Wednesday, October 25, 2017

Pilihan dan Alternatif

                            

Berhadapan dengan berbagai pilihan, apakah pilihan kita? Apa yang menjadi keutamaan kita? Memilih satu sahaja atau menyenaraikan pilihan yang ada. Yang paling utama hingga yang kurang utama. Hidup ini penuh dengan pilihan. Dari masa ke semasa kita diuji untuk membuat pilihan. Ada masanya pilihan itu mudah tetapi pada kebanyakan masa pilihan itu sukar. Seseorang yang siaga berhadapan dengan berbagai pilihan merasa mudah untuk bertindak pantas membuat pilihan yang sesuai dengan premis, andaian dan fakta yang ada. Bagi yang lain proses membuat pilihan adalah sesuatu yang sukar. Tentu kita masih ingat pelajaran Sains sewaktu di sekolah menengah dahulu. Apabila kita membuat eksperimen kita dikehendaki mematuhi prosedur yang sudah termaktub. Yang dianuti tanpa soal-jawab. Kepatuhan mutlak.

Mengenalpasti masalah
Mengenalpasti fakta yang ada
Mencadangkan kaedah menyelesaikan masalah
Mendapatkan rumusan
Mengemukakan penyelesaian masalah berdasarkan penemuan eksperimen itu

Kaedah ini sebenarnya telah dikemukakan oleh seorang ahli falsafah Yunani Kuno/Greek (Greece) yang bernama Aristotle. Ribuan tahun dahulu sebelum Masehi. Hairan juga sehingga sekarang kita belum lagi mengemukakan kaedah Islam untuk menyelesaikan masalah dalam pembelajaran Sains. Sebenarnya ada kerana ribuan tahun dahulu ahli-ahli Sains Islam telah meneroka berbagai bidang Sains, Kejuruteraan, Perubatan, Pertanian, Astronomi dan berbagai lagi ilmu Sains. Kita tidak menyelongkar proses dan prosedur itu dan pengaruh penjajah mengekalkan kita taksub dengan kaedah Aristotle. Tidak mengambil atau mengadaptasi kaedah Islam yang Islamik terhadap pembelajaran dan pengajaran Sains.

Mari kita cuba senarai yang berikut.  Ianya bukan dalam susunan keutamaan. Fokus kepada pilihan yang ada sahaja. Itu dan itu sahaja.

Kekayaan
Kesihatan
Cinta dan kasih sayang
Kebahagiaan
Persahabatan

Kita hadkan kepada lima pilihan sahaja. Kekayaan mungkin pilihan utama kepada kebanyakan orang. Kebetulan kebanyakan kita memang bukan orang kaya. Bukan orang berada. Selalu mengidam untuk memiliki kekayaan. Banyak wang ringgit dalam bank dan dalam poket. Semua yang ada dalam dunia ini ingin dibeli. Memiliki rumah bak istana besar. Memiliki deretan kereta mewah. Melancong sekerap musim berubah. Hello, kekayaan bukan segala-galanya jika kita gagal memanfaatkan kekayaan. Kita perlu jadi Sayyidina Abu Bakar. Ia kaya raya tetapi memilih untuk kaya di akhirat. Para sahabat yang kaya raya dibuka hati mereka untuk menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah. Fi sabilillah. Itulah erti kaya dalam Islam. Harta dicari di dunia lalu dibawa ke akhirat. Dinikmati di sana kekayaan itu. boleh kita lakukan begitu?

Keduanya kita mungkin memilih cinta dan kasih sayang. Fitrah kita begitu. Keperluan fisiologi kata seorang psikologis yang bernama Maslow. Juga keperluan psikologi. Fitrah manusia kembali untuk berpasangan seperti Adam dan Hawa. Allah jadikan mansuaia berpasang-pasangan. Kemudian berbangsa-berbangsa supaya mereka kenal-mengenal antara satu sama lain. Kita semua adalah dari jalur keturunan yang sama. Dari Adam dan Hawa. Cinta dan berkasih sayang ada rukun-rukunnya.

Perlu diterima dan menerima
Perlu dinyatakan
Perlu dikhabarkan
Perlu dipamerkan
Perlu dibisikka
Perlukan bahasa tubuh yang bersesuaian
Perlu pengulangan dan pengulangan

Cinta dan kasih sayang bukan suatu fenomina sementara.  Bukan sekadar cinta monyet. Ianya perlu datang kerana Allah. Suatu tanggungjawab. Suatu kelangsungan umat. Penuh dengan hal-hal yang perlu direncanakan bersama. Direalisasikan bersama. Kegagalannya dirasa bersama. Kejayaannya diraikan bersama. Aras tolakasnurnya perlukan penghayatan yang sangat tinggi. Cinta monyet mungkin hilang sedakar suatu lompatan dari dahan ke dahan. Cinta dan kasih sayang manusia berpengakhiran di syurga. Madahnya, “Seribu tahun ku tunggu jua.” Maka cinta dan kasih sayang kadang-kadang dipudarkan di tengah jalan. kadang-kadang kita gagal untuk bertaut kembali seindahnya. Namun demikian cinta dan kasih sayang adalah pilihan manusia. Antara lelaki dan wanita. Cuma kita tidak membina sekolah yang mengajar cinta. Tidak ada subjek yang menggariskan perlunya mengurus cinta. Buku-buku yang ada adalah pengalam penulisnya. Atau suatu impian dan fiksyen sahaja.

Mungkin kita memilih persahabatan. Meluahkan kesetiaan untuk bersama. Kita perlukan seseorang atau beberapa orang yang memiliki ciri-ciri kegemaran yang sama. Selalu bersama untuk menikmati persahabatan itu. Susah sama-sama untuk mengatasinya tanpa syarat. Senangnya dinikmati bersama juga tanpa syarat. Tanpa pengkhianatan dan tanpa menikam dari belakang serta tanpa menjadi musuh dalam selimut, persahabatan akan kekal lama dengan izin Allah.  Malah ada orang yang rela tidak berumahtangga tetapi memiliki sahabat yang setia. Yang boleh dirujuk. Yang boleh dibawa berunding. Yang boleh menyelesaikan perkara kecil dan perkara besar. Mereka menciptakan kebahagian dalam persahabatan. Kedamaian dalam persahabatan. Menikmati nikmat persahabtaan yang tersendiri.

Di mana pula letaknya kebahagiaan? Berapa ramai sebenarnya orang yang mencari kebahagian. Ia tidak ada di atas gunung yang tinggi. Tiada di tepian laut. Tiada di padang luas. Tiada di mana-mana kecuali dicari di dalam hati kita sendiri. Label kebahagiaan tidak dapat dicipta dengan begitu sahaja. Ianya diusahakan. Dibelai. Disiram dengan kata-kata. Dengan air mata. Dengan keringat. Is tidak didatangkan atas dulang emas atau dulang perak. Siapapun kita, kita mencari dan mengusahakan datangnya kebahagiaan itu. Tiada siapa yang memberinya melainkan Allah. Maka kebahagiaan itu bukan sesuatu yang boleh dibeli dengan kekayaan. Bukan cukup dengan cinta dan kasih sayang. Ia perlukan pengertian yang halus dan seni. Yang meresap dan mendalam. Mendamaikan dan mendamaikan.

Paling terabai barangkali ialah kesihatan. Zaman kanak-kanak dan zaman muda kita selalu tidak memikirkan pentingnya beramal untuk kekal sihat hingga ke tua. Di sekolah kita dilatih dengan senaman yang sesuai. Apabila berkerjaya segelintir sahaja yang kekal bersenam. Yang berumahtangga pula terus melupakan faktor untuk sihat ini. Kesihatan menggabungkan fizikal, emosi dan psikologi. Mana-mana bahagian yang menjadi tidak sihat akan mempengaruhi bahagian yang lain. Kesihatan memperlihatkan kelincahan dan kecergasan fizikal. Dilihat santai apabila faktor emosi dan psikologi terkawal. Sebab itu faktor kesihatan mempengaruhi kualiti kerja. Kualiti amalan agama. Kualiti sosial. Kualiti mengurus kekayaan ke jalan Allah. Memberikan kebahagiaan hidup.


Sekarang pilihan di tangan kita. Kita pilih yang mana. Atau kita pilih kesemuanya dengan menyenaraikan pilihan kita dari yang utama hingga yang kurang utama. Kepada yang arif mengenai kelima-limanya pilihan itu bergabung dan bersulam antara satu sama lain. Tiap satunya ada dalam satu yang lain. Menidakkan satu darinya bermakna mencacatkan gabungan itu. 

