Wednesday, November 11, 2015

Kesihatan Itu Dilihat dan Diusahakan



Kebersihan sebahagian dari iman. Hanya empat patah perkataan yang simple. Namun begitu berapa ramai antara kita yang benar-benar perihatin tentang kebersihan. Bahawa kebersihan itu berkait dengan kseihatan. Dengan kesejahteraan. Dengan kebahagiaan. Dengan keindahan hidup. Kebersihan pula berkait dengan alam di sekeliling kita. Dalam rumah. Persekitaran luar rumah. Jalan. Kejiranan. Longkang, parit dan sungai. Sikap kita. Amalan kita. Falsafah hidup kita tentang sampah. Untuk bersih bukannya susah. Yang sukar diubah ialah sikap kita yang tidak mahu berubah. Menolak idea dan amalan yang lebih baik. Paradigma yang paradox. Ingin kekal seperti yang lama walaupun tidak baik. Tidak mengubah dari kotor menjadi lebih bersih. Kebersihan yang mutlak memang suatu tuntutan tetapi sekurang-kurangnya cukup bersih untuk mengelak sebarang malapetaka penyakit yang mungkin akan datang.

Paling dekat ialah dalaman rumah kita. Adakah ianya bebas dari sampah dan sarap. Bebas dari sepah. Bebas dari pakaian kotor bertaburan. Bebas dari buku anak-anak yang tidak tentu susunnya. Bebas dari debu. Dari abuk. Dari sebarang kotoran yang mungkin minyak, getah, sabun dan air. Rumah dalam keadaan tidak selesa diduduki. Tidak enak dipandang. Mari kita lihat di luar rumah. Banyak daun berguguran? Bunga layu yang berada di perdunya. Lalat, langau, lipas, cicak, nyamuk, tikus, burung, biawak dan ular mungkin menziarahi halaman dan sekeliling rumah. Itu belum sampah buangnn dan ciptaan anak-anak yang tidak ditegur bahawa perbuatan itu salah. Menyalahi ajaran agama. Menyalahi prinsip kebersihan dan kesihatan. Kesihatan bukan hanya fizikal. Ianya berkaitan juga dengan emosi, psikologi, perasaan dan dalaman kita. Secara mantapnya kebersihan menyangkut juga kepada akhlak seseorang. Maksudnya orangnya dinisbahkan kepada tingkah lakunya berinteraksi terhadap sampah di sekelilingnya.

Apabila kita menjengah mana-mana longkang di sekeliling kita, yang kita lihat ialah kotoran yang tepu. Sampah pelbagai jenisnya. Baunya menyengat hidung. Siapa yang bertanggungjawab? Penduduk di sepanjang longkang itu atau pihak berwajib yang memungut cukai pintu? Pada peringkat awal, mereka yang di hadapan rumahnya ada longkang maka menjadi tanggungjwabnyalah untuk menjaga kebersihan longkang di hadapan rumahnya itu. Yang tersengat hidunya tentulah mereka yang dekat dengan kotoran itu. Yang sakit matanya tentulah mereka yang melihat sampah sarap dalam longkang itu. Yang tidak senang hatinya adalah mereka yang dalam persekitarannya banyak sampah. Namun begitu pihak berkuasa tempatan perlu lebih tinggi pekanya. Lebih besar hatinya. Perlu lebih perihatin. Perlu tentukan keutamaan jangka pendek dan jangka panjang. Memiliki senarai semak yang boleh dilaksanakan sepanjang masa. Pada awalnya proses membersihkan mungkin menelan kos yang tinggi tetapi untuk menyelenggara secara berjadual tentulah lebih mudah dan lebih murah. Aktiviti berbentuk ad-hoc selalunya membebankan dari segi kos. Libatkan penghuni rumah di sepanjang longkang. Tanggungjawab bersama.

Kita berusaha untuk membersihkan persekitaran kita. Untuk itu daya fikir kita perlu terlebih dahulu berubah. Kita perlu belajar secara intensif dari negara yang maju dari segi kebersihan. Yang lanskap negaranya mengujakan siapa sahaja yang berkunjung datang. Mereka meninggalkan negara it dengan membawa kenangan dan imej negara yang menyenangkan. Sihat fizikal hanya suatu kesimpulan. Kesihatan total meliputi emosi dan mental kita. Kita masih jauh dari yang terbaik. Jepun lebih baik. Amerika Utara lebih baik. Eropah lebih baik. Secara perbandingan mungkin Singapura jauh lebih baik dari kita. Kita dekat di seberang tambak. Terlalu dekat tetap kita tidak mahu mengambil yang baik dari sana. Tidak ada kompromi mengenai kebersihan. Ia bukan sahaja keperihatinan manusia mengenainya. Agama Islam sangat menganjurkan pentingnya kebersihan. Mengamalkannya sebahagian daripada iman. Maknanya kebersihan adalah tanda bahawa seseorang itu wujud iman di dalam hatinya atau pada dirinya.

