Wednesday, July 16, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Tazkirah Seorang Duta

TYT Dato Duta sedang memberi tazkirah.

Jumaat 13 Ramadhan 1435H bersamaan 11 Julai 2014  adalah suatu sejarah di Hayyi Sabi’, Kaherah. Dalam suatu majlis iftar anjuran Keluarga Persendirian Malaysia Mesir, TYT Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir dan  Palestin, Dato Ku Jaafar Ku Shaari telah turut hadir. Penulis tidak pernah secara khusus bersama seorang Duta sebelum ini. Pertemuan ini adalah kali yang kedua setelah bersama TYT Dato di Asrama Malaysia (ARMA) semasa kehadiran YB Dato Sabree Chik tempoh hari. Tanggapan umum selalunya berdasarkan kepada pengalaman pertama bahawa seorang Duta lebih kepada profesional tentang jawatannya. Kedudukannya tinggi sebagai penjawat awam. Apabila dipilih menjadi Duta tentulah dia telah melalui proses yang panjang untuk sampai ke peringkat itu. Mesir pula adalah negara yang dianggap kanan di Benua Afrika. Pada realitinya sedikit memeranjatkan. Dalam iftar yang sederhana itu rupanya terserlah suatu peribadi yang menyimpang dari tanggapan umum. Beliau bercakap tentang ilmu, tentang sari teladan yang positif, tentang teori kosmologi dan tentang falsafah hidup. Ianya diungkapkan secara santai tetapi akademik. Bersalut agama, motivasi dan pendidikan. Penuh diplomasi sesuai dengan pengalamannya sebagai diplomat ke negara asing.

Mendahulukan Ilmu
Sesuai benar tazkirahnya kerana hampir kesemua yang hadir adalah pelajar. Yang muda memang sah adalah pelajar. Namun yang berusia juga pelajar dalam kategorinya yang tersendiri. Pelajar dewasa. Masih mengejar pelangi senja. Ingin menyalut usianya dengan pelangi itu. Mewarnai kehidupan yang berbaki dengan spektrum warna yang bergemerlapan. Bahawa usia bukan titik noktah dalam usaha. Bagi yang muda tentulah pelanginya masih jauh dan tinggi. Warnanya juga melebihi pancawarna yang ditatap. Malah usia muda mencipta pelangi mereka yang tersendiri demi kehidupan yang jauh di hadapan. Ilmu sangat penting dalam melonjakkan diri ke persada yang lebih tinggi. Yang lebih sejagat. Yang lebih mendekatkan akhirat dan dunia. TYT Duta mengingatkan pelajar tentang penting dan nikmatnya ilmu.

Sebagai anak muda fokusnya hendaklah berilmu. Untuk membezakan antara yang membangun dirinya dengan yang tidak membangun. Antara yang boleh berjalan di hadapan dengan yang hanya tercicir di belakang. Antara yang boleh mengangkat diri dengan yang terus tenggelam lemas. Sejarah meletakkan umat Islam sebagai umat yang paling tercicir di belakang dalam banyak hal. Dari pendidikan hinggalah teknologi. Dari ekonomi hinggalah politik. Malah negara Islam terletak di bawah naungan kuasa-kuasa besar. Rasanya tidak ada negara Islam yang tidak mengikat perjanjian dengan mana-mana kuasa besar sama ada Barat atau Timur. Antara cara untuk bangkit ialah melalui ilmu. Dalam bentuk kuantiti dan kualiti. Untuk menguasai dunia dan selesa ke akhirat jalannya tentulah ilmu. Setelah ilmu dikuasai maka banyak bidang yang boleh dikuasai. Kerana itu al-Quran dan al-Sunnah tiada terpisah keduanya dengan umat Islam. Kembali kepada agama. Kembali kepada Islam. Kembali kepada ilmu.

Teori kosmologi
Manusia terlalu kerdil dari segi saiznya. Apatah lagi relatif kepada planet dan bintang. Lagilah tiada relatifnya kepada galaxy (cakerawala). Galaxy itu pula tidak boleh dibilang dengan jari banyaknya. Alam semesta ini terlalu luas. Bukan billion isinya. Tiada akal manusia yang dapat mengiranya. Maksudnya, manusia yang Allah ciptakan adalah terlalu kecil. Terlalu kecil. Terlalu seni saiznya. Jika bumi secara relatifnya adalah terlau kecil berbanding dengan cakerawalanya sendiri maka bumi itu sendiri terlalu kecil di alam semesta ini. Terlalu kecil. Kerana itu manusia perlu bergantung kepada Allah. Berharap kepadaNya. Sentiasa ingin di bawah naunganNya. Di bawah rahmatNya. Sesungguhnya dalam diri manusia ada God’s Spot iaitu sentiasa perlukan adanya Allah. Walaupun manusia sangat kecil secara relatifnya dengan alam semesta yang amat luas ini, namun alam ini Allah ciptakan untuk manusia. Begitulah kasih Allah terhadap Rasulallah dan umatnya yang beriman kepadaNya. Yang ruku’ kepadaNya. Yang sujud kepadaNya. Yang menyerahkan diri kepadaNya. Yang nanti kembali kepadaNya pada hari kebangkitan dan hari pembalasan.  

Manusia diperingatkan supaya sentiasa menyerahkan dirinya kepada Allah. Akal fikiran yang Allah anugerahkan kepada manusia supaya dijadikan alat untuk membuat pertimbangan untuk memilih jalan Allah. Bukan jalan syaitan. Berbuat amal soleh menurut perintah Allah dan mencegah kemungkaran seperti laranganNya. Manusia dan alam semesta sentiasa berkaitan. Sandar menyandar. Mereka yang mahir dengan sains tentu lebih memahami akan akrabnya alam ini dengan diri manusia. Bila berbicara tentang teori kosmologi ini penulis teringat dua nama yang banyak menyumbang ke arah itu. Pertamanya Prof. Madya Dr. Mat Ropa Ismail dari UPM. Keduanya Dr. Jamnus dari Kedah. Mereka dekat dengan ilmu falaq. Atau astronomi. Dari mereka penulis telah didedahkan  kepada konsep supernova, planet, galaxy, nebula dan berbagai lagi istilahnya. Kesemua maklumat yang berkaitan dengan alam semesta ini memberi kesedaran bahawa manusia terlalu tidak signifikan saiznya. Namun begitu akal manusia dididik untuk memahami ciptaan tersebut. Kefahaman adalah suatu proses untuk menambahkan iman dan keterikatan kepada Allah. Ramai cerdik pandai Barat yang akhirnya memeluk Islam kerana mereka menemui kebenaran melalui ilmu mereka.  Ramai antara mereka adalah Orientalis yang pada awalnya memusuhi Islam. Atau berusaha meremehkan Islam.

