Sunday, April 18, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Lima: Bab Kedua
Psikologi menarik bagi saya kerana dengannya saya memahami diri saya sendiri. Saya berjaya menterjemahkan keperluannya kepada pelajar-pelajar saya. Semasa di Kuala Terengganu, kadang-kadang saya membuat kejutan kepada pelajar. Saya katakan kepada seorang pelajar perempuan bahawa dia ada adik lelaki. Mana cikgu tau? Tanyanya. Pada saya mudah. Seorang kakak selalu perihatin terhadap keperluan adiknya. Si adik pula selalu meminta bantuan kakaknya. Maka si kakak membentuk sifat selalu suka membantu. Jika anak bongsu lagilah sangat mudah. Yang kuat merajuk, yang selalu meminta perhatian, besar kemungkinannya anak bongsu. Tetapi apabila saya berada di Politeknik dan sekarang di UTHM, kemahiran itu banyak yang hilang. Benarlah psikologi kepada guru banyak gunanya di sekolah rendah dan menengah.
Di IPT psikologi berubah. Ia lebih banyak untuk mengkondisi minda, membina akhlak, membangunkan kesarjanaan. Pujuk, marah, motivasi, ganjaran dan hukuman sudah tidak begitu wajar diberi perhatian berat. Kesemuanya diberi secara tersirat. Motivasi dilakukan dengan merenung ke dalam, monolog dan prolog, mengimbau kendiri, membina jatidiri, penampilan, pembentangan akademik, latihan pengucapan umum, etiket sosial, asas protokol, etiket di meja makan, kemahiran insaniah dan melalui projek akademik. Maka psikologi bukan lagi menganak-anakkan orang dewasa. Proses psikologi ialah untuk mematangkan mereka yang berada di IPT. Intelek mereka harus dibangunkan untuk meggapai setinggi mungkin proses analisis, hipotesis dan sintesis.
Waktu saya belajar falsafah dahulu, samar betul minda saya. Semasa mengikuti kursus Master of Education, di University of Pittsburgh dulu pun tetap samar juga. Lagipun profesor saya menggunakan bahasa Inggeris Amerika yang kedengaran bombastic. Bila mengajar Falsafah Pendidikan, maklumlah saya bahawa bahasa dan istilahnya memang begitu sebab falsafah adalah untuk orang dewasa. Lebih berumur lebih baik sebenarnya. Sosiologi dan Antropologi pula banyak membincangkan teori Charles Darwin mengenai manusia berasal dari monyet. Ape dan keluarganya Homo Sapien. Pensyarahpun menghuraikan dengan panjang lebar mengenai Java Man, Peking Man dan entah berapa banyak "man" dihuraikan untuk menjustifikasikan bahawa teori manusia dari monyet itu kononnya benar.
Sebelum tahun 2003, apabila saya mengajar matapelajaran Falsafah Pendidikan, saya rasa huraian saya hambar. Ikut sahaja seperti yang terdapat dalam modul atau seperti yang tertulis dalam buku. Tahun 2003 itu menjadi titik tolak perubahan apabila saya mengikuti kursus Sijil Pengajia Al-Quran di Universiti Malaya. Kemudiannya saya sambung pula dengan kursus Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin. Saya melihat dunia yang berbeza. Sebuah pintu ajaib terbuka untuk mengubah satu paradigma yang telah menghantui saya selama 35 tahun. Apa yang saya pegang bahawa manusia berasal dari monyet, yang dulunya mengganggu fikiran saya untuk menganalisisnya, yang dulu saya tidak tahu bagaimana untuk menyampaikannya, sekarang menjadi jelas kepada saya.
Saya tetap bercakap mengenai Idealism, Realism, Pragmatism, Materialism, Perenialism, Eksistensialism dan ism-ism yang lain. Tetapi saya kembalikan perbincangan falsafah melalui pendekatan yang selari dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Bayangkan tuan, ism-ism mengikut pandangan dan Falsafah Barat membahayakan, kalau boleh saya sebut, akidah. Apabila Aristotle memulakan gerakan menjurus kepada Falsafah Realism, soalan yang timbul di Barat ialah tidak adanya kaedah saintifik untuk menjejak Allah. Akhirnya ism-ism itu membawa kepada fahaman Atheism. Bila sampai di sini, habislah segala perbincangan mengenai agama dan kewujudan Allah. Mereka menjadi Free Thinkers. Ini amat menakutkan saya jika saya tersalah memberi huraian mengenai Falsafah Pendidikan yang saya sampaikan kepada pelajar-pelajar saya.
Harun Yahya banyak membantu saya. Buku-bukunya penuh dengan rujukan Al-Quran yang menafikan teori Charles Darwin. Setelah kira-kira 150 tahun sejak teorinya dikemukan, belum ada bukti nyata teori Charles darwin itu benar. Ambillah buku Harun Yahya, The Creation of The Universe (Penciptaan Alam). Cukup banyak bukti Al-Quran yang secara saintifiknya dibuktikan benar. Telescope Hubble menjadi titik tolak kepada orang Barat memahami universe yang terlalu besar untuk dijangkau fikiran manusia. Toeri Evolusi Charles Darwin runtuh satu demi satu.
Semua gagasan teorinya dibuktikan tidak benar dari masa ke masa. Teori evolusinya tidak pernah dibuktikan secara saintifik. Teori Java Man dan Peking Man tidak pernah konklusif. Banyak buktinya menujukkan ianya hanya hoax (penipuan) semata-mata. Dalam Al-Quran, Taurah dan Injil ada menyebut mengenai manusia Yahudi yang menjadi monyet kerana ingkar larangan Allah supaya tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Orang Yahudi menjustifakasikan kemurkaan Allah kepada orang lain. Lalu semua orang lain dikatakan berasal dari monyet. Lebih malang lagi dikatakan bahawa sebenarnya Charles Darwin mengalami gangguan mental semasa menulis teori evolusinya.
Saya membuat rumusan bahawa pengetahuan mengenai agama Islam sangat sangat sangat penting kepada semua guru yang beragama Islam. Apapun teori yang ingin kita bincangkan di dalam kuliah, syarahan atau kelas mestilah bersandarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Al-Quran dan Al-Sunnah adalah sumber ilmu yang tiada bandingannya. Bukti-bukti yang Allah wahyukan melalui ayat-ayatNya terlalu mudah untuk menolak teori Falsafah Barat kerana asasnya adalah rasional akal semata-semata. Al-Quran pula adalah bermukjizat dan trancendental. Jauh melampaui intelek manusia.
Teologi atau akidah Islamiyyah memandu Muslim supaya sedar akan kewujudan penciptaan dirinya. Mesti memahami bahawa sesuatu berlaku adalah dengan kehendak Allah. Bagi Allah sangat mudah. Hanya dengan kun fayakun, maka jadilah kehendak Allah itu. Dalam memahami akidah ini, saya menjadi sangat takut. Kita selalu amat mudah menyebut natural disaster. Diterjemahkan pula sebagai bencana alam. Bunyinya mudah dan ringan. Tetapi tersirat suatu implikasi yang besar dan sarat. Alam tidak ada kuasa mendatangkan apa-apa bencana. Hanya Allah sahaja yang mengizinkan berlakunya sesuatu sama ada nikmat atau musibah. Tidak ada yang secara kebetulan seperti teori Charles Darwin. Hanya Yang Maha Kuasa sahaja memiliki hak mutlak itu.
Setiap Muslim mestilah kembali kepada agamanya. Semua pendidik mesti mengislamkan ilmunya kerana Allah. Kita takut terjebak dengan pemikiran yang kacau kerana jika tidak, kita akan menjadi pendidik yang mengikut sahaja tanpa membuat penilaian tentang kewajaran sesuatu ilmu yang disampaikan. Sebagai pendidik kita harus maklum bahawa sesuatu ajaran yang "sesat" atau menyalahi agama besar implikasi negatifnya di dunia dan di akhirat. Kita kena tanggunag dunia akhirat.
Friday, April 16, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Lima: Kuala Terengganu Bab Pertama
Saya ulangi lagi bahawa saya seorang introvert. Entahlah. Secara kebetulan guru-guru saya yang banyak mempengaruhi kehidupan saya ialah guru-guru Bahasa Melayu/Kebangsaan saya. Cikgu Suratman Jais mengajar saya dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Guru dahulu. Seluar dan baju lengan panjangnya berwarna putih. Keras berkanji. Dia memandu kereta putih Fiat 600. Pintunya buka dari hadapan. Hebat pada pandangan saya yang berumur 14 tahun pada tahun 1961. Tingkah lakunya sederhana. Dia tidak pernah marah. Marahnya memuncak apabila telinganya memerah dan dia mendiamkan diri menahan emosi. Rakan sekelas akan faham keadaan itu dan masing-masing berusaha mengembalikan keadaan supaya tenang.
