Apa khabar mereka yang baru mendirikan rumahtangga? Barangkali masih dalam berbulan madu. Nikmatilah saat-saat itu kerana mungkin hanya sekali seumur hidup. Jarang orang mengulanginya. Jarang-jarang atau kadang-kadang seperti kata P Ramlee. Mungkin ada yang sudah menimang anak. Cahaya mata kekasih hati. Pengarang jantung. Memang bercahaya sewaktu kecilnya. Setiap kembali dari kerja si comel itu dahulu yang menjadi keutamaan. Yang lain nanti dahulu. Bila sudah puas mengulitinya baru teringat banyak lagi chores yang kena buat. Mudah-mudahan pasangan hidup masing-masing menjadai pasangan yang profesional. Dijauhkan dari pasangan yang dominan. Perintah sahaja maunya. Ada sahaja suruhnya. Kalaulah, kalaulah dapat yang memang professional, hidup tentu lebih banyak bernafas dari sesak selalu. Lebih banyak lega dari kepayahan memanjang.
Cuba ingat kembali sebelum membuat keputusan untuk berumahtanga dahulu. Kenapa nekad untuk menamatkan zaman bujang? Apa sebenarnya yang dijangka dari ikatan bersuami isteri? Is it physical. Or just follow the trend? Atau lumrah yang datang dari dalam diri. Meronta-ronta minta diisi. Perlukan kehadiran seseorang untuk mendamaikan rasa. Untuk segera didampingi. Untuk disayangi. Untuk dimengerti mintanya. Untuk diketahui kehendaknya. Untuk dikongsi senang dan susahnya. Untuk hati dan perasaan menerawang. Scanning around. Akhirnya hinggap hati pada seseorang. Rasanya ada keserasian. Very compatible. Are you sure? Positive? Benarkah itu pilihan terbaik berbanding pilihan-pilihan lain yang banyak di luar sana?
Begitulah kata hati? Dari mata turun ke hati. Terpaut dengan yang ditunjukkan. Terikat dengan kesesuaiannya. Terasa damai. Aman rasanya di dalam sanubari. Gejolaknya selalu. Berdebar bila bertemu. Rindu mencengkam bila berjauhan. Sms tidak mendamaikan. Telefon berjam-jam tidak boleh menghilang rindu. Bertemu selalu tidak puas mengungkapo rasa cinta. Tatapan tidak pernah mengudang jemu. Mendamaikan mata. Nasib baik tidak perlu menulis surat cinta lagi. Menukilkan bait-bait curahan hati yang berjela-jela panjangnya. Mungkin dikarang sepanjang malam. Setitik dua air mata membasahinya. Tanda rindu yang bukan kepalang. Dihantar dengan wangian terhidu. Semerbak membawa rindu dari orang jauh. Allah akbar. Rindunya hati ini.
Setelah berumahtangga adakah situasi itu masih ada? Adakah rindu itu masih membara? Adakah berjauhan itu memberi rasa rindu? Mudah-mudahan rasa itu masih kuat. Masih kejap. Masih agung. Bak Laila dengan Majnunnya. Bak Romeo dengan Julietnya. Bak Uda dengan Daranya. Bak Zulaika dengan Yusufnya. Itulah sebenarnya yang didoakan sepanjang masa. Itulah yang dihasrat setiap detik. Itulah yang dihajat memanjang masa. Sampai ketua yang kuat mendokong cinta. Yang menebar sayang berpanjangan. Berkongsi kehidupan yang penuh bahagia. Tentunya teori sahaja tidak menyerlahkan manifestasi agung. Yang praktikalnya itu yang dicari. Prosedur kehidupan berdua yang dihajatkan panjangnya. Hingga ke akhir zaman citanya. Senang dan susahnya yang dihadap bersama. Synergy dua orang kekasih yang bersedia mengorbankan apa sahaja demi cinta abadi. Demi kasih ke hujung dunia.
Banyak olahan hidup yang perlu dihadapi. Dalam pengamatan dan pengalaman, pasangan hidup kita bukan orang yang cirinya sama dengan kita. Cantik itu bukan ukuran. Kadang-kadang bukan isu. Susuk tubuh juga mungkin bukan tarikan. Kelayakan akademik bukan juga dihitung panjang. Kemahiran bukan carian. Dalam banyak hal yang dicari ialah ketenangan. Hanya yang dapat memberi sinar ketenangan itulah yang paling mendamaikan. Kasih sayang yang dapat diadun itulah yang membahagiakan. Pengertian yang terlalu sedikit tetapi pada hakikatnya itulah yang paling payah diterima. Paling payah diberi. Paling payah dimengerti. Paling payah dicari-cari.