Negatif yang melengkapkan positif
Kita selalu membuat persepsi yang lazim. Lazimnya salah pula. Sebagai manusia biasa kita selalu inginkan yang positif sahaja. Yang indah sahaja. Yang baik sahaja. Yang menguntungkan sahaja. Seorang pemikir pula melihat sesuatu dengan pandangan sisi yang berbeza. Sesunggunnya Allah menciptakan segala sesuatu berpasang-pasangan. Hanya Allah Yang Esa. Yang Tunggal. Kesemua ciptaan Allah ada pasangannya. Makhluk dicipta memiliki pasangan. Di sinilah kita selalu alpa untuk memikirkannya. Gagal untuk memanfaatkan keadaan. Mereka yang self-concerned hanya memikirkan dirinya sahaja. Dia tidak melihat paradox yang melingkari dirinya. Kekal dengan paradigm yang dirasakan tidak volatile. Walhal yang negatif adalah suatu kebenaran dalam kategorinya yang tersendiri. Yang buruk adalah suatu kebenaran. Yang negatif melengkapkan imbangannya dengan yang positif. Dalam diri manusia ada imbangan itu lengkap-melengkapi.
1                    Mereka yang hebat ada kelemahannya.
2                    Yang kaya ada kekurangannya.
3                    Yang pandai ada yang tidak diketahuinya.

Kaya dan miskin memberi manfaat antara satu sama lain. Yang kaya memberi pekerjaan. Memberi sedekah. Memberi zakat. Menginfaqkan hartanya untuk yang miskin di jalan Allah. Yang miskin menjadi pekerja. Menerima sedekah dan derma. Menerima bantuan zakat. Menikmati banyak kemudahan awam. Yang kuat melindungi yang lemah. Dirinya berguna kerana ada yang lemah. Tanpa adanya yang lemah yang kuat tidak dapat meyalurkan manfaat dirinya.

Kita mungkin marah kepada orang yang marah kepada kita. Normal. Manusia biasa. Bagi mereka yang tinggi akal budinya, marah orang itu mencetuskan suatu fenomena polimik berfikir dalam dirinya.
1                    Ada kesilapan yang telah dilakukan.
2                    Ada maklumat yang tidak diterima.
3                    Ada arahan yang tidak jelas.
4                    Gagal berkomunikasi.
5                    Gagal berinteraksi.
6                    Gagal memahami bahasa tubuh.
7                    Gagal memahami adat kebiasaan.
8                    Gagal memahami sensitivi yang berbagai pada diri orang lain.

Maksudnya apa sahaja yang negatif harus dilihat sebagai laluan untuk mencari positif. Mencari kebenaran. Kebenaran berada dalam dua spektrum positif dan negatif. Bateri tidak berfungsi tanpa positif dan negatif. Tidak mungkin poritif sahaja. Tidak mungkin negatif sahaja. Jika kita boleh melihat perspektif ciptaan Allah yang berpasang-pasangan ini kita akan menjadi lebih banyak berfikir dari banyak bercakap. Jika bercakap sekalipun kalimah dan ayat yang dilisankan telah ditapis berulang-kali. Telah dirasionalkan terlebih dahulu. Difikirkan kesesuaiannya kepada audiennya yang berbagai. Lalu tindakannya lebih difahami dan mengurangkan konflik. Lebih waras dan rasional. Mengambilkira banyak aspek kemanusiaan.


Begitu tazkirah seorang Duta. Jawatannya yang tinggi bersalut dengan kefahaman beragama. Berfalsafah. Berfikir pada tahap pemikiran tinggi. Bagitu juga hasrat ramai bahawa penjawat awam bersandar kepada agama seperti titah DYMM Sultan Perak baru-baru ini. Penjawat awam hendaklah merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam urusan pentadbirannya. Alhamdulillah iftar yang sederhana di Hayyi Sabi’ memberikan manfaat besar kepada yang hadir. Semoga Allah memberi keberkatan kepada kita semua. InsyaAllah.

Tuesday, July 15, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Palestin, Demi Al-Quds

Download Mosque Al Aqsa Al Quds HD HD Wallpapers
Masjid ini berusia ribuan tahun. Rasullah israk dari Makkah ke sini. Mikraj dari sini ke langit. Allah menjadikannya qiblat umat Islam yang pertama sebelum qiblat bertukar ke Kaabah di Makkah.  Al-Aqsa bermakna jauh dalam Bahasa Arab. Diukur dengan meunggang unta pada zaman Rasullah dahulu. Ianya merupakan masjid yang ketiga ketinggian mulianya setelah Masjid al-Haram dan Masjid  al-Nabawiy. InsyaAllah Islam akan kembali menguasainya. 

Sejak tahun 1948 rakyat Palestin sangat menderita. Terbuang dari tanah tumpah darah mereka. Diusir dari tanah dan rumah. Dinafikan hak sebagai penghuni berzaman. Benarlah Bani Israel telah dilaknat Allah kerana kedegilan dan kesesasatan mereka. Mereka pula mendakwa sebagai bangsa pilihan. Orang lain dianggap semistik. Mereka lupa bahawa mereka berasal dari Nabi Ibrahim a.s. bapa kepada Nabi Ishak dan Nabi Ismail. Sama bapa tetapi berlainan ibu. Yang bermakna bangsa Yahudi dan bangsa Arab adalah dari keturuanan Nabi Ibrahim. Bukan orang lain. Kerana dendam yang tidak bertempat mereka memusuhi semua orang. Oleh kerana orang Islam adalah yang dianggap paling lemah maka negara Islam yang menjadi sasaran. Begitulah dasar pecah dan perintah yang didalangi British melemahkan negara-negara Islam. Orang Barat sengaja membina dan mewujudkan perbezaan antara negara-negara Arab hingga akhirnya mereka kurang berminat untuk bersatu. Menjauhi antara satu sama lain. Undermining antara satu sama lain.

Politik dalangan Barat mencengkam kuasa yang berada di tanah Arab. Palestin menjadi terbuang dari hati mereka. Jauh dari simpati mereka. Terdampar dengan kesengsaraan mereka. Negara Arab-Islam lainya hanya melihat. Bercakap ala kadar. Bertindak tidak sampai ke sasaran. Barat tahu tiada negara Arab-Islam yang sebenarnya membantu Palestin. Israel bermaharajalela berbuat apa sahaja yang mereka mahukan. Seperti kata bekas Perdana Menterinya, Golda Meir, Israel boleh buat apa sahaja. Tiada siapa yang peduli. Begitulah apabila silaturrahim sesama Islam telah terbuang jauh. Yang tinggal hanya kuasa tanpa makna. Sama di mana-mana negara, pemerintah adalah golongan elit yang hanya ingin mengekalkan kuasa. Rupa bentuk mereka sahaja yang berbeza. Tahap kesedaran terhadap Palestin terlalu rendah.