Jauhnya Perjalanan Ini



Setahun atau dua tahun kadang-kadang terasa jauhnya. Apatah lagi berdekad-dekad lamanya. Namun sepertinya  kita tidak akan sampai ke mana-mana. Kepada orang muda pula mereka tidak mahu ke mana-mana. Pada pendapat mereka, mereka akan kekal pada usia itu. Akan kekal di situ. Tidak akan tua. Tidak akan bertambah usia. Malah ramai yang berfikir mereka pasti tidak mati ketika muda. Walhal sahabat-sahabat mereka sudah ramai yang tiada. Yang matinya tragis ketika merempit umpamanya. Ketika kemalangan di jalanraya. Sakit yang tidak kunjung sembuh. Yang tewas kerana dadah. Tewas kerana maksiat. Perjalanan hidup ini terasa jauh tetapi banyak sekatan-sekatannya di pertengahan jalan. Bila sebenarnya masa kita berakhir? Kebanyakan kita berakhir di rumah sendiri. Di atas tilam empuk yang kita tiduri setiap hari. Atau entah di mana yang ditentukan Allah. Yang pastinya perjalanan kita akan berakhir bila-bila ditentukan Allah. Manusia tiada kapasiti untuk mengetahui saat seperti itu. Kita hanya mampu menerima qada’ dan qadar Allah.  

Tentu sekali mengingat mati itu suatu bonus. Menghalang kita dari berbuat maksiat. Dari lagha tidak menentu. Menghalang dari berbuat apa sahaja yang bertentangan dengan perintah Allah. Seorang sahabat cuba membuat perkiraan bahawa hidup di dunia ini sekadar beberapa minit berbanding dengan akhirat yang infiniti. Selama-lamanya. Selalu disebut bahawa sehari di akhirat sama panjangnya dengan 1,000 tahun di dunia. Maknanya hidup kita di dunia terlalu singkat. Terlalu singkat. Sekejap sangat. Tetapi kita yang masih hidup di dunia ini merasa seolah-olah kita akan hidup lama lagi. Kita mengira bulan dan tahun dan berpuluh-puluh tahun di dunia sebagai sangat lama. Kita melalui berbagai fasa kehidupan. Melalui liku-likunya. Melalui zaman yang berbeza-beza. Sejarah diri kita merakamkan berbagai peristiwa yang banyak.

Bila sebenarnya kita perlu melaraskan kehidupan dunia ini dengan bakal kehidupan di akhirat? Islam menggariskan ianya bermula sewaktu usia kita tujuh tahun. Fasa kedua ialah sewaktu usia kita 10 tahun. Kemudiannya ketika usia 14 tahun. Kemudiannya 21 tahun. Kemudiannya 40 tahun. Usia-usia ini adalah fasa-fasa untuk melaraskan diri kita dengan kehidupan akhirat yang sangat penting. Pelarsan ini adalah jalan lurus untuk menyampaikan kita ke syurga. Kampung halaman kita yang hakiki yang telah kita tinggalkan. Kuat dalam ingatan. Kita berazam kuat untuk kembali ke sana. Perjalanan ini seperti sangat jauh tetapi masa bukan penghalang. Apabila masa dijaga maka perjalanan menjadi indah. Apabila masa diurus maka pengisian perjalanan itu lebih manis. Apabila kita benar-benar menyediakan diri untuk pulang ke kampung halaman kita maka sebahagian dari perjalanan kita akan menjadi lebih mudah.

Bila pula kita perlu sedar akan perlunya kita pulang ke kampung? Bila kita perlu benar-benar mengorak langkah untuk menyediakan diri ke arah itu? Pelajaran dan pendidikan membantu ke arah itu. Ilmu membantu kita memeta perjalanan yang perlu diambil untuk menentukan jalan pulang yang terbaik.  Al-Quran dan al-Sunnah memberi garis panduan yang perlu. Ulamak memberikan interpretasi dan  merealisasikan jalan pulang yang perlu diambil oleh kita semua. Kepada sebahagian orang jalan-jalan itu sukar sedang kepada yang lain ianya sangat mudah. Is bergantung kepada persiapan yang dibuat ketika berusia 7 tahun, 10 tahun, 14 tahun, 21 tahun dan 40 tahun. Maksudnya kita perlu bersedia lama sebelum benar-benar sampai ke jalan menuju syurga.


Marilah kita melihat di sekeliling kita. Di fasa mana kita berada. Di fasa persediaan atau di fasa perjalanan. Atau di fasa yang sudah cukup hampir ke destinasi itu. Begitulah perlunya kita muasabah diri untuk melihat di mana kita berada. Untuk melihat ke mana kita sedang pergi. Untuk melihat sejauh mana perjalanan itu yang sedang kita tempuhi. Kita bukan bersendirian. Kita bersama-sama ingin ke sana. Walau bagaimanapun banyak antara kita masih kurang bersedia. Tidak sebenarnya on-tract. Ramai masih tertinjau-tinjau mencari panduan. Masih memilih-milih apa yang perlu dibawa bersama. Masih tercari-cari pemimpin dan pembimbing untuk sama-sama menuju jalan yang satu. Kita masih tidak menyedari besarnya misi untuk sampai ke syurga. Tiada jalan pintas kecuali mereka yang berjihad kerana Allah. Yang syahid di jalan Allah.