Iktibar ini selalu saya katakan kepada semua pelajar saya bahawa semua orang berhak untuk marah. Tetapi untuk melahirkan marah itu bukan dengan emosi. Cukup dengan mendiamkan diri. Telan apa yang tidak selesa kerana itu sebenarnya pengajaran untuk kita. Percayalah, menahan dan mengawal emosi itu lebih baik dari menjerit seperti orang histeria. Pelajar akan lebih tenang, lebih hormat kepada kita. Kita sebagai guru sebenarnya perihatin dengan kehendak pelajar yang perlu pula diserasikan dengan karekter mereka. Marah dan beremosi bukan sesuatu yang disukai pelajar. Ianya bukan alternatif terbaik untuk mengharmonikan perhubungan. Orang yang introvert seperti saya, lagilah takut dengan sesiapa sahaja yang beremosi. Emosi orang lain itu terasa terlalu menghimpit perasaan saya. Terasa payah bernafas dan berfikir. Saya lebih suka orang yang rasional. Sayangnya tidak berlebih. Marahnya tersembunyi.
Guru lain yang besar impaknya kepada saya ialah Cikgu Saat bin Bongkek dan Cikgu Rahim. saya tidak memberi jawapan kenapa mereka ini istimewa kepada saya. Bahasa Malaysia saya pada tahun 1965 hanya 7. Saya ambil semula pada 1972. Itupun dapat 3. Cikgu Saat mengajar saya Bahasa Malaysai Tingkatan 4 dan 5. Cikgu Saat agak istimewa. Berwibawa orangnya hingga ke tua. Cikgu Rahim pula mengajar Kesusasteraan Melayu di Tingkatan 5. Buka Teks kami ialah Panglima Awang karangan Harun Aminurashid. Minat kepada sastera cukup kuat. Novel Salina karangan A Samad Said dan noverl Desa Pingitan karangan (lupa sesduah 45 tahun). Kedua-duanya cukup tebal. Saya mampu menghabiskannya dalam masa cukup singkat. Perangai saya pula bila ada buku cerita sanggup bersengkang mata kerana tarikan untuk mengetahui penamatnya.
Saya, secara peribadi lebih suka berdikari. Independent. Saya ada kaedah tersendiri dalam semua hal. Semasa hendak menghadiri temuduga menjadi guru, saya ke Johor Bahru seorang diri dengan menaiki teksi. Sebenarnya itulah pengalaman saya yang pertama ke Johor Bahru. Saya tidur di Hotel di tengah bandar. Lupa namanya tetapi seingat saya bayarannya sekitar RM30. Seperlima dari elaun saya sebagai guru sementara. Itupun kali pertama tidur di hotel. Esok paginya saya kenakan baju kemeja berlengan panjang dan memakai tali leher. Masuklah saya ke bilik temuduga. Saya berterus terang dalam semua hal. Apabila disoal adakah saya solat Subuh pagi itu. Saya jawab dengan jujur bahawa saya tidak solat. Pada zaman itu keterikatan kepada kehendak agama tidak begitu kuat. Dipendekkan cerita saya berjaya dipilih untuk mengikuti latihan perguruan Pusat Latihan Daerah (RTC -Regional Training Centre). RTC lebih popular. Saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Ibrahim, Labis, Segamat, Johor.
Pergi mendaftar ke sekolah itupun saya seorang diri. Saya tidak boleh mengharap sesiapa. Tiada abang. Hanya adik perempuan. Ibu saya tidak berdaya untuk mengiring saya. Daifnya masih bersarang dalam kehidupan. Bermulalah kerjaya sebagai guru. Skop rakan taulannya semakin ramai. Walaupun hanya setahun di sekolah itu, pengalamannya cukup besar. Berinteraksi dan bersosial dengan rakan guru yang berbagai kaum cukup memberi pengalaman. Rindu saya tetap pada tunang saya di kampung. Sudah lebih setahun pertunangan saya dengannya.
Di Labis saya duduk dengan rakan-rakan bujang. Makan dan minumnya ala kadar. Elaun bulanan hanya RM150.00. Itulah wangnya untuk makan, untuk sewa rumah, untuk ke Segamat setiap minggu menghadiri kuliah, untuk balik kampung dan untuk menjengah tunang. Semjuanya perlu dijimatkan. Cukup rasanya walaupun agak rumit menjadualkan bajet.
Indah juga pengalaman menjadi guru pelatih. Dapat melawat tempat lain. Cuti penggal pertama ke Kuala Terengganu. Ada saya ceritakan pengalaman kelakar rakan saya dari Segamat. Yang lain pengalaman biasa. Pada cuti penggal kedua saya dan rakan pelatih yang lain dihimpun di Institut Bahasa, Lembah pantai, Kuala Lumpur. Baru minggu lalu saya perasaan namanya Institut Bahasa Melayu. Di situ jiwa saya berperang. Manakan tidak, ramai yang bercouple, berdua-duaan. Tunang saya di kampung. Jauh di selatan. Telefon belum ada di kampung. Nak sms apa. Mana ada telefon bimbit. Ideanya mungkin belum ada. Yang ada hanya ku kirim salam di angin lalu. Atau ku bisikkan rindu di angin lalu. Itu sahaja yang mampu. Hendak juga menulis surat tetapi duit setem parah juga. Pendam sahajalah perasaan.
Tahun 1968 saya dan yang lain dihimpun di Institut Bahasa. Oleh kerana kampus induk adalah untuk pelatih perdana, maka saya dan rakan-rakan yang lain dihantar untuk menghuni bangunan bekas Maktab Perguruan Teknik yang telah berpindah ke Cheras. Setahun saya tinggal di bangunan itu yang terletak di Jalan Damansara. 15 minit perjalanan dari bangunan Parlimen dan Tasik Perdana. 20 minit ke Muzium Negara. Solat Jumaat kami di Masjid Negara. Pada sebelah petang bisalah bagi saya dan rakan-rakan yang lain berjalan kaki ke Tasik Perdana. Hiburkan hati. Kebetulan pula hari minggu ada pertunjukan pentas di situ. Itulah hiburan kami. Ada sekali kami ke Stadium Negara. Saya tidk ingat untuk apa. Yang saya ingat ialah hiburan muzik. Di Institut pernah juga diadakan konsert untuk rakaman radio, RTM. Jamal Kerdil yang menjadi pengacaranya. Jamal memang kerdil tetapi suaranya masyaAllah. Bergema dewan. Besar dan garau. Memukau.
Saya jarang ke bandaraya. Terus terang, saya tidak mampu. Pergi balik dari kampung dengan warrant ticket. Naik keretapi. Percuma. Jika ada acara keluar kampus dengan bas, saya pasti ikut. Percuma. Jalan-jalan cari angin. Makan angin. Hiburkan hati yang sunyi.
Makan minum di maktab tidaklah semuanya enak. Maklumlah makan nasi kawah. Malangnya pilihan lain tidak ada. Telanlah mana yang patut. Tetepi ada juga rakan yang tidak pernah kenyang makan. Jika demam tiga pinggan. Jika sihat lima pinggan. Orangnya tidak sebesar mana. Makannya, kur semangat. Biasanya kami makan ada dua lauk. Sama ada ikan dan daging atau ikan dan ayam. Pinggan pertama rakan saya memakan ikan dahulu. Bila habis ikan dia akan pusing keliling jika ada sesiapa yang tidak makan lauk yang diperuntukkan. Dia memungut kesemua lauk tersebut. Maka makanlah dia lima pinggan terus menerus. Lazimnya dia akan mengambil masa lebih setengah jam berbanding dengan rakan yang paling lambat. Pendek kata bermacam-macamlah perangai masing-masing. Individu yang berlainan dan memiliki perbezaan hakiki untuk diri mereka sendiri.
Praktikum saya di Sekolah Kebangsaan Parit Pinang Seribu. Selepas tamat latihan, saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu (dulunya SMK Seberang takir). Saya pergi seorang diri ke Kuala Terengganu. Juga bermalam di hotel. Esoknya baru mendaftar di sekolah dan mencari rakan untuk mencari rumah sewa. Rumah pertama kami di Jalan Pantai. Sebuah perkampungan nelayan.