Selama ini yang dunia lihat ialah penindasan terhadap orang Palestin. Penafian hak mereka. Pemusnahan harta benda milik mereka. Rampasan terhadap tanah dan rumah mereka. Malah berlaku pemerkosaan terhadap isteri dan anak-anak perempuan mereka. Rayuan orang Palestin selalu tidak didengar. Harapan mereka tidak disambut. Tangisan mereka tiada siapa yang menyeka. Kemusnahan terhadap mereka tiada siapa yang membantu. Kesemuanya menjadi marginal apabila Israel mengepung Palestin dari segenap penjuru. Menduduki Palestin tanpa ada negara yang menghalang. Malah PBB hanya memejam mata. Berhujjah dengan dusta semata-mata. Tiada fakta yang betul mengenai Palestin. USA menjadi pelindung kepada The Big Bully iaitu Israel. Negara bersekutu yang lain hanya mengekor di belakang USA. Hanya melibas-libas ekor mereka.

Dunia tidak tahu apa yang dideritai Palestin. Apa yang ditanggung tidak diketahui oleh manusia lain. Tidak oleh orang Arab-Islam. Tidak oleh orang Islam lainnya. Selama ini orang hanya bercakap dengan nada hina. Begitu hina Palestin. Begitu hina Islam. Kita lupa bahawa mereka yang tertindas banyak doanya. Doa mereka dimakbulkan Allah. Lalu Allah mendatangkan berbagai-bagai pertolongan yang tidak diketahui secara umum. Orang Pelestin diberi akal yang hebat. Dalam sengsara mereka banyak berfikir. Banyak mencari formula untuk menghentikan kesengsaraan mereka. Mereka menjadi bangsa yang banyak berusaha secara ilmiah dan membina kemahiran untuk berhadapan dengan perang. Apatah lagi musuh nyata mereka adalah bangsa Yahudi yang diketahui tahap kepintarannya. Faktor Allah dan pertolongannya yang tidak pernah difikirkan oleh bangsa Yahudi memihak kepada Palestin.

Sekarang ternyata bahawa dalam kedaifannya bangsa Palestin membina kekuatan yang luar biasa. Tiba-tiba dunia dikejutkan dengan berbagai pasukan berani mati yang fokusnya ialah menghapuskan Israel selain untuk syahid kerana Allah. Jihad yang menggelombang tingginya. Menggunung besarnya. Berbagai senjata pula dilancarkan. Dari yang konvensional hinggalah kepada drone. Selama ini hanya USA sahaja yang gah dengan drone. Negara lain hanya cemburu dengan kecanggihan USA itu. Roket-roket ciptaan Palestin menggegar bandar-bandar di Israel. Malah menggegarkan keegoan Yahudi. Jika selama ini mereka menjadi The Aggressor sekarang mereka terasa being oppressed. Pada awal minggu Knesset Israel begitu lantang mahukan Gaza dihapuskan. Sekarang suara mereka tenggelam. Mereka melambai Mesir untuk menyelamatkan mereka. Terpulang kepada Palestin untuk berhenti menyerang atau terus memberi pengajaran kepada negara angkuh seperti Israel. Biar pendokong mereka seperti Iluminati membuat penilaian semula. Mereka tidak akan pernah mampu menidakkan kuasa Allah.    

Anak-anak muda Islam, berhentilah dari hanya berhibur. Sudah lama antum menyanyi. Sudah lama kaki menari. Sudah lama hanya mencipta lagu cinta kepada wanita dan dunia. Sudah sampai masanya kesemua itu dihentikan. Mereka yang digelar pemimpin bantulah anak-anak muda supaya membina kesedaran agama dan Islam yang lebih tinggi. Yang berjuang kerana menegak agama Allah. Mereka yang dewasa tolehlah ke kanan dan ke kiri. Anak-anakmu perlu dilorongkan ke jalan jihad. Bukan jahat dan bukan maksiat. Letakkan mereka di landasan sirot al-mustaqim. Keluarkan mereka dari kegelapan hati yang tidak mengenal empati terhadap saudaranya yang bernama Palestin. Penulis mencadangkan:

1                    Berhenti merokok. Harga rokok itu infaqkan untuk Palestin.
2                    Berhenti berhibur. Wangnya diinfaqkan untuk Palestin.
3                    Berhenti membazir menjelang hari raya ini. Wangnya infaqkan untuk Palestin.
4                    Berhenti membeli mercun dan bunga api. Wangnya infaqkan  untuk Palestin.
5                    Hadkan membeli pakaian. Wangnya untuk Palestin.
6                    Hadkan menghias rumah untuk hari raya. Wangnya infaqkan untuk Palestin.
7                    Berhenti dari menjamu selera di buffet Ramadhan. Wangnya infaqkan untuk Palestin.
8                    Berhenti terlalu membeli di bazar Ramadhan. Wangnya infaqkan untuk Palestin.
9                    Didik anak-anak supaya duit raya yang mereka dapat sebahagiannya diinfaqkan untuk Palestin.

Anak-anak Palestin dididik dengan semangat juang menentang Israel sama ada mereka lelaki atau perempuan. Kita juga sepatutnya mendidik anak-anak kita dengan semangat memperjuangkan Islam. Mengagungkan Islam. Ibu-ibu Palestin melepaskan anak-anak lelaki mereka dengan senyum lebar supaya anak-anak mereka syahid kerana Allah. Kita patut sama-sama mencontohi mereka. Biar anak-anak kita berjihad menuntut ilmu. Menuntut kemahiran. Membina kekayaan sains dan teknologi demi Islam. Demi Allah. Untuk umat yang lemah seperti kita. Usaha seperti orang Plestin itu perlu. Sangat perlu. Kita sudah terlalu lama berada dalam zon selesa. Apabila keselesaan itu ditarik Allah sedikit demi sedikit kita masih tidak perasaan.

1                    Harga barang meningkat. Nikmat memiliki banyak berkurangan.
2                    Kita sibuk dengan dunia. Nikmat beribadat berkurangan.
3                    Kita sibuk dengan keluarga. Nikmat untuk berjihad sudah hilang.
4                    Kita sibuk dengan hiburan. Nikmat berilmu terhakis.
5                    Kita leka menyanyi. Nikmat alunan bacaan al-Quran dianggap asing.
6                    Malah nikmat keselamatan diri dan keluarga sudah semakin berkurangan.