Tuesday, October 24, 2017

Hari-Hari Yang Berlalu

Kehidupan kita ini selalu mencapai hasrat yang berbeza-beza. Yang dijangka dan yang tidak dijangka. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. Kesemuanya dengan izin Allah. Walau bagaimanpun kita sendiri barangkali boleh berusaha untuk berperanan menggunakan akal fikiran sendiri. Akal yang dianugerahkan Allah untuk digunakan secara rasional dan saksama. Malangnya sebagai manusia kita melakukan khilaf sepanjang perjalanan kehidupan kita. Mungkin kita tidak menyedari bahawa diri kita ini dibahagikan kepada beberapa bahagian penting. Untuk Allah Untuk masyarakat Untuk keluarga Untuk diri sendiri menyendiri Bahagian yang keempat itu yang selalu terabai. Kita lupa bahawa kita ada diri sendiri. Tidak kurang pentingnya membelai diri sendiri. Menjaga kebajikannya. Menjaga mentalnya. Menjaga emosinya. Menjaga psikologinya. Setelah menjaga tiga bahagian yang lain, yang mungkin lebih penting, kita tidak boleh lupa diri kita sendiri. Kekuatan diri kita yang melayakkan kita melaksanakan tiga perana yang lain. Tanpa kekuatan diri kita akan goyah berhadapan dengan tiga peranan yang lain itu. Lazimnya kita selalu melupakan diri kita sendiri. Kita kehilangan diri kita sendiri dalam mengharungi kehidupan. Kebarangkaliannya ada orang mengatakan bahawa apabila kita dewasa kita tidak perlu lagi memikirkan diri sendiri. Kita serahkan diri kita kepada Allah, kepada masyarakat dan kepada keluarga. Mungkin benar kepada kebanyakan orang tetapi mungkin ada segelintir dari kita yang berfikir sebaliknya. Ada masa-masanya kita perlu menyendiri. Bukan untuk lari dari tanggungjawab. Bukan untuk lari dari masalah. Bukan untuk lari dari berhubungan dengan orang lain. Untuk mencari diri sendiri yang perlu dikongsi dengan orang lain. Untuk muasabah diri yang selama ini sudah kita lupakan. Yang sudah hilang dari pemikiran. Untuk merancang masa hadapan yang mungkin sudah kabur. Untuk membataskan diri dari hal-hal yang boleh menjejaskan keselesaan, kebahagiaan dan kesejahteraan diri sendiri. Diri sendiri bukan yang paling penting tetapi perlu memikirkan diri demi menjaga aras kewarasan berfikir. Aras siuman minda. Aras kejelasan menerima keadaan di sekeliling. Seorang CEO perlu bersendiri untuk mencari dirinya kembali. Ada keperluan untuk berfikir semula mencari sesuatu yang lebih baik. Boleh merujuk kepada orang lain tetapi sebagai individu, CEOpun perlu mendatangkan kekuatan dirinya sendiri dalam menjalankan tanggungjawabnya. Mungkin dalam sehari kita perlu bersendiri dan menyendiri selama sejam. Dalam seminggu beberapa jam. Ada perkara yang perlu diimbas kemabli. Ada perkara yang perlu diingat kembali. Ada perkara yang perlu dinilai semula. Mungkin ada perancangan yang perlu dirombak. Yang perlu diubahsuai. Yang perlu ditambahbaik. Menyendiri bukan bermaksud bermenung kosong. Hanya mengelamun panjang. Ketika menyendiri itulah besar kemungkinannya kita beimajinasi. Berfikir ke arah melahirkan idea yang besar. Yang kelihatan gila-gila. Walau bagaimanapun apa yang kita fikirkan sewajarnya dalam lingkungan yang boleh kita lakukan sendiri. Itu yang paling baik. Yang paling layak kita laksanakan. Kita tidak mampu melaksanakan permintaan orang lain. Kadang-kadang ianya di luar minat kita. Di luar keupayaan kita. Membantu besar kemungkinannya mampu dilakukan. Tetapi untuk melaksanakan sepenuhnya mungkin bukan pilihan kita yang wajar. Sebab itulah kita perlu sedar sendiri bahawa apa-apa yang kita fikirkan bukan untuk diserahkan kepada orang lain untuk menyempurnakannya. Kecualilah orang itu memang pakarnya. Memang profesionnya. Memang hidup matinya. Kepada yang lain mungkin menerima tugas dari orng lain adalah sangat berat. Dirinya sendiri banyak perkara yang hendak dilaksanakan. Yang perlu dijadikan amalan. Untuk merealisasikan impiannya sendiri. Dalam berbagai bidang yang lain tanpa terikat dengan apa-apa. Ada kebebasan untuk dirinya sendiri. Kepada orang lain apa yang dilakukannya mungkin tiada kepentingannya kepada orang lain. Tidak dilihat signifikan. Emansipasi diri perlu pada ketika-ketikanya. Antara kita ada yang mencari kesempurnaan diri – self actualisation. Begitu juga individu lain. Ia perlukan masa bersendiri untuk menyelesaikan kemelut perasaan. Menyusun idea. Untuk berfikir dengan cara yang lebih baik. Untuk kembali kepada fitrah diri yang asalnya memang sendiri. Kelapangan masa memberi ruang untuk berfikir dengan lebih banyak. Lebih kemas. Lebih beraras tinggi. Ruang untuk menyendiri memberi kelapangan berikir. Itulah sebabnya kita perlukan ruang yang lebih besar. Yang lebih tinggi. Kita mendaki gunung untuk melihat alam dari aras yang tinggi. Kita berada di padang luas untuk mlihat ufuk. Kita melihat laut untuk menghargai luasnya pandangan. Kita kembali melihat yang dekat untuk berpijak di bumi nyata. Di mana kita sebenarnya relatif dengan semuanya ini. Selepas bersendiri lazimnya kita menjadi orang yang berbeza. Memberikan yang berbeza. Dengan tenaga yang berbeza. Sememangnya kita banyak berfikir. Kita perlukan adab berfikir yang baik. Proses berfikir yang tersusun. Prosedur berfikir yang teruji. Berfikir bukan seperti menghidupkan suis lampu atau suis kipas. Ia perlu suasana yang kondusif. Bukan bermakna di ruang yang hanya sunyi sepi. Damai dan santai. Itu lebih baik barangkali. Tetapi mereka yang selalu berfikir pada aras tinggi, tempat berfikirnya mungkin ketika dalam suasana hiruk-pikuk. Ketika mendengar ceramah. Ketika berkursus. Ketika berbual. Ketika berada di majlis-majlis. Kesemuanya ini merupakan disiplin diri. Dilatih dan diamalkan. Biasakan membawa kertas dan buku nota. Biasakan membawa pen atau pensil. Biasakan mencatat apa yang dilihat. Apa yang didengar. Apa yang dihidu. Apa yang dirasa. Bunyinya ganjil. Menyendiri. Mencari diri yang hilang seketika. dalam suasana yang hingar-bangar. Sewaktu bersama dengan orang lain. Itu akan menjadi realiti jika kita mampu mencari diri kita sendiri. 

Pisang Goreng Di Tepi Jalan



Mudahkan? Pisang goreng boleh dibeli sepanjang jalan. Jalan kampung dan jalan bandar. Di lebuhraya tentu tiada. Di R n R juga tiada. Jauh sekali di restoran atau di hotel antarabangsa. Sikap mudah ini memang bagus untuk kita semua. Tetapi cuba kita renung sejenak. Kita pandang lama-lama. Kita fikirkan semula. Kita buat penilaian yang adil. Fikirkan dalam konteks enonomi negara. Dalam konteks ekonomi globat. Cuba renung dalam-dalam. Di manakah status gerai ini berbanding dengan industri makanan seeprti KFC atau McDonald. Selalunya:

Lokasi gerainya di tepian jalan yang tentunya sentiasa berdebu. Tidak ditudung dari gangguan debu dan lalat umpamanya.
Suasana persekitarannya tidak kondusif. Longkang tidak mengalir airnya. Sampah sarap bertaburan merata-rata.
Gerainya buruk. Tidak kondusif ketika panas dan ketika hujan.
Pakaian pengusahanya ala kadar. Tidak memberikan imej sesuai sebagai gerai makanan.

Mari kita renung kembali. Mengapakan hanya orang kita sahaja yang hampir 99% berniaga dalam situasi sebegini? Tidakkah kita terfikir secara mendalam. Bahawa adakah orang kita hanya layak untuk mendapat dedak ekonomi? Bukan the real economic cake? Dalam nafas merdeka selama 60 tahun gerai-gerai goreng pisang di tepi jalan ini bukan berkurangan malah semakin bertambah. Lokasinya semakin parah. Persekitarannya semakin tidak kondusif. Malah semakin kita lihat banyak perkara yang di luar jangka. Minyak yang digunakan minyak murahan yang dibeli dari sumber tidak layak. Minyak gorengan dari kedai-kedai bukan orang Islam. Malah plastik pembungkus dikatakan digoreng sekali untuk memberi rasa rangup kepada pisang yang digoreng. Kita ingin bertanya. Siapakan mereka yang mengusahakan gerai-gerai pisang goreng ini. Maaf:

Adakah mereka tiada ilmu mengenai nilai kebersihan dan kesihatan?
Adakah mereka berniaga untuk sementara sahaja? Tiada perancangan jangka panjang.
Adakah mereka tiada langsung ilmu mengenai kualiti? Tentang standard. Tentang nilai baik.
Adakah mereka cetek mengenai ilmu agama?
Adakah tiada nasihat agama dari yang arif?

Dalam banyak hal kita selalu membiarkan individu yang ingin berniaga sendirian membina tapak yang tidak selarsa dengan perembangan ekonimi. Perkembangan teknologi. Sebenarnya mereka perlukan:

Nasihat dari aspek agama. Aspek pahala dan dosa. Dari aspek halal dan haram.
Nasihat teknologi. Dari mereka yang arif seperti jurutera dan teknologis.
Nasihat profesional seperti dari akauntan, pakar ekonomi. Jangan kerana mereka peniaga kecil maka aspek profesionalism ini diabaikan.

Ramai peniaga kecil melibatkan keluarga besar tetapi berpendapatan rendah. Mereka terjebak antara berkeluarga dengan urusan berniaga. Di sebuah gerai berkemungkinan hadir anak-anak kecil. Pakaian mereka mungkin tidak bersih. Pertuturan mereka tidak elok. Kehadiran mereka menyukarkan pelanggan yang hendak membeli atau makan. Peniaga pula kurang menahan perasaan. Marahkan anak di hadapan pelanggan. Terjerit-jerit di hadapan pelnggan. Meja dan kerusi tidak diberihkan secukupnya. Jika dilap sekalipun, tuala pengelapnya kotor, hitam dan tidak enak dilihat. Sisa makanan dijatuhkan ke lantai atau ke tanah. Dipijak tanpa nilai dan harga. Aduhai memijak makanan apabila kita ke gerai makanan yang kecil-kecil ini. Mereka tidak tahu menjaga nilai makanan. Walau sisanya sekalipun.

Mungkinkah pisang goreng dijual di restoran besar? Atau di kedai-kedai makan yang besar. Atau di hotel-hotel. Mengapa tidak?