Hanya dua bulan di sekolah itu. Pada bulan Mac 1969 saya dipindahkan ke Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, di Bukit Kecil, Kuala Terenmgganu. Perpindahan itu mungkin baik bagi saya. Sewaktu di SMK Ibrahim Fikri, perjalanan ke sekolah menggunakan dua jenis pengangkutan. Pertama menggunakan sampan dari jeti berhampiran Pasar Payang ke jeti di Seberang Takir. Dari jeti Seberang Takir ke sekolah menaiki bas. Bila musim hujan memang haru dibuatnya. Kerap berbaju basah ke sekolah. Payung tidak begitu berfungsi. Angin terlalu kuat.
Ada kenangan manis di sekolah itu. Antara pengetuanya ialah Datuk Abdul Rashid Ngah. Seorang lagi guru yang menjadi Yang Berhormat ialah Cikgu Wahid. Orang kuat bola sepak Negeri Terengganu. Murid-murid adalah yang melucukan. Kerana masalah semantik, nama-nama pelajar menjadi masalah yang merumit dan memalukan kadang-kadang. Saya hanya menulis apa yang disebut murid. Nama mereka, nama bapa mereka dan nama kampung mereka. Bayangkan Kuntum dieja Kutung dalam sijil kelahiran. Mohd Nor jadi Manor. Kubang Badak jadi Kuban Badok. Kuntum yang paling saya kasihan. Mula-mula bila dipanggil namanya dia menyahut. Kemudiannya dia mendiamkan diri bila dipanggil namanya. Panjang lebar dia menerangkan bahawa namanya ialah Kuntum bukan Kutung.
Akan bersambung. Ikuti Bab kedua.
Thursday, April 15, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Empat: Sambungan
Sebelum pilihanraya, orang-orang kampung seperti baru bangun dari tidur dan bangunnya kesiangan pula. Ributnya tidak menentu. Semangatnya membara dan menjulang. Riuhnya cerita tidak lagi bertempat dan tidak lagi menentu masa. Antara sokong dengan bantah. Yang satu kata kita akan merdeka. Yang sebelah sana mengatakan tidak mungkin. Jarum sebatangpun orang Melayu belum pandai membuatnya. Macam mana hendak merdeka dalam keadaan begitu.
Pejuang-pejuang ketika itu bangga dengan baju dan seluar sedondon putih. Yang wanita berbaju putih, berkain merah dan bertudung merah. Kempen di merata-rata tempat. Dalam umur 9 tahu saya turut sama menyibuk. Satu budaya baru bagi orang kampung. Ada kempen pilihanraya. Tetapi istilah-istilah yang diguna tidak secanggih sekarang. Laungan merdeka di mana-mana. Gamat satu negara.
Kempen di kampung cukup sederhana. Yang datang Jabatan Penerangan. Jalanraya belum ada. Maka kesemuanya diangkut dengan motorbot. Penjana kuasa, layar tayang, projektor dan sebagainya. Hanya perlukan pentas kecil. Jabatan Penerangan memainkan rakaman-rakaman yang bermacam-macam sebagai kempen untuk menunjukkan aktiviti positif pemerintah. Lazimnya ada tayangan filem-filem lama. Yang paling kerap ialah cerita koboi atau cerita komidi. Bila cerita sampai ke kemuncaknya, tayangan dihentikan. Sesi kempen bermula. Jadi anti-climax betul.
Orang parti mulalah berucap. Calon pun berucap. Kira-kira sejam kempen tamat. Tayangan disambung semula. Oleh kerana suspennya ditangguhkan, orang ramai setia menunggu tamat cerita. Orang yang kempen entah di mana, yang menonton wayang leka malam semakin tua. Seingat saya ada tiga tempat saya terlibat mengikuti kempen. Pertama di Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah. Kedua di Sekolah Kebangsaan Seri Maimun. Ketiga di Sekolah Kebangsaan Parit Jawa. Ruang kempen yang ada, hanya padang sekolah. Kesemua pemimpin menjelajah ke semua pelosok tempat. Yang Melayu ke kampung-kampung. Yang Cina ke bandar-bandar. Yang India ke estet-estet. Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
Di tiga sekolah yang saya sebut tadi, saya melihat dari dekat Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama berkempen. Rasanya itulah kali pertama saya mendengar orang Kedah bercakap. Bapa mertua saya, hingga sekarang masih bangga mengunung kerana Tungku menyeberang sungai dengan perahunya. Keterlibatannya dalam UMNO cukup kuat ketika mudanya dahulu.
30 Ogos 1957, berbas-bas orang kampung berhimpun di Bandar Hilir, Melaka. Saya yang masih kecil hanya merasakan bahangnya, tidak melihat debarannya. Tidak menyaksikan syahdunya. Hanya ceritanya yang dikutip dari mulut ke mulut betapa saat perisytiharan kemerdekaan itu dilaungkan dilaungkan dilaungkan sebanyak 11 kali. Laungan yang disambut ramainya orang yang gembira dan bangga merdeka bergema di Bandar Hilir itu. Tanah pesaka yang mula dijajah pada tahun 1511 itu akhirnya bebas juga dari cengkaman penjajah selama 446 tahun. Hampir setengah alaf lamanya.
31 Ogos 1957 umur saya 10 tahun. Tetapi usia saya ketika itu mengerti ertinya merdeka. Kita akan bergerak menurut rasa gerak kita untuk memacu negara ke mercu kejayaan. Barangkali apa yang kita lihat sekarang ini adalah impian-impian samar yang saya dengar pada tahun 1955 dulu. Yang kempennya saya ikuti, melalui jalan-jalan gelap yang menyukarkan. Luapan semangat juang untuk berdiri sendiri. Membina jatidiri sendiri. Untuk jatuh dan bangun sendiri. Itulah terapan hasrat dan semangat orang-orang lama yang tidak pernah berbaur untuk mencipta nama atau untuk menghimpun harta benda. Dua orang Yang Berhormat di kampung saya, hidup biasa seperti biasa. Rumah kayunya masih kekal hingga sekarang. Tidak berganti dan tidak berperabot Itali. Tiada juga langsir dari Perancis. Tiada juga Mercedes dari Jerman. Anak cucunya hanya mewarisi namanya dan bekas jasanya.
Itulah semangat juang yang diterjemahkan. Yang direalisasikan. Waktu saya sekolah dahulu setiap menjelang detik 12.00 tengah malam 31 Ogos, saya pasti berdiri berhampiran dengan radio saya. Detik bunyi jam dari menara Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, dan bergemanya lagu Negaraku pasti menggetarkan seluruh tubuh kurus dan kering saya. Semangat lagu itu meresap hingga ke tulang sum-sum saya. Seluruh jiwa dan raga saya terbang bersama semangat yang sudah lama dibakar. Saya tertegak berdiri sambil mulut menyanyi lagu Negaraku yang seperti memukau mulut untuk menjerit sama. Jeritan batin jiwa yang telah terlalu lama dijajah. Yang telah terlalu lama dipijak dan diijnak. Yang sudah terlalu lama diperah hartanya. Yang telah lama mengkayakan tuan-tuan penjajah. Yang telah terlalu lama menidakkan hak-hak diri dan peribadi.
Berlalulah zaman-zaman penjajahan itu. Seorang demi seorang penjajah itu pulang meninggalkan tanah pusaka ini kepada yang berhak. Lalu perencanaan dilaksanakan untuk merubah lanskap dan senario negara dari mundur kepada membangun dan seterusnya menjadi maju menjelang 2020. Saya hanya seorang guru, seorang pendiddik. Saya bukan pejuang sebenarnya yang gelanggangnya besar dan global. Gelanggang saya sempit dan kecil. Perjuangan saya untuk mengangkat anak bangsa dari kemelaratan ke tahap ampuh membina keselesaan. Membina harga diri yang lebih baik, lebih perkasa kedudukannya.
Sudah hampir 54 tahun senario itu terpahat di sanubari saya. Masih segar dalam ingatan. Susahnya zaman-zaman sebelum merdeka. Tetapi susahnya hanyalah fizikal kerana makan minum tidak pernah menjadi masalah. Setelah 54 tahun merdeka kita masih menemui insan-insan yang lebih payah hidupnya dari saya yang serba payah dahulu. Rupanya sejarah manusia bukan sahaja berulang-ulang tetapi juga tidak pernah surut padam dari kesusahan dan kepayahan. Sekarang ini kepayahan kita ialah material. Hidup dalam dunia komersil. Tidak ada yang percuma. Hatta udara harus dibayar kerana terlalu pencemarannya.
