Monday, February 8, 2010

Berdoalah Kerana Sesungguhnya Allah Maha Dekat - Dihimpunkan Semula

Pagi itu saya dalam perjalanan ke Segamat untuk mengambil anak lelaki (yang kelapan)saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat. Saya ingin membawanya untuk menunaikan umrah. Saya dan isteri ingin membawa tiga orang anak kami yang yang berumur 15, 13 dan 9 tahun. Kami pergi berserta kedua ibu bapa mertua saya dan seorang adik perempuan isteri saya. Namanya Noriah. Kami sekeluarga lebih selesa memanggilnya Mitah.

Seminggu sebelumnya Mitah dimasukkan ke wad kerana masalah kencing manis yang kerap menyerangnya. Pagi dalam konteks cerita ini ialah sehari sebelum kami bertolak. Dalam perjalanan ke Segamat itu saya menelefon isteri bertanyakan hal Mitah. Saya dimaklumkan ia masih di hospital dan doktor tidak berani memberi kebenaran untuk Mitah meninggalkan wad.

Allah. Spontan terkeluar dari mulut saya. Macam mana ni? Esok dah nak bertolak. Saya tenangkan fikiran. Perlahan-lahan saya berdoa, "Ya Allah! Berikanlah kemudahan kepada Mitah untuk mengerjakan umrah. Dia hendak bertemu denganmu ya Allah! Kau penuhilah hsratnya. Kami hendak beribadat keranamu ya Allah. Permudahkanlah usaha kami." Sebak dada saya. Air mata saya merembas panas mengalir hingga ke janggut saya. Allah. Allah, zikir saya sepanjang perjalanan.

Sejam kemudian saya menerima berita gembira. Isteri saya memaklumkan bahawa Mitah telah dibenarkan keluar dari wad atas tanggungan sendiri. Alhamdulillah. Syukur kepadaMu ya Allah.

Malam itu Mitah sampai di rumah saya bersama suami dan anak-anaknya. Tubuhnya memang longlai. Seleranya tidak ada. Sakitnya belum reda. Jika melihat keadaannya ketika itu memang tidak mungkin ia mampu untuk beribadat di Mekah dan Madinah nanti. Tetapi saya penuh yakin Allah mendengar doa saya. Saya yakin Allah akan makbulkan niat kami untuk mengerjakan umrah. Atas keyakinan itu saya tidak menaruh bimbang tentang keadaan Mitah.

Awal pagi sebelum kami keluar dari rumah, Mitah masih tertungging-tungging kerana muntah-muntah. Ya Allah, bantulah dia ya Allah. Bantulah dia. Permudahkanlah hasratnya untuk mengerjakan umrah. Berpapahlah ia menaiki kereta dan kami menuju ke masjid berhampiran sebagai tempat berhimpun sebelum menaiki bas untuk ke KLCC.

Sepanjang perjalanan itu banyak kali juga ia seperti hendak muntah. Tetapi ia berjaya menahannya. Kami minta ia tidur sahaja sepanjang perjalanan. Alhamdulillah tiada masalah hingga sampai di KLCC. Semasa menunggu penerbangan ia sudah mula boleh duduk selesa. Mula hendak minum. Hati saya berdoa, insyaAllah segalanya akan baik-baik belaka.

Dalam penerbangan, Mitah sudah mula hendak makan. Perkembangan yang baik. Kerisauan sebelum ini semakin reda. Kami semua mulai ceria. Tiada apa yang merungsingkan. Kami tiba di Madinah dalam keadaan biasa-biasa sahaja. Kebetulan hotel kami dekat dengan Masjid Nabawi. Mitah boleh berjalan kaki sendiri. Mungkin Allah memulihkan semangat dan kekuatannya setelah menjejakkan kaki di bumi haram. Mungkin kerana ghairahnya melihat Masjid itu. Allah Akbar. Bumi Rasulullah mentarbiahkan alam. Bumi Rasulullah disemadikan. Bumi ya habibullah. Bumi ya sofwatullah. Bumi makhluk agung yang memberi rahmat ke seluruh alam. Selawat dan salam sejahtera ke atasmu ya Rasulullah. Ke atas kaum kerabatmu. ke atas sahabat-sahabat yang berjuang bersamamu. Sahabat-sahabat yang gugur syahid di bumimu.

Tiga hari kami di Madinah semuanya berjalan lancar. Makan dan minum Mitah tiada masalah. Satu lagi barangkali, barakah air zamzam. Kami menasihatinya supaya minum seberapa banyak yang mungkin. Berdoalah banyak-banyak.

Tiga hari di Madinah cukup menyegarkannya. Di Mekah pula kesihatannya pulih sepulihnya. Di Jeddah, sebelum menaiki kapalterbang, ia menyuntik insulin ke tangannya. Katanya sudah tiga hari dia tidak menyuntik insulin dan dia boleh bertahan. Allah, berkat umrah dan air zamzam.

Walaupun zaman kita ini sudah 1431 tahun sejak kegemilangan Rasulullah menegakkan daulah Islamiyyah di Madinah, Allah kita tetap Dia, yang sentiasa menunggu doa-doa dari kita hambaNya. Berdoalahlah sesungguhnya Allah Maha Mendengar. Allah Maha Dekat. Berdoalah, insyaAllah Allah akan memustajabkan doa kita. Amin, amin ya Rabbal 'Alamin.

No comments:

Post a Comment