Jaga  dan kawal kualitinya.
Kaedah menggorengnya perlukan teknologi baru. Perlukan kajian. Perlukan eksperimen.
Cara menghidangnya profesional. Pinggannya sesuai. Hiasannya sesuai.
Dihidang selepas digoreng. Dalam keadaan masih panas.
Manis dan masinnya bersesuaian. Sekarang ini pelanggan peka dengan kesihatan. Gula dan garam perlu secukupnya sahaja.

Penulis pernah melihat makanan digoreng di sebelah meja pelanggan. Di sebuah restoran besar di Toronto, Canada. Paling lama barangkali 10 atau 15 minit. Sementara menunggu gorengan mereka memesan makan entrée terlebih dahulu. Termasuk minuman. Mungkin pengusaha boleh meneroka ke arah itu. Melonjakkan persembahan perniagaan yang lebih bersifat global. Kita boleh melakukannya dengan steamboat. Dengan tom yam umpamanya. Inovasi berfikir ini perlu dirancakkan. Dicambahkan selalu. Diperkatakan sekerap mungkin. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Tidak boleh begitu. Ia perlu dirancakkan supaya lahir idea baru yang luar biasa. Yang mencabar kebiasaan.  Yang memberi manfaat secara menyeluruh.


Orang kita perlukan input besar yang tinggi mencabar. Walaupun sudah ramai orang kita yang keluar dari kepompong kecil tetapi terlalu ramai lagi yang masih tidak mengubah paradigma berniaga. Masih lagi mahu membina gerai di tepi jalan. Di sebelah teman yang juga membina gerai. Lalu banyaklah gerai bersambung-sambung. Gerai dan gerai. Sebagai permulaan mungkin menasabah idea itu. Di sinilah mereka perlu dibimbing supaya boleh menyimpan hasrat besar. Memperuntukkan dana untuk berniaga dengan skala besar. Didik supaya mereka mengutamakan kejayaan dan bukan mempamerkan kejayaan. Jauh dari mempamerkan kekayaan. Jika ada kekuatan baru idea ini boleh direalisasikan. Bantulah wahai mereka yang arif. Yang berada di kerusi kepimpinan. Di kerusi mereka yang arif tentang teknologi. Tentang ekonomi. Tentang perlunya mengubah paradigma dan kemahiran berfikir aras tinggi. Membina legasi untuk masa hadapan generasi dan bangsa.  

Catchy Tetapi Di Luar Lojik Minda Dan Agama



Siapa gemar menonton TV? Ramai. Rancangan yang menjadi pilihan? Mungkin drama Melayu. Aduhai banyak betul komen mengenai drama Melayu. Tajuknya di luar jangka. Girlfriend dari neraka! Baca dengan teliti. Baca sekali lagi. Girlfriend dari neraka! Biar betul. Fikirkan secara jujur. Benarkah ada manusia kembali ke dunia setelah berada di neraka? Wanita pula. Sukar hendak faham. Rasanya dalam Lembaga Penapisan Filem dan Drama ada tokoh yang arif dengan agama. Atau memang tiada. Jika demikian high time ada pakar agama dalam lembaga tersebut. Sesuatu yang mustahil tidak boleh diterima akal. Ia bukan cliché dan ia bukan suka-suka. Agama memberi faham mereka yang berada di neraka jika diampunkan Allah akan dimasukkan ke syurga. Bukan dikembalikan ke dunia. Qiamat belum berlaku jadi proses mahsyar belum berlaku, proses hisab belum berlaku, proses titian sirat  belum berlaku. Kerana itu kita tidak boleh membenarkan hal main-main ini berlaku kepada kita. Ia melibatkan akidah. Melibatkan tauhid. Mohon kepada yang arif untuk memberikan penjelasan. Dikhuatiri akan ramai yang mengambil mudah. Takut ramai rosak akidahnya.

Siapa yang menonton drama sebegitu? Orang Islam. Orang Melayu. Ianya drama Melayu. Produksi orang Melayu. Adakah ianya memang disengajakan untuk undermine akidah orang Melayu. Untuk mempermain-mainkan hal-hal yang berkaitan dengan agama. Kita tidak boleh berkata bahawa itu hanya tajuk. Tidak! Yang tidak benar adalah tidak benar. Iman kita tercabar dan tercalar. Bagaimana ibu dan bapa akan menjawab pertanyaan anak-anak? Benarkah ada orang yang datangnya dari neraka? Jika jawapannya tidak benar, mengapa tajuk sedemikian diizin dan diluluskan? Ia sensitiviti agama yang tidak diberikan layanan adil.  Selalu benar orang media yang meremehkan agama. Selalu pula penulis skrip meremehkan agama. Selalu pula artis yang tidak kuat asas agamanya. Apabila kesmuanya tiada standard agama maka hiburan dihidangkan tanpa roh agama. Benarlah pada akhir zaman semuanya ingin meruntuhkan agama. Menjadi tentera dajjal belaka. Kita dialih berfikir jauh dari kehendak agama.

Itu belum lagi drama yang meremehkan pemikiran. Meremehkan kedangkalan berfikir. Benar, kita hanya merealisasikan apa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari. Memanifestasikan realiti tidak sama dengan merancang untuk memperbetulkan keadaan. Untuk membangunkan minda, adat dan kebiasaan hidup yang sewajarnya menjurus kepada hidup beragama. Ada pula yang mempamerkan kontroversi dari segi pandangan agama. Kesemua ini perlu dirujuk kepada pakar. Kepada majlis fatwa. Kepada mufti. Kepada mereka yang diyakini arif tentang hal-hal agama. Bayangkan:

Wanita yang tidak boleh berfikir. Mencari kunci kereta dalam beg tangan pun seperti hilang akal.
Watak-watak yang tidak ada panduan hidup berdikari.
Dialog yang bertentangan dengan norma beragama.
Watak-watak yang tidak Islamik. Memaki hamun. Minum minuman keras. Ganas.
Anak-anak yang tidak terdidik. Asas agamanya kurang sangat.
Pekerja yang tidak jujur.  Memang ada tetapi tidak perlu dihighlight terlalu sangat sehingga menjadi ikutan pula. Atau bakal dicuba-cuba. Banyak perkara boleh digrafikkan. Boleh hanya dengan dialog. Bukan dengan praktikalnya.

Kesemua ini kembali kepada kita. Kepada ibu dan bapa. Kepada guru dan ustaz. Kepada penceramah dan motivator. Kepada pemimpin dan yang dipimpin. Jangan lupa peranan dan tugas media yang pengaruhnya sangat besar. Yang impaknya sangat menular. Kita harus berfikir secara mikro dan makro. Mikro bermula dari keluarga yang kecil. Yang boleh dikendalikan oleh ibu dan bapa. Jika ini gagal dilakukan maka anak-anak yang berada di luar rumah berpotensi menjadi perosak masyarakat. Menjadi sampah sosial. Ia akan kembali kepada keluarga. Anak siapa. Siapa bapanya. Siapa ibunya. Malah siapa datuk dan neneknya. Juga siapa saudara maranya. Secara makro pula, pemimpin yang di atas yang akan ditanya. Yang akan dipertanggungjawabkan. Kerana itu apa yang dilakukan pemimpin, menjalar ke bawah. Kepada rakyat biasa. Apa yang dikatakan oleh pemimpin juga menjadi ikutan rakyat di bawah. Pemimpin dahulu takut apabila diangkat menjadi pemimpin. Tanggungjawabnya besar. Bukan kuasa yang penting. Tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Ramai orang mendapat kuasa tetapi belum tentu penuh 100% tanggungjawab yang dilaksanakannya. Belum tentu selaras dengan kehendak agama. Belum tentu Islamik.


Apapun yang akan kita lakukan hendaklah beradab dengan agama. Selaras dengan kehendak agama. Kita ingin mencari jalan lurus. Jalan selamat. Jalan yang diredhai Allah. Bahawa jalan yang kita pilih menyampaikan kita kepada keperluan beragama. Keperluan mendekatkan diri dengan Allah. Berhiburlah dalam lingkungan batas-batas yang digariskan agama. Bergembiralah tetapi jangan lupa jalan kita ke akhirat. Jalan lurus yang sememang lurus selurus-lurusnya. Jangan melihat dari sisi yang senget atau herot. Di luar sana banyak sangat gangguan minda dan pemikiran. Cuba memesongkan kita dari jalan lurus yang sudah kita pilih. Kadang-kadang kita tidak menutup telinga. Kerap mendengar yang tidak hak. Kita tidak menutup mata. Memandang yang tidak hak. Tidak menutup mulut. Bercakap yang tidak hak. Tidak menutup minda sehingaga yang kita fikirkan menyimpang dari garis agama. Tiada yang lebih baik dari hidup beragama. Mencari redha Allah.

