Monday, February 8, 2010

Bilik Darjah dan Nilai Islamik - Dihimpunkan Semula

Bilik-bilik darjah di sekolah di Malaysia telah lama diurus secara tradisi. Pertama, susunan meja dan kerusi menghadap ke satu arah iaitu ke hadapan kelas. Di hadapan kelas itu pula ada guru dan papan tulis. Keduanya, pelajar perempuan duduk di bahagian hadapan dan pelajar lelaki di bahagian belakang.

Menyusun meja dan kerusi mengarah ke hadapan kerana mengambil kira papan putih diletak pada satu arah sahaja. Guru pula sebagai orang yang paling berautoriti di dalam kelas itu suka berada di hadapan kelas dengan tujuan untuk mengawal keadaan. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) menjadi berpusatkan guru dan semuanya menjadi satu arah sahaja. Guru berharap pelajar berinteraksi dengannya. Keadaan ini menjadikan kelas menjemukan. Yang dipandang dan didengar ialah suara dan pergerakan guru. Tiada variasi yang boleh menghilangkan rasa jemu. Guru diberi tanggungjawab yang besar menjadi penyampai ilmu, mengajar, memberi taklimat, menagawas dan mengawal keadaan. Kelas menjadi lebih kaku (Rigid and frigid) dan mengerikan bagi sesetengah pelajar yang penakut dan lemah semangat.

Di Barat keadaan ini sudah berubah. Kelas-kelas disusun mengikut bentuk U. Dengan susunan ini guru menjadi fasilitator dan ia tidak semestinya berada di hadapan kelas. Bila perlu sahaja ia akan berbuat begitu. Bentuk U akan membolehkan palajar-pelajar berinteraksi dengan guru dan pada masa yang sama berinteraksi dengan sesama mereka. Kelas menjadi lebih santai. Yang mereka pandang adalah rakan-rakan mereka sendiri. Bukan muka asing yang dipamerkan guru.

Kelas berbentuk U membolehkan guru memulakan kelas dengan sesuatu arahan atau aktiviti atau provokasi. Kemudiannya pelajar digerakkan untuk aktif di dalam kelas mengikut rangasangan (que) atau isyarat yang telah diberi guru. Lazimnya kelas jenis ini akan melahirkan pelajar-pelajar yang aktif dan mudah bersosial. Mereka lebih bantu membantu (supportive) antara satu sama lain.

Pelajar perempuan diletakkan di bahagian hadapan kelas mungkin untuk mengelakkan mereka diganggu pelajar lelaki. Mungkin kerana tubuh mereka lebih rendah dan lebih kecil. Dalam satu hal, sebenarnya pelajar-pelajar perempuan mengganggu konsentrasi pelajar lelaki yang duduk di belakang mereka. Apatah lagi apabila mereka sudah melepasi umur baligh. Mereka yang duduk di hadapan lebih mendapat perhatian guru, lebih disayangi dan lebih diberi bantuan.

Mereka yang di belakang selalu terabai. Dianggap jauh dan sukar didekati. Itulah sebabnya pelajar lelaki mudah mengantuk sebab suara guru pun sayup-sayup mereka dengar. Akhirnya mereka menjadi pelajar yang "tidak apa". Sesetengahnya menjadi pendendam kerana gurunya tidak memberi perhatian.

Bagaimana jika keadaan sebaliknya dilaksanakan? Kita tukar supaya pelajar lelaki di bahagian hadapan kelas dan pelajar perempuan di bahagian belakang kelas. Kedudukan mereka disusun supaya tidak ada yang terlindung. Pelajar yang bersaiz besar diletakkan di bahagian tepi, menakala yang bersaiz kecil di bahagian tengah.

Penyelidikan perlu dibuat untuk menambahkan keberkesanan bilik darjah. Mungkin ada penemuan baru yang lebih praktikal, ekonomikal dan implikasi positifnya lebih besar lagi.

No comments:

Post a Comment