Kebersihan bermula dari rumah. Dimulakan oleh ayah dan ibu. Khususnya ibu. Emak. Surirumah. Ibu yang menguasai semua ruang dalam rumah. Dalam dapur. Dalam bilik tidur. Dalam bilik air. Dalam setor. Di mana sahaja yang kemungkinannya sampah atau debu bersarang. Begitu juga di lantai, di atas meja dan kerusi, di atas peti ais, mesin basuh. Lihat juga di atas almari pakaian, pinggan mangkuk, tuala, sinki, peralatan makan dan minum. Itu belum pakaian, cadar dan selimut, gerobok solek dan banyak lagi yang perlu dilihat, diperhati dan diberi perhatian. Begitulah institusi pendidikan dan pendidik cuba menerapkan semangat kebersihan untuk memahirkan bakal ibu dan ayah tentang kebersihan. Andainya ibu dan ayah tidak mengerti konsep kebersihan maka kita dapati rumahtangga mereka penuh dengan hal-hal yang tidak mencapai tahap kebersihan yang sewajarnya.

Ramai keluarga yang menggaji pembantu rumah. Mereka mengharap pembantu  itulah yang menjamin kebersihan rumahtangga mereka. Sikap yang salah. Tanggapan yang jauh meleset. Harapan yang hanya mimpi tanpa kenyataan. Pembantu rumah boleh membersihkan rumah tetapi siapa yang menentukan standardnya. Kualitinya. Pasangan yang menggaji mereka yang menentukannya. Bukan orang lain. Di sinilah malangnya keluarga yang tidak ada dalam kamus mereka tentang bagaimana hendak menjana persekitaran yang bersih. Bagaimana hendak kekal bersih. Seorang menantu penulis menjadi profesional dalam hal memberisih dna mengemas rumah. Kebanyakan keluarga tidak tahu bagaimana sebenarnya membuat:
1                   Susunatur ruang rumah mereka.
2                   Susunatur perabot dalaman.
3                   Susunatur peralatan rumah.
4                   Susunatur barang dalam kabinet.
5                   Susunatur dalam bilik air.
6                   Susunatur almari pakaian.
7                   Pengurusan sampah sarap untuk dibuang.
8                   Pengurusan hari dan jadual untuk mengemas dan membersihkan rumah.
9                   Pengurusan kebersihan persekitaran seperti keliling rumah, halaman rumah, dinding rumah, garaj, setor, pokok bunga hiasan.


Cuba perhatikan apabila anda berkunjung ke rumah saudarap-mara atau sahabat andai. Apa yang kita lihat ialah di luar pintu utama:
1             Kasut dan selipar tidak tersusun. Bersepah tidak tentu hala.
2             Selipar sebelah di sini dan sebelah lagi di sana.
3             Kasut sebelah menghala ke rumah dan sebelah lagi menghala ke halaman.
4             Sebelah selipar dekat dengan tangga dan sebelah lagi jauh dari tangga.
5             Setokin bersepah di ruang tangga.
6             Wajah kasut dan selipar perlu dibasuh dan dilap kotorannya.

Melihat kasut di luar rumah sudah cukup bagi tetamu membuat tanggapan awal bahawa di dalam rumah pastinya lebih dahsyat lagi. Benar di ruang tamu anda akan dapati:
1                  Pakaian anak-anak bersepah di lantai, atas kerusi dan ada yang di atas meja.
2                  Tidak dapat dibezakan antara pakaian bersih dengan pakaian kotor.
3                  Anda mungkin terpijak pensil dan pemadam di atas lantai. Atau juga mainan anak-anak.
4                  Buku latihan dan buku teks anak-anak di bawah meja atau di bawah kerusi.
5                  Ada pula gelas dan cawan kosong di atas meja. Mungkin di atas kerusi.
6                  Sampah bertabur di sana dan di sini.


Andainya masalah kebersihan tidak selesai di rumah maka masalah kebersihan menjadi masalah negara. Masalah masyarakat. Masalah kejiranan. Di surau dan masjid. Di sekolah dan pejabat. Di lorong dan jalanraya. Sebab itulah ibu dan ayah menentukan standard kebersihan yang diingini. Tidak cukup dengan hanya menggaji pembantu rumah. Tidak cukup hanya pandai memberi arahan itu dan ini. Tidak cukup hanya menjerit tidak puas hati. Pembantu perlukan standard. Ditunjukajar proses dan perlaksanaan standard yang perlu dilaksanakan. Ibu paling utama keperihatinannya terhadap kebersihan. Ayah pula pelengkap. Membantu melaksanakannya mengikut prosedur yang selayaknya. Anak-anak dididik dan diasuh cara mengurus keberihan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya. Dari yang remeh-temeh hingga yang sangat signifikan. Dari yang mudah hingga yang perlukan tenaga atau kekuatan mental. Latih anak-anak membersihkan longkang, membersihkan bilik air. Jadikan mereka tawadu’. Boleh turun merendah diri demi untuk menjaga kebersihan. Sayang kepada anak bukan bererti membebaskan mereka dari tanggungjawab yang bakal mereka laksanakan apabila mereka dewasa kelak.

Monday, November 9, 2015

Pendidikan, Usaha dan Pengorbanan Merentas Masa


Hari ini Isnin 9 November 2015 anak ke-sembilan, yang bongsu, berkonvokasyen yang menandakan sahih menamatkan pengajian Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Siapa yang paling gembira jika bukan ibunya. Anak asuhannya, anak didiknya. Kejayaan anak adalah kejayaan ibunya. Bapa banyak dari jarak jauh sahaja.


