Kebersihan
sebahagian dari iman. Hanya empat patah perkataan yang simple. Namun begitu
berapa ramai antara kita yang benar-benar perihatin tentang kebersihan. Bahawa
kebersihan itu berkait dengan kseihatan. Dengan kesejahteraan. Dengan
kebahagiaan. Dengan keindahan hidup. Kebersihan pula berkait dengan alam di
sekeliling kita. Dalam rumah. Persekitaran luar rumah. Jalan. Kejiranan.
Longkang, parit dan sungai. Sikap kita. Amalan kita. Falsafah hidup kita
tentang sampah. Untuk bersih bukannya susah. Yang sukar diubah ialah sikap kita
yang tidak mahu berubah. Menolak idea dan amalan yang lebih baik. Paradigma
yang paradox. Ingin kekal seperti yang lama walaupun tidak baik. Tidak mengubah
dari kotor menjadi lebih bersih. Kebersihan yang mutlak memang suatu tuntutan
tetapi sekurang-kurangnya cukup bersih untuk mengelak sebarang malapetaka
penyakit yang mungkin akan datang.
Paling dekat
ialah dalaman rumah kita. Adakah ianya bebas dari sampah dan sarap. Bebas dari
sepah. Bebas dari pakaian kotor bertaburan. Bebas dari buku anak-anak yang
tidak tentu susunnya. Bebas dari debu. Dari abuk. Dari sebarang kotoran yang
mungkin minyak, getah, sabun dan air. Rumah dalam keadaan tidak selesa
diduduki. Tidak enak dipandang. Mari kita lihat di luar rumah. Banyak daun
berguguran? Bunga layu yang berada di perdunya. Lalat, langau, lipas, cicak,
nyamuk, tikus, burung, biawak dan ular mungkin menziarahi halaman dan
sekeliling rumah. Itu belum sampah buangnn dan ciptaan anak-anak yang tidak
ditegur bahawa perbuatan itu salah. Menyalahi ajaran agama. Menyalahi prinsip
kebersihan dan kesihatan. Kesihatan bukan hanya fizikal. Ianya berkaitan juga
dengan emosi, psikologi, perasaan dan dalaman kita. Secara mantapnya kebersihan
menyangkut juga kepada akhlak seseorang. Maksudnya orangnya dinisbahkan kepada
tingkah lakunya berinteraksi terhadap sampah di sekelilingnya.
Apabila kita
menjengah mana-mana longkang di sekeliling kita, yang kita lihat ialah kotoran
yang tepu. Sampah pelbagai jenisnya. Baunya menyengat hidung. Siapa yang
bertanggungjawab? Penduduk di sepanjang longkang itu atau pihak berwajib yang
memungut cukai pintu? Pada peringkat awal, mereka yang di hadapan rumahnya ada
longkang maka menjadi tanggungjwabnyalah untuk menjaga kebersihan longkang di
hadapan rumahnya itu. Yang tersengat hidunya tentulah mereka yang dekat dengan
kotoran itu. Yang sakit matanya tentulah mereka yang melihat sampah sarap dalam
longkang itu. Yang tidak senang hatinya adalah mereka yang dalam
persekitarannya banyak sampah. Namun begitu pihak berkuasa tempatan perlu lebih
tinggi pekanya. Lebih besar hatinya. Perlu lebih perihatin. Perlu tentukan
keutamaan jangka pendek dan jangka panjang. Memiliki senarai semak yang boleh
dilaksanakan sepanjang masa. Pada awalnya proses membersihkan mungkin menelan
kos yang tinggi tetapi untuk menyelenggara secara berjadual tentulah lebih
mudah dan lebih murah. Aktiviti berbentuk ad-hoc selalunya membebankan
dari segi kos. Libatkan penghuni rumah di sepanjang longkang. Tanggungjawab
bersama.
Kita
berusaha untuk membersihkan persekitaran kita. Untuk itu daya fikir kita perlu
terlebih dahulu berubah. Kita perlu belajar secara intensif dari negara yang
maju dari segi kebersihan. Yang lanskap negaranya mengujakan siapa sahaja yang
berkunjung datang. Mereka meninggalkan negara it dengan membawa kenangan dan
imej negara yang menyenangkan. Sihat fizikal hanya suatu kesimpulan. Kesihatan
total meliputi emosi dan mental kita. Kita masih jauh dari yang terbaik. Jepun
lebih baik. Amerika Utara lebih baik. Eropah lebih baik. Secara perbandingan
mungkin Singapura jauh lebih baik dari kita. Kita dekat di seberang tambak.
Terlalu dekat tetap kita tidak mahu mengambil yang baik dari sana. Tidak ada
kompromi mengenai kebersihan. Ia bukan sahaja keperihatinan manusia
mengenainya. Agama Islam sangat menganjurkan pentingnya kebersihan.
Mengamalkannya sebahagian daripada iman. Maknanya kebersihan adalah tanda
bahawa seseorang itu wujud iman di dalam hatinya atau pada dirinya.
Kebersihan
bermula dari rumah. Dimulakan oleh ayah dan ibu. Khususnya ibu. Emak.
