Monday, November 9, 2015

Pendidikan, Usaha dan Pengorbanan Merentas Masa


Hari ini Isnin 9 November 2015 anak ke-sembilan, yang bongsu, berkonvokasyen yang menandakan sahih menamatkan pengajian Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Siapa yang paling gembira jika bukan ibunya. Anak asuhannya, anak didiknya. Kejayaan anak adalah kejayaan ibunya. Bapa banyak dari jarak jauh sahaja.


Di Dewan, upacara tetap syahdu. Menggenangkan air mata. Mencengkam perasaan juga melihat dan mendengar perjalanan upacara. Bukan sembilan kali malah lebih dari itu. Namun tetap terasa menusuk qalbu.


Dapat mengabadikan sosok Rektor UIAM ini suatu kenangan manis untuk anak yang menjadi graduan. Prof sudi bersama kami. Terima kasih banyak-banyak.

Siapalah seorang ayah tanpa anak-anak. Yang tangisnya sewaktu lahir menyejukkan telinga. Yang wanginya semerbak syurga hati. Jaga dan tidurnya tenang dipandang mata. Tawanya aduhai melerai segala duka lara. Begitulah cahaya mata. Memberi sinar kebahagiaan ayah dan ibunya. Memberi sinar harapan yang tidak akan pudar-pudar buat selama-lamanya. Sebenarnya anak-anak adalah natijah cinta ayah dan ibunya. Kasih sayang yang dibelai antara keduanya. Lahirnya anak-anak yang sememangnya dinanti-nanti. Ingin dijulang setinggi awan. Ingin ditatang sepenuh minyak. Ingin diberikan yang terbaik pernah diimpikan. Segala-galanya ingin disempurnakan sejak dari lahirnya hingga anak-anak itu berdikari. Hingga mereka boleh terbang bersayap menyahut cabaran dunia. Melestarikan warisan keluarga.


Sambil menanti anak-anak yang lain di hadapan pintu besar dewan.

Melengkapkan personality  seorang anak memerlukan jangka masa yang panjang. Dalam perjalanan dan anjakan masa itu berbagai yang perlu dilalui. Suatu hakikat yang sememangnya hakiki mendidik anak-anak. Tanggungjawab yang tiada galang gantinya. Anak sulung penulis menjadi graduan pada tahun 1995. Anak bongsu pula pada tahun 2015 ini. Pada hari Isnin 9 November 2015. Jarak 20 tahun yang sangat panjang. Ahamdulillah harapan doa dimakbulkan Allah. Mereka kesemuanya graduan dalam bidang yang berlainan. Namun begitu ada beberapa orang yang menurut jejak penulis mengambil bidang ekonomi. Pengkhususannya sahaja yang berlainan. Antara 9 orang anak tersebut ada yang mengambil bidang Kejuruteraan Komputer (anak pertama), Perdagangan (anak kedua), Teknologi Maklumat (anak ketiga dan ketujuh), Kejuruteraan Elektrik (anak keempat), Undang-Undang  Sivil dan Syariah (anak kelima),  Ekonomi (anak keenam dan kesembilan) dan Ulum Islamiyyah (anak kelapan).


Rektor yang mesra dengan sifat keibuannya.


Cucu-cucu yang dapat hadir


Abang dan kakak yang hadir bersama meraikan sebuah kejayaan


Bertemu pula dengan Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia Ke Republik Arab Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar bin Ku Saari. Banyak kali bersamanya sewaktu penulis di Kaherah dahulu.


Anak Datuk konvo juga. Anak bongsunya.


Alma mater ini ditinggalkan juga walaupun kenangan manis banyak di sini. Walaupun tempoh empat atau lima tahun seperti tidak mencukupi. Saat begini mungkin hanya sekali bagi kebanyakan orang.