Generasi saya sudah mula surut pupus. Hanya saki baki pesaka warisan yang tinggal. Generasi baru pelapisnya yang pasti mengganti. Ambillah iktibar dari kejayaan dan kegagalan masa lalu untuk diterjemahkan semula, diolah semula, dirawat semula, dirancang semula. Kemerdekaan itu hak tetapi bukan keistimewaan. Mendaptkannya tidak sesukar mana (bagi kes Malaysia) tetapi menjaga dan memperkembangkannya perlukan penelitian yang jauh melampaui zaman yang nun jauh di hadapan. Bila sampainya? Andalah yang merencanakannya. Saya lepaskan baton kepada anda semua.
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Empat
Entah kenapa ya? Inggeris telah lama kita halau dari tanah air tercinta ini. Namun semangatnya tetap kuat menjajah kita. Menjajah minda kita. Menjajah budaya kita. Menjajah seluruh kehidupan kita. Orang kitapun cukup kuat berkiblatkan London walaupun relevannya sudah tiada. Pada tahun 1986 saya transit di London dalam perjalanan pulang dari USA. Di Oxford Street saya window shopping. Nak membeli tidak terlarat wang dan beratnya. Barang yang dari USA sudah hampir satu kapal. Di sebuah kedai barangan kaca, saya jadi terpegun. Jelas dalam tulisan Jawi. Ya di Oxford Street London. London bang. Orang putih yang sudah berdekad-dekad kita halau dari tanah tercinta ini, masih menggamit orang Malaysia dengan tulisan Jawi.
Tentunya orang Melayu yang mereka maksudkan. Saya tunjukkan tulisan itu kepada isteri dan anak-anak saya. Orang Malayu yang mana ya membaca Jawi. Tentu sekali orang Melayu yang berpendidkan Melayu. Mereka mungkin kaya atau anak-anaknya berada di London. Yang mereka tahu ialah membaca Jawi. Begitulah darjah kepekaan orang putih. Pelanggannya diutamakan. Diraikan. Kembang hidung dan dada orang Melayu. Negaranya merdeka. Bahasa dan tulisan Jawinya diberikan kepada orang Inggeris.
Tulisan itu berbunyi: "Tolong jangan sentuh." Tahun 1986 tulisan Jawi sudah lama dipinggirkan di Malaysia. Orang Malaysia sudah lama membuang warisannya. Heritagenya. Tetapi orang putih masih lagi menjaga warisan kita. Ingatkah kita sewaktu Sir Stamford Raffles mula berkomunikasi dengan Sultan Husin Shah di Singapura? Raffles menulis dalam tulisan Jawi kepada Sultan Husin. Hingga tahun 1986 orang putih masih ada yang menggunakannya. Ke mana sebenarnya kita membawa jatidiri kita. Warisan sendiri yang zaman berzaman menjadi khazanah berharga, kita buang, kita abai, kita pinggir, kita campak begitu sahaja. Kadang-kadang kita megejar bayang, ilusi yang realitinya mungkin tidak ada.
Pada minggu lalu TV menyiarkan seorang Cina yang sudah berumur di Perlis yang hanya selesa membaca dalam Jawi. Dia hanya membaca akhbar Jawi. Utusan Zaman. Suatu ketika dahulu RTM menyiarkan rancangan menulis dan membaca Jawi. Nak tahu? Pengendali rancangan itu adalah seorang guru Cina. Selain dari Pak Matlob yang tidak pernah jemu dengan perjuangan Jawinya, tidak kedengaran lagi pejuang-pejuang sepertinya. Sisipan Utusan Zaman terpaksa ditaja untuk diterbitkan sekali setiap minggu. Itupun entah siapa yang membacanya. Bagaimana nanti kita ingin kembali menelusuri sejarah bangsa kita. Manuskripnya bertulisan Jawi bertabur di London, Leiden dan banyak lagi bandar-bandar besar di Eropah. Marilah kita renungkan bersama.
Mengapakah kita menjadi tidak sayang, tidak cinta dengan milikan kita sendiri, warisan kita sendiri, lambang sejarah kita sendiri? Bangsa lain yang maju tidak pernah mengabaikan bahasa dan tulisan mereka. Mereka tidak pernah tercicir berbanding dengan rujukan kita iaitu Inggeris. Di Barat kita senaraikan: Perancis, Sepanyol, Jerman, Itali, Greece, Rusia, Belanda, Belgium, Denmark dan negara-negara Scandinavia. Di Asia tidak kalah dengan Jepun, Korea dan Cina. Siapa yang kita hendak jadikan rujukan sebenarnya? Bila sebenarnya kita harus tegak berdiri membina jatidiri kita sendiri. Semangatnya telah diberi oleh Barnes dalam laporannya. Semangatnya telah diberi oleh Fenn-Wu yang menyokong Barnes. Kita undur ke belakang. Kita terlalu akomodasi. Lalu peluang yang di depan mata terabai. Akibatnya hingga sekarang kita belum berhenti bercerita tentang perpaduan kaum. Alangkah jika kita menurut jejak Indonesia. Tentu bahasa dapat menyatukan kita semua.
Di Negara Cina ada rancangan Radio Melayu Beijing. Mereka fasih berbahasa Melayu. Kita telah pula mengadakan pidato Bahasa Melayu yang pesertanya orang bukan Melayu dari seluruh dunia. Ini bermakna Bahasa Melayu telah jauh merantau, telah lama bermastautin, telah lama bermukim, telah lama bertahta di hati dan nurani bangsa-bangsa lain di dunia ini. Kita pula meminggirkannya. Musibah jika tidak disedari, jika tidak diinsafi, jika tidak dibendung, jika tidak diatasi.
Tahun 1979 saya berlegar di Pudu Raya dalam perjalanan untuk ke Ipoh kerana saya bertugas di Politeknik Ungku Omar. Saya disapa oleh seorang pemuda Cina. Cikgu, cikgu kenal saya? Dalam loghat Indonesia pekat. Pelik saya. Macam mana seorang pemuda Cina Indonesia bertanya begitu kepada saya. Oleh kerana lama saya terdiam, dia menyambung. Cikgu dulu mengajar saya Bahasa Indonesia di Terengganu. Saya dari Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin. Barulah ingatan itu menerpa kembali. Memang saya dulunya guru Bahasa Malaysia. Opsyen saya semasa latihan perguruan dulu ialah Bahasa Malaysia dan Geografi.
Silabus tingkatan empat dan lima mengandungi topik Bahasa Indonesia. Kebetulan saya berjeturunan Jawa. Bahasa Indonesia bukan asing bagi saya. Lancar saya mengajarnya. Sewaktu saya kecil, keluarga berbahasa Melayu Indonesia di rumah. Bukan telinga tetapi kuping. Bukan hidung tetapi cungur. Bukan leher loghat Melayu Riau tetapi leher loghat Indonesia/Jawa. Lalu saya bertanya, kok bisa omong Indosenia? Saya tiga tahun di Jakarta cikgu. Nulungi paman saya niaga kedei foto. Hanya tiga tahun, seorang Cina dari Malaysia berada di Jakarta, kembali ke Malaysia sudah tidak ada loghat Terengganunya. Sayangnya keadaan seperti itu tidak berlaku di Malaysia. Sukar sangatkah untuk berbahasa Melayu sedangkan di sekeliling ini adalah tanah Melayu, budaya Melayu, makanan Melayu, persekitaran Melayu. Ke mana jari harus ditudingkan. Malas juga untuk menyatakan. Terlalu lama dipendam perasaan. Kita sudah hilang jatidiri.
Sekarang kita masih lagi berada di banyak persimpangan. Bahasa kita atau bahasa orang. Dengan Bahasa Melayu, kita telah merentas ke Cina. Kita bawa pulang Puteri Hang Li Po. Kita terima singgahnya Laksamana Cheng Ho. Ramainya pedagang Islam dari Gujerat dan Yaman. Datangnya penjajah dari Barat. Orang Arab, Cina, India, Siam, Portugis, Belanda dan Jepun tidak mengambil Bahasa Melayu dan diganti dengan bahasa mereka. Kita menolak, kita tepis, kita tangkis, kita buang, kita tolak ke tepi. Malang sungguh dalam silat yang rancak, dalam langkah yang kejap, dalam pukulan dan tangkas mengelak, badi Inggeris tidak dapat dipatahkan. Kita longlai dengan Inggeris. Kita lunak dengan Inggeris. Tidak satu bangsapun di Barat yang sukakan British. Lain pula dengan orang Melayu khususnya.
