Siapa gemar menonton TV? Ramai. Rancangan yang
menjadi pilihan? Mungkin drama Melayu. Aduhai banyak betul komen mengenai drama
Melayu. Tajuknya di luar jangka. Girlfriend dari neraka! Baca dengan
teliti. Baca sekali lagi. Girlfriend dari neraka! Biar betul. Fikirkan
secara jujur. Benarkah ada manusia kembali ke dunia setelah berada di neraka?
Wanita pula. Sukar hendak faham. Rasanya dalam Lembaga Penapisan Filem dan
Drama ada tokoh yang arif dengan agama. Atau memang tiada. Jika demikian high
time ada pakar agama dalam lembaga tersebut. Sesuatu yang mustahil tidak boleh
diterima akal. Ia bukan cliché dan ia bukan suka-suka. Agama memberi
faham mereka yang berada di neraka jika diampunkan Allah akan dimasukkan ke
syurga. Bukan dikembalikan ke dunia. Qiamat belum berlaku jadi proses mahsyar
belum berlaku, proses hisab belum berlaku, proses titian sirat belum berlaku. Kerana itu kita tidak boleh
membenarkan hal main-main ini berlaku kepada kita. Ia melibatkan akidah.
Melibatkan tauhid. Mohon kepada yang arif untuk memberikan penjelasan. Dikhuatiri
akan ramai yang mengambil mudah. Takut ramai rosak akidahnya.
Siapa yang menonton drama sebegitu? Orang
Islam. Orang Melayu. Ianya drama Melayu. Produksi orang Melayu. Adakah ianya
memang disengajakan untuk undermine akidah orang Melayu. Untuk
mempermain-mainkan hal-hal yang berkaitan dengan agama. Kita tidak boleh
berkata bahawa itu hanya tajuk. Tidak! Yang tidak benar adalah tidak benar.
Iman kita tercabar dan tercalar. Bagaimana ibu dan bapa akan menjawab
pertanyaan anak-anak? Benarkah ada orang yang datangnya dari neraka? Jika
jawapannya tidak benar, mengapa tajuk sedemikian diizin dan diluluskan? Ia
sensitiviti agama yang tidak diberikan layanan adil. Selalu benar orang media yang meremehkan
agama. Selalu pula penulis skrip meremehkan agama. Selalu pula artis yang tidak
kuat asas agamanya. Apabila kesmuanya tiada standard agama maka hiburan
dihidangkan tanpa roh agama. Benarlah pada akhir zaman semuanya ingin
meruntuhkan agama. Menjadi tentera dajjal belaka. Kita dialih berfikir jauh
dari kehendak agama.
Itu belum lagi drama yang meremehkan pemikiran.
Meremehkan kedangkalan berfikir. Benar, kita hanya merealisasikan apa yang
berlaku dalam kehidupan sehari-hari. Memanifestasikan realiti tidak sama dengan
merancang untuk memperbetulkan keadaan. Untuk membangunkan minda, adat dan
kebiasaan hidup yang sewajarnya menjurus kepada hidup beragama. Ada pula yang
mempamerkan kontroversi dari segi pandangan agama. Kesemua ini perlu dirujuk
kepada pakar. Kepada majlis fatwa. Kepada mufti. Kepada mereka yang diyakini
arif tentang hal-hal agama. Bayangkan:
Wanita yang tidak boleh berfikir. Mencari kunci
kereta dalam beg tangan pun seperti hilang akal.
Watak-watak yang tidak ada panduan hidup
berdikari.
Dialog yang bertentangan dengan norma beragama.
Watak-watak yang tidak Islamik. Memaki hamun. Minum
minuman keras. Ganas.
Anak-anak yang tidak terdidik. Asas agamanya
kurang sangat.
Pekerja yang tidak jujur. Memang ada tetapi tidak perlu dihighlight
terlalu sangat sehingga menjadi ikutan pula. Atau bakal dicuba-cuba. Banyak perkara
boleh digrafikkan. Boleh hanya dengan dialog. Bukan dengan praktikalnya.
Kesemua ini kembali kepada kita. Kepada ibu dan
bapa. Kepada guru dan ustaz. Kepada penceramah dan motivator. Kepada pemimpin
dan yang dipimpin. Jangan lupa peranan dan tugas media yang pengaruhnya sangat
besar. Yang impaknya sangat menular. Kita harus berfikir secara mikro dan
makro. Mikro bermula dari keluarga yang kecil. Yang boleh dikendalikan oleh ibu
dan bapa. Jika ini gagal dilakukan maka anak-anak yang berada di luar rumah
berpotensi menjadi perosak masyarakat. Menjadi sampah sosial. Ia akan kembali
kepada keluarga. Anak siapa. Siapa bapanya. Siapa ibunya. Malah siapa datuk dan
neneknya. Juga siapa saudara maranya. Secara makro pula, pemimpin yang di atas
yang akan ditanya. Yang akan dipertanggungjawabkan. Kerana itu apa yang
dilakukan pemimpin, menjalar ke bawah. Kepada rakyat biasa. Apa yang dikatakan
oleh pemimpin juga menjadi ikutan rakyat di bawah. Pemimpin dahulu takut
apabila diangkat menjadi pemimpin. Tanggungjawabnya besar. Bukan kuasa yang
penting. Tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Ramai orang mendapat kuasa
tetapi belum tentu penuh 100% tanggungjawab yang dilaksanakannya. Belum tentu
selaras dengan kehendak agama. Belum tentu Islamik.
Apapun yang akan kita lakukan hendaklah beradab
dengan agama. Selaras dengan kehendak agama. Kita ingin mencari jalan lurus. Jalan
selamat. Jalan yang diredhai Allah. Bahawa jalan yang kita pilih menyampaikan
kita kepada keperluan beragama. Keperluan mendekatkan diri dengan Allah. Berhiburlah
dalam lingkungan batas-batas yang digariskan agama. Bergembiralah tetapi jangan
lupa jalan kita ke akhirat. Jalan lurus yang sememang lurus selurus-lurusnya. Jangan
melihat dari sisi yang senget atau herot. Di luar sana banyak sangat gangguan
minda dan pemikiran. Cuba memesongkan kita dari jalan lurus yang sudah kita
pilih. Kadang-kadang kita tidak menutup telinga. Kerap mendengar yang tidak
hak. Kita tidak menutup mata. Memandang yang tidak hak. Tidak menutup mulut. Bercakap
yang tidak hak. Tidak menutup minda sehingaga yang kita fikirkan menyimpang
dari garis agama. Tiada yang lebih baik dari hidup beragama. Mencari redha
Allah.
No comments:
Post a Comment