Saturday, November 7, 2015

Induk Semang Yang Selalu Dilupakan



Kita memiliki ibu dan bapa. Ibu dan bapa kita memiliki ibu dan bapa mereka. Begitulah anak-anak kita memiliki anak-anak mereka sendiri. Susur galur manusia hingga ke akhir zaman. Sewaktu kita berada di bawah naungan ibu dan bapa, segala-galanya telah disediakan seadanya mengikut kemampuan mereka. Lalu manusia menjadi dewasa dan tua. Mereka yang dewasa tidak ramai yang terlalu memerlukan perhatian anak-anak. Hanya ketika mereka sudah terlalu tua barulah terserlah banyak kekangan dan cabaran. Kesulitan merawat usia mereka. Apatah lagi apabila keupayan mandiri mereka semakin tiada. Ketika itu anak-anak juga sudah melebihi usia dewasa. Ketika kudrat fizikal mereka sudah banyak kurangnya. Namun begitu siapa lagi yang wajar diharap jika bukan anak-anak yang keupayaan fizikalnya sudah banyak berkurangan itu? Itupun betapa ramai anak-anak yang menghindarkan diri dari untuk terlibat secara langsung. Terkontang-kantinglah jiwa tua ibu dan ayah yang sudah lanjut usia. Sudah tua yang seperti tebu habis sepahnya terbuang.

Kadang-kadang kita lupakan mereka yang masih hadir dalam hidup kita. Mereka masih menanti ziarah kita. Menanti menatap wajah mereka yang pahalanya bak memandang kaabah. Menanti peluk cium dari anak-anak. Masih rindukan kita pada ketika-ketikanya dan sepanjang masa. Apabila mulut mereka menyebut nama anak, ada dua kemungkin. Pertama, rindu mereka yang sukar diungkapkan. Kedua, mereka ingin menyahkan ingatan mereka terhadap anak-anak yang melupakan mereka. Allahuakbar! Menziarahi ibu dan bapa yang tua dan uzur sangat besar ganjarannya. Sangat banyak pahalanya. Apatah lagi merawat tua mereka, tentulah besar balasannya. Ingtalah, redha Allah apabila ada redha ibu dan bapa kita. Tentulah tidak wajar jika ibu dan bapa bukan keutamaan. Apabila ibu dan bapa sudah terlalu tua, itulah peluang terakhir untuk kita berbakti kepada merka. Saat-saat akhir sebelum mereka hilang hadirnya dari kita. Kerana itu ziarahilah mereka, tataplah wajah mereka, penuhi keinginan mereka yang tidak seberapa.

Dalam budaya Melayu datuk dan nenek jarang diberi perhatian. Tidak kurang cucu-cucu yang berperasangka terhadap datuk dan nenek mereka. Ada pula yang tidak senang. Malah ada yang mendendam. Ada yang memusuhi. Ia tidak nyata dalam tindakan. Tetapi dapat dilihat dalam layanan. Dalam kata-kata di belakang mereka. Cucu-cucu lupa bahawa itu adalah induk semang mereka. Dari mereka lahirnya ibu atau bapa mereka. Dari warisan mereka lahirnya diri yang bernama cucu dan cicit. Lazimnya datuk dan nenek yang tidak kaya perlu diurus hidup tuanya oleh anak-anak. Tersangat jarang datuk dan nenek yang diurus oleh cucu-cucu. Terlalu sedikit yang tampil memberi perhatian. Yang perihatin. Memberi sumbanan yang diperlukan. Apabila cucu-cucu sudah terlalu ramai datanglah tanggapan bahawa akan ada yang mengambil tanggungjawab itu. Soalnya, siapa? Jiwa mana yang pemurah itu. Yang dermawan. Yang perihatin. Yang merasa bahawa dirinya adalah pelindung kepada datuk dan nenek mereka.