Jujurkah Sejarah?



Setiap sesuatu ada sejarahnya. Ada mulanya. Ada perkembangannya. Diharap tiada pengakhirannya. Biarlah ia terus berkembang-maju terus-terusan mendepani masa dan zaman. Banyak warna-warna sejarah dilihat meriah tetapi banyak yang dicacat dan dicela. Negara kita sudah 60 tahun merdeka tetapi merdeka itu diertikan dengan berbagai-bagai. Dua tarikh yang sukar difahami. Bagi kita di Semenanjung tarikh 31 Ogos sangat sinonim di hati. Terlalu dekat dengan yang kita cintai. Tanah air tercinta. Lalu tarikh 16 September itu tarikh apa sebenarnya. Ia tarikh merdeka bagi Sarawak dan Sabah. Merdeka dari Syarikat Hindia Timur. Dari British? Allahu ‘alam. Kita menyambutnya saban tahun. 54 tahun kita menyambut dua hari bersejarah ini. Mungkinkah generasi akan datang pada tahun 3,000 mithalnya akan memahami dua tarikh yang signifikan sekarang ini tetapi pada zaman mereka menjadi sesuatu yang sukar difahami.

Kemeredekaan yang kita kecapi atas perjuangan siapa? Oportunis mengatakan ianya perjuangan mereka. Sejarah yang kita baca lain bunyinya. Sejarah yang kita ketahui lain susurnya. Kadang-kadang hal-hal yang sangat kita ketahui tersasar dari yang dirakam dan ditulis. Seorang wira umpamanya tidak diketahui apa jasanya. Mereka yang setempat mengetahui asal usulnya. Apabila seseorang diangkat menjadi hebat, orang tempatan hanya mampu geleng kepala. Orang jauh meraikannya tanpa mengetahui hal sebenar di peringkat dasar.  Bagaimana sebuah watak wira sebenarnya? Dari kacamata siapa sejarah itu diangkat? Sudahkah kita membersihkan nama-nama besar seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Abdul Rahman Limbung, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Naning dan banyak lagi. Rasanya mereka belum lagi diberikan pengiktirafan sewajarnya. Bagaimana dengan Zaaba, Syed Sheikh al-Hadi, Ishak Muhamad dan tokoh-tokoh politik yang dibenci oleh British? Di manakah status mereka dalam lipatan sejarah. British memilih siapa yang boleh diwirakan dan siapa yang tidak diwirakan walaupun jasa mereka sama besarnya dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Kita kadang-kadang terlupa di mana kita berada. Pada zaman siapa kita berada. Pada masa siapa kita mencipta sejarah. Soalan dasar, pada zaman British, kita menentang British atau menentang Raja-Raja Melayu? Garis sejarah ini sewajarnya menentukan siapa wira dan siapa yang bukan. Tetapi kita sudah dilunakkan dengan kata-kata manis bahawa kita sudah merdeka. Kita sudah tinggalkan sejarah. Kita tidak lagi perlukan sejarah. Di sinilah kita selalu terperangkap. Maka wawasan kita tersasar dari mempertahankan apa yang sudah disejarahkan. Maka kita hilang fokus dalam merealisasikan impak sejarah itu. Lalu ahli politik membentuk gagasan mereka sendiri. Kependidikan membina kerangka mereka sendiri. Sejarahwan yang berada di luar merancakkan puzzle sejarah mereka sendiri. Mereka fit in pieces yang boleh diterima oleh minda orang lain walaupun belum tentu benarnya. Rakyat di bawah yang sumber sejarahnya minimal menerima seadanya sejarah yang ditulis indah walaupun tidak semuanya ditulis dan tidak semuanya pada jalan yang benar.

Sebenarya sejarah diberikan impak yang besar pada masa akan datang. Dari sejarah kita tahu dari mana sesuatu itu bermula. Jika politik menutup sejarah yang benar maka generasi akan datang akan kehilangan apa yang wajar untuk mereka. Struktur bernegara tidak diketahui lagi tiang serinya. Tanah yang terhampar tidak diketahui siapa miliknya. Malah pemilik setiap sesuatu tidak diketahui asal usulnya. Sejarah menjadikan kita terherot di sana dan terherot di sini. Jika kita mengabaikan fenomina sejarah ini maka kita akan terus menunggu  yang tidak kunjung tiba. Menanti sesuatu yang tidak mungkin menjayakan apa gagasan sekalipun. Sebab itu:

Kita perlukan batu sempadan untuk menentukan garis-garis yang perlu dihormati.
Kita perlukan surat hak milik untuk menentukan secara sahih pemilik yang hak.
Kita perlukan sejarah yang benar untuk menentukan hak milik dan sempadannya.
Kita perlukan saksi sejarah yang merakam dan menulis yang benar tentang sejarah.
Kita perlukan dokumen yang menyatakan benarnya sesuatu sejarah.

Rata-ratanya kita adalah orang kampung. Antara kita ada yang celek sejarah. Bilangannya amat sedikit. Yang lain adalah penerima sejarah. Kita pula tidak kritis mengenai sejarah. Menerima dan menerima sahaja yang kita upaya. Walaupun kadang-kadang kesangsian itu ada tetapi tidak berani membuat susulan. Tidak berani menambah. Tidak berani mengubahnya. Tidak ada keberanian untuk menyatakan pendapat. Pengamatan menunjukkan kita selalu bungkam apabila berhadapan dengan sesuatu yang kita tidak suka. Atau yang kita tahu salahnya. Bercakap tidak berani tetapi di belakang banyak olahnya. Bersuara tidak berani. Perkara ini pelik dan memelikkan. Mengapa untuk bercakap sahajapun tidak berani? Tidak mahu kecoh katanya. Yang benar perlu ditegakkan. Yang salah perlu diperbetulkan. Yang keliru perlu penjelasan. Sifat kita hanya menutup mulut sudah tidak relevan lagi.

Di sinilah kita perlu mendidik anak-anak kita supaya berani berkata yang benar. Banyak bertanya untuk mendapat jawapan yang benar. Berhujjah untuk menegakkan kebenaran. Ditanya pendapat mereka. Dirujuk jika ada cadangan alternatif. Anak-anak sekarang jangan ditenggelamkan dengan:

Hanya tahu menyanyi tetapi tidak mengetahui maksud liriknya. Membina atau meruntuhkan. Atau melalaikan.
Hanya tahu menari walaupun tarinya sumbang tingkah.
Tidak berpijak di bumi nyata masa hadapannya.


Baliklah ke kampung. Tanah sudah tergadai. Rumah-rumah tradisi sudah berkurangan. Gedung-gedung baru mewarnai lanskap kampung. Bukan milik kita tetapi milik orang lain.   Kita sudah dihimpit dari segala penjuru. Tempat untuk lari sudah tiada. Tempat untuk bersembunyi sudah tiada. Bagaimana mahu sedar lagi?