Sembilan orang anak bukan sedikit. Tetapi bukan terlalu banyak.  Pengalaman menjayakan mereka rasanya jika lebih ramai lagi tiada apa ruginya. Jerih perihnya bukan sahaja untuk menjadikan mereka cemerlang dalam pembelajaran mereka. Tetapi banyak menyangkut ekonomi rumahtangga penulis. Mendidik anak-anak yang sedang membesar perlukan biaya rumahtangga yang mencukupi banyaknya. Sementelahan pula usaha pendidikan kepada orang seperti penulis banyak dihukum oleh negara. Ihsan negara kadang-kadang terlupa nilainya kerana seperti tidak kelihatan. Walaupun pendapatan penulis tidak seberapa banyaknya, cukai pendapatan wajib dibayar. Buku teks anak wajib dibeli berserta dengan buku kerja yang banyak. Tambang bas berulang-alik ke sekolah perlu dibayar. Itu belum pakaian, makanan dan biaya perubatan dari masa ke semasa. Memiliki kelayakan akademik dari IPT dan menjawat jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional bukan jaminan hidup senang dan lenang. Mungkin ada antara mereka yang senang. Bilangan yang struggle untuk mencukupkan ekonomi rumahtangga lebih ramai lagi. Struggle dan kesungguhan keinginan untuk menjayakan anak-anak itulah yang akhirnya menghadiahkan senyuman dan rasa syukur. Alhamdulillah, sembilan anak yang berjaya menjadi graduan IPT. Empat orang dari mereka graduan luar negara. Lima yang lain graduan dari berbagai IPTA dan IPTS dalam negara.


Bersama ahli keluarga yang ada


Cucu-cucu yang didoakan bakal mengikut jejak ibu dan ayah, ibu dan bapa saudara mereka.


Imej begini mungkin hanya sekali seumur hidup


Kenangan dan kenangan

Jangka masa selama 20 tahun, dari anak sulung hingga anak yang bongsu tentulah suatu jangka masa yang agak lama. Mungkin sangat lama. Tetapi segalanya bergantung kepada kendalian keluarga. Peranan ayah dan ibu. Khususnya ibu yang mengandungkan anak, yang melahirkannya, yang menyusu dan merawatnya sepanjang masa. Bergantung juga kepada aspirasi pasangan ibu dan ayah itu. Menjayakan anak-anak bukan kerja ayah dan bukan kerja ibu. Ianya kerjasama yang selari dan harmoni antara keduanya. Tiada yang lebih indah dari kejayaan anak-anak. Kecemerlangan mereka dari segi akademik. Kejayaan mereka ke IPT. Melihat mereka dengan mata berkaca menerima scroll dari canselor universiti masing-masing. Melihat mereka mengatur langkah bergaya dengan senyum debar di hadapan hadirin dan hadirat sebuah institusi pendidikan peringkat tinggi. Tangan mereka dihulur menyambut hadiah IPT mereka kerana kejayaan yang diraih setelah melalui penat lelah, jerih perih selama berahun-tahun. Bercekang  mata menyiapkan tugasan semester berbagai subjek. Berperang dengan hati menyiapkan projek atau tesis kursus pengajian. Masa dan tenaga yang dimanfaatkan. Hanya sekeping ijazah yang menjadi dambaan. Kertas nipis yang boleh terbang hanya dengan hembusan ringan angin sepoi-sepoi bahasa.


Bertemu pula sahabat dari Batu Pahat. Esok pindah ke Pulau Pinang katanya. Orang kuat Jabatan Kastam di sana. Anaknya konvo juga.


Ibu tetap ibu. Mereka merayakan kebahagiaan setelah berusaha mendidik anak.


Hasilnya Kegembiraan


Keriangan


Seorang ayah hanya mampu berusaha untuk memberi yang terbaik mengikut kemampuannya.


Yang penting anak-anak menemui diri mereka sendiri


Berdikari untuk hidup dalam dunia yang penuh dengan cabaran


Pendidikan dan pengalaman mematangkan mereka untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan-keputusan penting dalam hidup mereka 


Ia akan terbang bersayap baru bersama aspirasi diri, keluarga dan negara.


Rakan yang dahulunya bersama sekarang tentu haluannya berbeza. Masing-masing memiliki pilihan.


Konvo hanya majlis


Hidup akan panjang jika banyak manfaatnya


Di sini stesen abah berhenti untuk seketika. Pergilah menjelajah dunia yang luas ini. Ada kejayaan menantimu.

Hanya mereka yang mengetahui sahaja mengerti nilai di sebalik sekeping kertas nipis yang bernama ijazah. Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja yang maklum besarnya pengorbanan di sebalik sekeping kertas nipis itu. Masa menjadikan orang di sekeliling lupa akan masa lalu untuk meraih ijazah itu. Yang mereka lihat ialah:

1   Nama jawatan dan status jawatan itu.
2   Kereta yang dipandu.
3   Rumah yang dimiliki atau yang diduduki.
4   Pasangan yang dinikahi.
5   Anak-anak yang dilahirkan.
6   Sandang pakai yang melilit diri.