Di Dewan, upacara tetap syahdu. Menggenangkan air mata. Mencengkam perasaan juga melihat dan mendengar perjalanan upacara. Bukan sembilan kali malah lebih dari itu. Namun tetap terasa menusuk qalbu.


Dapat mengabadikan sosok Rektor UIAM ini suatu kenangan manis untuk anak yang menjadi graduan. Prof sudi bersama kami. Terima kasih banyak-banyak.

Siapalah seorang ayah tanpa anak-anak. Yang tangisnya sewaktu lahir menyejukkan telinga. Yang wanginya semerbak syurga hati. Jaga dan tidurnya tenang dipandang mata. Tawanya aduhai melerai segala duka lara. Begitulah cahaya mata. Memberi sinar kebahagiaan ayah dan ibunya. Memberi sinar harapan yang tidak akan pudar-pudar buat selama-lamanya. Sebenarnya anak-anak adalah natijah cinta ayah dan ibunya. Kasih sayang yang dibelai antara keduanya. Lahirnya anak-anak yang sememangnya dinanti-nanti. Ingin dijulang setinggi awan. Ingin ditatang sepenuh minyak. Ingin diberikan yang terbaik pernah diimpikan. Segala-galanya ingin disempurnakan sejak dari lahirnya hingga anak-anak itu berdikari. Hingga mereka boleh terbang bersayap menyahut cabaran dunia. Melestarikan warisan keluarga.


Sambil menanti anak-anak yang lain di hadapan pintu besar dewan.

Melengkapkan personality  seorang anak memerlukan jangka masa yang panjang. Dalam perjalanan dan anjakan masa itu berbagai yang perlu dilalui. Suatu hakikat yang sememangnya hakiki mendidik anak-anak. Tanggungjawab yang tiada galang gantinya. Anak sulung penulis menjadi graduan pada tahun 1995. Anak bongsu pula pada tahun 2015 ini. Pada hari Isnin 9 November 2015. Jarak 20 tahun yang sangat panjang. Ahamdulillah harapan doa dimakbulkan Allah. Mereka kesemuanya graduan dalam bidang yang berlainan. Namun begitu ada beberapa orang yang menurut jejak penulis mengambil bidang ekonomi. Pengkhususannya sahaja yang berlainan. Antara 9 orang anak tersebut ada yang mengambil bidang Kejuruteraan Komputer (anak pertama), Perdagangan (anak kedua), Teknologi Maklumat (anak ketiga dan ketujuh), Kejuruteraan Elektrik (anak keempat), Undang-Undang  Sivil dan Syariah (anak kelima),  Ekonomi (anak keenam dan kesembilan) dan Ulum Islamiyyah (anak kelapan).


Rektor yang mesra dengan sifat keibuannya.


Cucu-cucu yang dapat hadir


Abang dan kakak yang hadir bersama meraikan sebuah kejayaan


Bertemu pula dengan Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia Ke Republik Arab Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar bin Ku Saari. Banyak kali bersamanya sewaktu penulis di Kaherah dahulu.


Anak Datuk konvo juga. Anak bongsunya.


Alma mater ini ditinggalkan juga walaupun kenangan manis banyak di sini. Walaupun tempoh empat atau lima tahun seperti tidak mencukupi. Saat begini mungkin hanya sekali bagi kebanyakan orang.

Sembilan orang anak bukan sedikit. Tetapi bukan terlalu banyak.  Pengalaman menjayakan mereka rasanya jika lebih ramai lagi tiada apa ruginya. Jerih perihnya bukan sahaja untuk menjadikan mereka cemerlang dalam pembelajaran mereka. Tetapi banyak menyangkut ekonomi rumahtangga penulis. Mendidik anak-anak yang sedang membesar perlukan biaya rumahtangga yang mencukupi banyaknya. Sementelahan pula usaha pendidikan kepada orang seperti penulis banyak dihukum oleh negara. Ihsan negara kadang-kadang terlupa nilainya kerana seperti tidak kelihatan. Walaupun pendapatan penulis tidak seberapa banyaknya, cukai pendapatan wajib dibayar. Buku teks anak wajib dibeli berserta dengan buku kerja yang banyak. Tambang bas berulang-alik ke sekolah perlu dibayar. Itu belum pakaian, makanan dan biaya perubatan dari masa ke semasa. Memiliki kelayakan akademik dari IPT dan menjawat jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional bukan jaminan hidup senang dan lenang. Mungkin ada antara mereka yang senang. Bilangan yang struggle untuk mencukupkan ekonomi rumahtangga lebih ramai lagi. Struggle dan kesungguhan keinginan untuk menjayakan anak-anak itulah yang akhirnya menghadiahkan senyuman dan rasa syukur. Alhamdulillah, sembilan anak yang berjaya menjadi graduan IPT. Empat orang dari mereka graduan luar negara. Lima yang lain graduan dari berbagai IPTA dan IPTS dalam negara.


Bersama ahli keluarga yang ada


Cucu-cucu yang didoakan bakal mengikut jejak ibu dan ayah, ibu dan bapa saudara mereka.


