Saturday, May 29, 2010
Seminar membina Generasi Ulul Al-bab
Nama: ....................................................................
.................................................................................
No.Kad Pengenalan: ............................................
Alamat: .................................................................
................................................................................
................................................................................
................................................................................
................................................................................
No Tel: ..................................................................
Tandakan: Guru Al-Quran ................................
Bukan Guru Al-Quran.........................................
Yuran:
RM50.00 untuk penyertaan terbuka dewasa
RM30.00 untuk ahli dan pelajar IPT sahaja.
Sila sempurnakan penyertaan sebelum
15 Julai 2010
INFO PERSATUAN
Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor (PKGGAQNJ) dianggotai oleh guru-guru Al-Quran Negeri Johor. Kesemua mereka adalah guru Al-Quran bertauliah lantikan Jabatan Agama Islam Johor.
Guru-guru ini ada di semua daerah dalam negeri Johor. Sebahagian daripada mereka dilantik menjadi guru DUN. Guru-guru biasa diperlukan mengajar 4 jam semingu bagi setiap kelas tetapi guru-guru DUN mengajar sebanyak 6 jam sehari dan 30 jam seminggu.
Guru-guru biasa dibayar sebanyak RM50 setiap kelas. Maksimum tuntutan hanya untuk 3 kelas sahaja iaitu RM150 sebulan. Guru DUN pula dibayar sebanyak RM500 sebulan.
Persatuan mencari peluang dan harapan untuk cuba membantu ahli-ahli supaya dapat meningkatkan imbuhan di samping meningkatkan martabat mereka dengan menambahkan ilmu. Seminar ini adalah satu dari usaha tersebut.
PERSATUAN KEBAJIKAN GURU-GURU
AL-QURAN NEGERI JOHOR
SEMINAR SEHARI BERSAMA:
YG BHG DATO' SIDEK FADHIL
YG BHG PROF. DR. MAT ROFA ISMAIL
YG BHG DR. JAMNUS MAKLAN
TEMA:
Membina Generasi Ulul Albab Menurut Perspektif Al-Quran
TARIKH:
SABTU 24 JULAI 2010
TEMPAT:
DEWAN A, BLOK G3
UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA
MASA: MULAI JAM 8.00 PAGI
SINOPSIS
Al-Quran adalah mu’jizat teragung yang dianugerahkan kepada Rasulullah, penghulu semua Rasul. Al-Quran menjadi sebuah manual untuk manusia hidup di dunia dan memandu manusia jalan ke akhirat.
Al-Quran adalah bacaan untuk yang kemudiannya dihafal dan ditulis. Darinya segala sumber yang berkaitan agama diistinbat untuk dilaksanakan bagi mencapai kesempurnaan beragama.
Segala isi Al-Quran pada hakikatnya adalah dekat dengan kita. Kekurangan kita ialah kerana tidak mendalaminya, tidak menkajinya dan tidak memberikan keutamaan-keutamaan yang sewajarnya.
Seminar ini adalah suatu langkah untuk mendekatkan lagi kita kepada Al-Quran. Umat Islam pernah mencapai kegemilangan tamadun. Hampir seluruh Eropah dibangunkan. Andalusia menjadi pusat lahirnya ramai ilmuan Islam.
Hari ini kita cuba menyingkap kembali arah untuk melahirkan generasi ulul al-bab. Setelah itu kita menyorot ke dalam untuk melihat hakikat penciptaan alam yang sangat-sangat luas ini. Teori kosmos bagi alam ini banyak persamaannya dengan penciptaan manusia itu sendiri.
InsyaAllah minda kita akan teruja untuk mengetahui keserasian diri kita dengan alam semsesta yang Allah anugerahkan kepada kita ini.
OBJEKTIF
Program ini dianjurkan sebagai mendepani aktiviti bermanfaat Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor. Antara objektifnya ialah:
1 Mendekati Al-Quran secara ilmiah.
2 Mendapatkan sentuhan ilmiah pakar mengenai kebenaran Al-Quran.
3 Mengaktifkan ahli untuk meneroka Al-Quran dan keindahannya.
4 Memperluaskan ruang lingkup ahli supaya melihat Al-Quran dari luar kotak.
PENYERAHAN BORANG
Sila serahkan borang yang telah lengkap diisi bersama dengan wang bayarannya kepada:
Dengan tangan: Haji Md Yusof Jamar
FPTek, UTHM, 012-7677976
Dengan surat:
1 Haji Md Yusof Jamar (Yang DiPertua)
No 8, Jalan Mesra, Taman Seri Kenangan
83000 Batu Pahat, Johor
Tel: 012-7677976
2 Haji Baharudin Muhamad (Setiausaha)
221, Lorong Talang, Jalan Parit Masjid
82000 Pontian, Johor
Tel: 012-7311491
3 Hajjah Patimah Lan
(Bendahari)
1067, Rumah JKR Api-Api
82000 Pontian, Johor
Tel:012-7485320
4 Haji Hairam (Johor Bahru)
Tel: 013-7457551
5 Haji Ismail (Kota Tinggi)
Tel: 019-7482581
6 En. Ahmad Sukaimi (Kluang)
Tel: 019-7120429
7 En Mohd Alip (Ledang)
Tel: 012-3697841
8 Pn Anisah (Muar)
Tel:012-3697841
9 En Morsid (Mersing)
Tel: 019-7391605
10 Hj Ibrahim (Segamat)
Tel: 017-7884549
11 Ustaz Rahim (Batu Pahat)
Tel: 019-7380444
Friday, May 28, 2010
Membuang Bayi, Seks Rambang dan Krisis Keturunan Orang baik-baik
Islam memberi panduan bahawa pasangan hidup seharusnya cantik supaya sedap dipandang dan menyejukkan hati. Dari mata terus ke hati. Dia seharusnya kaya atau sekurang-kurangnya ada keupayaan untuk hidup selesa. Dengannya makan dan minum terjaga, pakaian terjamin dan tempat tinggal menasabah saiznya. Dia seharusnya beragama supaya hidupnya terarah dan selalu mencari keredhaan Allah. Yang akhir ialah orang dari keluarga baik-baik. Inilah yang sekarang memeningkan kepala. Bagaimanakah kita hendak mengukur dn menilai keluarga baik-baik?
Konsep baik harus juga difahami. Ia tidak boleh disamakan dengan hal-hal lain. Dalam bidang munakahat ada konsep tersendiri mengenai baik dan ia perlu dijaga, dihormati dan dilindungi. Islam memerlukan supaya kita menjaga beberapa perkara yang asas tetapi hak. Agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Menjaga keturunan bukan mudah, bukan mudah seperti yang dijangka. Seperti kata penghulu Semerah Padi lakonan P Ramlee: Rosak keturunanku dan rosak keturunanmu . Itulah yang dilabel jika berlaku perbuatan larangan di luar fitrah syara'. Yang haram kekal haram kecuali dihalalkan melalui akad nikah. Tanpa nikah haramnya berkekalan.
Ambillah iktibar. Ambillah pengajaran. Kuturanan kita tidak boleh dicemarkan. Tidak boleh dikotorkan. Tidak boleh dijadikan tidak sah taraf. Tanggungjawab setiap umat Islam untuk memelihara keturunan masing-masing. Pendidikan agama jangan sekali-kali dipandang remeh. Jangan diremehkan. Jangan dipinggirkan. Jangan dipermain-mainkan. Jangan diambil mudah. Jangan dispelekan. Kita ada tanggungjawab besar untuk menjaganya, melindunginya, mempertahankannya. Ia adalah pertaruhan antara yang hak dan yang batil. Antara keampunan dan kemurkaan Allah. Antara syurga dan neraka.