Sunday, October 22, 2017

Mohon Ku Belai

Kita selalu rindu pada yang kita kasihi. Rindu pada yang kita sayangi. Rindu pada yang kita rindui. Siapa pun kita, rindu itu tetap datang. Dalam usia berapapun diri kita ini rindu itu tetap menggamit. Memanggil untuk hampir. Untuk dekat. Untuk membelai kasih dan sayang yang selalu hadir dalam diri. Dalam perjalanan hidup ini kita selalu terlepas pandang pada orang yang kita sayang. Kita leka dengan fatamorgana  hidup yang simpang siur. Kita memasuki simpang-simpang perjalanan yang bukan haknya. Kita hanyut selesa menyangka simpang itulah perjalanan kita yang sebenar. Kita pertahankan laluan itu sehingga kita benar-benar tersesat dan terseksa melaluinya. Destinasi yang kita cari sebenarnya telah jauh tertinggal di belakang kita. Isyarat dan tanda yang kita lalui kita abaikan. Malah amaran kecil yang diberikan juga tidak diambilkira. Bagaimana sebenarnya melalui hari-hari yang penuh berkasih sayang? Tentunya agama menggariskan sempadan dan had untuk dilalui bersama. Garispanduan yang banyak melalui al-Quran dan al-Sunnah. Rasulullah SAW memberikan contoh yang terlalu banyak. Terlalu halus. Terlalu seni. Terlalu mulus. Sebagai insan kita kadang-kadang berfikir tanpa adab beragama. Kita abaikan adab-adab berkasih sayang dengan orang-orang yang kita kasihi. Kita selalu berkeras dengan pendapat dangkal kita. Kita melebihkan kata hati dan bukan kata akal. Antara anak dan ibu-bapa mereka. Antara bersuami-isteri. Antara kerabat. Antara jiran. Ketika anak-anak dalam belaian, kita berikan yang terbaik untuk mereka. Lalu mereka membesar, berkerjaya dan berumahtangga. Mereka pula menyambung tugas merawat anak-anak mereka. Adakah hubungan dengan ibu dan bapa sudah terputus? Tentu tidak. Malah redha Allah tertangguh apabila redha ibu dan bapa tertangguh. Masihkah anak-anak kita ingat zaman bersama. Zaman berebut mainan. Zaman berebut ruang sempit sebuah rumah. Ruang sempit sebuah kenderaan. Zaman sakit pening yang perlukan rawatan. Zaman berlibur bersama. Yang paling syahdu ialah zaman berebut makan dan minum. Kadang-kadang hanya cukup-cukup. Kadang-kadang ibu dan bapa mengalah sahaja. Kadang-kadang sahaja ada lebihnya. Zaman itu berlalu tetapi pada mata ibu dan bapa anak-anak tetap anak-anak. Masih ingin dibelai walaupun mereka sibuk membelai anak-anak mereka sendiri. Dalam hati anak-anak tetap anak. Ibu dan bapa mungkin berada. Mungkin mampu dengan kehidupan sendiri. Tetapi ibu dan bapa rindukan semua yang telah berlalu. Rindukan zaman dulu-dulu. Rindukan sebuah kehadiran yang selalu tertangguh. Himpunan setahun sekali tidak betah mengubat rindu ibu dan bapa. Kerana itu ibu dan bapa kadang-kadang menyibukkan diri sehingga terlupa pada yang asas. Pada yang dasar. Pada yang hak. Kesibukan tentu sahaja meletihkan. Mengganggu fikiran. Mengganggu tidur dan jaga. Kelihatannya tiada apa-apa. Permukaan selaput nipis yang tidak menampakkan apa-apa. Walhal gelombang di dasarnya sangat bergejolak. Tidak tenteram. Lama-lama ia menganggu fizikal dan emosi. Mengganggu psikologi. Kesibukan mungkin juga mengganggu sebuah perhubungan emosi. Suatu belaian banyak ertinya. Banyak konotasinya. Banyak cabang dan rantingnya. Kita ingin membelai kepada mereka yang kita sayangi. Yang kita kasihi. Yang selalu kita rindui. Pada masa yang sama kita juga inginkan belaian. Ingin disayangi. Ingin dikasihi. Ingin dirindui. Perasaan itu perlukan timbal-balik dari mereka yang berada di sekeliling kita. Kebersamaan di dunia yang fana ini. Hubungan darah, kerabat dan berjiran. Di akhirat kita mungkin bersama tetapi sebagai individu yang sama tarafnya. Kerana itu kita perlu selalu bertaut. Selalu berpaut. Selalu hadir bersama. Ia perlukan kekerapan. Kebersamaan yang tiada syarat dan terma apa-apa sekalipun. Masa semakin singkat. Perjalanan semakin pendek. Siapapun anda sebagai anak-anak hari-harimu bersama ibu dan bapa semakin boleh dibilang dengan jari. Esok dan lusa belum tentu menunggu. Selagi boleh bersama, peluk dan ciumlah ibu dan bapamu sekerap mungkin. Seerat mungkin. Hanya mereka yang kamu ada. Mereka adalah pintu-pintu syurgamu. Nanti kau akan hanya terhidu baunya. Terdengar suaranya. Terbayang wajah tuanya. Terhidang senyumnya. Kata-katanya tidak akan terdengar lagi. Tawanya tidak lagi menjadi halwa telinga. Tingkahnya hilang bersama semadi jasadnya. Nasihatnya terhenti sudah. Hadirnya hilang sudah. Kebersamaan dengan mereka sampai di situ sahaja. Sebelum masanya sampai itu usahakanlah supaya kerap membelai mereka supaya mereka juga membelaimu. Senyum dan tawalah bersama mereka supaya mereka boleh tersenyum dan tertawa bersama. Tetapi, tetapi berilah kerehatan kepada mereka berdua. Apabila kembali kersama, hadirkan layanan lima bintang. Dilayan sepenuhnya. Mereka sudah letih. Mereka perlu rehat yang santai. Keupayaan fizikal yang kelihatan sempurna hanya pada penglihatan sahaja. Tulang-temulang mereka sudah lemah. Sudah mulai reput. Tenaga mereka sudah banyak susutnya. Tanpa belai dan membelai sayang dan kasih ini  siapapun akan longlai hidupnya. Isilah masa hidup ini dengan apa sekalipun. Pada asasnya belaian kasih sayang tetap perlu. Tetap ditunggu. Tetap dirindu. Ingin dikembalikan belaian itu kepada yang dikasihi. Kepada yang disayangi. Kepada yang dirindui. Sesunggunya kita mengasihi dan ingin mengasihi. Menyanyangi dan ingin disayangi. Merindui dan ingin dirindui. Tiap saat dan waktu. Tiap masa dan detiknya. Allahuakbar.

Pentingkah Muzik?



Rata-ratanya orang Melayu menggemari muzik. Hampir setiap majlis ada muzik. Di majlis makan-makan ada muzik. Jamuan besar-besaran ada muzik. Di majlis walimatlurus lebih banyak lagi muziknya. Maka DJ bercelotehlah dikira menggamatkan suasana. Dianggap sepi tanpanya. Seperti bukan majlis kata orang nantijika tanpa muzik . Baiklah. Majlis walimatulurus adalah majlis berkaitan agama. Setelah anak dinikahkan maka disyukuri dengan mengundang sanak saudara dan sahabat handai. Mereka dijamu dengan makan minum mengikut kemampuan tuan rumah. Ada yang biasa-biasa dan ada pula yang luar biasa. Malang sekali dalam majlis seperti itu selalu dicemari dengan muzik. Dengan tarian Zapin bagi orang Johor. Ada pula yang mengadakan joget lambak. Majlis yang seharusnya syahdu menjadi sesuatu yang lagha. Melalaikan. Muzik dengan volum tersangat kuat sehingga tetamu tidak senang hendak makan. Tidak berupaya untuk berbual. Seluruh kawasan itu bergetar penuh dengan kebisingan.

Majlis walimatulurus tidak perlu kebisingan yang melampau. Telinga terasa bingit dan mata menjadi berasap meliha hal-hal yang tidak sewajarnya. Apatah lagi silih berganti yang berkaraoke. Yang tua dan yang muda jadi sangat teruja dengan muzik. Suasana keislaman berkaitan walimatulurus itu pudar dan kelam. Yang tinggal adalah pesta muzik. Pengamatan penulis menunjukkan bahawa bermuzik-muzik ini hanya menjadi budaya orang Melayu-Islam. Tidak dilihat dalam majlis perkahwinan penganut Hindu, Buddha, Cina, Kristian dan sebagainya. Mungkin di tempat tertutup dalam majlis reception mereka. Kita tidak pernah diundang ke majlis mereka. Banyak yang kita tidak tahu. Yang pastinya apabila kita mengadakan majlis walimatulurus lazimnya kita berbuat yang berikut:

1                     Memperdengarkan muzik yang hingar-bangar hingga seluruh kawasan tempat tinggal kita terganggau selama beberapa jam. Tidak pernah kita perihatin dengan bayi, anak-anak kecil, orang tua dan mereka yang uzur. Kita menganggap mereka yang berkaitan tidak wujud di kawasan itu. Tuan rumah tanggung.
2                     Berlaku percampuran lelaki dan wanita tanpa batas Islam. Berlaga punggung di sana sini. Tersentuh di sana sini. Ruang sempit. Tetamu ramai. Ketika itu dosa dan pahala sudah tidak kita ambilkira lagi. Tuan rumah tanggung.
3                     Kawasan itu menjadi terhalang kepada semua lalu lintas. Siap dengan permit polis. Bayangkan apabila berlaku kecemasan. Bomba tidak boleh sampai. Ambulan tidak dapat hampir. Seolah-olahnya aktiviti seluruh penduduk di sebatang jalan itu terhenti seketika. Sehari. Mungkin dua hari.