Tidak ada orang yang boleh memahami orang lain sepenuhnya. 100%. Tidak mungkin. Setiap kita tetap ada perbezaan. Ada yang ketara. Ada yang tersembunyi. Lihatlah keliling. Pasangan yang berkekalan lama memiliki ciri-ciri yang bertentangan. Yang seorang becok yang seorang lagi pendiam. Yang seorang ganas yang seorang lembut. Yang seorang panas baran yang seorang banyak sabarnya. Tidak mungkin ada pasangan yang cirinya sama. Hidup mereka akan menjadi sangat menjemukan. Jika dua-dua becok tentu banyak perangnya. Jika dua-dua panas baran tentu selalu meletup gunung berapi. Allah mentukan fitrahnya begitu. Yang berlawanan itu yang serasi. Yang sama sukar hidupnya. Bak besi berani unlike pole attracts. Like pole repels.
Oleh kerana manusia memang berbeza ada dua persepri yang dapat kita bina. Menerima atau menolak. Jika keputusan ini diambil sebelum berumahtangga maka terhindarlah jangkaan pergeseran yang mungkin berlaku. Terelak dari berperanag dengan psangan. Tidak timbul kesulitan. Belum masuk dalam alam yang nanti memayahkan. Bagaimana jika sudah berumahtangga? Tentu tidak mungkin mengundur ke belakang? Waktu tidak boleh diputar kembali. This is crucial. You have to move forward. Never abstain either. Menjadi tanggungjawab untuk menegakkan haluan bersama. Biduk di laut pastinya beroleng. Arus air kadang-kadang deras juga. Boleh mengubah haluan. Apatah lagi ombak besar. Apatah lagi ribut kuat yang melanda. Jurumudi kenalah mereka yang kuat pegangnya. Yang kuat berdirinya. Yang kuat semangatnya. Yang jauh pandangannya. Yang pandai menyerap pengalaman.
Biasalah pasangan berselisih pengertian. Yang satu berkeras dengan pendapatnya. Apakah yang penting sebenarnya dalam sebuah perkongsian hidup? Menegakkan pendapat atau berkongsi pendapat? Jika tidak diamati ia membarah. Luka yang semakin melebar. Parah berdarah. Alangkah baik jika pasangan melihat persamaan. Lihatlah persamaan. Lihatlah yang sedikit itu. Yang tidak kelihatan sekalipun. Belajar meropong jauh supaya dikenal ma’rifat untuk mencari hakikat. Perbezaan hanya persepsi. Apa bezanya antara besar dengan kecil? Boleh diserasikan dengan ruang. Boleh diserasikan dengan keadaan. Perbezaan-perbezaan yang terlalu ditonjolkan tentu menghiris hati. Meracuni kasih sayang yang sudah terbina.
Tidak semua orang ada kekuatan untuk menghadapi perbezaan. Yang diharap dahulu ialah kebahagiaan. Kedamaian. Tidak ada siapa yang tahu formulanya. Yang tahu sifirnya. Yang tahu jalannya. Yang pasti tidak ada jalan pintas. Tidak ada formula yang teruji. Masing-masing mengalami eksperimen yang berlainan. Kerangka kasar sahaja yang boleh dipelajari. Hakikatnya ialah semua pasangan perlu banyak belajar. Keserasian perlu dibina. Kebahagiaan bukan datang bergolek. Tiada yang pipih datang melayang. Ibarat pokok bukan buah yang tumbuh dahulu. Air dan baja memungkinkan tunas. Yang nantinya meranting dan membesar dahan. Di hujungnya bergayutan buah yang diharap enak, manis, menyegar, menyihat dan memberi segala kebaikannya.
Buang perbezaan yang dapat dilihat. Hindarkan perbezaan yang dirasa kehadirannya. Rasa cinta tentu mengatasi kesemuanya. Rasa kasih tentu menyelimuti semua perbezaan itu. Rasa bahagia tentu mendamaikan. Hakikatnya perbezaan itu tetap ada. Kenapa melihat perbezaan jika persamaan mendamaikan? Bukankah yang dicari bahagia dan bukan derita? Pilihan di tangan kita. Orang lain hanya melihat dari luar. Setakat mana kita boleh menghulur tangan memohon bantuan? Setakat mana kita boleh menghulur tangan untuk membantu? Sebab itu hanya apabila bersedia, hanya apabila sudah mantap berfikir, hanya bila rasional mengatasi emosi ikatlah dimimu dengan kahidupan berumahtangga. Kehidupan yang selalunya banyak bergolak. Kesediaan menghadapinya mendamaikan pergolakan. Dalam diri kita itu letaknya segala penyelesaiannya. Sekali lagi seperti yang selalu saya sebut, carilah ilmu. Apapun bidang yang ingin diceburi mesti dengan ilmu. Ia mengawal segala kemungkinan. Jalan penyelesaiannya sudah terbina. Mencegah adalah lebih baik dari merawat. Sentiasa ingat Allah. Banyak solat. Banyak berdoa. Baca al-Quran selalu. Itu lebih mendamaikan. Kebahagiaan yang sangat murah kosnya.
No comments:
Post a Comment