Surirumah. Ibu yang menguasai semua ruang dalam rumah. Dalam dapur. Dalam bilik
tidur. Dalam bilik air. Dalam setor. Di mana sahaja yang kemungkinannya sampah
atau debu bersarang. Begitu juga di lantai, di atas meja dan kerusi, di atas
peti ais, mesin basuh. Lihat juga di atas almari pakaian, pinggan mangkuk,
tuala, sinki, peralatan makan dan minum. Itu belum pakaian, cadar dan selimut,
gerobok solek dan banyak lagi yang perlu dilihat, diperhati dan diberi
perhatian. Begitulah institusi pendidikan dan pendidik cuba menerapkan semangat
kebersihan untuk memahirkan bakal ibu dan ayah tentang kebersihan. Andainya ibu
dan ayah tidak mengerti konsep kebersihan maka kita dapati rumahtangga mereka
penuh dengan hal-hal yang tidak mencapai tahap kebersihan yang sewajarnya.
Ramai
keluarga yang menggaji pembantu rumah. Mereka mengharap pembantu itulah yang menjamin kebersihan rumahtangga
mereka. Sikap yang salah. Tanggapan yang jauh meleset. Harapan yang hanya mimpi
tanpa kenyataan. Pembantu rumah boleh membersihkan rumah tetapi siapa yang menentukan
standardnya. Kualitinya. Pasangan yang menggaji mereka yang menentukannya.
Bukan orang lain. Di sinilah malangnya keluarga yang tidak ada dalam kamus
mereka tentang bagaimana hendak menjana persekitaran yang bersih. Bagaimana
hendak kekal bersih. Seorang menantu penulis menjadi profesional dalam hal
memberisih dna mengemas rumah. Kebanyakan keluarga tidak tahu bagaimana
sebenarnya membuat:
1
Susunatur ruang rumah mereka.
2
Susunatur perabot dalaman.
3
Susunatur peralatan rumah.
4
Susunatur barang dalam kabinet.
5
Susunatur dalam bilik air.
6
Susunatur almari pakaian.
7
Pengurusan sampah sarap untuk dibuang.
8
Pengurusan hari dan jadual untuk mengemas dan
membersihkan rumah.
9
Pengurusan kebersihan persekitaran seperti keliling
rumah, halaman rumah, dinding rumah, garaj, setor, pokok bunga hiasan.
Cuba perhatikan apabila anda berkunjung ke rumah
saudarap-mara atau sahabat andai. Apa yang kita lihat ialah di luar pintu
utama:
1
Kasut dan
selipar tidak tersusun. Bersepah tidak tentu hala.
2
Selipar
sebelah di sini dan sebelah lagi di sana.
3
Kasut sebelah
menghala ke rumah dan sebelah lagi menghala ke halaman.
4
Sebelah
selipar dekat dengan tangga dan sebelah lagi jauh dari tangga.
5
Setokin
bersepah di ruang tangga.
6
Wajah kasut
dan selipar perlu dibasuh dan dilap kotorannya.
Melihat kasut di luar rumah sudah cukup bagi tetamu
membuat tanggapan awal bahawa di dalam rumah pastinya lebih dahsyat lagi. Benar
di ruang tamu anda akan dapati:
1
Pakaian anak-anak bersepah di lantai, atas kerusi dan
ada yang di atas meja.
2
Tidak dapat dibezakan antara pakaian bersih dengan
pakaian kotor.
3
Anda mungkin terpijak pensil dan pemadam di atas
lantai. Atau juga mainan anak-anak.
4
Buku latihan dan buku teks anak-anak di bawah meja
atau di bawah kerusi.
5
Ada pula gelas dan cawan kosong di atas meja. Mungkin
di atas kerusi.
6
Sampah bertabur di sana dan di sini.
Andainya masalah kebersihan tidak selesai di rumah
maka masalah kebersihan menjadi masalah negara. Masalah masyarakat. Masalah
kejiranan. Di surau dan masjid. Di sekolah dan pejabat. Di lorong dan
jalanraya. Sebab itulah ibu dan ayah menentukan standard kebersihan yang
diingini. Tidak cukup dengan hanya menggaji pembantu rumah. Tidak cukup hanya
pandai memberi arahan itu dan ini. Tidak cukup hanya menjerit tidak puas hati.
Pembantu perlukan standard. Ditunjukajar proses dan perlaksanaan standard yang
perlu dilaksanakan. Ibu paling utama keperihatinannya terhadap kebersihan. Ayah
pula pelengkap. Membantu melaksanakannya mengikut prosedur yang selayaknya.
Anak-anak dididik dan diasuh cara mengurus keberihan dari yang sekecil-kecilnya
hingga yang sebesar-besarnya. Dari yang remeh-temeh hingga yang sangat
signifikan. Dari yang mudah hingga yang perlukan tenaga atau kekuatan mental.
Latih anak-anak membersihkan longkang, membersihkan bilik air. Jadikan mereka
tawadu’. Boleh turun merendah diri demi untuk menjaga kebersihan. Sayang kepada
anak bukan bererti membebaskan mereka dari tanggungjawab yang bakal mereka
laksanakan apabila mereka dewasa kelak.
No comments:
Post a Comment