Imej begini mungkin hanya sekali seumur hidup


Kenangan dan kenangan

Jangka masa selama 20 tahun, dari anak sulung hingga anak yang bongsu tentulah suatu jangka masa yang agak lama. Mungkin sangat lama. Tetapi segalanya bergantung kepada kendalian keluarga. Peranan ayah dan ibu. Khususnya ibu yang mengandungkan anak, yang melahirkannya, yang menyusu dan merawatnya sepanjang masa. Bergantung juga kepada aspirasi pasangan ibu dan ayah itu. Menjayakan anak-anak bukan kerja ayah dan bukan kerja ibu. Ianya kerjasama yang selari dan harmoni antara keduanya. Tiada yang lebih indah dari kejayaan anak-anak. Kecemerlangan mereka dari segi akademik. Kejayaan mereka ke IPT. Melihat mereka dengan mata berkaca menerima scroll dari canselor universiti masing-masing. Melihat mereka mengatur langkah bergaya dengan senyum debar di hadapan hadirin dan hadirat sebuah institusi pendidikan peringkat tinggi. Tangan mereka dihulur menyambut hadiah IPT mereka kerana kejayaan yang diraih setelah melalui penat lelah, jerih perih selama berahun-tahun. Bercekang  mata menyiapkan tugasan semester berbagai subjek. Berperang dengan hati menyiapkan projek atau tesis kursus pengajian. Masa dan tenaga yang dimanfaatkan. Hanya sekeping ijazah yang menjadi dambaan. Kertas nipis yang boleh terbang hanya dengan hembusan ringan angin sepoi-sepoi bahasa.


Bertemu pula sahabat dari Batu Pahat. Esok pindah ke Pulau Pinang katanya. Orang kuat Jabatan Kastam di sana. Anaknya konvo juga.


Ibu tetap ibu. Mereka merayakan kebahagiaan setelah berusaha mendidik anak.


Hasilnya Kegembiraan


Keriangan


Seorang ayah hanya mampu berusaha untuk memberi yang terbaik mengikut kemampuannya.


Yang penting anak-anak menemui diri mereka sendiri


Berdikari untuk hidup dalam dunia yang penuh dengan cabaran


Pendidikan dan pengalaman mematangkan mereka untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan-keputusan penting dalam hidup mereka 


Ia akan terbang bersayap baru bersama aspirasi diri, keluarga dan negara.


Rakan yang dahulunya bersama sekarang tentu haluannya berbeza. Masing-masing memiliki pilihan.


Konvo hanya majlis


Hidup akan panjang jika banyak manfaatnya


Di sini stesen abah berhenti untuk seketika. Pergilah menjelajah dunia yang luas ini. Ada kejayaan menantimu.

Hanya mereka yang mengetahui sahaja mengerti nilai di sebalik sekeping kertas nipis yang bernama ijazah. Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja yang maklum besarnya pengorbanan di sebalik sekeping kertas nipis itu. Masa menjadikan orang di sekeliling lupa akan masa lalu untuk meraih ijazah itu. Yang mereka lihat ialah:

1   Nama jawatan dan status jawatan itu.
2   Kereta yang dipandu.
3   Rumah yang dimiliki atau yang diduduki.
4   Pasangan yang dinikahi.
5   Anak-anak yang dilahirkan.
6   Sandang pakai yang melilit diri.

Tiada siapa akan ingat kembali betapa kesemuanya itu bukan hadiah on silver platter. Bukan yang bulat datang bergolek. Bukan pipih terbang melayang. Bukan sagu jika tidak dipecahkan ruyungnya. Pengorbanan ayah dan ibu yang terlalu banyak. Pengorbanan diri yang juga tidak kurang banyaknya. Walau apapun saat ijazah itu digenggam lorong berliku yang dahulunya melemaskan menjadi terang dan nampak lebih lurus. Jangan lupa bahawa doa ibu dan ayah masih banyak yang belum sudahnya. Masih berharap yang terbaik untuk anak-anak. Untuk masa hadapan masing-masing. Untuk suatu jangka masa yang panjang usaha telah dilaksanakan. Doa masih dipanjatkan. Yang didoakan ialah supaya anak-anak hidup senang mengikut daya masing-masing. Mengikut keayakan yang mereka miliki masing-masing. Senang bersama ayah dan ibu yang semakin menganjak usia.

Sebenarnya penulis tidak merasa jangka masa 20 tahun sebagai terlalu lama. Mungkin kerana penulis sendiri pernah berkerjaya. Setelah bersara selama 14 tahun masih menyibukkan diri. Mencurah pengalaman yang masih bersisa. Biarlah memberi manfaat kepada yang sudi menerima. Apabila diri sibuk, kita tidak terasa ada ruang menunggu yang membosankan. Tidak ternanti-nanti masa yang lambat geser dan geraknya. Sibukkan diri kita untuk memberi yang terbaik walaupun hanya sedikit. Kuantiti selalunya relatif. Begitu juga dengan kualiti. Sedikit tidak semestinya tidak signifikan. Sedikit tidak semestinya tidak berkualiti. Yang kecil dan banyak boleh menjadi signifikan asalkan kita tahu ianya bermanfaat. Namun demikian banyak yang perlu dilakukan sebelum kita berupaya melakukan yang lebih baik.