Jika kejantinaan sudah tidak lagi dihormati sebagai kesucian dan kesyahduan mendirikan masjid maka kita akan terjerumus merosakkan keturunan kita. Apatah lagi jika masyarakat tidak peka bahawa sesuatu perkahwinan mestilah melibatkan pasangan yang sah taraf khususnya bagi wanita. Jika wanita itu tidak sah taraf, wajib bagi ibu bapa angkatnya atau penjaganya memaklumkan kepada pihak berwajib yang akan menikahkannya tentang statusnya sebagai tidak sah taraf. Ini memberi panduan supaya keadaan dapat dibetulkan. Pernikahan dilakukan dengan wali hakim.
Orang Melayu Islam masih ramai yang keliru dengan hal ini. Ramai anak angkat yang dibin dan dibintikan kepada bapa angkat. Apabila mereka berakal tidak pula dimaklumkan yang mareka adalah anak angkat. Berlakulah hal-hal yang sepatutnya tidak berlaku. Mungkin berlaku berwali bapa angkat atau mungkin merebut harta pesaka bapa angkat. Alasannya kerana legal status pada bin dan binti bapa angkat.
Sekarang ini pergaulan bebas menjurus kepada seks rambang dan seks bebas. Ramai pula melibatkan remaja bawah umur yang masih hingusan, masih bersekolah dan masih pendek akal. Inilah bahananya kerakusan orang dewasa yang dangkal akalnya. Merosak generasi pewaris akan datang. Ibu bapa pula lemah dan kalah dengan kebiasaan dan kepetahan anak berbicara. Kawalan dan disiplin keluarga terbuang dan bersepah di sana sini.
Ada isu yang telah saya kupas dalam siri Masa Dulu-Dulu saya. Walau bagaimanapun saya ingin terus menyentuh fenomena akhir zaman yang menakutkan saya ini. Menakutkan sebab keturunan saya akan masih panjang lagi menghuni alam nanti. Kawalan disiplin hendaklah dari kecil, dari kanak-kanak lagi. Apabila anak sudah pandai berhujjah maka ibu bapa yang tidak "bersekolah" akan menghadapi kesukaran menentukan yang mana hak dan yang mana batil. Yang mana benar dan yang mana salah. Harus diingat, benar atau salah, hak atau batil adalah ukuran agama. Bukan ukuran adat. Bukan ukuran sosial. Bukan ukuran akademik. Bukan ukuran politik. Bukan ukuran barat atau timur. Bukan ukuran orang dewasa. Bukan ukuran orang kaya. Bukan ukuran orang berkuasa. Penentu akhirnya ialah Allah. Garis panduannya dalam Al-Quran. Penegasannya dalam hadith.
Ibu bapa tidak boleh hilang kawalan. Saya ulang, ibu apa tidak boleh hilang kawalan. Ulangan ketiga, ibu bapa tidak boleh hilang kawalan. Anda mestilah layak, berkeupayaan dan bersedia mengawal keadaan keluarga khususnya anak-anak. Jika anak kecilpun tidak boleh mengawalnya maka anda tidak mungkin dapat mengawalnya sewaktu anak-anak menjadi remaja atau setelah bekerja dan dewasa.
Kawalan ke atas anak-anak mestilah meliputi semua aspek kehidupannya. Kawallah tahap kepatuhannya. Kawallah gaya percakapannya. Kawallah pertuturannya. Kawallah caranya bila meminta atau menolak. Kawallah cara berjalan atau tingkah lakunya. Kawallah pakaiannya. Kawallah siapa kawan-kawannya. Kawallah waktu belajarnya. Kawallah waktu rehatnya, waktu santainya, waktu liburnya. Kawallah ke mana perginya. Kawallah di mana singgahnya. Kawallah siapa idolanya. Kawallah ibadatnya. Kawallah penguasaan agamanya. Kawallah jalan berfikirnya.
Semasa anak-anak membesar jangan biarkan ia sendirian. Jangan ditinggalkan di rumah sendirian. Jangan biarkan ia berfikir sendirian tanpa panduan atau bimbingan. Jangan biarkan dia keluar tanpa tujuan. Jangan biarkan dia terlepas dari kawalan walau apa sekalipun aktivitinya. Anak-anak anda perlukan pemantauan, pemerhatian dan kawalselia berterusan agar tidak berlaku sesuatu yang divergen dari mereka.
Setiap perincian sosok tubuh anak harus diperhatikan. Diteliti. Diamati. Jangan anggap mereka sudah besar. Mereka tetap anak-anak kepada anda. Ibu-ibu, intai anak sunti puan. Anak dara puan. Lihat tubunya sewaktu tidak berpakaian. Perhatikan jika ada keganjilan sewaktu mereka berpakaian. Ibu mesti peka/sensitif terhadap tubuh badan anak-anak. Kawalan ke atas mereka mestilah menyeluruh. Lengkap.
Jika semua itu dapat ibu bapa lakukan. Semua ibu bapa dapat melakukannya, barulah nanti ada keyakinan bahawa orang yang di kanan atau kiri kita, di hadapan atau di belakang kita, atau yang berjiran dengan kita, atau yang bakal menjadi pasangan kita, atau yang bakal menadi menantu kita adalah anak-anak yang secara mutlak adalah anak-anak sah taraf. Ya sah taraf.
Terpulang kepada kita sekarang. Terpulang. Jika kita mahukan yang terbaik maka lakukan yang terbaik. Kembalilah kepada agama, kepada Islam dan kepada Allah. Janji Allah itu benar. Kita akan kembali kepadaNya. Tidak ada kecuali. Jika sesat kembalilah. Jika tidak tahu belajarlah. Jika jahil bertanyalah. Usah biarkan diri hilang identiti, hilang jati diri, hilang agama, hilang Allah.
Ingatlah! Ibu bapalah yang menentukan hitam atau putihnya anak-anak. Jika anda gagal berbuat demikian maka nanti anak-nak itulah yang akan menyusahkan anda.
Monday, May 24, 2010
Agama dan Masyarakat: Membuang bayi atau Membuang Agama
Sekarang segalanya menjadi terbuka, tersingkap, terdedah, terlondeh, terlerai, terburai, terbarai dan terungkai. Perkara ini bukan baru berlaku. Prosesnya telah bermula lama dahulu. Sejarahnya tentu panjang. Tidak diambil peduli. Tidak diambil pusing. Tidak dianggap penting. Tidak dianggap mencemar bangsa, mencemar budaya dan tidak mencemar agama. Seluruh masyarakat hanya menunggu orang lain bertindak. Jika ada yang mendahului, ia dianggap menentang arus. Nah sekarang arus maksiat dan kebejatan itu menghanyutkan kita semua tanpa memilih lagi. Air sudah sampai ke paras hidung. Kes buang bayi ini akan menenggelamkan dan menenggelamkan orang Melayu Islam ke paras yang paling rendah. Orang kita sudah hina dalam berbagai aspek. Maka bertambah hinalah nanti jadinya.
Statistik yang ada sangat jelas menunjukkan bahawa majoriti yang terlibat adalah anak-anak Melayu Islam. Kita sepatutnya sudah lama muasabah diri untuk mencari punca, membendung dan mencari kaedah pencegahannya. Kita tidak lagi boleh menyalak, retorik dan menuding jari. Tudinglah jari itu pastinya tudingan itu mengena diri kita sendiri. Apa yang sebenarnya telah kita lakukan untuk memperbaiki keadaan? Apakah darjah kepekaan dan keperihatinan kita terhadap masalah yang melanda umat akhir zaman ini?
Kita tidak melihat ada kesungguhan. Kita tidak melihat ada urgency bahawa semua permasalahan ini padahnya mengundang mudarat. Kita lalai. Kita alpa. Kita tidak peduli. Kita tidak melihat ke dalam. Kita tidak mengukur akibat. Kita tidak berupaya expound bahawa hal ini suatu blown force. Kita tidak berkeupayaan untuk berfikir dengan kreatif atau inovatif atau proaktif. Malah kadang-kadang untuk berfikir secara reaktifpun mengambil masa yang terlalu panjang. Masa yang terbuang. Masa yang memanjangkan masalah dari kecil menjadi jurang yang tidak lagi boleh dihalang. Malah semakin mendalam. Kita selalu mati akal. Kita tunggu orang lain mula. Bila sudah ada yang mula, lambat pula untuk mengikut. Tunggu dan lihat dulu. Buat kajian dan penilaian. Baru cuba hendak menjejak mereka yang sudah memulakannya.