Suatu ketika di Niagara Falls, Canada saya cuba berbual dengan seorang ibu (kelihatan biasa seperti orang putih yang lain). Hi, where're you from? Jawapannya menyentap dada saya. I no speak English! Bukankah ia bercakap Inggeris? Tetapi kepadanya semangat anti Inggeris terlalu tinggi. Di Canada orang Perancis yang menguasai Quebec bertahan dengan Bahasa Perancis mereka. Sebab itu di Canada semua label barangan adalah dwi bahasa. Inggeris dan Perancis.
Bersambung nanti, cerita-cerita menjelang merdeka. InsyaAllah.
Wednesday, April 14, 2010
Rokok Oh Rokok, Yang Haram dan Mengharamkan
Rokok bukanlah asing bagi saya. Datuk saya dahulu merokok. Rokok gulung daun nipah. Sayapun pandai menyiat daun nipah dahulu. Kebetulan ada serumpun nipah di tepi rumah saya. Hairan juga. Nipah selalunya di tepi sungai dan berhampiran dengan laut atau terkena air masin. Yang di tepi rumah saya cukup subur. Daun yang tua dibuat atap. Yang muda disiat untuk dikeringkan dan dijadikan pembalut tembakau. Buahnya pula boleh dimakan. Mayangnya boleh disadap untuk mendapatkan gula nipah. Serba guna juga pokok nipah ni.
Bapa-bapa saudara saya merokok. Sepupu-sepupu saya merokok. Jiran-jiran saya merokok. Orang kampung saya merokok. Rokok adalah mainan. Biasa. Tidak ada yang luar biasa. Saya dulu adalah perokok. Saya mula merokok dengan mencuba-cuba apabila sepupu saya selalu datang ke rumah. Cubaan itu sebenarnya yang menjadi ketagihan. Saya mula merokok sewaktu di tingkatan dua pada tahun 1962. Umur 16 tahun.
Di kampung semua lelaki merokok. Jika tidak merokok seperti ganjil. Bila ada majlis kenduri kahwin, saya selalu rewang. Sesiapa yang rewang sekurang-kurangnya mendapat dua hadiah. Tuala putih Good Morning untuk mengelap peluh dan sekotak rokok. Sekecil manapun lelaki itu, sekotak rokok pasti haknya. Rokok tidak ada keistimewaannya. Perkara biasa, lumrah. Sesuatu yang perlu dihisap asapnya. Tidak kenyangpun. Minda dan psikologi sahaja mengatakan ia menenangkan fikiran, mendamaikan. Mungkin nicotinenya dan unsur dadah yang lain meresap ke dalam minda hingga menjadikan ketagihan. Lahirlah istilah-istilah damai, tenang dan warna warni ilusi dan bayangan. Mencari damai sendiri yang entah di mana buktinya.
Secara saintifiknya, secara statistiknya, rokok adalah pemusnah diri, pemusnah keturunan. pelayar yang bernama Sir Walter Raleigh merupakan orang British yang bertanggungjawab, yang memulakan tradisi memusnah diri ini. Dalam pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin Red Indian di USA dia biasa dihidangkan rokok yang dihisap bergilir-gilir dengan tetamu. Ketagihannya dibawa ke England. Bermulalah episod komersilnya dan hingga sekarang rokok itu ada hubungannya dengan London. Tembakaunya mungkin dari Kentucky atau Virginia di USA.
Dari dahulu lagi rokok sentiasa kontroversi. Bukti-bukti perubatan dan saintifik menunjukkan bahawa rokok menyebabkan berbagai penyakit. Semua laluan dari mulut, hidung, tekak, paru-paru, hati, jantung, usus, otak dan banyak lagi terkena bahana asap rokok. Terlalu banyak cerita mengenai barah dan komplikasi penyakit bagi orang-orang yang merokok.
Secara fizikal, seorang perokok adalah kotor. Tangannya kotor antara air liur dan bakteria yang melekat di jarinya. Tubuhnya, pakaiannya, nafasnya semuanya adalah lambang rokok. Udara di sekelilingnya adalah cemaran, racunan asap rokok yang tidak pernah kasihan kepada sesiapa. Malang sekali bagi anak isteri yang ketua keluarganya merokok. Dia meracun dan membunuh sel-sel baik dalam diri mereka. Maka tercemarlah ahli keluarganya dengan main-main dan kebiasaan rokoknya. Implikasinya besar dan bagi ahli keluarga yang alahannya tinggi atau yang darjah imunnya rendah maka penyakitlah padahnya.
Saya berhenti merokok pada tahun 1982. Sebelum itu seorang rakan berhenti merokok. Dia ialah Datuk Dr Abdul Isa bin Ismail yang sekarang menjadi speaker DUN Negeri Kedah. Beliau pernah bersama saya di Politeknik Ungku Omar sebelum bertugas di POLIMAS dan kemudiannya di UUM. Selepas saya seorang lagi berhenti merokok iaitu Dr Yusof Ibrahim yang juga bersama saya di Politeknik Ungku Omar dan kemudiannya juga bertugas di UUM.
Sebelum berhenti merokok saya mencuba semua jenama rokok dari yang ada filter hingga yang tiada filter. Pall Mall, Lucky Strike, Navy Cut adalah antara jenama-jenama rokok yang tidak berfilter. Bila dihisap, asapnya terus ke otak. Waktu di Universiti Malaya dahulu saya memang galak menghisap rokok. Menambah ilham konon. Walhal ianya hanya kebiasaan kurang bijaksana. Tidak mengambil pusing risiko dan implikasainya. Wang yang tidak seberapa, dibazirkan begitu sahaja.
Isteri saya barangkali banyak membantu. Selalu disorokkannya kotak rokok saya. Bila tidak ada saya tidak bertanya. Saya tidak juga mencari. Sama ada saya beli yang lain atau tidak merokok. Lama kelamaan kebiasaan itu semakin kurang kerap. Akhirnya pada tahun 1982 itu saya berhenti merokok. Selepas berhenti merokok, saya mencuba juga sekali-sekala untuk kembali menikmatinya. Sesuatu berlaku yang mengubah senario buat selama-lamanya. Mulut saya terasa payau, kepala menjadi pening dan rasa tidak selesa setiap kali mencuba. Inilah penyudahnya, kata saya. Maka berhentilah saya dari menghisap rokok. Suatu amalan biasa dari tahun 1962 hingga tahun 1982. Pengalaman biasa dan luar biasa selama 20 tahun. Entah bagaimana berkaratnya peparu saya. Diasap selama 20 tahun. Bukan panjang tetapi suatu jangka masa yang sangat panjang.
Bayangkan asap tokok itu di kereta, rumah, kedai, pejabat atau setengah orang di masjid dan surau. Perokok memang orang yang tidak peka. Mereka menjadi orang-orang yang tidak langsung sensitif, tidak peduli, tidak ambil pusing akan ketidakselesaan orang lain. Kemabukan orang lain. Kebencian orang lain. Kerisauan orang lain. Malah ketakutan orang lain. Di USA kajian menunjukkan bahawa ibu yang merokok boleh melahirkan anak-anak yang bukan sahaja cacat anggota bahkan juga cacat otak. Fikirkan kesannya kepada second hand smoker. Isteri dan anak yang menghisap rokok walaupun mereka pada hakikatnya tidak merokok. Asap rokok sentiasa mereka hisap tanpa menghisap rokok.
Cuba fikirkan setiap kali hendak membeli rokok. Urungkan. Balik ke rumah simpan untuk tabungan pendidikan anak-anak dan masa depan mereka. Jika sehari mencecah RM10, maka RM3,600 setahun. Untuk 10 tahun apabila anak itu melangkah ke IPT sudah ada tabungan sebanyak RM36,000. Tidak perlu biasiswa, tidak perlu PTPTN, tidak perlu Baitul Mal, tidak perlu wang zakat. Zakatilah dirimu dan diri keluargamu.
Di Malaysia, ada undang-undang yang mencegah dan mengharamkan rokok di premis tertentu. Tetapi masalahnya undang-undang tinggal undang-undang. Penguatkuasaanya tiada. Practicalitynya tidak ada. Di negara maju seperti USA dan Canada, perokok adalah orang-orang yang menjadi makhluk terpinggir. Di pejabat umpamanya, perokok diasingkan dari yang bukan perokok. Di Kedai makan mereka diasingkan. Tempat awam memang dilarang merokok sama sekali. Bila pendidikan sudah tinggi, kesedaran publik sudah tinggi, sivik mereka sudah tinggi, mereka yang merokok menghormati hak orang yang tidak merokok. Mereka meraikan orang-orang yang bencikan rokok.