1   Banyakkan menimba pengalaman yang berbagai.
2   Banyak membaca apa sahaja topik dan bidang yang boleh dicapai.
3   Jangan terlalu selektif dengan apa yang kita hadapi.
4   Pelajari apa sahaja yang boleh menambah nilai diri.
5   Luaskan pergaulan dengan berbagai peringkat golongan masyarakat.
6   Banyakkan kembara di atas mukabumi sama ada jauh atau dekat. Ambil pengajaran dari apa yang kita dengar, kita lihat, kita alami dengan perasaan.
7   Banyak berfikir. Banyak merancang. Banyak mengambil tindakan yang positif.
8   Buang rasa negatif, takut, rendah diri atau malu.
9   Tanamkan semangat untuk mencapai yang terbaik, yang tertinggi.
10 Berfikir pada aras tinggi. Selalu melihat yang di sebalik apa yang kita lihat.
11 Buat jangkauan masa, mengembangkan jangkaan dan menjangkakan lebih dari jangkaan biasa.

Begitulah dengan anak-anak yang kita miliki. Jangkakan kehidupan mereka 20 tahun dari tarikh mereka dilahirkan. Keadaan politik yang semakin mencabar. Ekonomi yang mungkin tidak menentu. Keadaan masyarakat yang mungkin penuh pancaroba. Lihat anak-anak kita. Di mana mereka 20 tahun dari mereka dilahirkan. Sebagai ibu dan ayah, kita sediakan mereka untuk hidup dan persekitaran kehidupan mereka apabila sampai waktunya. Bayangkan pada tahun 1979 gaji penulis sebagai graduan adalah RM960 sebulan. Pada tahun 2015 ada graduan IPT yang hanya menerima RM1,300 sahaja sebulan. Suatu ketidakadilan ekonomi. Kos sara hidup yang agak terlalu tinggi tetapi pendapatan terlalu kecil untuk menampungnya. Kita perlukan pemimpin yang memimpin rakyat dan negara.

Walau apapun hidup perlu diteruskan. Kita tidak boleh ta’sub dengan falsafah lama. Apabila bersara kita ingin banyak berihat. Apabila tua kita lebih banyak di kerusi empuk. Hanya berkelana menziarahi anak dan cucu sahaja. Falsafah baru perlu ditanam semula. Belajar tiada hentinya kecuali sudah tiba di destinasi akhir. Itupun kita terus diajar apabila ada yang membacakan talqin. Semasa hidup tua inilah sewajarnya masa diisi dengan lebih padu. Dengan lebih banyak. Dengan kualiti yang lebih tinggi. Seperti kata allahyarhamah Kontik Kamariah, walaupun usianya ketika itu melebihi 90 tahun ia tetap aktif. Ia akan sakit dan cepat mati jika banyak berihat. Benar ajal di tangan Allah. Sebelum ajal itu tiba gunakan masa yang ada untuk memberi apa sahaja manfaat kepada orang lain. Mungkin juga kepada makhluk lain.

Ketika ibu dan ayah berada di usia emas inilah mereka ingin berihat dari kesibukan mengurus anak dan cucu. Hidupnya perlu meneroka dunia baru di luar sana. Hidup untuk lebih bermasyarakat. Menyumbang seadanya kepada siapa sahaja yang memerlukan. Dunia anak dan cucu bukan tidak penting. Masih tetap keutamaan. Tetapi anjakan paradigma keluarga perlu teratur turutannya. Ibu dan ayah telah menyempurnakan tugasnya mendidik anak-anak. Giliran anak-anak mengatur hidup anak-anaknya sendiri. Cucu kepada ibu dan ayah yang telah menunjuk ajar cara terbaik mendidik anak-anak. Giliran anak-anak pula memberi dan menambah input baru untuk mendidik anak-anak. Ibu dan ayah ingin sibuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya tanpa banyak syarat. Tanpa banyak kekangan dan halangan.

Memberi yang terbaik kepada anak-anak adalah anugerah yang tidak terhingga. Kejayaan anak-anak adalah mutiara indah untuk hati dan perasaan yang dahulunya penuh cabaran dan debaran. Untuk ibu dan ayah yang masih muda, belajarlah dari pengalaman orang lain. Perhatikan kejayaan orang lain. Pastinya jangan lupa menyediakan prasarana pendidikan dan ilmu kepada anak-anak.

1                    Sediakan ruang ilmu di dalam rumah. Perpustakaan mini yang diisi dengan judul yang berbagai dan pelbagai. Biar psikologi kanak-anak dibangunkan untuk sukakan pendidikan dan ilmiah sejak dari kecil lagi. 
2                    Ibu dan ayah rajin dengan ilmu. Membaca dan berbincang. Belajar dan terus belajar. Menyampaikan apa sahaja yang bermanfaat.
3                    Berusaha menambah pendapatan, meningkatkan kerjaya, memiliki rumah yang lebih selesa untuk keperluan tumbesaran anak-anak.
4                    Hindarkan anak-anak dari lagha, terjebak dengan hedonism, lalai dan leka dan hal-hal yang memudaratkan pertumbuhan intelek.
5                    Bawa anak-anak berjalan bukan sahaja untuk merihatkan minda tetapi juga untuk membuka ruang world view mereka. Bahawa buku hanya memberikan satu sisi dalam pembelajaran. Pengalaman pancaindera yang lain juga penting dalam pembelajaran. Memahami sesuatu dari sisi yang berbeza. Melihat dari sudut yang selalunya terlepas pandang.