Kita selalu suka berada di luar kotak. Sepatutnya dari luar kotak kita melihat seluruh senario yang boleh membantu menyelesaikan masalah. Tetapi kita berada di luar kotak untuk bersembunyi dari terlibat sama. Kita menjadi pelarian. Pelarian masalah yang akhirnya menimbulkan masalah pula kepada orang lain. Kita menjauh hingga kita lenguh untuk terus bertangguh dan bertempoh untuk bertindak positif. Kita jadi lemas, kelemasan sendiri kerana sikap kita yang banyak negatif terhadap hal-hal yang positif. Ironisnya kita banyak positif terhadap hal-hal yang dilihat negatif oleh agama. Tidak disukai Allah. Rasul membenci.
Saya mengamati bahawa kesemua masalah mengenai gejala longgar agama, mencemar budaya dan mencemar masyarakat ini berlaku kerana hal-hal yang sepatutnya kita elakkan. Kita cegah dari mula. Akhirnya remaja kita terperangkap di dalam kotak yang mereka bina sendiri. Kepompong kosong yang memenjarakan. Orang dewasa di luar pula gagal melihat ke dalam kepompong itu bagi mencegah dan menghapuskan ulangan ketagihan. Menyekat yang lain dari mendekat. Bina pendidikan untuk mengerti. Memberi ilmu untuk pintar membawa diri.
Kita selalu ape the west. Ramai antara kita yang keliru bahawa yang dari barat itu boleh belaka. Sangat malang jika itu persepsi yang kita ada. Yang kita tonton dalam filem, video atau CD/VCD tidak semuanya berlaku di barat. Bukan semuanya budaya harian mereka. Salah, salah dan sangat salah. Semua yang kita tonton adalah the world of make believe. Ianya bukan realiti. Mungkin seks itu murah dan lumrah di barat. Tetapi masih ramai yang menggangap ianya sacred. Perlu dijaga dan dilindungi. Sebuah rumahtangga di barat boleh tumbang hanya kerana suami atau isteri menduakan pasangan masing-masing. Bukankah ini kontradik, ironis dengan apa yang kita tonton? Kita memahami hal yang salah. Yang kita faham bukan hakiki. Bahawa sesungguhnya agama Islam itu benar. Rasulullah itu benar. Allah itu benar. Lalu Syurga itu benar. Neraka itu benar.
Waktu menuntut di USA dahulu, seorang wanita teman sekelas saya yang sudah berumur melancong ke Eropah. Bila kembali saya tanya, "How's Europe?" Sambil mendengus dia menjawab, " Never, I'll never go there again." "Why?" kata saya. "You know what! I went to Brussels (di Belgium), phonography is everywhere. On the street for public viewing. My goodness. What a sight!"
Hairan kan? Hollywood berada di USA. Los Angeles dan San Francisco berada di USA. Nevada dengan casinonya berada di USA. Namun manusianya, warganegaranya masih ramai yang siuman. Rancangan cable TVnya masih beradat. Tanyangan sebelum pukul 10.00 malam adalah untuk general viewing. Untuk seluruh ahli keluarga. Ringan, santai, menghibur dan sesetengahnya akademik. Hanya selepas pukul 10.00 malam siarannya banyak untuk orang dewasa. Menjelang pukul 10.00 malam, TV mengeluarkan caption yang berbunyi, "Parents, please use your discretion and advise to view the next programme." Ini bermakna rancangan itu mungkin PG17, R, RR atau RRR.
PG17 bermakna bagi yang anaknya berumur 17 tahun atau lebih dibenarkan menonton dengan syarat ibu atau bapa menonton sama. Mandatori. Ibu dan bapa mesti mengambil tanggungjawab tersebut. Suatu peraturan sosial yang difahami oleh semua ibu bapa. Tugasnya ialah untuk mendidik jika ada babak yang di luar kemampuan anak untuk mengambil iktibar atau menjauhinya. R mungkin ada pelakon yang mencarut. Hanya sepatah perkataan mungkin. RR ada adegan yang lebih berat seperti memperkosa atau cubaan membunuh. RRR hanya untuk orang dewasa secara eksklusif. Ia bukan filem lucah tetapi ada unsur-unsur seks secara grafik. Bayangnya sahaja. Atau pembunuhan tanpa belas kasihan. Atau perlakuan lucah yang melampau.
Saya hanya melihat keadaan tersebut di USA sahaja. Di Canada, Di UK dan Singapura kedaannya tidak berlaku. Di Malaysia banyak perkara terlepas pandang. Lembaga Penapis Filem mungkin kena mengubah paradigma. Sekarang ini pula filem dan video tahayul semakin melambak di pasaran. Jin dan syaitan memang wujud tetapi bukan dalam bentuk hantu seperti yang digambarkan. Kesemuanya bukan untuk ditakuti tetapi untuk dimusuhi dan diperangi kerana keduanya adalah musuh yang nyata bagi Bani Adam seperti yang dinyatakan dalam al-Quran.
Anak-anak Melayu Islam sudah jauh disimpangkan, digelincirkan, dirosakkan dan dimusnahkan. Hedonism 24 jam tanpa henti. Yang ditonjolkan ialah keseronokan dan nikmat sementara. Keindahan fana yang tidak pernah kekal di minda, akal, perasaan dan tidak langsung membantu menambahkan kualiti hidup. Natijahnya ialah kesengsaraan, mudarat, mencemar maruah dan menghimpun kemurkaan Allah semata-mata.
Media elektronik sudah tidak dapat membezakan yang mana baik dan yang mana tidak. Yang mana hak dan yang mana batil. Yang mana mendidik dan yang mana merosak. Jika pertimbangan hanya komersil dan keuntungan maka ada manusia lain yang rugi, rosak, merana dan porak peranda. Kebejatan dan kesongsangan perlakuan-perlakuan mereka yang dewasa yang selalu membawa kemusnahan. Empayar Roman musnah kerana hidup hanya keseronokan. Lihatlah episod Julius Ceasar dan Mark Anthony. Mereka hanya lambang kegagahan yang tidak kekal. Lihatlah empayar Parsi yang musnah kerana memerangi Islam yang juga bermakna memerangi Allah.
Renunglah, kaum Nabi Luth yang negeri mereka diterbalikkan, ditenggelamkan, dihujani dengan lahar dan batu bernyala muntahan gunung berapi. Laut tempat mereka tenggelampun dinamakan Laut Mati. Maksiat mereka dihina Allah dan RasulNya iaitu Nabi Luth. Maksiat yang mendarah daging. Homosexuality dan lesbian menjadi amalan. Mereka melawan fitrah manusia. Di Malaysia kita melihat, mendengar dan membaca laporan kumpulan gay ini setiap hari. Lupakah bencana yang telah menimpa kaum Nabi Luth? Na'uzubillahi min zalik.
Lupakah kita kepada kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan. Kaum Nabi Hud (kaum 'Ad) yang dimusnahkan dengan angin kencang. Kaum Nabi Salleh (kaum Thamud) yang dimusnahkan dengan suara yang menggempitakan. Firaun yang ditenggelamkan. Kaum Saba' yang dimusnahkan empangan hebat mereka. Empangan Ma'arib yang membekalkan kekayaan pertanian dan perniagaan kepada mereka. Kaum Nabi Shuib yang dimusnahkan. Penduduk Pompeii yang ditimbus oleh muntahan gunung Visuvius di Itali. Ingat tak Banda Aceh yang dimusnahkan tsunami. Sebelumnya mereka tenggelam dalam maksiat.