Tiada siapa akan ingat kembali betapa kesemuanya itu bukan hadiah on silver platter. Bukan yang bulat datang bergolek. Bukan pipih terbang melayang. Bukan sagu jika tidak dipecahkan ruyungnya. Pengorbanan ayah dan ibu yang terlalu banyak. Pengorbanan diri yang juga tidak kurang banyaknya. Walau apapun saat ijazah itu digenggam lorong berliku yang dahulunya melemaskan menjadi terang dan nampak lebih lurus. Jangan lupa bahawa doa ibu dan ayah masih banyak yang belum sudahnya. Masih berharap yang terbaik untuk anak-anak. Untuk masa hadapan masing-masing. Untuk suatu jangka masa yang panjang usaha telah dilaksanakan. Doa masih dipanjatkan. Yang didoakan ialah supaya anak-anak hidup senang mengikut daya masing-masing. Mengikut keayakan yang mereka miliki masing-masing. Senang bersama ayah dan ibu yang semakin menganjak usia.

Sebenarnya penulis tidak merasa jangka masa 20 tahun sebagai terlalu lama. Mungkin kerana penulis sendiri pernah berkerjaya. Setelah bersara selama 14 tahun masih menyibukkan diri. Mencurah pengalaman yang masih bersisa. Biarlah memberi manfaat kepada yang sudi menerima. Apabila diri sibuk, kita tidak terasa ada ruang menunggu yang membosankan. Tidak ternanti-nanti masa yang lambat geser dan geraknya. Sibukkan diri kita untuk memberi yang terbaik walaupun hanya sedikit. Kuantiti selalunya relatif. Begitu juga dengan kualiti. Sedikit tidak semestinya tidak signifikan. Sedikit tidak semestinya tidak berkualiti. Yang kecil dan banyak boleh menjadi signifikan asalkan kita tahu ianya bermanfaat. Namun demikian banyak yang perlu dilakukan sebelum kita berupaya melakukan yang lebih baik.

1   Banyakkan menimba pengalaman yang berbagai.
2   Banyak membaca apa sahaja topik dan bidang yang boleh dicapai.
3   Jangan terlalu selektif dengan apa yang kita hadapi.
4   Pelajari apa sahaja yang boleh menambah nilai diri.
5   Luaskan pergaulan dengan berbagai peringkat golongan masyarakat.
6   Banyakkan kembara di atas mukabumi sama ada jauh atau dekat. Ambil pengajaran dari apa yang kita dengar, kita lihat, kita alami dengan perasaan.
7   Banyak berfikir. Banyak merancang. Banyak mengambil tindakan yang positif.
8   Buang rasa negatif, takut, rendah diri atau malu.
9   Tanamkan semangat untuk mencapai yang terbaik, yang tertinggi.
10 Berfikir pada aras tinggi. Selalu melihat yang di sebalik apa yang kita lihat.
11 Buat jangkauan masa, mengembangkan jangkaan dan menjangkakan lebih dari jangkaan biasa.

Begitulah dengan anak-anak yang kita miliki. Jangkakan kehidupan mereka 20 tahun dari tarikh mereka dilahirkan. Keadaan politik yang semakin mencabar. Ekonomi yang mungkin tidak menentu. Keadaan masyarakat yang mungkin penuh pancaroba. Lihat anak-anak kita. Di mana mereka 20 tahun dari mereka dilahirkan. Sebagai ibu dan ayah, kita sediakan mereka untuk hidup dan persekitaran kehidupan mereka apabila sampai waktunya. Bayangkan pada tahun 1979 gaji penulis sebagai graduan adalah RM960 sebulan. Pada tahun 2015 ada graduan IPT yang hanya menerima RM1,300 sahaja sebulan. Suatu ketidakadilan ekonomi. Kos sara hidup yang agak terlalu tinggi tetapi pendapatan terlalu kecil untuk menampungnya. Kita perlukan pemimpin yang memimpin rakyat dan negara.