Menyediakan kediaman, makan dan minum adalah penting tetapi memberikan input-input lain juga tidak kurang pentingnya. Pelengkap kepada sekolah. Menyempurnakan kekurangan yang terdapat dalam teknologi. Rokok semakin mahal. Hiburan juga semakin mahal. Beralihlah untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Ianya mahal tetapi natijah akhirnya lebih banyak dari segala-galanya. Apabila anak-anak dipenuhkan dadanya dengan ilmu dan kemahiran, dunia semakin mudah bagi mereka. Mobiliti mereka tinggi dan daya usaha mereka juga lebih tinggi. Cabaran mendidik anak-anak semakin besar. Bersedialah dengan lebih besar lagi. Bersedia dan banyak belajar. Kejayaan bukan mudah datangnya. Kecemerlangan lagilah, bukan kepalang usaha yang perlu dicurahkan. 

Saturday, November 7, 2015

Induk Semang Yang Selalu Dilupakan



Kita memiliki ibu dan bapa. Ibu dan bapa kita memiliki ibu dan bapa mereka. Begitulah anak-anak kita memiliki anak-anak mereka sendiri. Susur galur manusia hingga ke akhir zaman. Sewaktu kita berada di bawah naungan ibu dan bapa, segala-galanya telah disediakan seadanya mengikut kemampuan mereka. Lalu manusia menjadi dewasa dan tua. Mereka yang dewasa tidak ramai yang terlalu memerlukan perhatian anak-anak. Hanya ketika mereka sudah terlalu tua barulah terserlah banyak kekangan dan cabaran. Kesulitan merawat usia mereka. Apatah lagi apabila keupayan mandiri mereka semakin tiada. Ketika itu anak-anak juga sudah melebihi usia dewasa. Ketika kudrat fizikal mereka sudah banyak kurangnya. Namun begitu siapa lagi yang wajar diharap jika bukan anak-anak yang keupayaan fizikalnya sudah banyak berkurangan itu? Itupun betapa ramai anak-anak yang menghindarkan diri dari untuk terlibat secara langsung. Terkontang-kantinglah jiwa tua ibu dan ayah yang sudah lanjut usia. Sudah tua yang seperti tebu habis sepahnya terbuang.

Kadang-kadang kita lupakan mereka yang masih hadir dalam hidup kita. Mereka masih menanti ziarah kita. Menanti menatap wajah mereka yang pahalanya bak memandang kaabah. Menanti peluk cium dari anak-anak. Masih rindukan kita pada ketika-ketikanya dan sepanjang masa. Apabila mulut mereka menyebut nama anak, ada dua kemungkin. Pertama, rindu mereka yang sukar diungkapkan. Kedua, mereka ingin menyahkan ingatan mereka terhadap anak-anak yang melupakan mereka. Allahuakbar! Menziarahi ibu dan bapa yang tua dan uzur sangat besar ganjarannya. Sangat banyak pahalanya. Apatah lagi merawat tua mereka, tentulah besar balasannya. Ingtalah, redha Allah apabila ada redha ibu dan bapa kita. Tentulah tidak wajar jika ibu dan bapa bukan keutamaan. Apabila ibu dan bapa sudah terlalu tua, itulah peluang terakhir untuk kita berbakti kepada merka. Saat-saat akhir sebelum mereka hilang hadirnya dari kita. Kerana itu ziarahilah mereka, tataplah wajah mereka, penuhi keinginan mereka yang tidak seberapa.

Dalam budaya Melayu datuk dan nenek jarang diberi perhatian. Tidak kurang cucu-cucu yang berperasangka terhadap datuk dan nenek mereka. Ada pula yang tidak senang. Malah ada yang mendendam. Ada yang memusuhi. Ia tidak nyata dalam tindakan. Tetapi dapat dilihat dalam layanan. Dalam kata-kata di belakang mereka. Cucu-cucu lupa bahawa itu adalah induk semang mereka. Dari mereka lahirnya ibu atau bapa mereka. Dari warisan mereka lahirnya diri yang bernama cucu dan cicit. Lazimnya datuk dan nenek yang tidak kaya perlu diurus hidup tuanya oleh anak-anak. Tersangat jarang datuk dan nenek yang diurus oleh cucu-cucu. Terlalu sedikit yang tampil memberi perhatian. Yang perihatin. Memberi sumbanan yang diperlukan. Apabila cucu-cucu sudah terlalu ramai datanglah tanggapan bahawa akan ada yang mengambil tanggungjawab itu. Soalnya, siapa? Jiwa mana yang pemurah itu. Yang dermawan. Yang perihatin. Yang merasa bahawa dirinya adalah pelindung kepada datuk dan nenek mereka.