Malaysia bukan berada di atas lingkaran gunung berapi yang merentasi beberapa bahagian dunia. Namun kita dekat dengannya. Jika Allah hendak mendatangkan azab, cukup dengan kun fayakun sahaja. Semuanya sangat mudah bagi Allah. Kita tidak mampu mencabar Allah. Secara literal kita tidak berbuat begitu. Tetapi mengingkari larangan, tegahan dan syirik pula tentu sama ertinya dengan mencabar Allah. Ingatlah bahawa janji Allah sentiasa benar. Dulu benar. Sekarang benar. Akan datang juga benar. Kita berada di bumi milik Allah. Kita tidak adil kepada Allah yang mencipta kita. Kita diberi pilihan terbaik tetapi kita masih berdegil memilih pilihan yang menzalimi diri sendiri akhirnya nanti.
Manusia mengandungi jasad, roh dan fikiran. Jasad kita inginkan keseronokan fizikal. Sentiasa mencarinya. Roh kita perlukan kedamaian. Tenteram. Aman. Sejahtera. Di mana akal kita jika tidak dapat menjadi adil dalam memberi keutamaan kepada fizikal kita dan kepada roh kita. Kesilapan berfikir akan memberi impak yang menderitai fizikal dan roh kita.
Saya berada di USA selama 18 bulan. Hanya sekali saya nampak sepasang manusia berkucupan. Isteri saya juga nampak sekali. Mereka mungkin Kristian. Mungkin juga free thinker. Tetapi di Malaysia, anak-anak muda Melayu Islam dilihat berpeluk di sana dan bercium di sini. Batas agama, batas sosial dan batas adat langsung dibuang ke tepi.
Media pula menggilai hiburan tanpa batas. Artis-artis yang diketahui memang gay, lesbian pengamal dadah, pengamal seks bebas terlalu kerap memenuhi ruang akhbar dan gambarnya ditunjukkan di media elektronik. Kadang-kadang kita tidak mengambil iktibar bahawa hidup mereka songsang, tanpa agama, individualistik, materialistik, terlalu pragmatik. Mereka menegakkan hak asasi manusia untuk membolehkan mereka berbuat apa sahaja atas nama hak asasi.
Hiburan melampau yang tidak reda-reda walaupun dikritik hebat oleh ulamak dan pakar sosiologi tidak pernah diambil pusing oleh pengamal hiburan, pengamal media dan oleh mereka yang terlibat dengan industri berkaitan. Berlanjutanlah akibat dan musibah yang melanda. Dari konsert dan nyanyian kepada dadah, arak, seks bebas, seks songsang hingga melahiran anak-anak tidak sah taraf. Mangsanya ialah bayi-bayi tidak bersalah yang dibunuh, yang disumbat di lubang tandas, yang ditanam hidup-hidup, yang dicampak ke tong sampah, yang ditinggal begitu sahaja, janin yang digugurkan.
Sifat haiwaniyyah sudah melebihi sifat haiwan yang sebenarnya. Jin dan syaitanpun membenarkan anak-anak mereka terus hidup sebagai bala tentera untuk menggoda anak Adam. Anak-anak tanpa nikah remaja Melayu Islam menjadi sampah, buangan, bangkai, kotoran. Perbuatan yang memual dan menjijikkan ini semakin membarah. Buatlah sesuatu. Ibu bapa di mana maruahmu. Di mana agamamu. Di mana Allahmu.
Manusia Allah ciptakan untuk menjadi khalifah. Menjadi pemimpin. Rasulullah mengingatkan bahawa setiap seorang dari kita adalah pemimpin. Nanti kita akan ditanya tentang bagaimana kita melaksanakan amanah kepimpinan kita. Sebagai khalifah manusia lebih mulia dari malaikat, dari jin dan dari syaitan. Di bumi kita lebih mulia dari haiwan. Di manakah diri kita sekarang. Di mana duduk kita. Rasulullah adalah bukti bahawa manusia lebih tinggi dari malaikat. Jibril tidak dapat melepasi Sidratul Muntaha sedangkan Rasulullah boleh. Rasulullah tidak terbakar sedangkan malaikat boleh terbakar.
Apabila Adam dihidupkan Allah memerintahkan supaya semua malaikat sujud kepada Adam. Bukti bahawa Adam (manusia) lebih tinggi kedudukannya berbanding malaikat. Tetapi kerana anak-anak kita hilang kemanusiaannya maka ketinggian, kehormatan dan kemuliaan manusia itu semakin hari semakin rendah. Pendidikan al-Quran hendaklah dipelbagaikan, diperkasakan, disebarluaskan, diambilerat, diberi keutamaan. Hendaklah mentaddabur semasa membacanya. Mengambil makna yang tersurat dan yang tersirat. Al-Quran bukan untuk dibaca dan kemudian tiada tindakan susulan. Baca dan amal yang kita baca. Amalan kena banyak dan mesti selari dengan yang terdapat dalam al-Quran.
Sistem pendidikan Islam perlu dirombak semula. Beri keutamaan dari segi amalan. Ada ilmu amalkan dengan betul. Ibu bapa ambillah peduli hal anak-anak. Ketahui di mana, dengan siapa dan apa yang mereka buat. Media, cukup-cukuplah dengan hiburan yang menasabah. Pihak berkuasa tempatan, nilailah konsert. Media cetak, hadkan ruang hiburan. Gambar dan cerita mesti dibataskan supaya darjah dan kualiti akhlak dapat dipelihara.
Pesan saya, pendidikan untuk anak-anak perempuan hendaklah meliputi ancaman-ancaman hidup zaman siber kini. Zina atau seks terlarang wajib wajib wajib dijauhi. Pergaulan bebas dibatasi. Aktiviti sosial dalam bentuk hiburan tegahlah di mana mampu. Jangan jadikan artis sebagai idola. Mereka tidak membawa kita ke mana-mana kecuali berhibur sahaja. Ramai yang darjah idolanya berganda-berganda lebih tinggi. Ulamak, pemimpin, ilmuan dan ramai lagi.
Kita, kita yang mesti membuat langkah mengubah paradigma kita sendiri. Kita yang mesti berusaha untuk melakukan perubahan. Kembali kepada Islam. Kembali kepada akar kita. Kembali kepada budaya kita. Kembali kepada yang hak dan bukan kepada yang batil. Anda boleh mengubahnya.
Hulurkanlah tangan untuk menyumbang ke arah kemuliaan agama. Hidup beragama. Kes-kes buang bayi adalah petanda bobrok dan bejatnya akhlak anak-anak Islam Melayu kita. Ia juga manifestasi kepada lemahnya ibu bapa Islam dalam mendidik anak. Maka bangkitlah. Pandanglah anak-anak kita kesemuanya. Periksalah Islam mereka, agama mereka. Lihatlah amalan Islam mereka. Mudah-mudahan mencegah itu jauh lebih baik dari merawat. Tambahlah ilmu keibubapaan. Sama-sama kita menjadi Muslim dan Muslimat yang diredhai Allah. InsyaAllah.
Sunday, May 23, 2010
Pusingan Akhir - Melabuh Tirai Anak Bongsu, Yang Kesembilan
Urusan anak ke IPT bermula dengan anak sulung pada tahun 1990. Anak kedua pada tahun 1991. 7 tahun kemudiannya saya berihat. Anak ketiga ke IPT pada tahun 1998. yang keempat 1999. Yang kelima 2002. Yang keenam 2006. Yang ketujuh 2006 (lompat kelas). Yang kelapan 2008 dan yang kesembilan 2010. Satu proses yang agak panjang menjangkau masa selama 20 tahun. Seorang sahabat meramalkan bahawa anak-anak saya kesemuanya akan ke IPT. A Syukur alhamdulillah, Allah memberi segala kemudahanNya. Mudah-mudahan Allah memelihara anak-anak saya. Jadilah mereka anak-anak yang soleh dan solehah. Begikutlah nanti cucu dan cicit saya menjadi keturunan yang soleh dna solehah.