Marilah sama-sama kita fikirkan tentang Islam. Tentang agama. Tentang Rasulallah. Tentang Allah. Tanda-tanda akhir zaman semakin jelas. Marilah kita zahirkan tanda-tanda kita sudah sedar. Sudah mula bersedia menghadapi berakhirnya zaman. Palestin mungkin menjadi petanda besar kebangkitan Islam sejak Sallahuddin al-Ayyubi menawan al-Quds pada kurun ke-13 dahulu. Jika dahulu dinamakan Perang Salib, sekarang sampailah kita ke Perang Jihad. InsyaAllah Islam pasti menang. Berusahalah untuk menerima janji Allah. Patuh kepada perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Allahuakbar.

Monday, July 14, 2014

Bingkisan Dri Kaherah: Iftar Bersama Duta Besar


TYT Dato Duta sedang menikmati nasi ambeng bersama tetamu yang lain. Selalunya pelajar yang makan berdulang. Alhamdulillah rezeki Ramadhan


Jadualnya agak spontan. Dirancang segera untuk mengadakan iftar bersama keluarga persendirian Malaysia Mesir bersama juga pelajar-pelajar luar negara dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. Sekitar 80 orang telah hadir. TYT  Dato Duta Besar Malaysia Mesir dan Palestin iaitu Dato Ku Jaafar bin Ku Shaari, menjadi tetamu kehormat dalam iftar ini. Agenda yang dibuat secara simple ini dihadiri juga oleh beberapa pegawai dari Kedutaan Malaysia di Kaherah. Meriah seketika imarah 16 di jalan Toha al-Dinari di Hayyi  Sabi’, Kaherah. Jamuannya juga simple. Makan berdulang (ambeng kata orang Jawa). Sunnah sebenarnya. Lauknya juga lebih simple. Kari ayam dan sayur campur. Sementara pencuci mulutnya buah tembikai susu dan anggur serta bubur merah (juga menu orang Jawa rasanya). Alhamdullah TYT Dato Duta tidak terkejut kerana besannya rupanya orang Jawa yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor. Begitulah integrasi sesama etnik Melayu di Malaysia.

Sedikit ucapan balas yang ringkas dan padat. Menggarap pentingnya ilmu yang letaknya di hadapan. Menghindar nafsu dari meguasai diri. Juga menghindari kelayuan diri dari mengoda malas dan culas.


Iftar ini menjadi santai dengan hidangan ala kadar. Pertemuan bersama yang lebih penting. Kata orang tak kenal tentu tak cinta. Bertemu dan bekenalan menjadi resepi penting untuk membina ukhwah. Mungkin ada strategik alliance yang boleh dibina untuk menjana sinergi bersama. Memanfaatkan keberadaan di Bumi Anbia ini. Sesungguhnya sangat ramai bilangannya rakyat Malaysia yang berada dan menghuni di sini. Dari yang berusia belasan tahun hinggalah yang sudah 7-series kata setengah orang. Maksudnya sudah berusia melebihi 70 tahun. Yang berusia 60an agak ramai juga. Taarif keluarga persendirian dimaksudkan kepada keluarga dari kalangan mereka yang sudah bersara. Berada di Bumi Anbia ini kerana berehat sambil menambahkan ilmu. Antaranya belajar Bahasa Arab dan bahasa-bahasa lain seperti Turki serta Inggeris. Yang lain mendalami ilmu dan bacaan al-Quran sama ada bertalaqqi, mempelajari qiraat atau tafsirnya. Kepelbagaian peringkat usia menjadikan rakyat Malaysia yang berada di sini memiliki kerencamannya yang tersendiri.
 
Keluarga Persendirian Malaysia Mesir bukannya ramai sangat. Walau bagaimanapun banyak kelebihannya. Di Hayyi Sabi’ ini terdapat satu-satunya surau Melayu yang mungkin itulah satu-satunya surau Melayu (untuk orang awam) di Kaherah dan Mesir yang diurus oleh keluarga persendirian yang diterajui oleh Tuan Syed Ahmad. Dari surau Melayu di Jalan Toha al-Dinari inilah terpancar berbagai aktiviti sosial dan agama.
1                    Talaqqi al-Quran.
2                    Hafazan al-Quran.
3                    Tuisyen Bahasa Arab.
4                    Agen agihan makanan dalam bulan Ramadhan untuk pelajar-pelajar    
            terutamanya hasil sumbangan dari rakyat Mesir.
5                    Majlis-majlis agama seperti sambutan Maulid al-Rasul dan sebagainya.
6                    InsyaAllah aktivi ibadah qurban.

Pada tahun ini seorang hamba Allah menyumbang sejumlah wang untuk tujuan iftar bersama. Keluarga persendirian menyumbang selebihnya. Mesyuarat ringkas telah diadakan untuk menentukan susunan kerja. Agenda majlis. Menu yang sesuai. Bajet yang berpadanan. Hasilnya terhimpunlah tiga golongan pesertanya. Pegawai-pegawai dari Kedutaan Malaysia dan penglibatan pelajar negara lain. Keduanya wanita iaitu isteri-isteri pegawai dan pelajar-pelajar wanita. Ketiganya pelajar lelaki. Penuh sesak tiga rumah yang bersempadanan iaitu rumah Tuan Syed Ahmad, Tuan Haji Md Yusof Jamar dan Tuan Haji Mejar (B) Ahmad Shahbudin. Berbaloi penat Tuan Syed Ahmad mengangkut dulang dan perkakas yang lain dari berbagai sumber terutamanya dari rumah-rumah negeri di sekitar Hayyi Sabi’. Menjayakan majlis iftar ini menjadi satu kepuasan yang tidak ternilai. Alhamdulillah.

Sebenarnya apapun agenda yang hendak dihasratkan hanya perlu digerakkan dan disegerakkan. Apabila semboyan dibunyikan maka bermulalah segala aktiviti yang perlu disempurnakan. Pembahagian kerja amat perlu. Setiap ahli ada peranan masing-masing. Koordinasi diperlukan. Kesegerakan dan kesegeraan juga diperlukan untuk menjayakan kesemua yang dirancang. Persediaan awal dikira sangat perlu supaya langkah-langkah berikutnya dapat diselaraskan. Majlis yang simple sekalipun perlukan pemantauan yang rapi supaya kesemua yang dihasratkan dapat disempurnakan. Yang tua-tua sebenarnya sudah berkurangan tenaga seperti semasa muda dahulu. Alhamdulillah ada anak-anak muda yang boleh diharap membantu kejayaan majlis yamg dirancang. Seperti biasa apabila terhimpun mereka yang berbagai latarbelakang, ada yang sudah dikenali. Ada yang belum kenal. Pertemuan sebegitu mengeratkan silatuurrahim. Ukhwah Islamiyah yang terbina. Terasa dekat dalam keterasingan di luar negara. Di Bumi Anbia pula.