Kita sebagai anak-anak selalu perihatin terhadap ibu dan bapa kita. Tetapi kita selalu lupa bahawa ibu dan bapa kita perlu perihatin terhadap ibu dan bapa mereka yang masih ada. Sistem yang dibina oleh Islam cukup mapan jika dipatuhi. Tanggungjawab ibu dan bapa ialah menjadikan anak-anak hingga ke tahap boleh hidup sendiri. Berkerjaya dan berkeluarga. Tanggungjawab anak-anak terhadap ibu dan bapa mereka tidak akan tamat sehinggalah ibu dan bapa mereka di akhir usia. Malah sesudah matinya, anak-anak masih perlu bertanggungjawab terhadap salah dan silapnya sewaktu hayatnya. Hutang piutangnya sewaktu hidupnya. Aduhai! Malang sungguh anak-anak yang selalu ingin menghindar diri dari merawat orang tua mereka. Lupa dari mengambil tahu hal mereka. Malah ada yang melupakan mereka. Lupa bertanya khabar. Lupa ziarah sekerap yang mungkin. Lupa untuk bersama sekerap yang mungkin. Hidup ini sementara sahaja. Giliran kita pasti sampai. Jangan lupa bahawa apa yang kita lakukan adalah pendidikan kepada anak-anak kita. Kepada cucu-cucu kita.

Kita mengajar anak-anak dan cucu-cucu kita mengenai kemanusiaan. Mengenai kasih dan sayang. Mengenai tanggungjawab. Mengenai keperihatinan terhadap orang yang dekat hidupnya dengan kita. Mereka yang DNAnya mengalir dalam tubuh kita. Maka anak-anak kita dan cucu-cucu kita mengamnbil pengajaran dan iktibar. Bahawa mereka akan diwajarkan untuk melakukannya apabila kita tua nanti. Apabila kita sudah tidak lagi mampu berdiri. Tidak lagi mampu menelan makanan yang alzat. Tidak lagi berupaya memberi apa-apa. Malah kita perlu banyak meminta. Banyak mengharap. Banyak menanti sumbangan sedikit kasih dan sayang dari anak-anak dan cucu-cucu. Kitaran hidup ini tidak pernah tamat pada seseorang sahaja. Apa yang pernah kita lakukan terhadap orang lain maka pastinya akan dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Kitaran negatif itulah yang sewajarnya kita hindarkan. Kita jauhkan dari keturunan kita. Bina yang positif supaya keturunan kita terjamin dari kalangan orang baik-baik. Soleh dan solehah. Hidup dan mati ibu dan bapa mereka dibahagiakan dengan kebaikan mereka yang kita didik semasa hidup kita dan hidup mereka.

Mungkin jika kita muasabah diri kita sebentar, kita akan melihat cerminan diri kita sendiri. Kerana kita melupakan orang tua kita sendiri, maka ada antara anak-anak yang sudah melupakan kita. Jika kita sibuk dan tidak mengurus ibu dan bapa maka anak-anak kita juga sibuk dengan kehidupan mereka hingga seperti melulapan kita. Ziarah hari raya hanya setahun sekali. Mereka sakit sekali sekala. Itupun kita sebenrnaya tidak bersungguh-sungguh. Ziarah hari raya bukan pada waktu yang paling awal. Paling pagi. Paling cepat. Kita sibuk dengan anak dan cucu. Ibu dan bapa kita menanti kita dan cucu-cucunya. Sakit pening selalunya hanya mereka yang kerap bertanya sahaja yang mengetahuinya. Hanya yang merawatnya sahaja mengetahui perubahan dan ragam orang tua yang lanjut usia. Jika dahulunya mereka merawat kita sewaktu kita bayi dan kecil, maka apabila ibu dan bapa kita sampai ke usia tua, mereka kembali perlukan kita. Mereka kembali perlu dirawat seperti bayi dan anak-anak kecil. Ketika itulah kita perlu kembalikan apa yang pernah mereka lakukan semasa kita bayi dan kecil dahulu.


Kitaran hidup ini tiada hentinya. Selagi hayat ada. Selagi dunia belum sampai ke penghujungnya. Selagi itulah cerita tentang manusia tiada hentinya. Selagi itulah kita dituntut untuk berbakti kepada orang tua. Susah payah bukan perlu diceritakan. Karenah mereka bukan untuk diumpat. Kekurangan mereka bukan untuk diceritakan kepada orang lain. Kita yang perlu muasabah diri. banyak berdoa supaya kita terhindar dari situasi sukar apabila lanjut usia.

Wednesday, November 4, 2015

Dunia Melayu Yang Fana



Mungkin penulis sudah cukup tua. Sekarang penulis memandang dunia Melayu dalam perspektif yang berbeza. Banyak perkara yang timbangannya dikembalikan kepada neraca agama. Menonton TV umpamanya bukan lagi sekadar melihat tetapi menerobos banyak yang tidak selari dalam pelbagai keadaan. Dunia Melayu kita ini masih berpijak di bumi nyata atau di alam fana. Cerita Mat Jenin yang berulang dan diulang-ulang. Bersiri episodnya. Di mana sudahnya? Kita telah merdeka sejak tahun 1957. Mungkin ada yang mengatakan pada 16 September 1963. Walau apapun ianya hanya angka. Realitinya kita telah merdeka selama lebih 50 tahun. Secara analoginya 50 tahun sudah cukup mendewasakan. Sudah menggilap kegemilangan. Cukup matang. Gah kerana pengalaman dan situasi dirinya. Namun itu bukan Melayu. Bukan dunia Melayu. Bukan untuk bumi Melayu.