Mari kita lihat senerionya di TV pula.  Sudah berpuluh tahun hal ini disuarakan. Bagaimana jika TV mengurangkan program hidonism mereka? Program lawak dari mega ke spontan. Mereka yang menonton tidak kering gusi. Rasanya ada larangan untuk ketawa kuat. Ketawa membuka mulut. Membuat orang lain untuk ketawa.  Kita disarankan untuk banyak menangis menginsafi diri.  Bukan ketawa hingga lupa diri yang kita ini hanya pinjaman sementara di dunia. Ketawa yang abadi hanya di syurga sahaja. Terlalu banyak hiburan dan menyanyi hampir si semua rangkaian di TV. Barangkali hanya TV Al-Hijrah sahaja yang kekal bertahan tanpa muzik.

Kita mungkin mengambil jalan mudah. Muzik untuk tidak menjadikan anak-anak muda kita menjadi liar. Benarkah begitu?

1                     Mana program al-Quran sebagai manhaj menghampirkan diri kepada Allah?
2                     Mana program ilmu? Bukankah ada kuliah Subuh, kuliah Asar, kuliah Maghrib dan ceramah-ceramah lain sepanjang hari, sepanjang minggu dan sepanjang bulan?
3                     Bukankah ada amalan berzikir sepanjang masa?
4                     Bukankah kita digalakkan untuk membaca apa sahaja bahan sama ada yang bercetak atau elektronik? Dalam telefon bimbit banyak ilmu yang disebarkan. Pilih yang bersesuaian.
5                     Banyak e-pembelajaran atau e-ilmu dari internet. Google sahaja untuk mendapat apa sahaja maklumat yang diperlukan. Syukur alhamdulillah, Allah mengizinkan manfaatnya teknologi berkomputer.

Saya kira tiada siapa boleh menafikan bagaimana orang Barat sangat gemar membaca. Membaca membuka minda untuk memikirkan kelainan melalui catatan pengarang. Lain pengarang lain pula ruang minda yang dibuka.  Buku-buku ilmiah pula memberikan peluang kita meneroka hal-hal besar dan sulit melalui eksperimen. Melalui pengamatan. Kajian bertahun-tahun yang dikompres dalam beberapa jam membantu kita memahami ciptaan Allah yang manfaatnya untuk kita yang juga ciptaanNya. Kita perlu lari dari kebiasaan yang dianggap biasa-biasa sahaja. Kita mungkin mampu melakukan hal-hal yang berkait dengan adat tetapi kita sewajarnya memilih yang hak berbanding dengan yang batil. Kejar yang hak dan tinggalkan yang batil.


Kesemua ramuan memperbaiki keadaan ini bermula dari rumah. Dari ibu dan bapa. Dari suasana anak itu masih kecil. Ada program keluarga untuk menjana bakal warganegara yang berjaya dalam kerangka Islam. Dalam manhaj Islam. Dalam menjana pejuang-pejuang Islam dalam teknologi. Dalam perubatan. Dalam pendidikan. Dalam ekonomi. Dalam ketenteraan. Dalam banyak bidang lain yang sekarang ini dikuasai oleh mereka yang bukan Islam. Kita harus see the world and get the world. World view kita diperluaskan mencakup seluruh alam seperti orang Amerika. Mereka meneroka alam. Bukan bumi semata-mata. Kerana itu ibu dan bapa sewajarnya bukan calang-calang orang. Mereka perlu berilmu untuk anak-anak. Berkemahiran untuk menjana bakal warganegara yang mandiri. Membentengi anak-anak dari terjebak dalam hal-hal yang merosakkan, lagha dan maksiat. Dari rumah tuan. Dari keluarga kita sendiri.

Hidup Kembara

Hidup ini suatu kembara yang tiada hentinya. Dari satu stesen ke stesen yang seterusnya. Destinasi harapan kita ialah syurga. Kembali ke kampung asal yang sekian lama ditinggalkan. Kadang-kadang kita terlupa jalan pulang itu. Kita tenggelam di dunia fana yang sementara sifatnya ini. Jalan pulang itu pada hakikatnya lurus tetapi banyak simpang yang menyukarkan perjalanan. Kita tahu caranya tetapi memilih untuk tidak memilih yang lurus. Telah diberi mahu tetapi kita mengelak untuk tidak tahu. Betapa hidup kita bercelaru sentiasa dalam pencarian yang salah walaupun yang benar sudah dimaklumkan. Apa fokus kita untuk terus maju? Di negara yang kaya ini kita disisakan dengan kayapnya sahaja. Yang menebat kekayaan bukan kita peribuminya. Kita berpolitik kerana mahu kaya tetapi lupa kekayaan itu pada ekonomi bukan kuasa politik semata-mata. Takut tiada kekalnya kerana ilmu menjaga ekonomi tiada pada kita. Sejarahnya orang Melayu mengharung lautan. Bahasa Melayu menjadi lingua franca alam Melayu yang mejangkau dari seluruh kepulauan Melayu hingga ke jazirah Arab dan pantai timur Afrika. Kerajaan Langkasuka, Sri Vijaya, Majapahit, Melaka, Champa dan banyak lagi menguasai alam Melayu. Malah mereka gah pada zaman Yunani dan Rom. Kapal-kapal mertim Melayu membelah Lautan Hindi, Laut Arab, Laut Cina Selatan. Artifak Melayu malah ditemui di Okinawa, Jepun. Orang Maori adalah keturunan Melayu. Begitu di Madagaskar, Afrika. Seri Langka. Keturunan Melayu ini  dahulunya begitu digeruni bangsa lain kerana kegagahan dan teknologinya. Teknologi pelayaran, teknologi perlombongan dan teknologi pertanian. Apakah faktor sebenar yang melemahkan minda orang Melayu? Ketika Portugis sampai di alam Melayu, kita sudah lemah. Begitu mudah dijajah. Beratus tahun dijajah. Penjajahnya pula silih berganti. Adakah Melayu hanya layak dijajah. Malah sekarang kita berhadapan dengan penjajahan yang bukan-bukan. Orang Melayu kehilangan identiti, entiti dan jati dirinya. Mari kita cari bersama-sama. Sekarang ini orang Melayu takut memimpin. Yang memimpin pula tenggelam dengan kuasanya. Yang dipimpin selalu hilang suara untuk membetulkan keadaan. Ada yang lebih malang sebenarnya dalam sejarah kepimpinan manusia dari dahulu hingga sekarang ialah wanita di sebalik pemimpin. Ramai pemimpin yang jatuh tersungkur kerana permainan wanita di sebaliknya. Lihat Ben Ali di Tunsia. Marie Antoinette di sebalik Napoleon Bonarparte. Dan ramai lagi pemimpin dahulu yang tumbang kerana salah permainan wanita di belakang tabir kepimpinan. Hingga sekarang perkara itu masih berlaku. Masih berleluasa. Bagi pemimpin kecil kesannya tidak seberapa tetapi bagi pemimpin besar akibatnya sangat mengesankan negara yang dipimpin dan rakyat jelatanya. Apabila keadaan seperti itu berlaku malang bagi negara. Kemakmuran terjejas. Kedamaian terancam. Keharmonian terganggu gugat. Nampaknya kita surut ke belakang walaupun pada pandangan mata kasar segalanya gilang gemilang. Banyak yang terhakis dan perlahan-lahan dimusnahkan. Warisan kita bukan dikongsi oleh orang lain malah diambil milik oleh mereka yang bukan lagi pribumi. Istilah international mungkin terlalu longgar. Sebenarnya sudah dipindahmilik selama-lamanya. Yang terjual bukan kepalang banyaknya. Yang tergadai bukan kepalang luasnya. Yang dirancang untuk dilepaskan tentulah lebih banyak lagi. Prime asset kita jatuh ke tangan orang lain. Utiliti kita juga di tangan orang lain. Orang asing pula. Tanah dipijak bakal menjadi milik orang. Sedikit demi sedikit kita menumpang dan semakin terhimpit dari segi ekonomi. Jika sekarang keadaan sudah parah, akan datang entah apa yang bakal berlaku. Ada kalanya kita hanya menyanyi menyatakan rintihan hati. Kita berdendang mendayu-dayu. Meniup seruling bambu di tepian malang yang hiba. Malangnya sensitiviti kita sudah hilang. Kita memandang tetapi tidak melihat. Memasang telinga tetapi tidak mendengar. Diperkatakan tetapi tidak difikirkan. Sejak merdeka seolah-olahnya kita tertumpu kepada kuasa politik tanpa fokus terhadap kuasa ekonomi dan teknologi. 60 tahun negara lain membina tamaddun besar. Tamaddun untuk anak cucu. Tamaddun untuk melonjakkan negara ke mercu tinggi. Jalanya sudah diteroka. Matlamatnya sudah disediakan. Tetapi natijahnya dinyahkan begitu sahaja. Kita masih terkapai-kapai mencari titik mula. Titik untuk melonjak terus maju. Untuk melonjakkan kejayaan ekonomi dan tamaddun bangsa. Kelamahan ekonomi begitu ketara apabila kemampuan ekonomi sangat menidakkan kuasa beli orang Melayu. Nakhoda kita perlu diperbetulkan. Haluan kapal dilaraskan. Awak-awak diberi ilmu pelayaran yang jitu. Perdagangan yang dibawa bernilai tinggi. Teknologi yang digarap sukar disanggah. Negara kecil Estonia di Eropa Timur sudah terkehadapan dengan teknologi sibernya. Turki sudah bersama negara G-20. Negara sekeliling sudah melonjak tinggi. Kita masih di takuk lama. Menjanjikan sesuatu yang jauh dari realiti negara lain yang dahulunya hampir musnah keana perang atau kejatuhan ekonomi. Syria yang seperti musnah negaranya masih berupaya melahirkan pasukan bolasepak yang setandaing negara Arab yang lainnya. Iraq menjanjikan kemajuan ekonomi yang jauh lebih tinggi dari negara kita. Kita di mana? Tidak cukup dengan retorik kejayaan tanpa bukti konkrit nyata untuk dilihat dengan mata kasar dan mata hati. Kita tidak boleh main sahaja. Jadikan rakyat Melayu celek segala-galanya. Jangan musnahkan keturunan ini hanya kerana sesuatu yang bersifat jangka pendek. Jangka panjang perlu dijaga. Ia masa hadapan anak dan cucu kita.