Tanyalah semua ibu dan bapa. Jawapannya pasti serupa. Penat mengurus anak. Tetapi sentiasa teruja dengan kejayaan dan harapan masa hadapan yang penuh janji kebahagiaan. Penuh dengan kesejahteraan. Peluang pekerjaan yang sentiasa terluang. Pendapatan yang cukup melapangkan. Berbaloi penat yang dulu perih otot meregang. Kepuasan yang menempa ruang mendepang.
Apabila kesemuanya membuahkan hasil bahagia tentulah ibu bapa yang turut bahagia. Sejuk ibu yang mengandungnya. Tenang hati yang penuh doa. Harapan yang selalu dipanjatkan kepada Allah. Memohon jadikan anak-anak sebagai yang terbaik untuk dirinya, keluarganya, masyarakatnya, agamanya, Rasulnya dan untuk Allahnya. Itulah harapan ibu bapa terhadap anak-anaknya. Jadilah orang beragama. Paras rupa cukup sekadar ada. Kekayaan cukup seberapa ada. Keturunan dan nasab dijaga. Agama jangan sekali-kali tergadai kerana dunia. Itulah jambatan ke akhirat yang tiada dua atau tiganya.
Sebenarnya saya sudah lama berpisah dengan anak-anak. Apabila mereka memasuki asrama seawal tingkatan satu maka episod berpisah itu bermula. Lima tahun mereka pergi dan balik. Jia balik hanya dua atau tiga hari. Paling panjang cuti hujung tahun. Itu lima tahun yang pertama. Selepas peperiksaan SPM barulah mereka duduk di rumah untuk jangkamasa enam bulan. Anak saya jarang yang bekerja selepas periksa SPM. Kebanyakannya di rumah. Belajar mengurus rumah. Baik yang lelaki mahupun yang perempuan.
Selepas SPM bermula fasa kedua. Bila di IPT kembalinya semakin kurang kerap. Cuti semester mungkin ada kelas semester ketiga. Maka mereka jarang ditemui. Jarang bersama. Jarang di depan mata. Sesekali mereka muncul. Sesekali mereka dijenguk. Hanya telefon menyambung suara. Sms menyampai rasa. e-mail mengutus bicara. Atau berdoa di angin lalu. Sejahteralah kau semuanya. Allah memeliharamu.
Episod ini nantinya bersambung dengan peristiwa-peristiwa perjalanan hidup seorang anak. Nantilah dalam cerita yang lain. Suasana yang lain. Kta akan santai dan sembang lagi.
Buatlah pembaharuan. Ringkaskan proses pada hari pertama. Lapor terus ke asrama masing-masing. Habis cerita. Ibu bapa boleh balik. Ringkas seringkasnya.

Di mahallah Khadijah ini mudah-mudahan anak ini mendapat semangat Khadijah yang perihatin, penyayang, menyakini Islam, kekasih setia, isteri mithali, rela berkorban apa sahaja untuk Islam dan untuk Allah.

Wednesday, May 19, 2010
Ahlul Bait Dalam Kenangan
Malam tadi penulis hadir dalam majlis tahlil di rumah allahyarham Habib Ali. Yang hadir tetap ramai. Mengingati, meramaikan jamaah mensucikan Allah. Alunan bacaan al-Quran tetap syahdu. Zikir dan tahmid merdu di telinga. Yang hadir khusuk memusatkan hati. Yang pergi dirindui. Yang pergi didoakan. Yang pergi dalam semadi ilahi.
Banyaknya sadaqah. Melimpah ruah rezeki. Makanan berbagai-bagai. Yang memberi tidak pernah susut. Yang menghantar tidak pernah jemu. Yang mengangkat tidak pernah penat. Yang memasak tidak hirau keringat. Yang menikmati hidangan besyukur rezeki terhidang lazat. Semuanya dengan izin Alllah jua.
Waktu kita hidup kita selalu lupa. Kita melebihkan dunia kerana kita berpendapat bahawa dunia adalah segala-galanya. Kita selalu ingatkan akhirat hanya bila perlu. Bila ada ritual. Bila ada yang mengajak mula. Bila sekali sekala terpana dengan kesusahan dunia. Aduhai, kita selalu alpa. Kita selalu lupa. Kita selalu terlepas pandang. Dunia ini hanya sementara jua. Hanya fana. Hanya pinjaman. Sampai masanya kita kembalikan kepada Yang Empunya. Kita kembali kepadaNya. Kita kembali ke kampung halaman kita. Kampung halaman yang abadi. Yang telah dijanjikan Allah. Yang tidak pernah dimungkiri. Yang Allah akan tetap kotakan.
Hidup kita tidak menjanjikan apa-apa jika jiwa raga kita tidak kita hadirkan kepada Allah. Allahyarham Habib Ali adalah manusia biasa kepada manusia biasa. Kepada jauhari Habib Ali adalah ma'nikam. Permata yang tiada nilainya. Yang tidak ternilai oleh angka di dunia. Allah telah sembunyikan permata itu dari kesibukan dunia. Namun ramai jauhari yang mencari, menemui, bertemankannya, hadir tazkirahnya, mendengar nasihatnya, mendapat doanya, memandang wajah manisnya, merenung manis senyumnya. Ya Allah! Aku merinduinya ya Allah.
Hanya rasa hiba ini yang dapat penulis luahkan. Mengingatinya kerana kehilangannya. Mudah-mudahan Kau gantikan dengan Ahlul Bait yang lain. Yang akan menyambung kebersamaanku dengan susur galur RasulMu yang Kau kasihi. Habib Ali telah hilang dari pandangan mata. Hilang fizikalnya yang dapat ku sentuh. Hilang hadirnya yang dapat aku bersama. Hilang bait-bait kata dan ungkapan yang terucap dari bibirnya yang nipis. Sejuknya suara. Lembutnya bicara.
Saat akhir hidupnya baru ia penulis temui. Syukur kepadaMu kerana kesempatan yang Kau berikan kepadaku. Penulis dapat bersamanya semasa hayatnya hampir di akhirnya. Ia suatu nikmat besar kepadaku ya Allah. Ia kesempatan yang tiada nilainya. Insan istimewa itu menjadi istimewa dalam kenangan. Selalu dekat di hati.
Kita selalunya lebih sayang apabila sudah tiada. Apabila telah hilang. Apabila sudah lupus peluang untuk mengulang. Apabila tiada lagi ruang untuk bertandang. Hanya perasaan walang yang bersilang di hati. Dalam perasaan yang kehilangan. Tidak puas kerana tidak kerap bersamanya. Tidak dapat bersua dengannya lebih awal. Tidak dapat hadir dalam hidupnya untuk sama-sama berbicara tentangMu ya Allah.
Sesungguhnya apabila seseorang itu pergi menemui Rabbnya barulah kita kenal siapa sebenarnya orang itu. Waktu hidupnya tidak ramai orang yang kenal Habib Ali tetapi jenazahnya diiring ke persemadian dengan jumlah yang luar biasa ramainya. Hidupnya tidak diramaikan, tidak diraikan, tidak dimuliakan orang banyak, tidak disanjung. Tetapi apabila tiada entah dari mana jamaah datang berduyun-duyun tanpa henti. Penuh Batu Pahat dengan mereka. Datangnya merentas sungai dan laut. Negara dan benua. Barulah kita tahu rupanya orang mulia di sisi Allah sentiasa dimuliakan Allah. Dimuliakan juga oleh manusia. dan sudah tentu dimuliakan juga oleh malaikat. Allahu Akbar.