Perokok biasanya ditempatkan dalam bilik yang sama. Mereka bebas merokok yang pada hakikatnya mereka berbunuhan antara satu sama lain. Mereka merosakkan antara satu sama lain. Mereka menghapuskan antara satu sama lain. Mereka mencemarkan antara satu sama lain. Bilik mereka tidak boleh dihampiri. Memang killing atau exterminating chamber. Bila penghuninya keluar, bau rokoklah seluruh jalur perjalannnya. Lemas orang lain dibuatnya.
Akhir-akhir ini banyak usaha untuk menghalang implikasi negatif terhadap kesihatan perokok. Risoko kepada second hand smoker belum ada siapa yang ingin membela. Yang paling mengejutkan ialah penemuan bahawa untuk menyaring mudarat asap rokok, bahan dari darah merah babi digunakan pada filter rokok. Ya bahan dari BABI. Kajian ini di Denmark. Dijalankan oleh orang bukan Islam. Tiada kepentingan kepada mereka. Tetapi bagi perokok yang beragama Islam, sila berhenti sebentar. Rokok sudah di sepakati bahawa paling ringan hukumnya ialah makruh. Jumhur ulamak mengatakan rokok adalah haram. Bagaimana pula haram itu jika ditambah dengan satu lagi haram. Bahan dari babi yang haram? Takkan dua kali haram masih tidak memberi kesannya?
Bagaimana perokok yang mengerjakan solat tanpa menggosok gigi dan membasuh mulut? Babi yang haram ini, tidakkah perlu disertu? Aduh, gawat jadinya. Haram rokok setakat berdosa. Haram bahan dari babi perlu disertu. Disamak? Disucikan? Perlu mandi lumpur atau genyeh mulut dengan tanah. Fikirkanlah panjang-panjang. Dunia semakin tua. Qiamat semakin hampir. Hindarkanlah yang negatif yang tidak diredhai agama.
Atuk, pak cik, abang, adik dan anak-anak yang menjadi perokok, fikirkan dan buatlah pertimbangan yang waras. Hendak terus dengan amalan dan ketagihan atau menghindar untuk menyelamatkan diri dari menyedut benda haram setiap waktu. Haram yang di mulut dan di badan itu perlu ke dipalitkan kepada isteri tersayang? Kepada anak tersayang? Allahu Akbar. Cukup-cukuplah hingga setakat ini. Apa lagi yang boleh dijadikan alasan untuk menghalang diri dari terus merokok? Tepuk dada tanya kewarasan minda. Tanya kewajaran hukumnya. Cubalah. InsyaAllah boleh berhenti. Saya telah lama berjaya. Sudah 28 tahun saya tinggalkan rokok. Saya bukan bercakap dari segi teori. Saya ada pengalaman itu. Pengalaman mengajar saya. Hidup lebih bahagia. Anak isteri akan lebih selamat. Generasi akan datang bebas dari pengaruhnya. Kata Adibah Nur, "Anda boleh mengubahnya!"
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Tiga
Sekolah itu kira-kira 15 km dari kampung saya. Malangnya saya kena menunggang basikal dan menyeberang sungai menggunakan perahu. Jika setiap pagi bertolak dari rumah, memang sukar untuk sampai di sekolah pada waktu yang ditetapkan. Itu tidak termasuk dengan hujan, banjir dan lain-lain gangguan di jalan. Kebetulan ibu susuan saya (ada ceritanya pada pos yang lain) dan kakak sesusuan saya tinggal berhampiran dengan sekolah tersebut. Maka untuk kemudahan saya menumpang di rumahnya. Tidak ada masalah kerana ibu susuan itupun isteri kepada abang ayah saya. Ibu saudara saya sendiri. Dia pula tiada anak lelaki. Sayangnya pada saya memang luarbiasa.
Waktu itu saya sudah bertunang. Memang tengah jiwang-jiwang. Merindu tidak tentu arah. Cerita dulu-dulu. Tunang saya masih bersekolah. Tingjkatan 4. Cantiknya masih kekal hingga sekarang. Masa gadisnya buatkan saya gila semacam. Anak-anak angkat saya dah ramai yang melihatnya sendiri. Tanyalah mereka. Seperti saya sebut dulu, isteri saya pandai memasak. Siapa yang makan masakannya pasti terkenang-kenang. Entah bila dapat makan lagi masakannya.
Menjadi guru sementara di kampung banyak kenangannya. Guru sementarapun ramai peminatnya. Budak-budak darjah enam ramai yang berminat. Anak dara kampung lagilah. Bila saya mandi (di parit hadapan rumah) ramai yang lalu lalang. Ada pula yang bermasam muka sesama sendiri. Saya mana tahu. Tidak ada yang berani menyatakan perasaan. Saya introvert. Jeling berani, bertentang mata, kur semangat, memang terbang semangat. Selepas saya tinggalkan sekolah itu, barulah saya dapat cerita-cerita mengenai saya di kampung itu dahulu. Alhamdulillah saya boleh bertahan menggalas cinta saya. Kekal hingga sekarang.
Mengajar tanpa pengalaman profesional banyak masalahnya. Saya tidak tahu apa yang sepatutnya saya lakukan di dalam kelas semasa proses P & P. Apa yang saya ingat, saya rujuk imej visual dalam minda tentang gaya guru saya dahulu mengajar. Itulah panduan saya mengajar. Kursus tidak ada. Bimbingan tidak ada. Guru sementara memang serba serbi sementara. Mana ada psikologi, mana ada falsafah, mana ada pedagogi. Semuanya direntas berani semacam. Ajar tetap ajar. Bagaimana? Pandai-pandailah mengurus kelas dan masa.
Kanak-kanak kampung tidak banyak karenahnya. Darjah kepatuhan mereka hampir 100%. Oleh itu tidak ada masalah mengajar. Cuma itulah, jika guru sandaran terlatih tentulah dapat memberi khidmat yang terbaik untuk mereka. Aktiviti ko-kurikulum tidak banyak. Masa banyak untuk membuat kerja lain. Mendengar radio paling kerap.
Bila ada ujian, guru kena menaip kertas soalan masing-masing. Komputer belum disebut namanya pada masa itu. Rasanya sudah ada sebab ilmuan Islam telah mencipta prototypenya. Bagi kami ketika itu, tahun 1966, soalan ditaip menggunakan mesin taip. Mesin taip itu pula besar dan berat. Selalunya berjenama Remington. Kami menggunakan stensil. Taip ke atas stensil. Bila silap ada alat pemadamnya. Undurkan dan taip semula di atas kesilapan tadi. Bila siap kami gelek untuk mencetaknya menggunakan mesin cetak berputar. Sekolah di kampung tiada elektrik. Maka mesin itu saya gelek dengan memutarkan pemegangnya. Macam-macam hal. Selalunya selepas mencetak soalan akan comot tangan terkena dakwatnya. Hingga tahun-tahun 80an di Politeknik Ungku Omar, Ipoh saya masih menggunakan teknik yang sama.
Suatu hari sewaktu saya menaip soalan di rumah, menggunakan mesin taip sekolah, datang suami sepupu saya. Umurnya sekitar 60 tahun. Melihat saya menaip geleng kepalanya seperti hendak tercabut. Kagumnya bukan kepalang. Mulutnya berdecit-decit tidak berhenti-henti. Tidak terkata kagumnya. Agaknya jika ia masih hidup sekarang ini, tentu pitam atau pengsan melihat mudahnya kita menggunakan laptop yang diusung ke sana ke mari. Tak ada hal kepada kanak-kanak. Semuanya sangat mudah dan memudahkan.
Masa dulu-dulu kesusahan dan kepayahan di mana-mana. Api dan air semuanya kurnia Allah. Minum dan makan air hujan. Waktu malam pelita minyak tanah. Memasak menggunaka kayu api. Gas belum ada. Petronas belum wujud. Hiburan hanya radio menggunakan bateri, dry cell. Di kampung hiburan lain adalah ghazal, orkestra kampung, kemudiannya datang kugiran (kumpulan gitar rancak). Jika pada tahun 50an hiburan radio banyak berpusat ke Radio Singapura pada tahun 60an arahnya mula ke Radio Malaya (sekarang Radio Malaysia - RTM).
