita perlukan teman bersembang. Sahabat bertukar fikiran. Teman untuk melaksanakan aktiviti bersama. Berada bersama adalah suatu keperluan. Manusia tidak mungkin hidup sendiri. Sebab itu bila berjauhan dari keluarga orang-orang di sekeliling kita itulah yang menjadi saudara terdekat. Yang selalu menjenguk. Yang selalu membantu bila diperlukan. Jalinan ikatan yang kuat. Itulah ukhwah.

Benarlah kata pepatah ikutlah resemi padi makin berisi makin menunduk. Jika banyak menunduk maka ramailah sahabat. Ramailah yang mendekat. Ramailah yang senang dan selesa dengan kehadiran kita. Hidup kita menjadi lebih selesa dikelilingi oleh orang-orang yang responsif dan bukan orang-orang yang agresif. Banyak senang dari susahnya. Pertemuan-pertemuan selalu diatur supaya kebersamaan itu ada jadualnya. Seminggu sekali memang diatur jadual usrah. Berkongsi apa-apa yang diketahui tentang agama. Ada yang membawa kitab. Rujuklah yang sesuai. Mengisi masa dengan agama. Pada waktu-waktu yang lain mungkin diadakan jamuan ringan. Panggil teman-teman ke rumah. Sembang-sembang. Ingat tanah air. Atau bertemu di park jika suhu dan iklim mengizinkan. Tidak hujan dan tidak sejuk.

Begitulah di perantauan.  Ada sahaja yang dilakukan untuk tidak berasa sunyi. Masa diisi dengan belajar. Pada hujung minggu banyak aktiviti diatur untuk mengisi masa. Isteri-isteri juga dengan aktiviti mereka. Tidaklah sunyi menanti suami yang sibuk dengan kehidupan sebagai pelajar. Kadang-kadang  saya rasa kehidupan lebih teratur sewaktu duduk di US dahulu. Jadual seperti sesuai dengan kehidupan sebagai pelajar. Ada waktu belajar. Ada waktu bersama keluarga. Ada waktu menjalankan hal-hal agama. Rasa sangat santai. Tidaklah terkejar sana terkejar sini. Budaya mereka yang menyerap ke dalam diri pelajar seperti saya.  Masa tidak terluang dengan sia-sia.

Masa itu emas. Masa itu telah berlalu. Saya pula sudah menjadi warga emas. Susah juga untuk memberi nilai terhadap diri sendiri. Cuma mungkin hanya dapat berkongsi nilai-nilai yang telah dialami. Yang telah dipinjam. Yang telah dihimpun sekian lama. Yang pastinya tidak sama dengan pengalaman orang lain. Nilaian saya juga begitu. Persepsi saya tentu lain. Garapannya lain. Interpretasinya juga lain. Apapun sekadar menyampai. Yang baik ambillah. Yang kurang buang ke tepi. Penilaian selalu berbeza.

No comments:

Post a Comment