Tenaga penggerak, AJK iaftar dari Hayyi Sabi'. Mereka dibantu oleh isteri-isteri mereka yang juga AJK sebenarnya. 



Petugas yang menyiapkan hidangan bergambar dengan Dato Duta dan isteri-isteri pegawai kedutaan. 


Keluarga Persendirian Malaysia Mesir amat menghargai kehadiran TYT Dato Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin dan rombongan pegawai-pegawainya. Suatu pengalaman yang berganda indah dan nikmatnya bagi kami kerana dapat meraikan TYT Dato. Berkenal-kenalan dalam satu fasa yang lain. Membina strategic alliance dalam fasa yang lain. Keluarga persendirian yang anggotanya sudah melampaui usia guna profesionalnya masih ingin membantu menyumbang untuk kebaikan agama dan bangsa. Demi negara tercinta. Mudah-mudahan pertemuan singkat ini bukan yang pertama. Bukan juga nanti yang kedua. Yang diharapkan ialah jalinan rantaian dan rangkaian yang berkesinambungan lama untuk sandar menyandarkan harapan membina sesuatu yang jauh manfaatnya di hadapan nanti. InsyaAllah.

Terima kasih kepada AJK yang terlibat. Banyak-banyak daun keladi. InsyaAllah bertemu lagi.


Saturday, July 12, 2014

Siri Dua Puluh Tiga: Pekan Parit Sulung



Pekan Parit Sulung sinonim kepada penduduk dari Ayer Hitam, Muar hingga ke Yong Peng. Dari Seri Medan hingga ke Semerah. Seluruh kawasan Simpang Kiri hingga ke Paguh. Begitu ramai pada hari Sabtu. Pasar Mingguan yang meriah. 



Pekan ini antara Muar dan Yong Peng. Melalui jalan lama yang di atas peta Semenanjung Tanah Melayu bertanda dengan nombor 1. Pada tahun-tahun 1940an dan 1950an ianya sebuah pekan kecil. Kelebihan pekan ini ialah jalan perhubungannya. Semasa Perang Dunia II dahulu British dan Jepun berada di sini. Bekas berek tentera British masih boleh dilihat hingga sekarang. Sayangnya jambatan Parit Sulung yang dibina pada zaman Sultan Ibrahim telah dirobohkan sedangkan nilai sejarahnya sangat tinggi. British cuba meletupkannya. Jepun pula yang menyelamatkannya. Setelah Malaysia merdeka berpuluh tahun, rakyat Malaysia sendiri yang telah memerdekakan diri yang merobohkannya. Persatuan Sejarah Johor dan Batu Pahat gagal mempertahankannya. Masih ada ruang alternatif  yang boleh dilakukan tetapi demi pembangunan, sejarah hanya tinggal tulisan.
 
Kawsan sekelilingnya berbukit bukau. Jika berkesampatan singgah sebentar di persimpangan jalan Yong Peng-Parit Sulung-Bandar Penggaram terdapat vista point untuk melihat panorama sekelilingnya. Cantik memukau.


Di Pekan inilah Haji Abas bermastautin sekarang. Sebuah pekan lama tetapi lambat membangun. Sangat malar. Potensinya tidak digarap walaupun wakil rakyatnya bersilih ganti. Ada antara mereka hebat-hebat belaka. Pada zaman darurat dahulu khusuanya pada tahun-tahun 1950 pekan Parit Sulung adalah sebuah perkampungan dalam pagar. Penduduk di sekitarnya khususnya dari kawasan bukit, dihimpun dan ditempatkan di situ. Tujuannya supaya British mudah mengawal mereka dari bergabung atau membantu Komunis. Lama-kelamaan pekan ini berkembang sendiri dalam fasa yang sangat perlahan. Ekonomi penduduk di persekitarannya adalah pertanian. Kelapa sawit paling menonjol diikuti dengan getah.
 
Jambatan baru ini tidak secantik jambatan lama yang telah diganti. Hanya warga tua sahaja yang pasti nostalgik. Sejarah yang dimamah pembangunan.


Pekan ini terletak di sebuah perlembangan sungai. Suatu ketika dahulu banjir adalah sejarah tahunan. Apabila banjir di hulu sungai maka banjirlah Parit Sulung. Kerana sungai sudah diurus maka kejadian banjir sudah semakin menjadi sejarah. Mungkin sekali sekala terjadi juga. Namun begitu tidaklah sebagaimana berlaku dalam tahun-tahun 1950 hingga 1960an dahulu. Walau bagaimanapun pekan ini sangat istimewa bagi mereka yang tinggal di sekitarnya. Pertamanya pasar mingguan pada hari Sabtu dan pasar malam pada hati Rabu malam Khamis. Keduanya ialah pasar Ramadhan yang lazimnya selama sebulan. Bermula dari awal Ramadhan dan tamat sebelum Subuh hari raya pertama.
 
Inilah wajah pekan yang sukar bernafas baru. Tiada janaan pembangunan komersil hatta ekonomi. 57 tahun yang agak sepi di sini. 


Rasanya paling istimewa ialah pasar mingguan pada hari Sabtu. Bertemulah antara penjual dan pembeli. Penjual pula datang dari segenap tempat yang jauh selain dari peniaga tempatan. Dari kain baju hingga ikan dari laut. Dari makanan hinggalah ubat-ubatan. Dari kuih hinggalah ikan darat/sungai. Bertembunglah antara buah-buahan tempatan dengan buah-buahan import. Buah anggur bukan lagi buah yang sukar diidam. Ramai warga kampung yang biasa membelinya. Hasil kelapa sawit yang mungkin lebih lumayan dari getah yang merudum harganya. Mereka yang datang adalah dari kampung-kampung sekitarnya. Dari pagi hingga tengahari berduyun-duyun mereka datang silih berganti. Ada sahaja yang hendak dibeli. Pada hari cuti keadaan menjadi lebih haru. Banyak kenderaan mencari tempat parkir. Malah hingga sampai di hadapan rumah Haji Abas yang jaraknya dari pasar minguan itu kira-kira 400 meter sahaja. Jika anak-cucu Haji Abas datang berkunjung memang sukar hendak parkir.
 