Saturday, October 21, 2017

Apabila Gagal Mengejar Pelangi

Pelangi itu indah. Mewarna dan menandai keriangan sesuatu yang menjadi hambatan. Di hujung pelangi itu ingin digapai kebahagiaan memanjang usia. Menunjangkan kasih sayang sepanjang hayat. Namun apabila rintik-rintik hujan menjadi reda, pelangi indah berwarna-warni itu hilang pergi entah ke mana. Yang tinggal hanya kesayuan di hujung zaman. Kita hanya mampu menatap yang hilang. Meratap yang pergi. Jauh di sudut hati hanya hampa. Kekosongan yang menerowong jauh. Nampak cahaya di hujungnya tetapi kian kelam. Kian berkabut. Kian berkabus. Kelabu menjamah hitam. Lalu apa lagi yang dapat memancarkan warna-warna pelangi yang hilang itu? Kita hanya mengharap.Hanya dapat berdoa. Memohon dariNya Yang Maha Esa. Memohon kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Menuju jalan lurus nikmatnya syurga. Abadi di dalamnya. Apakan daya dayung patah di tengah lautan. Layar rabit diterjah angin. Hamba yang kerdil ini hanya berserah kepadaMu ya Allah. Hanya kepadaMu. Perjalanan jauh yang telah dilalui diharap menjadi bekal untuk terus ke hadapan. Kekangan dan halangan rupanya menghantui hajat dan hasrat. Mimpi-mimpi indah rupanya memang realitinya hanya mimpi. Bukan alam nyata seperti yang diimpikan. Jaganya hanya lamunan semata-mata. Alangkah patahnya sayap tua ini. Alangkah remuknya perasaan. Kenapa dan mengapa tiada upaya untuk menghujjah. Tiada perkataan untuk diungkapkan. Rahsia besar di sebalik senyuman tiada siapa yang akan tahu kecuali Allah. Persembunyian di sebalik senyum yang tidak lagi dapat dibendung. Tidak dapat lagi ditutup rapi. Deraian air mata jua yang merembas pipi yang mulai berkedut. Yang mulai kering dengan usia tua. Ilmu dan pengalaman tidak dapat menampung retaknya hati. Siapapun tiada hak untuk menghakimi. Perjalanan hidup yang serba payah untuk menjaga sekeping hati. Yang terang itu bersuluh. Jelas dan dilihat dengan nyata. Pada diri kita ada titik putih dan titik hitam. Andainya kita fokus pada yang putih maka tidak perlu difikirkan titik yang hitam. Namun apabila yang hitam semakin dihitamkan maka yang putih semakin kelabu dan akhirnya hanya hitam yang dilihat. Pada kebanyakan masa kita adalah insan-insan yang rasional. Tetapi apabila minda kita sudah kusut, maka adab berfikir hilang arahnya. Insan tidak lari dari kesilapan. Kerana ia insan ia berusaha memperbaiki diri. Ada yang berusaha memperbaiki diri tetapi itu tidak dianggap mencukupi. Seluruhnya hanya dilihat negatif. Tidak dilihat manfaatnya. Tidak dilihat indahnya. Tidak kelihaan titik putih yang perlu diberi keindahan yang sewajarnya. Tiada siapapun yang sempurna. Banyak kekurangannya. Tetapi sekiranya kekurangan itu semakin hari semakin dilebarkan tentulah dunia ini menjadi sempit. Ruang yang ada menjadi kecil. Fizikal dan mental kita menjadi tersepit dan terjepit. Kesabaran selalu teruji. Pertahanan perasaan tercabar. Sesuatu yang dihadapi bertahun-tahun lamanya sampai juga ke penghujungnya. Sesuatu yang bermula berakhir jua. Apabila perasaan diserang bertubi-tubi sepanjang masa, roboh juga Kota Melaka. Rupanya apabila kita menjadi tua terlalu banyak hilangnya perkara. Bau tubuh banyak busuknya. Rambut botak menjadi cela. Kulit tubuh tiada lagi indahnya. Pakaian banyak yang tidak kena. Amalan sentiasa tidak mencukupi. Tenaga hilang entah ke mana. Keupayaan semakin lemah. Tutur kata semakin samar. Kata-kata banyak salahnya. Berbuatlah sebanyak mana, tetap banyak celanya. Ramai antara kita tidak melihat sekeliling. Bahawa usia memamah tenaga. Mengendurkan keupayaan fizikal. Melunturkan keupayaan mental. Benar, buah kelapa tua banyak santannya. Tetapi ingat juga ia mudah menjadi basi. Tidak berguna untuk apa sekalipun. Apa sebenarnya yang perlu dilakukan apabila tua? Banyak beramal tetapi dengan kadar yang selesa dan berkeupayaan. Membina standard tinggi yang mencukupi tetapi tidak melebihi keupayaan yang ada Tidak adil dikata tidak mencapai standard orang lain. Tidak adil dinilai tidak cukup hebat seperti orang lain. Amalnya tidak dilihat sehebat orang lain. Usahanya sentiasa dianggap tidak mencukupi. Apa yang dilakukan sentiasa dianggap tidak mencapai standard. Buah fikirannya tidak dikira bermanfaat.Diperkecilkan seperti tiada gunanya lagi. Makannya disebut negatif Pakainya cacat cela belaka. Rehatnya tidak senangi. Tidurnya dianggap tidak memperduli. Tentulah pada usia tua penat lelahnya semakin banyak. Lenguh sendi merata-rata. Ingin juga bermanja. Apakan daya tiada yang ingin menyentuh. Menyentuh dirasa geli pula. Bagaimana lelaki yang sempurna? Sedangkan pada dirinya: Tidak keluar berpeleseran. Tidak bersembang di kedai makan. Tidak menghabiskan waktu di luar rumah kecuali kerana kerana tugas. Tidak liar dengan wanita. Tidak mencari hiburan bersendirian. Sesuatu yang kelihatan indah mungkin hanya bersalut nipis. Tidak kukuh dan kental seperti diharap. Sendu dan tangis hanya di dalam. Diingat apabila bersendirian. Semua yang indah bertukar menjadi kebencian. Menjadi sesuatu yang tidak senang dipandang. Kehadirannya sudah tidak lagi mendamaikan. Ada sahaja salah dan silapnya. Maka berhamburanlah kata-kata negatifnya selagi terpacak di hadapan mata. Terasa benar kehadiran tidak diperlukan lagi. Maka pada akhirnya pecahlah tembok besar yang selalu dipertahankan. Tiada lagi gunanya air mata ini. Cukuplah di ini. Berakhir sebuah kebahagiaan.