Melihat kembali cacatan penulis dalam ziarah pertama, kedua, ketiga dan keempat terlalu banyak titipan kerohanian yang diperolehi dari Habib Ali. Dari ibadat, ekonomi, munakahat, tauhid, pendidikan, sosial dan kemanusiaan. Pertemuan-peetemuan singkat itu besar manfaatnya kepada penulis, kepada yang hadir, kepada yang bersama. Tiada siapa yang hampa menatap, mendengar, menyentuh fizikal dan rohani. Malah selain sentuhan bidang-bidang di atas Habib Ali menyentuh juga hal falsafah dan tasauf. Demikianlah ketinggian bidang ilmunya hingga menjadi rujukan kepada yang arif.
Sepanjang 24 jam hari Rabu 19 Mei 2010 penulis berinteraksi dengan tiga orang yang merasa kehadiran Habib Ali dalam hidup mereka. Seorang warga emas dan dua orang lagi anak muda. Seorang sudah berumahtangga dan seorang lagi masih muda belia. Dari yang warga emas diseritakan dai pernah menerima wang zakat dari Habib Ali. Mereka berempat mendapat RM100 seorang. Melihat kepada kehidupan Habib Ali yang zuhud, melihat rumahnya yang tidak seberapa tentu tidak dapat dibayangkan berapa banyak harta yang cukup hol sehingga 1/40 dari hartanya menghimpun zakat sebanyak RM400. Paling kurang tentulah RM16,000.
Dalam satau kunjungan penulis ke rumahnya dulu, kebetulan ada seorang akhi dari Keerala, India. Sebelum tamat pertemuan, Habib Ali mengarahkan akhi itu menemui seseorang untuk mendapat infak sebagai musafir. Bayangkan dalam zuhudnya itu Habib Ali ada dana untuk membantu orang lain yang datang dari jauh sebagai musafir, yang menziarahinya.
Perbualan kedua penulis chat dengan seorang akhi muda. Sebenarnya dia lebih dahulu dari penulis menziarahi Habib Ali. Ada persamaan perasaan antara kami. Dia sempat memohon doa Habib Ali untuk mendapat kurnia zuriat dari Allah. Alhamdulillah dia sedang menunggu kelahiran anak sulungnya. Panjang juga kami chat. Kami akhiri dengan hasrat untuk bertemu pada suatu masa yang terluang nanti.
Pertemuan ketiga dengan anak muda yang kenal Habib Ali telah lama tetapi tidak menziarahinya kerana pandangan berbaur yang sukar diterjemahkan. Ia keliru dengan cerita-cerita ajaran sesat yang tidak dijelaskan. Dalam kita membongkar ajaran sesat, kita tidak pula memberi isyarat, memberi petunjuk tentang mereka yang lurus jalannya. Yang boleh diikut ajarannya. Yang boleh membawa orang lain lebih dekat kepada Allah. Di luar sana terdapat ramai mereka yang seumpamanya. Tidak tahu siapa yang perlu diikut. Tidak tahu siapa yang perlu dihormati ilmunya. Tidak tahu siapa yang memberi jalan lurus berpandu dan boleh ke destinasi abadi.
Sewaktu menjengah ke laman-laman web yang mengumumkan pemergian Habib Ali, masih ramai yang mempertikaikan kesahihan Habib Ali. Tidak tahu adalah satu kejahilan tetapi menghina keturunan Nabi, Ahlul Bait, adalah sesuatu yang sangat dangkal akal jadinya. Bertanyalah jika tidak tahu. Carilah maklumat daripada yang tahu. Angkatlah martabat diri untuk jadi lebih tinggi. Sekarang sudah akhir zaman. Yang baik selalu dilupakan. Yang gah dan yang dilihat bergemerlapan selalu jadi tumpuan. Hanya ilmu yang membezakan antara jauhari yang mengenal ma'nikam.
Apabila penulis memperkatakan tentang Habib Ali, ramai orang yang mengaku tidak tahu. Tidak memgetahui afdalnya menghadirkan diri bersama Ahlul Bait. Mengasihi dan merinduinya. Darah nabi yang mengalir pada batang tubuh Ahlul Bait tidak memberi makna kepada mereka. Darah itulah yang dulunya mengalir di badan makhluk paling agung yang diberi nama Muhammad. Nabi akhir zaman. Nabi yang menjadi penghulu segala Nabi. Rasul Ulul 'Azmi yang tiada tolok bandingnya. Satu-satunya Nabi yang diundang khas ke hadratNya. Di hadapanNya. Lalu diterima tugasan paling indah yang diberi nama solat. Dengannya manusia dikenal Islamnya, imannya, ibadatnya dan kecintaannya kepada Rabbnya.
Sepanjang hari semalam, kerana banyak berbicara tentangnya Habib Ali, hati selalu sebak. Rebak kerana Habib Ali sudah tiada. Sesungguhnya Allah yang menentukan siapa yang mendapat hidayahnya dan siapa yang tidak. Berbahagialah mereka yang pernah bersama Habib Ali. Mudah-mudahan pertemuan singkat itu menjadi tali penghubung yang tidak akan padam hingga ke akhirat nanti. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita akan bersamanya lagi. Kita akan bersembang panjang-panjang. Sepanjang yang tidak akan menjemukan. Yang tidak akan memenatkan. Yang tidak akan berakhiran. Sepanjang suatu keabadian yang berkekalan.
Ada iktibar yang perlu kita ketahui. Untuk mengetahui nilai baik seseorang kita hendaklah selalu bersama orang yang kita ketahui baiknya. Dari kebersamaan itu kita mendapat maklumat, mendapat khabar, mendapat berita, mendapat semangat, mendapat ibarat, mendapat nikmat menemui mereka yang ada barakahnya. Siapa sahabat kita menentukan siapa sahabat kita seterusnya. Ke mana kita seterusnya. Di mana destinasi kita seterusnya.
Tinjauan penulis mendapati orang Batu Pahat sendiri tidak tahu kewujudan Habib Ali. Hatta waktu jenazahnya di usung ke tanah persemadiannya, orang cuma melihat, mengetahui tetapi tidak dapat memanfaatkan peluang yang ada. Kepada mereka Habib Ali tiada apa-apa. Ada yang rumahnya hanya beberapa ratus meter dari rumah Habib Ali tidak tahu siapa Habib Ali. Allahu Akbar. Nikmat hanya bagi mereka yang pernah bersamanya.
Suatu hari penulis ditanya arah rumah seorang penyanyi terkenal tanahair. Selalu keluar di TV. Namanya gah mereta. Bila penulis katakan tidak tahu, mereka seperti tidak percaya. Suatu kepelikan kepada mereka. Tentulah penulis dikira jahil kerana penyanyi itu cukup terkenal. Tetapi penulis tidak malu. Perkara biasa kepada penulis. Penyanyipun seperti penulis juga. Manusia biasa yang tidak ada apa-apa kelebihan.
Apabila Ustaz Zahazan bertanya saya tentang Habib Ali saya jadi penasaran. Malunya tidak terhingga. Manusia istimewa yang tinggal di kampung sendiri tidak dikenal. Perlu pula maklumat tambahan untuk mengenal manusia istimewa tersebut. Malu yang teramat sangat. Bila kita daif maklumat tentang orang alim, orang zuhud yang dianggap wali tentulah perasaan malu yang menampar muka terlalu pedihnya. Jadi hina pula diri ini. Begitulah jahil kita tentang keutamaan-keutamaan yang terabai. Yang utama diabaikan. Yang kurang utama dilebihkan.
Dunia sudah akhir zaman. Alim ulamak semakin ramai dijemput Allah untuk berada di sisiNya. Yang tinggal adalah sisa-sisa yang masih boleh dipegang. Semakin pupus mereka bererti semakin sukar mencari rujukan. Mencari tempat berteduh. Mencari guru yang boleh memandu. Menemui pembimbing yang menunjuk jalan lurus.