Pasar mingguan sahaja yang memeriahkan pekan Parit Sulung. Setiap minggu dirindui penggemarnya. 

Rasanya dua tahun dahulu harga daging sekitar RM18 sekilogram. Sekarang sudah melambung sebanyak RM4. kenaikan sebanyak 22%. Pendapatan tidak meningkat sebanyak itu. Inflasi yang spiral.


Orang kampung tidak banyak belinya. Tidak banyak carinya. Mungkin pakaian baru. Mungkin membeli ikan barang sekilogram. Mungkin membeli keperluan makan kering untuk kadar seminggu. Sebahagiannya datang untuk makan-makan. Yang pagi makan sarapan. Yang tengahari makan tengahari. Parit Sulung sebuah pekan kecil namun juadah makanan yang dihidangkan mengecurkan air liur. Masakannya tulen bukan seperti di bazaar Ramadhan yang banyak cacat celanya. Makanan tradisi masih banyak. Kuih muih tradisi yang sukar diperolehi di bandar besar boleh dibeli di Parit Sulung. Hari Sabtu seperti hari raya bagi orang tempatan. Di situlah sate dibakar. Lontong dimakan. Soto dicicip. Apam, keria, epok-epok, nagasari, lepat, kuih lapis, belebat, dadar gulung, abuk-abuk dan berbagai lagi yang boleh dibeli. Harganya masih relatif murah. Istimewa bagi orang Banjar ialah pebudak. Campuran tepung beras, pandan, gula, garam dan santan yang dibalut dalam daun pisang. Digulung memanjang sebesar jari telunjuk orang kurus. Kecil memanjang dan cantik. Enak. Manis, lemak bergaram. Yang lain adalah makanan orang Jawa.
 
Roti canai di Parit Sulung masih besar dan gebu. Buat pilihan sma ada yang bulat atau yang bersegi empat. 


Hampir semua kedai menjadi sesak pada hari Sabtu. Stok mesti banyak pada ketika itu. Gerai-gerai jualan penuh sesak dengan pembeli. Kedai makan kadang-kadang perlu menunggu giliran. Haji Abas antara mereka yang menikmati pasar mingguan hari Sabtu itu. Tempat pertemuan teman lama. Bertemu saudara jauh. Sebahagiannya menjadikan Parit Sulung sebagai tempat yang nostalgik untuk dikenang sejak dari kecil atau sewaktu masih muda dahulu. Mereka yang bekerjaya di tempat lain rindu pasar hari Sabtu di Parit Sulung. Banyak yang original terutama dari segi makanannya. Haji Abas tenang dalam pekan kecil ini kerana segala keperluannya ada di sini.

Anak muda ini ingin menambah pendapatan. Mungkin belajar untuk nenerajui konglomerat besar suatu hari nanti. Perlu usaha dan pengalaman dari bawah.


Apa lagi jika tidak enak dimakan.

Yang ini memang mengancam. Rupa dan rasanya sepadan. Nikmatnya melambung di awan.

Siri Dua Puluh Dua: Disiplin Makan

Pasar mingguan pada hari Sabtu di Pekan Parit Sulung. 


Seorang yang seusia Haji Abas Allah kurniakan dengan kesihatan dan keafiatan yang baik. Alhamdulillah. Tidak banyak rahsia yang diamalkannya selain dari menjaga waktu. Maksudnya menjaga waktu tidur, waktu makan dan waktu bersantai. Antara yang paling ketara ialah disiplin makan. Setiap pagi Haji Abas pasti memakan dua biji telur separuh masak. Minuman paling menjadi kegemarannya ialah teh susu semanis-manisnya. Rasanya setiap pagi dia makan telur rebus. Hajjah Aminah menjadi pakar tentang memasak telur separuh masak. Bertahun-tahun dilakukannya. Selepas menyapu halaman rumah dan mengemas keadaan di luar rumah seperlunya Haji Abas masuk ke rumah bersiap-siap untuk sarapan pagi. Yang ini dikira sarapan peringkat pertama. Sarapan peringkat kedua memakan roti canai di kedai makan Latif. Sarapan peringkat pertama waktunya seawal pagi. Dia jaga sebelum solat Subuh. Kerana itu ia memulakan sarapan peringkat pertamanya seawal pagi.
 
Mereka yang tinggal di kampung-kampung di persekitarannya datang ke pasar mingguan ini. 


Untuk memakan telur separuh masak Haji Abas melakukannya dengan disiplin yang sangat tinggi. Meja dialas serapinya. Mungkin kain atau kertas akhbar lama. Bersedia supaya meja tidak dikotori makanan atau minuman. Mangkuk atau pinggan kecil disediakan bersama pisau dan sudu. Begitu juga kicap. Selalunya kicap manis. Dia duduk menyediakan diri. Fokusnya tinggi juga. Telur yang sudah suam-suam dipegang di tangan kiri. Tangan kanannya menggergaji telur dengan pisau. Kita biasanya memecahkan telur dengan menggunakan camca tetapi Haji Abas menggunakan pisau. Jika diketuk dengan camca telur akan retak atau hancur di bahagian yang diketuk. Pisau yang Haji Abas gunakan menjadikan telur terbelah dua dengan cantik. Rata sebelah menyebelah. Kesemuanya dilakukan dengan penuh kesabaran. Mungkin ada falsafah di situ. Sesuatu itu perlu dilakukan dengan penuh disiplin. Penuh kesabaran. Fokus diri yang berupa dedikasi. Masa adalah faktor kepada kita. Tetapi tidak bagi Haji Abas. Sesuatu yang dilakukannya perlu konsentrasi yang tinggi.
 
Nasi lemak berlaukkan ayam goreng. Menyelerakan.


Camca kecil digunakan untuk mengeluarkan kesemua saki baki telur yang terlekat pada cengkerangnya. Perlahan-lahan dengan sabar. Dititiskan kicap secukup rasa. Digaul dengan perlahan. Penuh dengan kecermatan dan kasih sayang. Seolah-olahnya makanan itu terlalu bernilai tinggi. Tiada tolok bandingnya. Setelah itu dimakannya telur itu secamca demi secamca. Camca kecil dan bukan camca besar. Lambat, perlahan tetapi penuh kesabaran. Tidak pernah telur separuh masak itu dihirupnya. Penulis kira mereka yang pernah mengikuti kursus etiket di meja makan pasti memahami kesabaran yang perlu sewaktu berhadapan dengan hidangan dan juadah. Ianya gambaran tingkah laku atau akhlak lahiriah dan batiniah. Terpamer disiplin diri. Kesabaran yang perlu. Menghormati makanan dan meraikannya. Tenang dalam keadaan yang kadang-kadang bagi orang lain merumitkan sahaja. Tidak bagi Haji Abas. Dia memilih untuk kebaikan dirinya.