Radio Singapura menghidangkan bangsawan di radio, lagu-lagu permintaan dan drama radio. Tahun 60an hiburan radio lebih kepada muzik baru yang bermula dengan twist lalu bertukar kepada ago-go. Rock-and-roll masih popular, termasuk jazz, romba, samba, joget, cha-cha, waltz, pop rock dan banyak lagi sebelum bertukar kepada genre muzik yang berat seperti sekarang.
Hiburan untuk anak-anak muda tentulah lagu-lagu pop. Bergemalah lagu-lagu M Osman, Datuk Jeffry Din, Datuk Ahmad Jais, Datuk A Rahman Hasan, S Mariam, Dayangku Faizah, A Ramlee, L Ramlee, J Sham, Kartina Dahari, Rafeah Buang, M Ishak, Zaleha Hamid, Sanisah Huri, A Rahman Onn. Ramai lagi yang jika disenaraikan memang panjang. Antara lagu popular yang hingga sekarang masih lunak didengar ditelinga, Oh Fatimah, Salam Muhibbah, Kenangan Mengusik Jiwa, Seruling Bambu, Kenanganku, Kucupan Azimat, Di Ambang Sore. Aduhai, masa yang berlalu membawa bersamanya lemah gemalai, lenggang lenggok lagu-lagu pop tahun 60an. Klasik Nasional sentiasa menyegarkan dengan lagu-lagu tersebut.
Zaman 60an, hiburan lain yang sangat popular ialah fun fair di kampung-kampung. Bukan apa sangat. Yang ada hanya sebuah pentas. Penyanyi jemputan, dari Singapura biasanya akan diundang menyanyi beberapa lagu. Diselang pula dengan drama sebabak dua. Atau jenaka beberapa ketika. Ada pula orang kampung yang menyanyi. Di lingkaran luar ramai pula orang berjualan. Masa dulu-dulu itu yang dijual ialah lepat pulut, pecal, kuih muih kampung, pisang goreng. Ada kuih koci, belebat, naga sari, epok-epok, keria, lontong dan soto.
Meriahnya kampung bila sesekali berhibur begitu. Berduyun-duyun juga mereka dari kampung-kampung berhampiran. Penuh sesak jalanraya. Semak samun menjadi terang. Tanah becak menjadi kering.
Kembali cerita guru sementara. Psikologi patut di ajar di sekolah menengah. Semua anak muda tahu psikologi. Sekurang-kurangnya boleh psiko diri sendiri. Bila bekerja tahu, ke tengah dan ke tepi. Bukan main sesuka hati. Membentuk gaya kepimpinan yang entah dari mana. Berguru tidak juga. Selain dari berbakat, kepimpinan hendaklah dipelajari, dipupuk dan sentiasa dikemaskini. Keperluan semasa tidak sama dengan keperluan masa hadapan.
Walau bagaimanapun, pengalaman menjadi guru sementara itulah sebenarnya suntikan semangat bahawa saya boleh menjadi guru secara realiti. Jawatan guru sementara itu mengajar saya berinteraksi, mengurus diri dengan lebih berketrampilan, berkomunikasi, berkemahiran sosial, mengurus kewangan, membantu rakan sebaya, mengurus masa dan membina kerjaya.
Dari kampung ke kampung, kembara saya berlabuh dalam latihan pergururan Pusat Latihan Daerah (Regional Training Centre -RTC). Saya memang introvert. Tetapi menjadi guru sementara itu melatih saya berhadapan dengan audien, membina kemahiran bertutur, mengawal suara, memainkan intonasi, melawak dan membina kemahiran bersosial.
Dalam merentas masa yang panjang, menjadi guru sudah sebati. Sudah mendarah daging. It comes naturally. I maybe a born teacher. Cuma saya tidak sedar potensi itu. Jika saya telah memilih menjadi kerani, menjadi polis, menjadi tentera tentu saya tidak lagi di sini. Menjadi guru memberi saya ruang untuk mendapatkan ijazah, sarjana. Tidak berkesempatan untuk PhD. Masa sudah suntuk. Masih tersemat niat sebenarnya. Usia bukan penghalangnya.
Waktu saya buat sarjana dulu, ramai rakan-rakan yang kutuk habis. Buat apa, kata mereka. Bukan boleh naik pangkat. Bukan boleh tuntut gaji lebih tinggi. Memang benar kata rang tua, penuhkan ilmu di dada, kelak hidupmu tidak akan susah. Semua yang mengutuk saya dulu akhirnya buat sarjana juga. Tentulah mereka cemburu. Saya ke USA sekeluarga. Anak saya lima orang. Tambang percuma. Ada elaun rumah. Ada elaun keluarga. Waktu itu saya mendapat USD 925. Gaji di Malaysia sepenuhnya tidak berusik di bank. Inilah waktu kumpul duit. Tiap-tiap bulan masuk akaun. Tak diusikpun. Anak-anak makan di sekolah. Percuma lagi. Rasa seronok hidup sekeluarga di perantauan. Nantikan episod di USA.
Dari guru sementara itu saya menimba pengalaman untuk mengawal kelas, untuk membujuk dan bertegas. Untuk menghukum dan memberi ganjaran. Untuk memanja dan untuk menjarak diri. Untuk mengkaunsel dan untuk memberi bimbingan. Guru seperti bapa, tetapi tidak boleh terlalu mesra. Kena ada batasnya. Bermain layang-layang. Bermain tali. Ada masanya dihulur dan ada masanya ditarik.
Indahnya menjadi guru. Alam pendidikan yang jika pandai menjaga diri, tentunya bersih dari amalan tidak sempurna. Kerja dengan ikhlas, dedikasi, komitment. InsyaAllah Allah akan membalas dengan ganjaran yang tidak terhingga. Saya di Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas hanya sekitar enam bulan. Seronok sebenarnya keluar dari sekolah menengah, keluar dari rumah. Berdikari sebentar sebelum menerobos dunia realiti yang sebenarnya. Dunia yang penuh cabaran, penuh dugaan, penuh halangan dan penuh kekangan.
Pengalaman bekerja sebentar memperkayakan pengalaman untuk mentadbir dan mengurus. Pastinya berguna pada masa hadapannya. Bersama anak-anak kampung yang tidak ada bezanya dengan zaman kanak-kanak saya, mengimbau keinsafan bahawa sesuatu perlu dilakukan. Mungkin hasrat itu kesampaian setelah 41 tahun menjadi guru. Tiada statistik untuk dijadikan bukti. Mata kasar melihat anak didik ada di mana-mana. Masih ada yang ingat. Masih ada yang menyapa. Masih ada yang merisik berita. Peratusnya kecil. Yang lain melangkah meninggalkan saya. Tiada berita. Doa saya, mereka berjaya dalam kehidupan mereka. Guru seperti saya hanya mendoakan kebaikan sahaja.
Sejak menjadi guru sementara pada tahun 1966, saya telah berada di beberapa institusi pendidikan yang berbagai tahapnya. Saya tidak pasti jika ada orang muda menegur saya. Di mana pertemuan itu berlaku. Yang karekternya istimewa masih ingat. Yang biasa-biasa yang sukar diingat. Yang mana dari Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas, yang mana dari SMK Munsyi Ibrahim, Labis; yang mana dari SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu; yang mana dari SM Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu; yang mana dari SMK Tun Dr Ismail, Parit Raja; yang mana dari SM Sains Kluang; yang mana dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh; yang mana dari Yayasan Perak, Ipoh; yang mana dari USM, Ipoh; yang mana dari SMT Johor Bahru dan yang mana pula dari PLSP/ITTHO/KUiTTHO/UTHM. Jika tidak mengenalkan diri, payah hendak diingat.
Itulah kepuasan seorang guru. Anak didiknya ada di mana-mana. Mereka sedang melaksanakan amanah yang saya sambungkan kepada mereka. Mudah-mudahan akhlak mereka terpuji. Agama mereka kuat. laksanakanlah tugas kerana Allah semata-mata.
Kelas 2009 - Nostalgia Yang Memanjang
19 orang kesemuannya. 17 perempuan, maaf, wanita dan 2 orang lelaki. Menjadi kebiasaan di FPTek, pelajar-pelajarnya ramai wanita. Elok juga rasanya kerana sifat keibuan yang ada pada mereka sangat sesuai menjadi guru. Ada sentuhan kasih sayang, sentuhan lemah lembut, sentuhan menghayun buaian yang jika dilanjutkan ada sentuhan yang akan menggoncang dunia. Lelaki hanya 2 orang sahaja. Entahlah di mana-manapun lelaki menjadi nadir, langka, sukar dicari.
