Saturday, March 19, 2011

Menyewa, Penyewa Yang Bayar


Ada sesuatu yang mengikat dalam sistem maklumat warganegara Amerika. Kita yang datang bertandangpun dikaitkan dengan sistem itu. Di US bekalan elektrik didaftarkan atas nama penyewa. Begitu juga telefon. Juga cable TV. Tuan rumah hanya menyewakan premisnya sahaja. Rumah memang fully furnished. Tetapi sesuai dengan yang asas sahaja. Bukan perabot mewah. Selainnya untuk menghidupkan rumah itu terpulang kepada penyewa. Boleh duduk atau tidak penyewa yang kena berusaha. Sejuk atau panas, penyewa kena ambil tahu.

Sekali imbas sukar juga hendak menyewa rumah di sana. Jika di Malaysia ada tuan rumah seperti  itu mungkin rumahnya tidak ada yang sudi menyewa sampai kiamat. Banyak pilihan lain. Lain halnya di US. Undang-undang tentang sewa rumah dan kaedah penyewaannya memberi tanggungjawab kepada penyewa untuk menguruskannya sendiri. Tuan rumah mungkin membantu sekadar menghubungi pembekal. Butiran diri yang diberikan ialah butiran diri penyewa. Apa-apa bayaran tertanggung ke atas penyewa. Pemilik rumah tiada apa-apa hubungan dengan bekalan elektrik, telefon atau cable TV.

Jika diteliti dalam-dalam barulah boleh dimengerti. Di Malaysia, kes penyewa tidak membayar bil elektrik, dan teleon rasanya berbillion ringgit nilainya. Tuan rumah gigit jari. TEN dan Telekom tidak pernah rugi. Tuan rumah yang akhirnya membayar. Rela atau terpaksa. Bayar tetap bayar. Undang-undangnya begitu. Pemilik rumah selalu menjadi mangsa. Entahlah. Di  Malaysia pemilih harta selalu tekena. Penyewa lepas bebas dari apa-apa isu. Kadang-kadang takut untuk menyewakan rumah atau premis bangunan. Terkena banyak kali mana boleh tahan.

Dalam kes di US apabila seseorang ingin mendapatkan bekalan elektrik atau telefon atau cable TV maka satu search dibuat ke pusat maklumat mengenai kedudukan pemohon. Mungkin ada bil elektrik yang belum dibayar dua tahun dahulu di rumah yang beralamat di Iowa. Sekarang dia hendak menyewa di Pittsburgh. Permohonannya tidak diproses kecuali dia membayar terlebih dahulu bil yang tertunggak sejak dua tahun dahulu. Bila diperundangkan begitu, tiada penyewa yang dapat melarikan diri dari tanggungjawab. Di mana sahaja dia berada di US, sistem itu mengikat mereka. Akhirnya tiada siapa yang engkar dari membayar bil-bil yang didaftarkan atas namanya.  Bil tertunggak  itu mengejarnya ke mana sahaja dia pergi selagi dia berada di bumi yang namanya Amerika. Mungkin di Hawaii yang jauh di Lautan Pasifik. Mungkin juga di Alaska yang jauh berhampiran Kutub Utara. Sistem maklumat itu kekal hidup.

Oleh yang demikian pemilik harta di US tidak pernah bimbang. Sekiranya sewa rumahnya tidak dibayar dia boleh melaporkannya   dan sudah pasti penyewa itu disenarai hitam dan dihalang dari membuat transaksi tentang sewa menyewa rumah atau bangunan pada masa hadapan. Perkara  itu diselesaikan secara perundangan. Rasanya elok perkara itu dilaksanakan di Malaysia supaya orang Islam sendiri terumatanya terhindar dari menanggung hutang yang berjela-jela panjangnya. Atau sengaja lupa tentang hutangnya. Atau menghindar dari membayarnya.

System maklumat kita hanya berkaitan dengan status kredit kita dengan sistem kewangan. Bila kita hendak meminjam barulah dilihat sistem. Bila kita hendak membeli kereta barulah dilihat sistem yang ada.  Sudah sampaki masanya sistem seperti itu dilaksanakan di sini. Ramai yang akan setuju kecuali mereka yang pernah melarikan diri dari menjelaskan bil-bilnya yang terdahulu.   Banyak masalah hutang piutang dapat diselesaikan. Sistem kewangan negara menjadi lebih mantap. Peniaga tidak banyak masalah.

Tidak salah kita meniru amalan yang baik. Ia banyak memberikan manfaat kepada kesejahteraan ekonomi. Kesejahteraan masyarakat.  Keyakinan  sosial pasti meningkat. Keadilan ekonomi dan sosial dimantapkan.

No comments:

Post a Comment