Apakah Melayu malu untuk menjadi hebat. Lupakah Melayu asal usulnya. Takkan Melayu hilang di dunia. Mimpi atau untuk digarap menjadi realiti. Tolehlah sekeliling. Milik yang dulu siapa yang punya. Rumah orang lain semakin tinggi, rumah kita semakin rendah. Rumah mereka semakin besar, rumah kita semakin kecil. Rumah mereka semakin luas, rumah kita semakin sempit. Rumah mereka semakin canggih, rumah kita yang dulu-dulu juga. Rumah mereka beratap genting, rumah kita banyak zing dan asbestos. Malah rumah kita di kampung masih papan dan kayu yang usang lama tidak berganti. Siapa kita dahulu dan siapa kita sekarang.  Kini bukan zaman emosi. Bukan zaman nostalgik. Kita semakin melarat. Daya kita untuk hidup mapan semakin terhakis. Lihatlah kenderaan mereka. Besar, mahal dan segala-galanya. Lihatlah kekayaan mereka. Setinggi gunung dan bukit milik mereka.

Apakah destinasi kita terus menjaja kemiskinan dan terus juga dalam kefakiran? Apakah pengakhiran kita hanya menjadi badut-badut politik yang rakusnya tiada sempadan? Lemahkah kita berfikir? Malapkah lampu semangat yang menerangi sekeliling kita? Di manakah Hang Tuah? Di manakah Bendahara Tun Perak? Apakah Tun Teja masih rupawan untuk menyapu awan? Mengapa sejak tahun 1957 jaya kita hanya sejenak? Gembira kita hanya seketika. Orang kita juga yang mengkhianati bangsanya. Yang merosakkan sistem kebahagiaan itu sendiri. Yang merobohkan jambatan-jambatan menyeberangi antara kemiskinan dengan kekayaan. Antara kemurungan dan kegembiraan. Antara mundur dan maju. Antara lemah dan kuat. Antara rendah diri dan mencipta nama besar.

Masih ada lagikah harapan itu? Atau sudah musnah luluh kesemuanya? Siapa lagi yang boleh digantung harap? Yang ideanya setinggi aras. Bukan yang malas-malas untuk memberikan yang terbaik untuk dirinya. Untuk bangsanya. Mereka yang ke hadapan. Yang terkehadapan. Yang memilih jalan lurus terbaik untuk masa hadapan oranr-orang di sekelilingnya. Kita tidak mahu yang hambar cakapnya. Yang lemah jalan fikirnya. Yang selalu sesat berfikir. Yang apabila membuka mulut tidak seindah giginya. Yang tindakannya terlalu rendah untuk diambilkira. Merancangnya menyimbah dirinya sahaja. Mencipta hujan untuk membasahi diri dan bukan orang lain. Mereka yang lain tiada dalam pertimbangan. Tiada dalam keutamaan. Malah mungkin tidak pernah difikirkan. Kecuali mungkin, mungkin untuk diinjak dan dibuang dari perkiraan. Jurang yang semakin besar. Semakin jauh. Semakin sukar direntas bersama kerana persamaan sudah hilang.

Ramai yang terus mengharap. Ramai yang naif tentang masa hadapannya. Seperti kanak-kanak, gula-gula juga yang dikejar. Gula yang disangka selalu manis. Semua kata-kata manis juga gula. Mereka tidak melihat racun bersalut manis. Mereka tidak tahu arah yang benar lurus. Ke mana jalan yang lebih lurus. Apabila pendidikan tidak memberikan yang terbaik maka mereka yang terdidik inteleknya terlalu sedikit. Antara mereka menggigit kembali saudara mara yang dahulu membantu. Yang dahulu menjulang kemenangan bersama. Sampai bila episod lara bangsa ini akan terus melarut sisanya yang ada. Masih lagi bersahut kata-kata rang tua, yang bodoh makanan yang cerdik. Sebenarnya kecerdikan sudah hilang entah ke mana. Yang ada ketandusan berfikir. Kita hanya berfikir untuk makan. Bukan untuk menambah makanan. Bukan untuk meningkatkan kualiti makanan. Lalu kita terjerat dalam kesusahan yang memanjang. Hilang kemampuan untuk keluar dari kerosakan yang terus-terusan menghimpit diri.

Kita mengharap ekonomi untuk membahawa sinar harapan. Apabila hanya segelintir sahaja yang menikmatinya maka ekonomi tidak lagi menjanjikan apa-apa. Kita mengharapkan pendidikan menjulang harapan. Namun terlalu banyak  make-up hingga nampak indah walaupun di sebaliknya banyak kelemahan. Sekarang kita ditimpa tangga yang bertimpa-timpa. Jatuh yang terus jatuh. Pohon rendang milik orang. Rumah gadang milik orang. Tanah kita milik orang. Ramai juga antara kita yang pura-pura garang. Pura-pura bersuara lantang. Di sebalik segalanya yang ada hanya tua tanpa gigi. Suara tanpa nada. Berbicara tanpa topik membina. Bekerja tanpa produktiviti merentas masa.


Ke mana kita hendak dibawa? Ke mana?