Nur'ain, Nur'alimah, Nuraina, Nurfadzilah, Nurul Husna, Nurul Nadiah, Nurul Sima'a, Paul, Rohaina, Rohana, Salfinatul Nazwa, Siti Khadijah, Siti Rubiyah, Siti Sharina, Siti Syahadah, Siti Zuraiya, Zaliah, Zulafzanizahrin dan Zuraida. Terakam dalam gambar terakhir kelas hanya 15 orang sahaja. 4 daripadanya tidak ditemui hingga sekarang. Hanya 19 orang tetapi tidak kesemuanya boleh diingat. Seperti selalu saya katakan dalam kelas, kita mengingat yang nakal, yang keletah, yang rimbun, yang tinggi, yang cantik dan yang karekternya berbeza dengan yang lain.
Menjadi guru/pendidik bukan kerja yang selalu memberi kepuasan. Tanggungjawab saya hanya mendidik, memberikan panduan, nasihat dan motivasi. Jika diterima dan diamalkan, adalah bahagian amal jariah yang melegakan di alam barzah nanti. Jika tidak diterima, tidak mengapalah. Apapun mereka telah melalui suatu sesi di bawah naungan saya. Mereka telah lulus. Sebahagian besarnya mendapat A.
Seorang guru akan kekal menunggu pelajar lain yang bertandang silih berganti. Guru itu kekal di stesennya hingga tamat perkhidmatannya. Bila kesemuanya berakhir yang tinggal hanyalah kenangan dan imej-imej yang semakin lama semakin pudar. Hanya di sudut hati akan tersimpan satu kenangan lama bersama kemanjaan, keakraban, ragaman dan bersama pula masalah-masalah yang dikongsi bersama. Membangunkan mereka, memberikan bekalan hidup dan bekalan profesional, menyediakan mental dan psikologikal, memberi input-input sarwajagat hanyalah suatu rutin kepada seorang guru seperti saya.
Menjadi pendidik di IPT banyak juga cabarannya. Pelajar sudah membentuk fikiran sendiri. Mereka memiliki intelek, kemahiran berfikir, kreatif dan bersedia meneroka tantangan-tantangan apa sahaja yang menghalang hasrat menjadi pelajar dan graduan terbilang. Tugas pendidik hanya sebagai fasilitator. Membimbing sekadarnya supaya tidak ada yang tersalah langkah supaya hasrat utama untuk berjaya tidak pernah terabai.
Karenah pelajar inilah yang memberi cabaran kepada guru. Apa lagi yang perlu diberi kepada mereka. Apa lagi yang perlu diserahkan sebagai kesinambungan warisan seorang guru. Apa lagi yang dapat melestarikan martabat seorang guru. Harga dirinya, jati dirinya, entitinya, wawasannya, jauh perjalanannya, destinasinya, stesen-stesen hidup yang menjadi perhentian-perhentian sementara seorang guru. Namanya mungkin dijulang. Mungkin juga di jurang. Ikutlah ke mana arah yang dibawa arus dirinya. Ke lurah. Ke bukit. Ke angkasa. Atau ke mana sahaja yang menjadi pilihan hati.
Tetapi sebagai guru banyak pantang larang yang harus dihindarkan. Dunia guru adalah dunia yang berstatus tinggi. Dunia manusia elitis. Dunia manusia yang dianggap putih bersih bak kain putih. Dunia impian untuk menggapai realiti. Dunia penuh rona yang kadang-kadang melebihi seorang selebriti. Dunia yang cantik dan indah di mata anak didik. Dunia penuh glamour di mata masyarakat. Dunia yang kadang-kadang, maaf, penuh ilusi.
Dunia guru ini istimewa. Namun tidak ada janji bahawa guru akan menjadi insan-insan yang istimewa. Sesiapa yang rezekinya melimpah ruah, jalan mudah baginya naik pangkat, menerima penganugerahan dan kenaikan gaji tidak terbatas. Jangan cemburu kepada mereka. Rezeki tiap-tiap seorang tidak sama. Allah menganugerahkan keadilan yang sangat-sangat bersesuaian dengan individu itu.
Kerja sebagai guru, melebihi profesional yang lain. Malang pengikrirafannya tidak seberapa. Dunianya hanya di sekitar tempat kerjanya, rakan sejawatnya dan anak-anak didiknya. Kembali ke dalam masyarakat mungkin perlukan pengorbanan yang melebihi had. Guru bekerja selama"24" jam dalam sehari. Jaganya, tidurnya, makannya, jalannya, duduknya, minumnya, rehatnya adalah kerja. Dalam mindanya hanya bagaimana untuk memandaikan anak didiknya. Untuk mematang dan mendewasakan mereka. Menjayakan mereka. Akhirnya adalah untuk melepaskan mereka mengembara dalam lautan hidup untuk menyambung tugas guru yang tidak pernah selesai.
Ingatlah sewaktu kau melangkah untuk mendapatkan seteguk ilmu dahulu, gurulah yang kau harapkan untuk memberinya. Walaupun teknologi dan kertas bertulis boleh membantu namun hakikatnya guru juga diharap untuk ajar tunjuk, membina keyakinan, meneroka minda, mengembangkan personaliti, menjadi popular, mengejar glamour. Lalu jadilah graduan ternama. Graduan yang menjadi role model kepada adik-adik yang masih mengejar impian. Impian menara gading.
Semua graduan/pelajar/murid meninggalkan alma mater mereka dengan membawa sebahagian daripada diri guru-guru mereka. Sampai bilapun guru itu akan bersamanya. Dalam sedar dan dalam jaga. Sesingkat manapun guru itu bersamanya, impak dan aura guru itu pasti ada bersamanya. Guru yang baik ada impaknya dan guru yang tidak baik juga ada impaknya.
Hari ini Rabu 14 April 2010, kampus menjadi lengang dan sunyi. Keributan selalu dan keributan semalam entah ke mana. Terlalu reda, terlalu damai. Jika pelajar sedih dan hiba meninggalkan kampus, saya merasakan sedihnya kerana saya pernah menjadi pelajar. Kampus adalah tempat kita bertarung, menyabung intelek, berperang dengan keutamaan-keutamaan, menyisih halangan demi halangan, membariskan niat dan hasrat murni, berlabuh di ruang-ruang damai. Jatuh bangun kita di kampus. Tawa dan tangis kita di kampus. Jaya kita bermula di sini. Takut kita yang selalu menghambat jika tidak cemerlang. Bimbang dengan terjahan-terjahan gangguan fikiran yang melemaskan. Kerisauan mendambakan harapan-harapan menggunung. Kekacauan minda yang bersalut teori, andaian, hipotesis dan sisntesis.
Itu belum lagi rakan taulan yang tidak sejalan. Hal-hal peribadi yang terlalu disimpan. Isu-isu diri yang tidak perlu dikongsi. Kekurangan wang ringgit yang selalu menggigitkan jari. Masa-masa berharga yang terlepas sis-sia. Usaha-usaha yang tidak menampakkan kepuasan. Di kampus ini kita bercaturan, merencanakan masa hadapan yang samar. Menggapai tangan yang entahkan sampai. Menduga lautan yang entahkan dalam.
Harapan demi harapan. Tempat jatuh lagi dikenang. Inikan pula tempat dilabuhkan segala harapan. Tempat dilunaskan segala janji kepada ibu bapa. Tempat yang menjanjikan keselesaan hidup masa hadapan. Tempat yang sihat dan sakitnya di sini. Tempat berteman dan tempat sepermainan. Tempat bersua rasa dan berpandang mata. Tempat yang menjanjikan segala.
Kesemuanya akan hanya tinggal kenangan. Entah, saya pula yang merasakan itu. Mungkin kerana saya masih terus belajar. Saya masih merasakan ulangan rasa yang datang dan datang lagi. Selalu dilambung ombak harapan yang meninggi.
Kelas 2009, kau istimewa di hati saya. Kenangan yang dibawa, bawalah. Kenangan yang tinggal, benarkan saya menyimpannya. Kita ada bahagian kenangan yang menjadi hak masing-masing. Harapan saya ukhwah kita berpanjangan. Bawalah pergi hati saya bersama kalian. Sisanya tetap di sini. Kembalilah jika ada jalan pulang. Saya tetap menanti di sini. Hiruk pikukmu sentiasa dirindui. Sampai kita ketemu lagi. Jaga dirimu semua baik-baik. Jaga nama baik. Doa saya mengiringimu semua. Doa seorang ayah untuk anak-anaknya. Kalian hilang di mata tetapi masih terpahat kuat di hati. Mudah-mudahan abadi.