Apa sebenarnya yang kita fahami dari
dunia lakonan? Ianya hanya lakonan. Bukan realiti. Plot cerita yang dilakonkan
mungkin diambil dari realiti atau fiksyen semata-mata. Betulkah begitu. Fiksyen
sekalipun tentunya bersandarkan kepada pengalaman dalam persekitaran penulis
skrip. Dihayati oleh pengarahnya. Dilakonkan untuk tatapan umum. Lakonan
memerlukan watak-watak hebat untuk merealisasikan jalan cerita yang digarap
pengarahnya. Garapan yang baik selalunya menampilkan lakonan yang real.
Menjiwai cerita dan wataknya. Penonton
merasa puas kerana paparan di TV atau pawagam itu memberikan input minda yang
baik. Lakonan yang baik memenuhi selera
dan kehendak penonton semua peringkat. Tidak meninggalkan impak kurang atau
negatif. Umpamanya selepas menonton sesuatu drama kita merasa terkesan. Tidak
pula merasa banyak ketidakselarian. Secara psikologinya ada keselelarian dengan
teori dan kebiasaan hidup manusia. Tidak pula memperlekeh mana-mana gender.
Tidak memperlekeh usia, tahap pendidikan atau diskriminasi dalam bentuk stereotyping.
Selama ini kita bayak dihidangkan dengan
filem dan drama TV. Banyak nama-nama besar dalam bidang lakonan. Ramai yang
kekal aktif. Ramai yang sudah kembali kepada Allah. Ramai yang Allah uji dengan
berbagai dugaan di dunia. Apabila kita sorot kembali, kita dapati ada antara
pelakon hebat filem dan drama yang realiti hidupnya seperti lakonan mereka yang
direalisasikan dalam dunia realiti mereka. Kehidupan sebenar mereka seperti apa
yang pernah mereka lakonkan.
1
Pelakon yang airmatanya
sangat murah akhirnya menjalani hidup dengan berendam dengan airmata.
2
Palakon yang menjiwai watak susah dan miskin, menjadi
benar-benar miskin dan susah di hari tua mereka. Lakonan dan realiti bergabung
akhirnya.
3
Pelakon yang melakonkan
watak terbuang, benar-benar terbuang di hari tuanya hingga ke akhir hayatnya. Ada
pelakon yang dibuang oleh ahli keluarga sehingga akhir hayatnya.
4
Pelakon yang membawa
watak, maaf, janda atau balu Allah izinkan menjadi janda atau balu.
5
Pelakon yang membawa
watak sakit, mengidap realiti sakit yang sebenar.
6
Pelakon yang membawa
watak nakal, kekal nakalnya di luar lakonan.
Itu sekadar beberapa contoh sahaja.
Banyak lagi watak-watak lain yang dilakonkan oleh berbagai pelakon. Apa
sebenarnya yang boleh kita kongsikan di sini?
1
Pelakon menjiwai watak
lakonan mereka. Hidup seperti watak itu. Berusaha menghidupkan watak itu
seperti sebenarnya berlaku. Dirinya adalah watak itu.
2
Menghafal skrip.
Menghafal skrip berulang-ulang hingga lekat di bibir. Apa yang diungkapkan
sebelum dan semasa penggambaran adalah skrip itu.
3
Seluruh hidupnya berada
dalam watak itu hingga selesai proses penggambaran dan dubbing. Pada waktu yang lain
watak lain pula yang dipegangnya. Prosesnya berulang.
Cuba amati kata-kata ulamak. Sesuatu
yang diulang-ulang seolah-olah doa. Seperti zikir jadinya. Berapa kali agaknya
seseorang pelakon utama menghafal skrip. Mengulang-ulangnya hingga lekat di
bibir. Lekat di minda. Seluruh pemikirannya itulah skrip yang dihafalnya. Akhirnya
Allah makbulkan seperti yang diulang-ulang. Bagaimana dengan dialog berikut:
Yalah, aku ni miskin.
Aku ni orang susah.
Aku ni orang bodoh.
Aku ni tak pandai.
Yalah, aku ni hina.
Aku memang busuk.
Aku memang tak baik.
Berapa ratus atau ribu kali agaknya
dialog itu dihafal. Dilakonkan hingga selesai. Kita selalu didorong supaya
berwirid mengingati Allah. Apabila skrip lakonan menjadi seperti wirid mungkin
itu yang lekat dalam minda dan hati. Allah makbulkan wiridnya. Rasanya pelakon
akan sedar akan impak lakonannya. Kepada mereka ianya semata-mata lakonan. Tiada
kena mengena dengan realiti. Mungkin kena ambil iktibar yang lebih sedikit. Cari
semula apa di sebalik lakonan. Apa yang berlaku kepada pelakon berlaku juga
kepada ahli masyarakat yang lain. Namum cerita mereka tertutup. Tiada paparazi
yang mengintai mereka. Kepada artis atau selebriti semua kisahnya menjadi tatapan
umum. Semua orang megetahuinya. Sementelahan pula dunia seni ramai peminatnya. Tidak
ramai artis yang bertahan dalam dunia yang penuh pancaroba. Ada sahaja cerita
yang di luar jangkaan.
Beruntung pelakon yang selalu memegang
watak baik. Watak orang kaya. Orang besar. Orang ternama. Memegang watak orang
alim. Jadi imam. Ketua. Penghulu dan sebagainya. Ramai pula memegang watak yang
negatif. Antigonis. Ditonton dengan meluat. Dibenci. Malah hingga di luar set
pelakon seperti ini dibenci orang. Bukan kerana jahat atau nakal. Tetapi kerana
lakonannya yang dianggap berkesan. Dari segi prestasi seni ianya dianggap satu
kejayaan. Namun dari segi yang lain lakonan itu mengaibatkan penonton membencinya.
Ada kemungkinannya mereka yang benci itu menyumpah seranah. Bukan seorang. Bahkan
ramai yang berpandangan serupa. Nah! Bagaimana? Hanya lakonan tetapi memberi
impak negatif. Dimaki hamun tanpa disedari oleh pelakonnya. Yang benci pula
mungkin bukan orang sebarangan. Orang biasa-biasa yang bersih hatinya. Caci makinya
dikatakan orang dari ‘mulut yang masin’. Apabila kebencian itu turut menjadi
doa maka lakonan ahkirnya menjadi realiti.
Mungkin ada baiknya dunia lakonan
dilihat semula. Mungkin industri hiburan diperlukan tetapi lihat penampilan
pelakon-pelakonnya supaya tidak melakonkan watak-watak yang negatif. Watak yang
naif. Adegan-adegan yang tidak kondusif dalam pembentukan nilai murni
ditiadakan. Tidak diperlihatkan. Tidak disebut secara jelas. Jalan cerita penuh
dengan nasihat. Banyak unsur motivasi. Sorotan psikologi yang mengesankan. Analisis
akademik dalam penceritaan. Dan banyak lagi jika mahu digarap. Sampai masanya
industri hiburan merujuk kepada panel agama dan panel akademik. Pertamanya supaya
ada kepatuhan syarie dan keduanya selari dengan penyelidikan akademik. Kita perlu
melonjakkan industri lakonan umpamanya ke tahap yang jauh lebih tinggi. Sopan dan
berhemah.