Bekalan telur tidak pernah terputus di rumah Haji Abas. Apabila ke rumah anak-anak dia tidak bersuara meminta itu dan ini tetapi di rumah anak-anak yang menyediakan telur separuh masak dia akan lebih serasi. Baginya makanan adalah sesuatu yang tidak boleh sebarangan. Bagitulah kepada anak-anak, kadang-kadang yang menggembirakan ibu dan bapa bukan wang ringgit. Bukan harta menimbun. Cukup dengan dua biji telur separuh masak. Tambah dengan teh susu. Tidak sampai seperti makan di hotel lima bintang. Cukup sekadar seringgit atau dua ringgit. Yang penting waktu hidangan seawal mungkin. Telurnya cukup separuh masak. Peralatan yang diperlukan tersedia. Kicap perlu ada. Dia berbahagia dalam seusianya menikmati sesuatu yang pada kita bukan signifikan. Bukan besar dan bukan mahal. Bagi cucu dan cicit iktibar itulah yang perlu diambil. Meraikan mereka yang tua bukan semestinya mahal dan sukar. Disiplin yang perlu dijaga.

Satu lagi disiplin tinggi Haji Abas ialah penyediaan makanan atau minuman yang perlu segera. Maksudnya dalam jangka waktu yang menasabah. Jika air panas jangka waktunya ialah menjerang air hingga mendidih. Jika minuman sejuk atau berais selewat-lewatnya 15 hingga 20 minit. Dia gelisah jika lewat dari itu. Apatah lagi jika waktu menunggu melewati sejam umpamanya. Ianya bertentangan dengan prinsip dan disiplin dirinya. Apabila ada tetamu datang ke rumah dia akan bingkas bangun untuk bersedia dengan apa sahaja. Walaupun yang datang adalah anaknya sendiri. Jika tiada makanan yang sesuai di dapur atau di rumah dia pasti ke kedai makan berhampiran untuk membeli makanan. Mungkin beehun sup atau mee goreng. Caranya menghormati tetamu tidak kira siapa mereka. Apa sahaja makanan yang ada cuba dihidangkan. Mungkin buah-buahan dari peti ais.

Pada hari Sabtu umpamanya Haji Abas membeli banyak kuih-muih dari pasar mingguan Pekan Parit Sulung. Dibelinya juga sayur-mayur dan bahan makanan yang digemarinya. Antaranya nangka muda, pucuk manis dan pucuk paku perak. Lazimnya ada tetamu yang singgah ke rumahnya setelah mereka bertandang ke pasar mingguan tersebut. Jika datang pagi dijamu dengan kuih. Jika tengahari dijamu makan nasi. Makan apa-apa sahaja hidangan yang telah tersedia. Mungkin ikan masin dan sambal belacan. Mungkin gulai pucuk manis atau gulai nangka. Mungkin ada ayam goreng atau masak kicap. Yang penting tetamu diberi minum dan makan secukupnya. Mereka balik dengan riang. Yang lebih penting hati Haji Abas lebih riang kerana dapat meraikan tetamunya.


Dalam usianya yang sebegitu tentu terasa janggal. Yang terlalu tua terpaksa bersusah payah menyediakan juadah untuk tetamunya. Kadang-kadang kita perlu berfikir selangkah atau dua langkah di hadapan. Apabila ke rumahnya bawalah makanan sendiri untuk menjamunya sekali. Untuk kita yang datang dan untuk Haji Abas dan Hajjah Aminah. Kaji minat dan seleranya. Ada makanan yang menjadi kegemarannya. Mungkin makanan yang untuk segera dimakan. Mungkin buah tangan yang boleh dimakan kemudian. Meraikan yang tua adalah suatu rahmat. Sementara dia masih ada. Masih dapat ditatap. Masih dapat disentuh. Masih dapat disapa dan berbicara. Masih dapat diminta doanya. Bukankah memandang mereka pahalanya seperti memandang kaabah. Kerap menjenguknya banyaklah pahalanya. Lama bersamanya banyaklah pahalanya. Menggembirakannya tentu lebih-lebih lagi ganjarannya. Sesungguhnya redha Allah  bergantung kepada redha ibu dan bapa. Redha mereka yang lebih tua. Mudah-mudahan Allah memudahkan segala-galanya untuk Haji Abas dan Hajjah Aminah.

Thursday, July 10, 2014

Siri Dua Puluh Satu: Menghimpun Anak Cucu

Majlis tahlil Jun 2012. Haji Abas dan Hajjah Aminah seronok bila ramai yang hadir.

Sejarah besar bagi Haji Abas dan Hajjah Aminah pada tahun 2002. Yang hadir hanya kira-kira 75% sahaja. Ramai yang tidak dapat menangkap maksud tersirat himpunan itu.


Pada tahun 2002 telah diadakan suatu himpunan empat generasi zuriat Haji Abas di sebuah hotel di Bandar Penggaram, Batu Pahat. Kebanyakannya hadir. Namun begitu ramai juga yang tidak dapat menghadirkan diri. Bagi yang hadir ianya suatu kenangan yang tersendiri. Tidak mudah menghimpunkan empat generasai dalam satu masa yang sesuai. Jika hendak dicari masa yang sesuai untuk semua yang berkepentingan maka tidak akan ada masa yang sesuai. Yang penting ialah tarikh, tempat dan masa. Makaman dan minuman hanya perintang waktu. Bertemu itu lebih diberi keutamaan. Kenyang perut biarlah untuk anak-anak. Yang dewasa bertemu, bersembang dan mengingat masa lalu yang telah berlalu. Perhimpunan pertama itu meriah dengan sesi bergambar. Dengan ucapan dari setiap anak. Ada pula nukilan sedikit mengenai masa lalu Haji Abas dari seorang menantu lelakinya.



Suasana majlis tahlil Jun 2014

Pertemuan singkat secara beramai-ramai itu berlalu dengan santai. Bertemu antara sanak saudara yang asalnya datangnya dari pasangan Haji Abas dan Hajjah Aminah. Merentasi masa berpuluh tahun lamanya. Apabila empat generasi bertemu banyak wajah-wajah keluarga yang bertaut. Menemukan titik dan detik manis dalam pertemuan keluarga. Titik yang akhirnya membesar menjadi empat generasi. Setelah 12 tahun berlalu keluarga Haji Abas menjadi lebih besar. Dalam pertemuan seperti itulah yang tua disapa. Yang muda disayang. Tugas yang dewasa untuk menyusun susur galur keluarga yang datangnya dari pasangan yang sama. Jika tidak cucu dan cicit akan terpencar tanpa mengetahui jalan pulang ke pangkuan asal usul dari mana datangnya dia. Sekarang sudah lima generasi. Ada juga usaha untuk relive semangat perhimpunan yang pertama. Namun yang kedua ini agak elusif. Payah hendak dicari tarikh yang sesuai. InsyaAllah mungkin pada tahun 2015 ada rezeki ke arah itu.