Walau apapun hidup perlu diteruskan. Kita tidak boleh ta’sub dengan falsafah lama. Apabila bersara kita ingin banyak berihat. Apabila tua kita lebih banyak di kerusi empuk. Hanya berkelana menziarahi anak dan cucu sahaja. Falsafah baru perlu ditanam semula. Belajar tiada hentinya kecuali sudah tiba di destinasi akhir. Itupun kita terus diajar apabila ada yang membacakan talqin. Semasa hidup tua inilah sewajarnya masa diisi dengan lebih padu. Dengan lebih banyak. Dengan kualiti yang lebih tinggi. Seperti kata allahyarhamah Kontik Kamariah, walaupun usianya ketika itu melebihi 90 tahun ia tetap aktif. Ia akan sakit dan cepat mati jika banyak berihat. Benar ajal di tangan Allah. Sebelum ajal itu tiba gunakan masa yang ada untuk memberi apa sahaja manfaat kepada orang lain. Mungkin juga kepada makhluk lain.

Ketika ibu dan ayah berada di usia emas inilah mereka ingin berihat dari kesibukan mengurus anak dan cucu. Hidupnya perlu meneroka dunia baru di luar sana. Hidup untuk lebih bermasyarakat. Menyumbang seadanya kepada siapa sahaja yang memerlukan. Dunia anak dan cucu bukan tidak penting. Masih tetap keutamaan. Tetapi anjakan paradigma keluarga perlu teratur turutannya. Ibu dan ayah telah menyempurnakan tugasnya mendidik anak-anak. Giliran anak-anak mengatur hidup anak-anaknya sendiri. Cucu kepada ibu dan ayah yang telah menunjuk ajar cara terbaik mendidik anak-anak. Giliran anak-anak pula memberi dan menambah input baru untuk mendidik anak-anak. Ibu dan ayah ingin sibuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya tanpa banyak syarat. Tanpa banyak kekangan dan halangan.

Memberi yang terbaik kepada anak-anak adalah anugerah yang tidak terhingga. Kejayaan anak-anak adalah mutiara indah untuk hati dan perasaan yang dahulunya penuh cabaran dan debaran. Untuk ibu dan ayah yang masih muda, belajarlah dari pengalaman orang lain. Perhatikan kejayaan orang lain. Pastinya jangan lupa menyediakan prasarana pendidikan dan ilmu kepada anak-anak.

1                    Sediakan ruang ilmu di dalam rumah. Perpustakaan mini yang diisi dengan judul yang berbagai dan pelbagai. Biar psikologi kanak-anak dibangunkan untuk sukakan pendidikan dan ilmiah sejak dari kecil lagi. 
2                    Ibu dan ayah rajin dengan ilmu. Membaca dan berbincang. Belajar dan terus belajar. Menyampaikan apa sahaja yang bermanfaat.
3                    Berusaha menambah pendapatan, meningkatkan kerjaya, memiliki rumah yang lebih selesa untuk keperluan tumbesaran anak-anak.
4                    Hindarkan anak-anak dari lagha, terjebak dengan hedonism, lalai dan leka dan hal-hal yang memudaratkan pertumbuhan intelek.
5                    Bawa anak-anak berjalan bukan sahaja untuk merihatkan minda tetapi juga untuk membuka ruang world view mereka. Bahawa buku hanya memberikan satu sisi dalam pembelajaran. Pengalaman pancaindera yang lain juga penting dalam pembelajaran. Memahami sesuatu dari sisi yang berbeza. Melihat dari sudut yang selalunya terlepas pandang.


Menyediakan kediaman, makan dan minum adalah penting tetapi memberikan input-input lain juga tidak kurang pentingnya. Pelengkap kepada sekolah. Menyempurnakan kekurangan yang terdapat dalam teknologi. Rokok semakin mahal. Hiburan juga semakin mahal. Beralihlah untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Ianya mahal tetapi natijah akhirnya lebih banyak dari segala-galanya. Apabila anak-anak dipenuhkan dadanya dengan ilmu dan kemahiran, dunia semakin mudah bagi mereka. Mobiliti mereka tinggi dan daya usaha mereka juga lebih tinggi. Cabaran mendidik anak-anak semakin besar. Bersedialah dengan lebih besar lagi. Bersedia dan banyak belajar. Kejayaan bukan mudah datangnya. Kecemerlangan lagilah, bukan kepalang usaha yang perlu dicurahkan. 

No comments:

Post a Comment