Kita sebagai anak-anak selalu perihatin terhadap ibu dan bapa kita. Tetapi kita selalu lupa bahawa ibu dan bapa kita perlu perihatin terhadap ibu dan bapa mereka yang masih ada. Sistem yang dibina oleh Islam cukup mapan jika dipatuhi. Tanggungjawab ibu dan bapa ialah menjadikan anak-anak hingga ke tahap boleh hidup sendiri. Berkerjaya dan berkeluarga. Tanggungjawab anak-anak terhadap ibu dan bapa mereka tidak akan tamat sehinggalah ibu dan bapa mereka di akhir usia. Malah sesudah matinya, anak-anak masih perlu bertanggungjawab terhadap salah dan silapnya sewaktu hayatnya. Hutang piutangnya sewaktu hidupnya. Aduhai! Malang sungguh anak-anak yang selalu ingin menghindar diri dari merawat orang tua mereka. Lupa dari mengambil tahu hal mereka. Malah ada yang melupakan mereka. Lupa bertanya khabar. Lupa ziarah sekerap yang mungkin. Lupa untuk bersama sekerap yang mungkin. Hidup ini sementara sahaja. Giliran kita pasti sampai. Jangan lupa bahawa apa yang kita lakukan adalah pendidikan kepada anak-anak kita. Kepada cucu-cucu kita.

Kita mengajar anak-anak dan cucu-cucu kita mengenai kemanusiaan. Mengenai kasih dan sayang. Mengenai tanggungjawab. Mengenai keperihatinan terhadap orang yang dekat hidupnya dengan kita. Mereka yang DNAnya mengalir dalam tubuh kita. Maka anak-anak kita dan cucu-cucu kita mengamnbil pengajaran dan iktibar. Bahawa mereka akan diwajarkan untuk melakukannya apabila kita tua nanti. Apabila kita sudah tidak lagi mampu berdiri. Tidak lagi mampu menelan makanan yang alzat. Tidak lagi berupaya memberi apa-apa. Malah kita perlu banyak meminta. Banyak mengharap. Banyak menanti sumbangan sedikit kasih dan sayang dari anak-anak dan cucu-cucu. Kitaran hidup ini tidak pernah tamat pada seseorang sahaja. Apa yang pernah kita lakukan terhadap orang lain maka pastinya akan dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Kitaran negatif itulah yang sewajarnya kita hindarkan. Kita jauhkan dari keturunan kita. Bina yang positif supaya keturunan kita terjamin dari kalangan orang baik-baik. Soleh dan solehah. Hidup dan mati ibu dan bapa mereka dibahagiakan dengan kebaikan mereka yang kita didik semasa hidup kita dan hidup mereka.

Mungkin jika kita muasabah diri kita sebentar, kita akan melihat cerminan diri kita sendiri. Kerana kita melupakan orang tua kita sendiri, maka ada antara anak-anak yang sudah melupakan kita. Jika kita sibuk dan tidak mengurus ibu dan bapa maka anak-anak kita juga sibuk dengan kehidupan mereka hingga seperti melulapan kita. Ziarah hari raya hanya setahun sekali. Mereka sakit sekali sekala. Itupun kita sebenrnaya tidak bersungguh-sungguh. Ziarah hari raya bukan pada waktu yang paling awal. Paling pagi. Paling cepat. Kita sibuk dengan anak dan cucu. Ibu dan bapa kita menanti kita dan cucu-cucunya. Sakit pening selalunya hanya mereka yang kerap bertanya sahaja yang mengetahuinya. Hanya yang merawatnya sahaja mengetahui perubahan dan ragam orang tua yang lanjut usia. Jika dahulunya mereka merawat kita sewaktu kita bayi dan kecil, maka apabila ibu dan bapa kita sampai ke usia tua, mereka kembali perlukan kita. Mereka kembali perlu dirawat seperti bayi dan anak-anak kecil. Ketika itulah kita perlu kembalikan apa yang pernah mereka lakukan semasa kita bayi dan kecil dahulu.


Kitaran hidup ini tiada hentinya. Selagi hayat ada. Selagi dunia belum sampai ke penghujungnya. Selagi itulah cerita tentang manusia tiada hentinya. Selagi itulah kita dituntut untuk berbakti kepada orang tua. Susah payah bukan perlu diceritakan. Karenah mereka bukan untuk diumpat. Kekurangan mereka bukan untuk diceritakan kepada orang lain. Kita yang perlu muasabah diri. banyak berdoa supaya kita terhindar dari situasi sukar apabila lanjut usia.

No comments:

Post a Comment