Anak-anak dan anak saudara

Sesuatu yang cucu dan cicit tidak maklum ialah Haji Abas setiap tahun berusaha menghimpunkan mereka. Lazimnya anak-anaknya kesemuanya yang hadir. Ada beberapa orang cucunya yang regular setiap tahun. Yang lain mungkin hadir berselang tahun. Acaranya sangat simple. Majlisnya kenduri arwah. Tarikhnya pasti pada bulan Sya’ban. Sebelum Ramadhan. Sudah menjadi amalan tahunan. Haji Abas tidak termampu untuk menziarahi kesemua cucu dan cicitnya satu persatu. Pada hari raya mungkin tidak kesemuanya berupaya menziarahi Haji Abas dan Hajjah Aminah. Masing-masing ada agenda tersendiri. Namun Haji Abas dan isterinya memperuntukkan masa khusus untuk majlis mengingati mereka yang pergi lebih awal. Dari datuk dan nenek mereka hinggalah cucu-cucu yang telah meninggal. Haji Abas berusaha menghimpunkan saudara-mara, sahabat-handai, kenalan, jiran tetangga, jemaah surau dan tentunya cucu dan cicit.

Haji Abas sangat perihatin orangnya. Setiap kali mengadakan majlis pastinya ia hendakkan yang terbaik. Ia mahukan juadah yang enak. Paling baik. Tinggi kualitinya.  Tidak kira sama ada dimasak sendiri oleh ahli keluarga atau dari pengusaha sajian, kualiti tetap diutamakan. Apabila menjamu tetamu Haji Abas  mahukan tetamunya makan dengan selera. Puas dan kenyang apabila pulang. Dalam hal urusan jamuan Haji Abas menjadi penganjur. Apa-apa yang hendak disajikan diserahkan kepada anak-anak untuk merancang dan membuat keputusan. Bajet tanggungan sepenuhnya Haji Abas. Hanya yang hadir dapat menikmatinya. Mungkin ikan tiga rasa. Sup tulang. Sate. Udang. Sotong. Bakso. Rojak. Banyak lagi resepi dan menu yang belum dicuba. Kesemuanya perlu yang terbaik. Untuk tetamu. Untuk anak-cucu-cicit. Bukan untuk selera Haji Abas dan Hajjah Aminah.


Di balai jamuan majlis tahlil 2012

Tedapat beberapa pengajaran dalam melaksanakan majlis anjuran Haji Abas. Timing sangat dijaga. Jadual mestilah advanced. Kadang-kadang enam bulan sebelumnya agenda majlis itu sudah digerakkan. Menunya. Tatakerjanya. Bajetnya. Beberapa hari sebelum majlis, rumah dibersihkan.  Disusun dan diatur mana yang perlu. Perkakas makan dan minum sudah diperkemas. Perkakas memasak sudah tersedia. Bahan-bahan makanan kering sudah dibeli. Gula, kopi dan bahan minuman yang lain sudah disusun. Air gula sudah dimasak. Pada pagi hari majlis, kerusi dan meja hendaklah disediakan awal. Jika diperlukan balai jamuan sudah dipasang sehari sebelumnya. Apabila anak-anak lambat sampainya bising Haji Abas. Apabila cucu-cucu tidak hadir banyak tanyanya. Sebelum tengahari kesemuanya sudah tersedia. Lauk-pauk tersedia sebelum waktu Maghrib. Selepas sahaja solat Isya’ sajian juadah siap untuk dinikmati. Diperkemas mana-mana yang perlukan perhatian. Tahlil mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja. Kesemua yang hadir berjamu seenaknya. Haji Abas memantau sama ada tetamu cukup makannya. Cukup kenyangnya.


Sebahagian dari tetamu wanita

Sesuatu yang sangat indah sebenarnya. Selama mudanya Haji Abas bukan orang senang. Sesudah lanjut usia dia juga bukan dalam golongan orang senang. Dia membiasakan dirinya untuk memberi kepada orang lain. Memberi apa sahaja yang menggembirakan orang lain. Dia tidak spesifik siapa yang hendak digembirakan. Cantik sekiranya cucu-cicitnya menyorot kembali kepada kedaifan Haji Abas pada masa lalu. Wang titipan dari anak-cucu dihimpun dan cuba dikembalikan semula kepada mereka. Jika pada suatu masa dahulu Haji Abas banyak menangis hatinya kerana tidak mampu memberi yang terbaik kepada anak-anaknya, sekarang dia cuba menggembirakan kesemuanya dengan apa yang terdaya. Dia gembira, banyak senyum dan ketawa bersama yang hadir. Hatinya menjadi besar kerana kehadiran orang-orang yang sewajarnya dekat dengan dia dan isterinya.

Jika pada masa mudanya  Haji Abas banyak menerima pertolongan orang lain, sekarang Haji Abas berusaha menolong menggembirakan orang lain dengan memberi jamuan juadah yang terbaik. Kesedihan masa lalu diganti dengan kegembiraan mensyukuri nikmat Allah. Sesuai benar bagi Haji Abas. Jika dahulu tempatnya di bawah. Menadah pertolongan. Walaupun sekarang dia tidak tinggi keberadaannya dia mencuba menjadikan tangannya berada di atas. Tidak lagi mahu berada di bawah. Alangkah indahnya andainya usaha Haji Abas yang menjadi acara tahunan ini dikongsi oleh generasi warisan Haji Abas. Menyumbang bajet. Menyumbang tenaga. Menyumbang masa. Bagi yang berkelapangan hadir bersama meraikan Haji Abas dan Hajjah Aminah yang begitu lanjut usainya. Biarlah yang tua dan dewasa berehat. Mungkin boleh cucu-cucunya pula yang memainkan peranan aktif. Yang penting ialah fokus kerja. Bukan banyak perbincangan. Jadikan seperti yang dihasratkan. Ketepikan gangguan yang mengekang perjalanan aktiviti. Zaman Haji Abas banyak bekerja dan berfikir wajar diganti dengan kerehatan yang melegakan. Anak-cucu-cicit yang merai dan menghiburkan keberadaan Haji Abas dan Hajjah Aminah.