Barangkali kita masih ada ruang dan peluang untuk memperbaiki diri. Mengkoreksi diri. Membetulkan bearing - arah benar yang perlu dituju. Sementara usia masih ada, jalan lurus masih boleh dicari. Kembalilah ke jalan itu. Jalan itu lebih cepat sampai ke destinasi. Lebih mudah sebenarnya. Lebih indah. Lebih nikmat akhirnya. InsyaAllah kita semua masih ada peluang. Pergunakanlah peluang itu untuk lebih dekat, untuk lebih bersama Allah. InsyaAllah.
Sunday, May 16, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Keenam
Begitulah Politeknik Ungku Omar (PUO) membentuk saya. 12 tahun yang panjang untuk mendewasakan pengalaman. Meningkatkan keupayaan sebagai pendidik yang berubah zaman, berubah persekitaran dari sekolah rendah hingglah ke universiti. Barangkali ada hal-hal yang perlu diingat. Ada iktibar yang perlu disemat. Saya titipkan di sini pengalaman peribadi sendiri. Ianya tiada kaitan dengan sesiapa yang masih hidup atau yang telah tiada.
1 Semasa mendaftar dan melaporkan diri, datanglah seberapa awal. Mereka yang lebih awal akan diletakkan di permulaan senarai. Yang datang lewat akan berada di hujung senarai. Apabila diperlukan tentu mereka yang dibaca dahulu mendapat lebih banyak perhatian. Banyak implikasi lain yang berkaitan dalam jangkamasa panjang.
2 Pakaian adalah penampilan fizikal luaran yang penting kerana selalu dilihat, dinilai dan dijadikan contoh teladan. Bersih, kemas dan segak tentulah memberikan impak yang kuat berbanding dengan mereka yang tidak mengambil berat. (Saya sedang merangka manuskrip ringkas mengenai panduan berpakaian ini).
3 Kehadiran di tempat kerja adalah sesuatu yang selalu diberi perhatian kritikal oleh ketua kita. Kedatangan mestilah menepati waktu (punctual). Semasa bekerja kehadiran juga diperhatikan. Datang awal jadikan suatu kebiasaan. Balik lewat jadikan suatu kebiasaan juga. Masa-masa yang tenang itu gunakan untuk membuat kerja-kerja yang tergendala kerana kesibukan melayan orang lain semasa waktu pejabat.
4 Keterlibatan semasa kerja juga diambilkira. Mereka yang selalu terlibat diberi pertimbangan yang lebih berbanding dengan yang kurang terlibat. Jangan menunggu arahan atau perlantikan. Jika ada kerja yang perlu dilaksanakan, ambil bahagian yang perlu.
5 Perhubungan sosial dengan rakan sejawat, dengan staf bukan akademik, dengan pekerja swasta dan kepada orang luar memainkan peranan penting sebagai penilaian terhadap adaptasi dan asimilasi seseorang guru terhadap dunia persekitarannya. Mereka yang selesa secara sosial akan mendapat laluan yang lebih selesa dalam jangkapanjang.
6 Dalam sebarang perbincangan atau mesyuarat jangan terlalu meminta dan mendesak supaya pendapat kita diterima. Jika cadangan kita tidak diterima, kemukakan pada waktu lain yang lebih sesuai. Mungkin diterima kamudiannya.
7 Jika diminta memberi cadangan, jangan segan atau kedekut memberi idea. Idea itu mestilah besar, logikal, ekonomik dan manfaatnya merata.
8 Kepada rakan sejawat jangan burukkan ketua. Kepada ketua jangan burukkan rakan sejawat. Menjaga keduanya merupakan keseimbangan yang dikira adil. Kita kena adil terhadap orang lain. Kelemahan orang lain bukan untuk kita injak-injak supaya kita boleh naik. Memburukkan ketua adalah tidak etikal kerana suatu hari nanti kita mungkin menjadi ketua. Saya takut mengulangi kesilapan ketua yang kita remehkan dahulu. Nanti orang pulangkan paku buah keras kepada kita. Memburukkan rakan sejawat pula akan menjadi baji yang akan merenggangkan persabahatan. Apa yang kita maklumkan kepad ketua lambat laun akan diketahui juga oleh rakan kita itu. Nantinya kita selalu diragui dan semua orang hilang kepercayaan kepada kita.
9 Sebagai pendidik kita hendaklah rapat dengan pelajar. Kita mudah didekati dan mudah menghulurkan bantuan. Tetapi awas! Apa-apa rahsia peribadi, rahsia akademik, rahsia pejabat, rahsia rakan sejawat dan rahsia ketua-ketua kita yang lain tidak boleh dikongsi dengan pelajar. Jika kita langgar etika ini, pelajar-pelajar nanti akan menggunakannya untuk meletakkan kita dalam situasi yang rumit. Rahsia yang kita kongsikan itu akhirnya akan diketahui oleh orang lain. Ingat OSA - Official Secret Act - Akta Rahsia Rasmi. Banyak lagi implikasi lain berkaitan dengan hal ini.
10 Belajarlah apa sahaja yang namanya pengalaman. Pengalaman ini akan sangat-sangat berguna apabila sampai masanya kita dinaikkan pangkat atau melaksanakan sesuatu fortfolio penting dalam organisasi.
11 Selalulah meletakkan orang lain di tempatnya yang tinggi supaya orang meletakkan kita di tempat yang tinggi juga. Hormatkan orang lain supaya orang lain menghormati kita.
12 Dalam masa bekerja jangan membuat kesilapan, jangan cuai, jangan lalai dan leka, jangan tidak peduli, jangan mengundur dan jangan menyongsong arus.
13 Bina peribadi ceria, sihat, lincah, pantas, berwibawa (authoritatif) dan bertanggungjawab. Pada masa yang sama tegas, boleh memotivasi, membimbing, boleh runding, bijaksana, ada budi bicara, adil dan saksama, perihatin, empati dan simpati, mengerti dan rendah diri.
Dalam pengurusan dan pentadbiran banyak perkara yang tidak dapat dipelajari secara tersurat. Banyak yang tersirat harus dapat diamati, dihayati, digarap lalu diamal bila keadaan memerlukan. Walaupun kaedah membuat keputusan diajar di IPT tetapi situasi yang sebenar tidak semsetinya mengikut teori sewaktu hendak diselesaikan. Pengalaman yang akan mengajar kita untuk bertindak dengan bijaksana. Lagipun realitinya ialah banyak perkara yang localised sifatnya bukan global semata-mata.
Pembacaan, pemerhatian dan banyak mendengar adalah antara cara pendidik mengembangkan diri. Perbincangan dengan semua orang hatta pelajar juga boleh menambahkan kewibawaan kita. Minat hendaklah terhadap semua perkara kerana pendidik tidak terhad kepada opsyen atau profesion khususunya sahaja. Bila kita pakar matematik tidak semestinya kita tidak arif tentang subjek-subjek yang lain. Kita juga arif tentng politik, ekonomi, agama, sosial, kewangan, sukan, seni dan sebagainya. Pendidik seharusnya all rounded person. Personaliti, penampilannya, buah fikirannya, pergaulannya, keterlibatannya dalam hal-hal kemasyarakatan, emosinya dan pengalamannya hendaklah seimbang.
Pendidik selalu dilihat sebagai orang yang boleh dirujuk. Boleh memberi analisis. Boleh memberi nasihat. Boleh memberi bimbingan. Boleh membantu. Boleh mengkaunsel. Boleh membuat keputusan dan boleh menyelesaikan masalah. Jika kita masih terasa kekurangan dalam banyak hal tanggungjawab kita adalah untuk melengkapkan diri kita sendiri. Kita sendiri yang perlu sedar kekurangan kita. Kita sendiri yang perlu tahu apa yang kita hendak dan inginkan. Belajarlah menganalisis teori SWOT ke atas diri kita sendiri. Lihat strength (kekuatan) dan opportunity (peluang) yang luas terbentang. Atasi weaknesses (kelemahan) dan hindarkan threat (ancaman-ancaman yang mungkin menggugat diri kita pada masa hadapan). Bina kebijaksanaan untuk mengubah kelemahan diri menjadi peluang untuk mengatasi segala cabaran. Begitu juga mengubah ancaman menjadi tangga kejayaan.
Kita harus putuskan sama ada hendak menjadi guru biasa yang tidak diketahui wujud atau tidaknya di mata rakan sejawat, di mata pelajar, di mata ketua-ketua kita, di mata ibu bapa dan di mata masyarakat. Atau kita hendak menjadi guru yang dibesarkan kewujudannya, tinggi lagi ditinggikan kedudukannya, dinanti kehadirannya, ditunggu buah fikirannya, dilihat kehebatannya, dikongsi pengalamannya.
Sebagai pendidik kita harus bina semua ini dari bawah. Dari tiada kepada ada. Dari payah kepada senang. Dari bayang kepada terang. Dari suram kepada benderang. Dari kelam kepada gemerlapan. Firman Allah yang mafhumnya: Tidak berubah sesuatu kaum itu kecuali kaum itu yang berusaha mengubah dirinya.
Setelah kita laksanakan semua itu barulah kita boleh duduk bersandar membilang hari-hari yang dilalui. Kita bukan berihat tetapi menunggu masa untuk menyerlahkan diri. Melaksanakan apa sahaja tugas dan tanggungjawab yang diserahkan kepada kita. Pendidik seperti kita, apatah zaman mutakhir ini, bukan mengajar semata-mata. Kita menjadi segala-galanya yang bernama guru. Segala-galanya terletak di bahu guru. Kita disandarkan untuk membina bangsa. Harapan itu tidak pernah padam. Semakin menggunung dari masa ke masa selagi guru membimbing zaman.
Saturday, May 15, 2010
Selamat Hari-Harimu Wahai Guru
Siapalah kita tanpa guru. Walaupun setiap guru peranannya sekadar beberapa minit sahaja setiap hari namun setiap guru memberi impak yang kuat kepada kita. Memang guru mungkin berada bersama kita selama 40 atau 80 minit sehari tetapi jika dibahagi dengan 40 orang rakan kita di sesuatu kelas tentulah kita hanya mendapat perhatian selama 1 hingga 2 minit sahaja setiap hari. Sangat-sangat terhad. Namun kita selalu beranggapan bahawa semua guru bertanggungjawap sepenuhnya terhadap terbangun atau tidaknya seseorang pelajar. Kadang-kadang persepsi yang tidak adil ini memberi tekanan yang berat kepada guru.
Keupayaan guru terbatas. Terbatas kerana keterbatasan waktu. Terbatas kerana keterbatasan prasarana teknikal dan ilmiah. Terbatas kerana keterbatasan kuantiti pelajar yang terlalu besar. Terbatas kerana keterbatasan tugas-tugas guru yang kompleks di sekolah. Kekangan-kekangan yang banyak yang membataskan keupayaan guru, kita seharusnya melihat dan menilai semula siapa guru sebenarnya.
Kita masih ingat seingatnya. Kita ingat kehadirannya. Kita ingat suaranya. Kita ingat kelibatnya. Kita akur ketegasannya. Kita dengar amarahnya. Kita sayu rayuannya. Kita semangat motivasinya. Ada masanya kita jengkel dengan tinggi suaranya. Kita geram tidak mendapat perhatiannya. Kita gagal memuaskan hatinya. Namun kita gembira dengan dedikasinya. Kita senyum ingatkan kehebatannya. Kita tertawa kerana lawak dan kecindannya. Kita santai kerana seronok berada di kelasnya. Kita selesa berada bersamanya.
Terima kasih kerana keikhlasanmu. Terima kasih atas dedikasimu. Terima kasih kerana kasih sayangmu. Terima kasih komitmenmu. Terima kasih kerana keperihatinanmu. Terima kasih kerana kesabaranmu. Terima kasih kerana motivasimu. Terima kasih atas dekatmu. Terima kasih atas keberadaanmu. Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Kau telah titipkan segala muatiara yang tidak ternilai. Kau berikan semua yang berharga. Kau telah penuhkan dadaku ini dengan perisai zaman untuk menghurai alam. Kau telah angkatku melebihi darjat yang biasa. Tahuku adalah tahumu. Mengertiku adalah mengertimu.
Aku ingat ketukan di jariku. Aku ingat pukulan di telapak tanganku. Aku ingat cubitan di perutku. Aku ingat libasan di punggungku. Aku ingat leteran memanjangmu. Aku ingat marahmu yang bersalut sayang. Aku ingat genangan air matamu. Aku ingat sayu suaramu membujuk supaya aku menumpu untuk berjaya selalu.
Entah di mana masa lapangmu. Entah di mana keluargamu. Entah di masa jiran-jiranmu. Entah di mana saudara maramu. Hidupmu hanya untuk aku. Segala-galanya aku. Sekolahmu. Rakan sejawatmu. Kesukaranku. Kepayahanku. Akhirnya kau hanya mahu senyum puas atas kejayaanku. Yang jadi kebangganmu. Yang jadi pengubat resahmu. Yang merangsangmu untuk terus mendidik adik-adikku. Bangsaku dan bangsamu.
Aku selalu melupakanmu. Aku selalu terlepas pandang hidupmu. Jasamu. Pengorbananmu. Susah payahmu. Kau hanya wujud dalam ingatan. Dalam lipatan ingatan. Dalam hati yang kelam. Dalam simpul-simpul serpihan dan cebisan zaman. Nun jauh di sana kau selalu ingat anak-anak didikmu. Bertanya khabar kejayaanku. Ingin tahu kebahagianku. Mencari ruang-ruang mengingat keletahku. Kenakalanku. Celotehku. Tangisku. Rajukku. Degilku.
Dalam samar-samar ingatan itu aku melihat kembali layananmu yang saksama dan adil. Pandangan matamu yang sejuk mendamaikan. Pandangan sayangmu tanpa mengira anak siapa aku ini. Kenal atau tidak keluargaku. Kaya atau miskinku. tinggi atau rendah kedudukan keluargaku. Bernama atau tidak ibu bapaku. Bangsawan atau marhaen keluargaku. Kau tetap didik aku seperti anakmu. Keinginanmu hanyalah untuk melihat aku kembali ke dalam keluarga dan masyarakat sebagai warganegara unggul yang menjamin dan menjaga keutuhan agamanya, masyarakatnya dan bangsanya. Kau ingin aku menjadi masnuaia berguna. Berjasa. Mengamal kebaikan. Mencapai kebahagian. Mencapai kesejahteraanku. Melengkapi hidupku.
Berapa ramai sebenarnya yang ingatkan kau. Ingatkan perananmu mendewasakanku. Menjadi manusia mengerti. Perasa. Perihatin. Tahu menghargai. Tahu berterima kasih. Tahu mengenang budi. Selamat hari guru untuk guru-guru ku.
Dalam usia setua ini tentulah hanya ada bebebrapa orang sahaja guru saya yang masih hidup. Membilang hari-hari terakhir mereka. Cikgu Ibrahim sudah tiada. Begitu juga cikgu Supian, Esa, Muhari. Yang masih ada cikgu Syukri, cikgu Jamadi dan cikgu Ali. Cikgu-cikgu di sekolah agama dahulu kesemuanya sudah tiada.
Tempatmu tinggi cikgu. Martabatmu tinggi guruku. Letakmu tinggi di mataku. Bagi yang sudah tiada hanya mampu ku titipkan al-Ftihah. Bagi yang masih ada semoga panjang usiamu. Lihatlah aku menjejaki dirimu. Moga-moga senang usia barakahmu. Amal jariah ilmumu. Ajaran baikmu. Jasamu tetap ku kenang cikgu. Kaulah sinar harapan. Kaulah penunjuk jalan. Kaulah pembimbing setia. Kaulah perentas masa yang selalu menabur bakti. Terima kasih cikgu. Dirgahayu cikgu-cikguku.











